Ladang kontrak imbuhan petani

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan lebih 6,000 petani yang ter­babit dalam aktiviti pengeluaran sayuran dan buahan di seluruh negara mendaftar sebagai peserta ladang kontrak tahun ini.

Tahun lalu sudah ada seramai 4,240 orang berdaftar sebagai peserta dan layak menerima pelbagai bantuan dan kemudahan daripada agensi di bawah Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani (MOA) termasuk Agro Bank.

Ahli Lembaga Pengarah FAMA, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, sasaran itu dijangka dapat dicapai pada pertengahan tahun ini kerana program bagi menambah ahli dilakukan sejak akhir tahun lalu.

Menurutnya, kini projek ladang kontrak di seluruh negara membabitkan kawasan seluas 7,086 hektar dan ia dijangka bertambah dari semasa ke semasa apabila lebih banyak kemudahan disediakan agensi berkaitan.

Beliau berkata, tahun lalu pendapatan hasil aktiviti peserta ladang kontrak membabitkan jualan bunga, produk herba, sayuran dan buahan mencecah RM676 juta.

“Pahang mencatat jumlah terbesar aktiviti ladang kontrak iaitu 889 hektar diikuti Sarawak (776 hektar), Johor (689 hektar), Selangor (680 hektar) dan Terengganu (402 hektar) dan Kedah (618 hektar).

“Penyertaan petani dalam program ladang kontrak memberi peluang kepada mereka menikmati pelbagai kemudahan disediakan FAMA termasuk agensi kerajaan lain bertujuan membela nasib golongan terbabit,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata demikian dalam Majlis Taklimat Bahagian Ladang Kontrak FAMA kepada Parlimen Lipis dan Jawatankuasa UMNO Bahagian Lipis.

Turut hadir Pengarah Kanan Bahagian Ladang Kontrak FAMA, Ahadiah Mohd Khairi dan Pengarah FAMA Pahang, Ibrahim Mahmood.

Abdul Rahman berkata, pihaknya berharap pada masa akan datang lebih ramai lagi petani di negara ini mendaftar sebagai peserta ladang kontrak bagi memberikan peluang kepada mereka menikmati pelbagai kemudahan seperti menjamin pasaran dan meningkatkan pendapatan.

Menurutnya, selain pemindahan teknologi, kemudahan lain layak diterima peserta ladang kontrak adalah pinjaman modal daripada Agro Bank, subsidi input pertanian, khidmat nasihat dan kemudahan jentera.

“Menerusi Program Pengukuhan Bekalan Ladang Kontrak ke Pasar Tani (KUKUH) tahun lalu, sebanyak RM6.7 juta urus niaga berjaya dilakukan, meningkat berbanding RM3.8 juta pada 2013,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, peserta ladang kontrak yang mengalami kerugian selepas projek tanaman mereka musnah ditenggelami banjir akhir tahun lalu layak menerima bantuan FAMA.

Beliau berkata, pihaknya kini masih lagi mengumpul maklumat kemusnahan dan kerugian yang dialami.

“Saya difahamkan seramai 85 peserta ladang kontrak di beberapa daerah di Pahang yang terbabit dengan tanaman sayuran dan buahan terpaksa menanggung kerugian besar selepas kebun mereka ditenggelami banjir.

“Selain kemusnahan tanaman, pelbagai peralatan pertanian termasuk sistem pengairan turut rosak dengan kerugian antara RM20,000 hingga RM150,000,” katanya.

Katanya, bantuan yang akan diberikan kerajaan diharap dapat digunakan peserta bagi memulakan semula projek mereka.

Sumber: http://www.hmetro.com.my

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s