Kelah jinak tarik perhatian


JINAK: Za’ abar (dua dari kiri) memegang ikan kelah di Pusat Santuari Kelah Sungai Petang ketika mengadakan lawatan ke Tasik Kenyir.

KUALA BERANG: Ikan kelah adalah spesies ikan yang cepat menghilangkan diri apabila terdengar bunyi atau terlihat kelibat manusia dan haiwan di daratan. Justeru, tidak hairanlah pemancing terpaksa memakai pakaian berwarna gelap jika ingin mahu memancing kelah.

Bagaimanapun, di Santuari Kelah Sungai Petang di Tasik Kenyir, ikan kelah bukan saja tidak takut kepada kelibat manusia dan haiwan, malah ikan dipulihara secara semula jadi itu makan di tapak tangan dan boleh disentuh.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib, berkata santuari yang dibuka tiga tahun lalu adalah antara tarikan terbaru industri pelancongan di Tasik Kenyir.

“Berikutan kejayaan santuari di Sungai Petang, kerajaan akan membuka satu lagi santuari kelah di Sungai Cacing bagi memastikan sumber ikan di tasik buatan manusia terbesar di dunia ini berkekalan dan hidup secara semula jadi.

“Orang ramai akan berpeluang melawat santuari ini tetapi kini kita hanya membenarkan lawatan secara kumpulan yang diselia pegawai Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah),” katanya ketika ditemui selepas melawat Santuari Kelah Sungai Petang, semalam.

Za’abar berkata, kerajaan negeri serius ingin membangunkan Tasik Kenyir sebagai salah satu destinasi pelancongan semula jadi popular di negara ini.

“Minggu depan kita akan adakan mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Tasik Kenyir dan mengadakan lawatan ke tempat yang akan dimajukan,” katanya.

3 thoughts on “Kelah jinak tarik perhatian

  1. Salam… terima kasih kerana menyiarkan gambar mengenai ikan kelah di laman web anda. Anda sepatutnya memberi kredit kepada sumber – Berita Harian, tks

Tinggalkan komen