Daftarkan aktiviti burung walit

KUALA LUMPUR 12 Julai – Para pengusaha ternakan burung walit di seluruh negara perlu mendaftarkan aktiviti mereka apabila garis panduan bagi mengawal selia industri itu dikuatkuasakan tidak lama lagi selepas diluluskan Kabinet Jumaat lalu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, Garis Panduan Pembangunan Industri Burung Walit Negara akan dibentangkan pada mesyuarat Majlis Negara Mengenai Kerajaan Tempatan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Garis panduan yang pertama di dunia ini akan membolehkan lebih 50,000 premis rumah burung di negara ini termasuk di Sabah dan Sarawak didaftarkan dengan Jabatan Perkhidmatan Haiwan sebelum dilesenkan oleh pihak berkuasa tempatan yang berkenaan.

“Antara lain ia bertujuan mengatasi masalah bau, bunyi dan risiko penyakit selain memastikan pembangunan industri itu yang dianggar bernilai RM5 bilion pada 2015, dijalankan secara teratur,” katanya pada sidang akhbar mengenai panduan dan peraturan ternakan burung walit di sini hari ini.

Menurutnya, garis panduan tersebut perlu dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat itu agar ia tidak menyebabkan pengusaha burung walit berasa tidak selesa.

“Para pengusaha sudah menjalankan perniagaan ini berpuluh-puluh tahun, jadi kita tidak mahu peraturan ini nanti akhirnya menyusahkan rakyat,” katanya.

Noh berkata, selain memastikan pembangunan industri itu berjalan lancar dan teratur, ia juga mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan terutamanya yang berada di desa.

Katanya, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM4.5 juta bagi memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah menceburi bidang tersebut.

“Mereka yang ingin menceburi bidang ini boleh membuat pinjaman melalui Agro Bank dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN),” ujarnya.

Menurutnya, Jabatan Perkhidmatan Haiwan telah membangunkan sistem pendaftaran premis penternakan itu melalui laman web www.burungwalit.com.my yang boleh diakses bermula hari ini.

Potensi rebung madu

Adnan OSMAN: Rebung madu mempunyai keistimewaan tidak miang dan rasanya juga tidak pahit seperti rebung biasa.

Melentur buluh biarlah daripada rebung’ adalah antara peribahasa yang sangat sinonim dengan masyarakat Melayu.

Ini menunjukkan betapa dekat dan prihatinnya masyarakat Melayu dengan alam sekitar seperti buluh dan rebung.

Buluh sememangnya mempunyai banyak kegunaan daripada landskap, bahan binaan rumah sehinggalah kepada perabot, sementara rebung pula enak dijadikan masakan gulai lemak cili padi.

Melihat kepada banyaknya kegunaan buluh dan rebung, Adnan Osman mula membawa pokok-pokok buluh dari China bagi perniagaan landskapnya.

Antara buluh yang dibawa masuk adalah buluh rebung madu yang mudah ditanam, sesuai untuk tanaman landskap serta rebungnya pula tidak miang seperti rebung biasa.

Mula membawa masuk buluh rebung madu pada tahun 2004, Adnan mengusahakannya di tanah seluas 100 hektar di Kedah.

“Saya memilih rebung madu kerana ia mudah diselenggarakan walaupun di tanah yang kering, berpasir mahupun lembap,” katanya semasa ditemui di ladang rebung madunya di Projek Pertanian Moden Lanchang, Pahang.

Lawatan ke ladang rebung madu merupakan sebahagian daripada lawatan program Agrochallange Putrajaya-Pekan yang berlangsung baru-baru ini.

Pengurus Tunas Budi Sdn Bhd ini menyifatkan rebung madu yang ditanam amat istimewa kerana cepat membesar, tidak miang serta tidak pahit seperti rebung biasa.

“Buluhnya yang kecil, rumpunnya yang rapat serta tidak mempunyai miang menyebabkan ia sesuai ditanam di sekeliling rumah,” katanya.

Ditanya mengenai pengendalian rebung madu, Adnan memberitahu, tidak sesukar mana kerana tanaman berkenaan tidak memerlukan air yang banyak.

“Malah pokok ini boleh hidup walaupun di kawasan yang ditambak dan kering mahu pun di tempat berpaya.

“Cuma apabila ditanam di kawasan yang agak basah, buluhnya akan tumbuh lebih besar,” katanya yang memelihara itik sebagai produk sampingan ladangnya.

Jelas Adnan, tanaman buluh rebung madu hanya memerlukan kawasan yang tidak begitu besar kerana satu ekar boleh ditanam dengan 300 rumpun buluh.

Ini bermakna satu rumpun hanya memerlukan kawasan seluas 12 kaki x 12 kaki.

“Apa yang lebih menarik, jangka hayat buluh bukan hanya boleh mencapai sehingga beratus-ratus tahun tetapi mudah hidup dan boleh dituai dalam masa yang singkat,” katanya.

Biasanya rebung akan membesar sebanyak enam inci sehari dan boleh dituai setiap dua hingga lima hari.

“Serumpun buluh biasanya boleh menghasilkan dua kilogram rebung sebulan dengan harga pasaran RM5 hingga RM7 sekilogram,” katanya.

Adnan berkata, sehingga kini lebih 90 peratus rebung diimport terutamanya rebung kaleng.

“Buat masa ini tidak sampai 10 peratus rebung tempatan yang berada di pasaran tempatan dan bekalan tidak dapat menampung permintaan pelanggan,” katanya.

Adnan yang sentiasa peka dengan aktiviti pemasaran telah mula mempelbagaikan industri hiliran bagi rebung madu.

Selain menjualnya secara segar untuk gulai, beliau juga memprosesnya dalam bentuk jeruk untuk dimakan sebagai kudapan.

“Jeruk rebung madu memang mendapat sambutan yang amat menggalakkan kerana rasanya yang lemak manis.

“Jeruk ini diproses tanpa menggunakan sebarang bahan pengawet,” katanya yang bercadang untuk mengkomersialkannya dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun bagi merealisasikan impiannya, Adnan perlukan bekalan rebung madu yang mencukupi.

Justeru bagi mengatasi masalah berkenaan, Tunas Budi Sdn Bhd telah mengadakan pusat jualan serta latihan bagi menanam rebung madu.

“Kami menyediakan pakej menanam rebung madu bermula dengan kaedah menanam, penjagaan, cara menuai sehingga memproses kepada sesiapa yang berminat.

“Kami juga memberikan pilihan sama ada mereka menjual rebung kepada kami atau memasarkannya sendiri,” katanya.

Dengan ini, penanam tidak perlu terikat dengan syarikatnya bagi tujuan pemasaran dan mereka boleh membuat pilihan sendiri.

Berkonsepkan agro pelancongan, Adnan juga menyediakan kemudahan penginapan calet bagi peserta yang berminat mengikuti kursus tanaman rebung madu di ladangnya.

“Ini bagi membolehkan peserta merasai pengalaman bagaimana mengendalikan tanaman rebung madu secara hands-on,” katanya.

Kursus dibahagikan kepada dua pakej iaitu pakej satu hanya meliputi tanaman dan tuaian dan kedua tanaman, tuaian dan pemprosesan jeruk.

Adnan berkata, selesai kursus peserta boleh membeli rumpun buluh untuk ditanam sendiri dengan harga yang berpatutan di ladangnya.

Pembaca yang ingin maklumat lanjut mengenai tanaman rebung madu boleh menghubungi Adnan di 016-4935395, 013-9180248 atau e-mel: nanbamboo@yahoo.com

Anggur Perlis mampu bersaing

Projek diusahakan JPP di kawasan Bukit Bintang dalam proses keluar hasil pertama, jangka tembusi pasaran pertengahan tahun ini

KANGAR: Perlis yang sebelum ini terkenal unik sebagai satu-satunya negeri yang mampu menghasilkan produk mempelam harumanis, kini bakal menerima satu lagi mercu tanda baru dalam bidang pertanian melalui projek penanaman anggurnya.

Walaupun teknologi dan kepakaran asal penanaman produk tani terbabit diceduk daripada negara jiran iaitu Thailand, namun Perlis tetap berbangga kerana berupaya menghasilkan anggurnya sendiri, selepas bertahun-tahun penyelidikan dan percubaan dijalankan.

Malah, tidak mustahil dengan kualiti dan tahap kemanisan yang tinggi, anggur Perlis mampu menyaingi keunikan mempelam harumanisnya yang sekian lama menjadi tarikan utama pertanian di negeri ini.

Projek penanaman anggur Perlis yang diusahakan Jabatan Pertanian Perlis (JPP) di kawasan Bukit Bintang di sini, kini dalam proses mengeluarkan hasil pertamanya yang dijangka bakal menembusi pasaran selewat-lewatnya pertengahan tahun ini.

Projek itu dimulakan selepas penanaman percubaan di kawasan seluas 0.35 hektar di Kompleks Pertanian Bukit Temiang di sini, pada November 1981, dan mendapati ia sesuai untuk tanaman anggur dengan cuaca serta iklim negeri.

Difahamkan, bagi peringkat pertama, penanaman membabitkan anggur jenis Isabelle dan Cardinal dari Amerika Syarikat, New White Malaga (Thailand) dan IAC (Taiwan), sebelum diikuti peringkat kedua membabitkan jenis Black Opal, Kyoho dan Green Lose Perlete.

Bagaimanapun, pada 18 Jun 2005, JPP kemudian bertukar kepada penanaman anggur jenis IAC yang diusahakan di Pusat Pertanian Bukit Bintang II yang kemudian mengeluarkan hasil pertama dua tan.

Menteri Besar Perlis, Datuk Dr Md Isa Sabu, berkata Projek Ladang Anggur Perlis adalah hasil penyelidikan di bawah kelolaan JPP sejak 1987 dan projek perintisnya dimulakan di kawasan Bukit Bintang di sini, pada April 2006 lalu.

Melalui projek itu, katanya anggur pertama di ladang terbabit diusahakan di atas tapak seluas 0.8 hektar dengan jumlah 800 pokok daripada jenis IAC, selain lima hektar tanah lagi membabitkan empat jenis anggur iaitu White Malaga, Black Queen, Black Opal dan Loose Perlitte.

“Bagaimanapun, pada Ogos 2006, JPP mencuba empat jenis tanaman anggur iaitu White Malaga, Black Queen, Black Opal dan Loose Perlitte yang terkenal dengan kualitinya yang lebih tinggi di atas tapak seluas enam hektar, di kawasan sama.

“Namun, selepas beberapa tahun percubaan dan hasil yang dikeluarkan juga menepati piawaian ditetapkan, maka kerajaan negeri melalui JPP mula mengembangkan projek penanaman anggur terbabit untuk memenuhi permintaan yang tinggi baik di dalam atau luar negara,” katanya.

Terdahulu, beliau mengiringi Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail melakukan lawatan kerja ke ladang itu. Baginda berkenan meluangkan masa selama sejam untuk meninjau ladang anggur itu sebelum mendengar taklimat disampaikan Pengarah Pertanian negeri, Abdul Razak Shafiai. Hadir sama, semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) negeri.

Berdasarkan perancangan awal, projek berkenaan diusahakan secara komersial sebagai memenuhi hasrat menjadikan Perlis pengeluar utama anggur di negara ini menjelang 2010.

Malah, kerajaan negeri turut mensasarkan mengeluarkan 10,400 tan anggur setahun berdasarkan tempoh perancangan lima tahun projek penanaman anggur di kawasan seluas 1,000 hektar melalui Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9),

Untuk itu, Md Isa berkata kerajaan negeri memperuntukkan kawasan seluas 9.5 hektar untuk projek ladang anggur di kawasan Bukit Bintang, Sungai Batu Pahat, dekat sini, bermula April tahun lalu.

Beliau berkata, projek berkenaan menunjukkan hasil yang membanggakan apabila ladang anggur terbabit mula mengeluarkan hasil pertamanya, tahun lalu dan jika tiada masalah ia dijangka berada di pasaran tempatan pertengahan tahun ini.

Anggur negara ini terutama di Perlis mempunyai rasa yang begitu manis dan mampu menyaingi anggur dihasilkan negara pengeluar lain seperti Perancis, Amerika Syarikat dan Itali. Antara jenis anggur yang popular termasuk New White Malaga, IAC, Black Opal, Green Loos Perlette, Black Queen dan Kyoho.

Bagaimanapun, New White Malaga dan IAC lebih mendapat perhatian atau digemari berbanding Black Opal, Green Loos Perlette, Black Queen dan Kyoho, kerana ia terdiri daripada spesies tanpa biji dan mempunyai beberapa kelebihan terutama rasanya yang masam manis.

New White Malaga mempunyai saiz buah yang lebih besar, manakala IAC pula lebih manis dan buahnya juga bujur dan besar.

Berdasarkan hasil kajian, tanaman anggur New White Malaga yang berusia empat atau lima tahun mampu mengeluarkan hasil sehingga 10 tan semusim atau kira-kira 20 tan setahun, manakala IAC pula sebanyak lapan tan semusim atau 16 tan metrik setahun.

Melalui perancangan, semua hasil anggur Perlis ini akan dijual dalam bentuk segar, selain diproses menjadi jus, jeruk dan jem. Selain buah, pokok anggur juga mempunyai nilai tambah kerana daunnya boleh diproses menjadi herba teh anggur, kulit buahnya pula dijadikan jus, manakala isinya pula dijadikan tepung dan bijinya untuk diproses menjadi minyak.

Malah, Pusat Pertanian Bukit Bintang II juga akan dijadikan Pusat Kecemerlangan Tanaman Anggur, manakala ladang anggur di pusat itu pula akan berfungsi sebagai pusat sumber rujukan bagi tujuan penyelidikan dan latihan berhubung tanaman anggur selain sebagai pusat pengeluaran benih.

Siapakah Syiah al-Rafidhah?

Siapakah Syiah al-Rafidhah

Perkataan Syi‘ah dari sudut bahasa.

Dari sudut bahasa, Syi‘ah (شيعة) disebut sebagai Syi‘ah seseorang (شيعة الرجل), bererti pengikutnya (أتباعه), pendokongnya (أنصاره) dan puaknya sahaja (الفرقة على حدة). Ia diungkap untuk seorang atau dua orang atau ramai, lelaki dan wanita.[1]
Penggunaan istilah ini di dalam al-Qur’an antara lain boleh dirujuk dalam ayat 15 surah al-Qasas:
Dan masuklah ia (Musa) ke bandar (Mesir) dalam masa penduduknya tidak menyedarinya, lalu didapatinya di situ dua orang lelaki sedang berkelahi, – seorang dari golongannya sendiri (Syi‘ah) dan yang seorang lagi dari pihak musuhnya. Maka orang yang dari golongannya (Syi‘ah) meminta tolong kepadanya melawan orang yang dari pihak musuhnya; Musa pun menumbuknya lalu menyebabkan orang itu mati. (pada saat itu) Musa berkata: “Ini adalah dari kerja Syaitan, sesungguhnya Syaitan itu musuh yang menyesatkan, yang nyata (angkaranya).” [al-Qasas 28:15]

Maksud Syi‘ah dari sudut istilah.

Gelaran Syi‘ah lazimnya ditujukan kepada setiap orang yang setia (wala’) kepada ‘Ali bin Abi Thalib dan Ahl al-Baitnya radhiallahu ‘anhum, sehingga ia menjadi nama gelaran yang khusus bagi mereka.[2]

Pembahagian Syi‘ah kepada 3 golongan:

Mazhab Syi‘ah boleh dibahagikan kepada beberapa kumpulan berdasarkan beberapa kategori seperti akidah, politik, fiqh dan sebagainya.[3] Yang penting dalam perbahasan buku ini ialah pendirian atau mazhab Syi‘ah apabila berinteraksi dengan kedudukan para sahabat dan persoalan khalifah (الإمامة), di mana ia dapat dibahagikan kepada 3 kumpulan:

Pertama: al-Tasyaiyu’ (التشيع).

Kumpulan ini adalah mereka yang bersimpati lalu menyebelahi pasukan ‘Ali bin Abi Thalib dalam peristiwa peperangan antara pasukan ‘Ali dan Mu‘awiyyah, radhiallahu ‘anhuma. Mereka juga mengambil berat, merasa sedih dan simpati ke atas nasib yang menimpa ‘Ali dan keluarganya: Hasan dan Husain radhiallahu ‘anhum sebagaimana yang tercatit di dalam sejarah Islam.

Kedua: al-Mufadhdhilah (المفضلة)

Kumpulan ini adalah mereka yang berpendapat bahawa ‘Ali bin Abi Thalib dan keluarganya adalah lebih mulia, lebih utama dan lebih tinggi kedudukannya berbanding lain-lain sahabat.
Walaubagaimanapun kedua-dua kumpulan yang pertama ini mengiktiraf jawatan khalifah Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman serta tidak mencela para sahabat yang lainnya. Pilihan mereka kepada apa yang mereka cenderungi tidak menyebabkan mereka berlaku tidak adil dan berlebih-lebihan (ghuluw) terhadap apa yang tidak mereka cenderungi.

Ketiga: al-Rafidhah (الرافضة)

al-Rafidhah bermaksud kumpulan yang menolak. Syi‘ah al-Rafidhah adalah mereka yang menolak kekhalifahan dan keutamaan Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman. Mereka juga menolak para imam daripada keturunan Ahl al-Bait Rasulullah kerana mereka (para imam daripada keturunan Ahl al-Bait) juga mengiktiraf kekhalifahan Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman serta mengutamakan mereka bertiga di atas ‘Ali bin Abi Thalib.[4]

Bertitik tolak daripada penolakan di atas maka terbentuk 4 asas berikut yang menjadi iktikad Syi‘ah al-Rafidhah:

1. Bahawa khalifah pertama yang hak selepas kewafatan Rasulullah ialah ‘Ali diikuti dengan Husain dan keturunannya.

2. Bahawa para sahabat sehinggalah ke umat Islam masa kini dari kalangan Ahl al-Sunnah telah membelakangi nas al-Qur’an dan al-Sunnah yang menetapkan jawatan khalifah mereka (‘Ali, Husain dan keturunannya).

3. Bahawa kerana sikap Ahl al-Sunnah yang membelakangi al-Qur’an dan al-Sunnah sepertimana poin 2 di atas, maka mereka, sejak dari Abu Bakar, ‘Umar, ‘Utsman dan para sahabat seluruhnya sehingga ke umat Islam hari ini berada di dalam kesesatan.

4. Bahawa mazhab yang benar di dalam Islam ialah Mazhab Syi‘ah manakala Mazhab Ahl al-Sunnah adalah mazhab yang salah.

Untuk teks penuh, sila download file ini: pengenalan-kepada-syiah-ar-rafidhah.doc

Kerja, amal jamin kehidupan terbaik

DARIPADA Imran katanya, saya bertanya: “Ya Rasulullah, apa dasar kerja orang yang bekerja? Baginda SAW menjawab: “Setiap orang dimudahkan mengerjakan apa yang dia telah diciptakan untuk itu.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Manusia adalah makhluk yang bekerja. Bahkan, manusia tidak akan mendapatkan suatu apa pun kecuali apa yang diusahakannya. Oleh itu tidaklah menghairankan jika kita juga sering mendengar bahawa masuk syurga atau neraka itu sangat ditentukan oleh amal atau perbuatan seseorang, pekerjaannya atau usahanya ketika di dunia.

Aspek kerja dalam Islam sesungguhnya terkandung dalam bentuk yang sangat luas mencakupi seluruh kehidupan itu sendiri, ia bersifat fizikal, intelektual dan juga spiritual. Apa yang ditekankan Islam ialah supaya kita bekerja atau berusaha untuk kebaikan dan dengan cara yang baik kerana orang yang beriman dan bekerja dengan baik, Allah akan memberinya kehidupan yang baik.

Sesungguhnya kerja dengan amal mempunyai terjemahan sama dalam Islam meskipun masyarakat mengenalinya dari sudut berbeza. Amal sering kali diberi makna kerja kebajikan.

Sedangkan, kerja dikategorikan pada tindakan manusia yang menghasilkan upah atau gaji dalam bentuk wang mahupun material yang bersifat ekonomi untuk menjaga kelangsungan hidup bagi diri sendiri atau orang di bawah tanggungjawabnya.

Biasakan berfikir sebelum bercakap

RASULULLAH SAW pernah mengumpamakan lidah itu sebagai kunci segala perkara, yakni perkara baik dan buruk. Sabda Baginda kepada Muaz bin Jabal yang bermaksud: “Mahukah engkau aku beritahukan mengenai kunci semua perkara ini? Aku (Muaz) menjawab: Mahu wahai Rasulullah SAW. Lalu Baginda SAW memegang lidahnya dengan berkata: Awas, jagalah ini (lidah) baik-baik. Aku (Muaz) pun berkata pula: Wahai Rasulullah SAW, apakah kami akan dituntut atas tutur kata kami? Lalu Baginda SAW menjawab: Moga-moga Allah peliharakan engkau. Tiada lain yang akan menjerumuskan manusia menerusi muka atau batang hidungnya ke dalam neraka, melainkan tutur katanya sendiri.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Demikianlah betapa beratnya bencana lidah itu sehingga boleh menyebabkan tuannya terjerumus ke dalam api neraka. Sehubungan itu, kita seharusnya menjaga dan mengawasi lidah daripada mengucapkan perkataan keji dan kotor. Di sampingnya, selalu ada bahaya menunggu.

Dalam menghuraikan peranan lidah, Imam al-Ghazali berkata: “Ketahuilah bahawa bahaya lidah itu amat besar dan manusia tidak selamat daripada bahaya ini, melainkan mengucapkan tutur kata baik saja.”

Oleh itu, kita seharusnya memanfaatkan nikmat lidah yang dikurniakan Allah untuk mengucapkan perkataan atau tutur kata yang baik saja. Segala perkataan dan tutur kata yang keji dan kotor wajib ditinggalkan.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia berkata yang baik atau berdiam diri saja.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: “Jagalah lidahmu kecuali bila berkata baik. Dengan berlaku demikian, engkau mengalahkan syaitan.”

Umat Islam tidak seharusnya menggunakan lidah untuk mencela, mencaci, memaki hamun orang lain dan berbohong.

Amat mendukacitakan apabila ada di kalangan umat Islam yang sanggup melemparkan kata kesat dan keji kepada saudaranya. Mereka seolah-olah tidak memikirkan balasan yang bakal diterima nanti.

Sebenarnya, orang yang menggunakan lidah ke arah keburukan adalah orang yang tidak pandai menilai nikmat kurniaan Allah. Orang sebegini dianggap mengkufuri nikmat kurniaan Allah.

Kesimpulannya, sebagai orang beriman kita hendaklah selalu mengawasi perkataan dan tutur kata. Biasakan diri berfikir dulu sebelum mengucapkan perkataan.

Jika ternyata perkataan yang hendak diucapkan itu tiada bahayanya, ucapkanlah. Jika sebaliknya, hindarilah daripada berkata-kata.

Jangan ‘bertuhankan’ syaitan

Syeikh Sya’rawi berkata: Selepas Allah menceritakan berkenaan jenis-jenis manusia yang menerima dakwah sama ada kufur, nifak dan benar-benar beriman, lantas di sini Allah berfirman berkenaan orang-orang yang beriman: Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.

Maka kalau kamu tergelincir (dan jatuh ke dalam kesalahan disebabkan tipu daya Syaitan itu), sesudah datang keterangan-keterangan yang jelas kepada kamu, maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Al-Baqarah: 208 & 209)

Firman Allah s.w.t: Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya.

Terdapat tiga pandangan ulama berkenaan sebab turun ayat ini:

* Kepada siapa yang beragama Islam di kalangan Ahli Kitab. Di mana mereka selepas Islam amat berhati-hati dengan hari Sabtu dan daging unta dan apa-apa yang dijauhi oleh Ahli Kitab. Inilah yang diriwayatkan oleh Abu Solih daripada Ibn Abbas.

* Diturunkan kepada Ahli Kitab yang tidak beriman dengan Nabi Muhammad s.a.w lantas diperintahkan supaya mereka memeluk Islam seperti riwayat Ibn Abbas. Ini adalah pendapat al-Dahhak.

* Diturunkan kepada orang Islam supaya masuk dalam syariat Islam semuanya seperti kata Mujahid dan Qatadah.

Seterusnya maksud silmi di sini dengan dua pendapat. Pertama, ia bermaksud Islam seperti kata Ibn Abbas, Ikrimah, Qatadah, al-Dahhak, al-Suddi, Ibn Qutaibah dan al-Zajjaj.

Kedua, adalah ketaatan seperti riwayat Ibn Abbas juga, pendapat Abi al-‘Aliah dan al-Rabi’.

Seterusnya perkataan kaffah iaitu keselamatannya membawa maksud dengan tiga perkara:

* Perintah kepada orang yang beriman dengan lidah-lidah mereka supaya beriman juga dengan hati-hati mereka.

* Perintah kepada orang yang beriman supaya mereka beriman kepada seluruh syariatnya.

* Perintah supaya thabit atas agama Islam.

Sayid Qutub berkata: Itulah seruan kepada orang-orang mukmin dengan nama keimanan iaitu seruan dengan sifat yang disukai mereka dan membezakan mereka, sifat yang menghubungkan mereka dengan Allah yang menyeru mereka agar seluruh mereka ke dalam kedamaian.

Maksud pertama dari seruan ini ialah supaya orang-orang mukmin menyerah jiwa raga mereka kepada Allah dan menyerah segala urusan mereka sama ada kecil atau besar kepada Allah.

Mereka hendaklah memberi ketaatan dan kepatuhan kepada Allah dengan penuh keyakinan dan kerelaan. Mereka hendaklah menyerah diri kepada kudrat Allah yang memimpin langkah-langkah mereka dengan keyakinan bahawa Allah mahukan mereka mendapat kebaikan, pengajaran dan petunjuk. Seterusnya membawa kepada kesudahan yang baik dunia dan akhirat.

Matlamat dakwah yang seperti ini kepada orang-orang yang beriman itu membayangkan bahawa di sana ada orang-orang yang masih teragak-agak untuk taat dan patuh yang mutlak kepada Allah sama ada di dalam sulit atau di dalam terang.

Wujudnya orang-orang yang seumpama ini di dalam masyarakat Islam di samping golongan orang-orang yang penuh yakin dan reda itu memanglah satu perkara biasa. Dakwah ini adalah ditunjukkan setiap masa kepada orang-orang yang beriman.

Ia supaya mereka sentiasa ikhlas kepada Allah dan aliran fikiran serta perasaan mereka selaras dengan kehendak Allah terhadap mereka. Juga selaras dengan matlamat yang dipimpin oleh Nabi dan agama mereka tanpa digugat oleh sebarang keraguan.

Apabila seseorang Islam menyambut dakwah itu dengan sambutan sedemikian, bererti dia memasuki sebuah alam yang seluruhnya diselubungi kedamaian dan keamanan. Sebuah alam yang seluruhnya dipenuhi kepercayaan dan keyakinan, kerelaan dan kemantapan di mana tidak terdapat lagi sebarang kerunsingan dan kegelisahan.

Kedamaian dengan seluruh alam buana dan seluruh yang maujud, kedamaian dan keimanan yang menerangi liku-liku hati, kedamaian dan keamanan yang memayungi kehidupan dan masyarakat, kedamaian dan keamanan di bumi dan di langit.

Firman Allah s.w.t: Dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.

Berkenaan dengan syaitan, wajib memerangi dan mengalahkannya disebabkan dua perkara:

Syaitan adalah musuh yang nyata menyesatkan kita. Tidak boleh mengharapkan kebaikan dan perdamaian, sebab mereka akan puas jika mampu membinasakan kita. Oleh sebab itu, tidak ada alasan untuk kita merasa tenteram dengan syaitan dan kita harus mengingatinya.

Firman Allah s.w.t dalam Surah Yasin, ayat 60 yang bermaksud: Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!

Ini merupakan peringatan yang sangat penting kepada kita.

Sudah menjadi tabiat syaitan untuk selalu memusuhi anak cucu Adam. Mereka akan selalu memerangi kita siang dan malam. Sedangkan kita sering lalai akan hal ini.

Perlu diperhatikan, bahawa kita beribadat kepada Allah dan mengajak orang lain kepada keredaan Allah dengan lisan dan perbuatan. Semua itu bertentangan dengan perbuatan, cita-cita, kemahuan dan usaha syaitan.

Hal itu bererti kita telah bersiap untuk memerangi, melawan dan berusaha mengalahkannya. Pada pihak yang lain, syaitan telah bersiap sedia dan berusaha memerangi, menipu dan membinasakan kita. Bahkan, syaitan inginkan kehancuran kita kerana syaitan merasa tidak aman dengan kita.

Sesungguhnya orang kafir adalah teman-teman syaitan. Orang kafir tidak pernah memerangi dan membencinya. Padahal syaitan akan membinasakan mereka. Walau sebenarnya, syaitan akan tetap memusuhi orang-orang yang mengikutinya. Kepada orang-orang yang memusuhinya, syaitan menganggapnya sebagai masalah khusus dan penting.

Syaitan juga banyak pembantu untuk menghancurkan kita, yang paling ganas ialah hawa nafsu.

Selain itu, masih banyak lagi celah baginya untuk masuk ke dalam diri seseorang dan manusia tidak akan menyedarinya.

Yahya bin Mu’az al-Razi berkata, syaitan itu suka menganggu, ia mempunyai banyak waktu untuk menjalankan rencananya. Sedangkan manusia selalu sibuk dan syaitan mengetahuinya. Tetapi, kita tidak melihatnya, kita lupa terhadapnya namun syaitan selalu mengingatkan kita. Syaitan akan cuba mengalahkan kita dan syaitan mempunyai ramai pembantu.

Oleh sebab itu kita harus bertekad untuk mengalahkan dan memeranginya. Jika tidak, kita tidak akan aman dari kebinasaan dan kehancuran. Dengan cara apa kita harus mengalahkannya? Di sini dinyatakan dua cara untuk mengalahkannya:

Menurut pendapat sebahagian ulama, cara menghalau syaitan dan berlindung darinya adalah dengan memohon perlindungan daripada Allah s.w.t. Ini kerana syaitan ibarat anjing yang diberi kekuatan untuk menggoda kita.

Jika kita terus menerus menghalau dan memeranginya, nescaya kita akan kehabisan waktu, sehingga ia dapat menggigit dan melukai kita. Dengan demikian, sebaik-baik jalan adalah langsung bermohon kepada Allah yang menguasai anjing itu agar menjauhi kita.

Menurut ahli yang menyingkirkan syaitan, kita harus berjuang sekuat tenaga menolak, mengusir, melawan dan menentang syaitan. Pertamanya, mohon perlindungan dari segala tipu daya syaitan. Sebagaimana yang diperintahkan dalam al-Quran. Sesungguhnya mudah bagi Allah menyelamatkan manusia dari kejahatannya.

Kemudian, jika merasa masih boleh dikalahkan oleh syaitan, sesungguhnya itu adalah ujian Allah agar tampak kebenaran perjuangan dan kekuatan kita dalam menjalankan perintah Allah, dan untuk membuktikan kesabaran kita. Sebagaimana Allah memberikan kekuatan kepada kaum kafir untuk mengalahkan kita, sedangkan Allah sangat berkuasa menumpaskan kejahatan orang-orang kafir itu.

Iktibar dan pengajaran ayat:

* Mengikut ajaran Islam dengan menyeluruh dalam semua aspek kehidupan dengan berpaksikan kepada ilmu pengetahuan.

* Jangan mengikut tipu daya dan ajakan syaitan laknatullah.

* Mengithbatkan sifat Allah yang Maha Perkasa dan Maha Bijaksana

Tanda Tanda Ajal Hampir Tiba

Adapun tanda-tanda kematian mengikut ulamak adalah benar dan ujud cuma
amalan dan ketakwaan kita sahaja yang akan dapat membezakan kepekaan kita
kepada tanda-tanda ini. Rasulallah SAW diriwayatkan masih mampu memperlihat
dan menceritakan kepada keluarga dan sahabat secara lansung akan kesukaran
menghadapi sakaratulmaut dari awal hinggalah akhirnya hayat Baginda. Imam
Ghazali rahimahullah diriwayatkan memperolehi tanda-tanda ini sehinggakan

beliau mampu menyediakan dirinya untuk menghadapi sakaratulmaut secara
sendirian. Beliau menyediakan dirinya dengan segala persiapan termasuk
mandinya, wuduknya serta kafannya sekali cuma ketika sampai bahagian tubuh
dan kepala sahaja beliau telah memanggil abangnya iaitu Imam Ahmad Ibnu
Hambal untuk menyambung tugas tersebut. Beliau wafat ketika Imam Ahmad
bersedia untuk mengkafankan bahagian mukanya. Adapun riwayat -riwayat ini
memperlihatkan kepada kita sesungguhnya Allah SWT tidak pernah berlaku
zalim kepada hambanya. Tanda-tanda yang diberikan adalah untuk menjadikan
kita umat Islam supaya dapat bertaubat dan bersedia dalam perjalanan
menghadap Allah SWT. Walaubagaimanapun semua tanda-tanda ini akan berlaku
kepada orang-orang Islam sahaja manakala orang-orang kafir iaitu orang yang
menyekutukan Allah nyawa mereka ini akan terus di rentap tanpa sebarang
peringatan sesuai dengan kekufuran mereka kepada Allah SWT

Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya dan hanya akan
disedari oleh mereka-mereka yang dikehendakinya. Walaubagaimanapun semua
orang Islam akan mendapat tanda ini cuma samada mereka sedar atau tidak
sahaja. Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar. Seluruh tubuh
iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran
atau seakan-akan mengigil.Contohnya seperti daging lembu yang baru
disembelih dimana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati
daging tersebut seakan-akan bergetar. Tanda ini rasanya lazat dan bagi
mereka sedar dan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka
getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran
tanda ini. Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut
dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian , tanda ini akan lenyap
begitu sahaja tanpa sebarang munafaat. Bagi yang sedar dengan kehadiran
tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memunafaatkan masa yang ada
untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau
ditinggalkan sesudah mati

Tanda 40 hari sebelum hari mati

Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar.
Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut.
Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang
letaknya di atas Arash Allah SWT. Maka malaikatmaut akan mengambil daun
tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita antaranya ialah ia
akan mula mengikuti kita sepanjang masa. Akan terjadi malaikatmaut ini
akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang
terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika. Adapun
malaikatmaut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut
nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.

Tanda 7 hari

Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan
musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba
ianya berselera untuk makan.

Tanda 3 hari

Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu
diantara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah
kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini
akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti. Ketika ini
juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit
hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita
melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu dimana bahagian
hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang
terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

Tanda 1 hari

Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan
di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita
tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.

Tanda akhir

Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di
bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke
bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah
dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikatmaut untuk menjemput
kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang
akan mematikan pula.

Sesungguhnya marilah kita bertaqwa dan berdoa kepada Allah SWT semuga kita
adalah di antara orang-orang yang yang dipilih oleh Allah yang akan diberi
kesedaran untuk peka terhadap tanda-tanda mati ini semoga kita dapat
membuat persiapan terakhir dalam usaha memohon keampunan samada dari Allah
SWT mahupun dari manusia sendiri dari segala dosa dan urusan hutang piutang
kita.Walaubagaimanapun sesuai dengan sifat Allah SWT yang maha berkuasa
lagi pemurah lagi maha mengasihani maka diriwatkan bahawa tarikh mati
seseorang manusia itu masih boleh diubah dengan amalan doa iaitu samada doa
dari kita sendiri ataupun doa dari orang lain. Namun ianya adalah ketentuan
Allah SWT semata-mata.

Oleh itu marilah kita bersama-sama berusaha dan berdoa semuga kita diberi
hidayah dan petunjuk oleh Allah SWT serta kelapangan masa dan kesihatan
tubuh badan dan juga fikiran dalam usaha kita untuk mencari keredhaan Allah
SWT samada di dunia mahupun akhirat.
Apa yang baik dan benar itu datangnya dari Allah SWT dan apa yang salah dan
silap itu adalah dari kelemahan manusia itu sendiri.

WALLAHUA’LAM

Cara Syaitan Bogelkan Wanita

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Syaitan dalam menggoda manusia memiliki berbagai cara strategi, dan yang sering dipakai adalah dengan memanfaatkan hawa nafsu, yang memang memiliki kecenderungan mengajak kepada keburukan (ammaratun bis su’). Syaitan seakan mengetahui kecenderungan nafsu kita, dia terus berusaha agar manusia keluar dari garis yang telah ditentukan Allah, termasuk melepaskan hijab atau pakaian muslimah.

Berikut adalah cara bertahap:

I. Menghilangkan Definisi Hijab
Dalam tahap ini syaitan membisikkan kepada para wanita, bahawa pakaian apapun termasuk hijab (penutup) itu tidak ada kaitannya dengan agama, ia hanya sekadar pakaian atau gaya hiasan bagi para wanita. Jadi tidak ada pakaian syar’i, pakaian, dengan apa pun bentuk dan namanya tetap pakaian.

Sehingga akibatnya, ketika zaman telah berubah, atau kebudayaan manusia telah berganti, maka tidak ada masalah pakaian ikut ganti juga. Demikian pula ketika seseorang berpindah dari suatu negeri ke negeri yang lain, maka harus menyesuaikan diri dengan pakaian penduduknya, apapun yang mereka pakai. Berbeza halnya jika seorang wanita berkeyakinan, bahawa hijab adalah pakaian syar’i (identiti keislaman), dan memakainya adalah ibadah bukan sekadar gaya ( fesyen ). Biarpun hidup bila saja dan di mana saja, maka hijab syar’i tetap dipertahankan.

Apabila seorang wanita masih bertahan dengan prinsip hijabnya, maka syaitan beralih dengan strategi yang lebih halus. Caranya?

Pertama, Membuka Bahagian Tangan
Telapak tangan mungkin sudah kebiasaannya terbuka, maka syaitan membisikkan kepada para wanita agar ada sedikit peningkatan model yakni membuka bahagian hasta (siku hingga telapak tangan). “Ah tidak apa-apa, kan masih pakai jilbab dan pakai baju panjang? Begitu bisikan syaitan. Dan benar si wanita akhirnya memakai pakaian model baru yang menampakkan tangannya, dan ternyata para lelaki melihatnya juga seperti biasa saja. Maka syaitan berbisik,” Tu.. tidak apa-apa kan?

Kedua, Membuka Leher dan Dada
Setelah menampakkan tangan menjadi kebiasaan, maka datanglah syaitan untuk membisikkan perkara baru lagi. “Kini buka tangan sudah menjadi lumrah, maka perlu ada peningkatan model pakaian yang lebih maju lagi, yakni terbuka bahagian atas dada kamu.” Tapi jangan sebut sebagai pakaian terbuka, hanya sekadar sedikit untuk mendapatkan hawa, agar tidak panas. Cubalah! Orang pasti tidak akan peduli, sebab hanya sebahagian kecil sahaja yang terbuka.

Maka dipakailah pakaian fesyen terbaru yang terbuka bahagian leher dan dadanya dari yang fesyen setengah lingkaran hingga yang fesyen bentuk huruf “V” yang tentu menjadikan lebih terlihat lagi bahagian sensitif lagi dari dadanya.

Ketiga, Berpakaian Tapi Telanjang
Syaitan berbisik lagi, “Pakaian mu hanya gitu-gitu saja, yak “cool” cari fesyen atau bahan lain yang lebih bagus! Tapi apa ya? Si wanita berfikir. “Banyak fesyen dan kain yang agak tipis, lalu bentuknya dibuat yang agak ketat biar lebih sedap/cantik dipandang,” syaitan memberi idea baru.

Maka tergodalah si wanita, di carilah fesyen pakaian yang ketat dan kain yang tipis bahkan transparent. “Mungkin tak ada masalah, kan potongan pakaiannya masih panjang, hanya bahan dan fesyennya saja yang agak berbeza, biar nampak lebih feminin,” begitu dia menokok-nambah. Walhasil pakaian tersebut akhirnya membudaya di kalangan wanita muslimah, makin hari makin bertambah ketat dan transparent, maka jadilah mereka wanita yang disebut oleh Nabi sebagai wanita kasiyat ‘ariyat (berpakaian tetapi telanjang).

Keempat, Agak di Buka Sedikit
Setelah para wanita muslimah mengenakan pakaian yang ketat, maka syaitan datang lagi. Dan sebagaimana biasanya dia menawarkan idea baru yang sepertinya “cool” dan “vogue”, yakni dibisiki wanita itu, “Pakaian seperti ini membuat susah berjalan atau duduk, soalnya sempit, apa tak sebaiknya di belah hingga lutut atau mendekati peha?” Dengan itu kamu akan lebih selesa, lebih kelihatan lincah dan energik.” Lalu dicubalah idea baru itu, dan memang benar dengan dibelah mulai dari bahagian bawah hingga lutut atau mendekati paha ternyata membuat lebih selesa dan leluasa, terutama ketika akan duduk atau naik kenderaan. “Yah…. tersingkap sedikit tak apa-apa lah, yang penting enjoy,” katanya.

Inilah tahap awal syaitan merosak kaum wanita, hingga tahap ini pakaian masih tetap utuh dan panjang, hanya fesyen, corak, potongan dan bahan saja yang dibuat berbeza dengan hijab syar’i yang sebenarnya. Maka kini mulailah syaitan pada tahap berikutnya.

II. Terbuka Sedikit Demi Sedikit
Kini syaitan melangkah lagi, dengan tipu daya lain yang lebih “power”, tujuannya agar para wanita menampakkan bahagian aurat tubuhnya.

Pertama, Membuka Telapak Kaki dan Tumit
Syaitan Berbisik kepada para wanita, “Baju panjang benar-benar tidak selesa, kalau hanya dengan membelah sedikit bahagiannya masih kurang leluasa, lebih elok kalau dipotong sahaja hingga atas mata kaki.” Ini baru agak longgar. “Oh…… ada yang yang terlupa, kalau kamu pakai baju sedemikian, maka jilbab yang besar tidak sepadan lagi, sekarang kamu cari jilbab yang kecil agar lebih serasi dan sepadan, ala……. orang tetap menamakannya dengan jilbab.”

Maka para wanita yang terpengaruh dengan bisikan ini terburu-buru mencari fesyen pakaian yang dimaksudkan. Tak ketinggalan kasut tumit tinggi, yang kalau untuk berjalan, dapat menarik perhatian orang.

Kedua, Membuka Seperempat Hingga Separuh Betis
Terbuka telapak kaki telah biasa ia lakukan, dan ternyata orang yang melihat juga tidak begitu ambil peduli. Maka syaitan kembali berbisik, “Ternyata kebanyakan manusia menyukai apa yang kamu lakukan, buktinya mereka tidak ada reaksi apa-apa, kecuali hanya beberapa orang. Kalau langkah kakimu masih kurang leluasa, maka cubalah kamu cari fesyen lain yang lebih menarik, bukankah kini banyak skirt separuh betis dijual di pasaran? Tidak usah terlalu terdedah, hanya terlihat kira-kira sepuluh centimetre saja.” Nanti kalau sudah biasa, baru kamu cari fesyen baru yang terbuka hingga separuh betis.”

Benar-benar bisikan syaitan dan hawa nafsu telah menjadi penasihat peribadinya, sehingga apa yang saja yang dibisikkan syaitan dalam jiwanya dia turutkan. Maka terbiasalah dia memakai pakaian yang terlihat separuh betisnya kemana saja dia pergi.

Ketiga, Terbuka Seluruh Betis
Kini di mata si wanita, zaman benar-benar telah berubah, syaitan telah berhasil membalikkan pandangan jernihnya. Terkadang si wanita berfikir, apakah ini tidak menyelisihi para wanita di masa Nabi dahulu. Namun bisikan syaitan dan hawa nafsu menyahut, “Ah jelas tidak, kan sekarang zaman sudah berubah, kalau zaman dulu para lelaki mengangkat pakaiannya hingga setengah betis, maka wanitanya harus menyelisihi dengan menjulurkannya hingga menutup telapak kaki, tapi kini lain, sekarang banyak lelaki yang menurunkan pakaiannya hingga bawah mata kaki, maka wanitanya harus menyelisihi mereka iaitu dengan mengangkatnya hingga setengah betis atau kalau perlu lebih ke atas lagi, sehingga nampak seluruh betisnya.”

Tetapi? apakah itu tidak menjadi fitnah bagi kaum lelaki,” bersungut. “Fitnah? Ah…… itu kan zaman dulu, di masa itu kaum lelaki tidak suka kalau wanita menampakkan auratnya, sehingga wanita-wanita mereka lebih banyak di rumah dan pakaian mereka sangat tertutup. Tapi sekarang sudah berbeza, kini kaum lelaki kalau melihat bahagian tubuh wanita yang terbuka, malah senang dan mengatakan ooh atau wow, bukankah ini bererti sudah tidak ada lagi fitnah, kerana sama- sama suka? Lihat saja fesyen pakaian di sana-sini, dari yang di pasar malam hingga yang berjenama di pusat membeli belah, semuanya memperagakan fesyen yang dirancang khusus untuk wanita maju di zaman ini. Kalau kamu tidak mengikutinya, akan menjadi wanita yang ketinggalan zaman.”

Demikianlah, maka pakaian yang menampakkan seluruh betis akhirnya menjadi kebiasaan, apalagi ramai yang memakainya dan sedikit sekali orang yang mempersoalkannya. Kini tibalah saatnya syaitan melancarkan tahap terakhir dari tipu dayannya untuk melucuti hijab wanita.

III. Serba Mini
Setelah pakaian yang menampakkan betis menjadi pakaian sehari- harian dan dirasa biasa-biasa saja, maka datanglah bisikan syaitan yang lain. “Pakaian memerlukan variasi, jangan yang itu-itu saja, sekarang ini fesyen skirt mini, dan agar sepadan, rambut kepala harus terbuka, sehingga benar-benar kelihatan indah.”

Maka akhirnya skirt mini yang menampakkan bahagian bawah paha dia pakai, bajunya pun bervariasi, ada yang terbuka hingga lengan tangan, terbuka bahagian dada sekaligus bahagian punggungnya dan berbagai fesyen lain yang serba pendek dan mini. Koleksi pakaiannya sangat beraneka ragam, ada pakaian untuk berpesta, bersosial, pakaian kerja, pakaian resmi, pakaian malam, petang, musim panas, musim sejuk dan lain-lain, tak ketinggalan seluar pendek separuh paha pun dia miliki, fesyen dan warna rambut juga ikut bervariasi, semuanya telah dicuba. Begitulah sesuatu yang sepertinya mustahil untuk dilakukan, ternyata kalau sudah dihiasi oleh syaitan, maka segalanya menjadi serba mungkin dan diterima oleh manusia.

Hingga suatu ketika, muncul idea untuk mandi di kolam renang terbuka atau mandi di pantai, di mana semua wanitanya sama, hanya dua bahagian paling ketara saja yang tersisa untuk ditutupi, kemaluan dan buah dada. Mereka semua mengenakan pakaian yang sering disebut dengan “bikini”. Kerana semuanya begitu, maka harus ikut begitu, dan na’udzubillah bisikan syaitan berhasil, tujuannya tercapai, “Menelanjangi Kaum Wanita.”

Selanjutnya terserah kamu wahai wanita, kalian semua sama, telanjang di hadapan lelaki lain, di tempat umum. Aku berlepas diri kalau nanti kelak kalian sama-sama di neraka. Aku hanya menunjukkan jalan, engkau sendiri yang melakukan itu semua, maka tanggung sendiri semua dosamu” Syaitan tak ingin ambil risiko.

Penutup
Demikian halus, cara yang digunakan syaitan, sehingga manusia terjerumus dalam dosa tanpa terasa. Maka hendaklah kita semua, terutama orang tua jika melihat gejala menyimpang pada anak-anak gadis dan para wanita kita sekecil apapun, segera secepatnya diambil tindakan. Jangan biarkan berlarut-larutan, kerana kalau dibiarkan dan telah menjadi kebiasaan, maka sakan menjadi sukar bagi kita untuk mengatasinya. Membiarkan mereka membuka aurat bererti merelakan mereka mendapatkan laknat Allah, kasihanilah mereka, selamatkan para wanita muslimah, jangan jerumuskan mereka ke dalam kebinasaan yang menyengsarakan, baik di dunia mahupun di akhirat.

Wallahua’lam.

Sumber idea dan buah fikiran: Kitab “At ta’ari asy syaithani”, Adnan ath-Thursyah

Menyampaikan Kebenaran adalah kewajipan setiap Muslim. Kesempatan kita saat ini untuk berdakwah adalah dengan menyampaikan artikel ini kepada saudara-saudara kita yang belum mengetahuinya.

Wassalamu’alaikum warahmatullaahi wabarakatuh