Rusa lubuk emas Mohamad

DENGAN mengenakan jeans dan kemeja lusuh di samping topi ala koboi yang tidak pernah lekang di kepalanya, Mohamed Akbar, 50, pastinya kelihatan seperti lelaki biasa di kalangan individu yang baru pertama kali terserempak atau bersua dengannya.

Namun, siapa sangka di sebalik penampilan biasa lelaki ini yang mudah mesra dengan sesiapa saja, dia yang lebih dikenali dengan panggilan Haji Mat antara penternak rusa bertaraf jutawan.

Boleh dikatakan, projek ternakan diusahakannya antara projek Bumiputera paling besar dan berjaya di negara ini.

Mohamad yang juga pemilik D’Paradise Deer Valley and Exotic Farm (D’Paradise) di Bukit Beruntung, Selangor berkata, penampilannya memang sebati dengan dirinya yang dibesarkan dalam kehidupan susah.

Ini terutama apabila mengenangkan kembali saat kecil bersama ibu bapa yang melakukan kerja pertanian dan memelihara lembu sebagai punca pendapatan.

Selepas menamatkan pelajaran di tingkatan lima, Mohamed mula belajar berdikari dengan bekerja sebagai tukang kasut.

“Jika iimbas semula kisah hidup ini, saya memang bukan berasal daripada keluarga senang, malah pendidikan yang saya terima juga tidak sampai ke menara gading.

“Sejak tamat persekolahan, pekerjaan pertama yang saya lakukan sendiri ialah menjadi tukang kasut dan faham-faham sajalah, hasil daripada kerja itu tidaklah lumayan,” katanya.

Menceritakan bagaimana dia boleh berkecimpung dalam bidang penternakan rusa yang pastinya asing bagi rakyat di negara ini, Mohamad berkata, segala-galanya bermula 10 tahun lalu apabila dia mula membeli sebanyak 20 rusa baka Timorensis yang diimport dari Australia.

Pada waktu itu dia sudah empat tahun menjalankan penternakan lembu dan kambing sebaik berhijrah ke Kuala Lumpur pada 1996.

Namun, Mohamed mendapati ternakan rusa yang baru cuba disertainya pada waktu itu menunjukkan peningkatan lebih memberangsangkan berbanding ternakan lembu dan kambing yang lebih rumit untuk diuruskan.

“Ketika saya berjinak-jinak dalam ternakan lembu dan kambing, memang boleh dikatakan ternakan yang saya usahakan itu berjaya, tetapi yang membuatkan saya berubah fikiran dan beralih kepada ternakan rusa adalah selepas mendapati rusa yang saya baru beli itu tidak memerlukan perbelanjaan besar.

“Penternakan rusa mampu menghasilkan kadar pulangan lebih cepat tanpa perlu menjual dagingnya seperti lembu atau kambing,” kata Mohamed.

Membuatkan dia lebih tertarik mengenai rusa adalah kerana tempoh matang haiwan berkenaan lebih cepat berbanding ternakan lain iaitu hanya dalam masa 18 bulan.

Katanya, dalam tempoh itu rusa betina mampu bunting manakala rusa jantan pula mula mengeluarkan tanduk atau lebih dikenali sebagai velvet, sekali gus membantu pengeluaran hasilnya.

“Ini yang ramai orang tidak tahu mengenai rusa. Kebanyakan orang menganggap rusa sebagai liar dan sukar diternak, tetapi haiwan ini sebenarnya lebih jinak dan sangat sukar mengamuk berbanding lembu atau kambing.

“Lebih istimewa lagi, tanduk yang tumbuh pada rusa jantan boleh dibuat ubat dan jika dijual, harganya saja boleh mencecah hingga RM1,000 sekilogram tanpa perlu mengorbankan rusa berkenaan,” katanya.

Selepas tujuh tahun melihat potensi ternakan itu, Mohamed nekad menjual semua ternakan lembu serta kambing yang diusahakannya dan beralih terus kepada penternakan rusa tanpa mahu menoleh ke belakang.

Sehingga kini dia mampu tersenyum bangga apabila baka rusa Timorensis yang dulunya berjumlah 20 ekor kini bertambah sehingga 1,500 ekor membabitkan 600 ekor induk betina dan 300 induk jantan.

Sementara itu, bakinya membabitkan 300 anak rusa Timorensis jantan dan 300 betina.

Selain baka itu, Mohamed mempunyai empat baka rusa berlainan membabitkan baka rusa tempatan dikenali sebagai Sambar sebanyak 70 ekor, Axis-axis iaitu baka rusa dari India (15), serta dua baka rusa dari Amerika Syarikat iaitu Fellow (10) dan Nilgai (13).

Dengan jumlah rusa melebihi 1,500 ekor, dia berkata, kadar pulangan daripada tanduk rusa yang dijual, termasuk daging, mampu mencecah hingga RM500,000 setahun.

Mohamed berkata, semua bahagian rusa sememangnya boleh menjadi sumber pendapatan utama bagi penternak haiwan berkenaan. Selain tanduknya yang berharga, kulit serta tengkoraknya mempunyai nilai di pasaran.

“Dagingnya kalau dijual kebiasaannya mencecah hingga RM80 sekilogram, manakala kulitnya pula mencecah hingga RM500 sekilogram. Tengkorak kepalanya berharga kerana ia selalu dijual dengan kadar harga RM800 setiap satu sebagai perhiasan,” katanya.

Menurutnya, faktor kawasan menjadikan rusa mudah diternak serta dibiakkan berikutan tidak memerlukan kawasan besar.

Katanya, haiwan berkenaan boleh dibiakkan cukup sekadar dengan meletakkannya di kawasan untuk memudahkan bergerak, sekali gus menyenangkan kerja memberi makanan.

Popular coklat Perlis

COKLAT produk Perlis diusahakan dua usahawan muda lepasan siswazah, Wan Shaharuni Wan Ali dan Nor Hanani Mokhter nyata membanggakan.

Graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) ini juga berhasrat menjadikan usaha mereka itu sebagai salah satu tarikan pelancong ke negeri yang terkenal dengan pengeluaran mempelam harumanis.

Mereka mengusahakan produk itu hampir dua tahun lalu menggunakan jenama Chocolike yang kini semakin mendapat permintaan memberangsangkan termasuk di pasaran Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Chocolike dihasilkan menggunakan seratus peratus koko asli gred A iaitu mentega koko untuk coklat jenis pralin, truffle dan crunchy. Coklat lain seperti lolychoc pula dihasilkan dengan ramuan koko gred B atau koko kompaun yang dicampur dengan lemak sayur-sayuran.

Menurut Wan Shaharuni, 33, selain coklat susu, Chocolike mempunyai pelbagai jenis perisa seperti mentega kacang, kacang hazel, strawberi serta buah campuran.

“Kami kini mengkaji untuk menghasilkan coklat berperisa mangga terutama mangga keluaran Perlis,” katanya.

Menerusi syarikat Citra Jentayu Enterprise, Chocolike dipasarkan melalui ejen yang dilantik di seluruh negara selain individu yang menempah melalui laman web http://www.chocolike.com.my.

Akhir bulan ini, pengeluaran coklat berkenaan akan dilakukan sepenuhnya di bengkel lengkap dengan pelbagai mesin pemprosesan coklat di Pusat Perantis Bukit Temiang, Beseri dengan mendapat bantuan daripada Jabatan Pertanian.

“Pengeluaran coklat ini dihasilkan menggunakan biji koko tempatan yang diperoleh daripada Lembaga Koko Malaysia (LKM).

“Coklat keluaran syarikat kami akan mendapat pemantauan yang rapi daripada pihak berkaitan terutama daripada segi pengiktirafan halal, kod bar dan pembungkusan.

“Kini, kami menggunakan kira-kira 150 kilogram bongkah coklat sebulan. Ia mencecah 250 kilogram sebulan apabila tiba musim perayaan namun apabila bermula operasi di pusat perantis itu, kami dijangka menggunakan 1,500 kilogram coklat sebulan,” katanya.

Menurut Nor Hanani, 31, pembabitan mereka dalam industri berkenaan setelah mengkaji kecenderungan penggemar coklat di negara ini terutama umat Islam yang kini mempunyai kesedaran tinggi mengenai produk coklat halal.

Kedua-dua usahawan berkenaan sebelum ini meletak jawatan sebagai eksekutif di syarikat automobil terkemuka semata-mata mengejar cita-cita menjadi usahawan coklat di Perlis.

Kata Nor Hanani, semuanya bermula pada akhir 2008 selepas dia dan Wan Shaharuni mengikuti kursus asas pembuatan coklat anjuran LKM selama empat hari di Bangi, Selangor.

“Selepas itu, kami mengambil keputusan berhenti kerja dan memulakan perniagaan coklat melalui bantuan LKM yang menyediakan bahan mentah iaitu koko selain pemantauan agensi itu terhadap kualiti coklat.

“Selepas berpuas hati dengan maklum balas orang ramai, kami memulakan perniagaan ini dari rumah dengan modal sendiri,” katanya.

Usaha mereka turut mendapat perhatian daripada Jabatan Belia dan Sukan yang memberi sumbangan untuk membeli peralatan acuan coklat tahun lalu melalui dana usahawan muda.

Mereka juga menerima bantuan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) yang menjalankan ujian makmal bagi mendapatkan fakta nutrisi dan pelekat.

Ternak udang ketak dalam laci

SEREMBAN: Teknologi terkini membolehkan udang ketak (cray-fish) diternak secara higenik dan organik bagi menghasilkan tuaian yang bersih serta berkualiti.

Kaedah ini dilakukan Al Taqif Aqua and Trading berpangkalan di Kampung Ujong Pasir, Ampangan di sini dalam usaha mempelbagai fungsi kolam gentian kaca ala laci keluarannya selepas kejayaan menternak ketam nipah sehingga memperoleh kerjasama beberapa kerajaan negeri.

Pengusaha Al Taqif, Musa Osman, berkata syarikatnya mula menternak udang itu secara sambilan dan tidak menjangka ia berpotensi besar serta sesuai seperti ternakan ketam nipah. “Mulanya saya khuatir juga memandangkan udang ini biasa hidup bebas manakala di kolam gentian kaca (perumah) ia terkongkong dalam tempat,” katanya.

Beliau berkata, ilham mencipta kolam gentian kaca atau ‘Compact Crab Farmming System – Crab SIS’ timbul apabila melihat susunan kondominium dan terfikir ketika itu untuk mempelbagai gentian kaca di kilangnya.

“Berdasarkan maklumat dari internet dan pegawai Jabatan Perikanan, saya membina beberapa kolam kecil dan mencuba menternak ketam nipah. Nyata ia berbaloi apabila ketam yang dipelihara sihat, bersih dan membesar begitu cepat. Malah kadar kematiannya rendah berbanding ternakan dalam sangkar.

“Jadi, saya mula membina Crab SIS secara komersial dan banyak pihak membeli rekaan ini. Tetapi ada pihak mengambil kesempatan dan mendakwa reka bentuk kolam itu milik mereka, walhal dia membelinya dari saya. Tidak kurang juga ada yang menjadi orang tengah dan cuba menangguk di air keruh,” katanya.
Beliau berkata, menternak menggunakan Crab SIS memerlukan disiplin kerana kegagalan memberi makan kepada ketam nipah atau udang akan menyebabkan ternakan menyerang sesama sendiri kerana lapar.

Dalam usia tujuh hari, saiz ketam boleh membesar seperti siling 20 sen. Anak ketam membesar sehingga matang dalam tempoh dua bulan atau 80 hari dengan berat 500 hingga 600 gram seekor. Dalam tempoh itu, anak ketam diberi makanan ikan baja dan dedak sekali dalam sehari.

“Ketam yang bersalin kulit perlu diasingkan bagi mengelakkan dimakan ketam lain memandangkan kulitnya yang lembut. Begitu juga udang ketak jangan sesekali lupa memberinya makan apabila tiba masa,” katanya.

Musa berkata, Crab SIS menjimatkan dan keselamatan ternakan dapat dikawal berbanding jika diternak dalam kolam tanah atau simen. Kaedah baru ini juga amat ringkas dan sesuai kerana kadar asid, alkali serta amonia dalam air mudah dikawal. Yang berminat hubungi Al Taqif: 017-6877096.

Khasiat semula jadi terbaik

ALAM semula jadi sering mengingatkan kita kepada keindahan flora dan fauna yang cukup mengasyikkan kerana selain biasan warna alam, segala tumbuhan dan hidupan yang ada bermanfaat untuk digunakan manusia sekiranya kita tahu kebaikan yang terkandung di dalamnya.

Bahkan, anda mungkin pernah mendengar mengenai kenyataan kembali kepada alami sekali gus membawa maksud kembali kepada keadaan semula jadi yang sudah tentunya bersifat organik dan tidak mengandungi bahan kimia. Sehubungan itu, menyedari 1,001 kebaikan yang boleh diambil daripada bahan semula jadi atau organik ini, ia sering dipilih untuk dijadikan bahan penting dalam banyak produk penjagaan badan termasuklah produk kosmetik mahupun penjagaan kulit wajah.

L’Occitane adalah antara produk penjagaan badan yang mengambil kebaikan daripada alam semula jadi seperti bahan organik yang sudah diketahui umum mempunyai kebaikan tersendiri kepada pengguna selain tidak membawa kesan kemusnahan kepada alam.

Pengarah L’Occitane, Andre Hoffman, berkata L’Occitane mengutamakan mutu, lebih-lebih lagi apabila membabitkan produk yang akan ditawarkan kepada pengguna melalui himpunan penjagaan badan dan wajah.

“L’occitane mengutamakan mutu dan akan memastikan menggunakan bahan terbaik bagi diproses untuk dijadikan produk penjagaan badan ataupun wajah.
“Kami memastikan pengguna mendapat yang terbaik selain menjalankan tanggungjawab sosial mengambil endah mengenai keadaan semula jadi alam,” katanya ketika ditemui di ibu kota, baru-baru ini.

L’Occitane adalah antara jenama terulung yang menggunakan bahan organik dalam produk keluaran syarikatnya. Amalan gaya hidup sihat dalam persekitaran hidup yang sihat adalah keutamaan jenama itu yang sudah dikenali ramai menjadi pengeluar produk bersifat mesra alam.

Katanya, produk berasaskan organik kini mengambil tempat sebagai bahan penting dalam penjagaan kesihatan mahupun kulit wajah kerana pengguna seluruh dunia menyedari akan kebaikan organik.

“Penggunaan produk organik meningkat tiga kali ganda di pasaran seluruh dunia dan L’Occitane adalah antara jenama awal yang memperkenalkan produk berasaskan organik. Begitupun, setiap produk berasaskan bahan organik mempunyai garis panduan dalam proses pembuatan bagi menjamin keaslian organik yang digunakan.

“Apa yang ditekankan ialah bukan saja bahan organik, tetapi dari mana ia didatangkan. Sama ada persekitarannya benar-benar bersifat semula jadi dan bersih atau sebaliknya,” katanya.

Hoffman berkata, L’Occitane mengambil kira mengenai setiap aspek berkaitan gaya hidup sihat, terutama apabila berada dalam persekitaran kini sebagai menyokong pengekalan alam semula jadi.

Beliau berkata, ada badan khas yang mengesahkan mengenai kesahihan bahan yang digunakan itu adalah daripada organik, iaitu Ecocert.

“Ecocert ialah badan pengesahan dan pemeriksaan bebas yang berfungsi di lebih 50 buah negara serata dunia. Label Ecocert menjamin bahan ramuan organik.

Setiap produk kecantikan berasaskan organik mempunyai sijil pengesahan khas ‘Ecocert’ bagi membuktikan ia dihasilkan daripada bahan organik sepenuhnya.

“Semua produk kecantikan organik disahkan bio mengandungi minimum 95 peratus bahan ramuan semula jadi, manakala minimum 10 peratus daripada jumlah bahan ramuan mesti berpunca daripada pertanian organik. Lima peratus yang tinggal mesti diambil daripada senarai amat terhad, merangkumi hanya enam kelas bahan awet yang dibenarkan,” katanya.

Untuk produk yang dilabelkan sebagai organik juga, ia tidak dibenar menggunakan sebarang minyak wangi, pewarna tiruan, minyak mineral, silikon atau bahan awet seperti parabens atau phenoxyethanol.

Selain itu, untuk membolehkan produk mendapat Ecocert juga, apa yang perlu dipastikan adalah kesemua proses berkaitan penyediaan bahan organik dikawal rapi untuk memastikan alam sekitar dihormati, menghormati haiwan dan manusia serta bahan yang digunakan sebagai pembungkus boleh dikitar semula.

INFO
Produk organik L’Occitane

  • L’Occitane turut menawarkan beberapa produk berasaskan organik kepada pengguna yang mencari produk berasakan bahan semula jadi, terutama daripada tumbuhan herba yang dikawal rapi mutu serta persekitaran tempat ia dituai.
  • Krim penjagaan kulit Ma Creme Nature umpamanya, diperbuat daripada 100 peratus bahan berasaskan tumbuhan serta disahkan organik oleh Ecocert. Ma Creme dihasilkan daripada ekstrak zaitun mengekalkan kelembapan lebih lama dan sihat berseri. Tekstur lembut Ma Creme juga meninggalkan kesan positif kepada pengguna. Penyediaan Ma Creme daripada air zaitun yang kaya dengan polifenol anti radikal bebas serta kalium yang boleh membantu merangsang fungsi kulit dan memulihkan kesegaran serta seri kulit.

  • Produk daripada lintah


    Lintah merupakan haiwan daripada kelompok cacing yang dipanggil sebagai Filum Annekida dalam kategori Hirudinea. Para saintis telah menemui lebih kurang 300 jenis lintah.

    Kebaikan lintah telah lama ditemui dan digunakan dalam perubatan tradisional. Ia terbukti berkesan bagi membantu merawat banyak jenis penyakit seperti sakit kepala, darah tinggi, kudis, jerawat, masalah batin dan sebagainya.

    Air liur lintah boleh memulihkan tisu yang rosak. Justeru lintah banyak digunakan sebagai bahan campuran dalam pembuatan kosmetik.

    Kini pakar perubatan di Barat turut mengiktiraf kebaikan khasiat lintah. Di Amerika, lintah telah diiktiraf sebagai ubat dan disahkan oleh Pentadbiran Ubat dan Makanan Amerika.

    Menyedari kebaikan khasiat lintah, JelitaSari Spa & Beaute telah mengeluarkan dua jenis produk yang berasaskan lintah, iaitu JelitaSari White Pearl dan JelitaSari Black Pearl.

    JelitaSari White Pearl yang ditujukan kepada wanita berkesan bagi membantu:

  • Mengurangkan rekahan dan kesan parut lama.
  • Membentuk dan menganjalkan pinggul.
  • Menghilangkan selulit serta kesan rekahan dan melembutkan kulit.
  • Mengurangkan kesan bengkak, lenguh dan sakit sendi.
  • Menghilangkan kesan jeragat.
  • Sementara itu, JelitaSari Black Pearl yang khusus untuk lelaki membantu:

  • Melegakan sakit pinggang atau lenguh sendi.
  • Mengurangkan kesan bengkak atau sakit akibat gout.
  • Melancarkan perjalanan darah.
  • Kepada yang ingin mencuba, bolehlah melayari http://www.jelitasari.com

    Kelebihan nangka Mastura

    Prof. Dr. Zainal Abidin Abd Aziz memeriksa buah nangka hasil penyelidikannya ketika membuat tinjauan rutin di ladang penyelidikan buah-buahan tropikanya di Kampung Paya Tok Akil, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, baru-baru ini. – utusan/Zhafaran Nasib


    PULAU PINANG 5 Mac – Jarang sekali kita mendengar sebiji buah nangka boleh mencecah berat sehingga 25 kilogram.

    Namun, menerusi hasil kajian seorang penyelidik tempatan, nangka seberat itu berjaya dihasilkan pada tahun 2000.

    Kajian Profesor Dr. Zainal Abidin Abd. Aziz dengan kerjasama sebuah syarikat swasta semasa berkhidmat dengan Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menghasilkan nangka madu itu yang diberi nama Mastura CJ-USM.

    Benih nangka madu itu berjaya dihasilkan melalui kacukan kultivar enam daripada 300 jenis nangka yang dikumpulkan dari seluruh Asia Tenggara melibatkan kajian selama enam tahun.

    Hasil kacukan itu, nangka madu Mastura mempunyai ciri agronomi yang baik dengan saiz buah yang besar, warna isi kuning keemasan, aroma harum, rangup, saiz ulas yang besar dan isi yang tebal.

    Pokok nangka itu juga mampu menghasilkan buah pertama selepas 18 bulan ditanam dengan berat buah boleh mencapai sehingga 40 kilogram berbanding nangka biasa yang mengambil masa lebih setahun untuk berbuah.

    Setakat ini, nangka madu Mastura yang merupakan buah nangka terbesar di dunia mencapai berat purata di antara 15 hingga 25 kilogram.

    Bercerita mengenai kelebihan nangka itu Zainal Abidin berkata, ketinggian pokok nangka madu Mastura boleh dikawal supaya ia tumbuh rendah sekali gus memudahkan proses penuaian.

    ”Tinggi pokok adalah di antara 4.5 hingga 5.4 meter manakala paras dahan yang boleh menghasilkan buah pula dapat dikawal antara satu hingga dua meter,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.

    Mengulas mengenai nama Mastura, Zainal Abidin berkata, perkataan ‘Mas’ adalah merujuk kepada warna isi nangka madu berkenaan yang keemasan manakala ‘Tura’ pula bermakna tanaman untuk rakyat.

    Tambahnya, kajian nangka madu Mastura itu sebelum ini dijalankan di sebuah ladang bekas lombong di Perak dan sejak 2003, semua penyelidikan dilakukan di Pulau Pinang.

    Beliau berkata, tanah seluas kira-kira 12 hektar milik Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) di Kampung Paya Tok Akil di Tasek Gelugor bukan hanya digunakan untuk kajian nangka tetapi juga bagi buah-buahan tropika lain.

    ”Antaranya ialah roselle, durian belanda, jambu batu, jambu air, belimbing, longan, rambutan dan pulasan. Sepanjang tempoh itu lebih 20 jenis benih baru berjaya dihasilkan.

    ”Kajian baru yang terkumpul itu tidak ternilai harganya dengan wang ringgit daripada segi biodiversiti dan ia boleh dikelaskan sebagai harta negara dan mempunyai potensi besar dalam bidang pertanian,” ujarnya.

    Selain itu katanya, penghasilan yang dibuatnya itu dapat membantu menambah pendapatan para petani dan penglibatan mereka juga secara tidak langsung boleh memberi kekuatan kepada penyelidikan tanaman itu.

    Sebagai contoh jelasnya, kajian berterusan terhadap nangka madu Mastura perlu dijalankan bagi mengetengahkan hasil yang diperoleh ke pasaran antarabangsa.

    ”Antara bidang yang telah dan akan diceburi adalah biak baka, kultur tisu, fisiologi, penerokaan menggunakan alternatif daripada bahagian terbuang seperti biji, kulit dan ekstrak buah itu,” katanya.

    Nostalgia di Kampung Pulau Pisang

    salah sebuah penginapan desa berkonsepkan rumah kampung tradisional Melayu milik Pak Atan di Kampung Pulau Pisang, Tunjang, Jitra menarik perhatian pelancong luar. – UTUSAN/Halim Khalid


    JITRA 7 Mac – Bagi warga kota, peluang untuk melarikan diri daripada kesibukan tugas seharian merupakan nikmat yang tidak ternilai. Tentunya, nikmat yang diperoleh khususnya ketika cuti itu tidak akan disia-siakan, malah kebanyakan mereka mahu kembali merasai suasana kampung yang jauh daripada kesibukan kota.

    Antara pilihan bagi warga kota untuk menikmati percutian seperti itu adalah mereka boleh cuba menginap di Homestay Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Kampung Pulau Pisang di sini.

    Inap desa tersebut terletak di sebuah kampung tradisional yang majoritinya terdiri daripada penduduk Melayu.

    Terletak 2.5 kilometer dari Pekan Tunjang, 7 kilometer dari Pekan Jitra dan dari bandar raya Alor Setar pula sejauh 28 kilometer.

    Sebaik sahaja melangkah ke kampung berkenaan, tiada lagi bunyi kenderaan yang membingitkan telinga.

    Yang bakal didengari hanyalah kicauan burung dan kokokan ayam.

    Di sini, para pelancong juga boleh menjalankan aktiviti menangkap ikan air tawar seperti menjala, memancing dan belajar menggunakan alat menangkap ikan tradisional seperti serkap, belat, bubu dan taut.

    Pengerusi Homestay MADA Kampung Pulau Pisang, Norhizan Abdul Ghani atau lebih mesra dengan panggilan Pak Atan, 53, memberitahu, dia mula membuka inap desa di kampung tersebut sejak 10 tahun yang lalu.

    “Pelanggan pertama yang menginap di inap desa saya ialah pelancong dari Jepun yang saya kenali ketika bekerja sebagai jurumudi feri Kuala Perlis-Langkawi.

    “Pelancong Jepun sukakan suasana desa di kampung ini dan sejak itu saya terus mengambil keputusan untuk bergiat aktif sebagai pengusaha inap desa,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

    Menurut Pak Atan, dia bertuah kerana tidak perlu menjalankan promosi secara berlebihan kerana para pelancong yang pernah menginap di inap desa tersebut akan menyebarkan berita mengenainya kepada rakan-rakan mereka.

    “Kampung ini selalunya menjadi perhentian sementara bagi back-packers yang ingin meneruskan perjalanan ke Thailand.

    “Dahulu saya hanya ada sebuah rumah ‘tumpangan’, tetapi kini saya ada kira-kira empat buah rumah di kawasan milik keluarga saya ini,” ujarnya.

    Tambah Pak Atan, sejak melihat sambutan yang menggalakkan daripada para pelancong yang tidak putus-putus menginap di inap desanya, penduduk kampung di kawasan tersebut juga semakin berminat untuk menjadikan rumah mereka sebagai inap desa.

    Ujarnya, suatu ketika dahulu, hanya dia satu-satunya pengusaha inap desa di Kampung Pulau Pisang, namun kini terdapat kira-kira 10 orang lagi yang menjadi pengusaha.

    “Melalui inap desa, kami bukan sahaja dapat menambahkan pendapatan namun menjadi duta kecil negara kepada pelancong luar.

    “Budaya kita yang unik serta pengalaman untuk hidup di kampung itulah yang mahu dirasai oleh pelancong,” katanya.

    Ujarnya, bantuan yang diberikan oleh pihak MADA dalam memajukan lagi industri inap desa di Kampung Pulau Pisang amat dihargai.

    “Kampung Pulau Pisang kini semakin dikenali dan saya yakin industri inap desa akan terus maju di kampung ini.

    “Saya juga telah merancang pelbagai aktiviti yang menarik seperti membakar gajus secara tradisi yang sudah lama tidak dilakukan bagi mempromosi inap desa kampung ini,” katanya.

    Bagi mereka yang ingin merasai sendiri suasana desa di Kampung Pulau Pisang mereka boleh menghubungi Pak Atan di talian 0125342380.