![]() |
Shafie Mustafa menunjukkan bungkusan belacan yang siap untuk dipasarkan di Kampung Jeruju, Jerlun, baru baru ini.
|
JERLUN 12 Julai – Keputusan seorang nelayan dari Kampung Jeruju di sini untuk mempelajari cara-cara membuat belacan daripada seorang kenalannya kira-kira 15 tahun lalu berbaloi apabila ia mengubah kehidupan keluarganya.
Jika sebelum itu Shafie Mustafa, 56, menyara hidup keluarganya dengan pendapatan sebagai seorang nelayan, kini perusahaan belacan menjadi mata pencarian utama mereka.
Menurut Shafie, segalanya bermula pada 1995 apabila dia membuat keputusan untuk mempelajari teknik-teknik menghasilkan bahan penyedap makanan itu daripada seorang pakar pembuat belacan tradisonal yang juga bapa mertua kepada adiknya.
Katanya, demi memastikan hasratnya menjadi kenyataan, dia tinggal di rumah ‘gurunya’ itu di Langkawi selama sebulan bagi mendapatkan kemahiran yang diperlukan.
“Apabila pulang ke kampung, saya cuba membuat sendiri belacan dan syukur kerana ia berhasil. Sejak itu belacan yang dihasilkan oleh keluarga saya mula dikenali,” katanya ketika ditemui di Kampung Jeruju yang popular dengan program inap desa di sini baru-baru ini.
Ada yang beranggapan proses membuat belacan kelihatan mudah tetapi jika tidak kena pada gayanya ia boleh berkulat dan tidak tahan lama serta tidak sedap.
Menurut Shafie, tempoh masa selama tiga hari diperlukan bagi menghasilkan belacan yang berkualiti tinggi selain faktor cuaca turut memainkan peranan penting dalam proses berkenaan.
Katanya, semua proses menghasilkan produk keluarannya yang dikenali dengan jenama ‘Belacan Jeruju’ itu dilakukan sendiri oleh ahli keluarganya iaitu daripada mendapatkan bekalan udang sehingga kepada pembungkusan.
Dia memberitahu, dengan bantuan seorang anak lelakinya, Azizan, 25, mereka akan bergilir-gilir turun ke laut bagi menangkap udang geragau yang merupakan bahan utama untuk membuat belacan.
”Jika sukar memperoleh udang baru kami akan membelinya daripada orang lain untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi,” katanya yang mempunyai empat anak berusia antara 14 tahun dan 30 tahun.
Setelah membawa pulang hasil tangkapan udang, jemuran peringkat pertama dilakukan dengan diawasi oleh isterinya, Harisun Ishak, 52.
Proses seterusnya, kata pengusaha bimbingan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) itu, memilih udang dan mengasingkan bahan lain dibuat sebelum penjemuran peringkat kedua dijalankan.
“Setelah selesai dijemur, udang tersebut akan ditumbuk sehingga lumat. Kebiasaannya kami akan menumbuk udang menggunakan cara tradisional jika jumlahnya sedikit. Mesin pengisar akan digunakan jika ia melebihi 100 kilogram,” katanya.
Menurut taukeh belacan itu, kerja-kerja membentuk kepada saiz yang besar dilakukan dan disimpan sebelum proses pembentukan kepada saiz yang bersesuaian serta pembungkusan produk bagi tujuan pemasaran.
Kertas minyak dan surat khabar akan digunakan bagi proses pembungkusan belacan seberat 500 gram yang dipasarkan kepada penduduk sekitar.
Produk seberat 200 gram pula dibungkus dengan kertas minyak dan dimasukkan ke dalam plastik pembungkusan berlabel dan standard yang dibekalkan oleh MADA bagi pasaran luar.
Shafie memberitahu, perusahaan keluarganya itu menghasilkan kira-kira 1,200 keping belacan pelbagai saiz sebulan atau purata 40 keping sehari.
Belacan Jeruju mendapat permintaan tinggi daripada penduduk sekitar selain ditempah oleh pelbagai pihak yang menggemari produk tradisi dihasilkan oleh Shafie itu.
“Boleh dikatakan sesiapa yang pernah merasa belacan buatan saya pasti mahukannya lagi,” katanya yang menjalankan perusahaan tersebut di rumahnya di kampung berkenaan.
Mengenai perancangan masa depan, Shafie berhasrat mengembangkan lagi perusahaan keluarganya itu termasuk meluaskan pasaran selain memiliki bengkel sendiri yang serba lengkap bagi memusatkan operasi hanya di satu tempat.
Dia percaya permintaan terhadap belacan akan terus meningkat kerana ia merupakan antara bahan penyedap makanan yang amat digemari dan penting dalam sesetengah masakan.
“Pastinya tidak lengkap sesuatu masakan itu seperti sambal tumis, asam pedas atau kuah laksa tanpa dicampur belacan. Bahan inilah yang membangkitkan selera,” katanya.