Penghasilan tiram cepat, berkualiti tinggi

BENARKAH makanan laut seperti tiram semakin mendapat sambutan di kalangan penggemarnya di negara ini?

Sekiranya benar, maka kejayaan pensyarah Pusat Pengajian Samudera dan Pantai, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Zulfigar Yasin yang menghasilkan `Sistem Meningkatkan Pertumbuhan Industri Akuakultur’ merupakan berita baik kepada mereka.

Permintaan ke atas tiram segar di negara ini semakin meningkat dan semakin popular.

Bagaimanapun, bekalan tiram segar yang didapati di negara kita kebanyakannya berasal dari negara luar. Para penggemar tidak menyedari bahawa tiram segar tempatan mempunyai rasa dan tekstur yang lebih baik ataupun setanding dengan tiram import.

Penghasilan tiram yang berkualiti tinggi telah diusahakan di USM dan kini telah mencapai peringkat yang boleh dibanggakan.

Kajian yang dijalankan oleh sepasukan penyelidik diketuai oleh Dr. Zulfigar selama lapan tahun menghasilkan kejayaan membanggakan dan ia antara lain dibantu oleh beberapa faktor.

Antaranya ialah sektor akuakultur atau ternak air yang begitu berkembang di negara di mana banyak tempat yang sesuai untuk menjalankan aktiviti tersebut.

Bagaimanapun menurut Dr. Zulfigar, beberapa masalah dihadapi menyebabkan aktiviti tersebut masih gagal untuk mencapai satu kualiti yang mampu bersaing di pasaran.

Masalah tersebut katanya, berpunca daripada sistem penternakan yang kurang sesuai dan meniru sistem yang diamalkan di negara Barat.

“Cara yang diamalkan di negara luar kurang sesuai kerana ia mengambil kira keadaan iklim di sana,” katanya.

Justeru kata beliau, kajian yang dijalankannya bertujuan mengubahsuai sistem yang ada sekarang dengan mengambil kira iklim dan ciri-ciri geografi tempatan.

“Pada masa yang sama hasil tiram dapat ditingkatkan empat kali ganda berbanding negara luar,” katanya.

Ini kerana katanya, ternakan tiram di negara luar seperti Amerika Syarikat, Kanada, Australia, New Zealand dan Jepun akan mencapai saiz pasaran dalam tempoh antara tiga dan empat tahun tetapi sistem yang beliau perkenalkan hanya mengambil masa setahun untuk matang.

Beliau berkata, sistem yang diamalkan mempunyai beberapa kelebihan lain iaitu tidak menggunakan bahan kimia berbahaya atau manipulasi transgenetik. Justeru ia mengurangkan kos. Tiram yang diternak lebih cepat matang, berkualiti tinggi dan mempunyai tekstur yang unik.

“Apabila ia cepat matang, maka kita mampu memenuhi banyak permintaan pada bila-bila masa,” katanya.

Selain itu, saiz tiram yang dihasilkan adalah sama dan memenuhi kehendak pasaran antarabangsa.

Beliau berkata, sekiranya ternakan tiram mengeluarkan saiz yang berbeza-beza apabila matang, ia sebenarnya mengeluarkan hasil yang tidak berkualiti.

Katanya, saiz terbaik apabila tiram mencapai peringkat matang ialah antara 8 cm dan 10 cm.

Menurut Dr. Zulfigar, antara punca kos pengeluaran lebih murah ialah tiram yang sudah mencapai peringkat matang tidak perlu lagi diberi makanan.

Oleh kerana itu katanya, kawasan penternakan lebih bersih tanpa berlaku pencemaran air yang biasanya berpunca daripada pemberian makanan buatan.

“Dalam penternakan ikan, makanan masih diberikan walaupun ikan sudah mencapai peringkat matang tetapi menerusi sistem ini, tiram tidak lagi diberi makanan,” katanya.

Justeru katanya, sistem ini boleh dijalankan di mana-mana kawasan rekreasi berasaskan air.

Menurut Dr. Zulfigar, pengeluaran tiram pada masa ini hanya mampu memenuhi 12 peratus daripada permintaan tempatan yang bernilai kira-kira RM21 juta, manakala bakinya diimport.

Beliau berkata, bekalan benih tiram juga boleh diperoleh pada bila-bila masa tanpa mengambil kira musim atau bulan tertentu seperti yang diamalkan sebelum ini.

Sebelum ini katanya, bekalan benih diperoleh daripada kawasan bakau dan menyukarkan penternak mendapatkan bekalan secara tetap dan berterusan.

“Dengan mendapatkan bekalan benih daripada kawasan bakau, ia merosakkan alam sekitar kerana penternak terpaksa menebas hutan bakau.

“Sekarang (dengan sistem ini) benih boleh diperoleh tanpa mengira musim dan pengeluaran pula dijalankan dalam makmal saintifik,” katanya.

Benih yang dihasilkan juga lebih bebas daripada penyakit atau parasit dan menepati spesifikasi yang dikehendaki.

Dr. Zulfigar berkata, kajiannya yang dijalankan bersama Dr. Aileen Tan Shau Hwai mengambil kira faktor biologi, ekologi, tabiat makan dan pertumbuhan spesies tersebut. Spesies yang diternak Crasostrea belcheri dan Crasostrea iredalei adalah mengikut kajian in situ iaitu habitat asal tiram.

Katanya, pemerhatian dibuat sejak kajian dimulakan lapan tahun lepas bagi memerhati faktor-faktor tersebut dan bagaimana pengubahsuaian dibuat supaya tahap pertumbuhannya lebih cepat.

Ternakan yang dijalankan di Stesen Penyelidikan Marin Muka Head di Teluk Bahang, Pulau Pinang menggunakan kaedah sangkar terapung. Katanya, kadar kematian tiram adalah rendah iaitu antara 10 dan 15 peratus dan ini membolehkan mereka yang mengusahakan ternakan ini memperoleh keuntungan.

Menurutnya ciri-ciri yang sesuai bagi penternakan tiram ialah tahap kemasinan air antara 25 dan 35, suhu antara 28 hingga 32 darjah Celsius dan pH antara 6 dan 7.

Tiram merupakan haiwan akuatik yang makan secara tapis atau filter feeding. Makanan utamanya ialah plankton atau mikroorganisma air.

Menurut Dr. Zulfigar, tiram yang matang berharga RM1 seekor di pasaran tetapi hasil ternakan yang dikeluarkan melalui sistem ini boleh mencapai sehingga RM18 seekor disebabkan kualitinya yang terbaik.

One thought on “Penghasilan tiram cepat, berkualiti tinggi

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s