Keistimewaan lintah dalam dunia perubatan

SEPANJANG kerjayanya sebagai pakar bedah plastik dan rekonstruktif, di Columbia, Dr. Matthew Concannon tidak akan lupa salah satu sejarah yang tercipta enam tahun lalu.

Beliau telah berusaha untuk menyambung sebahagian telinga seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang terputus akibat digigit oleh seekor anjing pelatih.

Ini merupakan kes ketiga yang dilaporkan di mana telinga seorang kanak-kanak disambungkan melalui pembedahan mikro.

Menurut Concannon, prosedur yang mengambil masa selama empat jam itu terlalu rumit. Selain saiz pembuluh darah yang terlalu halus, koyakan yang berlaku pada telinga menyebabkan kerja-kerja mencantum semula telinga tersebut semakin mencabar.

Sejurus selepas pembedahan selesai dilakukan, Concannon menggunakan lintah bagi membolehkan aliran darah terbentuk semula.

Dalam tempoh seminggu, lebih 50 ekor lintah telah digunakan. Hasil yang diperoleh begitu menakjubkan.

“Lintah yang digunakan berjaya menyedut sejumlah darah beku bagi membolehkan darah mengalir selepas pembedahan yang rumit.

“Jika darah-darah ini tidak disedut keluar, ia akan masuk semula dan keadaan ini lebih serius seolah-olah seperti tiada darah baru yang mengalir,” jelasnya.

Sukar dipercayai. Tetapi itulah sebahagian sumbangan dan jasa yang cukup besar lintah dalam dunia perubatan.

Spesies yang sinonim dengan `drakula’ ini telah banyak menyelamatkan anggota tubuh yang dipotong melalui pembedahan. Justeru, menyedari kepentingannya ini, Concannon `menternak’ lintah sebagai persediaan pada bila-bila masa ia diperlukan.

Pengarah Hospital Universiti dan Klinik dan pakar tangan dan pembedahan mikro itu menjelaskan, `lintah perubatan’ itu terlalu bernilai.

Menurut beliau, lintah dianggap aset paling penting kepada pakar-pakar bedah plastik dan rekonstruktif di negaranya.

“Lintah dapat membantu mengekalkan aliran darah kepada tisu-tisu yang dipindahkan dan bahagian-bahagian tubuh yang dilekatkan semula,” katanya.

Peranan lintah dalam dunia perubatan sebenarnya telah diamalkan sejak ratusan tahun yang lalu. Biasanya, ia digunakan untuk menghilangkan rasa sakit dengan mekanisme menghisap darah.

Bagaimanapun, perkembangan ubat-ubatan moden menenggelamkan `kehebatan’ dan sumbangan lintah dalam dunia perubatan.

Pada abad ke-19, lintah digunakan secara meluas oleh pakar-pakar perubatan dan tukang gunting rambut untuk proses pembekaman. Amalan berbekam ini, dipercayai sebagai penyembuh banyak jenis penyakit dari hujung rambut hingga ke hujung tapak kaki. Ini termasuklah sakit kepala hinggalah gout.

Namun, lama-kelamaan, amalan ini semakin dilupakan. Bagaimanapun, trend menggunakan lintah perubatan semakin mendapat tempat dalam tempoh empat dekad lalu.

Terbaru, saintis Jerman melaporkan, penggunaan lintah amat berkesan untuk mengurangkan rasa sakit dan kekejangan di kalangan pesakit yang menghadapi masalah radang sendi pada lutut (artritis).

Dalam perubatan moden, penggunaan lintah hanya terhad bagi merawat masalah darah beku selepas pembedahan.

Penemuan terbaru yang dilaporkan di Annals of Internal Medicine mendedahkan air liur lintah mengandungi sejenis bahan antiradang dan lain-lain bahan kimia.

Menurut Dr. Gustav J. Dobos dari Klinik Essen-Mitte, Jerman, bahan-bahan ini dipercayai dapat mengurangkan gejala-gejala artritis. Lintah-lintah tersebut diletakkan pada bahagian lutut yang sakit, dibiarkan selama 70 minit hinggalah lintah tersebut tertanggal daripada kulit.

Selepas tujuh hari pesakit menerima rawatan, kesannya cukup menakjubkan. Pesakit yang mendapat terapi lintah lebih baik berbanding rawatan konvensional terutama dari aspek kurang rasa sakit.

Dalam makmalnya, Concannon menyimpan antara dua hingga tiga dozen lintah sebagai persediaan.

“Apabila saya memerlukan seekor, saya memerlukannya pada masa itu juga dan tidak boleh menunggunya berjam-jam,” katanya.

Lintah-lintah ini dibiarkan berada dalam akuarium yang diisi dengan air suling. Mereka juga diberi makanan yang dibuat khas untuk mereka yang ditambah dalam tangki tersebut.

Lintah-lintah ini tidak dibenarkan menghisap darah manusia atau apa juga produk-produk darah sebelum digunakan bagi mengelakkan pencemaran kepada pesakit.

Menurut Concannon, tujuan utama penggunaan lintah ialah melancarkan aliran darah. Kelebihan teraputik yang diperoleh daripada lintah ini terbahagi kepada dua.

Pertama, jumlah darah yang dikeluarkan semasa proses menghisap dan setiap gigitan darah akan meleleh hingga satu jam selepas lintah-lintah tersebut jatuh dengan sendirinya.

Keadaan ini, secara tidak langsung membolehkan anggota tubuh yang digigit itu terus hidup.

Bagaimanapun, sebelum prosedur ini dilakukan, Concannon akan melakukan beberapa ujian kepada pesakit bagi memastikan mereka benar-benar mengalami kesesakan vena.

“Saya hanya menggunakan lintah sebagai alternatif terakhir apabila kesemua kaedah teknikal telah dilakukan tetapi pesakit masih mempunyai masalah,” ujarnya.

Apabila terapi ini dimulakan, ia akan diteruskan sehingga pembuluh darah baru terbentuk secukupnya di sekeliling tisu-tisu terbabit.

Begitu juga dengan jumlah lintah yang digunakan. Ia banyak bergantung kepada keadaan penyumbatan dan tempoh impaknya pada penyumbatan tersebut.

Prosedur ini sebetulnya tidak sedikit pun menyakitkan pesakit kerana fungsi sebahagian saraf pada anggota terbabit semakin menurun.

“Kedua, air liur lintah-lintah tersebut mengandungi sejenis kimia anestetik yang menyebabkan kita tidak rasa sakit dan agen antidarah beku.

“Ia dikenali sebagai hirudin – yang membantu darah mengalir dengan bebas,” jelas Concannon.

Dalam kebanyakan kes, katanya pesakit pada mulanya agak ragu-ragu tetapi masih boleh menerima apabila beliau mencadangkan untuk meletakkan parasit kurus ini pada luka mereka.

Daripada 24 kes sejak beliau mula menggunakan terapi lintah pada 1992, hanya seorang pesakit saja yang enggan.

“Setelah kami kehabisan pilihan pembedahan, saya akan tanya kepada pesakit sama ada mereka ingin mencuba kaedah ini.

“Kebanyakannya hairan bagaimana lintah ini bertindak untuk menyelamatkan sebahagian anggota tubuh mereka,” jelasnya.

Tergolong dalam spesies cacing, lintah `digeruni’ kerana keupayaannya menghisap darah dan fizikalnya yang lembik.

Lintah, tergolong dalam spesies cacing yang terdapat banyak di hutan hujan tropika. Spesies ini gemarkan tempat-tempat yang lembap seperti di sungai, danau dan laut.

Selain itu, ia juga mudah ditemui di tempat-tempat perkhemahan berhampiran air terjun atau sungai dan trek tempat mendaki yang lembap.

Secara anatominya, lintah mempunyai alat penyedut pada setiap penghujung badannya. Satu digunakan untuk makan, manakala satu lagi digunakan untuk bergantung ketika menghisap darah.

Menurut Concannon, apabila dia meletakkan lintah ini pada `hosnya’, mereka tidak akan membuang masa. Mereka menggunakan tiga rahang yang mengandungi 100 batang gigi setiap satu ke bahagian terbabit.

Hanya dalam tempoh setengah jam, mereka boleh menyedut darah dengan rakus sebanyak lima kali ganda daripada berat badan mereka.

Setelah puas menghisap darah, lintah akan terjatuh dengan sendiri dan meninggalkan tanda gigitannya yang cukup ketara pada kulit.

Hanya dengan sekali sedutan, lintah-lintah ini mampu bertahan selama 18 bulan tanpa makanan lain.

Apabila lintah-lintah telah digunakan, Concannon akan memberi mereka sedatif dalam alkohol untuk dimusnahkan dalam insinerator.

“Mereka perlu dibuang segera dan berhati-hati kerana badan mereka dipenuhi dengan bahan-bahan buangan perubatan,” katanya.

Bercerita tentang lintah, ada yang memegang kepada kepercayaan jika seseorang bermimpi bertemu lintah, bermakna dia akan digoda oleh perempuan atau sebaliknya. Jika dia bermimpi digigit lintah bersirat akan digoda oleh perempuan yang jahat.

Di kalangan masyarakat Melayu, telah diketahui minyak lintah khusus bagi kaum lelaki untuk menambahkan saiz zakar dan mereka yang bermasalah dalam hubungan seks. Khabarnya, minyak ini ditapa selama 40 hari 40 malam di dalam kelapa muda hijau mengikut resipi herba purba, kitab-kitab lama seperti kitab Arab (Rawd at-Tirr) dan khazanah seks Melayu dahulu kala.

Namun, sejauh mana keberkesanannya tidak diketahui melainkan bagi mereka yang telah mencubanya.

Kaedah biologi hapuskan parasit ikan

Penemuan terbaru mengenai kaedah biologi menghapuskan organisma parasit fluk darah (sejenis cacing yang mendiami saluran darah ikan) atau nama saintifiknya Cruoricola lates yang menumpang ikan siakap, Lates calcarifer menjanjikan harapan cerah kepada penternak ikan berkenaan.

Ini kerana air sebagai habitat ikan, mudah tercemar dan menjadi perumah kepada banyak parasit yang menyerang ikan.

Penyelidik Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (Kustem), Prof. Dr. Faizah Shaharom yang menjalankan kajian tentang fluk darah hampir 10 tahun mendapati sejenis parasit tersebut yang menjadikan ikan siakap sebagai perumah memberi kesan buruk kepada pertumbuhan ikan berkenaan.

“Fluk darah didapati berada pada insang dan hati ikan siakap,” katanya.

Beliau berkata, kajian parasitologi ini menumpukan kepada bagaimana menghapuskan parasit berkenaan supaya tidak menjejaskan pertumbuhan ikan tanpa menggunakan bahan kimia yang boleh menjejaskan kualiti air.

Dr. Faizah yang juga Timbalan Pengarah Institut Oceanografi Kustem berkata, kajian sebelum ini mendapati terdapat fluk darah Sanguinicola armata pada ikan kap rumput dan kap kepala besar.

Sejak itu beliau menumpukan penyelidikan kepada parasit fluk darah. Ini adalah kerana fluk darah Sanguinicola inermis yang menyerang ikan kap di Eropah adalah parasit yang membunuh banyak ikan dan merugikan industri akuakultur.

“Apa yang saya lakukan ialah menyelidik untuk mencari perumah perantaraan atau intermediate host parasit berkenaan,” katanya.

Beliau mendapati bahawa parasit berkenaan menjadikan haiwan akuatik dwicangkerang (kepah atau kijing ) atau nama saintifiknya Anodontia eduntula sebagai perumah sementara.

Menurut Faizah, beliau bersama sekumpulan pelajarnya terpaksa memeriksa beribu-ribu invertebrat di kawasan sangkar ternakan ikan berkenaan bagi mengenal pasti perumah sementara itu.

“Kajian ini sangat memberangsangkan sebab ini adalah kajian pertama dalam bidang parasitologi marin iaitu perumah sementara parasit ini dijumpai dalam dwicangkerang,” katanya.

Menurut Dr. Faizah, pada masa ini dua penyelidik di Jepun dan Australia sedang mencari perumah perantaraan bagi fluk darah pada ikan lain tetapi masih belum berjaya.

Selepas mengenal pasti perumah tersebut, Dr. Faizah berkata, cara terbaik menghapuskan organisma parasit berkenaan ialah menghapuskan dwicangkerang tersebut.

Katanya, parasit berkenaan yang mempunyai kitaran hidup selama dua minggu boleh dimusnahkan ketika berada pada dwicangkerang.

Di dalam dwicangkerang, parasit ini mengalami pertukaran morfologi iaitu bentuk sporosista, redia dan sekaria.

Pada peringkat sekaria, parasit ini keluar daripada dwicangkerang dan berenang dalam air mencari ikan.

Sekaria yang mempunyai ekor dwicabang ini menembusi kulit ikan, masuk ke dalam saluran darah dan menuju ke jantung ikan dan menjadi matang.

“Kita perlu mengalihkan dwicangkerang dalam kolam ternakan dan kitaran hidup fluk darah akan terputus,” katanya.

Beliau berkata, kajian lanjut daripada penemuan ini ialah menjalankan ujian isoenzim dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi memastikan bahawa bahawa parasit berkenaan yang dijumpai dalam ikan siakap adalah sama dengan parasit dalam perumah sementara iaitu dwicangkerang.

Kajian ini adalah peringkat terakhir yang perlu dijalankan selepas penemuan tersebut.

“Kita bercadang untuk menghasilkan satu kit khas bagi mengesan kehadiran parasit ini bagi memudahkan langkah-langkah penjagaan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau bersama sekumpulan pelajar sarjana kini sedang menjalankan kajian flagelat darah iaitu Trypanosoma sp dalam belut sawah iaitu pengkulturan parasit tersebut secara in-vitro, kajian morfologi dan ultrastructure (kajian struktur pada peringkat sel) meng-gunakan teknik SEM (Pengimbasan Mikroskop Elektron) dan TEM (Transmisi Mikroskop Elektron) serta genomik.

Satu lagi kajian yang mempunyai kaitan rapat dengan pememuan tersebut ialah penggunaan ikan pembersih untuk mengutip parasit daripada ikan terutama ikan yang diternak dalam sangkar.

“Kaedah kawalan biologi ini lebih murah dan tidak merosakkan kualiti air kerana tidak menggunakan bahan kimia dalam rawatan penyakit,” katanya.

Beliau juga mengetuai penyelidikan untuk mencari bahan bioaktif daripada organisma marin yang boleh membunuh bakteria, kulat, parasit dan juga sel kanser.

Seorang penuntut sarjana beliau telah mengekstrak 20 spesies span dari Pulau Bidong dan Pulau Kapas.

Hasil kajian ekstrak kasar terhadap sel kanser menunjukan empat dari sebelas ekstrak kasar mempunyai aktiviti positif terhadap sel kanser darah.

Nutriblok Makanan tambahan pembuka selera ternakan

PUSAT Penyelidikan Ternakan (PPT) MARDI, berjaya menghasilkan sejenis bahan makanan tambahan khusus untuk binatang ternakan dikenali ‘Nutriblok’. Nutriblok mampu membantu tumbesaran binatang ternakan di samping mengatasi masalah kecacingan pada binatang.

Ia berbentuk bongkah atau blok dan dihasilkan untuk ternakan ruminan seperti lembu, kambing, biri-biri dan kerbau.

Pegawai Penyelidik Kanan, PPT MARDI, Dr. Wan Zahari Mohamed berkata, beliau menjalankan kajian bagi menghasilkan Nutriblok sejak tahun 1990.

Menurutnya, kajian lanjutan dijalankan secara berperingkat dengan kerjasama Institut Penyelidikan Veterinar, Ipoh, Institut Penyelidikan Getah Malaysia dan Pusat Penyelidikan Antarabangsa bagi Sains Pertanian Jepun serta pusat bagi Penyelidikan Pertanian Antarabangsa, Australia.

Katanya, teknologi pemprosesan Nutriblok melibatkan percampuran beberapa jenis bahan makanan terpilih bagi memenuhi keperluan tubuh ternakan.

Beliau berkata, faktor formulasi pemprosesan itu penting supaya ternakan lebih berselera dan dapat membesar dengan cepat.

“Nutriblok adalah penambah makanan dan dengan itu makanan asas seperti rumput atau jerami padi perlu diberi kepada ternakan seperti biasa,” katanya kepada Utusan.

Katanya, lebih 250 formulasi telah diselidik di Mardi dan formulasi yang sesuai diuji kesannya di ladang ternakan dan kawasan penternak.

Menurutnya, pada masa kini dua jenis Nutriblok dikeluarkan iaitu Nutriblok biasa dan Nutriblok berubat.

“Nutriblok biasa membekalkan zat tambahan seperti protein, tenaga, mineral dan vitamin kepada ternakan manakala Nutriblok berubat sesuai untuk mengatasi masalah cacing terutama pada biri-biri,” katanya.

Katanya, ubat cacing yang digunakan itu diimport dari Australia, India dan Taiwan.

Dr. Wan Zahari berkata, penggunaan ubat cacing di dalam Nutriblok tidak memudaratkan manusia apabila memakan daging ternakan itu.

Mengulas lanjut perkara itu, beliau berkata, penternak hanya perlu memberi satu kali suntikan ubat cacing kepada biri-biri sebelum Nutriblok digunakan.

“Ini sangat penting untuk membunuh larva atau anak cacing. Kehidupan larva seterusnya akan dikawal oleh Nutriblok.

“Cara itu lebih menjimatkan kerana mengikut cara biasa bagi mengatasi masalah cacing pada ternakan, penternak perlu menyuntik ternakan sekali setiap dua bulan dengan harga RM1 sekali suntikan,” katanya.

Menurutnya, beliau pernah menjalankan kajian pemakanan ternakan di Kelantan dan Kedah dan seorang penternak biri-biri di Kampung Kandis, Bachok berpuas hati selepas menggunakan Nutriblok.

Sebelum ini, katanya, penternak terlibat tidak mendapat hasil daripada ternakannya selama tiga tahun kerana masalah cacing.

“Hampir semua anak biri-birinya mati semasa lahir walaupun rumput yang diberi kepada induk cukup baik.

“Apabila diberi makan Nutriblok, kematian anak biri-biri tidak lagi berlaku,” katanya.

Dr Wan Zahari menjelaskan, hampir 90 peratus bahan yang digunakan untuk membuat Nutriblok adalah bahan tempatan terutama bahan sampingan pertanian seperti hampas isirung kelapa sawit, dedak padi, hampas sagu, hampas kelapa dan lain-lain.

Menurutnya, bahan-bahan itu dicampurkan dengan gula molas dan urea serta dikisar dalam mesin.

Katanya, bahan-bahan itu kemudian dijemur pada panas matahari selama beberapa jam dan akan menjadi keras dengan sendiri.

Beliau berkata, gula molas membekalkan tenaga dan boleh didapati dari kilang memproses tebu manakala urea pula membekalkan protein.

“Urea kerap digunakan oleh petani untuk membaja tanaman padi tetapi jumlah yang digunakan untuk membuat Nutriblok dihadkan bagi mengelakkan keracunan,” katanya.

Selain itu katanya, hampas ikan dan daun petai belalang boleh digunakan untuk menggantikan urea dan ia sangat digemari ternakan serta mudah ditanam.

Dr. Wan Zahari berkata, Nutriblok boleh diberi terus kepada ternakan dan adalah lebih baik, ia diletakkan ke dalam bekas untuk memudahkan ternakan menjilat atau mengunyahnya perlahan-lahan.

Katanya, bagi menjamin kadar pertumbuhan yang baik, biri-biri atau kambing perlu makan antara 60 hingga 100 gram sehari manakala lembu dan kerbau, antara 600 hingga 800 gram sehari tetapi jumlah itu bergantung pada berat badan ternakan.

“Nutriblok tahan lama jika disimpan di tempat kering. Ia boleh tahan antara enam bulan hingga dua tahun, bergantung kepada tempat,” katanya.

Katanya, Mardi telah melesenkan teknologi pemprosesan Nutriblok kepada Hamata Technology Sdn Bhd.

Menurutnya, pada masa kini Mardi menerima sambutan amat menggalakkan dan tempahan boleh dibuat terus kepada syarikat berkenaan menerusi talian 03-7164961 atau faks 03-7164967.

Dr. Wan Zahari berkata, Nutriblok biasa dijual pada harga RM9.00 untuk satu blok yang beratnya 4 kilogram, manakala yang berubat berharga RM10.00.

Mengenai rancangan masa depan, Dr. Wan Zahari berkata, beliau akan mempelbagaikan produk daripada Nutriblok dan berminat untuk mengatasi masalah cacing tanpa menggunakan ubat cacing.

“Pilihan terbaik pada masa kini ialah menggunakan sejenis kulat yang boleh memerangkap anak cacing.

“Kaedah biologi itu sedang dikaji secara usaha sama dengan penyelidik di Institut Penyelidikan Veterinar, Ipoh,” katanya.

Kebaung: Spesies ciptaan baru

Keperluan kepada sumber protein yang pelbagai mendorong kepada banyak penyelidikan dijalankan dalam sektor perikanan termasuk akuakultur.

Ini kerana bidang akuakultur antara yang berpotensi untuk dimajukan memandangkan ia mempunyai prospek yang cerah dan meliputi banyak kajian.

Pada masa yang sama, kajian itu perlu bukan sahaja dapat menjamin pengguna mempunyai pilihan sumber protein tetapi dalam jangka panjang, industri akuakultur dijangka memberi sumbangan besar dalam bidang ekonomi.

Bidang kajian yang terlibat termasuk aspek teknikal, benih, pemakanan, pemasaran, industri hiliran, bioteknologi serta penghasilan spesies ternakan baru.

Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (Kustem), Terengganu kini antara institusi yang terkehadapan dalam bidang penyelidikan perikanan.

Seorang penyelidik akuakultur Kustem, Dr. Anuar Hassan memulakan kajian bagaimana menjalankan teknik kacukan antara satu spesies ikan dengan spesies ikan yang lain bermula tahun ini.

Beliau menggunakan induk ikan keli Afrika atau nama saintifiknya Clarias gariepinus dan ikan baung (Mystus nemurus), iaitu dua spesies ikan daripada taksonomi famili yang berbeza.

Ikan keli Afrika adalah terdiri dari taksonomi famili (Clariidae) dan genus (Clarias) manakala ikan baung pula terdiri dari taksonomi famili (Bagridae) dan genus (Mystus).

Menurut beliau, penghasilan kacukan yang melibatkan taksonomi famili yang berbeza ini adalah agak sukar dan kurang berjaya kerana ia melibatkan struktur kejuruteraan genetik yang berbeza dan kompleks.

Menurut Dr. Anuar lagi, projek kacukan ini perlu dilakukan dengan menggunakan induk ikan keli Afrika dan induk ikan baung yang betul-betul matang. Untuk membolehkan induk-induk tersebut matang ia boleh diaruhkan dengan menggunakan hormon ovaprim dengan kadar 0.5ml/kg.

Kacukan ini boleh dilakukan dengan cara mengacukkan induk ikan keli Afrika betina dengan induk ikan baung jantan. Kacukan ini juga boleh dilakukan dengan mengacukkan induk ikan keli Afrika jantan dengan induk ikan baung betina.

Bagaimanapun menurut beliau, kejayaan kacukan adalah lebih tinggi bagi kacukan antara induk ikan keli Afrika betina dengan induk ikan baung jantan jika dibandingkan dengan kacukan antara induk ikan keli Afrika dengan induk ikan baung betina.

Ini kerana agak sukar untuk memperoleh induk ikan baung betina yang betul-betul matang sedangkan agak senang untuk mendapat induk ikan baung jantan yang matang.

Kacukan antara induk ikan keli Afrika jantan dengan induk ikan keli Afrika betina dan kacukan di antara induk ikan baung jantan dengan induk ikan baung betina juga perlu dilakukan untuk dijadikan sebagai kawalan.

Induk ikan yang dipilih mempunyai berat 500 gram dan disimpan dalam tangki induk di Pusat Penetasan Air Tawar Kustem selama dua minggu bagi tujuan penyesuaian kepada persekitaran.

Sepanjang tempoh ini, kualiti air dan pemakanan ikan sentiasa dikawal supaya induk berada dalam keadaan sihat.

Induk ikan baung jantan yang dipilih disuntik dengan hormon ovaprim pada kadar 0.4 mililiter setiap kilogram (ml/kg) manakala induk ikan keli betina disuntik dengan 0.5 ml/kg hormon ovaprim.

“Dos hormon pada ikan keli betina lebih nyak bagi mempercepatkan kematangan,” katanya.

Selepas itu, suntikan kedua diberikan kepada kedua-dua induk pada kadar yang sama dengan suntikan pertama selepas lapan jam suntikan pertama.

Sepuluh jam selepas suntikan kedua proses pelurutan dilakukan dengan menekan bahagian abdomen ikan dari arah anterior ke arah posterior. Bagi induk betina, apabila proses ovulasi berlaku, telur keluar akan mengalir mudah daripada liang genital papila dan dimasukkan ke dalam mangkuk kering.

Telur ini dicampurkan dengan sperma daripada induk jantan yang juga dikeluarkan dengan cara pelurutan. Campuran tersebut digaul selama dua minit menggunakan bulu ayam.

Telur kemudian dimasukkan dalam tangki pengeraman bagi tujuan penetasan.

“Pada masa ini perkembangan telur yang disenyawakan itu sentiasa diperhatikan,” katanya.

Beliau mendapati, telur berkenaan menetas selepas 32 jam disenyawakan.

Setakat ini beliau telah mendapati secara puratanya walaupun kadar persenyawaan untuk kacukan antara ikan keli Afrika dengan ikan baung adalah tinggi iaitu lebih kurang 59 peratus tetapi kadar penetasannya adalah tersangat rendah iaitu lebih kurang 1 peratus sahaja.

Kadar persenyawaan dan penetasan bagi ikan keli Afrika (kawalan) adalah masing-masing 73 peratus dan 51 peratus sementara kadar persenyawaan dan penetasan bagi ikan baung (kawalan) adalah masing-masing 60 peratus dan 42 peratus.

Daripada hasil kajian Dr. Anuar mendapati bahawa setakat ini hibrid baru cuma telah didapati dari hasil kacukan antara induk ikan keli Afrika betina dengan induk ikan baung jantan sahaja.

Hibrid baru ini boleh dinamakan `kebaung’ hasil dari percantuman nama keli dan baung.

Daripada kajian awal ini dan dari pemerhatian mengenal pasti sifat morfologi hibrid baru didapati bahawa secara umumnya kebaung mirip kepada ikan keli Afrika betina mungkin kerana gen ikan berkenaan lebih dominan berbanding ikan baung.

Menurut Dr. Anuar lagi, kajian dan penyelidikan yang lebih terperinci lagi perlu dilakukan pada masa yang akan datang untuk mendapat maklumat dan hasil penyelidikan yang lebih baik lagi.

“Kajian ini masih di peringkat awal dan saya masih meneruskan kajian untuk meneliti aspek pemakanan kebaung, tumbesaran dan ketahanan penyakit,” katanya.

Pada masa ini, beliau sedang meneliti perkembangan 10 ekor anak kebaung yang baru menetas manakala seekor yang paling besar berumur tiga minggu.

Dr. Anuar berkata, beliau mencuba penyelidikan tersebut antara lain bertujuan mencari spesies baru.

“Kita akan terus mengkaji bagi mencari kemungkinan spesies baru ini cepat membesar memandangkan ikan baung adalah spesies yang lambat membesar iaitu sehingga sembilan bulan manakala ikan keli empat bulan,” katanya.

Beliau hanya memerlukan antara RM2,000 dan RM3,000 daripada Skim Penumpuan Penyelidikan Dalam Bidang Keutamaan (IRPA), Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (Moste) bagi menjalankan penyelidikan tersebut.

Beliau percaya penemuan penyelidikan itu adalah yang pertama di negara ini kerana desas-desus bahawa penyelidikan seumpamanya pernah dibuat di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang tidak pernah didokumentasikan.

Taman Herba kegigihan Aziz terbukti

TANGGAPAN sesetengah masyarakat di negara ini terhadap golongan petani dan peladang yang kononnya gagal meraih pendapatan tinggi serta menguntungkan kini wajar dikesampingkan.

Walaupun jumlah peladang dan petani yang muncul sebagai peladang atau petani berjaya boleh dikira, namun kejayaan mereka adalah bukti sektor itu mempunyai potensi untuk dimajukan.

Taman Herba Melaka yang kini dikenali sebagai Taman Pertanian Satelit merupakan satu lagi bukti – sektor peladangan dapat menyumbang keuntungan yang berlipat kali ganda.

Terletak di Batu 19, Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah, Melaka ladang seluas 58 ekar ini merupakan hasil usaha gigih tanpa mengenal erti putus asa anak jati Melaka Aziz Lazim dan isterinya, Sarimah Ahmad.

Beliau yang ditemui Keluarga bukan sahaja berjaya mendidik diri melakar impian dengan wawasan tetapi mempunyai semangat yang wajar dicontohi oleh generasi muda.

Tegasnya kesal, walaupun telah muncul petani, peladang dan penternak contoh menikmati hasil pulangan yang lumayan namun kenyataan tersebut masih gagal menanam keyakinan di hati generasi muda.

“Alasan anak-anak muda ini, mereka memerlukan modal pusingan yang terlalu tinggi dan pengorbanan terpaksa dilakukan untuk bergelumang dengan selut, lumpur, bermandi peluh di bawah terik mentari atau meredah semak belukar sebelum hasil manis mampu dinikmati,” katanya.

Sambungnya lagi, selepas hampir 44 tahun negara mencapai kemerdekaan, fikiran sebahagian besar masyarakat masih dibelenggu dasar penjajah.

“Penjajahan pemikiran seperti inilah yang harus dibersihkan kerana sektor perladangan bagaikan lubuk emas untuk digali.

“Bebaskan pemikiran kita daripada dijajah dengan menolak kenyataan orang Melayu hanya layak sebagai petani dan peladang tradisional sahaja,” ujarnya penuh semangat.

Tambahnya, orang Melayu khususnya golongan petani dan peladang boleh mencatat kejayaan cemerlang dalam sektor ini jika mempunyai wawasan.

“Modal bukan wang ringgit tetapi semangat dan kekuatan menghalangi dugaan,” akuinya jujur.

Garis kedut yang tertera di wajah membayangkan usianya yang hampir mencecah 60 tahun, namun kekuatan dalaman lelaki yang bersikap optimis dan positif ini berjaya menjernihkan air mukanya.

Siapa menduga, Aziz mengorak langkah dalam dunia perladangan tiga tahun lalu yang kala itu usia sudah menjangkau 57 tahun.

Tatkala rakan seusia memasuki dunia pencen, Aziz mengatur strategi mengumpul kekuatan untuk membuka sebuah ladang yang diidam-idamkanya sejak 40 tahun yang lampau.

Berpengalaman dalam bidang perladangan semasa bertugas di Sabah, kemahiran dan ilmu ditautkan untuk menjayakan projek yang begitu bermakna dalam hidupnya.

Bermula dengan tanah seluas suku ekar, Aziz memulakan usaha menanam pisang. Hasilnya menggalakkan, lantas menyuntik semangat membesarkan lagi projek tanaman pisangnya kepada setengah ekar.

Selepas beberapa bulan dan menikmati hasil yang membanggakan, Aziz meneruskan wawasannya memiliki ladang sendiri.

“Saya mengajak jiran tetangga dan orang-orang kampung berkongsi memajukan tanah terbiar yang begitu luas berhampiran dengan kawasan yang saya usahakan,” katanya.

Beliau sendiri terpaksa membuktikan hasil ladangnya menjadi untuk menyakinkan penduduk setempat bahawa usaha mereka bukan sia-sia.

Selepas tiga tahun, Aziz mengakui pepatah – berbudi kepada tanah, hasilnya manis dan menguntungkan.

Seperti peladang lain yang inginkan pulangan memuaskan, Aziz juga mempunyai impian jangka panjang.

“Kini, ladang saya umpama gedung pertanian dan penternakan kerana pelbagai jenis tanaman dari jenis balak iaitu pokok jati untuk hasil jangka panjang, tanaman kontan seperti pisang, nanas, pokok buah-buahan dan sayur-sayuran subur menghijau,” katanya.

Melengkapkan lagi ladangnya, beliau menternak 700 ekor ayam dan 400 ekor itik dan sekumpulan rusa.

Di samping itu beliau juga menternak ikan dalam lapan kolam termasuk ikan puyu dan keli.

Tidak dinamakan Taman Herba Melaka sekiranya beliau tidak menyempurnakan ladangnya dengan pelbagai jenis tanaman herba.

“Itulah cita-cita utama saya sebenarnya, mengusahakan lima induk herba yang terdiri daripada pokok akar cerita, halia bara, kayu manis, tongkat ali dan madu lebah untuk mengubati lima induk penyakit iaitu kencing manis, darah tinggi, sakit jantung, gout dan juga serangan angin ahmar,” katanya.

Kegigihan Aziz yang kini mula menampakkan hasil apabila ladangnya sudah boleh dituai.

Malah bertolak daripada semangat itu jugalah, isterinya, Sarimah turut mengusahakan sebuah restoran di pinggir ladang dengan menyajikan hasil ladang yang enak dan segar.

Usahanya juga semakin membuahkan kejayaan apabila mendapat kerjasama dan sokongan sepenuhnya daripada MARDI, Universti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia serta Universiti Institut Teknologi Mara.

“Jabatan Pertanian turut memberi perhatian dan begitu juga dengan pelajar-pelajar di institut pengajian tinggi dihantar ke ladang untuk tujuan praktikal.

“Situasi ini amat menyenangkan saya kerana memang menjadi salah satu tujuan taman herba ini diwujudkan untuk diselidik dan dikaji oleh generasi muda kerana ia warisan yang wajar dipertahankan,” jelasnya.

Bekerja selama 18 jam sehari, akui Aziz, tugasnya memang memenatkan namun apabila melihat hasilnya kini boleh dinikmati, segala keletihan itu hilang dengan sendirinya.

Beliau yang pernah ke Thailand dan Indonesia melawat contoh ladang-ladang yang berjaya kini mengorak langkah untuk ke Dubai dan Shanghai.

Memastikan apa yang dirancang terlaksana, kini beliau telah bersedia menghasilkan produk sendiri termasuk haruman minyak wangi dari daun pokok kayu manis dan juga herba-herba di ladangnya dalam bentuk kapsul.

“Alhamdulillah telah tiba masanya, ladang ini mengeluarkan produk sendiri untuk pasaran tempatan dan juga di peringkat antarabangsa.

“Segala yang dirancang nampaknya mengikut jadual dan saya yakin usaha ini akan diberkati,” katanya bangga.

Ikan keli dipanggil ikan kucing

MAJORITI orang kita, saya dapati, mempunyai pandangan dan nilai yang salah. Mereka pentingkan kulit buku daripada isinya, pakaian, pangkat dan gelaran dari keluhuran jiwa dan hati dan pendekatan. Hingga kepada makanan pun begitu.

Orang Kota Bharu menyifatkan diri mereka ‘Orang Hilir’. Lazimnya tidak suka makan ikan keli, jelik dengan ikan haruan dan ikan darat atau sungai.

Mereka gemar makanan laut, daging lembu dan kambing bukan kerbau dan kurang makan sayur-sayuran, burung, daging rusa, pelanduk dan ayam hutan.

Orang kampung (di Kelantan disebut ‘Orang Darat’) pula zaman saya kecil, megah santap ikan sardin dalam tin dan nanas juga dalam tin walhal nanas dari pokok lebih segar sama seperti ikan keli, ikan haruan hatta ikan sepat pun lebih sedap lagi daripada sardin. Tetapi kononnya ikan sardin dan nanas dalam tin ada kelas dan prestij.

Di kampung saya jarang dihidang gulai rebung, kangkung atau pucuk paku walhal rebung dan kangkung enak dan disukai ramai di restoran Thai dan China di merata dunia.

Saya amat terkejut (dan seronok kerana saya gemar ikan keli gulai tempoyak dan keli percik) apabila pada penggal pertama tahun 1948 waktu berumur 10 tahun dan pelajar di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) saya dihidangkan gulai ikan keli, petai goreng dengan ikan bilis dan lain lauk-pauk di sebuah istana kerabat Di Raja Perak di Bukit Chandan.

Di New York, di Eropah bahkan di restoran mewah di Kuala Lumpur pun cendawan (kulat kata orang Kok Lanas) adalah satu makanan yang amat popular kerana ia enak lagi lazat dan berharga.

Di kampung kini jarang mereka hidang kulat goreng dengan telor, gulai lemak atau masakan lain. Sayang kulat jarang didapati di kedai makan Melayu.

Di Kuala Lumpur saya terpaksa ke Bandar Tun Razak jika mahu nikmati cendawan. Satu warong di situ menyediakan sup cendawan. Dua minggu lepas saya dihidang sup kulat dan ikan haruan goreng di Alor Setar.

Kulat unik kerana kulitnya (textures) dan keharumannya (flavours) menarik menjadikannya disukai oleh tukang masak (chef).

Di Amerika Syarikat sahaja ada 3,000 jenis kulat dalam tiap warna yang ada dalam pelangi dan dalam berbagai bentuk dan rupa yang boleh dibayangkan – seperti butang baju, payung, bola bihun dan tiram.

Kulat sebagai makanan amat versatil (versatile) boleh di sauteed, rebus, marinated atau jeruk dan amat enak jika dimasak bercampur dengan herba atau sheery, krim atau air rebusan yang melahirkan sup yang lazat, sos; dengan nasi atau ubi kentang dan perisa, ia paling menggiurkan.

Restoran Itali paling gemar menjamu selera dengan cendawan. Risotto (nasi) dan cendawan ala Itali amat sedap begitu juga sotong dan nasi berkuah hitam (dakwat kata orang Itali).

Kini sukar menikmati ikan keli terutama di Kelantan bahkan di Kuala Lumpur yang lazimnya ada ikan sembilang. Anehnya di AS dan di New York senang makan ikan keli yang digelar mereka ‘ikan kucing’ kerana misai ikan keli barangkali serupa dengan misai kucing!

Dua tahun lepas saya minta ikan keli di sebuah restoran tidak jauh dari Cornell Universiti di Itacha, Utara New York. Saya terkejut kerana yang tiba di meja saya ikan berwarna putih. Langsung saya berkata kepada pelayan perempuan kulit putih yang manis itu bahawa yang dipersembahnya bukan ‘ikan kucing’. Katanya sambil tersenyum ‘itulah! tetapi di Amerika ikan keli putih tidak hitam!, sambil ketawa dia menambah kata; ‘kulit berwarna itu telah dibersihkan menjadi cerah seperti kulit saya”. Saya dapati ‘keli putih’ tidak seenak keli hitam!

Di Mesir zaman Firaun makan cendawan atau kulat dianggap boleh memanjangkan usia maka kulat diwartakan sebagai makanan diraja sahaja!

TAN SRI ABDULLAH AHMAD, Wakil Khas Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu

Pemeliharaan ikan dalam sawah

SERANGAN musuh padi terutamanya serangga pada setiap musim sering mendorong petani dan peladang menggunakan kaedah kawalan bahan kimia. Malah, penanaman padi secara berterusan di samping keinginan menuai hasil yang banyak, menyuntik perkembangan teknologi kawalan kimia dalam sawah.

Meskipun dilakukan secara berjadual, kekerapan menggunakan bahan tersebut jika dibuat berlebihan dan tanpa mengikut sukatan, boleh mengundang padah.

Justeru, pelaksanaan kaedah kawalan ekobiologi dengan memelihara ikan dalam sawah perlu dilihat sebagai alternatif untuk mengelakkan penggunaan bahan kimia dan langkah bijak untuk menambah pendapatan petani.

Al-Quran menjelaskan bahawa setiap makhluk yang Allah ciptakan itu tidak sia-sia kerana kewujudannya mempunyai hikmah yang tersendiri. Masyarakat awal pernah menggunakan kaedah yang ditakrifkan dalam al-Quran, malah pemeliharaan ikan dan ternakan itik dalam sawah padi adalah cara yang pernah digunakan oleh mereka bagi membendung serangan musuh padi.

Spesies ikan air tawar seperti keli, lampam jawa, sepat dan likuh didapati sesuai untuk dikembang-biak dalam sawah berdasarkan ketahanan fizikal dan peranannya. Ciri biologi spesies, antaranya agresif, tidak aktif pada waktu malam, cepat membiak dan paling penting mampu bertahan meskipun berlaku pencemaran.

Pemeliharaan ikan dalam sawah, selain menambah pendapatan dan sumber protein makanan, ialah peranannya sebagai agen biologi kawalan makhluk perosak seperti ulat, larva dan pelbagai jenis serangga perosak tanaman padi.

Petani juga berupaya mengurangkan kos pengeluaran tanaman padi melalui pengurangan penggunaan racun perosak kerana ikan yang dipelihara membantu menyuburkan tanah dan mengawal pertumbuhan benih rumpai.

Kos projek sehektar pula murah. Perangkaan Jabatan Pertanian Negeri Sembilan menganggarkan modal yang diperlukan bagi sehektar tanaman sawah padi hanya kira-kira RM1,060.

Exco Jawatankuasa Bertindak Pertanian Negeri, Datuk Shamsul Bahari Mat ketika ditemui di Juasseh berkata, selain dianggap komprehensif, langkah memelihara ikan dalam sawah turut mengelakkan rasa bosan di kalangan petani. Tambah beliau, usaha ini jika dibuat secara lebih meluas boleh membuahkan hasil yang lumayan berdasarkan harga pasaran ikan air tawar RM3 sekilogram.

Katanya, pembangunan sektor pertanian berasaskan konsep agro-tourism menceriakan lagi pengurusan sawah kerana kawasan itu akan menjadi tumpuan pelancongan.

”Buat masa ini sebanyak 20,000 ekor anak ikan keli dan 14,000 ekor lampam jawa telah dilepaskan di dalam sawah di Juasseh, Kuala Pilah dan beberapa daerah lain,” ujarnya.

Menurut Shamsul, petani tidak akan menghadapi masalah memasarkan hasil berkenaan kerana pihak pertanian negeri bertindak sebagai pembeli bagi hasil yang diperoleh.

”Pelaksanaan program ini tidak susah kerana pertamanya, bentuk muka bumi sawah yang dipilih perlu rata dan mempunyai parit serta sistem kawalan air sawah yang berkesan,” katanya.

Selain itu, parit kecil berukuran 45 centimeter dalam dan 60 centimeter lebar dibina di setiap lot di keliling bahagian dalam sawah, supaya ikan dapat dipindahkan ke parit semasa proses mengeringkan sawah. Parit buang yang terdapat berhampiran sawah dibersihkan manakala dua kolam kecil digali di tempat air keluar bagi membolehkan ikan berkumpul dan berlindung.

”Bagi mengelakkan pemangsa seperti ikan haruan dan katak, jaring dipasang di punca air pada masa yang sama menghalang ikan yang dipelihara melompat keluar dari sawah,” ujarnya.

Sebagai contoh, pelepasan anak ikan keli berukuran 7.5 cm (berusia 5 minggu) dilakukan selepas 15 hingga 21 hari benih padi ditabur. Sehektar sawah mampu menampung kira-kira 3,000 hingga 4,000 ekor anak ikan keli.

Manakala anak-anak ikan yang bersaiz 2.5 cm panjang tidak dilepaskan terus ke dalam sawah tetapi diasuh di dalam sangkar yang berukuran kira-kira 1.2 meter x 0.9 meter. Sehektar sawah memerlukan dua sangkar. Sepanjang tempoh dalam sangkar, anak ikan ini tidak diberikan makanan tambahan sebaliknya dibiarkan memakan apa sahaja yang terdapat di sawah.

Katanya, kutipan hasil boleh dibuat berperingkat-peringkat kerana ia bergantung kepada permintaan.

Shamsul memberitahu, hasil ikan mula dikutip selepas 60 hingga 70 hari ikan dilepaskan dengan berat purata seekor ikan keli mencapai 150 hingga 250 gram. Pada masa ini padi berada pada peringkat bunting atau hampir terbit. Air dikeluarkan ke parit buang dan ikan akan ditangkap dalam kolam yang disediakan.

Menurutnya, dalam proses kematangan ikan, dianggarkan 20 peratus ikan mati disebabkan masalah penyesuaian tempat dan dimakan musuh seperti burung dan haruan.

”Anggaran hasil ialah 2,400 ekor dengan berat 200 gram seekor, menjadikan hasil keseluruhan ialah 480 kilogram…dan pada harga jualan RM3/kg, jumlah hasil dianggarkan RM1,440. Keuntungan kasar setelah ditolak kos ialah RM650,” katanya.

Secara hitung panjang, kaedah kawalan biologi ini dapat menjimatkan belanja penggunaan bahan kimia sebanyak RM1,114.25 bagi setiap hektar tanaman padi sawah.

Akuakultur tambah bekalan makanan

PERTAMBAHAN penduduk yang semakin ketara mengakibatkan tekanan untuk mendapatkan makanan meningkat.

Dengan penurunan jumlah tangkapan dan pendaratan ikan sejak kebelakangan ini, sektor akuakultur yang sebelum ini hanya menjadi penyokong kepada industri penangkapan ikan dilihat mampu berkembang pesat seterusnya menjadi penyelamat kepada keadaan tersebut.

Menurut pakar nutrisi ikan dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Roshada Hashim, akuakultur adalah satu industri mesra alam namun pengurusan yang kurang baik telah memberi gambaran negatif tentang sektor ini.

Oleh itu, katanya, sektor akuakultur mesra alam dengan kesan pencemaran sifar merupakan cabaran.

Katanya, terdapat tiga jenis penternakan akuakultur iaitu ekstensif, semi-intensif dan intensif yang perbezaannya dilihat dari segi kadar stok, pemakanan dan pengurusan pemberian makanan.

Untuk sistem ekstensif, katanya, keperluan nutrisi ikan dibekalkan sepenuhnya oleh sumber semula jadi dari kolam seperti zooplankton dan fitoplankton.

Manakala untuk sistem semi-intensif, penggunaan baja kolam dari bahan perkumuhan haiwan atau kimia seperti usus ayam, hasil buangan rumah sembelihan, ikan baja dan daun ubi kayu digunakan untuk keperluan nutrisi ikan.

Berbeza dengan kedua-dua sistem ini, sistem intensif memerlukan kos pengeluaran yang tinggi kerana kadar pertukaran air adalah tinggi di samping harga nutrien yang mahal.

Menurut Dr. Roshada, ketiga-tiga sistem penternakan ini mempunyai kebaikan dan kelemahan yang tersendiri sekiranya dirujuk kepada aspek sosioekonomi dan alam sekitar.

”Daripada sudut pemakanan ikan, penternakan semi-intensif dan intensif berpotensi memberi kesan buruk kepada persekitaran sekiranya pemakanan yang sesuai serta strategi pemberian makanan yang bijak tidak dilaksanakan.

Beliau memberi contoh, sistem akuakultur intensif yang semakin berkembang dengan penggunaan serbuk ikan dan antibiotik menyebabkan kesannya kepada alam sekitar telah mula dipersoalkan.

Tambahan pula, serbuk ikan – iaitu sumber protein utama yang digunakan dalam pemakanan ikan – sering digunakan dengan berlebihan padahal ia boleh digantikan pada paras-paras tertentu dengan sumber-sumber protein tumbuhan untuk mengurangkan kesan pencemaran fosfat.

Katanya, disebabkan penggunaan bahan-bahan makanan tidak sesuai, pandangan negatif telah diberikan kepada sistem akuakultur dan keupayaannya untuk mencapai kemapanan tanpa memusnahkan ekosistem sedia ada seperti pinggir pantai, paya bakau dan air tawar telah mula diragui.

Tambahnya, ini berikutan sikap penternak sendiri yang lebih memilih sistem penternakan bersandarkan kedudukan kewangan seperti memilih usus ayam sebagai sumber makanan ikan.

Sumber ini tidak stabil dalam air dan menyebabkan pengumpulan minyak yang mana jika dialirkan keluar kolam akan menyebabkan kerosakan alam sekitar.

Katanya, pengamalan kaedah akuakultur lebih bertanggungjawab dengan beberapa ciri tertentu dapat meminimumkan kesan negatif terhadap alam sekitar.

Dr. Roshada berkata, sudah sampai masanya para penternak membuka minda mereka terhadap sistem penternakan mesra alam seperti penternakan ikan keli di Amerika Syarikat yang menggunakan air kolam yang sama untuk beberapa kitar penternakannya dengan cara tidak mengeringkan kolam semasa musim penuaian.

Strategi lain, katanya, ialah mengekalkan paras air kolam lebih rendah daripada paras aliran air paip keluar dan peningkatan paras air akibat hujan boleh dibiarkan keluar melalui longkang.

”Ini akan mengurangkan jumlah air yang dikeluarkan dan dapat mengoptimumkan kapasiti bagi asimilasi bahan buangan semula jadi dari ekosistem kolam,” ujar beliau.

Bagi kolam ikan air tawar pula, katanya, sistem aquaponik iaitu kombinasi antara akuakultur dan hidroponik adalah sesuai kerana asimilasi efluennya yang kaya dengan nutrien seperti fosfat, ammonia, nitrit dan nitrat amat diperlukan untuk pertumbuhan tanaman.

Melalui sistem itu, efluen dari kolam dialirkan melalui tapak pertanian yang akan menyerap nutrien tersebut seterusnya mengurangkan kepekatannya.

Oleh itu, katanya, air yang keluar daripada tapak tumbuh-tumbuhan tersebut boleh digunakan semula dengan mengepamnya ke dalam kolam untuk kegunaan seterusnya.

Selain kaedah pengurusan yang cekap, katanya, penggunaan makanan berkualiti tinggi tidak harus diabaikan kerana kandungan nutrisi dan bentuk fizikal makanan ikan serta pengurusan pemberian makannya adalah perlu untuk meminimumkan impak akuakultur kepada persekitaran.

”Pencemaran biasanya disebabkan oleh lebihan pemberian makanan. Oleh itu memahami tabiat pemakanan ikan serta kadar pemberian makanan yang optimum dan kekerapannya boleh mengawal pencemaran alam sekitar,” katanya.

Menurut Dr. Roshada, strategi lain yang dapat dijalankan untuk mengurangkan pengumpulan protein dalam kolam adalah dengan mengamalkan sistem pemberian makanan bercampur antara yang tinggi dan rendah proteinnya.

Rosyam usahakan projek agro-tourism

DUNIA perniagaan sebenarnya bukanlah sesuatu yang asing bagi pelakon terkenal, Rosyam Noor.

Malah, sejak berkecimpung dalam bidang lakonan pada tahun 80-an dulu, dia telah didedahkan dengan perniagaan di belakang tabir perfileman.

Sehingga kini, dia boleh berbangga kerana mempunyai produksinya sendiri, Suhan Movies Sdn. Bhd., yang menerbitkan drama-drama untuk tv tempatan. Kini, Rosyam maju setapak lagi dalam bidang perniagaan apabila dia menceburkan diri di luar bidang yang menjulang namanya di persada seni negara.

Selain sibuk dengan karier lakonannya, dia kini mengusahakan projek pertanian berkonsepkan agro-tourism di tanah seluas 2.4 hektar di Kilometer 30.4, Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah, Melaka.

Projek tersebut yang dikenali sebagai ‘Taman Impian Herba dan Jati’ antara lainnya termasuk penanaman pelbagai jenis tanaman herba dan jati, kolam ikan dan sebuah restoran.

Menurut Rosyam, dia mengusahakan projek tersebut sejak setahun lalu dengan berkongsi modal bersama bapa saudaranya, Azis Tamby.

Katanya, kawasan tersebut antara lain telah ditanam dengan 500 batang pokok jati, 300 pokok kayu manis, 4,000 buah nanas, 150 pokok mangga, 120 batang pokok kelapa pandan dan 300 pokok pisang.

”Taman ini juga ditanam dengan pokok-pokok herba seperti tongkat ali, kacip fatimah, misai kucing, akar cerita dan serai wangi yang berkhasiat untuk kesihatan badan,” katanya pada sidang akhbar di taman tersebut, baru-baru ini.

Selain itu, kolam ikan yang dibina berhampiran dengan restoran pula mengandungi pelbagai jenis ikan seperti ikan puyu, keli, talapia merah dan hitam. Rosyam yang menerima anugerah Pelakon Pembantu Terbaik di Festival Filem Asia-Pasifik tahun lalu menerusi filem Lenjan memberitahu, dia juga memelihara 450 ekor itik dan 200 ekor ayam kampung di kawasan berhampiran.

”Pada awalnya, saya memang agak sangsi dan kurang percaya untuk menyertai bidang pertanian ini. Sebab itu saya mengambil masa yang begitu lama untuk menyetujui cadangan bapa saudara saya,” katanya.

Namun atas dorongan daripada bapa saudaranya, dia akur dan akhirnya bersetuju untuk berganding bahu mengusahakan taman itu.

Ini kerana, projek pertanian ini adalah perancangan untuk masa depan sekiranya dia tidak lagi aktif berlakon.

Menurutnya, sebagai pelakon, dia menyedari tidak boleh mengharapkan pendapatan daripada hasil lakonan semata-mata.

”Masa depan sebagai pelakon di negara ini memang sukar diramalkan. Ini kerana apabila kita sudah ‘senja’, tawaran pun semakin kurang,” akuinya ikhlas.

Rosyam seterusnya berkata, pembabitannya di dalam bidang ini untuk membuktikan sebagai seorang anak seni, dia mahu memberi contoh yang baik kepada masyarakat terutama generasi muda.

”Kita bukan hanya boleh menyumbang kepada khazanah seni negara, tetapi kita juga mampu memainkan peranan untuk mengajak generasi muda berbakti kepada tanah,” katanya.

Mengenai perancangannya untuk mempromosikan taman tersebut, katanya, dia bercadang untuk mengadakan sesi bacaan puisi setiap bulan di kawasan itu dengan kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena).

”Kami juga akan mengadakan memorandum persefahaman dengan hotel-hotel di Melaka untuk membawa pelancong-pelancong yang menetap di hotel berkunjung ke taman ini,” katanya.

Menurutnya, langkah itu diharapkan dapat memperkenalkan lagi pelancong tempatan dan luar negara terhadap taman berkenaan terutamanya tanaman-tanaman herba tempatan.

Rosyam Nor bakal jadi jutawan

Dalam tempoh tersebut Rosyam dijangka akan menikmati pulangan besar hasil penglibatannya sebagai petani moden.

Dia meramalkan hasil tanaman pokok kayu jati yang berjumlah lebih 500 batang, 300 pokok kayu manis, 4,000 pokok nanas, 150 pokok mangga, 120 batang pokok kelapa pandan dan 300 pokok pisang yang diusahakan di tanah seluas 2.4 hektar di Kilometer 30.4, Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah, Melaka, dapat dijual bukan sahaja di dalam negeri tetapi menjangkau ke pasaran seberang laut.

Apa yang pasti, penanaman pokok kayu jati sudah menjanjikan pulangan yang besar bagi Rosyam kerana tanaman tersebut memang akan memberikan hasil yang lumayan apabila tiba tempoh matangnya.

Tanaman lain yang diusahakan sudah mendapat jaminan akan menembusi pasaran yang luas memandangkan setakat hari ini sudah terdapat beberapa pihak mahu membeli hasilnya.

“Insya-Allah, jika semuanya berjalan lancar, saya dan rakan perniagaan saya akan menikmati hasilnya dalam tempoh lima tahun lagi,” ujar Rosyam yang mengusahakan perniagaan tersebut bersama rakan perniagaan yang juga bapa saudaranya, Aziz Tamby berbekalkan modal melebihi RM500,000.

Barangkali apabila detik itu tiba, dia kemungkinan akan mengucapkan selamat tinggal kepada dunia seni dan memberi tumpuan kepada bidang perniagaan yang diceburinya.

Sebagai artis, Rosyam sentiasa ingat tentang masa depan. Oleh kerana itu tidak hairanlah mengapa dia sanggup membuat pelaburan besar dalam projek pertanian berkonsepkan agrotourisme.

Selain penanaman kayu jati, Rosyam juga mengusahakan tanah dengan penanaman pelbagai jenis tanaman herba selain kolam ikan dan restoran.

Projek itu yang dikenali sebagai Taman Impian Herba dan Jati kini menjadi tumpuan utama personaliti seni kegilaan ramai itu.

Di Taman Impian Herba dan Jati, Rosyam turut berbudi kepada tanah dengan menanam pokok-pokok herba seperti tongkat ali, kacip fatimah, misai kucing, akar cerita dan serai wangi yang berkhasiat untuk kesihatan badan.

Sayur-sayuran seperti terung, kangkung, petola, cili dan lain-lain turut diusahakannya.

Kolam ikan yang dibina berhampiran dengan restoran terapung pula mengandungi pelbagai jenis ikan.

“Antara ikan-ikan yang dipelihara ialah ikan puyu, keli, talapia merah dan talapia hitam,” katanya.

Rosyam atau nama sebenarnya Mohd. Noor Shamsuddin ketika ditemui di Taman Impian Herba dan Jati di Masjid Tanah memberitahu, perniagaan yang diceburi itu merupakan persiapan untuk menghadapi masa depan.

“Ini sekadar persiapan saya untuk menghadapi masa depan seandainya nanti saya mahu mengucapkan selamat tinggal kepada dunia seni.

“Persiapan ini penting bagi artis seperti saya kerana masa depan pelakon di negara ini sukar untuk diramalkan,” ujar aktor yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik tahun lalu menerusi filem Lenjan.

Penglibatannya dalam bidang pertanian juga sebagai membuktikan kepada masyarakat bahawa golongan artis boleh membantu meningkatkan ekonomi negara.