Gandum sumber tenaga

GARIS panduan pemakanan Malaysia menekankan betapa perlunya kita memilih diet yang mengandungi banyak bijirin dan kekacang. Piramid makanan mengesyorkan agar kita makan sekurang-kurangnya 8 – 12 hidangan nasi, mi, roti dan produk bijirin lain (bergantung kepada usia, jantina dan tahap aktiviti).

Bijian dipilih sebagai asas pemakanan yang sihat kerana rakyat Malaysia seharusnya mengambil sekurang-kurangnya 50 – 60 peratus daripada jumlah kalori mereka dalam bentuk karbohidrat. Produk bijian juga kaya dengan serat, vitamin B (tiamina, niasin, riboflavin dan asid folik) dan zat besi.

Gandum sebagai sumber karbohidrat

Terdapat dua jenis karbohidrat: Ringkas dan kompleks. Karbohidrat ringkas didapati dalam gula seperti gula biasa, madu, gula Melaka, laktosa (dalam susu) dan fruktosa (dalam buah-buahan). Ia terurai dengan mudah semasa penghadaman dan membekalkan sumber tenaga segera ke dalam aliran darah.

Karbohidrat kompleks adalah kanji yang didapati dalam produk bijian dan sesetengah sayuran (kentang, ubi kayu, keledek dan jagung). Ia terurai perlahan-lahan semasa penghadaman, memberi badan kita sumber tenaga yang dibebaskan beransur-ansur.

Nasi ialah sumber bijian penting malah ramai menganggap makan tidak sempurna kalau tak makan nasi! Namun begitu, gandum ialah bijirin kedua paling banyak dimakan oleh rakyat Malaysia. Kita mengambil gandum dalam pelbagai bentuk, seperti mi, roti dan tepung untuk membuat kuih, biskut, kek, cookies dan sebagainya. Gandum ialah sumber karbohidrat kompleks yang baik.

Protein

Kita seharusnya mengambil kira-kira 10 hingga 15 peratus daripada kalori dalam bentuk protein. Protein haiwan, yang diperoleh daripada sumber seperti telur, susu, ikan, ayam dan produk daging, dinamakan sumber protein lengkap kerana mengandungi lapan asid amino penting dalam jumlah yang diperlukan. Makanan daripada tumbuhan seperti tauhu, kekacang, gandum dan bijian lain mengandungi protein tidak lengkap, iaitu kelapan-lapan asid amino tetapi bukan pada kadar yang mencukupi.

Pemakan sayur yang mengambil beberapa produk gandum seperti mi dan tepung juga memperoleh semua asid amino jika diet mengandungi kekacang dan tauhu.

Lemak

Walaupun pelbagai sumber dan berita mendakwa lemak kurang baik untuk kesihatan, jumlah lemak secukupnya dalam pemakanan penting. Tetapi lemak tidak harus mewakili lebih daripada 20 hingga 30 peratus daripada kalori harian. Makanan berasaskan gandum membekalkan jumlah lemak yang kecil melainkan dimasak dengan banyak minyak/mentega dan marjerin.

Vitamin dan mineral lain

Tiamina (B1) diperlukan setiap hari untuk menambah selera, membantu penghadaman dan menjaga kesihatan saraf. Makanan berasaskan gandum ialah sumber tiamina yang baik, cukup memenuhi keperluan harian.

Riboflavin (B2) didapati dalam banyak makanan berasaskan tumbuhan dan haiwan. Vitamin ini penting bagi penggunaan protein dalam badan. Makanan berasaskan gandum mengandungi sedikit riboflavin.

Niasin ialah vitamin B yang memainkan peranan penting dalam kecekapan penggunaan protein. Makanan berasaskan gandum ialah sumber niasin yang baik.

Asid folik mencegah kerosakan tiub neural dalam janin dan mungkin mengurangkan risiko sakit jantung. Di sesetengah negara Barat, produk gandum diperkuat dengan asid folik.

Zat besi

Makanan berasaskan gandum dianggap sumber zat besi yang baik untuk pemakanan biasa. Sesetengah bijirin dan biskut gandum penuh diperkuat dengan zat besi.

Zink

Pengambilan zink penting khususnya bagi penyembuhan kulit dan tumbesaran. Sesetengah produk berasaskan gandum seperti bijirin sarapan kaya dengan zink.

Magnesium

Magnesium diperlukan bagi pembentukan tulang dan gigi dan juga fungsi saraf dan otot. Magnesium umumnya terdapat dalam diet harian dan makanan berasaskan gandum adalah salah satu pilihan yang baik.

Kebaikan gandum bijian penuh

Bijian penuh terdiri daripada seluruh benih bijian tumbuh-tumbuhan. Benih ini, yang dikenali isirong, dibahagi kepada bran, germa dan endosperma. Pengisaran dan pemprosesan bijian, iaitu pembuangan bran dan germa menghasilkan tepung halus yang dinamakan endosperma. Proses ini boleh menyebabkan kehilangan serat, vitamin B, mineral surih dan nutrien lain.

(Rencana ini disumbangkan oleh Jacob’s – jenama biskut dan kraker yang dipercayai untuk pemakanan yang seimbang dan gaya hidup aktif dan sihat).

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s