Khasiat Kacangma


SUMBER REZEKI: Heng menuai kacangma yang matang di kebunnya di Rantau Panjang, Batu Kawa.

Herba popular di Sarawak boleh bantu baiki peredaran darah

MUNGKIN ramai yang tidak tahu mengenai khasiat kacangma, sejenis herba yang dijadikan makanan kesihatan serta popular di kalangan penduduk di Sarawak.

Hasil kajian yang dijalankan Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi) mendapati kacangma kaya dengan khasiat dan mempunyai nilai kesihatan yang tinggi.

Kacangma adalah sejenis herba tradisional yang sekian lama digunakan penduduk Sarawak sebagai herba ubatan dan makanan kesihatan. Herba ini dipercayai berkesan untuk membaiki peredaran darah, menjaga kesihatan wanita khususnya untuk melancarkan kitaran haid dan mempercepatkan pengecutan uterus selepas bersalin.

Semua bahagian pokok kacangma dan biji mempunyai nilai perubatan. Disebabkan khasiat dan rasa herbanya yang unik, kacangma turut digunakan sebagai ramuan masakan terutama untuk menyediakan makanan kepada ibu selepas bersalin atau dalam pantang.

Kalau dulu herba tradisional itu lebih popular di kalangan ibu keturunan Cina yang memakannya selepas bersalin, kini ia juga popular di kalangan ibu keturunan Melayu, kaum Iban dan suku kaum lain yang ada di Sarawak.

Kacangma juga dikenal pasti Kementerian Kesihatan sebagai herba yang berpotensi dan mempunyai nilai ekonomi.

Justeru, usaha sudah diambil untuk mempertingkatkan penggunaannya melalui pembangunan pelbagai produk bernilai komersial. Beberapa produk makanan seperti herba kacangma, sup kacangma ayam dalam tin, pes, sapuan dan jeli konfeksi telah dibangunkan berasaskan herba ini.

Penanaman pokok kacangma, memerlukan penjagaan yang rapi serta semburan racun serangga supaya tidak diganggu oleh makhluk perosak. Ia lebih sesuai ditanam di batas tanah yang sudah digemburkan, dengan jarak tidak terlalu rapat bagi menghasilkan pokok lebih besar dan subur.

Kacangma juga lebih sesuai ditanam pada musim kurang hujan iaitu awal April, Julai, Ogos dan November.

Seorang pengusaha tanaman kacangma, Heng Eng Joon, 62, berkata bagi mendapatkan kacangma yang bermutu, amat sesuai jika ia dituai pada tahap kematangan antara 30 hingga 40 hari.

Ini kerana jangka hayat pokok itu hanya boleh mencapai sehingga 100 ke 150 hari dengan ketinggian 1 hingga 1.8 meter. Kacangma memberikan pulangan cukup lumayan. Eng Joon yang hanya menanam kacangma di kawasan seluas setengah hektar, memperoleh pendapatan RM3,500 sebulan.

Bagi tujuan pemasaran, kacangma perlu melalui proses pengeringan sebelum dapat digunakan sebagai ramuan masakan.

Daun, pucuk dan batang lembut dibersihkan sebelum dicincang halus, sementara akar dan batang keras dibuang. Daun halus ini kemudiannya dijemur di bawah cahaya matahari sehingga kering.

Bagaimanapun, kaedah tradisional seperti itu mempunyai potensi komersial yang terhad disebabkan masalah warna yang kurang menarik dan tempoh penyimpanan yang pendek.

Masalah ini wujud akibat ketiadaan kawalan mutu terutama kawalan kebersihan semasa proses pengeringan dan kandungan lembapan yang tidak tetap pada produk siap.

Bagi mengatasi masalah ini pengeringan secara mekanikal menggunakan alat pengeringan kabinet digunakan. Pengeringan pada suhu 55 darjah celsius selama lima hingga enam jam di dalam pengering kabinet berupaya menghasilkan kacangma kering dengan kandungan lembapan di bawah 6 peratus.

Pengurus Projek Kacangma Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuching, Leo Mamba, berkata setakat ini tumpuan pihaknya ialah memasarkan kacangma dalam bentuk kering, terutama herba untuk campuran masakan serta teh kacangma.

Selain itu, usaha mula diambil untuk mempertingkatkan penggunaannya melalui pembangunan pelbagai produk yang mempunyai nilai komersial seperti sup kacangma ayam dalam tin, pes, herba kacangma untuk masakan dan sebagainya.

Sejak Mac 2007, sebanyak 10,323 kotak teh kacangma dihasilkan dan meningkatkan pengeluaran teh kerana untuk menampung permintaan tempatan.

Bagi pasaran di Semenanjung PPK Kuching sendiri bertindak menjadi pengedar menerusi dua syarikat di sana.

Setakat Januari hingga Mac tahun ini, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) juga sudah menghasilkan sebanyak 627 kotak teh kacangma dan menjangka akan meningkatkan pengeluaran teh itu berikutan permintaan yang semakin meningkat.

Melihat kepada potensi dan permintaan Kacangma, Leo menasihati supaya penduduk negeri ini menceburkan diri dalam penanaman herba berkenaan sebagai menambah sumber pendapatan.

“Tidak mustahil kacangma akan muncul sebagai satu komoditi penting satu hari kelak dan menjadi salah satu sumber pendapatan utama penduduk di Sarawak,” katanya.

INFO

Nama saintifik: Leonurus sibiricus

Nama umum: Chinese motherwort (Yi Mu Cao)

Nama tempatan: Kacangma (Chinese), Seranting, Tebung aga, Padang deman (Melayu)

Asal: Utara Timur Asia dan Jepun

Ciri-ciri: Jenis herba bebulu, bermusim mempunyai bentuk batang 4 segi dan boleh mencapai ketinggian hingga 1 meter.

Mempunyai 2 jenis varieti iaitu jenis berbunga merah jambu (L Sibiricus L) dan jenis berbunga putih(L Var Albiflorus Migo)

Bahagian digunakan: Daun muda, tunas dan batang.

Khasiat: Mempunyai rasa yang pahit, pedar, dingin dan bau yang menusuk hidung. Kacangma didapati mengandungi proksimat (lemak, serabut kasar, protein, karbohidrat, abu dan lembapan), mineral (kalsium, fosforus, ferus, natrium & kalium yang tinggi) dan vitamin (A, B1, B2 & asid askorbik).

Perbandingan antara dua jenis kacangma menunjukkan spesies bunga merah jambu mempunyai purata kandungan nutrient yang lebih tinggi daripada varieti bunga putih.

1 thoughts on “Khasiat Kacangma

  1. Salam…Sy ada menjual buah tunjuk langit gred A..sekitar 250 biji sehinga 300 biji sebungkus harga cuma rm30….cepat dan pantas sy hantar guna kan pos laju.call or msg sy xpun wasap sy kt 0174687570(mohd zuhairi)

    Kebaikan buah tunjuk langit terlalu banyak…melancarkan darah…buang angin..pulih kn tenaga batin untuk lelaki..kesan lebih hebat berbanding tongkat ali…cuci buah pingang..kurangkn kolestrol..kurangkan darah tingi..buah ni.selamat di makan…amalan orang terdahulu untuk kesihatan..berasal dari pohon mahogany di dalam hutan

    Buah yg sy jual adalah asli…bukan pil bukan kapsul tapi dalam bntuk biji2 kuaci mahogany….sehari cukup sebiji untuk kesihatan.sesiapa pun boleh amal kan…

Tinggalkan komen