Fenomena kurma Yusuf Taiyoob

Yusuf membawa hampir 30 dari 200 jenis kurma dari seluruh dunia termasuk kurma madu dari Iran, Yuta, iaitu bukan sempena singkatan nama Yusuf Taiyoob.


RAMADAN sangat sinonim dengan kurma. Umat Islam disunatkan untuk berbuka puasa dengan kurma. Sebab itu ia menjadi satu kemestian ketika berbuka.

Disebabkan permintaan yang tinggi, pelbagai jenama kurma membanjiri pasaran tempatan setiap kali tiba Ramadan.

Tetapi satu jenama yang pasti terpahat diingatakan setiap rakyat negara ini ialah Yusuf Taiyoob.

Kempen pemasarannya yang agresif terutama melalui iklan di radio menyebabkan nama Yusuf Taiyoob begitu dikenali.

Ramai yang tertanya-tanya siapakan gerangan pemilik nama itu. Adakah ia sekadar jenama pada kotak kurma atau saudagar dari tanah Arab.

Yang pasti, ia bukan satu jenama baru. Kurma Yusof Taiyoob telah lama berada di pasaran negara ini.

Pemilik nama itu sendiri merupakan seorang anak tempatan yang telah 30 tahun bergelumang dan jatuh bangun dalam dunia perniagaan.

Bagi mereka yang kerap menggunakan Lebuhraya Utara Selatan menuju ke utara tanah air pasti biasa terlihat kompleks kilang miliknya di kawasan perindustrian Bukit Minyak, Seberang Prai, Pulau Pinang.

Sebuah kompleks kilang yang seluas lima hektar dengan jelas terpampang kalimah suci dua kalimah syahadah dan nama Yusuf Taiyoob Sdn Bhd di satu sudut tinggi adalah milik usahawan Datuk Yusuf Taiyoob, 51, anak kelahiran Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

Sempena Ramadan ini, seharusnya kegigihan seorang yang bernama Yusuf Taiyoob yang kini sering digelar Raja Kurma Malaysia wajar kita semua teladani dan contohi.

Malah Yusuf sendiri meminta agar kisahnya tidak sekadar dikaitkan dengan kurma untuk mengalas perut sahaja. Beliau berharap agar umat Islam lain juga turut sama terlibat dalam aktiviti pelbagai perniagaan dan bukan sekadar bermusim.

“Umat Islam mampu melebarkan jaringan perniagaan yang tidak sekadar bermusim sahaja.

“Insya-Allah kita mampu menjadi konglomerat yang mampu bertahan dan menguasai apa juga bentuk perniagaan kerana sampai bilapun perniagaan tidak akan pernah mati,” katanya.

Pada masa ini nama Yusuf cukup sinonim dengan perniagaan kurma di negara ini.

Penguasaannya dalam pasaran kurma tempatan terbukti dengan mempunyai hampir 4,000 pengedar besar dan kecil di seluruh negara.

Tetapi bagi Yusuf, masanya banyak dihabiskan di kilangnya.

Walaupun lebih dikenali kerana kurma, sebenarnya perniagaan beliau tidak terhad kepada kurma sahaja.

Terdapat hampir 200 produk lain turut diusahakan beliau dengan pasarannya meliputi seluruh negara.

Antaranya, bertih jagung yang diimport dari Argentina, madu lebah dari Iran dan sabun ayurverdik dari India.

Malah beliau turut mengimport badam dari Amerika Syarikat dan pelbagai jenis rempah dari Malawi.

Bilik sejuk yang terdapat di kilangnya di Bukit Minyak itu mampu memuatkan 7,000 tan barangan makanan pada satu-satu masa.

Simpanan dalam bilik sejuk gergasi itu turut meliputi bunga cengkih yang diimport dari Madagascar di samping lada hitam dari Vietnam.

Pelbagai rempah ratus lain turut memenuhi bilik sejuk itu termasuk buah pelaga, bunga pelaga dan kayu manis.

Yusuf memberitahu, syarikat-syarikat memproses rempah tempatan dan terkenal banyak mengambil bahan rempah daripadanya.

Jelas sekali Yusuf tidak sekadar menguasai pasaran kurma di negara ini malah pelbagai jenis produk makanan sehinggalah kepada produk jagaan kesihatan.

Gigih ternak sapi

WALAUPUN berusia emas, Idris Bakar tetap tekun dan sentiasa bekerja keras mengusahakan penternakan lembu, kambing dan juga lembunya di Kuala Ketil, Baling Kedah.


SEBAIK memasuki kawasan perkampungan Pantai Cicar dekat Kuala Ketil, penulis sudah mengagak mungkin kawasan yang dijadikan kawasan ternakan oleh seorang penduduk ini seperti kebanyakan kawasan ternakan lain seperti padang bola atau lebih daripada itu.

Sangkaan itu ternyata meleset kerana kawasan yang disangka itu hanyalah sekitar kawasan sebuah rumah yang penghuninya begitu berjiwa besar dan mempunyai pandangan jauh dalam dunia ternakan yang diceburinya bukan sahaja lembu, kerbau dan kambing.

Rumah besar separuh kayu ditepi permatang yang dikelilingi banyak kandang dan bangsal ternakan sudah menggambarkan bahawa untuk memperoleh pendapatan lumayan dalam bidang yang diceburinya.

Sebut sahaja nama Idris Pantai Cicar, pasti ramai penduduk dan pelanggan tempatan mengenalinya.

Di sebalik usia yang menginjak 77 tahun, Idris Bakar masih mampu mengatur perniagaan bukan sahaja membekal daging lembu, kerbau dan kambing. Terkini bapa kepada sembilan anak ini mengembangkan lagi perniagaannya dengan menternak sapi.

Melihat usianya sesiapa sahaja akan tersilap membuat andaian kerana dalam usia sebegini dia masih mampu berfikir untuk melangkah ke hadapan menjadi usahawan dalam ternakan tersebut pula.

Sudah 30 tahun Idris terlibat dalam penternakan lembu, kambing, kerbau dan terkini dia berhasrat mengenengahkan ternakan sapi.

Di Kampung Pantai Cicar Kuala Ketil,Baling ini Idris yang sudah dikenali sebagai pembekal lembu sama ada untuk kenduri kahwin atau korban telah lama menawarkan perkhidmatan tersebut kerana hasilnya agak lumayan.

Menariknya, usahawan ternak itu terpaksa menyediakan kandang khas untuk menyimpan ternakan tersebut sebelum dijual kepada pelanggan.

Idris yang pernah menjalankan usaha mengeluarkan baja vermikompos hasil dari ternakan cacing dari Australia turut menjadi perhatian beberapa jabatan kerajaan.

Antaranya Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Jabatan Pertanian kerana mampu menghasilkan baja tersebut dalam kuantiti yang banyak dan bermutu.

Sekali pun hanya seorang saudagar kecil namun dia mempunyai kepakaran dalam menghasilkan baja sehingga mampu menjadikan dirinya mentor kepada usahawan lain.

Nama Idris sudah dikenali sebagai pembimbing dan pengeluar baja daripada cacing yang bermutu tinggi dan menjadikan bidang itu sebagai tempat rujukan pengusaha baru.

Menceritakan penglibatannya dalam ternakan sapi, dia mula tertarik sejak beberapa tahun lalu apabila ternakan itu mula mendapat sambutan kerana dagingnya yang pejal tapi lembut dan manis, menarik perhatian penggemar daging sapi sebenar.

Dagingnya lebih sedap berbanding kerbau malah harganya agak tinggi berbanding kerbau biasa.

Berbanding harga seekor lembu antara RM1,800 hingga RM2,500 mengikut saiz namun harga seekor sapi biasanya pada paling rendah ialah RM3,000 hingga RM8,000 juga mengikut saiz badannya.

Bagi Idris, dia menolak andaian bahawa agak sukar untuk menjual ternakan itu namun yakin pasaran daging sapi akan lebih meluas sedikit masa lagi.

Di kandang hadapan rumahnya, terdapat tiga ekor induk sapi yang beratnya hampir 200 kilogram seekor menjadi tarikan pembeli.

Namun, dia tidak berhasrat menjual induk kerana baginya itulah modal untuk menjadikan baka binatang itu lebih baik.

Terdapat juga kira-kira 20 ekor anak sapi lagi yang dipeliharanya yang mampu dijual dalam tempoh tidak sampai enam bulan kerana baka sapi mampu membesar dengan cepat.

Penternak ini mengakui dalam tempoh enam bulan anak sapi mampu mencapai berat sehingga 180 kilogram seekor berbanding lembu dan kerbau.

“Ternakan ini mampu membesar dengan cepat dalam tempoh enam bulan sahaja telah mencapai sehingga 180 kilogram berbanding ternakan lain seperti lembu dan kerbau,” ujarnya.

Pun begitu, usahawan ini tidak kedekut dalam menjaga pemakanan semua ternakannya dalam menjadikan ternakan yang dipeliharanya mendapat makanan yang berzat sesuai untuk pembesaran.

Silaj atau siasa pertanian (daripada batang jagung) yang dikisar menjadi bahan makanan utama ternakan menjadi salah satu faktor ternakannya cepat membesar.

Untuk menyediakan silaj yang begitu banyak Idris mengusahakan projek tanaman jagung seluas 40 relung dengan menyewakan tanah terbiar milik penduduk kampung sekali gus menambah hasil pendapatan sampingannya setiap hari .

Imam Masjid Pantai Cicar ini tidak pernah mengalah terhadap usahanya menjadikan ternakan sapi sebagai ternakan komersial pada masa depan kerana buat masa ini masih ramai yang tidak tahu keenakan daging sapi.

”Biarlah saya ambil masa sedikit akhirnya pelanggan akan memilih daging sapi sebagai menu makanan mereka,” katanya lagi.

Selain dorongan kuat isterinya, Bariah Mat,72, dan anak-anaknya, Azhar,31,dan Mohd Fadzli,22, merekalah yang menjana perniagaan syarikat anak-beranak ini berkembang kerana masing-masing telah diberi tanggungjawab masing-masing.

Penternak ini sudah bersedia untuk menjadikan ternakan sapi yang dilakukannya secara komersial.

Ubi gadung dikomersialkan

wAKIL UniSZA, Tengku Farizan Che Ku Jusoh menunjukkan muffin yang diperbuat daripada ubi gadung yang dihasilkan oleh UniSZA, ketika pameran di Karnival Inovasi di Pusat Dagangan Terengganu baru-baru ini.


KUALA TERENGGANU 10 Ogos – Gadung? Mungkin hanya segelintir anak muda masa kini yang pernah mendengar perkataan itu dan mengetahui atau melihatnya.

Ia sejenis ubi yang lebih dikenali oleh orang-orang tua ketika mereka melalui zaman sukar dan menjadi sebutan mereka apabila mengimbau waktu silam.

Bahan beracun itu yang turut dijauhi binatang itu diolah dan diproses menjadi sajian makanan yang enak bagi menggantikan makanan ruji, namun ia bukanlah kerja yang mudah.

Di negeri Pantai Timur terutama Kelantan dan Terengganu beberapa dekad lalu, ubi yang telah diproses dan dijadikan makanan masih boleh dibeli di pasar-pasar tertentu tetapi kini sukar dicari.

Ubi gadung adalah tumbuhan liar yang mudah kedapatan di hutan-hutan kecil dan ia menjalar dan memanjat pokok-pokok lain.

Ia boleh memanjang hingga 20 meter dengan batangnya yang berduri manakala isinya membesar di dalam tanah.

Langkah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini untuk menjalankan penyelidikan menyeluruh tentang potensi tumbuhan ini untuk dikomersialkan terutamanya sebagai bahan perubatan, kecantikan dan makanan ternyata menarik perhatian.

UniSZA merupakan sebuah institusi pengajian tinggi awam di wilayah ECER yang dipertanggungjawabkan dengan beberapa Pusat Kecemerlangan termasuklah pusat produk halal wilayah dan pusat herba serta bioteknologi.

Bagi menjayakan penyelidikan itu, satu memorandum persefahaman (MoU) Program Penyelidikan Pertanian Ubi Gadung UnisZA dan kerajaan negeri ditandatangani di Wisma Darul Iman, di sini baru-baru ini.

Kerajaan negeri diwakili Setiausaha Kerajaan, Datuk Mazlan Ngah dan UnisZA pula oleh Naib Canselornya, Datuk Prof Dr. Alias Daud dengan disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Justeru tidak mustahil suatu hari kelak, orang ramai memilih tepung ubi gadung untuk membuat kuih muih, makanan ringan sebagai ganti tepung gandum atau pulut hasil daripada penyelidikan itu kelak.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said melahirkan keyakinannya bahawa ubi gadung berpotensi untuk dikomersialkan dan kerajaan bersedia memberi peruntukan RM2 juta kepada UnisZA secara berperingkat untuk meneruskan kajian terhadap tanaman tersebut selama dua tahun.

‘‘Saya difahamkan terdapat sejenis bahan di dalam kandungan ubi gadung yang dipercayai steroid di dalam bentuk gula di mana mampu menyahkan toksin di dalam badan selain menghalang pembekuan darah serta boleh dijadikan pil pencegah kehamilan. Ini sebahagian daripada potensinya.

“Setakat ini tiada perancangan penanaman secara besar-besaran, namun melalui projek perintis, ia akan ditanam secara pertanian ladang dengan kerjasama Jabatan Pertanian,” ujarnya.

Penyelidikan bakal melibatkan 10 projek utama yang diterajui oleh 20 penyelidik terdiri daripada pensyarah, pelajar pasca siswazah dan pegawai sains dari universiti itu.

Ia meliputi penyelidikan agronomi, etnobotani, morfologi, anatomi, taksonomi germplasm, pembiakbakaan, penyaringan fitokimia, pencarian kimia seni, biopesticle, teknologi in-vitro, sifat anti bakteria dan anti imflamasi, pengendalian lepas tuai, kejenteraan dan pengkormesialan.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniSZA, Prof. Dr. Abd. Manaf Ali berkata, ia sebagai usaha UniSZA dalam membantu projek huluan dan hiliran yang bakal memberi faedah secara langsung kepada penanam (huluan) dan secara tidak langsung menyediakan maklumat sokongan kepada kerajaan ke arah perkembangan tanaman dan produk baru bagi negeri ini.

Katanya, bagi tujuan peringkat awal ini, pihaknya memulakan kajian terhadap bidang agronomi iaitu kaedah penghasilan tanaman ubi gadung secara produktif.

“Jika dulu masyarakat hanya dapat menemui ubi gadung jauh di dalam hutan dan ia dapat ditemui sekali setahun iaitu pada musim hujan namun kini UniSZA dalam usaha memproduktifkan tanaman ini dengan menghasilkan tanaman itu dalam tempoh tiga hingga enam bulan sahaja melalui tambahbaik benih dan kaedah penanaman sistematik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Abd. Manaf memberitahu, semenjak kajian itu dimulakan kira-kira dua minggu lalu, penyelidikan kandungan ubi gadung itu menunjukkan ciri-ciri ‘biopesticide’ yang baik iaitu menunjukkan ia mempunyai potensi besar dalam menghasilkan racun serangga selain kegunaan untuk sumber makanan dan farmaseutikal.

“Mengikut kebiasaannya, ubi ini yang diricis perlu direndam selama tiga hari di dalam air yang mengalir iaitu seperti air sungai bagaimanapun ia mengambil masa terlalu lama bagi pengusaha produk makanan jika mahu memproses ubi ini untuk dijadikan produk makanan,” ujarnya.

Justeru itu, UniSZA akan mengkaji secara mendalam tentang kaedah yang lebih baik menggunakan teknologi moden seperti membuat kajian untuk sekilogram ubi itu perlu melibatkan berapa banyak air dan berapa banyak toksin daripada ubi itu dapat dinyahkan.

“Dalam menjayakan usaha itu, kita telah mempunyai makmal sedia ada kira-kira empat tahun lalu iaitu yang terletak di UniSZA Kampus Kota dengan kos RM14 juta di mana ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden.

“Selain itu, kita juga mendapat sokongan daripada wilayah ECER yang telah dipertanggungjawabkan dengan pembinaan Pusat Kecemerlangan termasuk peruntukan sebanyak RM500,000 untuk Pusat Produk Halal Wilayah dan Pusat Herba dan Bioteknologi,” ujarnya.

Hasil meningkat dengan D.I Grow

Baja D.I Grow sesuai untuk meningkatkan pengeluaran buah.


SETIAP makhluk ciptaan Tuhan memerlukan bantuan tambahan seperti vitamin dan nutrisi untuk terus hidup. Begitu juga dengan tumbuhan yang memerlukan baja untuk terus hidup sihat.

Untuk itu, pelbagai produk baja dihasilkan untuk tujuan menyuburkan tanaman dan juga meningkatkan hasil.

Terbaru, teknologi baja mesra alam, D.I.Grow dihasilkan dan merupakan produk yang sangat efektif.

Kandungan N.P.K yang tinggi sesuai untuk semua tanaman beriklim tropika mahupun tanaman beriklim sederhana sejuk.

Tinjauan ke atas pengguna yang telah menggunakan baja ini mendapati, D.I. Grow mampu meningkatkan hasil sebanyak 70 peratus hingga ke 100 peratus.

Taraf peningkatan kesihatan tanaman turut dapat dirasai.

Selain daripada menyuburkan tanaman baja D.I.Grow turut membantu memperbaiki kualiti tanah, mempertingkatkan sistem rerambut akar dan juga akar, agar dapat berfungsi membantu meningkatkan penyerapan air dan baja oleh pokok.

Selain itu ia juga merangsangkan proses pendebungaan dan mengurangkan proses pengguguran bunga dan juga putik, mempercepatkan proses kematangan pokok, manakala Acadian seaweed yang mengandungi asid amino yang tinggi dapat membantu dalam mempertingkatkan keperluan asas pokok.

Baja D.I. Grow telah dicipta dengan dua jenis produk yang berbeza. Iaitu pakej botol merah dan hijau. Kedua-dua kandungan N.P.K turut berbeza.

Bagi pakej botol hijau, kandungan nisbah N.P.K 21:21:21.

Penghasilan nisbah N.P.K sedemikian bertujuan membantu tumbuhan menerima protein, enzim, klorofil, dan vitamin yang secukupnya.

Dengan adanya agen-agen tersebut tanaman dapat hidup dengan lebih segar dan sihat serta memperbaiki mutu daun yang lebih sihat.

Hasilnya boleh dilihat daripada daun yang kelihatan hijau berkilat dan ia sesuai untuk meningkatkan hasil pengeluaran industri tanaman untuk makanan ternakan seperti napier.

Produk baja bagi botol hijau sesuai untuk pertubuhan pokok yang yang menggunakan biji benih sebagai asas.

Bagi produk baja merah pula, kandungan N.P.K agak berbeza iaitu 12:25:30.

Kajian telah membuktikan apabila petani menggunakan produk baja D.I. Grow sama ada hijau atau merah, ia menggalakkan penghasilan bunga dan buah yang lebih banyak.

Ia terbukti untuk apa juga tanaman termasuk durian, dan kelapa sawit.

Bagi kelapa sawit, saiz buah lebih besar dan lebih berat.

Perkara tersebut berlaku kerana tumbuhan tersebut telah mendapat khasiat atau nutrisi yang secukupnya daripada baja D.I. Grow.

Selain membantu menyihatkan pokok dan menggalakkan hasil tanaman, D.I. Grow turut memberi kesan kepada hasil ternakan.

Di Indonesia contohnya, petani telah mencampurkan produk baja D.I. Grow ini pada makanan ternakan.

Hasilnya ternakan tersebut kelihatan lebih sihat dan berat haiwan tersebut turut bertambah.