Usahawan cemerlang

Nasi lemak istimewa D’Danish Wan Nasruddin popular di kalangan pelanggan Pasar Tani Taman Sena.


KANGAR 3 Feb. – Pasar tani bukan sahaja menjadi medan jualan pelbagai hasil pertanian tempatan, malah ia juga menjadi landasan kepada individu untuk mengorak langkah lebih jauh dalam dunia perniagaan, terutama golongan belia.

Malah melalui jualan di pasar tani, ramai belia kini mampu menghasilkan produk jenama sendiri dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai.

Setiausaha Persatuan Usahawan Pasar Tani Perlis, Ku Hasrin Ku Abd. Rahman, 28, tidak mensia-siakan pengalaman yang diperoleh semasa bekerja di kilang dan kini mampu menghasilkan produk minyak kelapa dara yang diproses sendiri dengan jenama Etivico.

Anak muda ini amat serius dalam bidang berkenaan, malah turut membuat makmal sendiri bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk yang dihasilkannya itu.

“Pendidikan yang saya terima dalam bidang teknikal perindustrian ketika belajar di sebuah kolej turut saya gunakan untuk membina mesin bagi pemprosesan minyak kelapa dara,” katanya.

Menurut beliau, jualan minyak kelapa dara pelbagai perisa yang dihasilkan mendapat sambutan amat baik daripada para pelanggan, terutama mereka yang mengetahui pelbagai khasiat yang ada pada produk itu.

Ku Hasrin yang berniaga di Pasar Tani Desa Raya sejak 2007 itu turut menjual rempah ratus dengan jenama sendiri iaitu Rempah Bajet.

Rempah berkenaan dibeli secara borong, kemudian dibungkus semula dalam pek-pek mengikut saiz tertentu sebelum dijual kepada orang ramai.

Sementara itu, Muhamad Irsyad Abdul Razak, 22, pula menjual baja organik di pasar tani sejak tiga tahun yang lalu dan menariknya baja berkenaan dihasilkan sendiri dengan jenama Biodark.

Baja yang berbentuk serbuk dan cecair itu dihasilkan daripada daun-daun dan akar kayu yang terdapat berhampiran kawasan rumahnya.

Pembuatan baja itu dipelajari bapanya melalui kursus-kursus yang dihadiri seperti di Thailand, Indonesia dan Filipina.

“Penjualan baja ini amat menguntungkan tanpa perlu modal yang banyak dan saya boleh menghasilkan baja serbuk dan baja cecair.

‘‘Baja serbuk sesuai untuk daun, bunga dan buah, manakala baja cecair untuk bunga, buah dan menghindari serangga selain tidak membahayakan binatang ternakan,” ujarnya.

Muhamad Irsyad yang berkelulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bercita-cita untuk meluaskan perniagaan baja organik dan beliau baru sahaja menamatkan kursus persijilan dalam bidang pertanian.

Dalam pada itu, Wan Nasruddin Wan Nidzamuddin, 29, pula dahulunya bergiat secara kecil-kecilan menjual pelbagai jenis makanan ‘snek’, nasi lemak dan minuman di pasar tani.

Berikutan penjualan nasi lemak yang mempunyai resipi istimewa yang diwarisi daripada ibu mertuanya itu mendapat sambutan hebat daripada pelanggan, beliau terpaksa meningkatkan lagi jumlah jualannya.

Kini, nasi lemaknya mempunyai jenama sendiri iaitu D‘Danish, malah turut mendapat permintaan yang tinggi daripada orang ramai di negeri ini.

“Menyedari sambutan yang menggalakkan, kami turut melebarkan jualan nasi lemak ini ke daerah lain, malah turut mendapat tempahan untuk majlis-majlis keramaian,” katanya.

Beliau yang berniaga di Pasar Tani Taman Sena di sini sebanyak dua kali seminggu turut menjual ayam goreng dengan resipi tersendiri hasil pengalamannya bekerja di sebuah restoran makanan segera.

1 thoughts on “Usahawan cemerlang

  1. assalamu’alaikum..
    saya pelajar tahun satu USM kampus kejuruteraan.Modul Usahawan adalah modul wajib yang perlu saya ambil.Saya telah ditugaskan untuk membuat sedikit kajian mengenai tokoh-tokoh keusahawanan yang berjaya di malaysia. tuan adalah tokoh yang ingin saya kaji dan menjadikan salah satu idola. Oleh itu, jika tidak keberatan, saya berharap agar tuan dapat sedikit sebanyak menceritakan titik awal permulaan perniagaan encik sehingga berjaya serta dapatlah kiranya tuan ceritakan sedikit latarbelakang diri tuan seperti yang berikut:

    1.nama penuh
    2.tarikh lahir dan tempat lahir
    3.Latar belakang tuan
    4.Tahap pendidikan dan tempat pengajian
    5.jenis perniagaan yang diceburi
    6.Minat tuan
    7.Pengalaman tuan sepanjang menjalankan perniagaan
    8.Faktor dorongan (dalaman dan luaran)
    9.cabaran, halangan atau kegagalan dahulu, sekarang, dan masa hadapan.
    10.Cara mengatasi cabaran, halangan dan kegagalan
    11.kejayaan dulu, sekarang.
    12.Perancangan masa hadapan.
    13.Prinsip hidup
    14.faktor-faktor kejayaan perniagaan
    15.kejayaan&kegagalan yang pernah dilalui sepanjang tempoh perniagaan
    16.maklumat-maklumat lain yang bersesuaian
    17.sedikit gambar tentang hasil jualan

    segala kerjasama tuan amat saya hargai dan saya dahului dengan ucapan ribuan terima kasih..

Tinggalkan komen