Abdullah dan Jeanne berkongsi gembira di kebun

re_071

Abdullah dan Jeanne meninjau salah satu pokok herba yang ditanam di Kebun Ramuan, di Perkarangan Sri Perdana, Putrajaya.


SABAR sungguh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melayan ‘kerenah’ isterinya di Kebun Ramuan, yang terletak hanya beberapa meter dari pintu utama kediaman Perdana Menteri dalam pekarangan Sri Perdana.

Here come the lady, usik seorang kakitangan yang mengiringi Abdullah seraya melihat Datin Seri Jeanne Abdullah yang ditunggu, sedang menuruni anak bukit menuju ke kebun seluas separuh padang bola. Balas Abdullah: The chief is a lady.

Jeanne yang berpenampilan santai sambil tersenyum memimpin tangan Abdullah mengajak sekumpulan petugas media termasuk Mingguan Malaysia baru-baru ini: ”Jom, marilah ke kebun kami.”

Keterujaan Abdullah dan isteri terhadap kebun ramuan itu mempunyai kaitan rapat dengan kecenderungan Perdana Menteri memperkenalkan elemen pertanian baru kepada petani dalam pentadbirannya iaitu Pertanian adalah Perniagaan. Pertanian era baru yang dihasratkan oleh Perdana Menteri itu bercirikan moden dan komersial, berteknologi tinggi, penggunaan bioteknologi dan teknologi maklumat serta melahirkan usahawan dan produk berkualiti untuk pasaran eksport. Apa lagi agenda pertanian negara kini menetapkan pertanian sebagai enjin ketiga pertumbuhan ekonomi selain pembuatan dan perkhidmatan.

Komitmen tinggi Abdullah memajukan bidang pertanian itu dicernakan dalam Bajet 2009 apabila kerajaan memansuhkan duti import ke atas baja dan racun perosak untuk meringankan beban petani. Sebanyak RM475 juta diperuntukkan untuk bantuan input pertanian, baja dan racun perosak bagi membantu golongan pesawah.

Di pekarangan Sri Perdana, Abdullah dan isteri tempoh hari meninjau kebun ramuan mereka yang dijadikan tempat pasangan berkenaan menghabiskan masa bersama apabila ada waktu lapang.

Di situ sebut sahaja khasiat sebahagian 130 spesies herbanya, semuanya ‘dalam tangan’ Abdullah dan Jeanne.

Pereskia Saecnarosa ini mujarab sebagai ulam mengubati kanser,” jelas Jeanne merujuk khasiat ulam Jarum Tujuh Bilah yang dikatakan mampu meningkatkan paras aktiviti antioksidan dalam tubuh seseorang. Bagi kajian kultur tisu, ekstrak daun jarum tujuh bilah dapat merawat kanser terutama kanser kolon (usus besar) dan kanser hidung. Malah ia boleh bertindak secara efektif untuk merencatkan pertumbuhan sel kanser buah dada dan sel kanser ovari.

Demikian juga khasiat Pokok Misai Kucing – herba merawat penyakit kencing manis – yang semuanya dalam kamus pasangan berkenaan. Herba Misai Kucing turut berfungsi memperbaiki saluran kencing dan buah pinggang serta membantu mengelakkan penyakit batu karang. Daunnya yang dikeringkan bersifat diuretik dan membantu menyingkirkan asid urik yang berlebihan dalam badan.

Atau setidak-tidaknya untuk menghalau nyamuk menerusi kemujabaran Chataranthu roseus, rahsia khasiatnya itu apabila ditanya kepada Jeanne, serba-serbinya tahu.

”Bila tengok kebun ini, kami happy. Asal sahaja ada daun-daun baru, saya akan berkongsi dengan Pak Lah… setiap hari kongsi, tidak hanya dalam politik,” ujar Jeanne ceria.

Bagi Jeanne yang dinikahi Abdullah pada 9 Jun 2007, kehidupan mesti diteruskan selepas peralihan kepimpinan ini. ”Jawatan tidak penting, yang pentingnya Pak Lah tetap sama seperti yang semuanya lihat dulu, bila kita sudah ‘beralih’, kita kena serahkan yang ada. Selepas ini, kami berdua ingin jadi pekebun.

”Anda tidak tahu, Pak Lah sebenarnya suka makan, antaranya sup yang mesti ada setiap hari tapi dia tidak cerewet, kalau makan pisang misalnya, mesti dia tambah (sertakan) dengan keju,” ujar Jeanne tersenyum.

Bagi Jeanne, beliau inginkan masa terluang yang bebas dengan Abdullah selepas ini.

”Ya, kami nak keluar tengok wayang, duduk sambil menghirup kopi di gedung membeli belah atau tepi jalan seperti mana orang lain, tapi begitupun berkebun tetap keutamaan kami, saya pun sudah ada program untuk landskap,” katanya.

Sememangnya mahu tidak mahu diakui ‘jenuh juga’ gerak langkah Jeanne hendak diikuti di Kebun Ramuan tempoh hari, baik oleh Abdullah sendiri mahupun sebahagian petugas media. Dengan panas terik sejam menjengah ke waktu Asar, Jeanne tidak putus-putus menerangkan khasiat tanaman-tanaman herbanya – sesekali ‘menewaskan’ Abdullah yang kelihatan berpeluh.

”Bila tanam pokok, pokok itu kitalah yang punya. Dan bila kita tua nanti, tunjukkan kepada cucu cicit kita, inilah pokok kita yang perlu diwarisi anak cicit. Sebenarnya adalah penting bawa anak cucu tengok kebun…banyak oksigen. Ada yang wangi, ada yang berbunyi kena desiran angin,” katanya sambil dipersetujui Abdullah.

Dan sempat juga Jeanne meluahkan isi hatinya. ”Saya nak ingatkan semua, negara kita semakin panas. Sebab kita sudah buang banyak pokok. Datang British, mereka potong dan gantinya dengan estet, kemudian potong lagi gantikannya dengan pembangunan.

Kepada Institut Penyelidikan dan Pertanian Malaysia (MARDI), beliau menasihati agensi itu supaya jangan hanya mengadakan pameran hiasan pokok atau berkaitan tanaman semata-mata hanya mahukan kehadiran pengunjung yang ramai.

”Kita sebenarnya merosakkan kebun, dengan membawa pokok-pokok keluar. Adalah lebih elok kalau hendak anjurkan pameran, biarlah kebun yang digunakan itu kebun yang tetap,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s