Pokok gaharu makin pupus

GERIK 22 Julai – Hutan Royal Belum (Royal Belum) yang merupakan antara hutan hujan tropika tertua di dunia, mungkin akan lenyap jika tiada usaha bersungguh-sungguh dilakukan oleh pihak berkuasa bagi melaksanakan pemuliharaannya.

Keghairahan orang ramai menceroboh kawasan itu secara berleluasa semata-mata untuk mencuri khazanah di hutan tersebut kini semakin membimbangkan.

Hakikatnya, hutan yang berusia ratusan juta tahun ini dahulunya bukan sahaja kaya dengan hidupan seperti gajah, harimau, rusa, kijang, seladang, pelanduk selain spesies ikan kelah, tengas, tengalan dan sebarau malah menjadi kawasan pokok-pokok gaharu untuk hidup meliar.

Malangnya hari ini, amat jarang untuk pengunjung menyaksikan kelibat binatang-binatang liar tersebut selain ikan-ikan juga semakin berkurangan di kebanyakan sungai kawasan itu.

Apa yang lebih membimbangkan ialah aktiviti penjualan gaharu dilakukan secara terbuka seolah-olah ia bukan menjadi satu kesalahan.

Seorang penduduk Orang Asli dari Kuala Rengat dekat sini, Abot Ali, 40, mengakui, dia merupakan antara penjual gaharu yang aktif di kawasan tersebut sebelum ini tetapi kini tidak lagi.

‘‘Dulu memang senang mencari gaharu, tak payah pergi jauh-jauh. Jalan lebih kurang setengah jam dah jumpa.

‘‘Sekarang jalan sehari suntuk pun payah nak jumpa, dah habis kena tebang oleh orang Siam,” dakwanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Kata Abot yang mendakwa dirinya sebagai penghulu, banyak pokok gaharu dalam hutan telah ditebang orang luar termasuk warga asing.

Mereka katanya, menggunakan mesin bagi memudahkan kerja-kerja yang dijalankan selain cekap menggelakkan kegiatan dikesan oleh orang lain.

Seorang lagi Orang Asli yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Ngah, 50, berkata, disebabkan pendapatan hasil menjual kayu gaharu semakin berkurangan, dia kini melakukan pekerjaan lain untuk menampung hidup.

‘‘Kalau nak harapkan duit jual gaharu sekarang ini, saya dan keluarga mati tak makan,” katanya.

Pak Ngah mendakwa, usahanya meredah bukit untuk mencari gaharu selalunya sia-sia kerana pokok-pokok itu telah ditebang oleh orang lain.

‘‘Saya tak mahu lagi pergi naik bukit turun bukit nak cari pokok gaharu sedangkan pokok-pokok tersebut sudah tak ada lagi, orang sudah ambil semua yang tinggal hanya tunggul-tunggul sahaja,” katanya.

Menurut Pak Ngah lagi, dia kini mula menanam pokok-pokok getah bagi menggantikan kerja mencari gaharu.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Kerunai di sini, Rasli Dolah Ahmad, 48, berkata, adalah tidak tepat jika ada pendapat yang mengatakan pokok-pokok gaharu akan pupus di Royal Belum akibat tindakan pencerobohan.

Dakwanya, pencari gaharu tidak menebang pokok-pokok gaharu sesuka hati sebaliknya hanya memilih pokok yang mempunyai damar sahaja.

‘‘Pada kebiasaan pokok gaharu yang cacat atau tidak subur batang pokoknya itulah yang mempunyai damar,” katanya.

Utusan Malaysia difahamkan, gaharu dijual kepada orang tengah atau pembeli berdasarkan gred dengan harganya mampu mencecah sehingga RM30,000 sekilogram bagi gred A.

Tinjauan mendapati, aktiviti penjualan gaharu bebas dilakukan di sekitar kawasan ini tanpa wujud pemantauan oleh pihak-pihak berkuasa seolah-olah ia suatu aktiviti yang dibenarkan

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s