Teknologi G-flex tingkat pengeluaran getah

PENGGUNAAN teknologi G-flex menggunakan gas etilina yang diperkenalkan Lembaga Getah Malaysia (LGM) menerusi projek perintisnya kepada pekebun kecil di Kampung Parit di Jeneri, Sik, Kedah sejak lima tahun lalu membuahkan hasil.

Terbukti, teknologi itu berjaya meningkatkan pengeluaran susu getah, sekali gus menambah pendapatan berlipat ganda kepada pekebun kecil.

G-flex adalah satu peralatan rangsangan menggunakan gas etilina yang dibekalkan terus kepada pokok secara berkala melalui tiub khas dengan menggunakan teknik alur torehan pendek. Ia mampu merangsang pengeluaran susu getah lebih 100 peratus, berbanding kaedah konvensional yang diguna pakai ketika ini.

Pengarah LGM Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, Muhamad Aini Daud, berkata teknologi yang diperkenalkan kepada penduduk kampung itu sejak 2003, bertujuan meningkatkan produktiviti dan pendapatan pekebun kecil getah dengan menggunakan teknik perangsangan gas yang bersifat selamat, mesra pengguna selain tidak memerlukan kos tinggi.

Bagaimanapun katanya, bukan semua pokok getah sesuai menggunakan kaedah itu kerana bagi mengaplikasikan teknik G-flex, beberapa ciri perlu diutamakan antaranya usia pokok perlu melebihi 15 tahun, subur dengan ukuran lilitan tidak kurang 60 sentimeter selain tidak berpenyakit.

“LGM bukan saja membekalkan teknologi baru kepada pekebun kecil sebaliknya mengajar mereka teknik torehan secara minimum iaitu 10 sentimeter (sm) yang dilakukan secara menegak daripada bawah ke atas. Kaedah ini menjimatkan ruang torehan selain memastikan permukaan kulit pokok lebih terpelihara dan tidak menggerutu.

“Justeru, melihat penerimaan yang semakin baik daripada masyarakat setempat, LGM terus mengorak langkah membawa teknologi ini ke depan supaya ia diterima semua pekebun kecil getah di daerah Sik iaitu salah satu daerah yang terbabit dengan projek pembangunan yang dirangka LGM menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9),” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini LGM berdepan cabaran getir untuk meyakinkan penduduk kampung berhubung keberkesanan teknologi G-flex kerana kebanyakan mereka masih tidak berani untuk menerima pembaharuan dan bimbang kaedah baru itu akan merosakkan pokok getah yang menjadi satu-satunya sumber pendapatan mereka.

“Pada awalnya kami berdepan pelbagai masalah untuk meyakinkan mereka mengenai keberkesanan G-flex sehingga pada 2005 beberapa pekebun kecil getah di sekitar daerah ini bersetuju untuk menjadi perintis seterusnya mengguna pakai teknologi ini.

“Bagaimanapun, penerimaan G-flex di kalangan pekebun kecil getah semakin bertambah selepas menyaksikan kejayaan rakan mereka. Tahun lalu, seramai 57 peserta sudah mempraktikkan teknologi ini membabitkan keluasan kebun 92.14 hektar dengan jumlah 23,508 pokok.

“Selain G-flex, kami turut memperkenalkan satu lagi teknologi dinamakan Mortex yang boleh digunakan kepada pokok getah muda berusia bawah 15 tahun. Bagaimanapun, hasil getah meningkat sekitar 30 peratus bukan sekali ganda berbanding G-flex,” katanya.

Percubaan berani seorang pengusaha kebun kecil getah di Kampung Jeneri Tengah, Zakaria Ahmad, 53, akhirnya berbaloi apabila beliau kini berjaya menjana pendapatan dua kali ganda berbanding torehan konvensional yang diguna pakai sejak 30 tahun lalu.

Zakaria mengambil keputusan mengguna pakai teknologi ini kerana mahu meningkatkan ekonomi dan taraf hidup keluarga yang bergantung penuh terhadapnya.

“Ketika menggunakan kaedah konvensional, purata pendapatan saya tidak sampai RM1,500 sebulan. Kini selepas menggunakan G-flex, pendapatan saya meningkat lebih dua kali ganda dengan memperoleh pendapatan RM5,000 sebulan.

“Selain menjana pendapatan lumayan, teknik ini juga menjimat masa dan tenaga kerana saya hanya menoreh tiga kali seminggu. Pada hari ketiga barulah kerja mengutip getah kering dilakukan. Justeru, masa terluang akan saya gunakan untuk melakukan aktiviti lain yang boleh menjana pendapatan sampingan,” katanya.

Beliau yang sudah memenangi pelbagai anugerah pertanian termasuk Peladang Kecil Jaya pada Hari Peladang Peringkat Negeri tahun lalu berkata, dengan menggunakan kaedah konvensional purata penghasilan susu getah adalah sekitar 800 hingga 1,200 kilogram (Kg) sehektar, sebaliknya teknologi G-flex merangsang pengeluaran susu getah mencecah dua kali ganda iaitu 2,662 kg sehektar.

“Kini sebahagian besar pokok getah di kebun saya yang berkeluasan 6.5 hektar menggunakan teknologi G-flex dan bagi pokok muda saya menggunakan teknologi Mortex yang dibimbing LGM.

“Kos bagi pemasangan G-flex bagi sebatang pokok adalah kurang daripada RM2, manakala sebalang gas etilina berharga RM238 dan hanya dipam seminggu sekali selain boleh diisi semula dengan kadar RM45. Secara purata, satu balang gas etilina mampu dipam kepada 2,000 batang pokok,” katanya.

Sementara itu, rakannya, Khamis Talib, 63, berkata, melihat kejayaan Zakaria, beliau akhirnya nekad mencuba teknologi yang diguna pakai olehnya.

Khamis berkata, beliau terpaksa mengetepikan pandangan orang lain yang mendakwa teknologi berkenaan akan merosakkan pokok getah sekiranya ia tidak berjaya sekali gus menjejaskan pendapatan dan ekonomi keluarganya.

“Aliran susu getah menerusi teknik ini agak perlahan tetapi berterusan dan tidak kering. Selain itu, torehan menegak yang minimum mampu menjimatkan ruang panel pokok sekali gus mengelakkan pembaziran yang selalunya berlaku terhadap kaedah konvensional yang tidak menggunakan teknik menoreh betul.

“Pendapatan bulanan saya ketika ini mencecah RM4,000 berbanding RM1,000 sebelum menggunakan teknologi G-flex ini. Peningkatan taraf hidup penoreh getah ini juga mengubah persepsi orang ramai terhadap kerjaya ini yang dulunya diletakkan pada tahap paling rendah oleh masyarakat,” katanya.

2 thoughts on “Teknologi G-flex tingkat pengeluaran getah

  1. Assalamualaikum. Boleh saya tahu ada atau tidak sebarang projek/penyelidikan untuk teduhan hujan semasa susu getah mengalir? Saya berharap Tuan mempunyai masa untuk membalas pertanyaan saya ini. Terima kasih.

Tinggalkan komen