Gigih ternak sapi

WALAUPUN berusia emas, Idris Bakar tetap tekun dan sentiasa bekerja keras mengusahakan penternakan lembu, kambing dan juga lembunya di Kuala Ketil, Baling Kedah.


SEBAIK memasuki kawasan perkampungan Pantai Cicar dekat Kuala Ketil, penulis sudah mengagak mungkin kawasan yang dijadikan kawasan ternakan oleh seorang penduduk ini seperti kebanyakan kawasan ternakan lain seperti padang bola atau lebih daripada itu.

Sangkaan itu ternyata meleset kerana kawasan yang disangka itu hanyalah sekitar kawasan sebuah rumah yang penghuninya begitu berjiwa besar dan mempunyai pandangan jauh dalam dunia ternakan yang diceburinya bukan sahaja lembu, kerbau dan kambing.

Rumah besar separuh kayu ditepi permatang yang dikelilingi banyak kandang dan bangsal ternakan sudah menggambarkan bahawa untuk memperoleh pendapatan lumayan dalam bidang yang diceburinya.

Sebut sahaja nama Idris Pantai Cicar, pasti ramai penduduk dan pelanggan tempatan mengenalinya.

Di sebalik usia yang menginjak 77 tahun, Idris Bakar masih mampu mengatur perniagaan bukan sahaja membekal daging lembu, kerbau dan kambing. Terkini bapa kepada sembilan anak ini mengembangkan lagi perniagaannya dengan menternak sapi.

Melihat usianya sesiapa sahaja akan tersilap membuat andaian kerana dalam usia sebegini dia masih mampu berfikir untuk melangkah ke hadapan menjadi usahawan dalam ternakan tersebut pula.

Sudah 30 tahun Idris terlibat dalam penternakan lembu, kambing, kerbau dan terkini dia berhasrat mengenengahkan ternakan sapi.

Di Kampung Pantai Cicar Kuala Ketil,Baling ini Idris yang sudah dikenali sebagai pembekal lembu sama ada untuk kenduri kahwin atau korban telah lama menawarkan perkhidmatan tersebut kerana hasilnya agak lumayan.

Menariknya, usahawan ternak itu terpaksa menyediakan kandang khas untuk menyimpan ternakan tersebut sebelum dijual kepada pelanggan.

Idris yang pernah menjalankan usaha mengeluarkan baja vermikompos hasil dari ternakan cacing dari Australia turut menjadi perhatian beberapa jabatan kerajaan.

Antaranya Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Jabatan Pertanian kerana mampu menghasilkan baja tersebut dalam kuantiti yang banyak dan bermutu.

Sekali pun hanya seorang saudagar kecil namun dia mempunyai kepakaran dalam menghasilkan baja sehingga mampu menjadikan dirinya mentor kepada usahawan lain.

Nama Idris sudah dikenali sebagai pembimbing dan pengeluar baja daripada cacing yang bermutu tinggi dan menjadikan bidang itu sebagai tempat rujukan pengusaha baru.

Menceritakan penglibatannya dalam ternakan sapi, dia mula tertarik sejak beberapa tahun lalu apabila ternakan itu mula mendapat sambutan kerana dagingnya yang pejal tapi lembut dan manis, menarik perhatian penggemar daging sapi sebenar.

Dagingnya lebih sedap berbanding kerbau malah harganya agak tinggi berbanding kerbau biasa.

Berbanding harga seekor lembu antara RM1,800 hingga RM2,500 mengikut saiz namun harga seekor sapi biasanya pada paling rendah ialah RM3,000 hingga RM8,000 juga mengikut saiz badannya.

Bagi Idris, dia menolak andaian bahawa agak sukar untuk menjual ternakan itu namun yakin pasaran daging sapi akan lebih meluas sedikit masa lagi.

Di kandang hadapan rumahnya, terdapat tiga ekor induk sapi yang beratnya hampir 200 kilogram seekor menjadi tarikan pembeli.

Namun, dia tidak berhasrat menjual induk kerana baginya itulah modal untuk menjadikan baka binatang itu lebih baik.

Terdapat juga kira-kira 20 ekor anak sapi lagi yang dipeliharanya yang mampu dijual dalam tempoh tidak sampai enam bulan kerana baka sapi mampu membesar dengan cepat.

Penternak ini mengakui dalam tempoh enam bulan anak sapi mampu mencapai berat sehingga 180 kilogram seekor berbanding lembu dan kerbau.

“Ternakan ini mampu membesar dengan cepat dalam tempoh enam bulan sahaja telah mencapai sehingga 180 kilogram berbanding ternakan lain seperti lembu dan kerbau,” ujarnya.

Pun begitu, usahawan ini tidak kedekut dalam menjaga pemakanan semua ternakannya dalam menjadikan ternakan yang dipeliharanya mendapat makanan yang berzat sesuai untuk pembesaran.

Silaj atau siasa pertanian (daripada batang jagung) yang dikisar menjadi bahan makanan utama ternakan menjadi salah satu faktor ternakannya cepat membesar.

Untuk menyediakan silaj yang begitu banyak Idris mengusahakan projek tanaman jagung seluas 40 relung dengan menyewakan tanah terbiar milik penduduk kampung sekali gus menambah hasil pendapatan sampingannya setiap hari .

Imam Masjid Pantai Cicar ini tidak pernah mengalah terhadap usahanya menjadikan ternakan sapi sebagai ternakan komersial pada masa depan kerana buat masa ini masih ramai yang tidak tahu keenakan daging sapi.

”Biarlah saya ambil masa sedikit akhirnya pelanggan akan memilih daging sapi sebagai menu makanan mereka,” katanya lagi.

Selain dorongan kuat isterinya, Bariah Mat,72, dan anak-anaknya, Azhar,31,dan Mohd Fadzli,22, merekalah yang menjana perniagaan syarikat anak-beranak ini berkembang kerana masing-masing telah diberi tanggungjawab masing-masing.

Penternak ini sudah bersedia untuk menjadikan ternakan sapi yang dilakukannya secara komersial.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s