Pak Lang perkenal konsep ‘kambing rakyat’

ag_03.1

Alang Perang Zainuddin mahu supaya penternak kambing memahami konsep sebenar dalam melaksanakan projek yang menguntungkan.


 

INDUSTRI ternakan ruminan tempatan masih bergantung kepada import dalam memenuhi keperluan daging negara.

Justeru, usaha perlu dipertingkatkan supaya hasrat dan matlamat yang masih terlalu jauh itu dapat dicapai.

Dalam industri ternakan kambing, Dasar Kambing Negara yang telah digubal bertujuan meningkatkan pengeluaran daging kambing iaitu meningkatkan populasi asas ternakan kambing mencapai lebih kurang 1.1 juta ekor induk.

Perlu kita ingat bahawa ada dua jenis ternakan berlainan iaitu kambing dan juga biri-biri.

Bagi kaedah pertama mendapatkan kambing, kita terpaksa mendapatkan baka dari luar negara terutama Australia pada harga yang tinggi.

Ini akan menimbulkan masalah untuk mencapai matlamat 1.1 juta ekor induk kerana harganya mahal sedangkan kita boleh mencari alternatif lain.

Pengalaman ini telah dilalui oleh penternak-penternak kaum India yang amat faham tentang keperluan masyarakat Islam yang memerlukan kambing untuk tujuan akikah dan korban.

Oleh itu, tanpa kesedaran orang Melayu, mereka beralih daripada ternakan kambing ke ternakan biri-biri kerana ternakan ini mencapai kematangan lebih cepat iaitu setahun berbanding kambing yang memerlukan masa dua tahun.

Selain itu, ternakan biri-biri ini memerlukan kos yang rendah sahaja untuk perubatan dan kos pengeluaran menyeluruh lebih rendah daripada kambing kerana ketahanan daripada serangan penyakit lebih tinggi.

Memilih biri-biri

Pada masa sama, masyarakat Melayu lebih cenderung memilih daging biri-biri berbanding kambing.

Oleh kerana kematangannya cepat, bekalan daging biri-biri boleh ditingkatkan lebih pantas berbanding kambing biasa.

Pada masa sama, anak bebiri juga boleh hidup berasingan lebih cepat berbanding kambing biasa sekurang-kurangnya setahun baru bercerai susu.

Kedua, bagi meningkatkan keupayaan daya saing dan kemampanan industri usaha pembiakbakaan harus dipertingkatkan. Bukan kambing sahaja, tetapi juga biri-biri yang bersistematik dan tersusun, meningkatkan nilai tambah dan memperkukuhkan penyelidikan dan pembangunan.

Ketiga, menambahbaik persekitaran bisnes dan prasarana industri serta skim insentif melalui pengukuhan dana pembiayaan, mengoptimumkan penggunaan tanah pertanian, merevolusikan pemberian insentif, pengukuhan penyampaian perkhidmatan, zon pengeluaran makanan, sistem maklumat dan pembangunan sumber manusia.

Keempat, pengukuhan langkah sanitari dan fitosanitari (SPS) dengan meningkatkan program kawalan penyakit untuk melancarkan pemasaran produk di dalam dan luar negara.

Kelima ialah menambahbaik kualiti produk dan bahan tambah nilai dengan perlaksanaan skim Amalan Ladang Ternakan yang baik (SALT) .

Sejajar dengan hasrat kerajaan bagi menjayakan Dasar Pengeluaran Daging Kambing Negara, kerajaan telah pun menubuhkan Pusat Pembiakan Boer Nasional (NBBC) yang menyediakan pelan rangkaian pengeluaran dan pemasaran yang bersistematik dalam kuantiti yang mega dalam negara.

Bagaimanapun di sebalik semua itu, ada sesuatu yang menarik untuk diberi perhatian oleh mereka yang berminat menceburi bidang penternakan.

Ini kerana terlalu ramai yang menanam cita-cita beranjak ke bidang pertanian sejak kerajaan ingin membuka lembaran baru menggalakkan rakyat menceburinya secara komersial.

Namun, senario yang sebenarnya tidak semudah yang disangka apabila mereka yang baru berjinak-jinak dalam bidang penternakan tetapi tidak memiliki keperluan asas seperti modal, kepakaran dan kawasan yang mencukupi.

Ternakan kambing dan lembu pada anggapan biasa memerlukan kawasan yang luas bergantung kepada sistem yang digunakan sama ada fidlot, lepas bebas atau kandang.

Demikian juga apabila bakal penternak ingin mendapatkan baka yang mereka inginkan, maka banyak usaha perlu dilakukan, terutamanya menentukan harga yang mengikut kemampuan dan pasaran.

Mudah kata, menceburi bidang penternakan bukanlah semudah yang difikirkan meskipun ramai telah berjaya mengharunginya dan telah bergelar usahawan ternak.

Kos merupakan salah satu faktor yang memainkan peranan penting menentukan kejayaan usaha tersebut di samping aspek lain yang menjadi keperluan asas seperti kemudahan, ilmu dan tinjauan pasaran.

Antara jalan penyelamat bagi mereka yang ingin memulakan usaha penternakan ruminan terutamanya kambing ialah bermula secara kecil-kecilan.

Konsep penggunaan kemudahan infrastruktur yang mudah ini boleh dipraktikkan kerana ia bukan sahaja menjimatkan kos tetapi mudah dikatakan sangat selesa untuk kambing.

Ciri-cirinya ialah kandang kambing dibina di atas tanah tanpa menggunakan tiang seperti lazimnya yang diamalkan penggunaan bahan terbuang seperti kayu, papan dan hanya memerlukan kawasan kecil.

Bagi kawasan yang terhad, ia hanya mampu memuatkan sejumlah 400 ekor kambing ternakan pada satu-satu masa.

Konsep tersebut kini dilaksanakan oleh sebuah syarikat tempatan, Buani Sdn. Bhd. sejak beberapa bulan lepas yang melibatkan pelbagai jenis baka kambing seperti Boer, Barbados dan Jamnapari dan Dopper.

Kawasan ternakan yang dibuka di Jalan Aman, Sungai Merab Tengah, Kajang, Selangor di kawasan tanah seluas kira-kira empat ekar kini telah menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan.

Kawasan ladang itu yang dibina menggunakan bahan terbuang tetapi tetap dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas sebagai sebuah ladang ternakan yang lengkap.

Ladang tersebut pada mulanya diusahakan untuk penternakan kambing Boer tetapi diubah kepada pelbagai baka supaya lebih berdaya maju.

Menurut penasihat ladang tersebut Datuk Dr. Alang Perang Zainuddin, konsep ladang tersebut telah diubah dari 100 peratus baka Boer kepada hanya separuh baka kambing berkenaan, manakala bakinya dikhaskan kepada Barbados (45 peratus) dan Jamnapari sebanyak lima peratus.

”Saya nampak baka Barbados sesuai untuk dikembangkan tetapi mestilah yang tulen.

”Malah kita akan perkenalkan kaedah pembaikan baka tulen iaitu tanpa mencampurkan jantan baka dengan baka lain,” ujarnya.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), dan dan pernah berkhidmat sebagai profesor di Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, sejak dibuka syarikat tersebut telah melaburkan kira-kira RM150,000 iaitu RM20,000 untuk pembinaan infrastruktur dan bakinya untuk pembelian ternakan.

Konsep bebas, katanya, adalah persekitaran yang disukai oleh kambing manakala masalah cacing bukan suatu yang perlu dibimbangkan selagi aspek kebersihan dititikberatkan.

Namun ia tidak bermakna konsep tersebut tidak mengamalkan pengurusan yang terbaik, sebaliknya ladang tersebut juga dibina mengikut kesesuaian dan keperluan ternakan.

Malah, sebuah kawasan ladang rumput ternakan yang popular seperti Napier juga ditanam sebagai makanan kambing.

Setelah mencuba beberapa jenis rumput, beliau mengesyorkan penternak menanam rumput Napier India dan Napiter Taiwan kerana memiliki kadar protein yang tinggi sekitar 20 peratus. Jika dibaja dan dan dijaga dengan sendiri mampu mengeluarkan rumput segar yang paling tinggi.

Rumput ini akan terus mengeluarkan hasil berbanding sekoi yang terpaksa ditanam semula selepas empat atau lima kali tuaian.

”Inilah caranya kita boleh mengurangkan kos pengeluaran daging,” katanya.

Rumput jenis boleh mengeluarkan hasil untuk makanan terus atau silaj yang amat tinggi.

Alang Perang bercadang memperkenalkan konsep Ladang Kambing Rakyat bagi memberi peluang kepada mereka yang berminat menceburi bidang penternakan mencubanya.

”Semasa saya menjadi Pengerusi LPP, konsep ini telah diperkenalkan dan mereka yang berminat mestilah menjadi ahli PPK (Pertubuhan Peladang Kawasan),” ujarnya.

Menerusi konsep ini, yang diiperkenalkan oleh LPP empat tahun lalu, kos pembangunan ternakan kambing atau biri-biri telah dapat dikurangkan kebiasaannya bagi permulaan, kira-kira 70 peratus kos adalah untuk menyediakan infrastruktur dan 30 peratus untuk baka.

Konsep kambing rakyat ini sebaliknya lebih rendah daripada segi pembangunan iaitu 30 peratus untuk infrastruktur manakala 70 peratus untuk baka.

Syaratnya cukup mudah iaitu penternak mesti menyediakan kawasan penanaman rumput untuk makanan terlebih dahulu .

Ahli-ahli PPK yang telah bermula secara kecil-kecilan dalam industri ini, boleh memohon Skim Pinjaman kambing yang perlu dibayar semula tempoh lima tahun.

Sepanjang tempoh lima tahun ini adalah kritikal kerana kambing itu sempat membiak dan bayaran balik boleh dibuat dalam tempoh munasabah iaitu selepas tiga tahun dan dibayar tempoh sepenuhnya dalam tempoh 60 bulan.

Menerusi konsep ini, tempat itu akan mempunyai kemudahan tempat pembesaran kambing, kandang pembiakan, rumah bersalin, kandang penyusuan anak dan kandang pengemukkan.

Induk-induk yang bunting akan dipindahkan ke rumah bersalin dua minggu sebelum kelahiran anaknya.

Selepas melahirkan, ibu dan anaknya akan bersama selama tiga atau empat minggu untuk tempoh penyusuan.

Kemudian ibu dan anak akan ditempatkan dalam petak komuniti yang disediakan khas dalam kandang bersalin.

Selepas dua bulan setengah bagi biri-biri dan tiga bulan bagi kambing, anak-anak ini diceriakan dengan ibunya, dan ditempatkan ke tempat penggemukan.

Ibunya pula akan ditempatkan dalam kandang pembiakan bersama-sama kambing jantan untuk selama lima bulan setengah untuk pengeluaran seterusnya.

Dalam sistem ini juga, pembakaan diawasi dengan mengelakkan berlakunya sumbang mahram atau in-breeding dengan meletakkan seekor jantan bagi setiap kumpulan kambing betina yang biasanya tidak melebihi 10 ekor.

Untuk mengelakkan sumbang mahram, seekor kambing jantan di satukan dengan sekumpulan kambing betina dan mempunyai nombor tanda dan setiap anak kambing tahu siapa bapa dan ibunya.

Bagi seorang penternak yang berdaya maju, ia mempunyai 300 ekor induk bagi membolehkan ia menjadi usahawan yang menguntungkan yang boleh memberi pendapatan tidak kurang RM1,000 sebulan.

Ini berdasarkan kepada beranak tiga kali dalam dua tahun, bilangan anak yang boleh dilahirkan dalam tempoh itu ialah 1,350 ekor.

One thought on “Pak Lang perkenal konsep ‘kambing rakyat’

  1. Setuju benar dengan catatan tuan. Nampak senang, cakap pun senang tapi semuanya memerlukan usaha yang gigih, perancangan rapi dari semua segi terutamanya makanan & kesihatan ruminan. Tetapi dalam kepayahan & kekalutan mengurus ruminan ini (kambing/bebiri), akan terubat juga hati & perasaan apabila tibanya waktu kelahiran anak2 ruminan (lambing time). 4-6 minggu sebelum kelahiran, hari kelahiran & 3 bulan selepas kelahiran adalah tempoh waktu yang amat-amat kritikal & memenatkan. Sekiranya penternak2 berjaya melepasi ujian ini dengan kadar kematian anak yang rendah sehingga selepas ceraian susu ibu (weaning), maka anda boleh dilabelkan sebagai seorang penternak yang berjaya dari segi penjagaan sahaja. Bab untung rugi saya tak mahu komen lagi. Saya berani berkata demikian kerana di dalam tempoh tersebutlah anda mesti melipatgandakan usaha (not double but triple effort) menyediakan makanan, mengurus simpanan foraj yang terbaik, penjagaan kesihatan, kelengkapan & kebersihan kandang. Dan yang paling penting ialah PEMERHATIAN SETIAP HARI ke atas setiap ekor ternakan di kandang atau di ladang. Nasihat saya, buatlah pemerhatian setiap hari tanpa jemu dan percayalah anda akan mempelajari banyak perkara2 baru dari situ. jumpa lagi………..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s