Penyedap rasa Setambun Jantan


Buah mempaung masak enak dibuat sambal.

SELAIN pokok Setambun Betina (Baccaurea racemosa) dan Setambun merah (Baccaurea parviflora), satu lagi jenis pokok dalam famili yang sama dikenali sebagai Setambun Jantan atau lebih dikenali dengan nama saintifiknya (Baccaurea lanceolata).

Setambun Jantan tergolong dalam jenis yang sama iaitu Baccaurea atau dalam famili Euphorbiaceae. Spesies ini juga diberi beberapa nama, iaitu Mempaung, Asam Pahong dan Limpaung.

Pokok Mempaung berasal dari Indo-China dan banyak terdapat di Negara Thai, Malaysia, Indonesia hingga ke Filipina.

Di Semenanjung Malaysia, pada satu ketika dulu, pokok Mempaung mudah ditemui di dusun dan hutan, terutama di Pahang.

Bagaimanapun, pokok Mempaung (atau Asam Pahong panggilan orang Pahang) sukar ditemui lagi, kemungkinan pupus ditebang untuk mengambil kayunya untuk dijadikan kraf tangan.

Di Sabah dan Sarawak, pokoknya masih boleh ditemui di hutan atau ditanam di kampung-kampung, malah buahnya kadangkala didapati dijual di pasar tamu apabila sampai musimnya.

Pokok Mempaung bersaiz kecil, setinggi antara 10 hingga 15 meter dan rupanya seakan-akan pokok Rambai.

Batangnya berwarna kelabu asap dan berbuku-buku. Daunnya berbentuk ‘ovat-elips,’ yang panjangnya antara 6 hingga 30 sentimeter (sm) manakala lebar antara 3 hingga 14 sm, berwarna hijau muda.

Bunganya halus dan banyak, bersesak-sesak pada tangkai yang berjuntai-juntai sepanjang antara 20 hingga 30 sm, tumbuh dari buku-buku pada pangkal dan pertengahan batang.

Buahnya berbentuk seperti kapsul, ‘ovoid’, kira-kira 4 sm diameter, berwarna hijau kebiruan ketika muda dan bertukar kuning langsat apabila masak.

Buahnya jarang dimakan segar kerana rasanya tersangat masam. Buahnya yang cukup masak biasanya dibuat sambal atau menjadi penyedap rasa dalam pelbagai resipi masakan tradisional.

Sebagai pokok buah yang popular dan digemari masyarakat desa zaman dulu, pokok Mempaung sepatutnya ditanam dan dipopularkan sebagai elemen seni taman supaya generasi muda sekarang dapat mengenali warisan negara yang ada kaitan dengan bahan makanan.

Apatah lagi pokok ini mempunyai buah yang unik pada tangkai yang panjang tumbuh dari batang dan bertambun di pangkal pokok.

Buah ini juga belum lagi melalui uji kaji mengenai khasiatnya, dan melihat kepada warna buah kemungkinan mengandungi khasiat makanan yang tinggi.

Pokok Mempaung mudah dibiak dengan cara menyemai biji benih. Pokok ini mudah hidup dalam sebarang jenis tanah. Permulaan hidupnya memerlukan teduhan daripada cahaya matahari. Di kampung-kampung, pokok ini ditanam bercampur-campur dengan pokok buah-buahan lain dan penanamannya secara tak formal hasil daripada buangan biji benih.

INFO: Mempaung Baccaurea lanceolata
Famili: Euphorbiaceae
Nama Lain: Asam Pahong, Limpaung, Setambun Jantan

Setambun Merah sedap dimakan segar


Setambun Merah penyedap rasa masakan tradisi Melayu.

Setambun

Baccaurea Parviflora

Famili: Euphorbiaceae

Nama Lain: Setambun Merah

DALAM tulisan yang lalu, saya memperkenalkan pokok Kepundung atau pokok Setambun Betina. Kini ada pula pokok Setambun Merah atau lebih dikenali dengan nama saintifiknya Baccaurea parviflora tergolong dalam jenis yang sama iaitu Baccaurea dan tergolong dalam famili sama iaitu Euphorbiaceae.

Pokok Setambun ini berasal dari Thailand, Myanmar, Malaysia, Borneo hingga ke Sumatera. Di Malaysia pokok ini masih tumbuh liar di hutan dan kadang-kadang ditanam di dusun tua.

Pokok ini sukar ditemui kerana banyak yang sudah ditebang kerana kayunya amat menarik untuk dijadikan kraftangan seperti tongkat dan antan (anak lesung).

Tinggi pokoknya antara 6 hingga 7 meter dan daunnya berbentuk ‘elips’ 7 hingga 20 sentimeter panjang, 3.5 hingga 9 sm lebar dan hujungnya tajam.

Ketika muda, daunnya berwarna kemerahan dan bertukar hijau kehitaman apabila matang. Infloresen jantan sepanjang 10 hingga 20 sm dan infloresen betina sepanjang 15 hingga 30 sm panjang, di bawah infloresen jantan di pangkal batang.

Bunganya banyak dan halus bersesak pada tangkai berwarna kemerahan. Keunikan pokok ini mempunyai buahnya yang banyak sehingga ratusan pada tangkai yang panjang dan bertambun di pangkal pokok.

Buahnya bujur runcing, berukuran 2 hingga 3 sm panjang, berwarna merah bertukar keunguan apabila masak, berpangsa tiga dan mengandungi 1 hingga 3 biji yang diselaputi pulpa dan rasanya masam-masam manis.

Buah ini dimakan segar tetapi lebih enak dijadikan penyedap rasa dalam masakan tradisional Melayu.

Sebagai pokok buah yang popular dan digemari masyarakat desa zaman dulu sepatutnya pokok ini ditanam dan dipopularkan sebagai elemen seni taman supaya generasi muda sekarang dapat mengenali warisan negara yang ada kaitan dengan bahan makanan.

Lebih-lebih lagi pokok ini mempunyai buah yang unik pada tangkai yang panjang dan bertambun-tambun di pangkal pokok.

Pokok ini jarang ditanam secara formal. Burung dan haiwan kecil menjadi penyebar utama pokok ini. Pokok yang terdapat di dusun tua biasanya hasil daripada buangan biji benih. Pokok ini mudah dibiakkan dengan cara menyemai biji benih.

Tongking harum kembang malam


Bunga tongking menjadi ramuan pewangi bagi masyarakat desa dulu kala.

Bunga zaman dulu yang digunakan sebagai ramuan mandi, potpouri, pewangi bedak

Bunga tongking
Nama Botani: Telosma cordata
Famili: Asclepiadaceae
Nama Lain: Bunga siam

KALAU disebut namanya, tiada siapa yang kenal. Bunga tongking berasal dari selatan India dan China diperkenalkan ke alam Melayu sejak 1692.

Masyarakat desa dulu sering menjadikan bunga tongking sebagai ramuan pewangi dalam upacara pertunangan, perkahwinan atau hiasan rambut wanita. Bunganya yang cukup kembang dan wangi dijadikan ramuan mandi bunga, potpouri dan pewangi bedak asli.

Masyarakat India menggunakannya dalam upacara keagamaan, hiasan rambut wanita dan potpouri. Masyarakat Cina pula menjadikan bunga yang belum kembang dan pucuknya sebagai sayuran.

Pokoknya adalah syrab memanjat berkayu lembut yang mencapai ketinggian antara tiga hingga enam meter. Daunnya tersusun berhadapan, bentuk ovat yang lebar dan berbentuk jantung, berukuran lima hingga 11 sentimeter (sm) panjang, tiga hingga lapan 8 lebar. Tepi daun licin atau berombak sedikit serta berwarna hijau muda.

Petiolnya kira-kira dua hingga lima sm panjang. Bunganya dalam rasem terminal atau aksil daun dan setiap sekuntum berdiameter 1.3 sm. Berwarna kuning kehijauan, kembang di waktu malam dan berbau wangi. Bunga ini jarang menghasilkan buah dalam iklim Malaysia.

Pokok bunga tongking mudah dibiakkan menerusi keratan batang yang hampir tua. Keratan ini disemai ke dalam pasir, selepas berakar dan berpucuk dipindahkan ke dalam karung plastik berisi tanah campuran lima bahagian tanah bakar, tiga bahagian najis haiwan yang cukup reput dan dua bahagian pasir sungai.

Penanaman Bunga tongkingg memerlukan tanah yang subur dan bersaliran baik. Para-para yang kukuh disediakan untuk pokok ini memanjat. Selain para, ia boleh juga dibiarkan memanjat pagar.

Bunga tongkingg memerlukan penjagaan rapi, terutama awal pertumbuhannya yang memerlukan sedikit pelindung cahaya matahari. Cantasan juga perlu dilakukan bagi menggalakkannya bercabang banyak juga bagi mendapatkan bunga lebat.

Baja yang disyorkan ialah baja organik seperti najis haiwan yang cukup reput atau kompos. Baja kimia seperti sebatian kompleks 12:12:17:2 + T.E. boleh juga digunakan.

Sebaiknya baja ini dilarutkan terlebih dulu di dalam air. Sungkupan dengan daun reput amat digalakkan bagi mengekal kelembapan dan kesuburan tanah.

Pauh Janggi Palma


Pauh janggi

MUNGKIN ramai yang tidak pernah melihat pokok palma Pauh Janggi atau lebih dikenali dengan nama kelapa laut, Double coconut atau nama saintifiknya Lodoicea maldivica.

Pokok kelapa laut atau Pauh Janggi ini sering dikaitkan dengan Lagenda Pelayaran Melayu. Seperti yang kita ketahui, nenek moyang kita zaman dulu terkenal sebagai ahli pelayaran.

Ahli pelayaran ini kerap menemui buah Pauh Janggi atau kelapa laut terapung-apung di permukaan Lautan Hindi.

Buah Pauh Janggi ini dipungut dan dijual dengan harga yang mahal dan ramai yang mencarinya kerana dikatakan boleh dibuat ubat dan dapat menyembuhkan pelbagai penyakit serta penawar segala racun, sehingga dikatakan air yang disimpan dalam tempurung, jika diminum dapat mengelakkan diri daripada jangkitan penyakit.

Pauh Janggi juga dikatakan dapat menguat tenaga batin sehingga ia menjadi buruan ramai dan menyebabkan harganya sedikit mahal pada waktu itu.

Ahli pelayaran Melayu merahsiakan kewujudan pokok Pauh Janggi, namun mengikut catatan, Pigafetta yang turut serta dalam pelayaran Magellan pada 1519, beliau diberitahu seorang ahli pelayaran Melayu bahawa buah yang terapung itu ialah Pauh Janggi daripada pokok besar yang hidup di “Pusat Tasik”.

Ahli pelayaran itu percaya di Pusat Tasik itu ada burung Garuda yang memakan lembu dan gajah dan tempat itu tidak boleh dihampiri kerana selalu ribut dan taufan

Lagenda Pauh Janggi ini juga dikaitkan dongeng Haji Batu yang mana ketika beliau belayar untuk menunaikan haji ke Makkah, dia bermimpi supaya membawa tujuh batang paku dan penukul.

Dalam pelayarannya, kapalnya hanyut ke Pusat Tasik dan apabila kapalnya karam, dia memanjat pokok Pauh Janggi dengan berpaut pada tujuh batang paku yang dipaku pada batang pokok Pauh Janggi. Di atas pokok Pauh Janggi anak burung Garuda tinggal di dalam sarangnya.

Ketika burung Garuda sibuk memberi anaknya makan seekor gajah, dia mengikat badannya pada bulu burung Garuda dan seterusnya burung itu menerbangkan sehinggalah dia dapat menunai haji di Makkah.

Pokok Pauh Janggi ialah pokok palma tunggal dan kewujudannya hanya di Kepulauan Seychelles. Palma ini adalah pokok yang unik dan mempunyai buah seakan-akan buah kelapa yang kembar.

Buah palma ini seberat 15 hingga 20 kilogram (kg) dan menjadi buah yang terbesar di dunia. Pakar Botani kagum dengan pokok Palma ini yang dapat hidup di lereng-lereng bukit sedangkan buahnya seberat 15 kg boleh berada di lereng bukit.

Pokok Pauh Janggi tersebar luas dan ditanam di sekitar taman botani sebagai tanaman antikuiti, ini termasuk ditanam di Taman Botani Singapura.

Saya juga telah menanam pokok palma di Rimbu Ilmu, Universiti Malaya (UM) dalam 1973 dan malangnya pokoknya mati diserang oleh anai-anai. Mengikut catatan, pokok Pauh janggi pernah ditanam di Melaka oleh orang Portugis.

Sebagai pokok lagenda Melayu sepatutnya pokok ini banyak ditanam di Malaysia, terutama di negeri Melaka, Bandaraya Bersejarah, sebagai tanaman antikuiti legenda pelayaran Melayu.

FAKTA
Pauh Janggi

Nama Saintifik: Lodoicea maldivica

Famili: Palmae

Negara Asal: Kepulauan Seychelles

Nama Lain: Kelapa laut, Double coconut