KUALA LUMPUR 12 Julai – Para pengusaha ternakan burung walit di seluruh negara perlu mendaftarkan aktiviti mereka apabila garis panduan bagi mengawal selia industri itu dikuatkuasakan tidak lama lagi selepas diluluskan Kabinet Jumaat lalu.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, Garis Panduan Pembangunan Industri Burung Walit Negara akan dibentangkan pada mesyuarat Majlis Negara Mengenai Kerajaan Tempatan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Garis panduan yang pertama di dunia ini akan membolehkan lebih 50,000 premis rumah burung di negara ini termasuk di Sabah dan Sarawak didaftarkan dengan Jabatan Perkhidmatan Haiwan sebelum dilesenkan oleh pihak berkuasa tempatan yang berkenaan.
“Antara lain ia bertujuan mengatasi masalah bau, bunyi dan risiko penyakit selain memastikan pembangunan industri itu yang dianggar bernilai RM5 bilion pada 2015, dijalankan secara teratur,” katanya pada sidang akhbar mengenai panduan dan peraturan ternakan burung walit di sini hari ini.
Menurutnya, garis panduan tersebut perlu dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat itu agar ia tidak menyebabkan pengusaha burung walit berasa tidak selesa.
“Para pengusaha sudah menjalankan perniagaan ini berpuluh-puluh tahun, jadi kita tidak mahu peraturan ini nanti akhirnya menyusahkan rakyat,” katanya.
Noh berkata, selain memastikan pembangunan industri itu berjalan lancar dan teratur, ia juga mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan terutamanya yang berada di desa.
Katanya, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM4.5 juta bagi memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah menceburi bidang tersebut.
“Mereka yang ingin menceburi bidang ini boleh membuat pinjaman melalui Agro Bank dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN),” ujarnya.
Menurutnya, Jabatan Perkhidmatan Haiwan telah membangunkan sistem pendaftaran premis penternakan itu melalui laman web www.burungwalit.com.my yang boleh diakses bermula hari ini.