Gula apong Sarawak popular

Produk diusaha secara tradisional oleh generasi tua dapat pasaran tinggi tetapi pengusaha tak mampu penuhi permintaan

ASAJAYA: Jika Melaka terkenal dengan gula Melaka atau gula merah, Sarawak pula terkenal dengan gula apong, yang juga hampir menyerupai gula merah.

Bezanya, gula Melaka dihasil menggunakan nira pokok kelapa, sedangkan gula apong dihasil menggunakan nira pokok nipah, yang sememangnya banyak di Sarawak.

Pokok Nipah adalah sejenis palma yang tumbuh di lingkungan hutan bakau atau daerah pasang-surut dekat tepi laut, juga dikenali sebagai buyuk di Indonesia.

Di Sarawak, daun nipah juga dimanfaat secara tradisional sebagai atap, dinding, tikar kajang, topi dan aneka keranjang anyaman. Satu masa dulu di Indonesia, pucuk daun nipah muda dijadikan daun rokok dan amalan itu turut diikuti masyarakat di Sarawak.

Penggunaan gula apong oleh penduduk tempatan pula sangat popular sebagai bahan untuk membuat pelbagai jenis kuih muih tradisional masyarakat Sarawak dan ia juga dijadikan perisa bagi menambah kelazatan sesuatu makanan atau masakan.

Selain itu, gula berkenaan dipercayai mempunyai kelebihan untuk mengelak serta mengurangkan penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Antara kampung yang terbabit dalam menghasilkan gula apong di Sarawak ialah Kampung Tanjoi dalam Daerah Asajaya. Ini berikutan terdapat banyaknya pokok nipah yang menjadi bahan mentah utama bagi menghasilkan gula berkenaan, di sepanjang tebingan sungai di kampung terbabit.

Bagaimanapun rata-rata pengusaha gula apong di kampung itu menggunakan kaedah tradisional dalam menghasilkan produk berkenaan, yang sekali gus menyebabkan kapasiti pengeluaran terhad dan tidak dapat memenuhi peningkatan permintaan.

Lebih membimbangkan, pengusaha gula apong di kampung terbabit juga hanya terdiri daripada golongan tua, sedang golongan muda tidak berminat mewarisi kepakaran berkenaan.

Seorang pengusaha gula apong sepenuh masa di kampung Tanjoi, Mohamad Bengoh, 62, berkata beliau menjalankan perusahaan itu sejak 20 tahun yang lalu.

Katanya, gula apong adalah gula yang dihasilkan daripada air nira nipah juga dikenali sebagai air sadap oleh penduduk di Sarawak dan ia diperoleh daripada batang dan mayang pokok nipah.

Bapa kepada dua anak ini berkata, proses penghasilan gula apong sangat rumit kerana ia memerlukan kesabaran dan ketabahan pengusaha.

Beliau mewarisi kepakaran menghasilkan gula apong daripada bapanya, dan ia adalah sumber pendapatan keluarganya sejak dulu lagi.

“Pendapatan bulanan saya hasil daripada penjualan gula apong adalah sekitar RM800 hingga RM1,500 sebulan. Dengan pendapatan inilah saya menanggung perbelanjaan keluarga,” katanya ditemui di lokasi pemprosesan gula apong di Kampung Tanjoi.

Mohamad berkata, pada jam 3 petang setiap hari beliau akan menadah air sadap menggunakan bekas buluh dengan meletakkannya di setiap batang pokok nipah dan membiarkannya semalaman untuk memastikan bekas buluh tadi penuh.

Pada keesokan harinya seawal jam 7 hingga 9 pagi, beliau melakukan kerja mengambil air sadap.

“Apabila selesai mengambil air sadap daripada buluh berkenaan, air sadap itu seterusnya di masak menggunakan kawah besar dan mengambil masa selama kira-kira lima hingga enam jam. Ia perlu digaul supaya masak sepenuhnya.

“Selalunya saya hanya dapat menghasilkan sekitar 15 hingga 20 kilogram gula apong sehari,” katanya.

Mohamad berkata, gula apongnya akan diambil oleh seorang pemborong dua atau tiga kali seminggu, dengan harga RM2.40 sekilogram.

Sementara itu, Pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Bahagian Samarahan, Kemin Rantap, berkata gula apong adalah satu produk eksotik Sarawak yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak, memandangkan ia mempunyai rasa yang sedap dan berbeza daripada gula lain.

Beliau berkata, permintaan gula apong sebenarnya tinggi, tetapi perusahaan itu kurang diminati dan hanya dijalankan oleh golongan berusia.

Mengakui proses membuat gula apong agak sukar dan memerlukan kesabaran, beliau berkata, sebenarnya pihak Fama ada cadangan menyediakan pondok kecil untuk membuat gula apong kepada pengusaha terbabit.

Bagaimanapun hasrat itu terpaksa dibatalkan kerana pengusaha berpendapat ia tidak begitu praktikal memandangkan proses membuat gula apong tidak tetap di satu-satu tempat saja.

Justeru buat sementara waktu, Fama hanya menyediakan bekas bagi meletakkan gula apong, selain membantu pengusaha meluaskan pemasaran terhadap gula berkenaan ke pasaran luar daerah ini.

Kemin berkata, permintaan gula apong semakin meningkat dari semasa ke semasa dan bagi membantu menggalakkan pengusaha terbabit dalam industri itu, pihaknya akan membantu dari segi pemasaran serta pembungkusan gula apong.

Antara Januari hingga April lalu, Fama sudah mengambil sebanyak 21,904.65 kilogram gula apong daripada pihak pemborong untuk pasaran dalam negeri, selain turut menghantar gula berkenaan untuk pasaran ke Brunei.

Bagaimanapun, penghantaran gula apong ke Semenanjung agak sukar dilaksanakan kerana bekalan sekarang hanya mencukupi bagi menampung pasaran dalam negeri saja, selain sedikit dihantar ke Brunei.

Justeru beliau berpendapat sudah sampai masanya pihak tertentu seperti Fama, Jabatan Pertanian Negeri Sarawak dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) menjalankan kajian mendalam mengenai perusahaan gula apong, selari dengan potensi gula berkenaan sebagai satu identiti produk Sarawak.

Mungkin satu hari nanti gula apong boleh dijadikan ‘signature product’ atau produk tersohor bagi Bumi Kenyalang.

6 thoughts on “Gula apong Sarawak popular

  1. Kampung Tajo kot..atau Kpg Tanjung Apong ..kpg saya. FAMA ada buat tempat packaging gula apong di FAMA centre..tp saya tengok ada kelemahan. Mereka bercadang membeli secara pukal dari pembuat dan repack menggunakan machine auto-filling.

    Saya dapati ia takkan berjaya sbb quality gula apong berbeza mengikut pembuat. Cara yang betul..beli air nira terus dan masak di FAMA Centre dan pack.

    • Air nira sebaiknya dimasak terus setelah dikumpul bagi mengekalkan kualitinya.. lagipun mungkin ada penipuan jika pembekal mencampurkan air nira tersebut dengan air biasa.

  2. saya ingin buat penyelidikan tahun akhir mengenai gula apong dan dimanakah saya boleh dapatkan maklumat atau tempat kajian yang perlu saya pergi ?

  3. Sumber pendapatan penduduk kpg Tanjung Apong adalah gula apong.Quality gula apong banyak dipengaruhi oleh keadaan air sadap ( air tuak) sama ada masam atau manis ..bergantung kepada cuaca. Kelambatan memprocess air sadap juga mengurangkan kualiti gula apong.Air sadap ( nama lain, air tuak@nira (semenanjung)),bila di masak pada masa dan suhu tertentu, ia berubah menjadi air Gilang ( Air gula), ia tak akan basi dan sesuai untuk membuat kuih Penyaram. Dan bila dimasak seterusnya , ia akan membeku ( process penghabluran) menjadi Gula Apong

    Air Sadap juga , bila diperam akan menjadi cuka nipah . Cuka menpunyai khasiat yang amat banyak untuk menyucian usus baik untuk kesihatan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s