Nostalgia di Kampung Pulau Pisang

salah sebuah penginapan desa berkonsepkan rumah kampung tradisional Melayu milik Pak Atan di Kampung Pulau Pisang, Tunjang, Jitra menarik perhatian pelancong luar. – UTUSAN/Halim Khalid


JITRA 7 Mac – Bagi warga kota, peluang untuk melarikan diri daripada kesibukan tugas seharian merupakan nikmat yang tidak ternilai. Tentunya, nikmat yang diperoleh khususnya ketika cuti itu tidak akan disia-siakan, malah kebanyakan mereka mahu kembali merasai suasana kampung yang jauh daripada kesibukan kota.

Antara pilihan bagi warga kota untuk menikmati percutian seperti itu adalah mereka boleh cuba menginap di Homestay Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Kampung Pulau Pisang di sini.

Inap desa tersebut terletak di sebuah kampung tradisional yang majoritinya terdiri daripada penduduk Melayu.

Terletak 2.5 kilometer dari Pekan Tunjang, 7 kilometer dari Pekan Jitra dan dari bandar raya Alor Setar pula sejauh 28 kilometer.

Sebaik sahaja melangkah ke kampung berkenaan, tiada lagi bunyi kenderaan yang membingitkan telinga.

Yang bakal didengari hanyalah kicauan burung dan kokokan ayam.

Di sini, para pelancong juga boleh menjalankan aktiviti menangkap ikan air tawar seperti menjala, memancing dan belajar menggunakan alat menangkap ikan tradisional seperti serkap, belat, bubu dan taut.

Pengerusi Homestay MADA Kampung Pulau Pisang, Norhizan Abdul Ghani atau lebih mesra dengan panggilan Pak Atan, 53, memberitahu, dia mula membuka inap desa di kampung tersebut sejak 10 tahun yang lalu.

“Pelanggan pertama yang menginap di inap desa saya ialah pelancong dari Jepun yang saya kenali ketika bekerja sebagai jurumudi feri Kuala Perlis-Langkawi.

“Pelancong Jepun sukakan suasana desa di kampung ini dan sejak itu saya terus mengambil keputusan untuk bergiat aktif sebagai pengusaha inap desa,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut Pak Atan, dia bertuah kerana tidak perlu menjalankan promosi secara berlebihan kerana para pelancong yang pernah menginap di inap desa tersebut akan menyebarkan berita mengenainya kepada rakan-rakan mereka.

“Kampung ini selalunya menjadi perhentian sementara bagi back-packers yang ingin meneruskan perjalanan ke Thailand.

“Dahulu saya hanya ada sebuah rumah ‘tumpangan’, tetapi kini saya ada kira-kira empat buah rumah di kawasan milik keluarga saya ini,” ujarnya.

Tambah Pak Atan, sejak melihat sambutan yang menggalakkan daripada para pelancong yang tidak putus-putus menginap di inap desanya, penduduk kampung di kawasan tersebut juga semakin berminat untuk menjadikan rumah mereka sebagai inap desa.

Ujarnya, suatu ketika dahulu, hanya dia satu-satunya pengusaha inap desa di Kampung Pulau Pisang, namun kini terdapat kira-kira 10 orang lagi yang menjadi pengusaha.

“Melalui inap desa, kami bukan sahaja dapat menambahkan pendapatan namun menjadi duta kecil negara kepada pelancong luar.

“Budaya kita yang unik serta pengalaman untuk hidup di kampung itulah yang mahu dirasai oleh pelancong,” katanya.

Ujarnya, bantuan yang diberikan oleh pihak MADA dalam memajukan lagi industri inap desa di Kampung Pulau Pisang amat dihargai.

“Kampung Pulau Pisang kini semakin dikenali dan saya yakin industri inap desa akan terus maju di kampung ini.

“Saya juga telah merancang pelbagai aktiviti yang menarik seperti membakar gajus secara tradisi yang sudah lama tidak dilakukan bagi mempromosi inap desa kampung ini,” katanya.

Bagi mereka yang ingin merasai sendiri suasana desa di Kampung Pulau Pisang mereka boleh menghubungi Pak Atan di talian 0125342380.

Tinggalkan komen