![]() |
usaha memperkenalkan bioteknologi perlu dimulakan di peringkat sekolah menengah supaya murid-murid dapat memupuk minat dalam bidang ini. – gambar hiasan
|
Baru-baru ini berlangsung acara BioMalaysia 2009 iaitu persidangan dan pameran bioteknologi yang terbesar di Malaysia. Objektif program tersebut adalah menyediakan satu platform strategik untuk idea-idea bernas, penyelesaian praktikal dan kerjasama efektif kepada peserta bioteknologi dari Malaysia dan antarabangsa.
Langkah kerajaan menganjurkan program sedemikian memperlihatkan usaha bersungguh-sungguh kerajaan dalam membangunkan industri bioteknologi sebagai sebahagian daripada pemacu ekonomi negara.
Penglibatan dalam industri bioteknologi sebenarnya berpotensi mewujudkan pelbagai manfaat kepada umat, umpamanya dari aspek penjagaan kesihatan, pembekalan sumber makanan, dan pembangunan pertanian.
Mencari perisai H1N1
Penularan wabak H1N1 telah mengakibatkan sejumlah kematian di samping memberi kesan terhadap kegiatan ekonomi semasa.
Walau bagaimanapun, situasi ini telah mewujudkan permintaan terhadap barangan yang dapat membantu mencegah H1N1, seperti penutup muka, bahan pembasmi kuman, antiviral dan juga vaksin.
Maka di mana kedapatan syarikat milik umat Islam beserta kepakaran umat Islam sendiri yang tampil menghasilkan bahan-bahan yang diperlukan sedemikian?
Barangkali hal ini boleh dijadikan kayu pengukur untuk bermuhasabah diri tentang keupayaan ilmu mengurus sistem oleh umat Islam itu sendiri.
Adakah kita sebagai umat Islam hanya mahu bergantung kepada melakukan langkah-langkah pencegahan serta kawalan semata-mata? Dan pada masa yang sama mengharapkan kepakaran umat lain dalam menghasilkan vaksin dan ubat-ubatan?
Sudah tentu tidak. Umat Islam juga perlu berusaha membangunkan keupayaan sendiri dalam industri bioteknologi. Umat Islam sendiri yang kini seramai 1.57 bilion sebenarnya merupakan satu saiz pasaran yang besar bagi produk bioteknologi yang dapat dihasilkan.
Justeru, usaha membangunkan industri bioteknologi merupakan satu tuntutan fardu kifayah yang perlu dipenuhi oleh umat Islam.
Isu wabak H1N1 seharusnya mencetuskan kesedaran kepada kita semua untuk sama-sama menyokong individu atau organisasi dari kalangan umat Islam yang terlibat secara langsung dalam bidang bioteknologi ini.
Kita ingin melihat satu hari nanti terdapat syarikat bioteknologi atau farmaseutikal milik umat Islam beserta tenaga kerja Muslim dapat bersaing di pentas antarabangsa serta menghasilkan ubat-ubatan, vaksin dan sebagainya yang halal, baik dan berkesan.
Status halal dan bioteknologi
Piawaian halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membantu kita mengenal pasti status halal sesuatu produk yang dipasarkan di negara kita. Status halal tersebut merangkumi bahan serta kaedah yang digunakan untuk menghasilkan produk tersebut.
Memandangkan terdapat pelbagai jenis produk di pasaran, terdapat sebilangan produk khasnya dari luar negara yang tidak mendapatkan pengesahan sijil halal tersebut, tetapi mungkin halal dari segi kandungannya. Atau mungkin juga berlaku situasi di mana piawaian halal gagal dipatuhi selepas berjaya memperolehi sijil halal.
Lalu di sini timbulnya keperluan untuk menyokong usaha pihak kerajaan dalam menyediakan produk halal bagi penduduk di negara ini. Selain berpandukan kepada logo halal yang sah, kajian boleh dijalankan oleh badan penyelidik bebas yang memiliki kepakaran bioteknologi dalam menentukan status halal produk di pasaran.
Kajian Pusat Pengajian Sains Farmasi Universiti Sains Malaysia (USM) untuk mengenal pasti status halal gelatin kapsul ubat di pasaran sememangnya merupakan satu langkah yang patut dipuji dan wajar dicontohi.
Justeru, kepakaran bioteknologi seharusnya dimanfaatkan lagi dalam usaha kita menjaga kualiti halal pada produk yang ada di pasaran. Hal ini seterusnya dapat membantu ke arah membekalkan barangan yang halal lagi baik kepada para pengguna Islam di negara kita.
Dengan kekuatan bioteknologi juga, kita mampu menggariskan piawaian tersendiri terhadap produk yang dipasarkan di negara kita. Piawaian tersebut dapat menjadi landasan tentang kualiti produk khususnya makanan dan ubat-ubatan di pasaran.
Sebagaimana Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (US FDA) berperanan menetapkan kualiti makanan dan ubat-ubatan di pasaran negara tersebut, piawaian kita sendiri seharusnya setanding atau mungkin lebih baik berbanding piawaian mereka.
Namun tahap ini hanya dapat dicapai seandainya keupayaan bioteknologi kita maju dan terus berkembang.
Cabaran industri bioteknologi
Penglibatan dalam industri bioteknologi menuntut pelaburan dana yang besar. Perkara ini merangkumi kos pembinaan loji, sumber manusia, aktiviti penyelidikan dan pembangunan, pembuatan produk dan juga pemasaran.
Malahan, pulangan modal dijangka diperoleh hanya selepas satu tempoh masa yang panjang, iaitu selepas produk yang terhasil disahkan memenuhi piawaian kualiti yang ditetapkan dan kemudiannya mula dipasarkan.
Apatah lagi, produk yang dihasilkan perlu berdepan dengan birokrasi piawaian kualiti negara tertentu untuk menembusi pasaran di negara tersebut. Produk tersebut perlu melalui ujian-ujian yang ditetapkan demi memastikannya mematuhi piawaian mereka.
Lalu keadaan ini menyebabkan proses penembusan produk tersebut mengambil masa yang panjang bagi mendapatkan pelepasan untuk dipasarkan. Pada masa yang sama, syarikat perlu menanggung kos operasi yang berterusan sepanjang masa.
Atau mungkin akhirnya produk tersebut gagal mendapat kebenaran untuk dipasarkan di negara tersebut kerana dikatakan tidak melepasi syarat-syarat tertentu. Maka produk tersebut perlu kembali kepada bahagian penyelidikan dan pembangunan untuk dibangunkan kembali.
Hal ini tentunya merupakan satu tamparan buat syarikat tersebut yang telah banyak melabur tetapi masih tidak dapat memasarkan produk yang dihasilkan. Malahan kos penyelidikan perlu ditambah untuk pembangunan kembali produk tersebut.
Situasi sedemikian merupakan sebahagian risiko yang mungkin dihadapi oleh para peserta industri bioteknologi. Namun andainya dapat diatasi, keuntungan yang lumayan dapat diperoleh selepas produk mendapat tempat di pasaran.
Kesimpulan
Sememangnya usaha memperkasa keupayaan bioteknologi umat perlu menghadapi pelbagai mehnah dan tribulasi serta perjalanan yang panjang.
Namun matlamat mewujudkan manfaat bioteknologi untuk umat Islam dan sejagat seharusnya mengatasi cabaran yang merintangi demi memenuhi tuntutan fardu kifayah yang satu ini.