Mangga Chokanan

Mangga Chokanan atau Magnifera indica antara variasi mangga yang menjadi kegemaran penduduk Malaysia. Biarpun namanya tidak sepopular harumanis yang menjadi kebanggaan Perlis, buah mangga itu ada kelebihan tersendiri.

Mangga harumanis

Mangga chokanan

Menyedari hakikat itu, Jabatan Pertanian Negeri Perak menerusi Projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) memberi peluang kepada 11 peserta mengusahakan tanaman mangga Chokanan seluas 80 hektar di Ladang Mangga Chokanan Pusat Latihan Pertanian Lekir, Batu 9, Lekir, Sitiawan. Mukim Lekir boleh dianggap pelopor tanaman mangga Chokanan kerana sering menjadi sebutan ramai apabila nama buah itu disebut.

Menjadikannya sebagai satu cabang pendapatan selain minat dalam bidang pertanian menyebabkan Ahmad Zaki Othman, 51, merebut peluang itu dengan mengusahakan tanaman berkenaan sejak 13 tahun lalu. Sehingga kini, dia memiliki ladang seluas 9.6 hektar dan sebanyak 2,300 pokok sudah mengeluarkan hasil selepas dua atau tiga tahun ditanam.

Ahmad Zaki memasarkan mangganya di beberapa negeri dengan bantuan Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) selain menjual sendiri.“Saya tanam empat jenis Chokanan iaitu Gred A, B, C dan D. Setiap gred berbeza harga mengikut saiz, kulit, berat dan rasa bermula daripada RM2 hingga RM6 sekilogram.

“Gred B dan C mendapat permintaan tinggi kerana buahnya lebih sedap dan manis selain harganya juga murah.“Selain enak dimakan segar, saya turut memperkenalkan produk berasaskan mangga yang dijadikan jus, kordial dan merancang menghasilkan kerepek mangga Chokanan selepas ini,” katanya.

Sedikit maklumat mengenai mangga chokanan:

  • Sesuai ditanam di kawasan bercuaca panas  ia memerlukan sekurang-kurangnya satu atau dua minggu untuk proses menggalakkan pengeluaran bunga sebelum berbuah.
  • Boleh ditanam di tanah bekas sawah atau tanah gambut.
  • Pokok perlu sentiasa dipangkas -supaya tidak terlalu tinggi dan dapat menghasilkan buah yang banyak.
  • Dituai 2x setahun : dari Mac hingga Julai dan Oktober hingga Februari.
  • Hasil mencecah 80 tan semusim.

Ahmad Zaki menunjukkan ladang mangganya

Sumber: diubahsuai dari http://www.hmetro.com.my/

Batang pisang pengekal warna

Pewarna sintetik penyumbang utama dalam industri tekstil. Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini industri itu kembali mengetengahkan pewarna dari sumber asli.

Pewarna asli bukan saja dapat menjamin kelestarian alam sekitar, malah turut mengatasi isu pencemaran bahan kimia yang dihasilkan daripada pewarna tiruan.

Ini berikutan proses pewarnaan sintetik dalam industri tekstil banyak menyumbang kepada pencemaran alam sekitar kerana ada pelbagai logam dan bahan kimia digunakan.

Ia berbeza dengan pewarna asli yang lebih selamat digunakan, mesra alam dan dapat mempertingkat nilai estetika dalam produk tekstil.

Ada pelbagai sumber alam yang boleh dijadikan pewarna asli, antaranya tumbuh-tumbuhan, herba serta galian dengan komponen pigmen warna istimewa.

Kebiasaannya, ketika proses penghasilan pewarna asli untuk penggunaan fabrik, bahan pengekal warna atau mordan turut dicampur pada masa yang sama.

Penggunaan mordan bertujuan ‘menaikkan’ warna selain menjadikan warna itu tahan lama.

Menyedari kepentingan ini, penyelidik daripada Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Nazlina Shaari bersama pelajar sarjana fakulti itu mencipta mordan daripada batang pisang atau nama saintifiknya Musa paradisiaca.

Dr Nazlina berkata, sepanjang kajian dijalankan hanya bahan buangan digunakan bagi menghasilkan pigmen warna alam untuk fabrik.

DR Nazlina mengetuai penyelidikan mencipta mordan daripada batang pisang yang berfungsi sebagai pengekal serta penggalak pewarna asli.

“Pigmen warna diekstrak daripada daripada pokok, antaranya senduduk, sepang, ketapang dan mangga.

“Bahan untuk proses mengekalkan warna pula daripada sumber sisa buangan batang pisang yang berfungsi sebagai mordan dalam formula berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, hasil kajian mengenal pasti batang pisang berpotensi dijadikan mordan untuk mengekalkan warna apabila diaplikasi ke atas kain kapas dan sutera.

Lebih membanggakan, proses pencampuran kedua-dua bahan yang 100 peratus daripada sumber alam itu sesuai dan selamat digunakan, selain dapat menghasilkan pelbagai tona warna.

“Kepelbagaian tona warna dikaji dan diperoleh dengan mengawal suhu dan tahap alkali di dalam setiap larutan pewarna,” katanya.

Dr Nazlina berkata, keputusan menunjukkan semua pewarna semula jadi dengan kombinasi mordan daripada batang pisang menyerlahkan kombinasi warna ke atas fabrik sutera dan kapas.

“Keseluruhan rantaian kaedah melalui pengumpulan, pemprosesan dan pencelupan dijalankan dengan melihat faktor ekologi supaya ia selamat.

“Proses ini juga diharap dapat memberi impak lebih mesra alam terhadap alam sekitar, pengurangan penggunaan bahan kimia serta dapat menjana pendapatan pengusaha tekstil tempatan,” katanya.

Penyelidikan yang mengambil masa setahun itu menelan kos RM5,000 dan dalam proses untuk dipatenkan.

Beliau bercadang mengkomersialkan produk berkenaan yang dijangka dapat dipasarkan tahun ini juga.

Sumber:http://www.hmetro.com.my

PANDUAN TANAMAN PETOLA

Persediaan tanah
Petola segi akan mengeluarkan hasil yang tinggi jika ditanam di tanah yang gembur berpasir, mengandungi banyak bahan organik dan mempunyai saliran yang baik.

Tanah perlu dibajak dan digembur sedalam antara 20 dan 30 sm untuk memudahkan pertumbuhan akar.

Batas disediakan menggunakan jentera atau secara manual mengikut saiz yang disyorkan, biasanya lebar batas antara 1-1.2 meter,tinggi batas antara 20 dan 30 sm dan panjang batas mengikut kesesuaian tempat. Jarak antara batas ialah 0.6 meter.

Batas di tambak dengan bahan organik tahi ayam atau kompos antara satu hingga tiga kg/meter persegi,bahan ini hendaklah digaulkan ke dalam tanah satu minggu sebelum menanam bagi membekalkan zat makanan kepada pokok.

Penanaman

Jarak tanaman yang disyorkan ialah antara 50 dan 60 sm antara pokok dan 60 dan 100 sm antara barisan.

Biji benih boleh ditanam terus ke batas atau disemai dulu ditapak semaian sebelum di ubah ke ladang.

Jika ditanam terus, gali lubang sedalam satu hingga dua sm dan letak dua atau tiga biji benih dengan menjarakkan dua sm antara satu sama lain, benih dikambus menggunakan tanah halus.

Kadar biji benih yang diperlukan ialah lima kg/hektar.

Selepas seminggu anak benih bercambah, ia perlu dijarangkan dengan mencabut anak benih yang kurang segar, tidak sihat, tinggalkan satu pokok sahaja setiap lubang penanaman bagi mengelakkan persaingan dari segi makanan, ruang, cahaya dan air.

Tanah di keliling anak benih dipadatkan supaya pokok lebih kuat dan akar tidak terdedah

Pemangkasan

Pemangkasan dilakukan dengan mencantas dahan sisi dan pucuk terutama cabang sisi yang tumbuh 30 sm dari paras tanah,ia bagi menggalakkan pertumbuhan batang utama supaya cepat memanjat “trelis “/junjung yang disediakan dan memperbaiki pengudaraan tanaman, mengurangkan pertumbuhan vegetatif dan menggalak pengeluaran buah.

penyediaan junjung

Petola segi memerlukan junjung atau penyokong untuk membolehkan pokok memanjat dan memudahkan proses penuaian.

Sistem trelis boleh digunakan iaitu dengan memacakkan kayu beruti berukuran 5 sm x 5 sm x 6.5 meter panjang setiap jarak 3 meter.

Kemudian regangkan dawai kasar antara puncak kayu beluti dan sambungkan tiang kayu yang bertentangan antara kedua hujung batas, gunakan paku untuk memasang dawai dibahagian atas dan bahagian bawah antara antara 20 dan 30sm dari permukaan tanah batas.

Tali rafia diikat antara dua dawai halus bagi membantu anak pokok memanjat bila telah berumur dua minggu.

Pengairan

Pokok petola segi memerlukan air yang banyak untuk kelembapan yang cukup bagi pertumbuhan yang lebih subur,

Penyiraman dibuat dua kali sehari di peringkat awal penanaman dan dikurangkan sekali sehari bila pokok besar dan sehingga memungut hasil. Pengairan dibuat secara manual atau menggunakan sistem pengairan.

Perparitan diperlukan bagi kawasan yang menghadapi masalah saliran. Parit ladang dibina bagi menyalirkan air yang berlebihan ke parit utama

Pengawalan rumpai

Pengawalan rumpai adalah penting untuk menjamin hasil yang tinggi, kawasan tanaman perlu sentiasa bersih bagi mengelakkan persaingan dalam mendapatkan zat makanan, air, cahaya dan ruang. Rumpai juga menjadi perumah bagi perosak dan penyakit tanaman. Kerja merumpai perlu dilakukan setiap minggu sama

ada secara manual atau secara kimia ia dilakukan dua atau tiga bulan sekali, elakkan semburan pada tanaman.

Pembajaan

Baja yang disyorkan ialah 70 kg N:140 kg P2O5:200 kg K2O setiap hektar, tetapi ia bergantung pada jenis tanah di satu satu kawasan, keperluan nutrien tanaman, masa dan cara pembajaan .

Penggunaan baja NPK Hijau 15:15:15 untuk pembajaan pertama boleh di gunakan dengan kadar 30gm/pokok dan ditabur keliling dengan jarak 15-20 sm dari rumpun pokok serta dikambus

Pembajaan ulangan kedua dan ketiga boleh menggunakan NPK biru 12:12:7 dengan kadar 40-50 gm/pokok diselangkan setiap dua minggu dan sebelum tanaman berbunga.

Kawalan perosak dan penyakit

Serangga yang biasa menyerang petola segi ialah lalat buah (Dacus sp), serangan pada buah yang menyebabkan buah berlubang dan busuk, buah muda yang diserang menjadi teruk dan berubah bentuk dan terbantut, pastikan buah petola dibungkus dan musnahkan buah yang diserang perosak.

Serangan kumbang daun (Aulacophora sp) pada bahagian akar dan daun oleh kumbang dewasa dan larva kumbang menyebabkan kerosakan teruk pada tanaman, gunakan racun yang sesuai sebagai kawalan

Penyakit utama ialah kulapuk berdebu (Erysiphe cichoracearum) yang menyebabkan tompok putih dan berdebu di permukaan daun dan merebak pada keseluruhan daun dan bertukar menjadi kuning, perang dan kering dan berkedut.

Pokok yang diserang kurang berbuah dan kecil bentuknya. Jika terdapat tanda serangan musnahkan daun yang diserang dan sembur dengan racun kulat yang sesuai.

Serangan kulapok downy (Pseudopereronospora cubensis) ialah pada daun,terdapat bintik berbentuk bersiku siku ,berwarna hijau pucat kekuningan di atas daun, lapisan bawah diselaputi spora dan akhirnya menjadi perang dan mati,buah akan terbantut, pastikan daun yang diserang dimusnahkan.

Jika serangan teruk sembur dengan racun kulat yang sesuai.

Penuaian

Petola segi boleh dituai antara enam dan tujuh minggu selepas penanaman.

Tuaian hasil dibuat selang sehari dan berterusan antara antara 50 dan 60 hari.

Anggaran hasil ialah 12-20 tan/hektar. Tangkai buah dipotong 1.5 sm dari tangkai buah,ia digred mengikut saiz, kesegaran dan tahap serangan penyakit serta serangga. petola segi tahan selama tiga hari tanpa menjejaskan kualiti jika disimpan pada suhu ambian.

Pada suhu 15 dan kelembapan kira-kira 95 peratus tahan disimpan selama dua minggu.

sumber: http://ww1.utusan.com.my

 

PANDUAN TANAM SERAI DALAM PASU BUNGA

Serai biasa digunakan dalam masakan di Malaysia terutama bagi orang Melayu. Selain digunakan sebagai bahan penyedap rasa dalam masakan, serai juga sebenarnya kaya dengan pelbagai manfaat terutama dalam bidang kecantikan dan kesihatan seperti:

1) sebagai antioksidan dan mencegah penyakit kanser.
2) dapat memutihkan gigi
3) menyembuhkan perut kembung
4) Menghasilkan minyak serai

Jom kita belajar macam mana nak menanam serai dalam pasu bunga. Boleh jimat duit belanja dapur!

Langkah 1
Dapatkan anak benih– boleh beli je dari kedai runcit. Kalau boleh cari yang berakar.

Image result for cara tanam serai dalam pasu

anak benih perlu direndam

anak benih sebegini tidak perlu direndam

Langkah 2
Rendam anak benih dalam bekas. Kerana anak benih yang dibeli dari kedai biasanya dah tiada akar, so kita rendam untuk menggalakkan pertumbuhan akar. Rendam pada bekas lutsinar dan air sikit saja. Insyaallah akar akan tumbuh 4-5 hari kemudian.

Image result for rendam serai dalam bekas

Rendam dalam air yang sedikit sehingga keluar akar

Langkah 3
Penyediaan tanah. Tanah yang baik adalah campuran tanah lektrik / tanam merah dengan tanah bakaran sampah. Tapi saya pakai tanah yang dibeli dinursery je.

Langkah 4
Menanam. Ini adalah satu proses yang amat penting.Pastikan kita menanam serai dengan kedalamannya cukup sekadar tenggelam akar sahaja dan bukannya sampai habis perut serai.Serai akan mati jika kita menanam dengan terlalu dalam menyebabkan anak serai susah nak tumbuh keluar dari benih serai.

Jangan menanam benih serai terlalu dalam

Langkah 5
Menyiram. Kita perlu menjirus sekurang-kurangnnya 2 kali sehari iaitu semasa awal pagi dan petang untuk memastikan serai kita tumbuh dengan sihat dan cepat.Selepas 7 hari barulah kita boleh mengurangkan siraman air kepada 1 kali sehari.

Langkah 6
Pembajaan. Saya guna baja tahi ayam. dua minggu sekali.

Langkah 7
Menuai. Jangan mengerat daun serai semasa proses pembesaran.

Serai di rumah saya yang baru saya tanam

Serai di rumah saya yang baru saya tanam

 

Sumber: http://iqsha-gemilang.blogspot.my,http://cucuktanamct.blogspot.my/

Tanaman menggunakan bekas terbuang

Pelbagai cara boleh digunakan untuk menanam tanaman anda. Daripada pasu yang pelbagai bentuk dan rekaan sehinggalah kepada barang-barang terbuang yang boleh dikitar semula. Walaupun barang-barang terbuang nampak murah dan kurang menarik, tetapi jika anda kreatif dan bijak, anda boleh menukar idea tersebut menjadi sesuatu yang unik dan menarik. Selain dapat menyelamatkan alam semulajadi, anda tentu gembira kerana dapat menyelamatkan wang poket anda.

Contoh-contoh bahan kitar semula yang boleh digunakan pakai (TQ En. Google):

  1. Botol plastik

Simple tapi menarik

Comel kan

2. Tayar

simple je kan

Bahan-bahan lain

Cantik-cantik semuanyakan. Jom kita mula

Keropok kupang

ROSMAH menunjukkan keropok kupang dihasilkan Warisan INR

Pasti ramai rakyat Malaysia sudah merasai keenakan keropok ikan yang dihasilkan di pantai timur.

Namun, pernahkah anda mencuba keropok kupang hasil ciptaan penduduk Kampung Sungai Melayu, Gelang Patah, Johor.

Kampung berkenaan memang terkenal dengan penternakan kupang kerana kebanyakan penduduknya nelayan dan penternak spesies kerangan laut itu.

Pengusaha keropok kupang Warisan INR Rosmah Saim, 45, berkata, produknya tidak asing lagi dalam kalangan penduduk tempatan dan sering menerima tempahan.

“Kami menerima sambutan menggalakkan, bukan saja daripada orang tempatan, malah pengunjung luar yang begitu gemar memakan keropok ini selepas merasainya.

“Jika banyak tempahan, pendapatan bulanan boleh mencecah puluhan ribu ringgit. Biasanya tempahan tinggi diterima daripada jabatan kerajaan,” katanya.

Katanya, proses pembuatan keropok kupang tidak jauh berbeza dengan keropok ikan.

“Ia bermula dengan kupang itu direbus untuk membuang kulit. Isinya diambil sebagai bahan utama dalam proses pengaduan.

“Isi kupang kemudian dikisar dan dicampur dengan tepung ubi, garam dan gula. Adunan itu seterusnya diuli sehingga sebati dan dibentuk seperti tali panjang.

“Adunan kupang yang sudah dibentuk itu kemudian direbus sebelum dijemur,” katanya kepada rombongan media yang melawat Kampung Sungai Melayu yang bukan saja terkenal dengan ternakan kupang, tapi juga produk ekopelancongan.

Rosmah berkata, perniagaan itu diusahakan sejak Februari lalu selepas mendapat saranan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohammed Khalid Nordin. Sebelum ini beliau suri rumah sepenuh masa.

Hasil bantuan koperasi dan ketua kampung, beliau memulakan perusahaan itu secara kecil-kecilan sebelum mengembangkannya perniagaannya.

Beliau bercita-cita meluaskan pasaran produknya ke seluruh negara.

“Produk ini belum ramai tahu walaupun ada keunikan tersendiri. Saya harap ia dapat diperkenalkan di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya.

sumber http://www.hmetro.com.my

Minyak kelapa dara tanpa bau tengik

Minyak kelapa dara mempunyai pelbagai khasiat kesihatan yang sudah terbukti berkesan.

Ia dihasilkan menerusi teknik fermentasi dan mengandungi vitamin E yang diperlukan sistem imunisasi dan antioksidan kepada manusia.

Banyak hasil penyelidikan diterjemahkan saintis tempatan dalam bentuk produk.

Khasiat minyak kelapa dara (VCO) menarik minat ramai pihak mengusahakannya secara komersial.

Namun, di pasaran tidak banyak produk yang dikembangkan daripada minyak kelapa dara.

Proses pembuatannya yang kurang sempurna mengakibatkan minyak mengeluarkan bau kurang menyenangkan.

Kesannya, produk kelapa dara buatan tempatan kurang mendapat sambutan.

Siswazah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Nur Hidayah Hassan mencipta formulasi baru bagi minyak kelapa dara.

Pemegang Ijazah Perniagaan Antarabangsa itu memberi nilai tambah kepada produk minyak kelapa dara di pasaran.

Tidak ada lagi istilah ‘bau tengik’ apabila bahan itu diadun bersama campuran minyak aromaterapi.

Dia mengambil masa empat tahun membangunkan produk itu.

“Dulu saya menghidap penyakit migrain, tekanan darah rendah, rabun, lelah dan juga ekzema.

“Penyakit itu dihadapi dari kecil hingga dewasa dan bergantung kepada ubatan berdos rendah ke tinggi,” katanya.

Ketika itu, dia sanggup membeli produk yang dapat menyelesaikan semua masalahnya.

“Saya gunakan minyak kelapa dara, tetapi tidak tahan dengan bau,” katanya.

Maka, tercetuslah idea menakjubkan untuk mengeluarkan minyak kelapa dara serba guna.

Katanya, dia memformulasikan semula minyak kelapa dara dengan campuran minyak aromaterapi bagi membangkitkan bau wangi.

“Bila menggunakan bau tidak sedap, kita akan rasa lagi sakit.

“Sedangkan bau wangi menyebabkan kita rasa sihat,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi Syarikat Nebula Horizon Sdn Bhd itu mengeluarkan minyak serbaguna Miracle Refreshing Scent (MRS).

Menurutnya, rasa sejuk dan berangin membolehkan produk itu digunakan setiap orang.

“MRS produk yang wajib ada pada setiap orang dan disimpan dalam poket kerana ia diperlukan ketika kecemasan.

“Ia membantu untuk penyakit seperti lenguh badan, mengantuk, letih dan sakit kepala,” katanya.

“Ia juga sesuai untuk bayi yang kembung perut selain mengatasi masalah ruam lampin pada kulit,” katanya.

Testimoni pengguna merumuskan MRS melegakan sakit gigi dan gusi, batuk, selesema, migrain, resdung, kekejangan, pendarahan, luka pesakit diabetes, sawan, gigitan nyamuk dan parut.

Syarikat itu turut mengeluarkan produk inovasi kedua dikenali ‘MRS Serum Essence’.

“Inovasi kedua ini mengandungi bahan seperti pati epal hijau, pati daun pudina dan minyak kelapa dara,” katanya.

Layari laman facebook: Miracle Refreshing Offical Page untuk maklumat lanjut.

NUR Hidayah bersama produk inovasi minyak pelbagai guna kelapa dara.
Sumber: http:www.hmetro.com.my

Tips hasilkan baja dan racun organik

PERTANIAN organik adalah satu kaedah penanaman yang tidak menggunakan baja kimia atau racun. Namun setiap tanaman tetap memerlukan baja sebagai sumber makanan dan juga sering diserang oleh serangga perosak dan penyakit.

Terdapat dua jenis baja organik iaitu baja organik buatan kilang dan baja organik buatan sendiri.

Baja organik mudah didapati di pasaran sekarang berbanding sebelum ini kerana ramai orang telah sedar kebaikan pertanian organik.

Selain itu, baja organik juga boleh dibuat sendiri di rumah dengan menggunakan bahan-bahan yang ada di sekeliling kita.

Ini sangat sesuai bagi petani yang ingin mengurangkan kos dan tidak terlalu bergantung kepada produk baja organik di pasaran.

Sama seperti baja organik, racun organik juga boleh diperoleh dengan mudah di pasaran.

Ia juga boleh dibuat sendiri dan prosesnya sangat mudah. Kita hanya perlu memilih sama ada membeli atau membuatnya sendiri.

Selain daripada racun organik, kita juga boleh menggunakan tanaman penarik atau penghalau serangga (repellent).

Baja organik

* Baja organik adalah berbeza mengikut kadar unsur di dalamnya. Ada baja organik yang kaya dengan unsur N, P atau K.

* Baja organik N adalah campuran bahan organik (tahi ayam kering), gula perang (molasses), bahan aktif mikroorganisme efektif (EM) dan air bersih yang diperam selama antara empat dan lima hari. Selepas itu, baja boleh disiram pada batas dan tanaman.

* Baja organik P adalah campuran batang pisang, kulit buah-buahan dan air kelapa muda yang diperam selama dua minggu.

– Baja organik K pula boleh dibuat dengan mencampurkan sabut kelapa dan air dan dibiarkan selama dua minggu.

* Kulit telur dan sisa tulang juga boleh dijadikan baja. Kedua-dua bahan tersebut dibakar dan ditumbuk lumat.

– Serbuk yang terhasil ditambah dengan air dan direndam selama antara tiga dan empat hari. Siram pada tanaman yang baru mula berbunga.

Hormon Pertumbuhan Semulajadi

* Terdapat dua jenis baja hormon yang juga boleh dihasilkan sendiri iaitu fermented fruit juice (FFJ) dan fermented plant juice (FPJ).

– FFJ adalah campuran buah-buahan yang manis (betik, mangga, nangka, jambu) dan gula perang . Tambah sedikit air dan diperam selama antara lima dan tujuh hari hari. Cecair yang terhasil kaya dengan unsur P dan K.

– FPJ pula adalah campuran tumbuhan (rumput, sisa sayuran, sisa pangkasan), gula perang dan sedikit air bersih, dibiarkan selama lima hingga tujuh hari. Hormon ini kaya dengan unsur N.

– Tapis untuk mengasingkan cecair dan juga hampas. Hampas jangan dibuang tetapi ia boleh dijadikan kompos.

Penghalau serangga (repellent)

-Tumbuhan repellent ini biasanya mempunya bau yang kuat. Bau yang dihasilkan oleh tumbuhan itu sebenarnya yang menghalau serangga perosak.

– Beberapa contoh repellent iaitu serai wangi, kesum, kemangi, selasih, daun kari, limau purut, pandan, daun bawang, kucai, ketumbar, marigold, pudina dan sebagainya.

– Manakala tumbuhan yang boleh menarik serangga perosak ialah lobak putih, markisa, bunga Tunera dan jagung manis.

– Pokok repellent boleh ditanam di sekitar batas tanaman. Sebaik-baiknya tanam di bahagian angin sering bertiup supaya

angin boleh menyebarkan bau pokok repellent ke seluruh kawasan penanaman.

– Selain itu, pokok repellent juga boleh dipangkas dan dipotong kecil untuk ditabur di atas batas. Potongan repellent akan mengeluarkan bau yang tidak disukai serangga perosak.

– Dan kaedah terakhir, semua daun pokok repellent boleh dicampurkan dan dikisar halus dengan sedikit air dan sabun. Cecair yang terhasil boleh disembur pada tanaman untuk kawalan serangga perosak.

Racun perosak mesra alam

Penggunaan racun rumpai yang tidak terkawal memberi kesan kepada alam sekitar dan turut mengancam ekosistem hidupan akuatik yang pelbagai.

Malah, banyak kes kematian membabitkan penduduk dunia dicatatkan terutama di negara membangun.

Ada petani sanggup menggunakan racun serangga murah, namun ia memudaratkan kesihatan.

Dalam industri pertanian, racun perosak dan rumpai antara penyumbang besar kepada pencemaran alam sekitar.

Justeru, penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) membangunkan formulasi racun perosak yang mesra alam.

Dikenali ‘Ciptaan Nanoemulsi Baru Untuk Sistem Penghantaran Racun Perosak’ ia dihasilkan Pengarah Pusat Asasi Sains Pertanian, UPM, Prof Dr Mahiran Basri.

Hasil penyelidikan bermula pada tahun 2010 itu memenangi pelbagai anugerah peringkat tempatan dan antarabangsa.

Ia dibantu penyelidik dari Institut Biosains/Fakulti Sains UPM, Lim Chaw Jiang, Dzolkhifli Omar, Mohd Basyaruddin Abdul Rahman, Abu Bakar Salleh dan Raja Noor Zaliha Raja Abdul Rahman.

Dr Mahiran berkata, formulasi racun serangga dan rumpai itu menggunakan tema hijau dan mesra alam.

“Produk yang dibangunkan menggunakan bahan yang tidak merosakkan alam sekitar melalui teknologi nano.

“Teknologi nano merujuk kepada pembinaan sesuatu bahan dalam skala sangat kecil dan kesannya sangat baik untuk pelbagai aplikasi.

“Sebagai contoh racun rumpai yang dibina melalui teknologi nano bersifat sangat kecil menjadikannya lebih efektif untuk meresap kepada rumpai seperti lalang,” katanya.

Katanya, dos semburan yang lebih kecil diperlukan untuk proses resapan ke tumbuhan perosak seperti lalang dan rumpai.

“Teknologi nano membabitkan sistem nano imulsi lebih efektif bagi sektor pertanian.

“Ia membolehkan bahan digunakan akan lebih efektif,” katanya.

Bagi petani sudah tentunya formulasi dibangunkan menggunakan nano ilmulsi dapat meningkatkan ‘rainfastness’.

“Kekerapan hujan sering mendatangkan masalah kepada aktiviti meracun di negara ini.

“Sedangkan untuk memastikan racun benar-benar berkesan dan meresap ia mengambil masa tiga hingga lima jam,” katanya racun tidak berkesan sekiranya hujan.

Ujian dilapangan mendapati racun mesra alam dihasilkan itu sesuai ketika hujan dengan kesan lebih baik.

“Produk yang dihasilkan dalam bentuk cecair pekat (concentrate).

“Petani hanya perlu menambah air dan me­nyemburkan terus ke rumput atau lalang,” katanya sukatan berdasarkan jumlah disarankan.

Proses penyelidikan di makmal katanya, meng­gunakan bahan hijau yang mudah terurai.

“Selalunya minyak dan air digunakan kerana ia nano imulsi dengan penggunaan sedikit bahan aktif Surfactant.

“Kesannya dapat dilihat dalam tempoh seminggu dan rumpai boleh mati mengikut dos dikaji,” katanya.

DR Mahiran (kiri) melihat hasil ekstrak.

Ladang kontrak imbuhan petani

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan lebih 6,000 petani yang ter­babit dalam aktiviti pengeluaran sayuran dan buahan di seluruh negara mendaftar sebagai peserta ladang kontrak tahun ini.

Tahun lalu sudah ada seramai 4,240 orang berdaftar sebagai peserta dan layak menerima pelbagai bantuan dan kemudahan daripada agensi di bawah Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani (MOA) termasuk Agro Bank.

Ahli Lembaga Pengarah FAMA, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, sasaran itu dijangka dapat dicapai pada pertengahan tahun ini kerana program bagi menambah ahli dilakukan sejak akhir tahun lalu.

Menurutnya, kini projek ladang kontrak di seluruh negara membabitkan kawasan seluas 7,086 hektar dan ia dijangka bertambah dari semasa ke semasa apabila lebih banyak kemudahan disediakan agensi berkaitan.

Beliau berkata, tahun lalu pendapatan hasil aktiviti peserta ladang kontrak membabitkan jualan bunga, produk herba, sayuran dan buahan mencecah RM676 juta.

“Pahang mencatat jumlah terbesar aktiviti ladang kontrak iaitu 889 hektar diikuti Sarawak (776 hektar), Johor (689 hektar), Selangor (680 hektar) dan Terengganu (402 hektar) dan Kedah (618 hektar).

“Penyertaan petani dalam program ladang kontrak memberi peluang kepada mereka menikmati pelbagai kemudahan disediakan FAMA termasuk agensi kerajaan lain bertujuan membela nasib golongan terbabit,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata demikian dalam Majlis Taklimat Bahagian Ladang Kontrak FAMA kepada Parlimen Lipis dan Jawatankuasa UMNO Bahagian Lipis.

Turut hadir Pengarah Kanan Bahagian Ladang Kontrak FAMA, Ahadiah Mohd Khairi dan Pengarah FAMA Pahang, Ibrahim Mahmood.

Abdul Rahman berkata, pihaknya berharap pada masa akan datang lebih ramai lagi petani di negara ini mendaftar sebagai peserta ladang kontrak bagi memberikan peluang kepada mereka menikmati pelbagai kemudahan seperti menjamin pasaran dan meningkatkan pendapatan.

Menurutnya, selain pemindahan teknologi, kemudahan lain layak diterima peserta ladang kontrak adalah pinjaman modal daripada Agro Bank, subsidi input pertanian, khidmat nasihat dan kemudahan jentera.

“Menerusi Program Pengukuhan Bekalan Ladang Kontrak ke Pasar Tani (KUKUH) tahun lalu, sebanyak RM6.7 juta urus niaga berjaya dilakukan, meningkat berbanding RM3.8 juta pada 2013,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, peserta ladang kontrak yang mengalami kerugian selepas projek tanaman mereka musnah ditenggelami banjir akhir tahun lalu layak menerima bantuan FAMA.

Beliau berkata, pihaknya kini masih lagi mengumpul maklumat kemusnahan dan kerugian yang dialami.

“Saya difahamkan seramai 85 peserta ladang kontrak di beberapa daerah di Pahang yang terbabit dengan tanaman sayuran dan buahan terpaksa menanggung kerugian besar selepas kebun mereka ditenggelami banjir.

“Selain kemusnahan tanaman, pelbagai peralatan pertanian termasuk sistem pengairan turut rosak dengan kerugian antara RM20,000 hingga RM150,000,” katanya.

Katanya, bantuan yang akan diberikan kerajaan diharap dapat digunakan peserta bagi memulakan semula projek mereka.

Sumber: http://www.hmetro.com.my