JANGAN ADA BENCI DI HATI

Ramai juga orang yang gagal dalam pergaulan kerana menyimpan perasaan BENCI dalam hati mereka. Tuhan itu maha adil. Perasaan benci dalam diri kita akan menyebabkan ramai orang mudah benci terhadap kita. Misalnya, orang yang membenci ibu bapanya mungkin akan dibenci oleh rakan-rakannya. Orang yang membenci jirannya atau bekas kekasihnya mungkin akan dapat kebencian daripada rakan sekerjanya atau malahan ketua jabatannya.

Seterusnya..

Justeru hapuskanlah segala perasaan benci daripada hati kita agar kita mudah menjalin hubungan dengan orang lain.

Kaedah Mengikis Benci

Cara yang terbaik untuk mengikis benci ialah dengan memaafkan semua orang sebelum tidur malam. Jika setiap malam sebelum tidur kita sentiasa mencuci muka, memberus gigi, membersihkan diri dan mengibas tempat tidur, tidak bolehkah kita mencuci hati kita dengan memaafkan semua orang sebelum tidur?
Pengalaman secara peribadi penulis menunjukkan bahawa dengan memaafkan semua orang sebelum tidur, kita akan dapat membersihkan hati serta menenangkan fikiran dan mudah menjalin hubungan baik dengan orang lain.

Faktor-faktor Yang Boleh Merangsang Kehebatan Dalam Pergaulan

Antara faktor yang menyebabkan kita mudah berinteraksi dengan orang lain dan orang lain mudah tertarik kepada kita ialah:

1) Jaga solat dan lakukan ibadah-ibadah khusus dan umum yang lain.
2) Sentiasa bersangka baik terhadap semua orang (walaupun kita perlu berwaspada setiap masa).
3) Sentiasa memberikan senyuman ikhlas kepada orang di sekeliling kita.
4) Banyakkan bersedekah, samada dalam bentuk wang, senyuman, bantuan tenaga, masa, nasihat, idea, pandangan, sokongan moral dan doa yang berterusan.
5) Sentiasa memperbanyakkan sabar. Nabi s.a.w. pernah berpesan supaya mencari 144 sebab sebelum kita memarahi orang.
6) Sentiasa ceria apabila berjumpa dengan orang lain. Pastikan setiap orang seronok berinteraksi dengan kita.
7) Pamerkan perasaan sayang dan sentiasa sayang-menyayangi antara satu dengan yang lain.
8) Bentuk dan pamerkan sahsiah yang positif setiap masa. Peribadi yang kurang sopan akan menyebabkan orang lain rasa mual terhadap kita.
9) Amalkan sunnah-sunnah harian setiap masa dan insyaAllah orang lain akan tertarik kepada kita.
10) Jika wujud sebarang perasaan sombong atau benci terhadap orang lain, terus ingatkan diri kita tentang mati. Kita mudah insaf dan balik ke pangkal jalan apabila mengingati mati.
11) Sentiasa syukur dan redha atas pemberian Allah swt.
12) Sentiasa memberi salam dan ucap selamat kepada orang lain. Pemberian salam akan mengukuhkan hubungan sesama manusia.
13) Pamerkan simpati kepada setiap individu-individu yang memerlukan simpati dan perhatian.
14) Jadilah pendengar dan kawan yang setia.
15) Sampaikan berita baik tentang orang lain dan sembunyikan kelemahan atau keburukan orang lain.
16) Sentiasalah bermaaf-maafan sebelum berpisah dengan seseorang dan iringi perpisahan dengan doa.

Terlebih Dahulu Baiki Diri

Untuk menarik perhatian orang lain terhadap diri kita, kita perlu terlebih dahulu menyayangi dan memperbaiki diri kita. Orang yang mengasihi dirinya tidak akan melakukan sebarang kegiatan yang boleh mensabotaj dan merosakkan dirinya. Setiap tindak-tanduknya akan dilakukan secara berhikmah dan sentiasa memikirkan perasaan orang lain. Ingatlah pesanan seorang sarjana:
“Orang tidak kisah setakat mana yang anda tahu (berilmu), sehinggalah mereka tahu yang anda kisah terhadap mereka

Kuasa Wanita

Kehebatan perempuan dalam pujuk rayu tidak dapat disangkal lagi. Tidak ada perempuan yang tidak mahir dalam seni ini. Kaum lelaki boleh dipujuk dan dirayu untuk melakukan apa sahaja mengikut kehendaknya.

* Beberapa contoh keruntuhan empayar yang dibina oleh lelaki
disebabkan daya pujukan wanita :

1. Napoleon Bonarparte dan Josephine.
2. Anthony dan Cleopatra
3. Hitler dan Matahari
4. Samson dan Delila
5. Abu Lahab dan Hendon

* Beberapa contoh wanita yang menjadi kekuatan kepada kepimpinan seorang lelaki sehingga berjaya mengatasi segala ujian dan cabaran tanpa melemahkan semangat juang mereka dalam menegakkan kebenaran dan kekuatan agama :

1. Nabi Muhammad saw dan Siti Khadijah serta isteri-isteri beginda yang lain.
2. Nabi Ayub dan Siti Rahmah.
3. Nabi Ibrahim dan Siti Sarah serta Siti Hajar.
4. dan banyak contoh lagi orang-orang muslim yang lain.

KUASA KEJELITAAN PEREMPUAN
* Hal ini diketahui oleh semua orang. Kejelitaan perempuan boleh menumbangkan ramai lelaki hingga banyak yang terarah melakukan perkara-perkara yang tidak wajar. Sebaliknya kuasa jelita yang ada pada kaum muslimah boleh menimbulkan kecintaan yang tinggi terhadap Allah di mana seorang isteri boleh mempengaruhi suami dalam hal-hal yang diredhai Allah.

KUASA LAYANAN PEREMPUAN
* Kaum lelaki mudah goyah dan alah dengan layanan yang baik, apa lagi dari perempuan yang sangat dikasihi seperti isteri dan ibu. Layanan baik yang disalurkan kepada orang yang berhak menerimanya, bukan sahaja mendatangkan keredhaan Allah tetapi memungkinkan apa yang diminta akan dipenuhi dengan mudah.

KUASA DOA PEREMPUAN
* Doa perempuan lebih makbul dari lelaki kerana sifat penyayangnya lebih kuat dari lelaki. Sebagaimana hadis Rasulullah saw:

“Doa ibu itu lebih cepat makbul.” Orang bertanya:”Kenapa ya Rasulllah ?” Jawab baginda : “Ibu lebih penyayang dari bapa dan doa dari orang yang penyayang tidak akan sia-sia.”

KUASA TAQWA PEREMPUAN
* Ketaqwaan adalah kuasa paling sempurna dan terbaik dalam menangani apa jua masalah. Orang yang paling bertaqwa adalah orang yang paling dikasihi Allah. Allah tidak akan membiarkan orang yang dikasihiNya melainkan dipelihara serta sentiasa dirahmatiNya.

* Kuasa taqwa lebih mudah diperolehi oleh perempuan berbanding lelaki kerana kehalusan budi yang ada pada perempuan adalah merupakan penjara daripada melakukan hal-hal yang mendatangkan dosa. Berbanding lelaki yang sebahagian hidupnya berada di luar rumah serta terdedah kepada pelbagai godaan, cubaan dan ujian.

* Kekuasaan taqwa ini pula oleh kemuliaan yang diberikan oleh Allah swt sehingga setiap lelaki pasti memerlukan perempuan untuk menghirupkan udara ini atau dalam perkataan lain setiap lelaki pasti dilahirkan oleh perempuan kecuali Nabi Adam a.s. Sekuat-kuat lelaki, kuat lagi perempuan kerana lelaki itu sendirinya datang dari perut perempuan yang menghamilkannya dan melahirkannya ke dunia, kemudian
melatih, mendidik, memelihara dari kecil hingga dewasa.

* Kemuliaan perempuan akan lebih nyata, jika ditambah dengan ketaatan kepada kaum lelaki yang berhak atasnya sebagaimana maksud hadis Rasulullah saw:

“Perempuan yang taat kepada suaminya, semua burung di udara, ikan di air, malaikat di langit, matahari dan bulan : semuanya beristighfar baginya (isteri) selagi mana ia masih taat kepada suaminya dan diredhainya (serta menjaga solat dan puasanya).”

Siapakah Syiah al-Rafidhah?

Siapakah Syiah al-Rafidhah

Perkataan Syi‘ah dari sudut bahasa.

Dari sudut bahasa, Syi‘ah (شيعة) disebut sebagai Syi‘ah seseorang (شيعة الرجل), bererti pengikutnya (أتباعه), pendokongnya (أنصاره) dan puaknya sahaja (الفرقة على حدة). Ia diungkap untuk seorang atau dua orang atau ramai, lelaki dan wanita.[1]
Penggunaan istilah ini di dalam al-Qur’an antara lain boleh dirujuk dalam ayat 15 surah al-Qasas:
Dan masuklah ia (Musa) ke bandar (Mesir) dalam masa penduduknya tidak menyedarinya, lalu didapatinya di situ dua orang lelaki sedang berkelahi, – seorang dari golongannya sendiri (Syi‘ah) dan yang seorang lagi dari pihak musuhnya. Maka orang yang dari golongannya (Syi‘ah) meminta tolong kepadanya melawan orang yang dari pihak musuhnya; Musa pun menumbuknya lalu menyebabkan orang itu mati. (pada saat itu) Musa berkata: “Ini adalah dari kerja Syaitan, sesungguhnya Syaitan itu musuh yang menyesatkan, yang nyata (angkaranya).” [al-Qasas 28:15]

Maksud Syi‘ah dari sudut istilah.

Gelaran Syi‘ah lazimnya ditujukan kepada setiap orang yang setia (wala’) kepada ‘Ali bin Abi Thalib dan Ahl al-Baitnya radhiallahu ‘anhum, sehingga ia menjadi nama gelaran yang khusus bagi mereka.[2]

Pembahagian Syi‘ah kepada 3 golongan:

Mazhab Syi‘ah boleh dibahagikan kepada beberapa kumpulan berdasarkan beberapa kategori seperti akidah, politik, fiqh dan sebagainya.[3] Yang penting dalam perbahasan buku ini ialah pendirian atau mazhab Syi‘ah apabila berinteraksi dengan kedudukan para sahabat dan persoalan khalifah (الإمامة), di mana ia dapat dibahagikan kepada 3 kumpulan:

Pertama: al-Tasyaiyu’ (التشيع).

Kumpulan ini adalah mereka yang bersimpati lalu menyebelahi pasukan ‘Ali bin Abi Thalib dalam peristiwa peperangan antara pasukan ‘Ali dan Mu‘awiyyah, radhiallahu ‘anhuma. Mereka juga mengambil berat, merasa sedih dan simpati ke atas nasib yang menimpa ‘Ali dan keluarganya: Hasan dan Husain radhiallahu ‘anhum sebagaimana yang tercatit di dalam sejarah Islam.

Kedua: al-Mufadhdhilah (المفضلة)

Kumpulan ini adalah mereka yang berpendapat bahawa ‘Ali bin Abi Thalib dan keluarganya adalah lebih mulia, lebih utama dan lebih tinggi kedudukannya berbanding lain-lain sahabat.
Walaubagaimanapun kedua-dua kumpulan yang pertama ini mengiktiraf jawatan khalifah Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman serta tidak mencela para sahabat yang lainnya. Pilihan mereka kepada apa yang mereka cenderungi tidak menyebabkan mereka berlaku tidak adil dan berlebih-lebihan (ghuluw) terhadap apa yang tidak mereka cenderungi.

Ketiga: al-Rafidhah (الرافضة)

al-Rafidhah bermaksud kumpulan yang menolak. Syi‘ah al-Rafidhah adalah mereka yang menolak kekhalifahan dan keutamaan Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman. Mereka juga menolak para imam daripada keturunan Ahl al-Bait Rasulullah kerana mereka (para imam daripada keturunan Ahl al-Bait) juga mengiktiraf kekhalifahan Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman serta mengutamakan mereka bertiga di atas ‘Ali bin Abi Thalib.[4]

Bertitik tolak daripada penolakan di atas maka terbentuk 4 asas berikut yang menjadi iktikad Syi‘ah al-Rafidhah:

1. Bahawa khalifah pertama yang hak selepas kewafatan Rasulullah ialah ‘Ali diikuti dengan Husain dan keturunannya.

2. Bahawa para sahabat sehinggalah ke umat Islam masa kini dari kalangan Ahl al-Sunnah telah membelakangi nas al-Qur’an dan al-Sunnah yang menetapkan jawatan khalifah mereka (‘Ali, Husain dan keturunannya).

3. Bahawa kerana sikap Ahl al-Sunnah yang membelakangi al-Qur’an dan al-Sunnah sepertimana poin 2 di atas, maka mereka, sejak dari Abu Bakar, ‘Umar, ‘Utsman dan para sahabat seluruhnya sehingga ke umat Islam hari ini berada di dalam kesesatan.

4. Bahawa mazhab yang benar di dalam Islam ialah Mazhab Syi‘ah manakala Mazhab Ahl al-Sunnah adalah mazhab yang salah.

Untuk teks penuh, sila download file ini: pengenalan-kepada-syiah-ar-rafidhah.doc

Kerja, amal jamin kehidupan terbaik

DARIPADA Imran katanya, saya bertanya: “Ya Rasulullah, apa dasar kerja orang yang bekerja? Baginda SAW menjawab: “Setiap orang dimudahkan mengerjakan apa yang dia telah diciptakan untuk itu.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Manusia adalah makhluk yang bekerja. Bahkan, manusia tidak akan mendapatkan suatu apa pun kecuali apa yang diusahakannya. Oleh itu tidaklah menghairankan jika kita juga sering mendengar bahawa masuk syurga atau neraka itu sangat ditentukan oleh amal atau perbuatan seseorang, pekerjaannya atau usahanya ketika di dunia.

Aspek kerja dalam Islam sesungguhnya terkandung dalam bentuk yang sangat luas mencakupi seluruh kehidupan itu sendiri, ia bersifat fizikal, intelektual dan juga spiritual. Apa yang ditekankan Islam ialah supaya kita bekerja atau berusaha untuk kebaikan dan dengan cara yang baik kerana orang yang beriman dan bekerja dengan baik, Allah akan memberinya kehidupan yang baik.

Sesungguhnya kerja dengan amal mempunyai terjemahan sama dalam Islam meskipun masyarakat mengenalinya dari sudut berbeza. Amal sering kali diberi makna kerja kebajikan.

Sedangkan, kerja dikategorikan pada tindakan manusia yang menghasilkan upah atau gaji dalam bentuk wang mahupun material yang bersifat ekonomi untuk menjaga kelangsungan hidup bagi diri sendiri atau orang di bawah tanggungjawabnya.

Biasakan berfikir sebelum bercakap

RASULULLAH SAW pernah mengumpamakan lidah itu sebagai kunci segala perkara, yakni perkara baik dan buruk. Sabda Baginda kepada Muaz bin Jabal yang bermaksud: “Mahukah engkau aku beritahukan mengenai kunci semua perkara ini? Aku (Muaz) menjawab: Mahu wahai Rasulullah SAW. Lalu Baginda SAW memegang lidahnya dengan berkata: Awas, jagalah ini (lidah) baik-baik. Aku (Muaz) pun berkata pula: Wahai Rasulullah SAW, apakah kami akan dituntut atas tutur kata kami? Lalu Baginda SAW menjawab: Moga-moga Allah peliharakan engkau. Tiada lain yang akan menjerumuskan manusia menerusi muka atau batang hidungnya ke dalam neraka, melainkan tutur katanya sendiri.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Demikianlah betapa beratnya bencana lidah itu sehingga boleh menyebabkan tuannya terjerumus ke dalam api neraka. Sehubungan itu, kita seharusnya menjaga dan mengawasi lidah daripada mengucapkan perkataan keji dan kotor. Di sampingnya, selalu ada bahaya menunggu.

Dalam menghuraikan peranan lidah, Imam al-Ghazali berkata: “Ketahuilah bahawa bahaya lidah itu amat besar dan manusia tidak selamat daripada bahaya ini, melainkan mengucapkan tutur kata baik saja.”

Oleh itu, kita seharusnya memanfaatkan nikmat lidah yang dikurniakan Allah untuk mengucapkan perkataan atau tutur kata yang baik saja. Segala perkataan dan tutur kata yang keji dan kotor wajib ditinggalkan.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia berkata yang baik atau berdiam diri saja.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: “Jagalah lidahmu kecuali bila berkata baik. Dengan berlaku demikian, engkau mengalahkan syaitan.”

Umat Islam tidak seharusnya menggunakan lidah untuk mencela, mencaci, memaki hamun orang lain dan berbohong.

Amat mendukacitakan apabila ada di kalangan umat Islam yang sanggup melemparkan kata kesat dan keji kepada saudaranya. Mereka seolah-olah tidak memikirkan balasan yang bakal diterima nanti.

Sebenarnya, orang yang menggunakan lidah ke arah keburukan adalah orang yang tidak pandai menilai nikmat kurniaan Allah. Orang sebegini dianggap mengkufuri nikmat kurniaan Allah.

Kesimpulannya, sebagai orang beriman kita hendaklah selalu mengawasi perkataan dan tutur kata. Biasakan diri berfikir dulu sebelum mengucapkan perkataan.

Jika ternyata perkataan yang hendak diucapkan itu tiada bahayanya, ucapkanlah. Jika sebaliknya, hindarilah daripada berkata-kata.

Jangan ‘bertuhankan’ syaitan

Syeikh Sya’rawi berkata: Selepas Allah menceritakan berkenaan jenis-jenis manusia yang menerima dakwah sama ada kufur, nifak dan benar-benar beriman, lantas di sini Allah berfirman berkenaan orang-orang yang beriman: Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.

Maka kalau kamu tergelincir (dan jatuh ke dalam kesalahan disebabkan tipu daya Syaitan itu), sesudah datang keterangan-keterangan yang jelas kepada kamu, maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Al-Baqarah: 208 & 209)

Firman Allah s.w.t: Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya.

Terdapat tiga pandangan ulama berkenaan sebab turun ayat ini:

* Kepada siapa yang beragama Islam di kalangan Ahli Kitab. Di mana mereka selepas Islam amat berhati-hati dengan hari Sabtu dan daging unta dan apa-apa yang dijauhi oleh Ahli Kitab. Inilah yang diriwayatkan oleh Abu Solih daripada Ibn Abbas.

* Diturunkan kepada Ahli Kitab yang tidak beriman dengan Nabi Muhammad s.a.w lantas diperintahkan supaya mereka memeluk Islam seperti riwayat Ibn Abbas. Ini adalah pendapat al-Dahhak.

* Diturunkan kepada orang Islam supaya masuk dalam syariat Islam semuanya seperti kata Mujahid dan Qatadah.

Seterusnya maksud silmi di sini dengan dua pendapat. Pertama, ia bermaksud Islam seperti kata Ibn Abbas, Ikrimah, Qatadah, al-Dahhak, al-Suddi, Ibn Qutaibah dan al-Zajjaj.

Kedua, adalah ketaatan seperti riwayat Ibn Abbas juga, pendapat Abi al-‘Aliah dan al-Rabi’.

Seterusnya perkataan kaffah iaitu keselamatannya membawa maksud dengan tiga perkara:

* Perintah kepada orang yang beriman dengan lidah-lidah mereka supaya beriman juga dengan hati-hati mereka.

* Perintah kepada orang yang beriman supaya mereka beriman kepada seluruh syariatnya.

* Perintah supaya thabit atas agama Islam.

Sayid Qutub berkata: Itulah seruan kepada orang-orang mukmin dengan nama keimanan iaitu seruan dengan sifat yang disukai mereka dan membezakan mereka, sifat yang menghubungkan mereka dengan Allah yang menyeru mereka agar seluruh mereka ke dalam kedamaian.

Maksud pertama dari seruan ini ialah supaya orang-orang mukmin menyerah jiwa raga mereka kepada Allah dan menyerah segala urusan mereka sama ada kecil atau besar kepada Allah.

Mereka hendaklah memberi ketaatan dan kepatuhan kepada Allah dengan penuh keyakinan dan kerelaan. Mereka hendaklah menyerah diri kepada kudrat Allah yang memimpin langkah-langkah mereka dengan keyakinan bahawa Allah mahukan mereka mendapat kebaikan, pengajaran dan petunjuk. Seterusnya membawa kepada kesudahan yang baik dunia dan akhirat.

Matlamat dakwah yang seperti ini kepada orang-orang yang beriman itu membayangkan bahawa di sana ada orang-orang yang masih teragak-agak untuk taat dan patuh yang mutlak kepada Allah sama ada di dalam sulit atau di dalam terang.

Wujudnya orang-orang yang seumpama ini di dalam masyarakat Islam di samping golongan orang-orang yang penuh yakin dan reda itu memanglah satu perkara biasa. Dakwah ini adalah ditunjukkan setiap masa kepada orang-orang yang beriman.

Ia supaya mereka sentiasa ikhlas kepada Allah dan aliran fikiran serta perasaan mereka selaras dengan kehendak Allah terhadap mereka. Juga selaras dengan matlamat yang dipimpin oleh Nabi dan agama mereka tanpa digugat oleh sebarang keraguan.

Apabila seseorang Islam menyambut dakwah itu dengan sambutan sedemikian, bererti dia memasuki sebuah alam yang seluruhnya diselubungi kedamaian dan keamanan. Sebuah alam yang seluruhnya dipenuhi kepercayaan dan keyakinan, kerelaan dan kemantapan di mana tidak terdapat lagi sebarang kerunsingan dan kegelisahan.

Kedamaian dengan seluruh alam buana dan seluruh yang maujud, kedamaian dan keimanan yang menerangi liku-liku hati, kedamaian dan keamanan yang memayungi kehidupan dan masyarakat, kedamaian dan keamanan di bumi dan di langit.

Firman Allah s.w.t: Dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.

Berkenaan dengan syaitan, wajib memerangi dan mengalahkannya disebabkan dua perkara:

Syaitan adalah musuh yang nyata menyesatkan kita. Tidak boleh mengharapkan kebaikan dan perdamaian, sebab mereka akan puas jika mampu membinasakan kita. Oleh sebab itu, tidak ada alasan untuk kita merasa tenteram dengan syaitan dan kita harus mengingatinya.

Firman Allah s.w.t dalam Surah Yasin, ayat 60 yang bermaksud: Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!

Ini merupakan peringatan yang sangat penting kepada kita.

Sudah menjadi tabiat syaitan untuk selalu memusuhi anak cucu Adam. Mereka akan selalu memerangi kita siang dan malam. Sedangkan kita sering lalai akan hal ini.

Perlu diperhatikan, bahawa kita beribadat kepada Allah dan mengajak orang lain kepada keredaan Allah dengan lisan dan perbuatan. Semua itu bertentangan dengan perbuatan, cita-cita, kemahuan dan usaha syaitan.

Hal itu bererti kita telah bersiap untuk memerangi, melawan dan berusaha mengalahkannya. Pada pihak yang lain, syaitan telah bersiap sedia dan berusaha memerangi, menipu dan membinasakan kita. Bahkan, syaitan inginkan kehancuran kita kerana syaitan merasa tidak aman dengan kita.

Sesungguhnya orang kafir adalah teman-teman syaitan. Orang kafir tidak pernah memerangi dan membencinya. Padahal syaitan akan membinasakan mereka. Walau sebenarnya, syaitan akan tetap memusuhi orang-orang yang mengikutinya. Kepada orang-orang yang memusuhinya, syaitan menganggapnya sebagai masalah khusus dan penting.

Syaitan juga banyak pembantu untuk menghancurkan kita, yang paling ganas ialah hawa nafsu.

Selain itu, masih banyak lagi celah baginya untuk masuk ke dalam diri seseorang dan manusia tidak akan menyedarinya.

Yahya bin Mu’az al-Razi berkata, syaitan itu suka menganggu, ia mempunyai banyak waktu untuk menjalankan rencananya. Sedangkan manusia selalu sibuk dan syaitan mengetahuinya. Tetapi, kita tidak melihatnya, kita lupa terhadapnya namun syaitan selalu mengingatkan kita. Syaitan akan cuba mengalahkan kita dan syaitan mempunyai ramai pembantu.

Oleh sebab itu kita harus bertekad untuk mengalahkan dan memeranginya. Jika tidak, kita tidak akan aman dari kebinasaan dan kehancuran. Dengan cara apa kita harus mengalahkannya? Di sini dinyatakan dua cara untuk mengalahkannya:

Menurut pendapat sebahagian ulama, cara menghalau syaitan dan berlindung darinya adalah dengan memohon perlindungan daripada Allah s.w.t. Ini kerana syaitan ibarat anjing yang diberi kekuatan untuk menggoda kita.

Jika kita terus menerus menghalau dan memeranginya, nescaya kita akan kehabisan waktu, sehingga ia dapat menggigit dan melukai kita. Dengan demikian, sebaik-baik jalan adalah langsung bermohon kepada Allah yang menguasai anjing itu agar menjauhi kita.

Menurut ahli yang menyingkirkan syaitan, kita harus berjuang sekuat tenaga menolak, mengusir, melawan dan menentang syaitan. Pertamanya, mohon perlindungan dari segala tipu daya syaitan. Sebagaimana yang diperintahkan dalam al-Quran. Sesungguhnya mudah bagi Allah menyelamatkan manusia dari kejahatannya.

Kemudian, jika merasa masih boleh dikalahkan oleh syaitan, sesungguhnya itu adalah ujian Allah agar tampak kebenaran perjuangan dan kekuatan kita dalam menjalankan perintah Allah, dan untuk membuktikan kesabaran kita. Sebagaimana Allah memberikan kekuatan kepada kaum kafir untuk mengalahkan kita, sedangkan Allah sangat berkuasa menumpaskan kejahatan orang-orang kafir itu.

Iktibar dan pengajaran ayat:

* Mengikut ajaran Islam dengan menyeluruh dalam semua aspek kehidupan dengan berpaksikan kepada ilmu pengetahuan.

* Jangan mengikut tipu daya dan ajakan syaitan laknatullah.

* Mengithbatkan sifat Allah yang Maha Perkasa dan Maha Bijaksana

Tanda Tanda Ajal Hampir Tiba

Adapun tanda-tanda kematian mengikut ulamak adalah benar dan ujud cuma
amalan dan ketakwaan kita sahaja yang akan dapat membezakan kepekaan kita
kepada tanda-tanda ini. Rasulallah SAW diriwayatkan masih mampu memperlihat
dan menceritakan kepada keluarga dan sahabat secara lansung akan kesukaran
menghadapi sakaratulmaut dari awal hinggalah akhirnya hayat Baginda. Imam
Ghazali rahimahullah diriwayatkan memperolehi tanda-tanda ini sehinggakan

beliau mampu menyediakan dirinya untuk menghadapi sakaratulmaut secara
sendirian. Beliau menyediakan dirinya dengan segala persiapan termasuk
mandinya, wuduknya serta kafannya sekali cuma ketika sampai bahagian tubuh
dan kepala sahaja beliau telah memanggil abangnya iaitu Imam Ahmad Ibnu
Hambal untuk menyambung tugas tersebut. Beliau wafat ketika Imam Ahmad
bersedia untuk mengkafankan bahagian mukanya. Adapun riwayat -riwayat ini
memperlihatkan kepada kita sesungguhnya Allah SWT tidak pernah berlaku
zalim kepada hambanya. Tanda-tanda yang diberikan adalah untuk menjadikan
kita umat Islam supaya dapat bertaubat dan bersedia dalam perjalanan
menghadap Allah SWT. Walaubagaimanapun semua tanda-tanda ini akan berlaku
kepada orang-orang Islam sahaja manakala orang-orang kafir iaitu orang yang
menyekutukan Allah nyawa mereka ini akan terus di rentap tanpa sebarang
peringatan sesuai dengan kekufuran mereka kepada Allah SWT

Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya dan hanya akan
disedari oleh mereka-mereka yang dikehendakinya. Walaubagaimanapun semua
orang Islam akan mendapat tanda ini cuma samada mereka sedar atau tidak
sahaja. Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar. Seluruh tubuh
iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran
atau seakan-akan mengigil.Contohnya seperti daging lembu yang baru
disembelih dimana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati
daging tersebut seakan-akan bergetar. Tanda ini rasanya lazat dan bagi
mereka sedar dan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka
getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran
tanda ini. Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut
dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian , tanda ini akan lenyap
begitu sahaja tanpa sebarang munafaat. Bagi yang sedar dengan kehadiran
tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memunafaatkan masa yang ada
untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau
ditinggalkan sesudah mati

Tanda 40 hari sebelum hari mati

Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar.
Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut.
Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang
letaknya di atas Arash Allah SWT. Maka malaikatmaut akan mengambil daun
tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita antaranya ialah ia
akan mula mengikuti kita sepanjang masa. Akan terjadi malaikatmaut ini
akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang
terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika. Adapun
malaikatmaut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut
nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.

Tanda 7 hari

Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan
musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba
ianya berselera untuk makan.

Tanda 3 hari

Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu
diantara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah
kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini
akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti. Ketika ini
juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit
hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita
melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu dimana bahagian
hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang
terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

Tanda 1 hari

Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan
di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita
tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.

Tanda akhir

Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di
bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke
bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah
dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikatmaut untuk menjemput
kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang
akan mematikan pula.

Sesungguhnya marilah kita bertaqwa dan berdoa kepada Allah SWT semuga kita
adalah di antara orang-orang yang yang dipilih oleh Allah yang akan diberi
kesedaran untuk peka terhadap tanda-tanda mati ini semoga kita dapat
membuat persiapan terakhir dalam usaha memohon keampunan samada dari Allah
SWT mahupun dari manusia sendiri dari segala dosa dan urusan hutang piutang
kita.Walaubagaimanapun sesuai dengan sifat Allah SWT yang maha berkuasa
lagi pemurah lagi maha mengasihani maka diriwatkan bahawa tarikh mati
seseorang manusia itu masih boleh diubah dengan amalan doa iaitu samada doa
dari kita sendiri ataupun doa dari orang lain. Namun ianya adalah ketentuan
Allah SWT semata-mata.

Oleh itu marilah kita bersama-sama berusaha dan berdoa semuga kita diberi
hidayah dan petunjuk oleh Allah SWT serta kelapangan masa dan kesihatan
tubuh badan dan juga fikiran dalam usaha kita untuk mencari keredhaan Allah
SWT samada di dunia mahupun akhirat.
Apa yang baik dan benar itu datangnya dari Allah SWT dan apa yang salah dan
silap itu adalah dari kelemahan manusia itu sendiri.

WALLAHUA’LAM