Betik ganti padi


MENJADI: Jasni (kanan) bersama Rosli Waris memeriksa buah betik supaya bebas daripada serangan penyakit di ladangnya di Kampung Pengkalan Kakap, Merbok.

Petani manfaat tanah sawah terbiar raih hasil lumayan

PULANGAN lumayan dalam sektor pertanian sekarang mendorong ramai orang menceburinya. Justeru, bidang itu kini tidak lagi terpinggir, malah sentiasa dianggap bidang yang mempunyai potensi jika diusahakan secara komersial dan bijaksana mengikut kehendak pasaran.

Slogan ‘pertanian adalah perniagaan’ yang diterapkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sejak beberapa tahun lalu amat bertepatan kerana aktiviti pertanian bukan lagi sekadar untuk sara diri, sebaliknya hasil itu perlu diniagakan supaya pengusaha mendapat pulangan baik.

Kekurangan hasil makanan yang juga menyebabkan negara terpaksa mengimport bahan itu, adalah antara faktor menyebabkan ruang atau peluang terbuka luas untuk diteroka petani.

Seorang penduduk Kampung Pengkalan Kakap, Merbok, Sungai Petani, Kedah, Jasni Waris, 31, mengambil kesempatan daripada potensi yang ada itu dengan mengusahakan tanaman betik seluas 2.5 hektar bagi menggantikan padi yang tidak dapat hidup subur apabila sistem pengairan kurang baik di kawasan itu.

Jasni berkata, ketika menanam padi pendapatannya tidak menentu kerana padi hanya dapat ditanam sekali setahun, menyebabkan dia berusaha menukar tanaman dengan menanam betik yang mendapat permintaan tinggi.

SUMBER REZEKI: Jasni (kanan) bersama Rosli Waris membawa betik yang baru dipetik di ladangnya.

“Seorang pemborong buah-buahan mencadangkan saya menukar tanaman padi kepada betik kerana permintaannya tinggi sama ada untuk pasaran tempatan atau eksport. Rakan pemborong itu yang juga rakyat Taiwan sudi memberikan tunjuk ajar dan dari situ saya mula nampak potensi buah berkenaan.

“Saya kemudian mengkaji tahap keasidan tanah dan menabur serbuk kapur terlebih dulu bagi meneutralkan pH tanah sebelum menyuburkannya dengan baja tahi ayam dan dibuat batas,” katanya yang memulakan tanaman itu sejak setahun lalu.

Beliau berkata, setiap anak betik perlu ditanam agak rapat, iaitu dengan jarak 30 sentimeter (sm) dan 210 sm supaya pokok jantan boleh dibuang apabila ia mula matang serta mengeluarkan bunga.

Bagi keluasan 2.5 hektar itu ia mampu menampung lebih 2,300 batang pokok betik.

“Hanya pokok betina saja dibiarkan hidup, manakala pokok jantan dicabut kerana ia tidak boleh berbuah.

“Biasanya antara 15 hingga 25 peratus daripada anak betik adalah jantan. Pokok jantan biasanya akan berbunga lebih awal, iaitu ketika berusia sebulan, manakala betina dua bulan,” katanya yang mengupah dua pekerja.

Beliau berkata, pokok betik juga tidak memerlukan penjagaan rapi dan memerlukan pembajaan setiap tiga bulan menggunakan tahi ayam.

Jasni berkata, beliau biasanya memetik buah dua kali seminggu dengan hasil kutipan sehingga enam tan metrik setiap minggu dan dibeli oleh pemborong dari ibu negara.

Buah berkenaan dijual secara borong dengan harga 80 sen sekilogram. Setiap pokok biasanya mampu menghasilkan buah bernilai sehingga RM400 sepanjang hayatnya.

Hasil kegiatan itu, beliau mampu tersenyum lebar apabila memperoleh pendapatan lima angka sebulan.

Beliau berkata, disebabkan hanya menggunakan baja organik, buah betiknya turut dipasarkan ke Singapura oleh pemborong berkenaan.

Jasni bercadang mahu membesarkan lagi keluasan tanaman betiknya dengan menyewa tanah penduduk sekitar yang terbiar.

12 thoughts on “Betik ganti padi

  1. Kejayaan ini sangat menarik dan diucapkan tahniah kepada pengusaha berkenaan. Saya tertarik untuk mengikuti jejak langkah beliau. Pada ketika ini saya ada sekeping tanah seluas 1 1/2 ekar yang sedang saya fikirkan untuk tanaman betik. Harap dapat tuan memberikan butir-butir lanjut tentang teknologi tanaman ini spt jenis benih dan dimana boleh diperolehi serta serba sedikit tentang costing dan keuntungannya. TQ.

  2. Berminat sangat untuk menanam betik di kawasan saya 1 hektar,tetapi tiada marketing plan , macamana boleh dapat khidmat daripada kawan kawan .

  3. ASsalamualaikum,
    Saya berminat untuk mengusahakan tanaman betik secara professional untuk export tetapi saya tidak mempunyai tanah. Saya juga sedia untuk mengemukakan business plan untuk tujuan ini dan juga untuk dapatkan bantuan daripada agensi2 kerajaan.
    Justeru, pada sesiapa yang berminat untuk memajakkan tanahnya secara profit sharing, sila hubungi saya di no telefon 016 665 4604 atau pun email saya mxm659@yahoo.com

    Terima kasih.

    Mohd Farid

  4. Saya baru hendak berjinak menanam betik. Dah beli biji benih berjenama Known You Seed dan jenis betik ‘Yellow Lady’. Adakah saya membeli benih yang baik?

  5. saya baru abis belajar kat uitm. dulu saya belajar pengurusan ladang.sekarang saya tgh ‘tanam anggur’.hehe.dulu time kat uitm saya tak belajar pasal pokok betik.so, saya minat sangat nak belajar pasal tanam betik.buleh tak kalau saya nak PRAKTIKAL kat tempat en jasni???saya serius ni.harap dapat respond yg baik dari en jasni.

  6. Salam kepada semua….sesiapa yg ada buah betik,saya mahu membelinya.kalau boleh saya mahu membelinya sebanyak 8 tan sehari….dengan harga RM0.60/Kg

  7. Minta bantuan kepada sesiapa yang tahu dimana ada buah betik jantan ,tolong hubungi saya di no .016-2685194 – Saya
    nak buat ubat

Tinggalkan komen