Kelebihan nangka Mastura

Prof. Dr. Zainal Abidin Abd Aziz memeriksa buah nangka hasil penyelidikannya ketika membuat tinjauan rutin di ladang penyelidikan buah-buahan tropikanya di Kampung Paya Tok Akil, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, baru-baru ini. – utusan/Zhafaran Nasib


PULAU PINANG 5 Mac – Jarang sekali kita mendengar sebiji buah nangka boleh mencecah berat sehingga 25 kilogram.

Namun, menerusi hasil kajian seorang penyelidik tempatan, nangka seberat itu berjaya dihasilkan pada tahun 2000.

Kajian Profesor Dr. Zainal Abidin Abd. Aziz dengan kerjasama sebuah syarikat swasta semasa berkhidmat dengan Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menghasilkan nangka madu itu yang diberi nama Mastura CJ-USM.

Benih nangka madu itu berjaya dihasilkan melalui kacukan kultivar enam daripada 300 jenis nangka yang dikumpulkan dari seluruh Asia Tenggara melibatkan kajian selama enam tahun.

Hasil kacukan itu, nangka madu Mastura mempunyai ciri agronomi yang baik dengan saiz buah yang besar, warna isi kuning keemasan, aroma harum, rangup, saiz ulas yang besar dan isi yang tebal.

Pokok nangka itu juga mampu menghasilkan buah pertama selepas 18 bulan ditanam dengan berat buah boleh mencapai sehingga 40 kilogram berbanding nangka biasa yang mengambil masa lebih setahun untuk berbuah.

Setakat ini, nangka madu Mastura yang merupakan buah nangka terbesar di dunia mencapai berat purata di antara 15 hingga 25 kilogram.

Bercerita mengenai kelebihan nangka itu Zainal Abidin berkata, ketinggian pokok nangka madu Mastura boleh dikawal supaya ia tumbuh rendah sekali gus memudahkan proses penuaian.

”Tinggi pokok adalah di antara 4.5 hingga 5.4 meter manakala paras dahan yang boleh menghasilkan buah pula dapat dikawal antara satu hingga dua meter,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Mengulas mengenai nama Mastura, Zainal Abidin berkata, perkataan ‘Mas’ adalah merujuk kepada warna isi nangka madu berkenaan yang keemasan manakala ‘Tura’ pula bermakna tanaman untuk rakyat.

Tambahnya, kajian nangka madu Mastura itu sebelum ini dijalankan di sebuah ladang bekas lombong di Perak dan sejak 2003, semua penyelidikan dilakukan di Pulau Pinang.

Beliau berkata, tanah seluas kira-kira 12 hektar milik Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) di Kampung Paya Tok Akil di Tasek Gelugor bukan hanya digunakan untuk kajian nangka tetapi juga bagi buah-buahan tropika lain.

”Antaranya ialah roselle, durian belanda, jambu batu, jambu air, belimbing, longan, rambutan dan pulasan. Sepanjang tempoh itu lebih 20 jenis benih baru berjaya dihasilkan.

”Kajian baru yang terkumpul itu tidak ternilai harganya dengan wang ringgit daripada segi biodiversiti dan ia boleh dikelaskan sebagai harta negara dan mempunyai potensi besar dalam bidang pertanian,” ujarnya.

Selain itu katanya, penghasilan yang dibuatnya itu dapat membantu menambah pendapatan para petani dan penglibatan mereka juga secara tidak langsung boleh memberi kekuatan kepada penyelidikan tanaman itu.

Sebagai contoh jelasnya, kajian berterusan terhadap nangka madu Mastura perlu dijalankan bagi mengetengahkan hasil yang diperoleh ke pasaran antarabangsa.

”Antara bidang yang telah dan akan diceburi adalah biak baka, kultur tisu, fisiologi, penerokaan menggunakan alternatif daripada bahagian terbuang seperti biji, kulit dan ekstrak buah itu,” katanya.

2 thoughts on “Kelebihan nangka Mastura

  1. Syabas dan tahniah Dr. atas kejayaan penyelidikan. Saya ingin mencuba menanam pokok nangka madu ini tetapi tidak tahu di mana untuk mendapatkan benihnya. Terima kasih.

  2. Assalamu’alikum,
    Saya amat berminat untuk menanam nangka madu mastura, dimana saya boleh mendapatkan khidmat nasihat mengenainya serta bekalan benih untuk keluasan lebih kurang tiga ekar – berapa pokok yang diperlukan.

    Terima kasih.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s