Tanam cili padi


Cili padi banyak digunakan dalam resipi masakan Nusantara.

Penanaman guna polibeg atau kotak mampu keluarkan hasil dalam masa 10 – 14 minggu

CILI ialah tanaman daripada genre Capsicum, keluarga Solanaceae. Mengikut istilah botani, capsicum dalam kategori buah berri, namun cili sering dimasukkan dalam kumpulan sayuran yang mempunyai rasa pedas dan bahan penyediaan masakan.

Bagaimanapun, cili bukan saja digunakan sebagai bahan pedas, ia juga menjadi hiasan menarik untuk masakan mengikut keperluan pengguna.

// // // //

Cili dipercayai berasal dari benua Amerika dan kini hidup di seluruh dunia kerana penggunaannya meluas dalam masakan mahu pun perubatan.

Namun, salah satu cili yang mendapat sambutan di negara ini dan sesuai dengan selera orang Asia ialah cili padi yang juga dikenali cili burung.

Cili ini bersaiz kecil dan bentuknya seperti biji padi menyebabkan ia mendapat nama cili padi. Di sesetengah tempat pula, ia dikenali cili burung kerana menjadi makanan unggas berkenaan.

Gambar dari kiri, Anak cili dalam pasu gantung. Bunga cili berwarna putih. Semai cili di tempat teduh.

Selain menjadi bahan makanan, cili padi turut menjadi hiasan menarik bagi laman terutama dalam penyediaan taman ramuan atau taman dapur (Edible Garden).

Berikut kaedah yang sesuai untuk menanam cili padi:

Langkah mudah penyediaannya.
A. Penyediaan anak benih
Ada dua jenis cara semaian mudah bagi penggunaan sendiri (bukan komersial).

1. Semaian Polibeg
Bahan diperlukan: Biji benih, polibeg dan media tanaman (Peatgro).

Cili hibrid menghasilkan buah pelbagai warna.

Taburkan dua hingga tiga biji sedalam 0.5 cm. Penjarangan dilakukan apabila anak benih mempunyai dua hingga tiga helai daun. Pilih pokok yang sihat. Tinggalkan satu pokok dalam setiap polibeg. Simpan di tempat teduh dan tunggu sehingga 6-8 minggu sehingga dialihkan ke lokasi tanaman tetap ( atas batas atau pasu).

2. Kotak Semaian
Bahan diperlukan: Biji benih , bekas semaian, media (Peatgro).

Menggunakan bekas semaian, pastikan mempunyai lubang pengairan di bahagian bawah. Taburkan media ke dalam bekas siram sehingga lembap keseluruhannya.

Biji benih disemai pada kedalaman 0.5 cm. Pastikan dilindungi daripada hujan lebat serta gangguan serangga. Penyiraman secara semburan halus dilakukan setiap hari. Anak benih dipindahkan ke tempat penanaman selepas tiga hingga enam minggu disemai.

Nota: Semburan baja daun boleh digunakan pada minggu kedua

B. Penyediaan media tanaman
1. Campuran tanah terbaik untuk pasu tanaman pokok gantung:

3 : 2 : 1 atau;
Tanah Atas : Bahan organik (Peatgro) : Pasir

Ingat… Pokok yang bagus bermula dengan tanah (media) yang bagus.

2. Baja Asas
Baja Organik – 150 g
Baja Phosphate ( TSP ) – 150 g
Kapur Pertanian ( Ca ) – 60 g

  • Sila rujuk keluaran Berita minggu mengenai topik campuran tanahC. Persediaan menanam
    Memindah anak benih:

    1. Selepas enam minggu di tapak semaian

    2. Pilih anak cili yang sihat, normal dan tidak berpenyakit.

    3. Sebelum mengubah anak pokok, dedahkan kepada sinaran matahari secara beransur-ansur (proses pengerasan)

    4. Siram media agar basah supaya mudah untuk mencabut anak pokok dan mengurangkan kerosakan pada akar.

    5. Masa sesuai adalah pada waktu petang (redup) diikuti dengan penyiraman.

    D. Pembajaan dan pengurusan air pembajaan
    Cuba elakkan menggunakan baja kimia memandangkan hasilnya untuk kegunaan sendiri.

    Memandangkan campuran tanah sudah mengandungi baja asas, pembajaan seterusnya boleh di lakukan selepas minggu ke dua selepas dipindahkan.

    Pembajaan seterusnya boleh dilakukan dua minggu sekali.

    Penggunaan hormon atau vitamin atau penggalak ataupun EM (mikrob baik) dalam bentuk cecair boleh digunakan sekali seminggu. Penyemburan keseluruhan pangkal pokok sehingga daun juga boleh dilakukan.

    Bagi mendapatkan jenis baja organik serta hormon dan EM, bolehlah rujuk di kedai baja atau kedai pokok semaian (nurseri).

    Nota: Penggunaan Peatgro sebagai media penanaman utama sangat penting kerana memberikan kualiti media yang baik, pH yang sesuai serta memastikan kelembapan yang sekata.

    Penyiraman
    Siram dua kali sehari, pada awal pagi dan petang. Jika hujan, penyiraman boleh dikurangkan.

    E. Penuaian Hasil
    Hasil boleh diperoleh pada tempoh 10 -14 minggu. Memetik cili sebaik-baiknya dilakukan pada waktu pagi atau lewat petang.

    Elakkan menuai atau memetik cili sehingga dahan cili terluka.

  • Pengurusan Serangga Perosak dan Penyakit akan dibincangkan pada artikel akan datang.Nantikan penerangan secara mudah bagaimana untuk membuat bahan pencegah serangga perosak dan penyakit secara organik. Daripada bahan mudah, murah dan senang diikuti.Selamat Mencuba.Fakta: Cili
  • Tanaman genre Capsicum, keluarga Solanaceae
  • Dipercayai berasal dari benua Amerika
  • Ada lebih 400 jenis cili ditanam di seluruh dunia
  • Cili padi atau cili burung antara yang mendapat sambutan di Malaysia
  • Penggunaan cili meluas dalam masakan dan perubatan
  • Turut kaya vitamin A – antioksidan yang penting bagi meningkatkan daya tahan badan
  • Rasa pedas dihasilkan bahan kimia capsaicin dikatakan boleh meningkatkan tahap metabolik dan membantu masalah seperti selesema.
  • Racun serangga organik

    PENGGUNAAN racun serangga berasaskan bahan kimia dalam tempoh panjang memberi kesan kepada manusia, termasuk masalah kulit dan kemusnahan alam sekitar. Justeru, kini ramai yang beralih menggunakan bahan organik. Pakar Hortikultur, Abdul Rahim Rashid menunjukkan cara mudah, murah dan selamat menghasilkan racun serangga organik yang boleh dihasilkan sendiri di rumah.

    Racun serangga selamat: Pestisid botanik mesra alam dan murah menggunakan ramuan di dapur seperti bawang putih, halia, serbuk cili dan minyak masak

    PADA keluaran 8 November lalu, saya menjanjikan sesuatu yang mudah, menarik, murah dan selamat untuk menghasilkan bahan membunuh serangga perosak dan mengawal penyakit menggunakan bahan organik.

    Setiap kali mengadakan program seminar atau bengkel berkenaan landskap, saya sering kali diajukan persoalan mengenai pencegahan penyakit, racun yang biasa di gunakan dan cara menggunakan.

    Selain itu, kerap juga mendengar mengenai cara penggunaan racun perosak berasaskan bahan kimia yang tidak betul serta boleh mengundang bahaya jikalau salah menggunakan serta cara penyimpanannya.

    Konsep yang biasanya saya terangkan adalah konsep mengawal lebih baik dari mengubat terutama pada prinsip penyelenggaraan. Adakah anda terfikir bahawa bahan di dapur di sekeliling kita amat sesuai sebagai pencegah dan perawat serangan perosak dan penyakit pokok.

    Kerengga perosak buah.

    Tidak perlu memikirkan jenis racun kimia yang dibeli, bagaimana untuk menyimpan di tempat selamat, serta cara yang betul menggunakannya. Cuba anda fikirkan kesan dan akibat salah penggunaan bahan kimia ini.

    Sebelum bercerita lanjut berkenaan cara untuk penyediaan bahan berkenaan, berikutan senarai jenis serangga perosak ini.

    Serangga jenis mengunyah

    • Kumbang
    • Belalang
    • Kupu-kupu
    • Ulat Bulu
    • Siput
    • Lintah Bulan

    Serangga jenis menghisap (Pembawa virus dan penyakit)

    • Aphis @ Aphid @ kutu Daun
    • Koya
    • Pianggang
    • Teritip (Scaler)
    • Kulat Putih

    Penyediaan bahan Larutan stok

    • 1 liter Air
    • 1 Sudu Besar Minyak Masak / minyak sayur
    • 1 Sudu besar sabun basuh
    • 4 – 6 Ulas bawang putih ( ditumbuk )

    Langkah

    • Masukkan minyak masak atau minyak sayur dan sabun ke dalam 1 liter air
    • Tumbuk 4 – 6 ulas bawang putih dan masukkan ke dalam larutan tadi.
    • Setelah dikacau , tapiskan
    • Untuk penyemburan : campurkan 1 bahagian Larutan Stok dengan 4 bahagian air.

    Bagi serangan serangga jenis mengunyah, campurkan beberapa 2-3 biji cili api/masak (hancurkan ) atau lada hitam (ditumbuk) manakala serangan serangga jenis menghisap, anda perlu campurkan beberapa titis minyak listari (essential oil) atau halia (ditumbuk) atau serbuk kunyit. Bahan ini adalah campuran yang biasa saya nasihatkan kepada kepada suri rumah atau penggemar landskap dalam kuantiti yang sedikit. Selain daripada itu, ekstrak tumbuhan lain bagi tujuan kawalan serangga perosak dalam kuantiti yang besar adalah:

    Ekstrak bawang

    Kawal penyakit reput antraknos pokok cili serta hawar cili. Hancurkan 50 gm bawang dalam 1 liter air. Tapis dan semburkan pada pokok.

    Campuran minyak kayu putih (Tea Tree Mixture)

    Untuk mengawal penyakit lecuh. Campur 5 ml minyak kayu putih ke dalam 10-20 liter air. Gunakan dengan cara basahkan tanah di sekeliling pokok (Soil Drenching).

    Ekstrak halia

    Kawalan penyakit kulapuk. Kisar 20 gm halia dalam 1 liter air. Tapis dan sembur 3 kali seminggu.

    Ekstrak daun Neem (semambu)

    Untuk kawalan vektor seperti kutu daun, teritip dan lalat putih. Campurkan 2 kg daun Neem yang sudah di tumbuk lumat bersama dengan 30g sabun basuh. Tinggalkan semalaman dan tapis. Setiap 5 liter bahagian dicampurkan dengan 15 liter air dan semburkan ke pokok.

    Ekstrak bawang putih

    Juga untuk kawalan vektor seperti kutu daun dan teritip serta lalat putih. Campurkan 100 gm bawang putih dicincang dalam 0.5 liter air.

    Tambahkan 10 ml minyak masak dan 10 gm sabun. Tinggalkan semalaman dan tapiskan. Untuk semburan, campurkan larutan campuran bersama air dengan nisbah 1:200.

    Hakikatnya, bahan yang ada di sekeliling kita amat mudah ditemui dan dengan kos yang rendah, saya percaya penggunaan racun serangga kimia dapat dielakkan. Hasil yang didapati akan lebih baik malah boleh tidak perlu risau akan kesan sampingannya. Paling penting, ia murah, mudah dan senang.

    Selamat Mencuba…

    Syarikat tempatan bangunkan industri alga

    Ed Salman Mohd. Kassim (kiri) dan Mizal Ghazali MENUNJUKKAN SAMPEL ALGA YANG HENDAK DIKULTUR DI MAKMAL SYARIKAT DI KUALA LUMPUR, BARU-BARU INI.


    Berapa ramaikah daripada kita mengenali alga. Ia sejenis hidupan seni berwarna hijau yang menjadi makanan pada peringkat awal rantaian makanan dalam persekitaran air laut.

    Ramai tidak menyedari potensi lain mikrorganisme ini sedangkan penggunaannya di

    luar negara semakin meluas.

    Sebuah syarikat tempatan Algaetech Sdn. Bhd. telah melihat potensi organisme ini berdasarkan kepada perkembangan industri di luar negara yang memanfaatkan alga untuk pelbagai kegunaan.

    Dua kegunaan alga yang diterokai ialah penggunanya dalam farmaseutikal dan juga biofuel (bahan api bio).

    Alga dikatakan sangat sesuai untuk makanan ikan salmon, menjadinya popular di negara Barat tetapi bagi Algatech, ia lebih daripada sekadar itu.

    Syarikat ini yang mula beroperasi pada 2005 bagaimanapun meneroka potensi alga untuk dijadikan biofuel dan juga farmaseutikal berdasarkan kandungan antioksidannya iaitu asthaxanthin yang tinggi.

    Malah syarikat tersebut telah menerima dua geran penyelidikan iaitu Technofund di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bernilai RM2 juta dan juga geran daripada Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) iaitu bagi pemindahan teknologi bernilai RM3.3 juta.

    Menurut Pengurus Besar Kumpulan Algaetech, Mizal Ghazali, nilai alga khususnya antioksidan berkenaan sangat tinggi sehingga RM15,000 sekilogram.

    “Ini merupakan satu peluang industri yang besar selain potensinya untuk biofuel,” katanya ketika di temui makmal syarikat tersebut di Bukit Jalil , Kuala Lumpur baru-baru ini.

    Syarikat berkenaan mempunyai makmal pengeluaran di Bukit Jalil yang mampu menghasilkan 1.2 juta liter alga sehari manakala sasaran pengeluaran ialah satu tan sehari.

    Sementara itu menurut Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Algaeteh, Ed Salman Mohd. Kassim, operasi syarikat tersebut yang melibatkan kajian di makmal dan semua yang berkaitan teknologi pengkulturan.

    Ia termasuk sistem kolam terbuka, closed photo bioreactor dan bioreaktor terbuka dan pengkomersialan dijalankan oleh anak syarikat kumpulan Algaetech iaitu, Sasaran Varicon Aqua Sdn. Bhd., Biomac Corporation Sdn. Bhd. dan Bio Herbal Extracts Sdn. Bhd.

    Sasaran Varicon Aqua secara keseluruhannya bertindak sebagai pembekal teknologi termasuk photo bioreator ke rantau Asia dan telah mengenal pasti 60 lokasi pengembangan teknologi ke seluruh rantau ini.

    Beliau berkata, terdapat dua jenis alga yang sedang dikultur oleh syarikatnya ialah Nanochloropsis dan juga Haematococcus pluvialis yang masing-masing mempunyai dua kegunaan berbeza.

    Haematococcus berguna untuk menghasilkan asthaxanthin, sebagai sumber anti-oksidan yang tinggi manakala Nanochloropsis dimanfaatkan untuk pengeluaran biodiesel.

    Alga berkenaan secara berperingkat dikultur dan dibiak di dalam makmal sehingga dipindahkan ke sistem yang lebih besar sama ada kolam terbuka atau biofence photo bioreactor bergantung kepada keperluan pengeluaran.

    Proses ini mengambil masa selama antara lapan dan sepuluh hari sebelum dapat dituai hasilnya.

    Kemampuan Alga untuk dituai dalam masa yang singkat juga merupakan satu tarikan yang sangat besar bagi syarikat ini berkecimpung didalam bidang ini. Tidak seperti sumber biofuel yang lain seperti kelapa sawit yang memerlukan sehingga beberapa tahun untuk dituai.


    Alga dikultur dalam kelalang di makmal.



    pendapat pakar

    Alga juga tidak memerlukan keluasan tanah yang terlalu banyak, yang mana terdapat banyak pendapat pakar alam sekitar yang mendakwa penghasilan biofuel memerlukan terlalu banyak kawasan tanah dan boleh menyebabkan kekurangan tanah bumi.

    Haematococcus merupakan sejenis alga yang bergerak dan hidup dalam air tawar. Alga ini memerlukan nitrogen, fosfat dan potassium serta unsur surih serta vitamin untuk pertumbuhan yang sihat.

    Alga jenis ini sangat sesuai untuk biofuel dan dapat mengekalkan kelestarian alam sekitar jika di hasilkan secara besar-besaran.

    Ini kerana, alga memerlukan karbon dioksida untuk berkembang dan untuk menjadi biofuel ia akan membebaskan gas tersebut.

    Proses yang dinamakan sequestring atau pengasingan karbon dioksida itu juga merupakan satu peluang industri yang wajar diterokai.

    Untuk tujuan ini, pihaknya akan berbincang dengan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan bagi tujuan mengembangkan kegunaan alga berkenaan bagi tujuan biofuel.

    Bagaimanapun penghasilan alga untuk tujuan biofuel memerlukan kuantiti yang banyak.

    Sebagai contoh, untuk menghasilkan i liter biofuel, sebanyak 3,000 liter alga diperlukan.

    Menariknya, makmal syarikat berkenaan mendapat bimbingan perundingan daripada pakar-pakar alga tempatan serta dari luar negara.

    Syarikat terbabit juga menerokai peluang dalam pengeluaran Spirulina untuk tujuan pasaran tempatan dan timur tengah memandangkan, pengkulturannya sama dengan alga dan sangat berpotensi sebagai makanan kesihatan.

    Atas kesedaran itu, Kumpulan Algaetech akan menganjurkan Sidang Kemuncak Alga Asia 2009 yang bakal diadakan pada 23 hingga 24 November ini di Auditorium Taman Teknologi Malaysia (TPM) Bukit Jalil.

    Sidang kemuncak tersebut diadakan dengan kerjasama daripada TPM dan disahkan oleh SIRIM Berhad untuk industri alga Asia Pasifik.

    Tujuan utama sidang kemuncak pada tahun ini adalah untuk menerokai dan melihat dinamika industri alga yang semakin pantas berkembang di Asia.

    Dengan menghimpunkan lebih 18 pakar-pakar industri Alga dari seluruh dunia seperti Town Dowd (New Horizon Capital Limited, New Zealand), Prof. Keith Cowan (Universiti Rhodes, Afrika Selatan), Joe Mc Donalds (Sasaran Varicon Aqua, Malaysia) yang banyak menyumbangkan idea untuk berkenaan

    Menurut Ed Salman, sidang menyuarakan penyertaan sehingga 100 orang dan diharapkan ia dapat memberikan pendedahan dan peluang kepada delegasi tempatan dan luar negara untuk melihat potensi alga dan juga sorotan kejayaan industri alga di Asia.

    Layari laman web www.algae.com.my untuk butiran lanjut.

    Budu dalam bentuk debu

    fisal ahmad bersama-sama produk Debudu yang mudah dibawa ke mana-mana.


    BERCERITA mengenai masakan tradisional, tidak boleh ketepikan budu – sejenis sos ikan yang cukup terkenal di Kelantan. Budu merupakan produk yang dihasilkan daripada ikan bilis dan garam yang diperam memberikan rasa dan bau yang unik.

    Biasanya budu digunakan sebagai pencicah yang dimakan bersama-sama ulam serta nasi dan lauk-pauk.

    Budu mempunyai semua asid amino dan tinggi dengan kadar lysine selain vitamin serta garam galian yang berguna.

    Makanan ini juga merupakan sumber terbaik bagi Vitamin B12 dan garam galian seperti kalsium, natrium, magnesium, zat besi dan fosforus.

    Budu juga mempunyai kandungan garam yang tinggi yang menghalang pengguna mengambilnya dalam kuantiti yang tinggi.

    Bagaimanapun dengan kepentingan nutrisi tetapi pengeluaran yang terhad boleh membantutkan usaha untuk mengkomersialkan produk berkenaan.

    Justeru Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjalankan kajian menghasilkan budu dalam bentuk serbuk atau dinamakan debudu.

    Pensyarah Jabatan Sains Makanan, Fakulti Agroteknologi dan Sains Makanan, Fisal Ahmad mendapat idea menghasilkan debudu apabila sukar membawa budu menaiki pesawat.

    “Budu yang merupakan makanan berkhasiat sepatutnya mudah dibawa ke mana saja selain senang disajikan.

    “Botol budu yang dibawa menaiki pesawat biasanya mudah pecah akibat proses penapaian,” katanya semasa ditemui di pameran Pecipta 2009 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

    Justeru beliau menghasilkan debudu yang merupakan produk unik – merupakan budu yang dikeringkan .

    “Produk baru ini boleh ditambah dengan beberapa bahan lain seperti cili, asam limau selain pembungkusan serta pengurusan yang mudah dan menarik,” katanya.

    Debudu merupakan kaedah terbaik untuk menangani masalah bekalan yang terhad selain meluaskan penggunaannya di masa depan.

    Fisal menambah, apabila budu dikeringkan, ia tidak menghilangkan khasiatnya dalam bentuk Debudu.

    Beliau berkata, buat masa ini pihaknya telah menjalankan kerjasama dengan pengeluar budu terbesar bagi menjalankan kajian menghasilkan debudu.

    “Bedubu boleh didapati dengan dua perisa iaitu asli dan campuran cili, limau dan bawang dan hanya perlu ditambah air apabila dihidangkan,” katanya.

    Debudu yang telah dibungkus menarik, jelas Fisal sesuai dijadikan cenderahati kerana kering, mudah dibawa.

    Memperkasa bioteknologi umat

    usaha memperkenalkan bioteknologi perlu dimulakan di peringkat sekolah menengah supaya murid-murid dapat memupuk minat dalam bidang ini. – gambar hiasan


    Baru-baru ini berlangsung acara BioMalaysia 2009 iaitu persidangan dan pameran bioteknologi yang terbesar di Malaysia. Objektif program tersebut adalah menyediakan satu platform strategik untuk idea-idea bernas, penyelesaian praktikal dan kerjasama efektif kepada peserta bioteknologi dari Malaysia dan antarabangsa.

    Langkah kerajaan menganjurkan program sedemikian memperlihatkan usaha bersungguh-sungguh kerajaan dalam membangunkan industri bioteknologi sebagai sebahagian daripada pemacu ekonomi negara.

    Penglibatan dalam industri bioteknologi sebenarnya berpotensi mewujudkan pelbagai manfaat kepada umat, umpamanya dari aspek penjagaan kesihatan, pembekalan sumber makanan, dan pembangunan pertanian.

    Mencari perisai H1N1

    Penularan wabak H1N1 telah mengakibatkan sejumlah kematian di samping memberi kesan terhadap kegiatan ekonomi semasa.

    Walau bagaimanapun, situasi ini telah mewujudkan permintaan terhadap barangan yang dapat membantu mencegah H1N1, seperti penutup muka, bahan pembasmi kuman, antiviral dan juga vaksin.

    Maka di mana kedapatan syarikat milik umat Islam beserta kepakaran umat Islam sendiri yang tampil menghasilkan bahan-bahan yang diperlukan sedemikian?

    Barangkali hal ini boleh dijadikan kayu pengukur untuk bermuhasabah diri tentang keupayaan ilmu mengurus sistem oleh umat Islam itu sendiri.

    Adakah kita sebagai umat Islam hanya mahu bergantung kepada melakukan langkah-langkah pencegahan serta kawalan semata-mata? Dan pada masa yang sama mengharapkan kepakaran umat lain dalam menghasilkan vaksin dan ubat-ubatan?

    Sudah tentu tidak. Umat Islam juga perlu berusaha membangunkan keupayaan sendiri dalam industri bioteknologi. Umat Islam sendiri yang kini seramai 1.57 bilion sebenarnya merupakan satu saiz pasaran yang besar bagi produk bioteknologi yang dapat dihasilkan.

    Justeru, usaha membangunkan industri bioteknologi merupakan satu tuntutan fardu kifayah yang perlu dipenuhi oleh umat Islam.

    Isu wabak H1N1 seharusnya mencetuskan kesedaran kepada kita semua untuk sama-sama menyokong individu atau organisasi dari kalangan umat Islam yang terlibat secara langsung dalam bidang bioteknologi ini.

    Kita ingin melihat satu hari nanti terdapat syarikat bioteknologi atau farmaseutikal milik umat Islam beserta tenaga kerja Muslim dapat bersaing di pentas antarabangsa serta menghasilkan ubat-ubatan, vaksin dan sebagainya yang halal, baik dan berkesan.

    Status halal dan bioteknologi

    Piawaian halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membantu kita mengenal pasti status halal sesuatu produk yang dipasarkan di negara kita. Status halal tersebut merangkumi bahan serta kaedah yang digunakan untuk menghasilkan produk tersebut.

    Memandangkan terdapat pelbagai jenis produk di pasaran, terdapat sebilangan produk khasnya dari luar negara yang tidak mendapatkan pengesahan sijil halal tersebut, tetapi mungkin halal dari segi kandungannya. Atau mungkin juga berlaku situasi di mana piawaian halal gagal dipatuhi selepas berjaya memperolehi sijil halal.

    Lalu di sini timbulnya keperluan untuk menyokong usaha pihak kerajaan dalam menyediakan produk halal bagi penduduk di negara ini. Selain berpandukan kepada logo halal yang sah, kajian boleh dijalankan oleh badan penyelidik bebas yang memiliki kepakaran bioteknologi dalam menentukan status halal produk di pasaran.

    Kajian Pusat Pengajian Sains Farmasi Universiti Sains Malaysia (USM) untuk mengenal pasti status halal gelatin kapsul ubat di pasaran sememangnya merupakan satu langkah yang patut dipuji dan wajar dicontohi.

    Justeru, kepakaran bioteknologi seharusnya dimanfaatkan lagi dalam usaha kita menjaga kualiti halal pada produk yang ada di pasaran. Hal ini seterusnya dapat membantu ke arah membekalkan barangan yang halal lagi baik kepada para pengguna Islam di negara kita.

    Dengan kekuatan bioteknologi juga, kita mampu menggariskan piawaian tersendiri terhadap produk yang dipasarkan di negara kita. Piawaian tersebut dapat menjadi landasan tentang kualiti produk khususnya makanan dan ubat-ubatan di pasaran.

    Sebagaimana Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (US FDA) berperanan menetapkan kualiti makanan dan ubat-ubatan di pasaran negara tersebut, piawaian kita sendiri seharusnya setanding atau mungkin lebih baik berbanding piawaian mereka.

    Namun tahap ini hanya dapat dicapai seandainya keupayaan bioteknologi kita maju dan terus berkembang.

    Cabaran industri bioteknologi

    Penglibatan dalam industri bioteknologi menuntut pelaburan dana yang besar. Perkara ini merangkumi kos pembinaan loji, sumber manusia, aktiviti penyelidikan dan pembangunan, pembuatan produk dan juga pemasaran.

    Malahan, pulangan modal dijangka diperoleh hanya selepas satu tempoh masa yang panjang, iaitu selepas produk yang terhasil disahkan memenuhi piawaian kualiti yang ditetapkan dan kemudiannya mula dipasarkan.

    Apatah lagi, produk yang dihasilkan perlu berdepan dengan birokrasi piawaian kualiti negara tertentu untuk menembusi pasaran di negara tersebut. Produk tersebut perlu melalui ujian-ujian yang ditetapkan demi memastikannya mematuhi piawaian mereka.

    Lalu keadaan ini menyebabkan proses penembusan produk tersebut mengambil masa yang panjang bagi mendapatkan pelepasan untuk dipasarkan. Pada masa yang sama, syarikat perlu menanggung kos operasi yang berterusan sepanjang masa.

    Atau mungkin akhirnya produk tersebut gagal mendapat kebenaran untuk dipasarkan di negara tersebut kerana dikatakan tidak melepasi syarat-syarat tertentu. Maka produk tersebut perlu kembali kepada bahagian penyelidikan dan pembangunan untuk dibangunkan kembali.

    Hal ini tentunya merupakan satu tamparan buat syarikat tersebut yang telah banyak melabur tetapi masih tidak dapat memasarkan produk yang dihasilkan. Malahan kos penyelidikan perlu ditambah untuk pembangunan kembali produk tersebut.

    Situasi sedemikian merupakan sebahagian risiko yang mungkin dihadapi oleh para peserta industri bioteknologi. Namun andainya dapat diatasi, keuntungan yang lumayan dapat diperoleh selepas produk mendapat tempat di pasaran.

    Kesimpulan

    Sememangnya usaha memperkasa keupayaan bioteknologi umat perlu menghadapi pelbagai mehnah dan tribulasi serta perjalanan yang panjang.

    Namun matlamat mewujudkan manfaat bioteknologi untuk umat Islam dan sejagat seharusnya mengatasi cabaran yang merintangi demi memenuhi tuntutan fardu kifayah yang satu ini.

    Sambutan hangat karavan pasar tani

    Pengenalan Konsep karavan menjadi pasar tani lebih menarik.


    Peserta Konvensyen Pasar Tani Peringkat Kebangsaan yang diadakan di sini baru-baru ini telah memberikan sambutan hangat terhadap konsep karavan atau pasar bergerak yang diperkenalkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

    Menurut Pengarah Perez Design Sdn. Bhd., Datuk Dr. Abdul Razak Omar, syarikat yang diberi FAMA hak eksklusif membekalkan karavan tersebut, telah menerima tempahan 150 unit pada konvensyen itu.

    ”Sambutan memang di luar dugaan kerana kami menjangkakan tempahan hanya untuk 20 unit”, beliau memberitahu Bernama.

    Bagi memenuhi permintaan, Perez Design telah menjalin kerjasama dengan syarikat pemasang kenderaan seperti Daihatsu (Malaysia) Sdn. Bhd., Tan Chong Motor Sdn. Bhd., Isuzu Malaysia Sdn. Bhd. dan DRB Hicom Berhad untuk membekal van Luton sebagai kenderaan asas bagi karavan tersebut.

    Perez Design juga telah menyelesaikan rundingan dengan beberapa bank tempatan yang membolehkan syarikat tersebut menawarkan pakej pembiayaan yang unik dan komprehensif bagi pelanggan membeli kenderaan tersebut pada harga yang terbaik.

    Berbeza dengan pakej pembiayaan kenderaan lain yang hanya meliputi kos bagi kenderaan asas, kemudahan pembiayaan yang diuruskan Perez Design juga merangkumi kos ubahsuai kenderaan.

    Untuk memenuhi permintaan FAMA, syarikat tersebut telah memudahkan serta melicinkan proses perolehan karavan tersebut bagi membantu pengusaha memberi tumpuan kepada perniagaan.

    Bertindak sebagai satu pusat sehenti, Perez Design memberi perhatian terhadap keperluan pengusaha, dari pembelian van Luton, membuat pengubahsuaian sehinggalah ke peringkat memperoleh lesen serta kebenaran daripada Puspakom dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melancarkan Karavan Pasar Tani pada Majlis Konvensyen Pasar Tani Kebangsaan 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini. Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar (dua, kanan) dan Badruddin Amiruldin (kanan).


    ”Melalui perkongsian pintar, kami memberi perhatian terhadap reka bentuk, pengubahsuaian, pembiayaan dan memperoleh pematuhan keselamatan serta lesen perniagaan.

    “Pembeli diberi jaminan selain sesuai dengan perniagaan, modifikasi kenderaan mereka dijalankan menurut spesifikasi yang ditetapkan FAMA,” kata Dr. Abdul Razak.

    KONFIGURASI PRA-LULUS

    Perez Design menawarkan lima konfigurasi berlainan bagi karavan tersebut yang memenuhi spesifikasi dan garis panduan FAMA serta sesuai dengan keperluan vendor pasar tani.

    Rekabentuk ini memenuhi keperluan vendor yang menjual barangan basah seperti daging, ayam serta akuakultur selain produk ladang, makanan dan minuman yang telah dimasak, produk industri kecil dan sederhana (IKS) dan pelbagai barangan penjaja.

    Konfigurasi ini memang sesuai untuk operasi perniagaan yang mudah, mesra pengguna serta bersih yang membantu menaikkan taraf perkhidmatan yang disediakan vendor selain daripada memberi harga yang baik.

    Pembeli karavan ini juga mempunyai pilihan melanggan perkhidmatan yang mempunyai syarat dan keperluan sama seperti yang ditawarkan oleh Persatuan Otomobil Malaysia (AAM).

    SUASANA PASAR SEGAR

    Bagi penghuni kotaraya, barangan segar dari ladang memang boleh didapati dari pasar tani yang dijalankan setiap minggu.

    Penggunaan karavan yang mempunyai konfigurasi khas membolehkan suasana pasar segar dibawa kepada satu tahap yang lebih tinggi untuk kebaikan peniaga dan pembeli.

    Selain daripada berniaga di pasar tani yang ditetapkan, vendor-vendor yang mempunyai karavan ini boleh juga membawa perniagaan mereka ke kawasan perumahan serta penempatan yang agak jauh dan terpencil.

    Bagi mereka yang sibuk atau tidak gemar beratur panjang di kaunter pasar raya besar , mereka boleh menggunakan karavan pasar tani atau pasar tani bergerak ini untuk penghantaran barangan segar ke rumah.

    Selain daripada memudahkan urusan membeli barangan dari ‘pasar beroda’ ini, konsep karavan membantu pengusaha tani membawa barangan segar keluaran mereka terus ke rumah pelanggan.

    Dalam ucapan beliau semasa menutup konvensyen tersebut, Pengerusi FAMA, Datuk Paduka Badruddin Amiruldin menggalakkan peserta mengguna pakai konsep karavan untuk menambah pendapatan selain ia mempunyai pendekatan perniagaan yang lebih sistematik, cekap dan bersih.

    Konvensyen tersebut dianjurkan FAMA di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selama dua hari pada 2 November lalu. – BERNAMA

    Tarikan nangka hong

    inilah hasil nangka organik yang boleh dilihat di Ekspo Agro Johor, Projek Pertanian Moden Ayer Hitam, Kluang, Johor.


    Ibu bapa dijemput membawa anak-anak mengunjungi Ekspo Agro Johor 2009 yang berlangsung di Projek Pertanian Moden Ayer Hitam, di sini mulai Sabtu ini yang mempamerkan buah-buahan tropika.

    Buah-buahan itu termasuk pisang, nangka, pelbagai jenis jambu, markisa dan buah naga yang dipamerkan pada ekspo anjuran bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan kerajaan Johor.

    Antara yang menarik ialah ladang nangka milik Kawan Pertanian Sdn. Bhd. yang merupakan salah seorang peserta Ekspo Agro Johor 09.

    Pengurus Ladangnya, Mazlan Mustakim berkata, menerusi ladang itu para pengunjung boleh melihat 20,000 pokok nangka di kawasan 120 hektar yang dikenali dengan baka nangka ‘hong’.

    Mazlan berkata, mereka yang berkunjung ke ladang itu boleh melihat sendiri keadaan buah nangka yang beratnya menjangkau antara 35 kilogram (kg) hingga 50 kg. sebiji.

    “Kami memulakan projek ini pada 2005 dan kini telah mengeluarkan hasil dan 70 peratus daripada pengeluaran nangka hong adalah untuk eksport ke Singapura dan bakinya adalah untuk memenuhi permintaan tempatan.

    “Kami turut menanam 50,000 pokok limau kasturi, 12,000 limau nipis dan 5,000 jambu air,” katanya kepada Utusan Malaysia yang mengadakan tinjauan ke ladangnya di sini baru-baru ini.

    Mazlan berkata, perolehan daripada hasil buah-buahan tersebut membantunya meraih pendapatan sekitar RM120,000 sebulan.

    Tambah Mazlan, bagi mereka yang berkunjung ke ladang tersebut sempena ekspo itu, mereka bukan sahaja berpeluang membeli buah-buahan tersebut secara segar malah turut boleh membeli benih pohon buah-buahan itu.

    Menurutnya, nangka hong merupakan baka yang cukup baik kerana dalam usia antara dua hingga tiga tahun, ia sudah boleh mengeluarkan buah.

    Peluang sertai kursus prosesan makanan

    Antara kursus keusahawan makanan yang pernah dianjurkan Jabatan Pertanian.


    KURSUS Keusahawanan Kemahiran Pemprosesan Makanan yang mula dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian bermula pada 2002 bertujuan melahirkan usahawan muda yang menceburkan diri secara serius dalam perniagaan asas tani seperti makanan sejuk beku, bakeri, produk-produk berasaskan buah-buahan dan makanan ringan.

    Kursus berkenaan akan dijalankan secara hands-on untuk memastikan peserta benar-benar mahir dari segi teknikal pengeluaran produk yang bermutu, komersial dan menepati standard Amalan Pengilangan yang Baik (APB).

    Di samping itu, peserta akan didedahkan dengan kaedah menjalankan perniagaan yang professional terutama dalam aspek keusahawanan, pengurusan kewangan, pengurusan pemasaran dan penyediaan rancangan perniagaan.

    Peserta juga akan menjalani program sampingan di premis usahawan yang telah maju di bawah bimbingan Jabatan Pertanian.

    Pengambilan peserta dilakukan setahun sekali dengan tempoh kursus selama enam bulan secara sepenuh masa dan peserta yang berjaya akan disediakan tempat tinggal sepanjang tempoh kursus.

    Syarat-syarat permohonan

    • Warganegara Malaysia
    • Berumur antara 20 hingga 40 tahun
    • Berkelulusan sekurang-kurangnya SPM/SPMV
    • Tinggal di asrama sepanjang tempoh kursus
    • Sihat tubuh badan
    • Berminat untuk meneruskan projek selepas tamat kursus

    Mereka yang berminat boleh mendapatkan borang di laman web Jabatan Pertanian www.doa.gov.my atau Jabatan Pertanian Negeri atau Pejabat Pertanian Daerah yang berhampiran atau datang ke Bahagian Pengembangan Pertanian dan Industri Asas Tani, Jabatan Pertanian, Wisma Tani, Aras 8, No 30, Persiaran Perdana, Presint 4, Putrajaya atau hubungi 03-88703553/3544/3539.

    Kursus dijalankan di tujuh buah Pusat Bimbingan Usahawan (PBU) iaitu :

    • Serdang (Selangor) – sejuk beku
    • Ayer Hitam (Johor)- bakeri
    • Manong (Perak) – bakeri dan sejuk beku (asas kelapa).
    • Teluk Chengai (Kedah)- bakeri dan sejuk beku
    • Ajil (Terengganu)- hasilan buah-buahan.
    • Pagoh (Johor) – hasilan buah-buahan
    • Melor (Kelantan) – makanan ringan.

    Lipis bakal pengeluar pisang berangan

    KUALA LIPIS 22 Nov. – Daerah Lipis akan menjadi pengeluar pisang berangan utama di Pahang apabila seluas 20 hektar tanah terbiar dimajukan dengan tanaman itu.

    Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamed Shahrom Osman berkata, projek yang bermula sejak Februari lalu itu melibatkan 30 petani yang dikendalikan Jabatan Pertanian Lipis.

    Beliau berkata, projek perintis tanaman komersial itu dilaksanakan di kawasan seluas 16 hektar di Kampung Seberang Jelai manakala selebihnya di Kampung Budu dan Kampung Chat, Benta.

    ”Tanah terbiar berdekatan Sungai Jelai memang subur dan berpotensi dimajukan untuk pertanian terutama pisang berangan kerana permintaan cukup tinggi di pasaran tempatan serta luar negara seperti Asia, Eropah dan Timur Tengah.

    ”Justeru, kita mendapatkan bantuan Jabatan Pertanian Lipis untuk memperoleh benih manakala Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dari segi pengurusan pasaran dan pembungkusan,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas melawat projek itu di Kampung Seberang Jelai di sini hari ini.

    Hadir sama, Ketua Kampung Seberang Jelai, Kamaruzaman Awang Long.

    Menurut Mohamed Shahrom, pihaknya menjangkakan hasil tanaman tersebut boleh dituai pada pertengahan bulan depan.

    Katanya, pisang berangan baka baru itu yang mengambil masa lapan bulan untuk dituai dan ia mampu mengeluarkan buah yang banyak serta berkualiti selain kurang dijangkiti penyakit.

    Beliau menambah, tiga negara yang menunjukkan minat untuk mengimport buah pisang berangan itu ialah China, Korea dan Jepun.

    Mohamed Shahrom memberitahu, semasa lawatannya ke Eropah baru-baru ini, pemborong di benua itu juga menunjukkan minat untuk membeli pisang memandangkan bekalan tanaman di kawasan tersebut tidak mencukupi terutama semasa menghadapi musim sejuk.

    Sementara itu, Kamaruzaman berkata, sebanyak 13,600 batang pokok pisang berangan telah ditanam di kawasan berkenaan sejak Februari lalu.

    Benih pisang berkenaan, menurutnya, diperoleh daripada Jabatan Pertanian Lipis manakala Pejabat Parlimen Lipis menyumbang sebanyak RM8,000 untuk menyediakan peralatan, baja dan racun.

    Seorang peserta projek, Nazeri Ibrahim, 48, berkata, sejak projek itu bermula, telah ada pemborong dari Bandar Kuala Lipis dan Lembah Klang datang untuk membeli pisang berangan tersebut.

    ”Pisang ini dijual secara borong dengan harga RM1.50 sekilogram dan setiap tandan pisang berkenaan kita jangkakan seberat antara 15 hingga 20 kilogram,” katanya.

    Tambah Nazeri, wang hasil jualan itu akan dijadikan modal untuk memajukan lebih banyak tanah terbiar di Seberang Jelai bagi tanaman pisang dan projek pertanian komersial lain.

    Nuinfra manfaat sisa sawit hasilkan makanan ternakan

    Makanan ternakan ruminan yang sedia untuk dipasarkan.


    PENGLIBATAN syarikat tempatan dalam industri hiliran atau asas tani bukan sahaja membantu memperkasa sektor pertanian secara langsung tetapi mengelakkan pergantungan sektor tersebut kepada produk import.

    Ini kerana, dalam isu bil import pertanian, satu daripada masalah menyebabkan nilainya terlalu tinggi kerana pergantungan kepada makanan ternakan.

    Oleh itu, sebahagian usaha yang boleh dianggap dapat membantu mengurangkan pergantungan tersebut ialah menghasilkan sendiri makanan ternakan dalam negara.

    Pengeluaran produk domestik untuk sektor pertanian sewajarnya diperkukuhkan, dan usaha ini wajar disokong terutama dalam kalangan mereka yang terlibat dalam industri.

    Sebagai contoh, sebuah syarikat yang boleh dianggap baru ‘setahun jagung’ dalam pengeluaran makanan ternakan ruminan dan ikan ini sudah mampu berdiri teguh menghasilkan produk domestik yang boleh dibanggakan.

    Nuinfra Mutiara Feedmill Sdn. Bhd. (NMF) yang ditubuhkan pada Mei tahun lalu dan beroperasi di Kawasan Perindustrian Gong Badak, Terengganu dan beribu pejabat di Kuala Lumpur kini memberi sinar baru dalam bidang pengeluaran makanan haiwan ternakan dengan mengeluarkan pelbagai produk.

    Produk-produk tersebut ialah palet makanan kambing, lembu pedaging, lembu susu, ikan (untuk permulaan pembesaran dan pengakhir), molasses (gula merah untuk ternakan) serta garam bukit.

    Menurut Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan NMF, Mohamad Ikmal Hisham Mohamad Rodzizan, NMF yang mempunyai modal berbayar RM1 juta ditubuhkan bagi membuktikan keupayaan bumiputera dalam menceburi bidang perindustrian di samping mewujudkan perusahaan yang berdaya saing.

    ”NMF merupakan pengeluar dan pemasar makanan ternakan ruminan dan ikan yang boleh meningkatkan mutu kesihatan dan prestasi ternakan.

    ”Selain itu, kami menjalankan penyelidikan yang yang teliti bagi menghasilkan produk yang lebih berkualiti,” katanya.

    Kata beliau, penyelidikan yang dijalankan itu juga membuktikan bahawa pihaknya mampu menampung kekurangan bekalan bagi produk sedia pada masa kini.

    Beliau berkata, kilang syarikat yang bernilai kira-kira RM7 juta siap dibina pada tahun lalu. Kilang beroperasi dengan tujuh kakitangan pengurusan dan 36 orang di bahagian operasi.

    Aktiviti utama kilang adalah mengeluarkan makanan lengkap biofeed untuk ternakan ruminan dan ikan.

    Produk kilang adalah menggunakan bahan-bahan seperti hampas isirung sawit (PKE), pelepah kelapa sawit (OPF), efluen kilang minyak sawit (POME) dan lain-lain.

    Pemakanan ini juga dilengkapkan dengan organisma berguna atau beneficial microbes sebagai aditif.

    Menurut Mohamad Ikmal Hisham, syarikat berkemampuan menghasilkan makanan ruminan sebanyak 50 tan sehari atau 18,000 tan setahun. Syarikatnya juga dalam rancangan menambah mesin pengeluaran bagi menampung permintaan yang tinggi.

    Ketika ini, produk-produk yang dihasilkan dipasarkan ke seluruh negara.

    Syarikatnya juga dalam usaha untuk mengeksport makanan ternakan ke Brunei dan Korea dalam masa terdekat, kata beliau.

    Permintaan terhadap produk-produk mendapat sambutan kerana memperoleh sijil halal dan berkualiti.

    Tetapi yang penting bagi beliau ialah makanan ternakan dengan jenama Mutiara Feed yang dihasilkan menggunakan formulasi khas dengan pemilihan bahan mentah berkualiti dan menjamin keseimbangan nutrisi yang lengkap.

    Mutiara Feed juga mampu meningkatkan selera makan ternakan berdasarkan kepada bau dan rasanya, dan memperbaiki kecekapan pertukaran makanan (FCR) untuk memaksimumkan kenaikan berat ternakan.

    Menurutnya lagi, makanan yang mengandungi mikrob itu juga menjadikan haiwan lebih sihat, sekali gus mengurangkan penggunaan ubat-ubatan, mempermudahkan sistem penghadaman serta mengurangkan stres.

    Bagi makanan ternakan ikan, Bio Mutiara Fish pula, ia sesuai digunakan untuk ikan patin, keli dan juga tilapia dan mengandungi 32 peratus protein dan vitamin.

    Mengenai makanan ikan ini, NMF mampu mengeluarkan sebanyak 700 tan sebulan.

    Hasilnya, perusahaan ini diyakini dapat membantu menjana ekonomi Malaysia dalam bidang perindustrian dan memajukan penternak-penternak kecil seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan terutamanya kepada rakyat Malaysia.

    NMF juga sedang merancang bagi membuka kilang memproses makanan ternakan dengan kapasiti yang lebih besar bagi menampung keperluan tempatan dan luar negara.

    NMF juga menawarkan peluang kepada syarikat dan individu yang berminat menjadi pengedar bagi produk keluarannya. Sebagai mentor, NMF akan membuat pemantauan kepada semua pengedar-pengedarnya bagi memastikan produk keluaran sampai kepada pengguna dan penternak di seluruh Malaysia.

    Maklumat syarikat serta senarai pengedar berdaftar boleh didapati menerusi laman web www.nuinframutiara.com.my dan emel: admin@nuinframutiara.com.my atau nombor telefon 04-41496664/09-6670333