Peladang wanita cepat bayar hutang

PERTUBUHAN Peladang merupakan wadah untuk peladang-peladang wanita menjana pendapatan yang lebih baik untuk seisi keluarga.

Segala usaha dan keringat peladang daripada mengumpulkan modal secara kecil-kecilan, membersihkan kawasan, membaja, menanam dan memasarkan hasil tani mendapat tunjuk ajar dan perhatian pertubuhan tersebut.

Sehingga kini penglibatan peladang wanita dalam projek ekonomi melalui pembiayaan pinjaman Lembaga Pertubuhan Peladang ialah 30 peratus, membabitkan 295 projek peladang wanita seluruh negara.

Sementara itu keahlian peladang wanita pada 1996 adalah 89,610 berbanding lelaki 330,303 dari sejumlah 421,546 ahli keseluruhannya.

Mereka telah mengendalikan bidang-bidang pertanian seperti tanaman, ternakan, ternak air, pemprosesan makanan, perkhidmatan kedai jahit, restoran, dobi, batik tulis dan sebagainya.

Fakta-fakta tersebut dihuraikan oleh Mariam Mas binte Yaacob, Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan Peladang, Lembaga Pertubuhan Peladang dalam pertemuan dengannya baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, potensi kaum wanita menjadi usahawan sangat besar kerana mereka merupakan golongan yang berdedikasi tinggi, peminjam yang berdisiplin dan tidak pernah kenal erti jemu dalam melaksanakan usaha masing-masing.

Mariam menjelaskan, memang wanita sudah membabitkan diri dalam sektor pertanian sejak dahulu secara diam-diam tetapi usaha dan sumbangan mereka kini kian mendapat pengiktirafan masyarakat dan kerajaan.

Dahulu mereka adalah golongan yang tidak menonjolkan diri dan sukar untuk mendapatkan pinjaman bagi membiayai sebarang projek berasaskan pertanian tersebut.

Keadaan itu berlaku disebabkan wanita sering bergantung kepada suami untuk berurusan dengan bank-bank komersial atau koperatif dan berada di belakang tabir mengendalikan projek yang mana usaha mereka tidak jelas pada mata umum.

Perkara itu juga ada hubung kaitnya dengan budaya bangsa dan ajaran agama yang mendidik wanita agar jangan terlalu ‘mendedahkan diri’.

Kini banyak perubahan sudah berlaku kerana wanita mulai didedahkan dengan nilai-nilai diri yang positif seperti yakin diri, mengenal diri dan hak mereka melalui kursus-kursus motivasi, latihan kemahiran dan pengurusan projek.

“Kita sedar masa dahulu masyarakat tiada gender sensitiviti atau kepekaan jantina. Tetapi kini perkara itu telah dibetulkan hasil desakan pelbagai pertubuhan antarabangsa dan pemimpin-pemimpin wanita supaya diadakan program khas wanita menyertai projek-projek yang boleh dikendalikannya sendiri.

“Saya gembira wanita kini telah membabitkan diri dalam bidang pertanian saperti yang terbukti di Kelantan melalui projek pertanian berkelompok di kawasan Stong/Dabong, di daerah Gua Musang, di Lembah Pergau, dan di Bukit Awang, Pasir Putih.

Kaum wanita di sana berjaya mengusahakan ladang-ladang cili secara berkelompok yang memberikan hasil lumayan selepas lapan bulan dengan pendapatan sebanyak RM1,500 sehingga RM2,000 sebulan untuk setiap seekar.

“Kita berbangga kerana mereka dapat mencapai matlamat Pertubuhan Peladang yang mahu melahirkan lebih ramai usahawan peladang di kawasan luar bandar.

“Kita telah memberikan bantuan tambahan maksimum berjumlah RM25,000 setiap seorang peladang berbentuk bantuan pembelian baja, sprinkler, (perenjis air untuk ladang sayur) racun, pembelian anak ayam (kalau penternak ayam) dan apa sahaja mengikut keperluan projek yang diusahakan mereka,” katanya.

Menurut Mariam telah terbukti wanita yang sudah memulakan usaha kecil-kecilan dan membuat permohonan mendapatkan bantuan tambahan lebih berjaya daripada kaum bapa kerana mereka selalu cepat membayar balik hutang mengikut jadual.

“Ini disebabkan wanita bukan merupakan pencari rezeki keluarga tetapi usahanya untuk menambahkan pendapatan seisi keluarga,” jelas Mariam.

Wanita yang berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang ini pernah menjawat jawatan Pengarah Unit Perancangan Korporat, Lembaga Pertubuhan Peladang, (LPP) dari 1994 sehingga 1996.

Beliau juga banyak menghadiri mesyuarat peringkat Menteri Pertanian ASEAN mengenai kerjasama ASEAN dalam bidang itu.

“Saya mendapat pendedahan berharga ketika bertugas tetapi kurang bertemu peladang. Tetapi kini saya kerap melawat projek-projek pertanian di luar bandar dan berjinak-jinak dengan peladang khususnya wanita dan mulai mengenal hati budi mereka.

“Saya percaya jika mendapat pendedahan, bimbingan, dan diberikan bantuan modal mereka boleh mengatasi kemelut kurang daya saing, kurang yakin diri dan sebagainya untuk keluar sebagai usahawan yang berjaya.” kata Mariam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s