Bisnes rock melon

SETIAP rumah hijau mampu memuatkan sehingga tiga ribu pokok rock melon.

PENANAMAN rock melon menggunakan kaedah fertigasi bukanlah perkara baru dalam kalangan petani ketika ini.

Malah, teknologi tersebut sudah menjadi aplikasi yang lazim dan semakin mendapat sambutan memberangsangkan berikutan kelebihannya yang mudah dilaksanakan berbanding kaedah konvensional lain.

Selain mudah dan cepat, kaedah tersebut juga tidak memerlukan ruang yang luas kerana medium tanaman fertigasi hanya memerlukan sebuah beg plastik berisi tanah dengan baja diagihkan melalui sistem pengairan atau proses pendebungaan.

Yakin konsep tersebut dapat memberi keuntungan kepada pendapatan keluarga, Muhammad Sidek Osman, 36, bertekad melepaskan jawatan dalam syarikat telekomunikasi swasta dan berhijrah kepada bidang penanaman fertigasi rock melon.

Menceritakan pengalaman pertama mengusahakan fertigasi rock melon, anak jati negeri Selangor itu memulakan projek tersebut awal Januari lalu.

“Saya bersama dua orang rakan kongsi mengeluarkan modal kira-kira RM300,000 untuk menyediakan tiga buah rumah hijau, kemudahan berkaitan teknologi fertigasi bagi melancarkan operasi rumah tersebut.

“Kami mengusahakannya di atas tanah seluas 1.5 ekar yang terletak di kawasan Jenjarom. Setiap satu rumah hijau mampu memuatkan sehingga tiga ribu pokok rock melon,” katanya ketika ditemui di ladang fertigasi rock melon di Banting baru-baru ini.

Ditanya mengapa memilih rock melon sebagai sumber pendapatan, Muhammad Sidek memberitahu, minatnya terhadap buah tersebut timbul selepas menyertai program usahawan bimbingan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) tahun lalu.

Bermula daripada program tersebut, dia bersama Saiful Asyraf Md. Ihsan dan Mohd. Muniff Norulazmi menubuhkan syarikat bagi menggerakkan projek tersebut.

Syarikat berkenaan, KMS Agronomi Sdn.Bhd akan berfungsi sebagai` jentera’ bagi memastikan tanaman rock melon yang diusahakan mampu memberi pulangan selain menjadi tulang belakang kepada pengurusan jual beli hasil dan sebagainya.

Tambah Muhammad Sidek, buah di setiap rumah hijau akan dituai sekali sebulan secara berperingkat sekali gus memberikan hasil berterusan setiap tiga bulan berturut-turut.

Membangunkan tanaman rock melon varieti Glamour pada setiap rumah hijau, buah tersebut mampu mengeluarkan hasil purata sehingga 1.6 tan pada setiap kali tuaian.

“Daripada jumlah tersebut, ia mampu menghasilkan pendapatan hasil kira-kira RM10,000 hingga RM15,000 bagi setiap sekali tuai dan jumlah tersebut sudah cukup membanggakan kami.

“Oleh itu, komitmen yang tinggi perlu dipupuk pada peringkat permulaan ketika baru memulakan bidang pertanian kerana dengan kesungguhan, petani dapat menilai sendiri hasil yang akan diperoleh.

“Asas prinsip seperti itu penting dan paling utama, kita tidak perlu cemas atau bimbang untuk menjual hasil tanaman jika ia benar-benar berkualiti dan menepati ciri-ciri terbaik,” ujarnya.

Berkongsi mengenai cara pendebungaan benih Glamour, bapa kepada dua orang cahaya mata ini memberitahu mereka menyerahkan ‘tugas’ tersebut kepada lebah madu berikutan kapasiti pokok yang banyak pasti melambatkan proses pendebungaan jika dilakukan secara manual.

Lebah yang ditempatkan di dalam rumah hijau dijadikan sebagai agen pendebungaan kerana haiwan tersebut mampu menyebarkan benih pokok serta mengahwinkan bunga jantan dan betina.

Selain lebah madu, kelulut juga boleh dijadikan sebagai agen pendebungaan benih namun kos yang harus ditanggung oleh petani mungkin berlainan dan sedikit mahal kerana kelulut telah sedia maklum agak sukar untuk diperoleh.

Menurut Muhammad Sidek, ‘perkhidmatan’ lebah madu lebih berkesan berbanding kelulut kerana serangga tersebut terbang lebih pantas namun masih tetap merbahaya dengan sengatannya jika dibandingkan dengan kelulut yang tidak menyengat.

Melihat alternatif berkenaan mampu memudahkan proses pendebungaan, Muhammad Sidek turut merancang untuk menjadi penternak lebah madu dalam usaha membantu dan menggalakkan petani rock melon lain menggunakan kaedah pendebungaan yang sama.

“Saya ada berbincang dan memberi cadangan kepada pihak MARDI untuk turut sama menjadi penternak lebah supaya petani lain boleh memanfaatkan cara ini.

“Dalam masa sama cara tersebut boleh dimanfaatkan sebagai pendapatan tambahan para petani dalam menyokong projek fertigasi rock melon yang diusahakan,” katanya.

Sumber : http://ww1.utusan.com.my

Kajian terbaharu stevia

Beberapa tahun lepas, industri berkaitan stevia agak meletup ekoran banyak syarikat tempatan menyedari kepentingan pokok tersebut yang digelar pemanis semula jadi dan sesuai menggantikan gula.

Entah mana silapnya, industri kecil dan sederhana (IKS) berkaitan stevia yang ketika itu bagi matahari yang mula terbit, kini bertukar menjadi suram dan tidak sehebat dulu meskipun pengguna sudah semakin sedar keajaiban pokok tersebut yang menawarkan kemanisan tanpa kalori.

Pada masa yang sama usaha-usaha penyelidikan dijalankan bagi menambahbaik industri di peringkat primer termasuk menghasilkan baka atau klon yang lebih baik.

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sebagai contoh pernah menjalankan kajian kesesuaian klon-klon pokok yang berasal dari Paraguay di Amerika Selatan itu apabila ditanam di iklim tropika negara ini.

Oleh kerana masalah IKS di Malaysia kebanyakan berkaitan bahan mentah atau sumber bekalan, hal yang sama berlaku pada stevia kerana kesukaran mendapat benih bermutu.

Beberapa tahun lepas, industri berkaitan stevia agak meletup ekoran banyak syarikat tempatan menyedari kepentingan pokok tersebut yang digelar pemanis semula jadi dan sesuai menggantikan gula.

Entah mana silapnya, industri kecil dan sederhana (IKS) berkaitan stevia yang ketika itu bagi matahari yang mula terbit, kini bertukar menjadi suram dan tidak sehebat dulu meskipun pengguna sudah semakin sedar keajaiban pokok tersebut yang menawarkan kemanisan tanpa kalori.

Pada masa yang sama usaha-usaha penyelidikan dijalankan bagi menambahbaik industri di peringkat primer termasuk menghasilkan baka atau klon yang lebih baik.

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sebagai contoh pernah menjalankan kajian kesesuaian klon-klon pokok yang berasal dari Paraguay di Amerika Selatan itu apabila ditanam di iklim tropika negara ini.

Oleh kerana masalah IKS di Malaysia kebanyakan berkaitan bahan mentah atau sumber bekalan, hal yang sama berlaku pada stevia kerana kesukaran mendapat benih bermutu.

Industri pemanis terbahagi kepada dua iaitu pemanis semula jadi dan pemanis tiruan. Jepun memainkan peranan besar sebagai pengeluar pemanis semula jadi dengan 40 peratus daripadanya menggunakan stevia sejak 1970-an lagi.

Sebab itu ada potensi besar mengembangkan industri ini tetapi perlu kepada penyelesaian peringkat awal dengan menghasilkan stevia yang bernilai ekonomik.

DR. Mohamad Osman dan kumpulan penyelidiknya menunjukkan kajian keratan batang yang dijalankan bagi tujuan pembiakan dengan menggunakan teknik mirco-cutting box dapat meningkatkan peratusan anak pokok yang hidup.
 Menyedari keperluan tersebut, pensyarah Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersama kumpulan penyelidik beliau sedang menjalankan penyelidikan menghasilkan baka stevia yang sesuai untuk industri dengan menghasilkan hibrid menggunakan teknologi yang dianggap pertama di dunia.

Kajian tersebut diketuai oleh Profesor Dr. Mohamad Osman bersama penyelidik seliaan beliau iaitu Mohd. Farit Ab. Hamed, Amanina Alwani Arshad, Azila Ismail, Afifah Khamis, Syahidah Sulaiman, Hassuna Johari, serta beberapa pelajar lain.

Beliau sebelum ini terkenal dengan penghasilan baka tanaman industri lain termasuk rosel semasa berkhidmat di universiti lain.

Kajian awal bermula pada 2011 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan kejayaan membuktikan konsep pendebungaan semula jadi menggunakan lebah kelulut boleh digunakan.

Selepas berjaya membuktikan konsep tersebut (POC), pendekatan yang sama digunakan untuk menjalankan pendebungaan antara varieti bermutu tetapi kali ini menggunakan stevia.

Penyelidikan ini bertujuan membangunkan varieti stevia tempatan supaya pengusaha tempatan tidak bergantung daripada luar.

“Kita menghadapi cabaran produktiviti yang rendah apabila stevia ditanam dalam iklim tropika.

Kalau ditanam dalam iklim temperat seperti China, hanya boleh tuai sekali setahun, tetapi di Malaysia kita perlu tuai lebih kerap untuk mengatasi masalah pembungaan awal,” ujarnya sambil memberitahu bahawa Malaysia terpaksa mengimport bahan mentah dari China.

Secara keseluruhannya, penyelidikan tersebut adalah untuk menambahbaik stevia melalui pelbagai strategi atau pendekatan termasuk menggunakan mutasi aruhan. Ia juga mencari proses membiakbakaan untuk menghasilkan pokok hibrid dengan bantuan kacukan oleh lebah kelulut spesies Trigona, menggunakan teknologi RNAi untuk menghalang pembungaan awal, dan mengurangkan rasa pahit.

Penyelidikan tersebut menggunakan dua dana Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) sebanyak RM135,000 dan RM105,000, dan satu Skim Geran Penyelidikan Penerokaan (ERGS) sebanyak RM 60,000.

Pada akhirnya kata beliau, penyelidikan tersebut boleh menghasilkan industri IKS berasaskan stevia, dan mereka yang ingin kelihatan langsing boleh meminum rosel yang mengguna pemanis tersebut.

Berkongsi lebih lanjut beliau berkata, terdapat 65 varieti stevia yang pernah dikaji oleh MARDI sebelum ini.

Setakat ini, penyelidikan yang sedang di dijalankan di UiTM telah berjaya mengumpul lebih daripada 27 varieti dari seluruh negara tetapi yang dikenal pasti berpotensi setakat ini hanyalah tiga sahaja.

Ketika ini terdapat dua jenis komponen utama pemanis semula jadi daripada daun stevia iaitu stevisoide dan juga rebaudioside A.

Penggunaan lebah Trigona atau kelulut boleh membantu sebagai ejen pendebungaan dalam kawasan bertutup.

Lebah yang hinggap dan menghisap madu pada nektar stevia dan terbang ke bunga stevia lain secara semula jadinya telah bekerja melakukan pendebungaan antara varieti.

Penggunaan lebah kelulut sangat sesuai kerana debunga stevia sangat halus dan agak rumit untuk dipindah ke varieti lain tanpa menggunakan lebah jenis itu.

Masalah kedua ialah selepas penghasilan biji benih kacukan, penyelidik berdepan dengan peratus percambahan biji benih yang sangat rendah iaitu kira-kira satu peratus sahaja.

“Untuk itu, percubaan kami ini dianggap yang pertama di dunia dengan menggunakan lebah sebagai agen pendebungaan untuk menghasilkan benih stevia kacuk” ujarnya.

Menurut beliau, penggunaan serangga sebagai agen pendebungaan bukan perkara baharu kerana lalat pernah digunakan dalam proses pendebungaan tanaman lain seperti sawi dan bawang.

Kaedah penyelidikan beliau dan kumpulannya adalah dengan meletakkan pelbagai varieti stevia induk yang berpotensi di dalam kawasan bertutup dengan jaring kecil dan membiarkan lebah menjalankan pendebungan atau sebagai agen pendebungaan.

Beliau berkata, pada peringkat awal kajian tersebut, kumpulannya telah pun berjaya menuai benih stevia yang telah pun dicambahkan. Penyelidikan tersebut dijalankan di kawasan khas di UiTM Puncak Alam, Selangor.

Bagaimanapun menurut Mohamad, pihaknya belum dapat menentukan sama ada benih tersebut jenis hibrid melainkan kajian penandaan molekul dijalankan oleh Mohd. Farit terlebih dahulu.

Beliau memberitahu, terdapat tiga jenis warna biji benih stevia yang berjaya dituai iaitu hitam, coklat dan coklat muda.

Pihaknya menggunakan biji benih berwarna hitam dan proses percambahan dijalankan di makmal dengan pendedahan kepada cahaya merah. Penggunaan cahaya dikatakan mampu meningkatkan kadar percambahan biji benih sehingga 60 peratus.

Sementara itu, kajian salah seorang pelajar dalam kumpulan tersebut tertumpu kepada pengenal pastian debunga yang melekat pada badan lebah kelulut. Ini kerana mungkin terdapat lebih daripada satu jenis debunga atau varieti pada kaki lebah yang dipindahkan ke pokok lain.

Kajian tersebut juga cuba menentukan spesies kelulut mana yang sesuai untuk agen pendebungaan memandangkan terdapat 30 spesies lebah kelulut yang ada ketika ini.

Dalam pada itu, menurut Mohamad, daripada 27 vartieti yang ada, pihaknya telah mengenal pasti enam yang sesuai yang dijadikan induk untuk menghasilkan stevia hibrid.

“Sebelum ini dalam kajian awal saya, sudah ada penemuan tetapi pokok tersebut mati ketika percambahan kerana faktor tumbesaran,’’ katanya.

Penggunaan varieti terpilih yang mempunyai ciri ciri dikehendaki adalah perlu untuk menjadikannya satu varieti hibrid yang bagus dari segi penyesuaian iklim tropika Malaysia, kandungan komponen manis semula jadi yang tinggi dan banyak lagi.

Kadangkala varieti induk terpilih itu berdaun besar tapi mempunyai satu batang dan varieti satu lagi berdaun halus tetapi mempunyai banyak cabang.

Oleh itu apabila hibrid dihasilkan, diharapkan ciri ciri dominan yang terbaik dapat diperoleh.

“Setakat ini, kebanyakannya yang kita tuai adalah induk betina,” katanya.

Kajian juga dilakukan untuk mencari masa sesuai untuk menuai kerana kerja–kerja tersebut perlu dilakukan sebelum proses pembungaan berlaku. Ini kerana rasa manis stevia akan beransur hilang dengan cepat apabila pokok telah berbunga.

Oleh itu kajian perlu dilakukan bagi mengelakkan stevia berbunga cepat dalam jangkaan sebulan hingga dua bulan dengan cara melakukan kerja pemangkasan lebih kerap dan pada masa yang sama percambahan daun lebih banyak.

“Oleh itu, kerja-kerja menuai mungkin dilakukan tidak terlalu kerap iaitu hanya dua atau tiga kali setahun berbanding di China hanya sekali.

Satu lagi fokus kajian yang dijalankan ialah penggunaan dua jenis hormon bagi menggalakkan pertumbuhan pokok. Hormon tersebut ialah asid giberelik (GA3) dan sitokinin (BAP).

Sementara Mohd. Farit Ab. Hamed berkata, tumpuan kajian beliau adalah bagi mengenal pasti sama ada hasil yang dituai selepas pendebungaan benar-benar datang daripada induk bagi mengenal pasti ia jenis hibrid atau sebaliknya,’’ ujarnya.

Katanya, ciri-ciri istimewa hibrid diuji dengan penanda molekul DNA jenis IRAP dan REMAP yang dianggap lebih kompleks .

Setakat ini tiga klon yang disyorkan MARDI ialah MS012, MS007 dan MS028 tetapi kelemahannya ialah mempunyai produktiviti pengeluaran daun yang masih tidak optimum dalam iklim tropika.

Fakta

  • Nama biasa daun pemanis
  • Ahli keluarga Asteraceae sama dengan bunga kekwa, bunga matahari.
  • Nama saintifik : Stevia rebaudiana Bertoni.
  • Terdapat 154 spp.
  • Dua bahan pemanis utama dalam stevia ialah rebaudioside A dan stevioside.
  • Stevia berasal darri Paraguay, Amerika Selatan
  • Di negara berkenaan, daunnya secara tradisional digunakan oleh masyarakat sejak lebih 100 tahun bagi memaniskan minuman seperti teh dan sebagai ubat.
  • Pokok stevia mengandungi sebatian dikenali sebagai steviosides dengan kemanisan antara 200 dan 300 kali lebih berbanding gula dan sangat popular.
  • Sebatian tersebut diekstrak sebagai pemanis alternatif menggantikan gula stevosides tidak mengandungi kalori.
  • Beberapa pemanis semula jadi juga digunakan antaranya Glycyrrhin, lo han go, stevioside , periallaetin dan thaumatin turut dimanfaatkan oleh pengguna.
  • Glycyrrhin diperoleh daripada akar Glycyrrhiza glabra, stevioside (daun stevia iaitu Stevia rebaudiana), perillartin (Perilla frutescens) dan thaumatin daripada buah Thaumatoccus danielli.
  • Hanya stevia dan Thaumatoccus yang boleh tumbuh di negara ini manakala yang lain adalah tumbuhan temperat (beriklim sederhana).
  • Oleh kerana Thaumatococcus yang diuji oleh MARDI pada 1980-an menunjukkan hasil yang rendah, maka kajian di Malaysia tertumpu kepada stevia sahaja.

Sumber: http://www.utusan.com.my

RANCANGAN PEMASARAN

Rancangan pemasaran dibuat bagi mengelakkan daripada risiko buruk terhadap perniagaan. Risiko boleh dikurangkan dengan adanya maklumat tentang harga dan kuantiti yang ditawarkan di pasaran. Walau bagaimanapun, maklumat ini tidak boleh disandarkan sepenuhnya memandangkan perubahan harga yang tidak menentu tertutama barangan segar dan yang mudah rosak banyak berkait rapat dengan quantiti dan lambakan barangan tersebut di pasaran pada satu-satu masa. Namun demikian, dengan ada maklumat yang mencukupi membolehkan para petani bersedia menghadapi segala risiko yang bakal dihadapi.

Antara perancangan yang perlu dibuat untuk pemasaran adalah:

1) Menentukan tempat jualan

Dalam beberapa situasi tertentu pekebun ada beberapa pilihan. Antaranya
i) Menjual di tepi kebun
ii) Menghantar ke pasar
iii) Bekalkan kepada pemborong secara terus
iv) Menjual secara terus kepada peruncit atau syarikat besar yang menpunyai banyak kedai runcit atau pasaraya
v) Menjual kepada syarikat yang mempunyai perjanjian atau kontrak untuk membeli tanaman
vi) Menjual secara terus kepada pengguna di pekan/bandar.

2) Perbandingan harga diterima
Dengan adanya maklumat harga yang tepat, pekebun boleh membezakan harga jualan mereka dengan harga di pasaran. Oleh itu, para petani berpeluang membuat perbandingan harga terhadap harga-harga yang ditawarkan dari atau kepada orang tengah. Ini bermaksud, para petani mempunyai kuasa penentu dalam memilih orang tengah yang sesuai yang menawarkan harga yang lebih baik dan kompetetif berbanding harga semasa di pasaran. Maka, dengan itu, perundingan yang lebih tegas dapat dilaksanakan seterusnya dapat memperbaiki kualiti dan kuntiti hasil pengeluaran mereka. Hebahan harga semasa ini juga boleh dimanfaatkan para petani sebagai titik permulaan dalam perbincang dengan orang tengah.

3) Menentukan untuk dijual atau disimpan
Petani yang mempunyai produk tanaman yang mudah rosak biasanya mempunyai ruang yang kecil atau singkat untuk memasarkan hasil mereka. Keputusan harus dibuat samada mereka mungkin boleh mempercepat atau memperlambatkan hasil tuaian mereka dalam beberapa hari. Namun, kebiasaannya mereka tetap harus menjual hasil tanaman apabila telah capai tempoh matang suatu tanaman tersebut. Petani yang menghasilkan tanaman bijirin seperti jagung dan padi, atau tanaman seperti bawang dan ubi mempunyai pilihan yang lebih baik dalam memasarkan hasil tanaman mereka. Mereka boleh menyimpannya sehingga tahap harga yang lebih tinggi atau sesuai di pasaran dengan menyimpan hasil tersebut di tempat penyimpanan yang sesuai.

Perkhidmatan maklumat pasaran oleh FAMA mengandungi data tentang trend harga bermusim. Dengan ini, petani boleh memperolehi idea tentang bentuk atau trend harga bermusim. Sekiranya harga tuaian tidak akan meningkat sepanjang tahun maka penyimpanan mungkin tidak menguntungkan

4) Menentukan sama ada menanam “produk luar musim”
Petani perlu data terdahulu mengenai harga pasaran pada musim-musim tertentu untuk menghasilkan sesuatu produk. Kebanyakan petani menghadapi masalah apabila masa tuaian mereka sama dengan petani lain. Hasilnya mereka mendapat harga yang rendah kerana lambakan produk yang sama di pasaran. Data harga pada musim-musim tertentu memberikan maklumat tentang harga yang dikehendaki oleh petani daripada penghasilan suatu produk luar musim.

Walaupun begitu, kenyataan bahawa petani akan mendapat harga jualan yang tinggi tidak bermaksud mereka perlu segera merancang untuk penghasilan luar musim. Jika perkara tersebut sebegitu mudah, semua petani akan melakukan perkara yang sama. Secara amnya penghasilan luar musim melibatkan pelaburan yang tinggi (contoh, saluran plastik); kos pengeluaran yang tinggi (contoh, racun kawalan perosak) dan menyebabkan penghasilan yang rendah. Oleh itu, pekerja sokongan diperlukan untuk membantu petani untuk mengira kos penghasilan bagi menentukan unjuran jangkaan harga jualan

5) Menentukan sama ada menanam tanaman yang berbeza
Jika tanaman baru boleh meningkatkan hasil pendapatan, petani perlu cenderung untuk cuba menghasilkannya. Petani harus dibantu untuk mengira sama ada pelaburan untuk menanam tanaman baru mampu menghasilkan keuntungan atau sebaliknya. Maklumat pada harga pasaran yang lalu perlu untuk mereka membuat keputusan.

6) Mempelbagaikan tanaman

Petani harus mempertimbangkan untuk mempelbagaikan tanaman baru jika peluang terbuka luas di pasaran tertentu.

Sumber: diubahsuai daripada MOA.gov.my

Vitamin pokok dicipta

Oligochitosan bantu tingkatkan 50% hasil pertanian

Kamaruddin Hussin (dua dari kanan) menjelaskan sesuatu mengenai produk Oligochitosan kepada Maznah H

Kamaruddin Hussin (dua dari kanan) menjelaskan sesuatu mengenai produk Oligochitosan kepada Maznah Hamid (depan, dua dari kiri) sambil diperhatikan oleh ADUN Simpang Empat, Nurulhisham Yaakob (kanan) sewaktu Majlis Pelancaran Produk Oligochitosan di Pertubuhan Peladang Kawasan Setiajaya MADA, Tambun Tulang, Perlis, semalam.

ARAU 2 Mac – Agensi Nuklear Malaysia memperkenalkan ‘vitamin’ pokok, dipercayai yang pertama seumpamanya di dunia dikenali sebagai Oligochitosan yang mampu meningkatkan hasil pertanian sehingga 50 peratus.

Produk yang dihasilkan menerusi teknologi radiasi terhadap kulit udang yang kaya dengan chitosan itu terbukti berjaya menerusi kajian terhadap para pesawah di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Utan Aji di sini.

Menurut Pengarah Bahagian Teknologi Pemprosesan Sinaran Agensi Nuklear Malaysia, Dr. Kamaruddin Hashim, kajian selama dua musim itu mendapati pengeluaran padi meningkat sehingga 50 peratus.

Katanya, kajian yang sama di Jabatan Pertanian Sungai Burung, Selangor, selama dua musim dan Felcra Bhd. (Felcra) Seberang Perai, Pulau Pinang (empat musim) membuahkan kejayaan yang serupa.

“Oligochitosan yang diekstrak dari chitosan berfungsi dengan meningkatkan hormon penggalak pertumbuhan akar dan bunga selain lebih tahan serangan penyakit.

“Kita juga menguji penggunaan vitamin ini terhadap tanaman lain seperti pokok buah tin, gaharu, cili dan orkid serta terbukti, hasilnya turut meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa pelancaran produk Oligochitosan bagi kegunaan padi dengan kerjasama MADA dan Pertubuhan Peladang Perlis semalam.

Yang turut hadir Pengerusi Eksekutif Securiforce Sdn. Bhd. (Kumpulan Securiforce), Datuk Maznah Abdul Hamid.

Kamaruddin dalam pada itu memberitahu pihaknya bersedia menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak untuk meningkatkan hasil pertanian termasuk mempelam harumanis yang menjadi ikon hasil pertanian negeri ini.

Kata beliau, Oligochitosan yang dijual pada harga RM40 seliter boleh digunakan dengan cara semburan pada pokok namun penggunaannya juga adalah berbeza mengikut jenis tanaman.

Beliau turut menyasarkan untuk mengeksport Oligochitosan yang akan diubah kepada bentuk serbuk malah beberapa buah negara telah menyatakan persetujuan untuk membeli produk tersebut.

Sementara itu, Maznah membe­ritahu, pihaknya akan membantu memasarkan produk berkenaan kepada agensi-agensi pertanian di seluruh negara termasuk MADA.

http://www.utusan.com.my

Sik Bakal Pengeluar Ikan Hiasan Terbesar Di Kedah

SIK, 16 Ogos (Bernama) — Siti Fatimah Abdul Razak, 22, adalah antara 40 penduduk kampung KEDA Bendang Man di sini yang menanti penuh sabar ketibaan hujung tahun ini untuk melihat pulangan hasil kepada titik peluh yang dicurahkan mereka dalam projek ternakan ikan hiasan, bidang yang jelas begitu asing bagi kebanyakan mereka.

Kebanyakan peserta projek yang dibangunkan oleh Jabatan Perikanan dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu adalah dari kalangan penoreh getah yang berpendapatan sekitar RM350 dan RM650 sebulan.

Projek di atas kawasan tanah terbiar seluas 4.45 hektar milik Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang membabitkan kos RM2.03 juta itu digerakkan selaras dengan usaha dan impian kerajaan menggandakan pendapatan penduduk kawasan berkenaan.

Siti Fatimah adalah antara penduduk kampung itu yang terbabit sepenuh masa dalam projek ternakan ikan hiasan yang dimulakan beberapa bulan lalu, yang bakal menjadikan daerah berkenaan sebagai pengeluar utama ikan-ikan hiasan.

Yang pasti bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Chepir itu kini sudah mula melihat kilauan ikan emas bermain-main di dalam ratusan kolam ikan ternakan yang diusahakannya. Beliau bersama para peserta projek itu kini mengendalikan 314 buah kolam konkrit dan 19 buah kolam tanah, yang di dalamnya anak-anak ikan emas atau nama saintifiknya “Carassius Auratus” sudah mula membesar.

Mereka yang sebelum ini pernah mengikuti kursus dan latihan amali mengenai ternakan ikan hiasan anjuran Jabatan Perikanan di Perak, kini tidak lagi sabar untuk melihat hasil tuaian pertama mereka sebelum akhir tahun ini.

Jabatan Perikanan dalam kertas cadangan projek itu meletakkan sasaran pengeluaran ikan hiasan daripada projek itu sebanyak 960,000 ekor setahun, menghasilkan pendapatan kira-kira RM960,000 berasaskan harga pasaran RM1 seekor.

Projek itu dibangunkan di bawah program Industri Kecil dan Sederhana (IKS) daerah Sik pada 2004, manakala kerja-kerja membangunkan prasarananya bermula tahun lepas, dan ia mula beroperasi beberapa bulan lalu.

Kawasan itu dipilih berdasarkan kesesuaian fizikalnya termasuk kualiti tanah, kemudahan jalan raya serta sumber air yang mudah diperolehi daripada Sungai Semeliang. Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang pernah beberapa kali meninjau projek itu memberitahu Bernama, projek itu antara lain akan berupaya membebaskan para pesertanya daripada belenggu kemiskinan, dan menurutnya banyak lagi projek ekonomi berasaskan pertanian sedang dirancang di daerah itu.

Sik, daerah terbesar di Kedah dengan keluasan 1,634.6 km persegi adalah antara daerah yang dikenalpasti termiskin di Kedah dan usaha membebaskan para penduduk daripada kitaran ganas kemiskinan sedang giat diusahakan.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang akan berada di Sik Khamis ini akan turut melancarkan “blue print” pembangunan usahawan tani di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya.

Beliau juga dijadualkan untuk menyampaikan anugerah pengusaha industri asas tani daerah Sik pada majlis itu, sebelum melawat projek ternakan ikan hiasan di Bendang Man.

Siti Fatimah sudah pasti adalah antara penduduk tempatan yang tidak sabar-sabar ingin menyambut kehadiran perancang kemajuan negara itu.

— BERNAMA

Kemudahan Pembiayaan Perniagaan daripada MARA Terengganu

Kemudahan Pembiayaan Perniagaan disediakan untuk membantu Usahawan Bumiputera dalam sektor pertanian bagi menambah modal untuk meningkat atau memulakan perniagaan. Pembiayaan berasaskan Konsep ISLAM YANG BEBAS DARI RIBA.

SKOP PEMBIAYAAN

Projek -projek yang boleh dibiayai oleh MARA dikhususkan kepada pembangunan tanah terbiar meliputi usahawan tani yang menceburi bidang pertanian secara komersil seperti berikut :-

1. PERTANIAN
Tanaman kontan (Cash crop) seperti jagung dan sebagainya

2. PERIKANAN
Membuka Kolam ikan / Udang, ternakan ikan / udang dalam sangkar dan sebagainya

3. PENTERNAKAN
Menternak lembu, kambing, ayam, itik,burung puyuh, burung unta dan sebagainya

4. TANAMAN HIASAN (FLORIKULTUR)
Tanaman bunga-bungaan, tanaman hiasan dan benih pokok.

Pembiayaan yang disediakan meliputi :-

a. Modal untuk pembersihan/ penyelenggaraan ladang
b. Penyediaan kolam / sangkar ikan
c. Penyediaan untuk membina / menyenggara kawasan / tempat penternakan
d. Pembelian benih / baka dan sebagainya
e. Pembelian peralatan / jentera
f. Modal Pusingan

KELAYAKAN PEMOHON

**Warganegara Malaysia terdiri dari keturunan Melayu atau Bumiputera lain yang berusia tidak kurang daripada 18 tahun

**Mempunyai pengalaman atau pengetahuan dalam bidang pertanian / penternakan yang telah /bakal dijalankan

**Usahawan hendaklah melibatkan diri sepenuh masa dalam usaha tani yang dibiayai oleh MARA

**Projek pertanian / penternakan yang halal, tidak bertentangan dengan syariat islam dan dibenarkan oleh kerajaan

**Mempunyai tanah / ladang sendiri yang boleh diusahakan. Jika disewa perlulan mengemukakan surat perjanjian sewa / pajakan bagi tempoh minimum 5 tahun

**Dapat menyumbangkan modal sendiri atas jumlah yang berpatutan dengan projek pertanian / penternakan yang dijalankan iaitu tidak kurang 10% daripada kos projek

**Bagi permohonan pembiayaan melebihi RM50,000.00 ke atas, pengusaha dapat mengemukakan tanah atau jaminan atau kedua-duanya sekali sebagai cagaran mengikut peraturan yang sedia ada

**Pengusaha perlu mengemukakan ringkasan teknikal projek yang hendak dibiayai seperti jenis projek, tapak /lokasi,tempoh kutipan hasil / tuaian dan pasaran hasil berkaitan

SYARAT PEMBIAYAAN

1. Had pembiayaan : MAKSIMUM RM250,000.00

2. Tempoh Ansuran Pembiayaan: Tidak lebih daripada 5 tahun atau 4 pusingan tuaian yang mana lebih dahulu

3. Kadar Keuntungan : 5% setahun

BAYARAN PEMEROSESAN

Pembiayaan RM5,000.00 ke bawah
Bayaran Proses : RM5.00

Pembiayaan RM5,001.00 hingga RM20,000.00
Bayaran Proses : RM20.00

Pembiayaan RM20,001.00 hingga RM50,000.00
Bayaran Proses : RM50.00

Pembiayaan RM50,001 hingga RM250,000.00
Bayaran Proses : RM100.00


CARA MEMOHON

Permohonan hendaklah dibuat dengan menggunakan Borang RP2 Pertanian yang boleh diperolehi daripada pejabat MARA Negeri Terengganu / Daerah yang berhampiran.

Borang yang lengkap diisi hendaklah dikemukakan ke Pejabat MARA Daerah di mana projek diusahakan.


UNTUK KETERANGAN LANJUT

SILA HUBUNGI KAMI

Urusan Pembiayaan Perniagaan MARA
*Hj Alias Bin Yusoff
*Cik Anisah Binti Jusoh
*Puan Fazidah Binti Othman

No Tel : 09-6222070 / 09-6222077
No faks : 09-6221070 / 6203856

Ikan Keli & Omega 3

Minyak ikan mempunyai asid lemak omega-3 yang tinggi yang datang dari sumber makanan ikan iaitu fitoplankton. Asid lemak omega-3 banyak terdapat dalam minyak walnut, plankton marin dan ikan yang berlemak. Komponen utama minyak walnut adalah asid a-linoleik (ALA), sementara asid lemak yang terdapat dalam ikan berlemak dan minyak ikan adalah EPA dan DHA. Manakala minyak sayuran pula kadar asid lemak omega-6 yang tinggi seperti minyak jagung dan minyak soya yang mengandungi kadar asid linolek (LA) yang banyak. Dalam tubuh manusia, ALA juga boleh ditukarkan kepada EPA dan DHA. Walau bagaimanapun, proses penukaran ini kurang berkesan pada bayi dan orang tua

Apakah Asid Lemak Omega 3

Terdapat tiga komponen utama asid lemak omega-3 iaitu:-
1) Asid O-Linolek (ALA)
2) Asid Eicopentaenoik (EPA)
3) Asid Dokosoheksonoik (DHA)
Asid lemak terbahagi kepada 2 bahagian iaitu:-
1) Tepu (saturated)
2) Tidak Tepu (unsaturated)

Kebaikan Asid Lemak Omega-3 Terhadap Kesihatan Manusia

Antara kebaikan asid lemak omega-3 (EPA & DHA) kepada kesihatan manusia, selain mengurangkan risiko penyakit barah dan jantung adalah:-

– Meningkatkan tahap penglihatan dan sistem saraf pusat bagi fetus dan bayi

– Memulihkan radang seterusnya mengurangkan risiko artheroskleriosis

– Mengurangkan kadar bengkak pada sendi bagi pesakit rheumatoid arthritis

– Mengurangkan simptom psoriasis (sejenis penyakit kulit yang kronik)

– Mengurangkan kadar kematian bagi pesakit buah pinggang

– Mengurangkan tahap mikroalbuminuria bagi pesakit kencing manis yang bergantung pada insulin

– Meningkatkan fleksibiliti membran dan menggalakkan fungsi biologi

– Melambatkan proses penuaan dan penyakit autoimmum yang berkaitan dengan usia

– Menggalakkan kecerdasan fikiran