Dua beradik tunjuk kebolehan

Abdullah sering berbincang dengan Asmah dalam hal berkaitan pengurusan ladang ternakan.

Tiada erti kata gagal dan malu dalam kamus perniagaan yang cuba diterokainya meskipun semuanya serba baharu dan mencabar.

Menternak lembu dan kambing bukan mudah. Apatah lagi jika tiada ilmu. Tetapi berkat kesabaran, Abdullah Sulaiman, 23, dan adiknya Asmah, 22, boleh berbangga dengan pencapaian mereka ketika ini.

Dalam usia yang masih muda, perniagaan yang mereka uruskan berisiko tinggi tetapi pasarannya memang ada.

Apatah lagi musim Hari Raya Aidiladha sekarang, permintaan lembu dan kambing untuk tujuan ibadah korban agak tinggi.

Permintaan yang tinggi dan jualan yang meyakinkan menjadi pendorong kepada Asmah dan abangnya untuk sentiasa berusaha mengurus projek tersebut – legasi daripada ibu bapa mereka.

Beroperasi dengan syarikat SS Jaya Trading di Umbai Melaka, kedua-dua mereka mula serius dalam projek itu sejak 2009 selepas bapa mereka, Sulaiman Abdullah menyerahkan sepenuhnya kerja-kerja mengurus projek tersebut.

Menurut Asmah, bapanya memulakan projek tersebut sejak 1990 di sekitar Umbai dengan menjalankan perniagaan jualan ternakan.

Kandang pertama katanya, dibina di belakang rumah mereka di Bukit Tembakau di Umbai selepas meraih sedikit pengalaman menjalankan perniagaan yang sama pada 1980-an di Kuantan Pahang dan di Pulau Besar, Melaka.

“Bapa ketika itu membekalkan lembu kepada Felda,” ujarnya.

Berkongsi dengan lebih lanjut, Asmah berkata, pada 1999, usaha penternakan dipergiatkan ekoran kejayaan perniagaan jualan sebelum itu dan kawasan tanah seluas 14 ekar telah dikenal pasti untuk tujuan itu.

Pada 2009 di tapak yang diusahakan di Kampung Bukit Tembakau itu dimulakan dengan pembinaan kandang pertama seluas 30 kali 50 kaki dengan modal awal sebanyak RM30,000 yang mampu memuatkan antara 70 dan 80 ekor lembu pada satu satu masa.

Abdullah menambah, dua tahun kemudian, dia dan adiknya berasakan mereka perlu meluaskan perniagaan dengan membina kadang lembu seluas 30 kali 100 kaki dengan modal RM60,000 yang mampu memuatkan 140 ekor ternakan.

Kandang lembu tersebut dibina dengan bantuan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Selepas usaha tersebut menampakkan hasil, Asmah berkata, dia tidak menoleh ke belakang lagi.

Apatah lagi, dia telah nampak ada sinar kejayaan di sebalik semua itu dan sebagai menghargai legasi usaha ibunya Salha Sipan yang telah memulakannya sejak 20 tahun lalu.

“Kami menyahut cabaran penduduk sekitar selain ibu bapa yang mahu ia diteruskan. Keadaan bapa yang uzur ketika kami ambil alih perniagaan menguatkan semangat saya meskipun tidak sempat mengambil peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia),” ujarnya.

Sambil memberitahu bahawa kemudahan di tapak yang ada sekarang dikembangkan dengan pembinaan beberapa lagi kandang lembu dan kambing, Asmah berkata, sejak terlibat dalam industri ternakan, dia sedaya upaya mempelajari cara mengurus termasuk membantu pekerja melakukan kerja-kerja rutin harian.

Selaku pemilik, dia tidak semestinya mengarahkan sahaja pekerja, sebaliknya melakukan sendiri kerja membersihkan kandang dan memberi makan ternakan.

Malah katanya, ladang tersebut ibarat universiti ternakan tempat dia belajar segala-galanya yang berkaitan.

“Saya perlu belajar dan bimbang dengan persaingan,” ujar Asmah lagi.

Sementara itu menurut Abdullah, dia berasa cabaran mula muncul sedikit demi sedikit berkaitan modal pusingan.

Pada 2009, dia hanya menggunakan modal sebanyak RM50,000 dan berjaya mengembangkan projek tersebut dengan dibantu enam pekerja.

Ini kerana dalam usia yang terlalu muda ketika itu, agak sukar memperoleh pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan.

“Saya kena beli sedikit demi sedikit dan memperoleh bekalan (ternakan) daripada rakan,” tambahnya yang memberi makan pelet dan rumput untuk ternakan.

Abdullah bertuah kerana sepanjang empat lima tahun lepas dia belum pernah berdepan masalah penyakit yang serius.

Mengenai petua yang dikongsi daripada ibu bapa, Abdullah berkata, mereka berpesan supaya memastikan ternakan sentiasa sihat dan jaga nama baik keluarga. Perkembangan syarikat terbabit juga banyak dibantu oleh sebuah syarikat lain, Ternakan N&A Wawasan yang menjadi pembekal.

Kredit to:

Oleh LAUPA JUNUS
Gambar ASHRIQ FAHMY AHMAD

AgroBazaar Online Macam-macam Ada

Snap 2016-06-21 at 12.37.39

Eh macam-macam ada dalam AgroBazaar ni rupanya

Anda pernah dengar tak AgroBazaar Online? Rugi tau kalau anda sebagai penternak atau petani diluar sana tak pernah guna atau lebih malang lagi tak pernah tahu pasal benda ni.

AgroBazaar ni diperkenalkan pada Disember 2014 oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Program di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang diakses melalui agrobazaar.com.my itu menyediakan pasaran baru untuk produk pertanian dengan mewujudkan komuniti agromakanan secara dalam talian.

Agrobazaar.com.my merangkumi maklumat, latihan, perkhidmatan sokongan, komuniti dan nilai rantaian online dan offline.

Yang bestnya AgroBazaar Online turut memaparkan maklumat seperti harga sayur dan buah terkini selain maklumat senarai pasar tani, lokasi dan kalendar buah bermusim. Program itu dilihat masih baru apabila jumlah peniaga berdaftar (dalam talian) baru mencecah 1,131 pekedai manakala jumlah pelawat sebanyak 15,467 orang.

Banyak  betul kebaikan portal ni sebab usahawan dalam talian menjimatkan kos operasi, berdikari selain memiliki pasaran luas tanpa orang tengah.

Insyaallah ada produk nanti saya nak daftar.Percuma pulak tu.Rugi tak daftar sekarang tau kawan-kawan.

Snap 2016-06-21 at 21.48.27

Banyaknya pilihan..best betul

Diubahsuai dari Harian Metro

Pertama di dunia

Kotak fikiran biasa membayangkan buah rock melon hanya sesuai dimakan segar.

Rasa rangup dengan aroma yang manis menjadikan buah dikenali sebagai Cantaloupe ini antara terbaik dalam kelompok buah-buahan.

Dari sudut fizikal luarannya, rock melon mempunyai jaringan timbul dan kulit yang keras.

Rock melon kaya dengan vitamin C, vitamin A, beta karotin, kandungan potassium dan serat yang tinggi.

Namun, sehingga kini belum ada pihak yang menginovasikan buah berkenaan untuk dijadikan produk hiliran.

Menyedari kepentingan itu, empat sekawan dari Syarikat KMS Agronomi Sdn Bhd membangunkan sos rock melon dalam tiga perisa yang pertama didunia.

Bukan saja menghasilkan buah segar untuk pasaran eksport di Singapura, tetapi ia juga berpotensi untuk dibangunkan sebagai produk sos berkualiti.

Malah, syarikat itu diiktiraf MARDI sebagai pengeluar buah terbaik dalam kelasnya mengusahakan projek tanaman fertigasi rock melon menggunakan struktur pelindung hujan (SPH) dan kalis serangga.

Siapa sangka penyelidikan dan pembangunan (R&D) dijalankan bersama rakan kongsi memberi impak besar dalam penghasilan produk.

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) antara penggerak yang membantu dalam aspek penyelidikan.

Pengarah Urusannya, Muhammad Sidek Osman berkata, idea menghasilkan sos rock melon dicetuskan salah seorang rakan kongsinya.

“Ketika duduk semeja, Nurul Faezah Jasni yang menjaga unit Industri Asas Tani (IAT) mengeluarkan idea menghasilkan produk makanan.

“Sejak itu, kami membangunkan produk sendiri dan menjalinkan kerjasama dengan MARDI,” katanya yang turut berkongsi bisnes itu dengan Saiful Asyraf Md Hisan.

Menurutnya, jika dulu syarikat hanya memfokuskan pengeluaran buah rock melon segar, kini ia menghasilkan produk hiliran.

“Dulu, saya bersama rakan kongsi mengeluarkan modal untuk menyediakan tiga buah rumah hijau dan kemudahan berkaitan teknologi fertigasi.

“Projek berkenaan diusahakan di tanah berkeluasan 0.6 hektar yang berlokasi di Kampung Jenjarom, Selangor,” katanya.

Menerusi penyelidikan MARDI katanya, tiga sos berjenama Faezah dihasilkan seperti cinta yang menggabungkan rasa masam, pedas dan manis, rindu (pedas dan manis) dan sayang (lemak manis).

“Idea mencipta sos rock melon agak singkat bermula pada Oktober tahun lalu.

“Ia kemudian dilontarkan kepada pihak MARDI sebelum bersetuju untuk melakukan kajian,” katanya.

Produk yang mendapat formulasi bersama kemudian dibawa ke MARDI untuk mendapatkan ketahanan, bau, rasa, warna, rupa dan jangka hayat produk.

“Formula sudah ada dan mereka (MARDI) buat kajian.

“Cuma mereka nak dapatkan keserasian, apatah lagi setiap bahan digunapakai tidak sama,” katanya.

Berbanding pisang dan nanas, rock melon mengambil tempoh sebulan untuk melihat perbezaan dari aspek rasa serta warna.

“Saya nampak kesan ujian memang ada perbezaannya dan tidak mudah.

“Penyelidik MARDI buat banyak siri ujian dan kadang kala berubah dari segi warna, bau dan rasa,” katanya.

Bukan saja mendapat bimbingan MARDI, syarikat itu juga dibenarkan untuk mengguna pakai teknologi di pusat penyelidikan berkenaan yang beroperasi di Johor.

Dengan kemudahan yang ada syarikat juga mampu mengeluarkan kira-kira 12,000 botol sos dalam sebulan.

Muhammad Sidek berkata, perbezaan yang ada membolehkan produk inovasi berkenaan menguasai pasaran.

“Kita tahu setakat ini ada sos dari betik dan nanas, tetapi kelebihan buah ini sangat baik dan unsur dalamnya kaya dengan potassium, selain vitamin yang baik untuk kulit dan tulang.

“Paling menarik, fakta nutrisi dikeluarkan agensi berkaitan membuktikan produk ini sangat baik kerana bukan saja mempunyai rasa cili, tetapi turut mengandungi buah,” katanya.

MUHAMMAD Sidek (kanan) bersama rakan kongsi menghasilkan produk sos rock melon pertama di dunia.

Sumber: http://www.hmetro.com.my

Ladang kontrak imbuhan petani

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan lebih 6,000 petani yang ter­babit dalam aktiviti pengeluaran sayuran dan buahan di seluruh negara mendaftar sebagai peserta ladang kontrak tahun ini.

Tahun lalu sudah ada seramai 4,240 orang berdaftar sebagai peserta dan layak menerima pelbagai bantuan dan kemudahan daripada agensi di bawah Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani (MOA) termasuk Agro Bank.

Ahli Lembaga Pengarah FAMA, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, sasaran itu dijangka dapat dicapai pada pertengahan tahun ini kerana program bagi menambah ahli dilakukan sejak akhir tahun lalu.

Menurutnya, kini projek ladang kontrak di seluruh negara membabitkan kawasan seluas 7,086 hektar dan ia dijangka bertambah dari semasa ke semasa apabila lebih banyak kemudahan disediakan agensi berkaitan.

Beliau berkata, tahun lalu pendapatan hasil aktiviti peserta ladang kontrak membabitkan jualan bunga, produk herba, sayuran dan buahan mencecah RM676 juta.

“Pahang mencatat jumlah terbesar aktiviti ladang kontrak iaitu 889 hektar diikuti Sarawak (776 hektar), Johor (689 hektar), Selangor (680 hektar) dan Terengganu (402 hektar) dan Kedah (618 hektar).

“Penyertaan petani dalam program ladang kontrak memberi peluang kepada mereka menikmati pelbagai kemudahan disediakan FAMA termasuk agensi kerajaan lain bertujuan membela nasib golongan terbabit,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata demikian dalam Majlis Taklimat Bahagian Ladang Kontrak FAMA kepada Parlimen Lipis dan Jawatankuasa UMNO Bahagian Lipis.

Turut hadir Pengarah Kanan Bahagian Ladang Kontrak FAMA, Ahadiah Mohd Khairi dan Pengarah FAMA Pahang, Ibrahim Mahmood.

Abdul Rahman berkata, pihaknya berharap pada masa akan datang lebih ramai lagi petani di negara ini mendaftar sebagai peserta ladang kontrak bagi memberikan peluang kepada mereka menikmati pelbagai kemudahan seperti menjamin pasaran dan meningkatkan pendapatan.

Menurutnya, selain pemindahan teknologi, kemudahan lain layak diterima peserta ladang kontrak adalah pinjaman modal daripada Agro Bank, subsidi input pertanian, khidmat nasihat dan kemudahan jentera.

“Menerusi Program Pengukuhan Bekalan Ladang Kontrak ke Pasar Tani (KUKUH) tahun lalu, sebanyak RM6.7 juta urus niaga berjaya dilakukan, meningkat berbanding RM3.8 juta pada 2013,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, peserta ladang kontrak yang mengalami kerugian selepas projek tanaman mereka musnah ditenggelami banjir akhir tahun lalu layak menerima bantuan FAMA.

Beliau berkata, pihaknya kini masih lagi mengumpul maklumat kemusnahan dan kerugian yang dialami.

“Saya difahamkan seramai 85 peserta ladang kontrak di beberapa daerah di Pahang yang terbabit dengan tanaman sayuran dan buahan terpaksa menanggung kerugian besar selepas kebun mereka ditenggelami banjir.

“Selain kemusnahan tanaman, pelbagai peralatan pertanian termasuk sistem pengairan turut rosak dengan kerugian antara RM20,000 hingga RM150,000,” katanya.

Katanya, bantuan yang akan diberikan kerajaan diharap dapat digunakan peserta bagi memulakan semula projek mereka.

Sumber: http://www.hmetro.com.my

KopieSatu buka laluan niaga

Produk minuman KopieSatu yang diperkenalkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melangkah setapak lagi apabila ditawarkan secara pakej kepada usahawan baru yang berminat menceburi bidang francais.

Jika sebelum ini, perniagaan KopieSatu berkonsep kafe mendapat sambutan di Agrobazaar Malaysia di Singapura, kini jaringan perniagaan berkenaan terbuka luas untuk diterokai usahawan tempatan.

Sebagai rangsangan, FAMA menerusi anak syarikat FAMA Corporation Sdn Bhd menganjurkan Taklimat Peluang Perniagaan Francais KopieSatu di Bangunan FAMA Point, Bandar Baru Selayang, baru-baru ini.

Taklimat itu membuka ruang kepada 150 peserta untuk mengintai peluang perniagaan francais KopieSatu yang mempunyai prospek besar untuk diusahakan.

Sesi taklimat dua jam itu disempurnakan Pengerusinya, Tan Sri Badruddin Amiruldin.

Hadir sama, Pengarah Urusan FAMACO, Pauzi Yaman; Timbalan Pengarah (Operasi) FAMA, Sharifah Hashim dan Pengarah Bahagian Pembangunan Francais Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Zainal Azman Abu Seman.

KPDNKK meluluskan FAMA Corporation Sdn Bhd sebagai francaisor berdaftar berkuatkuasa pada 1 Mac 2015 bertujuan mengembangkan jaringan perniagaan KopieSatu melalui kaedah francais.

Menjadi matlamat FAMA Corporation untuk mempunyai 120 outlet KopieSatu untuk tempoh tiga tahun.

Usaha ini dapat mewujudkan sebuah jaringan usahawan-usahawan baru menceburi bidang perniagaan di dalam sebuah sistem sokongan dan operasi francais yang terbukti stabil serta berisiko rendah.

Malah sebagai perancangan jangka panjang, FAMA Corporation bercadang untuk meneroka pasaran antarabangsa dengan melantik francaisi-francaisi induk di beberapa buah negara.

KopieSatu adalah jenama tempatan dibangunkan lebih dari 13 tahun di bawah pengurusan anak syarikat FAMA.

Sehingga kini terdapat 12 outlet di seluruh negara, selain melebarkan sayap berniagaannya ke luar negara dengan membukanya di Agrobazaar Malaysia di Singapura pada tahun lalu.

FAMA Co selaku francaisor berdaftar di Malaysia menawarkan empat pakej francaisi seperti pakej kaunter, kios, kafe dan mobil (kenderaan) yang bermula serendah RM75,000 sehingga RM320,000.

Badruddin berkata, projek perniagaan KopieSatu diilhamkan tiga pimpinan Perdana Menteri .

“Konsep francaisi ini diilhamkan Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Tun Abdullah Ahmad Badawi meneruskan hasrat itu dengan mengilhamkan KopieSatu.

“Tun Abdullah mahu melihat satu jenama tempatan bersaing dengan tawaran kopi istimewa yang didominasi francais asing di negara ini,” katanya.

Minat terhadap produk KopieSatu juga dikongsi Perdana Menteri Datuk Najib Razak yang turut memesan perasa karamel.

Sementara itu, usahawan berminat ditawarkan peluang pembiayaan oleh TEKUN, Agrobank dan SME Bank. Tan Sri Badruddin Amiruldin.

MOVAN KopieSatu mendapat sambutan menggalakkan.

Sumber: http://www.hmetro.com.my

Dulu minat herba, kini jual pokok kurma

KURMA menjadi makanan pilihan sepanjang Ramadan.- Gambar hiasan

BUAH kurma bukan lagi asing bagi masyarakat di negara ini khususnya umat Islam, lebih-lebih lagi apabila pada bulan Ramadan.

Namun pernahkah anda terfikir untuk menanam pohon kurma atau memiliki sendiri ladang kurma di negara ini?

Atau memiliki sebuah tapak semaian benih kurma untuk dijual secara komersial? Atau sekadar menanam pokok kurma di halaman sebagai hiasan yang indah?

Usahlah berasa hairan jika berhasrat demikian kerana ia kini bukanlah sesuatu yang mustahil!

Selama ini, apa yang diketahui umum ialah pohon kurma hanya terdapat di negara padang pasir dan jika ditanam di negara ini maka persepsinya ialah pokok itu tidak akan berbuah.

Namun kajian menunjukkan pokok kurma boleh ditanam dan mengeluarkan buah di mana-mana sahaja jika diusahakan dengan cara yang betul.

Selain itu, tanggapan terhadap pokok kurma juga tidak seharusnya dilihat dari segi penghasilan buah semata-mata kerana ia juga cukup indah jika dijadikan hiasan di halaman.

Menyedari potensi besar tanaman pokok kurma, seorang guru matematik, Mohd. Rahof Abdul, 48, di Kampung Tehel Bemban, Melaka nekad mengeluarkan benih anak pokok kurma untuk dijual secara komersial sejak tiga tahun lalu.

Berbekalkan sedikit modal, dia mula menanam 1,200 benih pokok kurma sebagai permulaan di tapak semaian yang terletak bersebelahan rumahnya dengan keluasan sekitar separuh gelanggang badminton.

Ternyata, kegigihannya ternyata tidak sia-sia bahkan memberi pulangan lumayan apabila hasil jualan anak-anak pokoknya mendapat sambutan menggalakkan.

Ia dijual kepada orang ramai dengan harga sekitar RM250 sepokok bergantung kepada saiz dan usia.

Mohd. Rahof memberitahu, permintaan tinggi terhadap pokok tersebut menyebabkan kini hanya tinggal kira-kira 300 anak pokok kurma yang masih boleh dijual.

‘‘Daripada 300 anak pokok itu, sebanyak 250 adalah jenis baka Tunisia manakala baki 50 lagi dari jenis Ajwa yang berusia antara enam bulan hingga dua tahun setengah,” katanya ketika ditemui Mega di Bemban Melaka baru-baru ini.

Bapa kepada lima anak itu berkata, beliau memilih untuk menjual anak pokok dalam polibeg kerana lebih mudah berbanding menjual pokok kurma dewasa yang harganya lebih mahal dan lebih sukar untuk dipindahkan.

Dengan cara itu, pembeli boleh menjaga sendiri dan melihatnya membesar sehingga mencecah usia dewasa .

Jika dijaga dengan baik mengikut kaedah pendebungaan yang betul maka ia mulai mengeluarkan buah ketika berusia antara lima hingga tujuh tahun.

Mengimbas semula bagimana timbul minat terhadap anak pokok kurma, Rahof berkata, beliau asalnya gemar menanam pokok herba.

Bagaimanapun selepas menyaksikan sendiri sebuah syarikat kontraktor berjaya menjual sebatang pokok kurma dengan harga RM2,000 kepada sebuah resort di Melaka untuk dijadikan hiasan, minatnya mula timbul.

Katanya, hasrat untuk membuka tapak semaian anak pokok kurma semakin membuak-buak apabila berkunjung ke Madinah dan Mekah.

‘‘Di Madinah kita boleh lihat hotel menjadikan pohon kurma sebagai hiasan, ia bertambah cantik bila disapu syalek.

“Selain itu, di sana juga kita boleh lihat pokok kurma sungguh cantik dijadikan hiasan di kaki lima jalan raya,” katanya yang juga guru di Sekolah Menengah Teknik Jasin.

Maka sekembali di tanah air, dia melihat terdapat ruang dan peluang yang luas untuk rakyat negara ini menceburi bidang penanaman pokok kurma secara komersial khususnya bagi masyarakat Islam yang amat dekat kehidupan mereka dengan kurma.

Lebih-lebih lagi, katanya, pohon kurma bukan sahaja disebut beberapa kali dalam al-Quran tetapi juga terbukti terlalu mempunyai banyak khasiat.

Bagi tujuan hiasan, keindahan pokok kurma tidak dapat dinafikan lagi untuk dijadikan hiasan bagi menggantikan pokok palma atau kelapa sawit atau tanaman biasa lain.

Ini kerana, katanya, ia akan lebih menampakkan imej Islam dan mempunyai nilai estetika yang tinggi dan menenangkan khususnya untuk lokasi seperti masjid, surau, pusat Islam, universiti, lokasi awam dan sebagainya.

Selain itu, debunga kurma juga boleh digunakan bagi meningkatkan kesuburan wanita dan lelaki untuk pasangan yang sukar mendapatkan cahaya mata.

Allah s.w.t menjadikan buah kurma cukup istimewa. Cuba perhatikan sepanjang ia berada di atas pokok tiada seekor binatang atau burung yang mematuk atau merosakkannya. Ini kerana buah tidak berbau.

Allah pelihara dan memuliakannya manakala pokok kurma mesti disenyawakan oleh tangan manusia.

Di Madinah hanya orang Arab sahaja yang sanggup memanjat dan turun naik ke atas pokok kurma untuk melakukan pencantuman ini.

‘‘Pendebungaan secara manual oleh manusia dengan mengambil debunga jantan lalu diketuk ke mayang pokok betina,” kata Mohd. Rahof.

Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan anak pokok kurma boleh menghubungi beliau di 013-6476591 atau emel di rahofmra@yahoo.com.my.

Fenomena kurma Yusuf Taiyoob

Yusuf membawa hampir 30 dari 200 jenis kurma dari seluruh dunia termasuk kurma madu dari Iran, Yuta, iaitu bukan sempena singkatan nama Yusuf Taiyoob.


RAMADAN sangat sinonim dengan kurma. Umat Islam disunatkan untuk berbuka puasa dengan kurma. Sebab itu ia menjadi satu kemestian ketika berbuka.

Disebabkan permintaan yang tinggi, pelbagai jenama kurma membanjiri pasaran tempatan setiap kali tiba Ramadan.

Tetapi satu jenama yang pasti terpahat diingatakan setiap rakyat negara ini ialah Yusuf Taiyoob.

Kempen pemasarannya yang agresif terutama melalui iklan di radio menyebabkan nama Yusuf Taiyoob begitu dikenali.

Ramai yang tertanya-tanya siapakan gerangan pemilik nama itu. Adakah ia sekadar jenama pada kotak kurma atau saudagar dari tanah Arab.

Yang pasti, ia bukan satu jenama baru. Kurma Yusof Taiyoob telah lama berada di pasaran negara ini.

Pemilik nama itu sendiri merupakan seorang anak tempatan yang telah 30 tahun bergelumang dan jatuh bangun dalam dunia perniagaan.

Bagi mereka yang kerap menggunakan Lebuhraya Utara Selatan menuju ke utara tanah air pasti biasa terlihat kompleks kilang miliknya di kawasan perindustrian Bukit Minyak, Seberang Prai, Pulau Pinang.

Sebuah kompleks kilang yang seluas lima hektar dengan jelas terpampang kalimah suci dua kalimah syahadah dan nama Yusuf Taiyoob Sdn Bhd di satu sudut tinggi adalah milik usahawan Datuk Yusuf Taiyoob, 51, anak kelahiran Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

Sempena Ramadan ini, seharusnya kegigihan seorang yang bernama Yusuf Taiyoob yang kini sering digelar Raja Kurma Malaysia wajar kita semua teladani dan contohi.

Malah Yusuf sendiri meminta agar kisahnya tidak sekadar dikaitkan dengan kurma untuk mengalas perut sahaja. Beliau berharap agar umat Islam lain juga turut sama terlibat dalam aktiviti pelbagai perniagaan dan bukan sekadar bermusim.

“Umat Islam mampu melebarkan jaringan perniagaan yang tidak sekadar bermusim sahaja.

“Insya-Allah kita mampu menjadi konglomerat yang mampu bertahan dan menguasai apa juga bentuk perniagaan kerana sampai bilapun perniagaan tidak akan pernah mati,” katanya.

Pada masa ini nama Yusuf cukup sinonim dengan perniagaan kurma di negara ini.

Penguasaannya dalam pasaran kurma tempatan terbukti dengan mempunyai hampir 4,000 pengedar besar dan kecil di seluruh negara.

Tetapi bagi Yusuf, masanya banyak dihabiskan di kilangnya.

Walaupun lebih dikenali kerana kurma, sebenarnya perniagaan beliau tidak terhad kepada kurma sahaja.

Terdapat hampir 200 produk lain turut diusahakan beliau dengan pasarannya meliputi seluruh negara.

Antaranya, bertih jagung yang diimport dari Argentina, madu lebah dari Iran dan sabun ayurverdik dari India.

Malah beliau turut mengimport badam dari Amerika Syarikat dan pelbagai jenis rempah dari Malawi.

Bilik sejuk yang terdapat di kilangnya di Bukit Minyak itu mampu memuatkan 7,000 tan barangan makanan pada satu-satu masa.

Simpanan dalam bilik sejuk gergasi itu turut meliputi bunga cengkih yang diimport dari Madagascar di samping lada hitam dari Vietnam.

Pelbagai rempah ratus lain turut memenuhi bilik sejuk itu termasuk buah pelaga, bunga pelaga dan kayu manis.

Yusuf memberitahu, syarikat-syarikat memproses rempah tempatan dan terkenal banyak mengambil bahan rempah daripadanya.

Jelas sekali Yusuf tidak sekadar menguasai pasaran kurma di negara ini malah pelbagai jenis produk makanan sehinggalah kepada produk jagaan kesihatan.

Gigih ternak sapi

WALAUPUN berusia emas, Idris Bakar tetap tekun dan sentiasa bekerja keras mengusahakan penternakan lembu, kambing dan juga lembunya di Kuala Ketil, Baling Kedah.


SEBAIK memasuki kawasan perkampungan Pantai Cicar dekat Kuala Ketil, penulis sudah mengagak mungkin kawasan yang dijadikan kawasan ternakan oleh seorang penduduk ini seperti kebanyakan kawasan ternakan lain seperti padang bola atau lebih daripada itu.

Sangkaan itu ternyata meleset kerana kawasan yang disangka itu hanyalah sekitar kawasan sebuah rumah yang penghuninya begitu berjiwa besar dan mempunyai pandangan jauh dalam dunia ternakan yang diceburinya bukan sahaja lembu, kerbau dan kambing.

Rumah besar separuh kayu ditepi permatang yang dikelilingi banyak kandang dan bangsal ternakan sudah menggambarkan bahawa untuk memperoleh pendapatan lumayan dalam bidang yang diceburinya.

Sebut sahaja nama Idris Pantai Cicar, pasti ramai penduduk dan pelanggan tempatan mengenalinya.

Di sebalik usia yang menginjak 77 tahun, Idris Bakar masih mampu mengatur perniagaan bukan sahaja membekal daging lembu, kerbau dan kambing. Terkini bapa kepada sembilan anak ini mengembangkan lagi perniagaannya dengan menternak sapi.

Melihat usianya sesiapa sahaja akan tersilap membuat andaian kerana dalam usia sebegini dia masih mampu berfikir untuk melangkah ke hadapan menjadi usahawan dalam ternakan tersebut pula.

Sudah 30 tahun Idris terlibat dalam penternakan lembu, kambing, kerbau dan terkini dia berhasrat mengenengahkan ternakan sapi.

Di Kampung Pantai Cicar Kuala Ketil,Baling ini Idris yang sudah dikenali sebagai pembekal lembu sama ada untuk kenduri kahwin atau korban telah lama menawarkan perkhidmatan tersebut kerana hasilnya agak lumayan.

Menariknya, usahawan ternak itu terpaksa menyediakan kandang khas untuk menyimpan ternakan tersebut sebelum dijual kepada pelanggan.

Idris yang pernah menjalankan usaha mengeluarkan baja vermikompos hasil dari ternakan cacing dari Australia turut menjadi perhatian beberapa jabatan kerajaan.

Antaranya Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Jabatan Pertanian kerana mampu menghasilkan baja tersebut dalam kuantiti yang banyak dan bermutu.

Sekali pun hanya seorang saudagar kecil namun dia mempunyai kepakaran dalam menghasilkan baja sehingga mampu menjadikan dirinya mentor kepada usahawan lain.

Nama Idris sudah dikenali sebagai pembimbing dan pengeluar baja daripada cacing yang bermutu tinggi dan menjadikan bidang itu sebagai tempat rujukan pengusaha baru.

Menceritakan penglibatannya dalam ternakan sapi, dia mula tertarik sejak beberapa tahun lalu apabila ternakan itu mula mendapat sambutan kerana dagingnya yang pejal tapi lembut dan manis, menarik perhatian penggemar daging sapi sebenar.

Dagingnya lebih sedap berbanding kerbau malah harganya agak tinggi berbanding kerbau biasa.

Berbanding harga seekor lembu antara RM1,800 hingga RM2,500 mengikut saiz namun harga seekor sapi biasanya pada paling rendah ialah RM3,000 hingga RM8,000 juga mengikut saiz badannya.

Bagi Idris, dia menolak andaian bahawa agak sukar untuk menjual ternakan itu namun yakin pasaran daging sapi akan lebih meluas sedikit masa lagi.

Di kandang hadapan rumahnya, terdapat tiga ekor induk sapi yang beratnya hampir 200 kilogram seekor menjadi tarikan pembeli.

Namun, dia tidak berhasrat menjual induk kerana baginya itulah modal untuk menjadikan baka binatang itu lebih baik.

Terdapat juga kira-kira 20 ekor anak sapi lagi yang dipeliharanya yang mampu dijual dalam tempoh tidak sampai enam bulan kerana baka sapi mampu membesar dengan cepat.

Penternak ini mengakui dalam tempoh enam bulan anak sapi mampu mencapai berat sehingga 180 kilogram seekor berbanding lembu dan kerbau.

“Ternakan ini mampu membesar dengan cepat dalam tempoh enam bulan sahaja telah mencapai sehingga 180 kilogram berbanding ternakan lain seperti lembu dan kerbau,” ujarnya.

Pun begitu, usahawan ini tidak kedekut dalam menjaga pemakanan semua ternakannya dalam menjadikan ternakan yang dipeliharanya mendapat makanan yang berzat sesuai untuk pembesaran.

Silaj atau siasa pertanian (daripada batang jagung) yang dikisar menjadi bahan makanan utama ternakan menjadi salah satu faktor ternakannya cepat membesar.

Untuk menyediakan silaj yang begitu banyak Idris mengusahakan projek tanaman jagung seluas 40 relung dengan menyewakan tanah terbiar milik penduduk kampung sekali gus menambah hasil pendapatan sampingannya setiap hari .

Imam Masjid Pantai Cicar ini tidak pernah mengalah terhadap usahanya menjadikan ternakan sapi sebagai ternakan komersial pada masa depan kerana buat masa ini masih ramai yang tidak tahu keenakan daging sapi.

”Biarlah saya ambil masa sedikit akhirnya pelanggan akan memilih daging sapi sebagai menu makanan mereka,” katanya lagi.

Selain dorongan kuat isterinya, Bariah Mat,72, dan anak-anaknya, Azhar,31,dan Mohd Fadzli,22, merekalah yang menjana perniagaan syarikat anak-beranak ini berkembang kerana masing-masing telah diberi tanggungjawab masing-masing.

Penternak ini sudah bersedia untuk menjadikan ternakan sapi yang dilakukannya secara komersial.

Hasil meningkat dengan D.I Grow

Baja D.I Grow sesuai untuk meningkatkan pengeluaran buah.


SETIAP makhluk ciptaan Tuhan memerlukan bantuan tambahan seperti vitamin dan nutrisi untuk terus hidup. Begitu juga dengan tumbuhan yang memerlukan baja untuk terus hidup sihat.

Untuk itu, pelbagai produk baja dihasilkan untuk tujuan menyuburkan tanaman dan juga meningkatkan hasil.

Terbaru, teknologi baja mesra alam, D.I.Grow dihasilkan dan merupakan produk yang sangat efektif.

Kandungan N.P.K yang tinggi sesuai untuk semua tanaman beriklim tropika mahupun tanaman beriklim sederhana sejuk.

Tinjauan ke atas pengguna yang telah menggunakan baja ini mendapati, D.I. Grow mampu meningkatkan hasil sebanyak 70 peratus hingga ke 100 peratus.

Taraf peningkatan kesihatan tanaman turut dapat dirasai.

Selain daripada menyuburkan tanaman baja D.I.Grow turut membantu memperbaiki kualiti tanah, mempertingkatkan sistem rerambut akar dan juga akar, agar dapat berfungsi membantu meningkatkan penyerapan air dan baja oleh pokok.

Selain itu ia juga merangsangkan proses pendebungaan dan mengurangkan proses pengguguran bunga dan juga putik, mempercepatkan proses kematangan pokok, manakala Acadian seaweed yang mengandungi asid amino yang tinggi dapat membantu dalam mempertingkatkan keperluan asas pokok.

Baja D.I. Grow telah dicipta dengan dua jenis produk yang berbeza. Iaitu pakej botol merah dan hijau. Kedua-dua kandungan N.P.K turut berbeza.

Bagi pakej botol hijau, kandungan nisbah N.P.K 21:21:21.

Penghasilan nisbah N.P.K sedemikian bertujuan membantu tumbuhan menerima protein, enzim, klorofil, dan vitamin yang secukupnya.

Dengan adanya agen-agen tersebut tanaman dapat hidup dengan lebih segar dan sihat serta memperbaiki mutu daun yang lebih sihat.

Hasilnya boleh dilihat daripada daun yang kelihatan hijau berkilat dan ia sesuai untuk meningkatkan hasil pengeluaran industri tanaman untuk makanan ternakan seperti napier.

Produk baja bagi botol hijau sesuai untuk pertubuhan pokok yang yang menggunakan biji benih sebagai asas.

Bagi produk baja merah pula, kandungan N.P.K agak berbeza iaitu 12:25:30.

Kajian telah membuktikan apabila petani menggunakan produk baja D.I. Grow sama ada hijau atau merah, ia menggalakkan penghasilan bunga dan buah yang lebih banyak.

Ia terbukti untuk apa juga tanaman termasuk durian, dan kelapa sawit.

Bagi kelapa sawit, saiz buah lebih besar dan lebih berat.

Perkara tersebut berlaku kerana tumbuhan tersebut telah mendapat khasiat atau nutrisi yang secukupnya daripada baja D.I. Grow.

Selain membantu menyihatkan pokok dan menggalakkan hasil tanaman, D.I. Grow turut memberi kesan kepada hasil ternakan.

Di Indonesia contohnya, petani telah mencampurkan produk baja D.I. Grow ini pada makanan ternakan.

Hasilnya ternakan tersebut kelihatan lebih sihat dan berat haiwan tersebut turut bertambah.

Waiz Kashifi puas ceburi pertanian

Oleh MERAN ABU BAKAR

Waiz Kashifi menunjukkan pokok cilinya yang setinggi 12 kaki.


MEMPUNYAI pendapatan tetap sebagai juruteknik di bahagian pembangunan dan kajian Power Train, Proton selama 17 tahun belum dapat memberi kepuasan kepada Waiz Kashifi Abdul Rauf, 34 tahun.

Jiwa lelaki ini nampaknya lebih cenderung ke arah pertanian, mendorongnya berhenti kerja.

Namun demikian, pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki dalam bidang automotif tidak dipersia-siakan apabila dia membawa ilmu tersebut ke dalam bidang pertanian.

”Dengan penggunaan teknologi seperti yang terdapat dalam sistem automotif, bdang pertanian dapat dipertingkatkan,” katanya bersemangat semasa ditemui di kebun kajiannya di Tabika Kemas, Seksyen 17, Shah Alam yang dijadikannya tempat latihan para belia dalam bidang pertanian.

Waiz Kashifi yang mengakui mempunyai sedikit pengetahuan dalam asas pertanian ketika itu sanggup mencuri masa mempelajari tentang pertanian ketika dihantar berkursus di luar negara oleh syarikatnya bekerja waktu itu.

”Apabila dihantar bertugas di luar negara seperti Australia, Sweden dan sebagainya, saya akan mengambil cuti untuk melawat ladang-ladang pertanian di sana.

”Saya tertarik dengan teknologi yang mereka gunakan dan ingin mempelajari agar disesuaikan dengan negara kita,” katanya yang pernah ke Jepun pada 2004 untuk mempelajari bidang biologi.

Di kebun, kajian ini yang hanya sebesar sekangkang kera atau pun sebesar kawasan tepi rumah teres biasa, Waiz Kashifi dilihat sibuk mengajar seramai kira-kira 20 orang belia daripada seluruh negara mengenai kaedah penanaman yang dapat memberikan hasil yang di luar jangkaan.

Lebih menarik ialah melihat sepohon pokok cili merah yang setinggi 12 kaki dan menjulang tingginya.

Pokok cili yang lebat berbuah ini menjadi tarikan sesiapa sahaja yang ke situ. Jika ingin memetik buahnya, terpaksalah anda berdiri di atas kerusi.

Selain cili tinggi itu, terdapat banyak lagi tanaman seperti cili api, rock melon, tomato, kobis, peria, limau nipis, limau kasturi, mangga, cili benggala dan pokok sayur kambas yang telah berusia lapan bulan namun masih berbuah lebat.

Menurutnya lagi, di kebun itu, belia yang datang belajar di situ akan diajar cara membuat baja, penggunaan enzim, penguraian mikro, kaedah tanaman cara sihat dan sebagainya.

”Pada masa ini terdapat seramai 60 orang pelajar daripada sekitar Selangor yang belajar di sini. Selain belia, ramai juga warga emas yang belajar di sini.

”Di sini kami mengamalkan sikap hak bersama yang mana masalah akan dikongsi bersama. Contohnya ladang adalah milik belia sementara saya mengajar mereka daripada segi teknikal.

”Selain itu adalah penting mempelajari keperluan pokok dan kita yang menanam boleh menentukan atau merancang hasil yang diingini seperti sebatang pokok cili boleh berbuah sehingga empat kilogram. Sebab itu di sini ada pokok paling tinggi dan paling rendah kerana kita boleh menentukannya.

”Di sini juga saya merawat pokok-pokok sakit yang dihantar oleh pelanggan seperti pokok anggur, cili dan sebagainya. Setelah pokok-pokok itu subur, pemiliknya akan datang mengambilnya semula,” katanya yang banyak mendapat jemputan mengajar di seluruh negara termasuk daripada institusi pengajian tinggi awam.

Katanya lagi, apa yang dilakukannya ini adalah untuk membantu belia dalam bidang pertanian agar mereka memperoleh pendapatan lumayan.

Cuma apa yang diharapkan agar usaha mereka ini mendapat sokongan daripada pihak kerajaan.