Kuih bunga pudak bakal pupus

Fatimah Ismail menggunakan kaedah tradisional bagi menghasilkan kuih bunga pudak meskipun mempunyai peralatan mesin lengkap di rumahnya di Kampung Keriang, Pulau Tandop, Alor Star, semalam.
– Gambar ISMAIL KAMADIN


ALOR STAR 11 Dis. – Adakah anda pernah mendengar dan merasa keenakan kuih bunga pudak? Mungkin ramai yang tidak tahu asal usulnya.

Bagi generasi muda seperti penulis, nama dan bentuk kuih tradisional yang diberi nama kuih bunga pudak adalah sesuatu yang asing.

Kuih bunga pudak adalah salah satu daripada kuih tradisional negeri Kedah yang semakin dilupakan dan mungkin bakal pupus jika tiada golongan pelapis yang berminat untuk mempelajari cara-cara membuat kuih tersebut.

Bagi pengusaha kuih tradisional ini, Fatimah Ismail, 63, atau lebih dikenali dengan nama ‘Mak Su’, dia telah menjalankan perniagaan membuat kuih bunga pudak sejak 20 tahun yang lalu.

“Saya belajar membuat kuih ini sejak dari zaman muda lagi dan sukar untuk mencari pelapis yang berminat untuk membuat kuih ini.

“Saya pernah mengajar seorang anak muda yang berminat untuk mempelajari cara-cara pembuatan kuih ini, namun daripada satu kilogram tepung hanya 10 kuih yang menjadi,” katanya ketika di temui di Kampung Keriang Pulau, Tandop di sini baru-baru ini.

Menurut Mak Su, antara bahan-bahan yang digunakan untuk membuat kuih itu ialah tepung pulut yang diadun bersama sedikit air untuk dijadikan kulit luarnya, kelapa parut yang dicampurkan sedikit pewarna dan digaulkan dengan gula bagi dijadikan inti kuih tersebut.

Jelasnya, dia juga menggunakan dapur minyak tanah untuk menjaga api supaya kulit luar kuih berkenaan tidak hangus.

“Dapur minyak tanah ini juga sukar untuk diperoleh sekarang jadi saya perlu menjaganya sebaik mungkin untuk mengelakkan daripada rosak,” ujarnya.

Kata Mak Su, apabila tiba musim cuti persekolahan dan musim perkahwinan, banyak tempahan kuih tersebut terpaksa ditolak kerana dia tidak mampu untuk menghasilkannya seorang diri.

Tambah Mak Su, walaupun mempunyai empat orang pembantu yang merupakan golongan wanita dari kampung itu, mereka hanya membantunya untuk menyediakan kuih tradisional lain seperti kuih siput, kuih peneram dan sebagainya.

Ini kerana, hanya Mak Su yang mahir untuk membuat kuih bunga pudak itu.

“Dalam sehari saya mampu menghasilkan kira-kira 1,000 biji kuih ini dan saya memasarkannya di Pekan Rabu dan pasar-pasar di sekitar negeri ini.

“Nasib saya baik kerana tahun lalu pihak Kementerian Pertanian telah memberi bantuan seperti mesin dan sebagainya untuk memudahkan kerja membuat kuih- kuih tradisional ini,” ujarnya.

Mak Su menjual kuih tersebut dengan harga RM16 bagi seratus biji dan bagi sesiapa yang ingin merasa kuih tradisional itu, mereka boleh berjumpa sendiri Mak Su di rumahnya di No. 111, Kampung Keriang Pulau, Tandop di sini.

Atau mereka boleh menelefon Mak Su di talian 017-4092401 atau 04-7412196.

1 thoughts on “Kuih bunga pudak bakal pupus

  1. salam…………..
    saya ada assigment tentang makanan tradisional negeri kedah…
    so sya nk mntk bantuan untuk mengetahui tentang asal usul nama bunga pudak, tepong torak,gedung cak,kuih loyang,kuih kapal terbang,karas,cucur jawa,cucur peniram,cucur manis,baulu….

    spe2 y tahu tlg la erkkkkk….plzzzzzzzzzzzzz

Tinggalkan komen