Projek pisang jana pendapatan petani

LANGKAWI 20 Mac – Projek tanaman pisang berangan di Felcra Teluk Yu, Ayer Hangat di sini berjaya menjana pendapatan antara RM300 hingga RM500 seminggu kepada para pesertanya.

Projek seluas 39 hektar itu ditanam dengan 18,000 pokok pisang yang dimulakan sejak 2006 dan diusahakan oleh para peserta Koperasi Rancangan Felcra Langkawi Berhad.

“Setiap peserta menanam antara 500 hingga 1,000 pokok pisang yang hasilnya dipasarkan menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

“Pisang-pisang kami ini dapat dipasarkan sehingga ke Perlis, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan serta pasar tani dan gerai buah-buahan di seluruh negara,” kata Ketua Projek, Yum Othman.

Buat pertama kali juga, seorang peserta projek itu berjaya menghasilkan setandan pisang seberat 40 kilogram, berbanding kebiasaan antara 25 hingga 30 kilogram setandan.

Ismail Ahmad, 72, tidak menjangka dapat mengeluarkan pisang seberat itu.

“Saya bersyukur dan berharap saya akan dapat menghasilkan pisang yang lebih banyak seperti ini.

“Rahsia kejayaan menghasilkan buah seberat itu adalah melalui penjagaan rapi serta penggunaan baja yang mencukupi,” katanya.

Manfaat herba, sayur tempatan

dn_011

JEANNE Abdullah melihat plak selepas menandatanganinya sambil diperhatikan Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Tun Razak serta Rosmah Mansur (kanan) pada majlis pelancaran Kebun Ramuan Sri Perdana di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 21 Mac – Penanaman herba secara meluas di negara ini perlu dijadikan amalan kerana tumbuhan itu memberi manfaat besar terhadap kehidupan seharian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, herba dan sayuran tempatan perlu dilihat sebagai anugerah Tuhan kerana manfaatnya tidak ternilai kepada manusia.

Beliau menyeru rakyat mencontohi usaha isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah yang mengambil inisiatif mewujudkan Kebun Ramuan yang menempatkan pelbagai spesies sayur-sayuran dan herba.

“Kebun ini telah menjadi kebun farmasi yang membekalkan makanan yang mempunyai zat tambahan serta berperanan sebagai ubat dalam kehidupan harian,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Kebun Ramuan di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana di sini hari ini.

Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaacob dan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng merupakan tetamu kehormat pada majlis itu.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kebun Ramuan yang terletak di kawasan seluas 0.5 hektar dan memiliki 130 jenis tanaman diwujudkan hasil kerjasama Jabatan Perdana Menteri, Perbadanan Putrajaya, Jabatan Kerja Raya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan dan Jabatan Landskap Negara.

Perdana Menteri berkata, rakyat perlu bersyukur atas segala khazanah alam yang dianugerahkan Tuhan kepada manusia.

“Semua yang dicipta mempunyai kebaikannya, cuma manusia kadang-kala tidak mengetahui kebaikan itu dan membazirkan sumber yang ada.

“Keadaan ini menyebabkan kita tidak dapat menerima manfaat daripada hasil ciptaan Tuhan,” katanya.

Dalam pada itu, Jeanne berkata, pakar masakan tempatan perlu menggunakan sayur-sayuran dan herba dalam menu makanan mereka.

“Anda harus merasai herba dan sayur yang ada di negara ini, ia mudah ditanam dan mampu memberi kelainan kepada makanan yang dimasak dengannya.

“Saya sudi berkongsi resipi memasak herba dan sayur tempatan dengan semua orang yang berminat,” katanya.

Jeanne berkata, untuk menambahkan jenis tanaman di Kebun Ramuan, beliau telah menjelajah ke kawasan kampung dan bertanya kepada orang tua di situ.

“Saya memulakan kebun ini selepas menyedari terdapat banyak jenis tanaman yang boleh dimakan serta mempunyai nilai perubatan.

“Jika kita tidak melakukan sesuatu, generasi masa depan mungkin akan lupa tentang tanaman herba ini,” katanya.

Abdullah dan Jeanne berkongsi gembira di kebun

re_071

Abdullah dan Jeanne meninjau salah satu pokok herba yang ditanam di Kebun Ramuan, di Perkarangan Sri Perdana, Putrajaya.


SABAR sungguh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melayan ‘kerenah’ isterinya di Kebun Ramuan, yang terletak hanya beberapa meter dari pintu utama kediaman Perdana Menteri dalam pekarangan Sri Perdana.

Here come the lady, usik seorang kakitangan yang mengiringi Abdullah seraya melihat Datin Seri Jeanne Abdullah yang ditunggu, sedang menuruni anak bukit menuju ke kebun seluas separuh padang bola. Balas Abdullah: The chief is a lady.

Jeanne yang berpenampilan santai sambil tersenyum memimpin tangan Abdullah mengajak sekumpulan petugas media termasuk Mingguan Malaysia baru-baru ini: ”Jom, marilah ke kebun kami.”

Keterujaan Abdullah dan isteri terhadap kebun ramuan itu mempunyai kaitan rapat dengan kecenderungan Perdana Menteri memperkenalkan elemen pertanian baru kepada petani dalam pentadbirannya iaitu Pertanian adalah Perniagaan. Pertanian era baru yang dihasratkan oleh Perdana Menteri itu bercirikan moden dan komersial, berteknologi tinggi, penggunaan bioteknologi dan teknologi maklumat serta melahirkan usahawan dan produk berkualiti untuk pasaran eksport. Apa lagi agenda pertanian negara kini menetapkan pertanian sebagai enjin ketiga pertumbuhan ekonomi selain pembuatan dan perkhidmatan.

Komitmen tinggi Abdullah memajukan bidang pertanian itu dicernakan dalam Bajet 2009 apabila kerajaan memansuhkan duti import ke atas baja dan racun perosak untuk meringankan beban petani. Sebanyak RM475 juta diperuntukkan untuk bantuan input pertanian, baja dan racun perosak bagi membantu golongan pesawah.

Di pekarangan Sri Perdana, Abdullah dan isteri tempoh hari meninjau kebun ramuan mereka yang dijadikan tempat pasangan berkenaan menghabiskan masa bersama apabila ada waktu lapang.

Di situ sebut sahaja khasiat sebahagian 130 spesies herbanya, semuanya ‘dalam tangan’ Abdullah dan Jeanne.

Pereskia Saecnarosa ini mujarab sebagai ulam mengubati kanser,” jelas Jeanne merujuk khasiat ulam Jarum Tujuh Bilah yang dikatakan mampu meningkatkan paras aktiviti antioksidan dalam tubuh seseorang. Bagi kajian kultur tisu, ekstrak daun jarum tujuh bilah dapat merawat kanser terutama kanser kolon (usus besar) dan kanser hidung. Malah ia boleh bertindak secara efektif untuk merencatkan pertumbuhan sel kanser buah dada dan sel kanser ovari.

Demikian juga khasiat Pokok Misai Kucing – herba merawat penyakit kencing manis – yang semuanya dalam kamus pasangan berkenaan. Herba Misai Kucing turut berfungsi memperbaiki saluran kencing dan buah pinggang serta membantu mengelakkan penyakit batu karang. Daunnya yang dikeringkan bersifat diuretik dan membantu menyingkirkan asid urik yang berlebihan dalam badan.

Atau setidak-tidaknya untuk menghalau nyamuk menerusi kemujabaran Chataranthu roseus, rahsia khasiatnya itu apabila ditanya kepada Jeanne, serba-serbinya tahu.

”Bila tengok kebun ini, kami happy. Asal sahaja ada daun-daun baru, saya akan berkongsi dengan Pak Lah… setiap hari kongsi, tidak hanya dalam politik,” ujar Jeanne ceria.

Bagi Jeanne yang dinikahi Abdullah pada 9 Jun 2007, kehidupan mesti diteruskan selepas peralihan kepimpinan ini. ”Jawatan tidak penting, yang pentingnya Pak Lah tetap sama seperti yang semuanya lihat dulu, bila kita sudah ‘beralih’, kita kena serahkan yang ada. Selepas ini, kami berdua ingin jadi pekebun.

”Anda tidak tahu, Pak Lah sebenarnya suka makan, antaranya sup yang mesti ada setiap hari tapi dia tidak cerewet, kalau makan pisang misalnya, mesti dia tambah (sertakan) dengan keju,” ujar Jeanne tersenyum.

Bagi Jeanne, beliau inginkan masa terluang yang bebas dengan Abdullah selepas ini.

”Ya, kami nak keluar tengok wayang, duduk sambil menghirup kopi di gedung membeli belah atau tepi jalan seperti mana orang lain, tapi begitupun berkebun tetap keutamaan kami, saya pun sudah ada program untuk landskap,” katanya.

Sememangnya mahu tidak mahu diakui ‘jenuh juga’ gerak langkah Jeanne hendak diikuti di Kebun Ramuan tempoh hari, baik oleh Abdullah sendiri mahupun sebahagian petugas media. Dengan panas terik sejam menjengah ke waktu Asar, Jeanne tidak putus-putus menerangkan khasiat tanaman-tanaman herbanya – sesekali ‘menewaskan’ Abdullah yang kelihatan berpeluh.

”Bila tanam pokok, pokok itu kitalah yang punya. Dan bila kita tua nanti, tunjukkan kepada cucu cicit kita, inilah pokok kita yang perlu diwarisi anak cicit. Sebenarnya adalah penting bawa anak cucu tengok kebun…banyak oksigen. Ada yang wangi, ada yang berbunyi kena desiran angin,” katanya sambil dipersetujui Abdullah.

Dan sempat juga Jeanne meluahkan isi hatinya. ”Saya nak ingatkan semua, negara kita semakin panas. Sebab kita sudah buang banyak pokok. Datang British, mereka potong dan gantinya dengan estet, kemudian potong lagi gantikannya dengan pembangunan.

Kepada Institut Penyelidikan dan Pertanian Malaysia (MARDI), beliau menasihati agensi itu supaya jangan hanya mengadakan pameran hiasan pokok atau berkaitan tanaman semata-mata hanya mahukan kehadiran pengunjung yang ramai.

”Kita sebenarnya merosakkan kebun, dengan membawa pokok-pokok keluar. Adalah lebih elok kalau hendak anjurkan pameran, biarlah kebun yang digunakan itu kebun yang tetap,” katanya.

27 sertai bengkel usahawan ikan air tawar

ws_031

SEBAHAGIAN daripada peserta Bengkel Gerak Usahawan Ikan Air Tawar bersama Mega Utusan Malaysia di Kompleks Teknologi Sungai Udang, Melaka, kelmarin.


MELAKA 24 Mac – Seramai 27 orang terdiri dari kalangan peniaga tani dari seluruh negara menyertai Bengkel Gerak Usahawan Ikan Air Tawar bersama Mega Utusan Malaysia selama tiga hari yang berakhir semalam di Kompleks Teknologi Pertanian, Ladang Buah-Buahan Tropika Melaka (MTFF), Sungai Udang di sini.

Bengkel yang bermula Sabtu lalu itu dianjurkan bersama sisipan Mega Utusan Malaysia, Agro Bank dan May Consult.

Pengurus Pusat Latihan Tani Agro Bank, Abdul Shukor Abdul Jabbar berkata, pihaknya mula memperkenalkan program itu sejak 2006 dan merupakan sebahagian usaha Agro Bank membantu kerajaan melahirkan lebih ramai usahawan tani di negara ini.

Katanya, selain bengkel dan kursus tani, Agro Bank menganjurkan seminar dan lawatan pertanian bagi mendedahkan kepada peserta mengenai peluang serta kemudahan terkini yang ditawarkan oleh pelbagai agensi pertanian.

”Bengkel Gerak Usahawan Ikan Air Tawar ini merupakan sebahagian usaha kita dalam menyokong komitmen dan rancangan Kementerian Pertanian dan Asas Tani untuk melahirkan 10,000 usahawan tani setiap tahun,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, Agro bank lebih berperanan menyediakan peluang latihan dan bengkel kursus kepada mereka yang berminat melibatkan diri dalam bidang ternakan dan tanaman tanpa mengambil kira latar belakang pendidikan atau profesion mereka.

”Ini terbukti sebelum ini, kebanyakan peserta program ini terdiri dari kalangan peguam, jurutera dan doktor selain peserta lepasan universiti dan golongan pesara,” katanya.

Menurut Abdul Shukor, pihaknya memfokuskan kepada tiga bentuk kursus dan latihan pertanian iaitu penternakan, perikanan dan tanaman dengan yang terbaru memperkenalkan kursus ikan puyu dan talapia.

”Melalui kursus ini, kita mendedahkan para peserta mengenai penggunaan teknik bertani dan menternak sehingga ke peringkat bagaimana ingin memasarkan produk pertanian yang dihasilkan,” katanya.

Katanya, sepanjang tiga hari kursus berlangsung, para peserta didedahkan secara teori mengenai pembenihan dan asuhan benih puyu, teknik memilih induk, suntikan hormon dan pembiakan, kaedah pembiakan dalam tangki, teknik pemakanan ternakan dan skim pembiayaan pertanian yang disediakan di bawah Agro Bank.

R&D perikanan jana pertambahan RM3.1b

PULAU PINANG 26 Mac – Jabatan Perikanan Malaysia menganggarkan nilai hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) pemprosesan hasil laut yang dijalankan oleh pihaknya mampu menjana pertambahan mencecah RM3.1 bilion menjelang 2010.

Ketua Pengarahnya, Datuk Junaidi Che Ayub berkata, jumlah hasil diperoleh industri perikanan tanpa ditambah nilai kini mencecah RM5 bilion dan dengan program R&D yang dijalankan sekali gus ia boleh menjana pertambahan nilai.

Katanya, peningkatan pengeluaran hasil laut seperti ikan dan udang setelah pelbagai aktiviti komersil yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak menyebabkan timbul keperluan menambah nilai dan memperkenalkan produk baru ke pasaran.

Beliau berkata, kajian untuk mengekstrak bahan-bahan bioaktif dan lain-lain dari kekayaan ekosistem akuatik tropika boleh menghasilkan bahan-bahan baru antaranya untuk tujuan perubatan dan kosmetik.

”Program ini adalah sangat penting berdasarkan kepada peruntukan yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) iaitu sebanyak RM4.7 juta.

”Jadi, adalah perlu untuk kita jalankan R&D yang dapat mengurangkan hasil buangan kilang-kilang pemprosesan sekali gus mampu menjana pendapatan baru mencecah berbilion ringgit setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Pameran Penyelidikan Pembangunan Produk Perikanan dan Bioteknologi di Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) di Batu Maung di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Hasil Perikanan IPP, Faazaz Abd. Latiff.

Pameran diadakan untuk menunjukkan produk yang dihasilkan oleh institusi pengajian tinggi (IPT) supaya dapat menarik perhatian pihak swasta untuk mengkomersilkan serta mendatangkan pulangan ekonomi.

Pada majlis itu juga, IPP menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan beberapa IPT dan Institut Penyelidikan dan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk menjalinkan kerjasama dalam program R&D.

Sementara itu, Fazaaz berkata, program tersebut telah dimulakan sejak 2007 dan dijangka pelbagai produk yang dihasilkan daripadanya dapat disiapkan menjelang tahun 2010.

Tambahnya, melalui program itu juga, pihak IPP berhasrat untuk menambah baik kualiti produk melalui pemprosesan dan pembungkusan teknologi dan pada masa yang sama hasilnya dapat diketengahkan bagi tujuan komersil.

”Sebanyak 18 projek telah dipersetujui untuk dijalankan dalam tempoh RMK-9 dan sehingga kini ada projek yang telah berjaya disiapkan antaranya pengeluaran enzim dari bahan buangan pemprosesan ikan seperti tulang dan kulit.

”Selain itu, terdapat juga projek yang menghasilkan produk baru yang ditambah nilai seperti bahan makanan segera tempura, sosej dan macam-macam lagi,” ujarnya.

Baja kompos diperkenal

wb_0111

MUSBAH Jamli (tiga dari kiri) mendengar taklimat mengenai penggunaan baja kompos oleh wakil Global Quest Management Asia Sdn. Bhd. di Kota Kinabalu, semalam.


KOTA KINABALU 26 Mac – Kerajaan negeri akan memperkenalkan penggunaan baja kompos dalam penanaman padi di negeri ini kerana ia boleh meningkatkan lagi hasil pengeluaran bahan makanan itu.

Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Musabah Jamli berkata, kaedah baru secara tradisional itu bagaimanapun akan diperinci keberkesanannya sebelum mula dilaksanakan secara berperingkat di negeri ini.

“Kerajaan telah mengeluarkan wang berjuta-juta ringgit bagi menaiktaraf infrastruktur dan prasarana pertanian di negeri ini bagi memudahkan warga petani mengusahakan sawah-sawah mereka.

“Kita sentiasa berusaha mencari kaedah terbaik bagi membantu petani. Jadi, untuk merealisasikan kaedah ini, saya akan berbincang dengan kementerian terlebih dahulu mengenai maklumat terbaru itu supaya ia benar-benar memberi faedah kepada petani,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat mengenai penggunaan baja kompos oleh wakil Global Quest Management Asia Sdn. Bhd. (Global) di sini hari ini.

Majlis taklimat dan dialog bersama rombongan Global itu dihadiri oleh beberapa pengilang padi daerah Kota Belud dan ahli-ahli Persatuan Pertubuhan Peladang Cawangan Kota Belud serta petani tempatan.

Global yang mempunyai 123 cawangan di seluruh dunia diwakili oleh Dr. Arthur G. Robinson;, Victor Lee;, Dr. Ismail Idris dan Dr. Steve Rajan Farukh Abdullah.

Menurut Musbah, berdasarkan penjelasan daripada wakil Global, penggunaan baja kompos dapat menghasilkan 10 hingga 12 tan padi sehektar berbanding kurang 10 tan sehektar yang diperoleh pada masa ini.

“Jika terbukti, kaedah itu sudah tentu menguntungkan warga tani sekali gus meningkatkan pengeluaran beras negara.

“Selain itu, penggunaan baja kompos itu juga tidak dicemari dengan kesan-kesan penggunaan baja kimia yang memudaratkan kesihatan pengguna dalam jangka masa panjang,” katanya.

Sementara itu, Musbah berharap, golongan petani di negeri ini sentiasa peka dengan kaedah-kaedah terbaru yang mampu meningkatkan hasil tanaman mereka.

Selain itu, katanya, mereka juga harus merebut segala peluang yang disediakan oleh kerajaan bagi meningkatkan pendapatan.

Tanam serai secara kontrak

TANAMAN herba semakin mendapat sambutan sementalah produk herba kini menjadi rebutan bukan saja di pasaran tempatan tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Justeru, Abdul Jabar Hashim, 47, menuruti saranan abangnya yang bertugas di Kuala Lumpur supaya menanam serai paha ayam secara tanaman kontrak.

Tanaman serai yang ditanam seluas 1.2 hektar ekar ini di Kampung Sekandar, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang ini menampakkan hasil yang membanggakan.

”Saya memilih serai kerana tanaman ini amat mudah ditanam dan diuruskan berbanding dengan tanaman lain kerana tidak mudah diserang penyakit atau serangga perosak,” katanya.

Beliau yang mendapat bekalan benih dari agen penanaman kontrak dari Selangor yang menggunakan serai sebagai ramuan utama dalam produk farmaseutikal dan dieksport ke pasaran antarabangsa.

Abdul Jabar berkata, serai mudah ditanam tetapi memerlukan kawasan tanah gembur bagi pergerakan akar dan tumbesarannya.

“Sebelum mula menanam serai, tanah perlu dibajak dan dirawat bagi meningkatkan kesuburannya dengan menabur baja urea.

“Biasanya bagi kawasan seluas satu ekar (0.4 hektar) , ia memakan masa dua hari untuk menggemburkan dan menanam serai oleh seorang pekerja,” katanya.

Bagi kawasan seluas satu ekar, Abdul Jabar memerlukan 21,000 rumpun serai kerana satu lubang ditanam dengan lima batang serai.

Beliau berkata, biasanya serai boleh mula dituai selepas enam bulan ditanam dan satu rumpun akan mengeluarkan antara empat hingga 10 kilogram (kg) bergantung kepada penjagaan dan pengurusan.

Bagaimanapun penjagaan serai boleh dikatakan mudah kerana hanya perlu diberikan baja urea selepas dua minggu pertama.

“Kemudian pembajaan akan dilakukan lagi selepas 30 hari dan 50 hari selepas penanaman,” katanya.

Selepas ditanam pokok serai hanya perlu disiram setiap petang tanpa perlu menyembur racun makhluk perosak.

”Tetapi masalah timbul apabila hari hujan kerana rumput dan rumpai akan bersaing untuk mendapatkan baja.

”Hujan yang lebat dan air bertakung akan menyebabkan akarnya terendam dan pokok akan mati,” katanya yang membina pagar di sekeliling tanaman serai bagi mengelakkan pencerobohan haiwan liar.

Tanam serai di tanah terbiar

MASALAH tanah lot terbiar yang masih belum didirikan rumah sering menjadi perbincangan hangat penduduk Bukit Meru, Taman Meru, Ipoh, Perak sejak lebih 20 tahun lalu.

Tanah terbiar ini dikatakan menjadi sarang binatang berbisa termasuk ular tedung yang kadangkala masuk ke dalam rumah penghuni di situ.

Justeru, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sering dipersalahkan apabila kakitangannya gagal memantau atau membersihkan sendiri semak-samun tanah terbiar berkenaan.

Bagaimanapun masalah ini dapat diselesaikan dengan praktikal apabila bekas Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang, Mahfuz Omardi, 59, mengambil inisiatif menanam serai di tapak tanah terbiar terbabit.

Pada mulanya dia membersihkan tanah jirannya di hadapan rumahnya dan menanam serai untuk mengisi masa lapang.

Usaha itu tidak memerlukan kos yang tinggi kerana tanahnya yang sesuai, subur dan berlereng sesuai menangkis hujan lebat.

Hasil serai dijual kepada peniaga restoran tempatan dan pasar borong dengan harga antara RM1.80 dan RM2.00 sekilo.

Kini beliau berjaya menanam serai seluas 0.4 hektar di atas lapan lot tanah perumahan di Bukit Meru.

”Saya bercadang mengambil 12 lot kosong lagi untuk dimajukan setelah berjaya mendapat kebenaran daripada tuan tanah, ” katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.

Menceritakan pengalamannya, beliau yang sudah bersara selepas bekerja di sektor awam selama 37 tahun berkata, pada pertengahan tahun lalu beliau memberitahu jiran yang tinggal di luar kawasan itu supaya membenarkan beliau membersihkan tanah mereka untuk tanaman serai tanpa dikenakan sewa.

Katanya, langkah itu mengurangkan belanja tuan tanah yang terpaksa mengupah buruh memotong rumput setiap bulan sekali gus menyenangkan kerja kakitangan MBI.

Menurutnya, cadangan itu dipersetujui tuan tanah dan beliau memulakan kerja membersihkan tanah, menanam dan membaja serai.

Ternyata usaha berjaya dan berbaloi lalu beliau melebarkannya ke tanah lot lain yang masih kosong.

Setelah mendapat khidmat nasihat rakan-rakan, beliau pergi ke Pejabat Tanah Daerah Kinta untuk mengenalpasti tuan tanah.

Hasil penyelidikan itu beliau menemui pemilik sebenar dan mereka bersetuju menyerahkan tanah untuk dimajukan dengan tanaman serai.

”Saya berjanji akan mengembalikan semula tanah terbabit sekiranya tuannya mahu mendirikan rumah pada bila-bila masa,” katanya.

Setakat ini beliau berpuas hati dengan usahanya membantu penduduk tempatan dan MBI menangani masalah tanah terbiar di Taman Meru.

Selain berusaha beliau juga dapat berbakti kepada masyarakat tempatan dalam usia persaraan.

Sehubungan itu tuan tanah yang mahu menyerahkan tanah kepadanya untuk dimajukan dengan tanaman serai menghubunginya melalui talian telefon 013-4232684.

Bekas jurutera jadi tauke cendawan

ag_0211

mohd. Asmawi Mohamed Noor (kanan) tersenyum di samping Azuddin Zakaria menandakan projek tanaman cendawan mereka membuahkan hasil.


KENIKMATAN yang diperoleh hasil berbudi dengan tanah sukar diluah dengan kata-kata. Apatah lagi seronok melihat hasil yang membanggakan dan mampu pula menggantikan pergantungan makan gaji selama 10 tahun.

Bagaimana pun kerjaya sebagai jurutera projek menyebabkan Mohd Asmawi Mohamed Noor, 33, sukar membuat keputusan sama ada meletakkan jawatan atau membabitkan diri sepenuhnya sebagai penanam cendawan di kampung halamannya, di Padang Salim, Peringat, Kota Bharu Kelantan.

”Seperti cinta yang baru berputik apabila aktiviti suka-suka membina dua rumah cendawan di kampung mula mengeluarkan hasil dan berpotensi untuk dimajukan, rasa cinta itu mula bercambah tetapi saya keliru membuat keputusan.

”Bagaimanapun lepas setahun, saya nekad terjun dalam bidang pertanian apabila tanaman cendawan di dua buah bangsal menunjukkan potensi memberangsangkan dan memberi pulangan berbaloi,” ujar lulusan kejuruteraan di Institut Jerman-Malaysia (GMI), Kuala Lumpur ini.

Bersama adik iparnya Azuddin Zakaria, 33 , kini Asmawi bergelar usahawan apabila berjaya mengeluar dan memasarkan cendawan sebanyak 130 hingga 150 kilogram sehari.

Di samping itu, Asmawi turut menerokai bidang baru sebagai pembekal anak benih cendawan yang telah siap diisi dalam polibeg dengan harga RM1.20.

Sejak akhir tahun lalu pula, dia bekerjasama dengan Jabatan Pertanian negeri menganjurkan kursus penanaman cendawan kepada mana-mana pihak yang berminat selama tiga hari dengan yuran RM150 seorang.

”Dalam kursus tersebut, kami berkongsi pengalaman kepada pihak yang berminat menyertai bidang penanaman cendawan, mendedahkan teknik serta proses tanaman, membekalkan anak benih, membina rumah cendawan serta khidmat kewangan,” katanya.

Akuinya, walaupun di peringkat awal, dia dan rakan kongsi kosong dengan ilmu dan kemahiran mengendalikan projek tanaman cendawan tetapi minat dan kesungguhan untuk menjayakannya terbit secara semulajadi.

”Azuddin yang menjadi rakan kongsi, saya galakkan menyertai kursus berkaitan manakala saya pula lebih dalam bidang pemasaran walaupun awalnya setiap minggu berulang alik dari tempat kerja di Shah Alam, Selangor ke kampung sebelum meletakkan jawatan pada tahun 2006,” ujarnya.

Mendapat sokongan daripada Agro Bank dengan memberi modal pinjaman sebanyak RM250,000 sejak dua tahun lepas.

”Di bawah syarikat Nutri Agrotech Enterprise, buat masa ini terdapat enam rumah cendawan yang tapak asal merupakan tanah terbiar di kampung,” katanya.

Bermula dengan dua rumah diperbuat dari bangsal kayu berdinding dan beratap nipah seluas 20 kaki lebar dan di tepi rumah ibunya, bermodal daripada poket sendiri, Mohd. Asmawi mengusahakan tanaman cendawan tiram kelabu dan bercadang menambah jenis black jelly pada masa hadapan.

”Dalam sebuah rumah cendawan seluas 20 kaki lebar dan 40 kaki panjang yang dibina daripada rangka besi dan kanvas mampu memuatkan 15,000 polibeg yang disusun atas rak-rak secara bertingkat,” katanya.

Menceritakan pengalaman mengusahakan cendawan, Asmawi berkata banyak perkara baru yang jauh menyimpang daripada kerjayanya selama ini dipelajari namun perbezaan itu menarik perhatiannya.

Lokasi operasi cendawannya kebetulan berhampiran dengan kilang memproses kayu turut memudahkan Mohd. Asmawi memperoleh habuk kayu getah malah telah membantu pihak pengurusan kilang melupuskan bahan buangan tersebut dalam bentuk kitar semula.

”Proses tanaman cendawan memerlukan penggunaan habuk kayu getah yang dicampur dedak padi, kapur dan air yang dimasukkan ke dalam beg media

”Diikuti dengan proses mematikan bakteria selama tujuh jam dengan cara mengukus dan disejukkan selama 12 jam

”Selepas itu setiap beg disuntik dengan benih dalam bilik bersih dan berhawa dingin sebelum mengalami proses pemeraman selama 55 hingga 60 hari dan disusun secara mengiring atas rak di dalam rumah,” ujarnya.

Tambah Mohd. Asmawi, proses pemeraman memerlukan pemantauan kerana biji benih mudah dicuri tikus yang gemar memakannya dengan cara mengorek dari hujung beg.

”Selain itu, pengusaha juga berhadapan dengan penyakit kulat hijau atau green mould dan kulat berwarna oren atau neuro spora yang menyerang isi dalam kampit menyebabkan seluruh beg tersebut berubah warna.

”Beg yang dijangkiti mesti diasingkan kerana ia mudah berjangkit dan menyebabkan gagal mengeluarkan hasil,” jelasnya.

Selepas dua bulan katanya, putik atau kudup cendawan yang dikenali sebagai mycelia akan memenuhi ruang atas kampit terjuntai keluar, selepas hari ke tiga dan ke empat hasil boleh dipungut.

”Setiap polibeg mengeluarkan 200 hingga 300 gram hasil dan bergantung kepada kesuburan benih yang akan dikutip mengikut permintaan dan keadaan kelopak cendawan itu sendiri.

”Hari ke tiga paling cantik sebelum bahagian tepi kelopak cendawan berombak dan pecah dengan cara mencabut keseluruhan daripada muncung beg. Hari ke empat cendawan pada peringkat maksimum dengan kelopak lebih segar, cantik dan apabila dimakan rangup dan manis,” ujarnya.

Menurut Mohd. Asmawi, tanaman yang memerlukan kawalan suhu sinar matahari itu boleh dikutip hasilnya selama tujuh kali berturut-turut sebelum direhatkan selama 15 hari sebelum hujungnya ditutup semula untuk memberi peluang kepada kampit lain mengeluarkan hasil.

Mohd. Asmawi yang mempunyai pembekal tetap menjual secara borong RM5 sekilogram (harga pasaran RM8 hingga RM10 sekilogram) untuk pasaran pasar basah dan pasar tani berhampiran.

”Tahun ini, sebanyak empat rumah lagi akan ditambah untuk memenuhi permintaan yang cukup menggalakkan daripada pembekal dan orang ramai,” katanya.

Sekilas arowana Bukit Merah

ag_0114

ikan arowana yang baru menetas dan hanya memakan kuning telur.


TERNAKAN ikan arowana merupakan industri ikan hiasan yang semakin berkembang pesat di sekitar kawasan Bukit Merah, Perak.

Terdapat banyak syarikat yang mula berjinak-jinak menternak arowana – antara ikan hiasan paling mahal di dunia.

Antara sebuah syarikat bumiputera yang menjalankan operasi menternak dan membiak ikan arowana adalah M U Arowana Aquaculture berhampiran Bukit Merah, Perak.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sahibol Anwar Arba’e berkata semuanya bermula dengan minat terhadap ikan hiasan paling mahal di dunia itu.

“Ketika itu saya mula membeli ikan arowana gold dengan harga RM2,000 seekor dan selepas beberapa bulan nilainya meningkat sehingga RM7,000 seekor.

“Pada masa itu saya menyedari ternakan ikan hiasan arowana berpotensi besar untuk dimajukan selain menguntungkan,” katanya yang sebelum ini banyak menceburkan diri dalam perlbagai jenis perniagaan.

Mengkaji mengenai habitat arowana pada awal 2006, Sahibol memulakan projek ternakan dengan membina lapan buah kolam dengan keluasan 20 kaki x 50 kaki.

Pada pertengahan tahun yang sama, beliau mula mengisi setiap kolam dengan enam ekor ikan jantan dan 10 betina.

Ikan arowana bertelur setahun sekali selepas usia matang biasanya antara dua hingga tiga tahun dan semasa proses berkenaan ikan akan berpasangan sehingga masa mengeluarkan telur dan sperma.

Telur yang telah disenyawakan akan dikutip oleh ikan jantan yang akan mengeram selama dua bulan di dalam mulut sebelum diluahkan apabila anak-anak mula berenang sendiri.

“Dalam tempoh berkenaan, ikan jantan akan ‘berpuasa’ sehingga anak-anak dilepaskan pada tempat-tempat berlainan bagi mengurangkan risiko pemangsa,” katanya.

Bagaimanapun bagi tujuan komersial, mulut ikan akan diperiksa setiap dua bulan bagi mengeluarkan anak-anak dan diletakkan di dalam inkubator yang lebih kurang sama keadaannya seperti dalam mulut induk.

Biasanya induk jantan boleh menjaga antara 20 hingga 60 ekor anak di dalam mulutnya pada satu-satu masa.

Sahibol berkata, bagi pasaran tempatan anak-anak ikan yang boleh berenang sudah boleh dijual.

M U Arowana Aquaculture memberikan penekanan dalam menternak tiga jenis arowana iaitu Malaysia gold arowana, red arowana dari Kalimantan dan Indonesia gold.

Harga seekor anak ikan arowana bersaiz tiga inci iaitu Malaysia red gold adalah RM1,600 hingga RM2,000, red arowana RM1,200 hingga RM1,500 dan Indonesia gold adalah RM500.

Harga seekor induk matang boleh mencapai sehingga puluhan ribu ringgit.

Menyentuh mengenai aspek pemakanan, Sahibol berkata, arowana memakan anak ikan seluang selain makanan tambahan seperti udang, cengkerik, katak dan lipan dua kali sehari.

“Ikan arowana sebenarnya tidak sukar dijaga tetapi disebabkan harganya yang mahal, ramai yang menyangka ia memerlukan penjagaan yang rapi,” katanya.

“Ikan arowana amat unik dibanding dengan ikan-ikan hiasan lain kerana ia membiak secara semula jadi dan tidak memerlukan bantuan manusia seperti teknik aruhan.

“Malah ikan arowana adalah haiwan akuatik yang dilindungi kerana mengalami ancaman kepupusan,” katanya.

Sehingga kini M U Arowana Aquaculture beroperasi di atas tanah seluas 5.2 hektar (13 ekar) yang menempatkan 99 buah kolam.

Sahibol berkata, pihaknya mensasarkan untuk membina 100 kolam lagi pada tahun ini.

“Kami juga menitikberatkan masalah keselamatan dan penyelenggaraan dengan pemantauan 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.

“Ini bukan saja untuk tujuan keselamatan kerana harga ikan yang mahal tetapi bagi memastikan keselesaan ikan jika bekalan elektrik terputus secara tiba-tiba,” katanya.

Apa yang lebih menarik M U Arowana Aquaculture juga menawarkan skim perkongsian keuntungan bagi peminat ikan arowana yang mempunyai modal tetapi kurang pengetahuan.

“Di sini, mereka boleh melabur selama lima tahun dengan membeli ikan induk untuk satu kolam dan kami akan menjalankan segala tugas penyelenggaraan dan pengurusan.

“Keuntungan yang diperoleh akan dibahagi dua antara pelabur dan pengusaha sehingga tamat tempoh kontrak,” katanya.

Bercerita mengenai arowana, kata Sahibol, ikan ini hanya bertelur setahun sekali dan tiada masalah bekalan berlebihan dan harganya tidak pernah jatuh.

Memandangkan permintaan yang tinggi dari negara-negara seperti Jepun, China, Taiwan, Kanada, Hong Kong, Eropah dan India, pengeksport perlu mendapat kelulusan Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (CITES) yang diluluskan oleh 72 negara.

Di bawah CITES, ikan arowana disenaraikan sebagai ikan yang dilindungi berkelas tinggi dan perlu ditanam cip di bawah kulit untuk tujuan eksport bagi pengenalan.

Sahibol berkata, kajian menunjukkan arowana adalah spesies ikan yang primitif dari zaman Jurassic.

Fosilnya membuktikan ikan berkenaan tahan lasak sehingga boleh hidup dengan baik sehingga ke hari ini.