Generasi Felda sebati dengan Skill-Tech

ag_04.1

Najib Tun Razak melawat pameran landskap pelatih SKILL-TECH sempena Karnival Kemahiran Generasi Felda suatu ketika dahulu.


Pengalaman selama 12 tahun dalam industri latihan kemahiran menjadikan Institut Skill-Tech bukanlah asing bagi warga Felda.

Sebelum wujudnya pelbagai tabung dan dana latihan kemahiran, Skill-Tech telah menjelajah ke seluruh pelosok tanah rancangan Felda dalam usaha menggalakkan generasi Felda menimba kemahiran sebagai penyambung warisan Felda.

Menurut Pengerusi Eksekutif, Institut Skill-Tech, Nordin Abdul Malek, pelbagai pengalaman pahit manis pernah dirasai sepanjang tempoh tersebut dan generasi Felda amat sinonim dengan beliau.

Pernah suatu ketika dulu hampir 80 peratus pelatih generasi Felda menjadi pelatih Skill-Tech dengan kapasiti 2,000 orang serentak.

”Ketika itu kami pula berdepan dengan pelbagai masalah yang melibatkan dana Tabung Pembangunan Kemahiran (TPK) yang memaksa saya meneruskan latihan pelatih tanpa bayaran kenaikan tahap.

” Saya menyedari bahawa kemahiran satu-satunya penyelesaian generasi Felda untuk menuju masa depan yang baik,” katanya.

Demi keprihatinan itu, Nordin juga pernah membuat tindakan nekad berkumpul beramai-ramai dan menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak (ketika itu Timbalan Perdana Menteri) pada Perhimpunan Agung UMNO tahun 2004.

Atas simpati Perdana Menteri yang kebetulan memang mahu memberikan latihan kemahiran kepada generasi Felda, beliau mengumumkan peruntukan pertama berjumlah RM25 juta bermula tahun 2005.

Skill-Tech adalah antara penerima awal. Namun peruntukan itu tidak disediakan lagi mulai tahun lepas.

Pun begitu, tuah generasi Felda tetap ada apabila Skim Latihan Kemahiran Sumber Manusia Untuk ILKS Bumiputera diwujudkan tahun lalu yang membolehkan generasi Felda mengikuti latihan pertanian dan industri asas tani di Skill-Tech.

”Walaupun Felda tidak menyediakan lagi peruntukan kepada kami, skim tersebut memberi peluang yang lebih baik kerana setiap pelatih dapat mengikuti latihan tahap 1 dan 2 serentak dengan pembiayaan percuma kerajaan,” katanya.

Pada masa ini sambutan generasi Felda amat menggalakkan. Beberapa pelatih yang ditemui menyatakan kegembiraan kerana dapat mengikuti bidang pertanian yang telah menjadi darah daging mereka.

Bagi Mohd. Azim Mohd. Taib dari Felda Jelai, Gemas, beliau mengakui Skill-Tech telah berjaya memberikan pendedahan dan menyerapkan minat yang mendalam terhadap bidang pertanian terutama penternakan ikan air tawar.

“Walaupun persekitaran tanah rancangan adalah bercirikan pertanian, kaedah dan teknik sebenar hanya diperolehi ketika di Skill-Tech.

”Sebenarnya banyak potensi tanah rancangan yang boleh dikembangkan sebagai sumber pertanian tetapi kesedaran usaha tersebut tidak begitu mendalam sehinggalah kami berada di Skill-Tech,” katanya.

Malah beliau sanggup berhijrah ke kawasan lain jika Skill-Tech menyediakan kawasan ternakan ikan di bawah skim inkubator selepas tamat latihan.

Bagi pelatih akuakultur SKM 1 dan 2, Norsuhada Husaini dari Felda Triang 3, Pahang pula menanam keazaman untuk meneruskan tapak kolam ternakan ikan yang pernah diusahakan keluarganya di Felda Triang 3.

Namun bekas kolam berkenaan terbiar kerana bapanya sudah tidak berupaya mengusahakannya lagi disebabkan faktor usia.

”Walaupun menyedari saya terpaksa mengusahakan semula dengan pelbagai cabaran baru, saya tetap mencuba supaya minat dan kemahiran saya akan dimanfaatkan sebagai sumber pendapatan saya dan keluarga”, katanya dengan yakin.

Kedua-dua pelatih tersebut menyeru supaya lebih ramai generasi Felda merebut peluang latihan yang disediakan Skill-Tech kerana kemahiran mereka bukan sahaja dapat membangunkan tanah rancangan tetapi juga menjadi sumber pendapatan baru kepada generasi baru.

Mereka juga yakin, walaupun Felda tidak membiayai latihan mereka tetapi pengurusan Felda dijangka akan bekerjasama menyediakan peluang niaga terutama dalam bentuk pinjaman pembiayaan mudah.

Difahamkan hampir 30 peratus pelatih Skill-Tech kini adalah generasi Felda. Sesiapa yang berminat untuk mengikuti kursus di Skill-Tech boleh menghubungi 06-5531416/18.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

w

Connecting to %s