Limau ‘terapi’ pesakit kanser

MELIHAT tanaman limau miliknya yang subur menghijau dan berbuah lebat di pinggir rumahnya, Siti Noor Yaacob seolah-olah menjalani terapi bagi penyakit kanser yang dihidapinya.


Lima tahun lalu, apabila diberitahu dia menghidap kanser dan sebelah payu dara perlu dibuang, Siti Noor Yaacob bagaikan tidak bermaya untuk meneruskan kehidupan.

Namun kebimbangannya mengenai penyakit itu lama-kelamaan hilang apabila melihat tanaman limau miliknya yang subur menghijau di pinggir rumah dan mula berputik dengan lebat.

Pemandangan itu baginya bagaikan terapi yang begitu menyegarkan dan menggembirakan hatinya.

Siti Noor, 50, dari Kampung Batu Karang di sini, merasakan harapan terus ada, apatah lagi apabila tanaman buah limau yang diusahakan kemudian mengeluarkan hasil lumayan.

Menganggap ia sebahagian terapi untuk terus menjalani kehidupan, dia makin tabah dan bersemangat kerana dalam tempoh Jun lalu hingga sekarang, dia memperoleh pendapatan melebihi RM20,000.

Dia dan suaminya, Che Ibrahim Che Hamzah, 54, mengusahakan kira-kira 200 pokok limau ‘chokun’ dan langkat’ di kawasan seluas 0.5 hektar yang dimulakan pada 1998.

Dia memilih untuk menanam limau chokun yang merupakan hasil cantuman limau langkat dan limau sunkist kerana pada masa itu merupakan spesies limau yang baru diperkenalkan untuk tanaman secara kebun.

Rasanya pula berbeza dengan limau biasa kerana masam-masam manis dan belum pernah ditanam kecuali di Kelantan.

”Saya berulang-alik ke hospital selama enam bulan bagi menjalani rawatan kemo, dan pada ketika itu tanaman limau mula berputik,” katanya.

Menurutnya, selepas sahaja menjalani rawatan itu, dia kembali menumpukan perhatian menjaga pokok limau itu yang diserang serangga perosak.

”Saya perlu memeriksa setiap pokok dan menyembur racun serangga supaya limau dapat mengeluarkan hasil dengan baik,” katanya.

Tumpuan kepada penjagaan itu, katanya, membuatkan dia lupa tentang penyakit yang dihidapinya itu.

Pada musim limau masak, katanya, setiap hari dia berada di kebun untuk memantau penuaian buah dan mengrednya untuk pasaran.

”Sepanjang masa berada di kawasan luar rumah mendedahkan kepada persekitaran bersih, kemungkinan itu juga menyebabkannya saya cepat pulih,” kata ibu kepada empat orang anak itu.

Mulai Jun hingga November, katanya, kebunnya mengeluarkan lebih 25,000 kilogram buah limau dan masa puncak kutipan adalah pada Oktober lalu.

”Saya berjaya mengutip antara 200 hingga 300 kilogram limau setiap hari pada bulan berkenaan dan menjualnya dengan harga borong RM1.50 sekilogram,” katanya.

Siti Noor memberitahu, dia akan menjalani pemeriksaan susulan pada 6 Disember ini dan mengharapkan disahkan bebas dari penyakit itu.

”Mungkin penyakit itu dugaan daripada Allah dan saya menerima takdir itu dengan hati terbuka, namun begitu saya terus berikhtiar untuk pulih,” katanya.

Menurutnya, dia bersyukur kerana masih berpeluang untuk berubat ketika penyakit itu masih di peringkat awal dan mematuhi arahan doktor untuk mendapatkan rawatan segera.

”Saya sekarang menjadi ahli Kumpulan Sokongan Untuk Pesakit Kanser Barah Payu Dara (Kawan) di bawah pengurusan Persatuan Kesihatan Reproduktif Kelantan (Rehak),” katanya.

Di bawah Kawan, katanya, dia akan melawat pesakit barah payu dara di hospital dan di rumah untuk memberi semangat di samping menunjukkan bahawa mereka tidak keseorangan semasa mengidap penyakit itu.

Menyentuh tentang kehidupannya selama ini, bekas peniaga buah di Pasar Rabu Kampung Pandan Dalam itu memberitahu, pada 1980, dia mengikuti suaminya ke Kuala Lumpur dan bekerja sebagai peniaga ikan.

Mereka berpindah balik ke Kelantan 10 tahun kemudian dan dia bekerja mengambil upah menjahit baju manakala suaminya melibatkan diri mencari emas di Kampung Air Naga, Jeli.

Bagi menyokong minat suaminya, dia sama berhijrah ke kampung berkenaan dan tinggal di sebuah rumah di kawasan Kampung Batu Karang berhampiran hutan kecil.

Semasa kembali di kampungnya pada 1998 itu, di samping kerja menoreh, mereka juga memulih kawasan tanah paya berhampiran rumahnya dan menanamnya dengan pokok cili dan tembikai.

”Kami kemudian mula menanamnya dengan pokok limau setelah kawasan itu dikeringkan dengan membuat parit kecil untuk laluan air,” katanya.

Setelah lima tahun menguruskan kebun limau itu, katanya, dia bersyukur kerana tanaman limau itu kini menjadi sumber pendapatan keluarga.

Sehubungan itu, dia juga melahirkan penghargaan terhadap sumbangan khidmat nasihat dari Pejabat Pertanian Jajahan Pasir Mas di samping sokongan semua anggota keluarga semasa mereka melalui tempoh yang sukar.

Tinggalkan komen