Peluang sertai kursus prosesan makanan

Antara kursus keusahawan makanan yang pernah dianjurkan Jabatan Pertanian.


KURSUS Keusahawanan Kemahiran Pemprosesan Makanan yang mula dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian bermula pada 2002 bertujuan melahirkan usahawan muda yang menceburkan diri secara serius dalam perniagaan asas tani seperti makanan sejuk beku, bakeri, produk-produk berasaskan buah-buahan dan makanan ringan.

Kursus berkenaan akan dijalankan secara hands-on untuk memastikan peserta benar-benar mahir dari segi teknikal pengeluaran produk yang bermutu, komersial dan menepati standard Amalan Pengilangan yang Baik (APB).

Di samping itu, peserta akan didedahkan dengan kaedah menjalankan perniagaan yang professional terutama dalam aspek keusahawanan, pengurusan kewangan, pengurusan pemasaran dan penyediaan rancangan perniagaan.

Peserta juga akan menjalani program sampingan di premis usahawan yang telah maju di bawah bimbingan Jabatan Pertanian.

Pengambilan peserta dilakukan setahun sekali dengan tempoh kursus selama enam bulan secara sepenuh masa dan peserta yang berjaya akan disediakan tempat tinggal sepanjang tempoh kursus.

Syarat-syarat permohonan

  • Warganegara Malaysia
  • Berumur antara 20 hingga 40 tahun
  • Berkelulusan sekurang-kurangnya SPM/SPMV
  • Tinggal di asrama sepanjang tempoh kursus
  • Sihat tubuh badan
  • Berminat untuk meneruskan projek selepas tamat kursus

Mereka yang berminat boleh mendapatkan borang di laman web Jabatan Pertanian www.doa.gov.my atau Jabatan Pertanian Negeri atau Pejabat Pertanian Daerah yang berhampiran atau datang ke Bahagian Pengembangan Pertanian dan Industri Asas Tani, Jabatan Pertanian, Wisma Tani, Aras 8, No 30, Persiaran Perdana, Presint 4, Putrajaya atau hubungi 03-88703553/3544/3539.

Kursus dijalankan di tujuh buah Pusat Bimbingan Usahawan (PBU) iaitu :

  • Serdang (Selangor) – sejuk beku
  • Ayer Hitam (Johor)- bakeri
  • Manong (Perak) – bakeri dan sejuk beku (asas kelapa).
  • Teluk Chengai (Kedah)- bakeri dan sejuk beku
  • Ajil (Terengganu)- hasilan buah-buahan.
  • Pagoh (Johor) – hasilan buah-buahan
  • Melor (Kelantan) – makanan ringan.

Kursus cendawan tiram dapat sambutan

MUAR 16 Julai – Program kursus tanaman cendawan tiram kelabu yang diusahakan Wira Jaya Marketing sejak tahun lalu terus menerima sambutan menggalakkan dengan penglibatan seramai 200 peserta dari seluruh negara.

Pengurus Wira Jaya Marketing, Rashid Elias berkata, pertanian cendawan tiram sememangnya mempunyai prospek yang besar dalam pasaran dan kerana itu pihaknya yakin program kursus anjurannya akan terus mendapat permintaan.

Katanya, program yang diadakan di Ladang Ternakan Kambing Boer dan Tanaman Cendawan Tiram Kelabu Wira Jaya di Kampung Tengah, Sungai Terap di sini itu memberi pendedahan terbaik khususnya kepada anak desa untuk mendapat pendapatan tambahan.

“Kami mengadakan kursus ini dari semasa ke semasa dari Julai tahun lalu dan saya pernah mendapat peserta yang datang sejauh dari Kelantan semata-mata untuk mempelajari teknik tanaman cendawan ini.

“Bagi saya, program pertanian cendawan ini amat bersesuaian untuk warga desa kerana daripada tanah terbiar tidak diusahakan, lebih baik ia dijayakan untuk mendapat pendapatan sampingan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis lawatan Pegawai Daerah Muar, Mislan Karmani di ladang miliknya di Kampung Tengah, Sungai Terap di sini semalam.

Lawatan Mislan yang turut diiringi pegawai-pegawai jabatan kerajaan di daerah Muar itu meninjau perkembangan terkini ladang berkenaan yang memberi sumbangan besar kepada kegiatan pertanian dan penternakan di daerah ini.

Menurut Rashid, kegiatan tanaman cendawan tiram kelabu tidak memerlukan modal yang terlalu besar dan hasilnya boleh dirancang oleh pengusaha.

“Bagi pembinaan bangsal untuk tanaman cendawan mungkin akan mencecah sehingga RM15,000 namun ada juga peserta saya yang telah menggunakan hasil kayu semula jadi untuk membinanya.

“Para pengusaha tidak perlu bimbang mengenai masalah pasaran kerana permintaan untuk cendawan tiram kelabu ini sememangnya tidak mencukupi dan berterusan,” katanya.

Jelas beliau, bagi mana-mana pihak yang berminat untuk menyertai kursus tanaman cendawan tiram anjuran Wira Jaya Marketing, bolehlah menghubungi pihaknya di talian 09-9556300 ata menerusi email di wjm_tt@yahoo.com.

Bengkel Usahawan Bersama Mega akan diteruskan lagi

dn_17.1


Abdul Shukor Abdul Jabbar (tengah) bergambar bersama peserta seluruh negara yang menyertai Bengkel Usahawan Bersama Mega di Country Heights, Kajang baru-baru ini.KAJANG 22 Jun – Bengkel Usahawan Bersama Mega anjuran Utusan Malaysia dan Pusat Latihan AgroBank (Abadi) serta perunding pertanian tempatan, May Consult diteruskan lagi.

Siri terbaru bengkel khusus untuk pembaca Utusan Malaysia itu diadakan pada Jumaat hingga Ahad lalu di Country Height di sini.

Sebanyak 30 peserta dari seluruh negara tidak melepaskan peluang untuk mengetahui kaedah terbaik penggunaan sistem pengairan baja dan air secara serentak khususnya untuk pokok cili.

Antara topik yang dibincangkan ialah Pengenalan Teknologi Fertigasi, Sistem Pengairan Fertigasi, Penanaman Secara Fertigasi, Kawalan Musuh Tanaman dan Latihan Perniagaan.

Menurut Pengurus Abadi, Abdul Shukor Abdul Jabbar, pihaknya akan meneruskan bengkel itu berikutan disebabkan permintaan yang amat menggalakkan.

“Sungguhpun peserta dihadkan kepada jumlah yang kecil, kita akan memastikan orang ramai tidak terlepas peluang mengikutinya.

“Harapan beliau ialah semua peserta yang telah mengikuti bengkel ini dapat memulakan projek fertigasi ini,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Bagi peserta yang sudah memulakan projek, May Consult akan memberi perkhidmatan nasihat dan pemantauan dari semasa ke semasa.

Selepas ini, pihaknya akan menganjurkan Bengkel Usahawan Kambing dari 26 hingga 29 Jun ini di Ladang Syamille Farm Sdn. Bhd. di Kuala Kangsar, Perak.

Bayaran sebanyak RM150 dikenakan kepada setiap peserta meliputi penginapan, makan minum, pengangkutan di tapak amali dan sijil penyertaan.

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh dibuat dengan menghubungi urus setia bengkel di talian 012-3682263 (Sarah)

Usahawan dijemput sertai bengkel ikan air tawar

KUALA LUMPUR 4 Jun – Bengkel Usahawan Ikan Air Tawar anjuran Mega Utusan Malaysia akan diadakan lagi setelah program sebelum ini mendapat sambutan menggalakkan.

Bengkel kali ini akan diadakan di Kompleks Teknologi Pertanian, Ladang Buah-Buahan Tropika Melaka (MTFF), Sungai Udang dari 13 hingga 15 Jun ini.

Pengurus Pusat Latihan Tani Agro Bank, Abdul Shukor Abdul Jabbar berkata, program itu diadakan lagi atas permintaan para usahawan petani dan penternak di Melaka yang menyifatkan bengkel itu memberi manfaat kepada mereka.

Katanya, atas permintaan itu, bengkel tersebut diadakan lagi selama tiga hari bermula Sabtu minggu depan bagi membantu para usahawan yang terdiri daripada petani dan penternak mengetahui lebih mendalam penggunaan teknik bertani dan menternak secara lebih moden.

“Sambutan terhadap bengkel pertama di MTFF yang lalu cukup menggalakkan malah ramai lagi yang tidak dapat turut serta.

“Atas permintaan itu kami mengambil keputusan menganjurkan lagi bengkel ini di tempat yang sama dan terbuka kepada sesiapa sahaja untuk mengambil bahagian,” katanya.

Bengkel yang lalu disertai seramai 30 orang. Ia dianjurkan bersama Agro Bank dan May Consult.

Sehubungan itu, Shukor berkata, orang ramai dipelawa menyertai bengkel itu dengan yuran RM150 dikenakan bagi setiap peserta dan ia dihadkan hanya kepada 30 peserta pertama yang mendaftar.

Bayaran itu, katanya, termasuk makan, minum dan tempat penginapan dan mereka yang berminat boleh menghubunginya di talian 012-688 8145 (Din).

“‘Ia bertujuan mendedahkan peserta terhadap peluang serta kemudahan terkini yang ditawarkan oleh pelbagai agensi pertanian yang terlibat.

“Penganjuran bengkel ini juga merupakan sebahagian daripada usaha kita dalam menyokong komitmen dan rancangan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk melahirkan 10,000 usahawan tani setiap tahun,” katanya.

Menurutnya, Agro Bank lebih berperanan menyediakan peluang latihan dan bengkel kursus kepada mereka yang berminat melibatkan diri dalam bidang ternakan dan tanaman tanpa mengambil kira latar belakang pendidikan atau profesion peserta.

Tambahnya, dalam bengkel itu, peserta akan diberikan pengkhususan kepada tiga bentuk kursus dan latihan pertanian iaitu penternakan, perikanan, tanaman dan terbaru memperkenalkan kursus ikan kei, puyu dan talapia.

Kursus buat makanan sejuk beku

SEREMBAN 14 Mei – Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Sembilan (PPWNS) akan mengadakan kursus percuma membuat makanan sejuk beku di Kompleks Pertanian, Rembau bagi suri rumah berpendapatan rendah hujung bulan ini.

Pengarah PPWNS, Norhafiza Halim Faisal berkata, ia bertujuan memberi kemahiran kepada mereka mengenai penghasilan produk tersebut sekali gus membuka ruang untuk meningkatkan sumber pendapatan keluarga.

“Mereka diberi latihan tentang teknik membuat makanan sejuk beku seperti kuih-muih. Mereka juga dibekalkan mesin khas agar dapat mengusahakan perniagaan tersebut di rumah.

“Bukan itu saja dengan bantuan Jabatan Pertanian, kita juga akan memasarkan produk tersebut,” katanya di sini hari ini.

Beliau menambah, pelbagai program lain turut dirancang dalam usaha membantu golongan tersebut meningkatkan pendapatan keluarga terutama ketika menghadapi ekonomi yang merudum hari ini.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenainya boleh menghubungi PPWNS di talian, 06-7632859.

Kolej Komuniti Selayang tawar kursus pertanian

Program mengatasi kemiskinan melalui latihan kemahiran merupakan aspek penting dalam usaha penyusunan semula masyarakat.

Tanpa kemahiran yang cukup, kejayaan yang diperoleh jarang mencapai tahap maksimum dan tidak berdaya saing.

Menyedari hakikat berkenaan, Kolej Komuniti Selayang (KKS) akan mengadakan Kursus Keusahawanan Agro Komersial dan Projek Sara Diri bagi memberi peluang kepada bakal usahawan meneroka bidang pertanian dan akuakultur secara komersial mahupun skala kecil.

Pengarah KKS, Nik Zaleha Nik Manap berkata, latihan secara teori dan praktikal akan dijalankan secara berperingkat sepanjang Mei hingga Ogos 2009 dengan kerjasama syarikat penggerak aktiviti pertanian dan akuakultur, Prestasi Agro Farm.

“Pihak kami pernah menjalankan aktiviti sama tahun lalu dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan KKS mengambil keputusan untuk menganjurkan kursus yang sama tahun ini,” katanya.

Antara kursus yang ditawarkan adalah Teknik Pembenihan Ikan Keli secara Aruhan, Penanaman Cendawan Tiram, Tanaman Sayuran Kaedah Fertigasi, Penternakan Cacing dan Penanaman Serai Komersial.

Bidang kursus pertanian yang dipilih merupakan projek komersial yang mampu diusahakan secara kecil-kecilan bagi menambah pendapatan.

Nik Zaleha berkata, menternak ikan keli secara komersial lebih menguntungkan jika bakal penternak mahir melakukannya sendiri.

“Semasa kursus pembenihan ikan keli peserta bukan saja diajar mengenai teknik pembenihan aruhan tetapi diajar bagaimana menghasilkan makanan ikan dan kaedah ternakan tidak bergantung kepada palet,” katanya.

Bengkel latihan bagi Penanaman Cendawan dan Sayuran Fertigasi pula, kata Nik Zaleha amat sesuai diceburi oleh golongan wanita.

Cendawan dan sayuran organik yang menggunakan teknik fertigasi bukan saja berkhasiat tetapi mendapat permintaan tinggi sekitar Lembah Kelang.

Bagi tanaman cendawan, para peserta berpeluang mengetahui bagaimana penyediaan beg media, penyuntikan benih, penjagaan rumah cendawan, kawalan penyakit dan teknik pembungkusan tepat.

Selain itu peserta juga akan didedahkan dengan tanaman serai secara pertanian kontrak bagi tujuan komersial untuk tujuan perubatan dan farmaseutikal.

Siri latihan yang ditawarkan memberikan maklumat mengenai harga pasaran bagi sayuran yang mendapatkan sambutan di pasaran misalnya serai, cili dan kunyit.

Tenaga pengajar terdiri daripada usahawan berjaya dan pegawai dari agensi kerajaan yang berkaitan.

Bagi sesi latihan praktikal, peserta akan dibawa meninjau tapak pertanian dan penternakan sekitar Lembah Kelang dan Selangor.

Mereka yang mahu mengetahui lebih lanjut mengenai kursus yang dianjurkan boleh menghubungi Kolej Komuniti Selayang 03-61201267 atau 016-6606471 (Zarini) atau 019-3310855/016-3094950 (Azizi) atau layari www.kkSelayang.edu.my

Bengkel ternak keli tanpa pelet

KUALA LUMPUR 26 April – Satu bengkel menternak ikan keli tanpa pelet akan diadakan di Fakulti Kejuruteraan, Universiti Pertanian Malaysia (UPM) pada 9 Mei ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, Pusat Penyelidikan Bioteknologi Perintis memberitahu, bengkel itu akan mendedahkan tentang penemuan baru mengenai penggunaan mikrob di dalam kolam ternakan bagi menggantikan pelet.

Tambahnya, kaedah mikrob itu dilihat mampu mengurangkan sebanyak 80 hingga 90 peratus kos makanan dan operasi. Selain itu, penggunaan kaedah itu dapat mempercepatkan tumbesaran ikan dalam tempoh 75 hingga 100 hari.

“Pusat Penyelidikan Bioteknologi Perintis ini telah menggabungkan 2 kaedah probiotik dari Jepun dan Thailand.

“Kaedah ini telah dikaji semula dan disesuaikan dengan suhu, iklim dan cuaca di Malaysia. Ia juga mampu meningkatkan daya tahan penyakit dan bakteria kepada ternakan sekali gus mengurangkan kematian,” ujar kenyataan itu.

Menurutnya lagi, antara tujuan lain bengkel itu diadakan adalah untuk memberi pendedahan tentang penggunaan mikrob hidup dalam ternakan ikan dan menjadi sumber alternatif kepada para penternak yang selama ini dihimpit dengan harga pelet yang meningkat.

Ketua projek perintis tersebut, Hilmy Hamzah berharap, bengkel tersebut dapat membantu semua penternak ikan yang selama ini menanggung kos ternakan yang tinggi.

“Kaedah ini mampu memberi nafas baru kepada para penternak dan menghidupkan semula industri perikanan di negara kita,” katanya

Orang ramai yang berminat untuk menyertai bengkel tersebut bolehlah menghubungi talian 03-6187 3796 dan 019-3310 985.

Program latihan pertanian percuma

ag_041

Nordin Abd. Malek (dua dari kiri) memberi penerangan kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar mengenai latihan oleh Institut Skill-Tech.


Kerajaan sememangnya memandang serius keperluan makanan negara kerana krisis makanan dunia bukanlah suatu perkara remeh.

Pemimpin dunia telah meletakkan kepentingan makanan hingga ke satu tahap sebagai isu keselamatan.

Dalam konteks Malaysia, selain keupayaan pengeluaran makanan, aspek pembangunan kemahiran, teknologi dan inovasi menjadi teras pembangunan pertanian baru.

Menyedari hakikat tersebut, kerajaan turut menggalakkan penyertaan institusi latihan pertanian swasta untuk menjalankan kursus dalam bidang berasaskan pertanian.

Institut Skill-Tech adalah institusi latihan kemahiran swasta (ILKS) pertama di negara ini yang menjalankan sepenuhnya latihan kemahiran dalam bidang pertanian.

Pada tahun lepas, kerajaan telah mewujudkan Skim Kluster Latihan Kemahiran Sumber Manusia Untuk ILKS bumiputera.

Institut tersebut adalah antara lima ILKS yang menjadi kumpulan perintis skim berkenaan. Oleh kerana bidang pertanian menjadi fokus utama, institut ini telah menerima geran pembiayaan latihan terbesar untuk melatih 2000 peserta dalam tempoh setahun.

Menurut Pengerusi Eksekutif Institut Skill-Tech, Nordin Abdul Malek, skim tersebut diletakkan di bawah Mara dengan kawal selia Institut Keusahawanan Negara (Insken).

Sasarannya adalah untuk menambah penyertaan belia dalam bidang pertanian secara terlatih.

Percuma

Nordin yang juga Pengerusi Gabungan ILKS bumiputera turut menjelaskan bahawa geran berkenaan bagi membolehkan setiap ILKS termasuk Institut Skill-Tech menawarkan kursus secara percuma kepada belia Bumiputera yang berminat.

Kesungguhan kerajaan juga ditunjukkan dengan menyediakan insentif sara diri berjumlah RM300 sebulan.

”Kalau sebelum ini, bukan hanya mempunyai institusi latihan kemahiran awam (ILKA) sebagai pilihan, kini mereka boleh memilih Institut Skill-Tech sebagai pilihan lain kerana modul dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang digunakan adalah sama dengan ILKA,,” katanya.

Sebagai ILKS yang terpilih, Institut Skill-Tech bolehlah dianggap sebagai pelengkap kepada ILKA memandangkan institut tersebut mempunyai kapasiti dan keupayaan latihan yang agak terhad.

”Kami juga menganggap, geran ini sebagai amanah besar yang perlu dimanfaatkan oleh generasi muda untuk menjadi penggerak sektor pertanian di Malaysia.

“Oleh itu, kami sentiasa berusaha keras untuk mempromosikan program, di samping mencapai sasaran Indeks Petunjuk Utama (KPI) menerusi impak program yang ditetapkan kerajaan,” ujarnya lagi.

Bagi mencapai misi tersebut, Institut Skill-Tech sedang menggerakkan semua pendekatan penyertaan belia dengan memperkenalkan pelbagai system latihan.

Selain latihan sepenuh masa di mini kampus utama Durian Tunggal, Melaka dan pusat latihan satelit Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Melaka, belia juga boleh mengikuti latihan melalui kaedah e-learning, Pusat Latihan Terhad (kumpulan khas) dan konsep jarak jauh (usahawan sedia ada).

Namun semua sistem tersebut terhad kepada syarat dan kumpulan sasar tertentu.

Kursus selama setahun itu menawarkan bidang-bidang seperti tanaman makanan, akuakultur, senibina landskap, pemprosesan makanan, bioteknologi, ruminan, agro pelancongan (inap desa) serta pemasaran pertanian.

Menurut Nordin lagi, Institut Skill-Tech juga akan membiayai sara diri pelatih sepanjang mengikuti latihan sambil bekerja (OJT) di seluruh negara.

Pada masa ini, terdapat lebih 100 buah agensi awam dan swasta yang menerima pelatih mereka dalam pelbagai bidang.

Pembiayaan ini meringankan beban pelatih ketika menjalani OJT berkenaan.

”Sesetengah syarikat memberi mereka elaun tambahan atau kemudahan tertentu seperti makan dan penginapan.

” Walaupun elaun industri bukanlah matlamat utama OJT, kesediaan sesetengah syarikat menyediakan sagu hati tambahan itu mendorong semangat pelatih,” tambahnya.

Selepas tamat kursus, pelatih yang memilih untuk menjadi usahawan tani berpeluang menikmati pelbagai pembiayaan perniagaan seperti Tabung Ekonomi Usahaniaga (Tekun) dan Mara kerana semua pelatih diwajibkan menjalani kursus keusahawanan seperti yang ditetapkan kerajaan.

Semua pelatih Skill-Tech akan didedahkan dengan perniagaan pertanian dan agronomi pada tahap kedua kursus mereka. Modul keusahawanan mengguna pakai sukatan latihan Insken.

Bagi mencapai kouta kemasukan pelatih, Institut Skill-Tech sedang mengadakan pengambilan besar-besaran bermula sekarang hingga Jun ini.

Mereka yang berminat boleh menghubungi 06-5531416/18.

UPM anjur kursus cendawan

PERUSAHAAN cendawan kini semakin mendapat sambutan yang menggalakkan dan di tanam secara meluas di seluruh negara.

Banyak faktor yang mendorong ramai pengusaha menceburi bidang ini seperti keuntungan yang tinggi dalam masa yang singkat, kos pengeluaran yang rendah, potensi pemasaran yang baik serta kandungan nutrien pemakanan yang tinggi.

Penerimaan yang baik itu telah mendorong Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Kursus Asas Pengeluaran Cendawan Tiram Kelabu bermula 28 hingga 29 April ini.

Ia akan diadakan di Rumah Cendawan, Unit Hortikultur Seksyen Tanaman, Taman Pertanian Universiti, UPM.

Kursus tanaman cendawan tiram kelabu atau nama saintifiknya Pleurotus sajor-caju itu bermatlamat mendedahkan peserta dengan teknik pengeluaran asas supaya mereka dapat melaksanakan penanaman sendiri sebaik sahaja kursus tamat.

Ia terbuka kepada orang ramai yang berminat dengan yuran penyertaan RM400 seorang untuk fail, nota kursus, nota catatan, alat tulis, sijil penyertaan dan makanan tetapi tidak termasuk penginapan.

Penyuntikan

Antara aktiviti yang akan dijalankan adalah seperti taklimat penyediaan media tanaman, penyuntikan benih, memetik hasil, penyelenggaraan, kaedah pembungkusan hasil, penerangan kemudahan pinjaman bank serta rancangan perniagaan.

Demonstrasi ringkas mengenai penyediaan benih juga akan dilakukan bagi memberi gambaran yang lebih kepada peserta.

Tenaga pengajarnya pula terdiri daripada pegawai dan kakitangan yang berpengalaman dari Unit Tanaman Cendawan, Seksyen Penyelidikan Agroteknologi, Taman Pertanian Universiti, UPM.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Helmi Azro Mohd. Hassan di talian 03-89471266 atau Abdull Ghaffar Othman di talian 03-89467429.

Untuk mendapatkan maklumat cadangan penginapan pula, peserta boleh menghubungi Rumah Tetamu UPM di 03-89467967.

Bengkel Usahawan Ikan Air Tawar esok

MELAKA 2 April – Berdasarkan sambutan menggalakkan, Bengkel Usahawan Ikan Air Tawar anjuran Mega Utusan Malaysia akan diadakan lagi di Kompleks Teknologi Pertanian, Ladang Buah-Buahan Tropika Melaka (MTFF), Sungai Udang dari 4 hingga 6 April ini.

Penyelaras bengkel, Khairuddin Omar berkata, program itu diadakan lagi atas permintaan para usahawan petani dan penternak di negeri ini yang menyifatkan bengkel itu memberi manfaat kepada mereka.

Katanya, atas permintaan itu, bengkel tersebut diadakan lagi selama tiga hari bermula Sabtu ini bagi membantu para usahawan petani dan penternak mengetahui lebih mendalam penggunaan teknik bertani dan menternak secara lebih moden.

”Sambutan bengkel pertama di MTFF pada 28 hingga 30 Mac lalu cukup menggalakkan malah ramai lagi yang tidak dapat turut serta.

”Atas permintaan itu kita anjurkan lagi bengkel ini di tempat yang sama dan terbuka kepada sesiapa sahaja untuk mengambil bahagian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada bengkel lalu, seramai 30 orang menyertainya. Ia dianjurkan bersama Agro Bank dan May Consult.

Program yang dimulakan sejak tahun 2006 itu merupakan sebahagian daripada usaha Agro Bank untuk membantu kerajaan melahirkan lebih ramai usahawan tani di negara ini.

Sehubungan itu Khairuddin berkata, orang ramai dipelawa menyertai bengkel itu dengan yuran RM150 dikenakan bagi setiap peserta dan ia dihadkan hanya kepada 30 peserta pertama yang mendaftar.

Bayaran itu katanya termasuk makan, minum dan tempat penginapan dan mereka yang berminat boleh menghubunginya di talian 012-3558510.

Bengkel itu akan memberi pendedahan kepada para peserta mengenai penggunaan teknik bertani dan menternak sehingga ke peringkat bagaimana ingin memasarkan produk pertanian yang dihasilkan.

Sementara itu, menurut Pengurus Pusat Latihan Tani Agro Bank, Abdul Shukor Abdul Jabbar, selain bengkel dan kursus tani, Agro Bank turut menganjurkan seminar dan lawatan pertanian.

”Ia bertujuan mendedahkan kepada peserta mengenai peluang serta kemudahan terkini yang dtawarkan oleh pelbagai agensi pertanian yang terlibat.

”Penganjuran bengkel juga merupakan sebahagian daripada usaha kita dalam menyokong komitmen dan rancangan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk melahirkan 10,000 usahawan tani setiap tahun,” katanya.

Menurutnya, Agro Bank lebih berperanan menyediakan peluang latihan dan bengkel kursus kepada mereka yang berminat melibatkan diri dalam bidang ternakan dan tanaman tanpa mengambil kira latar belakang pendidikan atau profesion peserta.

Tambahnya, dalam bengkel itu, peserta akan diberikan pengkhususan kepada tiga bentuk kursus dan latihan pertanian iaitu penternakan, perikanan, tanaman dan terbaru memperkenalkan kursus ikan puyu dan talapia.