Burung RM1j

bird_of_paradise__phoenix_bird__burung_cenderawasih.jpg

KUALA LUMPUR: Hanya kerana taksub terhadap kepercayaan tahyul burung cenderawasih mampu menarik kekayaan serta membawa ‘tuah’, ada golongan kenamaan dan kerabat diraja sanggup menawarkan RM1 juta bagi mendapat seekor burung itu yang diseludup masuk dari Irian Jaya, Indonesia.

Malah lebih pelik apabila helaian bulu burung itu yang direndam dalam minyak masak sebelum dibotolkan turut boleh dijual menjangkau harga RM5,000 sebotol.

Keghairahan luar biasa ini menyebabkan ada peniaga ubat-ubatan tradisional sanggup menipu dengan meletakkan bulu ayam atau burung spesies lain sebelum dijual kepada orang ramai yang taksub terhadap ‘keramat’ burung berkenaan.

Timbalan Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Celescoriano Razond, berkata kegilaan terhadap perkara mistik yang terdapat pada burung cenderawasih itu menyebabkan pemburu haram di negara jiran berlumba-lumba menyeludup masuk bangkai burung spesis ini ke Malaysia kerana menyedari terdapat permintaan tinggi di negara ini.

Anehnya penduduk dan rakyat di Indonesia sendiri tidak mengendahkan kewujudan burung berkenaan yang diyakini ramai penduduk negara ini berkesan sebagai ‘pelaris’ diri dan perniagaan selain turut diyakini boleh menjadi minyak pengasih.

Menurutnya, hal ini terjadi berikutan ramai pengamal perubatan tradisional dan individu yang berpegang kuat pada amalan mistik yakin bahawa burung ini hanya makan embun syurga malah ia didakwa mengeluarkan wangian yang sukar digambarkan.

“Akibatnya setiap inci badan burung ini termasuk isi perut dan bulunya mempunyai khasiat misteri dan kebanyakannya digunakan untuk perubatan, paling dicari adalah bulu cenderawasih yang yang dianggap pelaris paling besar.

“Bagaimanapun, menyeludup dan memiliki burung cenderawasih adalah satu kesalahan dan boleh didakwa mengikut Seksyen 68, Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 (pindaan 1988) yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tiga tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya.

Menurutnya, terbaru, pegawai Perhilitan sebelum ini pernah memberkas dua lelaki Indonesia berusia 30-an yang didapati menyeludup masuk lebih lima ekor burung cenderawasih ke negara ini.

“Mereka tidak sekadar cuba menjual burung cenderawasih yang awet itu malah turut menawarkan minyak berisi bulu burung cenderawasih yang didakwa boleh dijadikan minyak pengasih. Ini terbukti apabila kami menemui kotak kayu berisi berpuluh botol kecil yang didakwa minyak sakti burung cenderawasih

“Pegawai Perhilitan turut merampas satu kitab mengenai hikmat dan keajaiban doa burung cenderawasih dan pelbagai buku lain yang menceritakan kehebatan burung cenderawasih ini,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan kitab yang ditemui itu, bulu burung cenderawasih didakwa boleh bertukar menjadi batu permata sekiranya jatuh ke bumi.

“Manakala isi perutnya dicampur dengan minyak kepala hijau dijadikan ubat pelbagai penyakit. Ia turut boleh digunakan untuk mengeratkan hubungan suami isteri dalam memperoleh kebahagiaan rumah tangga.

“Bulu burung ini pula jika dipakai di kepala atau dijadikan tangkal boleh dijadikan ubat pengasih, pelaris atau penunduk,” katanya.

Namun katanya, apa yang menyebabkan burung cenderawasih digilai golongan kenamaan adalah kerana kepercayaan ia boleh mendatangkan tuah ‘segunung emas’ selain memberi kekuasaan jika disimpan di rumah.

Bagaimanapun menurutnya, kepercayaan itu tidak berasas dan fakta disampaikan nyata tidak benar kerana cenderawasih sememangnya wujud sebagai spesies burung biasa di bumi dan bukannya berasal dari syurga seperti diwar-warkan.

Difahamkan terdapat 43 jenis spesies cenderawasih yang dibezakan daripada beberapa ciri seperti warna bulu dan saiznya. Kebanyakan burung jenis ini berhabitat di kawasan hutan tropika dan banyak ditemui di Australia Timur, Irian Jaya, Papua New Guinea dan Kepulauan Maluku.

Malah menurutnya, Taman Burung Kuala Lumpur sendiri memiliki tiga cenderawasih berjenis Paradisea Apoda yang masih hidup untuk dipamerkan untuk tontonan pengunjung, sejak lima tahun lalu.

“Yang pasti burung ini lebih gemar berada di atas pokok menyebabkan dia dianggap sebagai burung keramat dari syurga dengan cerita palsu kononnya burung ini tidak pernah memijak tanah.

“Cenderawasih hidup dan mati seperti burung biasa. Mungkin cenderawasih yang dijual kononnya sebagai objek misteri tidak reput kerana ia sudah diawetkan terlebih dahulu,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang menjual atau menyimpan burung cenderawasih terbabit boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana memiliki burung liar yang dilindungi mengikut Akta Hidupan Liar.

12 thoughts on “Burung RM1j

  1. Saat ini banyak orang indonesia yang hilang kepeduliannya terhadap masa depan kekayaan alam negrinya sendiri, sehingga banyak sekali terjadi tindak kejahatan yang merusak lingkungan seperti mencuri kekayaan alam di berbagai daerah dan menyelundupkannya keluar negeri demi keuntungan diri sendiri atau golongan, Padahal hal ini sangat2x merugikan kta semua. Saya harap masih ada kepedulian dari kita semua terhadap masa depan seluruh negri ini termasuk didalamnya kekayaan alam kita agar dimanfaatkan demi kesejahteraan seluruh rayat Indonesia. Jangan Cuman memikirkan Diri sendri.

  2. ssungguhnya,burung tidak memberi rezeki kpd umat manusia..mempercayainya adalah syirik,iaitu dasa besar…tuhan yg memberi rezeki kpd umatnya…kita hanya perlu berusaha dan bertawakal kpd Nya…

  3. sy sangat setuju dgn apa yg di katakan sdr/i.Nata,kita wajib melindungi kekayaan alam yg di berikan Tuhan bagi negeri kita yg bgtu braneka ragam,krna semua itu adlah milik kita brsama,lindungi dan lestarikanlah..

  4. Semua kepercayaan boleh berkembang di masyarakat, namun seuma itu termasuk sifat syrik, rizki dan semua harta yang kita miliki semua adalah bersumber pada-Nya (Allah.SWT), jangan salah dalam berpijak dan salah dalam menentukan arah dari mana rizki itu datang.

    Terima Kasih
    Hamba Allah

  5. setahu sy burung cendrawasih adalah burung kayangan ia tiada berkaki ia terbang diawangan sambil berzikir(makan), hanya bila mati saja jatuh kebumi, itu pun kalau nasib baik jumpa. bulunya harum semut pun tidak makan, ia tidak reput,tidak perlu di awek. yang gambar diatas burung cendrawasih bumi, palsu kut sebab ada kaki,

    Allah saja yang tahu,

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s