Guna baja gunung berapi

MOHD. ROFENDI gembira usahanya berbaloi melalui
Ladang Suria Best di Serating, Terengganu.

KETIKA berusia empat tahun manusia masih digelar kanak-kanak, namun bagi buah pitaya atau lebih dikenali sebagai buah naga, empat tahun bererti ia sudah cukup matang untuk dahannya menghasilkan buah lebat.

Waktu berkenaan adalah tempoh yang pasti paling menggembirakan bagi salah seorang pengusaha, Mohd. Rofendi Shafie. Dia mengusahakan tanaman berkenaan bersama dua rakan kongsi yang juga sepupunya, Suhaimi Deraman dan Abdul Ashaari Mohamad, masing-masing berusia 41 tahun.

Beliau yang mengambil kursus penanaman pokok keluarga kaktus tiga tahun lalu di Johor berkata, mereka perlu bersiap sedia kerana waktu untuk mereka mula menuai buah naga secara besar-besaran semakin hampir bermula.

Katanya, walaupun pokok berkenaan mampu bertahan sehingga tiga dekad atau mungkin lebih, tempoh kematangan bermula pada usia empat tahun.

“Ia sangat agresif mengeluarkan buah yang berkualiti pada waktu itu. Tetapi jika tidak dijaga, usia pokok naga mungkin tidak panjang,” kata anak muda yang berusia 24 tahun itu.


PADA waktu matang pokok buah naga boleh
mempunyai maksimum sehingga 10 biji buah sepokok.

Tambahnya, apabila mencapai tempoh berkenaan, sebatang pokok boleh mencapai maksimum sehingga 10 biji sepokok.

Rumah pokok pitaya pula perlu diperbuat daripada simen konkrit bagi membolehkan pokok berkenaan menjalar dan membiak dengan lancar.

Dalam soal penjagaan tanaman berkenaan, buah naga tidak memerlukan penjagaan rapi, cukup sekadar meletakkan beberapa jenis baja termasuk baja organik selain menjaga kadar siraman air.

Kata anak kedua daripada enam beradik ini, beliau mewajibkan baja gunung berapi menjadi santapan pokok pitayanya dua kali sebulan.

Ini kerana, baja berkenaan mampu memperbaiki struktur tanah serta menguatkan dahan tanaman tersebut daripada patah.

“Memandangkan dahan buah naga cepat patah, baja berkenaan adalah jalan terbaik digunakan selain penggunaan getah tayar basikal atau motosikal sebagai penahan untuk tumbesaran dan percambahan dahan,” katanya kepada Kosmo!.

Mohd. Rofendi memberitahu, dia bersama rakan kongsinya mengusahakan ladang buah naga di Taman Kekal Pengeluaran Makanan di Serating, di sini sejak tiga tahun lalu.

“Pada mulanya saya bekerja kilang di Shah Alam tetapi jiwa saya tetap di kampung halaman di Gong Balai, Merchang untuk menjadi peladang. Mungkin mewarisi minat arwah ayah.

“Selepas tu saya berazam mengambil alih ladang berkenaan dan bekerjasama dengan rakan kongsi arwah ayah,” katanya yang mengusahakan ladang itu setelah mengambil alih tugas arwah bapanya sejak tujuh bulan lalu.

Ujarnya, soal penjagaan tanaman itu tidak cerewet, cuma perlu menjaga bajanya sahaja, lagi pun ia akan mula berbuah setelah enam bulan ditanam.

Seterusnya, ia akan berbuah pada setiap dua minggu sehingga boleh mencecah hasil seberat tiga tan dalam tempoh sebulan, katanya yang mengusahakan buah naga seluas empat hektar di taman itu.

“Walaupun saya dibayar gaji asas hanya RM800, jika termasuk elaun saya hanya mampu memperoleh wang sebanyak RM1,500 sebulan, namun, saya puas hati.

“Sebab saya boleh berjasa pada kampung saya sendiri dan saya puas bila pokok yang ditanam membuahkan hasil. Kelihatan warna merah dari jauh, ia sangat comel,” katanya yang mempunyai enam orang pekerja.

Menceritakan cabaran mengusahakan tanaman berkenaan, menanam pokok naga langsung tidak berisiko malah, mendatangkan keuntungan kerana buah berkenaan diterima pelbagai bangsa.

“Hanya semut merah sahaja menjadi ancaman kepada pokok ini, terutama pada tempoh awal penanaman. Apa yang perlu dilakukan hanya meletakkan racun serangga. Itu sahaja.

“Kami tidak menanam pokok pitaya berwarna putih, kerana ia kurang manis dan kurang mendapat permintaan,” katanya.

Mohd. Rofendi memberitahu, ladangnya menjual buah naga mengikut gred. Untuk harga di ladang, buah naga gred AA seberat satu kilogram sebiji iaitu sebesar kepala kanak-kanak dijual pada harga RM6.

Katanya, gred A pula iaitu buah seberat 450 hingga 500 gram sebiji dijual pada harga RM5 sekilogram, gred B seberat 350 hingga 450 gram sebiji pula dijual pada harga RM4 sekilogram.

Buah yang paling kecil iaitu gred C pula dijual pada harga RM3 sekilogram yang mempunyai berat 250 hingga 350 gram sebiji.

“Kami juga menjual buah berkenaan di luar ladang di tepi jalan raya di Jalan Serating, Marang.,” katanya.

Sanggup korban kerjaya kerana kambing boer

KAMEL Jaini sentiasa memantau perkembangan kambing-kambingnya dari semasa ke semasa.



BATU PAHAT 19 Okt. – Menyedari bidang penternakan dan pertanian mampu memberi pulangan lumayan, Kamel Jaini, 43, sanggup mengorbankan pekerjaan tetapnya dalam bidang teknologi maklumat untuk menumpukan perhatian sepenuh masa dalam bidang penternakan.

Dengan modal sendiri atas desakan hati ingin mencuba, beliau memulakan ternakan kambing boer dengan permulaan sebanyak 20 ekor iaitu lapan ekor jantan dan 12 betina tiga tahun lalu bersama seorang rakan, Mohd. Lani Maskon.

Kambing-kambing boer mereka diperoleh daripada pembekal di Perth, Australia dan ia diternak dalam dusun durian milik keluarganya yang berkeluasan 3.2 hektar di Kampung Sri Jasa Sri Medan, dekat sini.

Meskipun beliau menceburi bidang penternakan secara percubaan tetapi sebelum memulakan projek ternakan atas nama Industri Tuk Janggut Sdn. Bhd. (ITJSB), terlebih dahulu lelaki berjiwa waja ini mengikuti kursus penternakan dengan pejabat haiwan daerah.

Menurut Kamel, walaupun pada permulaannya beliau dihujani dengan pelbagai cerita mengenai kambing boer yang didakwa sukar untuk diternak, tetapi ia tidak melemahkan semangatnya untuk mencuba.

Baginya, setiap pekerjaan yang ingin diusahakan perlu ada formula yang mesti diikuti agar ia mampu mendatangkan kejayaan dan pulangan seperti diharapkan.

Dengan usaha gigihnya serta mendapat sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan, dalam tempoh tiga bulan usahanya mula mendatangkan hasil apabila kambing-kambing melahirkan baka sebanyak 20 ekor tanpa sebarang masalah dan penyakit.

“Bermula dari situ saya yakin bidang penternakan ini mampu berkembang dan telah mengeluarkan modal sendiri dengan menambah jumlah kambing yang kini telah meningkat sehingga lebih 2,000 ekor yang saya import dari Melbourne, Australia,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Kesemuanya diperoleh dalam masa hampir tiga tahun beroperasi dan sekali gus menolak dakwaan bahawa menternak kambing boer banyak masalah.

Tambahnya, dalam setahun pembiakan kambingnya mencecah 2,500 ekor dan beliau menjual anak-anak kambing itu untuk dijadikan baka kepada individu yang berminat, penternak tempatan, RISDA, pejabat perkhidmatan haiwan dan lembaga pertubuhan peladang (LPP) di sekitar negeri ini, Terengganu, Perak dan Selangor.

Kamel kini dibantu oleh seorang adiknya, Kamarida Jaini, 39, dan Khairul Mohd. Lani, 28, yang menjaga semua urusan di ladang ternak mereka.

Dari segi pemakanan Kamel menambah, setiap hari, 10 tan rumput napier perlu disediakan di samping makanan komersial lain.

Kreatif

Bagaimanapun, makanan komersial untuk ternakan yang kini agak mahal membuat beliau lebih kreatif untuk menyediakan sendiri makanan kambing-kambing ternakannya dengan mengadun sumber-sumber tumbuhan tempatan.

“Saya cipta sendiri makanan kambing bagi mengelak kos makanan yang mahal dan dari situ 50 peratus kos makanan komersial untuk kambing-kambing berjaya dikurangkan,” jelasnya.

Katanya, seekor kambing dewasa memerlukan kos makanan komersial sebanyak RM1.40 sehari dan ia agak tinggi.

Menurutnya, beliau mengamalkan penternakan tanpa sisa ladang iaitu tahi kambing dijadikan baja organik yang akan dijual kepada pengusaha ladang pertanian.

Untuk menghasilkan baja organik berkenaan, beliau telah mengikuti kursus di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tambahnya, penghasilan anak kambing di ladangnya mencapai 130 peratus setahun iaitu antara 2,500 hingga 3,000 ekor dan apabila berusia tujuh hingga lapan bulan, kambing-kambing itu sedia untuk dijual dengan berat mencecah 35 kilogram seekor.

Atas kegigihan dan kejayaannya, Kamel baru-baru ini telah menerima anugerah Usahawan Ternakan Jaya (Terbuka) Peringkat Negeri Johor daripada Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman seterusnya menyemarakkan lagi semangat beliau untuk meluaskan lagi ternakan kambing boer.

Lebih membanggakan, ITJSB merupakan satu-satunya penternak di Malaysia yang berdaftar dengan Australia Boer Goat Breeder Associations sejak 2006 dan status itu memudahkan ITJSB untuk mendapatkan bekalan kambing boer dengan harga yang berpatutan.

Dalam usaha untuk meluaskan lagi bidang penternakan, ITJSB yang kini menjadi peserta Projek Pertanian Moden Kluang (PPMK) di Ayer Hitam akan memulakan penternakan secara besar-besaran di PPMK bermula tahun depan dan akan mencipta satu kaedah baru dalam bidang penternakan.

Antaranya, ITJSB akan membuat rumusan makanan sendiri serta menggunakan kaedah pembiakan secara semulajadi iaitu pembiakan tanpa kandang kerana ia diyakini mampu meningkatkan kadar pembiakan yang lebih banyak.

Idea ‘gila-gila’ hasilkan makanan sendiri

TANAMAN padi di belakang rumah Ismail Payamin yang menunggu masa untuk di tuai.


Agak sukar membayangkan bagaimana agaknya apabila belakang rumah yang bukan kawasan bendang tetapi dipenuhi dengan tanaman padi.

Lebih menarik, jika tanaman padi tersebut yang jaraknya hanya beberapa meter di belakang rumah menjadi sumber beras untuk makanan harian.

Lazimnya, bagi penduduk kampung, ternakan ayam, itik, telur dan tanaman sayur-sayuran diusahakan di belakang rumah untuk sajian harian tetapi beras terpaksa juga dibeli di kedai.

Namun, bagi seorang bekas guru, Ismali Payamin, 50, beliau cuba untuk mengubah kelaziman itu dengan menanam dan menternak sendiri sumber-sumber bahan asas keperluan dapur itu.

Caranya ialah dengan memanfaatkan kawasan sekeliling rumahnya di Kampung Sungai Kembung Hilir, Bangi, Selangor dengan diusahakan pelbagai aktiviti pertanian termasuk tanaman padi.

Tanaman padi diusahakan tanpa menggunakan air yang banyak memandangkan tanah di sekeliling rumah tersebut bukan kawasan semula jadi sawah yang boleh menyimpan air.

Di kawasan itu juga, Ismail menternak ayam yang digelarnya sebagai ayam katan bermaksud kacukan ayam kampung dan hutan.

Di satu sudut lain, dia membuka kawasan kecil untuk menternak ikan keli, juga dalam proses kajian untuk menjadikannya lebih sedap.

Segala usahanya itu yang boleh mencetuskan hasil ‘serba mungkin’ sebenarnya lahir daripada sikapnya yang ‘gila-gila’ dengan penyelidikan.

Ismail bersara daripada perkhidmatan perguruan pada 1995 selepas memulakan khidmat pada 1980.

Sepanjang perkhidmatannya, beliau yang berasal dari Cheras, berkelulusan teknikal dari Maktab Perguruan Ilmu Khas , Kuala Lumpur mengajar dalam bidang kemahiran hidup.

Selepas bersara atas pilihan sendiri, dia pada mulanya membuka pusat memancing ikan air tawar di Bandar Baru Bangi.

Selepas tidak lagi meneruskan tersebut, Ismail memulakan usaha dengan menjalankan teknik pembiakan ikan keli dengan mengacukkan mana-mana spesies.

“Saya mencubanya untuk mencari kelainan rasa keli yang lebih sedap,’’ ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Bangi, baru-baru ini.

Malah, Ismail boleh berbangga kerana telah berjaya menemui apa yang dinamakan varieti baru hasil kacukan dua spesies keli tahun lepas.

Ismail juga bersedia membimbing mana-mana individu yang berminat mempelajari teknik aruhan itu di rumahnya jika ada kelapangan dan mengikut permintaan.

Pada masa sama, beliau turut mencuba menjalankan kajian mengenai pembenihan cendawan tetapi dihentikan buat sementara kerana banyak masalah.

Selepas usaha-usaha ‘penyelidikan tersebut’, Ismail akhirnya mencuba tanaman padi di belakang rumahnya.

Sebelum itu, beliau berkunjung ke Sumatera, Indonesia untuk menimba ilmu pengetahuan berkaitan tanaman padi di negeri berkenaan.

“Saya mencuba tanaman padi dengan benih yang dihasilkan oleh MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) iaitu MR219,’’ katanya.

Dia mencuba tanaman padi bagi mengurangkan beban perbelanjaan ekoran harga beras yang terlalu mahal pada masa ini.

Katanya, ramai mendakwa hanya padi huma atau padi bukit sahaja yang mampu bertahan tanpa air untuk tumbuh dengan baik tetapi, padi yang ditanamnya membuktikan sebaliknya.

Ismail menjelaskan, kawasan yang ditanam padi itu berkeluasan 4,000 kaki persegi dengan jarak antara pokok kira-kira enam inci.

Antara kelainan tanaman padi yang diusahakannya ialah tidak mempunyai kemudahan tali air dan hanya menggunakan baja organik.

Dia memulakan penanaman pada 15 Mei menggunakan dua kilogram benih padi dan sebelum menanamnya, tanah digembur dan dicampurkan dengan baja organik.

Selepas itu, dia menaburkan benih dan membiarkannya tumbuh sebelum disusun semula mengikut jarak yang sesuai.

Jika keadaan terlalu kering, dia hanya menggunakan sumber air di kawasan penanaman menggunakan alat perenjis air (sprinkler).

Pada masa sama, dia menyemburkan larutan mikrogranisma berkesan (EM) kepada tanaman tetapi tidak terlalu kerap atau kira-kira sebulan selepas penanaman.

Seperti benih padi lain juga, dia boleh menuai dalam tempoh antara 110 dan 120 hari penanaman.

“Saya telah mengira kos penanaman padi ‘bukit’ ini yang mana jika diambil kira semua termasuk penanaman sendiri, (manual) rawatan EM untuk keluasan 4,000 kaki persegi, maka jumlahnya kira-kira RM120.

“Kos itu tidak termasuk upah menuai dan dan menggunakan mesin untuk menukarkannya kepada beras,’’ ujarnya.

Bagaimanapun katanya, kos tersebut dapat dikurangkan sekiranya kawasan penanaman diperluaskan.

Katanya, sejumlah 300 kilogram beras dapat dihasilkan untuk kawasan seluas itu yang mampu digunakan selama setahun untuk sebuah keluarga yang mengandung tujuh atau lapan orang.

Tanaman padi tersebut bagaimanapun masih dalam peringkat kajian untuk mencari varieti tangkai yang lebih padat dengan padi.

Malah, dia juga sedang mencuba menanam padi tersebut di pasu bagi melihat ketahanannya.

Bagaimanapun, Ismail berharap kerajaan memberi peluang kepada pengusaha sepertinya supaya tidak terlalu ketat dalam kawalan jual beli padi.

Ini kerana, undang-undang tidak membenarkan hasil padi dijual kepada individu sebaliknya perlu ke kilang padi dan seterusnya dalam rantaian bekalan sedia ada.

Selepas lebih sedekad mencuba bermacam-macam kajian yang mungkin gila kepada sesetengah orang, Ismail berkata, beliau belum letih untuk terus mencuba.

Malah dengan kata-kata pegangan Alam Sebagai Guru, beliau akan terus mencuba menghasilkan sesuatu yang menarik kerana pada akhirnya ia untuk kebaikan.

Beliau juga akan sedang memikirkan untuk mengkomersialkan mana-mana produk yang dihasilkan itu untuk dikomersialkan bagi menjana keuntungan.

Penternak puyuh komersial kurang


NOHAN menunjukkan burung puyuh yang sedia dipasarkan.

KUANTAN: Keenakan rasa daging puyuh yang sesuai disediakan dengan pelbagai jenis masakan Melayu menyebabkan permintaan terhadap burung berkenaan semakin menggalakkan.

Bagaimanapun, kekurangan pihak yang mengusahakan ternakan burung puyuh daging secara komersial menyebabkan masalah bekalan daging puyuh berkurangan di pasaran tempatan.

Penternak puyuh, Nohan Mohd Nor, 33 berkata dia memasarkan kira-kira 2.5 tan sebulan iaitu antara 12,000 hingga 15,000 burung puyuh yang sudah diproses.

Menurutnya, jumlah berkenaan masih tidak mencukupi berikutan permintaan menggalakkan daripada pengguna pelbagai kaum yang berpendapat daging burung puyuh lebih sedap daripada ayam.

Katanya, aktiviti ternakan burung puyuh daging tidak banyak diusahakan terutama di negeri ini, sekali gus menyebabkan bekalan tidak mencukupi.

“Di Pahang, saya seorang saja yang mengusahakan ternakan burung puyuh daging secara komersial dengan purata pengeluaran melebihi 12,000 ekor sebulan.

“Sokongan yang diberikan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Jabatan Haiwan tidak berupaya menarik minat terutama golongan muda untuk menceburi bidang ternakan burung puyuh,” katanya yang mengusahakan projek berkenaan sejak 2004.

Beliau berkata, ternakan burung puyuh tidak terlalu sukar, pengawasan yang teliti hanya pada peringkat anak. Selepas berumur seminggu penternak hanya memberi tumpuan kepada makan dan kebersihan.

Burung puyuh daging matang boleh dijual pada umur 22 hingga 34 hari, sekiranya tempoh berkenaan dilanjutkan selain faktor kos, daging puyuh menjadi keras.

Nohan berkata, dia menjual puyuh yang sudah diproses pada harga antara RM15 hingga RM18 sekilogram dan boleh disimpan sehingga enam bulan pada suhu beku.

Dia yang mengusahakan ternak puyuh di Kampung Cendering, di sini, berkata masalah mendapat bekalan anak puyuh sedikit sebanyak menjejaskan usahanya menambah jumlah ternakan dan memperbesarkan projek berkenaan.

“Selain masalah bekalan anak burung puyuh, peningkatan kos makanan yang kini mencecah RM98 seguni (50kg) menyebabkan dia tertekan.

“Bantuan peralatan penetasan daripada Jabatan Haiwan diharap dapat mengurangkan masalah bekalan anak burung puyuh yang kini berharga sehingga 50 sen seekor,” katanya.

Khairil Gibran Bukti Usahawan Tani Mampu Berdikari Tanpa Pasak Kerajaan

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) — Namanya Khairil Gibran, diinspirasi dari gabungan nama dua penyair tersohor kegemaran bapanya, iaitu Chairil Anwar dari Indonesia dan Kahlil Gibran dari Lubnan.

Anak kedua dari tiga orang adik-beradik, Gibran adalah antara usahawan tani generasi baru yang menyahut seruan kerajaan untuk memperkasa bidang pertanian yang diangkat menjadi komponen penting Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9).

Sekilas pandang, tiada yang luar biasa pada graduan teknologi maklumat dari La Trobe University, Melbourne, Australia. Ramai lagi graduan universiti meninggalkan jawatan profesional untuk berbudi pada tanah.

Tetapi nanti dulu. Bekas pegawai bank berusia 32 tahun ini mengusahakan projek tanaman sayur-sayurannya secara sendiri, tanpa bantuan kerajaan.

Ini sudah tentu bukan sesuatu yang biasa, khususnya bagi seorang anak Melayu.

TITIK TOLAK SEBAGAI USAHAWAN TANI

Gibran mula menjadi usahawan tani sepenuh masa empat tahun lepas dengan modal lebih kurang RM50,000.

Selepas setahun menjalankan penyelidikan, Gibran kemudiannya memperhalusi kajian tersebut dari cara penanaman hinggalah ke prospek bidang yang bakal diterjuninya itu.

Proses penyelidikan telah membawanya mengembara ke pelbagai projek pertanian serata Malaysia.

“Saya juga dapatkan maklumat seperti berapa hasil untuk sepokok, harga purata, pergi ke pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk mendapatkan panduan senarai harga dan semua ini setelah diamati, menghasilkan anggaran pulangan yang sangat menggamit,” ujar Gibran.

Bila ditanya berapa pendapatannya setahun sebagai usahawan tani, Gibran hanya tersenyum: “Beberapa kali lebih banyak dari pendapatan saya sebelum ini”.

KENAPA SAYUR-SAYURAN?

Gibran memilih untuk menanam sayur-sayuran kerana ia tidak mengambil masa yang panjang sebelum hasilnya boleh dituai.

Walaupun harga sayuran sentiasa turun naik dan menghadapi persaingan hebat dari Indonesia dan Thailand, permintaan untuk sayur-sayuran sentiasa terjamin.

“Kalau dikerjakan dengan betul, dalam setahun sahaja boleh pulang modal. Kalau anda bertuah, mungkin dalam enam bulan sahaja,” jelasnya.

Di tanah tiga ekar yang disewa olehnya di Batang Kali, Selangor, kini ditanam dengan sayur terung. Sebelum ini, Gibran juga pernah mengusahakan tanaman kacang panjang, timun dan petola secara berselang-seli.

“Tetapi sebab tanah tidak cukup luas, tak boleh bertukar-tukar banyak sangat, jadi lebih praktikal buat tanaman jangka panjang,” ujarnya.

Menurut Gibran, terung sudah boleh dipetik selepas dua bulan ditanam. Ia akan terus berbuah selama empat bulan seterusnya.

Dengan purata tuaian sebanyak 300 kg sehari, baka terungnya lebih digemari oleh pemborong kerana ia tahan lebih lama berbanding terung yang diimport dari negara jiran.

Mengimbas kembali saat pertama kali menuai hasil di kebunnya pada tahun 2003, Gibran berkata tiada perkataan yang dapat menggambarkan perasaannya ketika itu.

“Waktu itu saya tanam timun. Kalau nak ikutkan standard sekarang, apa yang dihasilkan ketika itu tidaklah banyak sangat. Tapi ia adalah bidang baru untuk saya yang waktu masih belum pasti. Bila dah mengeluarkan hasil, perasaan dan kepuasannya berbeza,” katanya.

USAHAWAN TANI TIDAK PERLU BERGELUMANG TANAH

Untuk berjaya sebagai petani moden, pertama sekali persepsi terhadap profesion tersebut perlu ditukar serta jangan terlalu berharap kepada bantuan dan sokongan kerajaan.

Ini satu sikap yang tidak betul dan kita mesti buktikan kepada semua orang yang kita boleh buat, kata Gibran.

Menurutnya, perlu ada anjakan paradigma yang usahawan tani ini perlu bergelumang dengan tanah, dibakar terik mentari dan bermandi peluh perlu ditukar.

Berbeza dengan petani tradisional yang beroperasi secara kecil-kecilan, usahawan tani mengusahakan projek pertanian seperti menguruskan sebuah perniagaan dengan mengupah pekerja, membuat aktiviti pemasaran, merangka pelan perniagaan dan sebagainya.

Malah usahawan tani tidak perlu berada di ladang setiap masa, cukup tiga ke empat kali seminggu bagi memantau projek.

Bagi Gibran, tanah tiga ekar yang diusahakannya kini sebenarnya lebih berbentuk eksperimen kerana dengan tanah sebesar itu belum cukup untuknya menjadi seorang usahawan tani sebenar.

Kini setelah mempunyai pengalaman, pengetahuan, rangkaian perniagaan dan pasaran, Gibran berhasrat mencari tanah yang lebih luas.

“Tiga puluh ekar pun saya sanggup. Tapi itulah masalahnya, nak cari tanah susah. Kadang-kadang yang tak berminat bertani tu pula yang diberi tanah, orang yang betul minat dan ada bukti tak dapat,” jelasnya dengan nada kesal.

SUKARNYA BERHADAPAN BIROKRASI

Pelbagai usaha telah dilakukan Gibran untuk mendapatkan tanah. Dia mencari dari Johor hinggalah ke Terengganu tetapi gagal.

Ada tanah kosong yang didakwa telah diagihkan kepada petani tetapi bila ditinjau masih lagi belum diusahakan. Pernah juga ditawarkan tanah sehingga 100 ekar tetapi tidak sesuai untuk pertanian kerana tiada sumber air dan bawah tanahnya batu.

Pencariannya juga telah membawanya bersemuka dengan terlalu banyak permainan politik, peraturan pilih bulu dan sikap ‘double standard’.

Seterusnya ialah kesukaran untuk mendapatkan pekerja. Oleh kerana kebanyakan anak tempatan kurang berminat menjadi pekerja pertanian, Gibran beralih kepada pekerja asing.

Namun, ketiadaan koordinasi dari jabatan-jabatan yang berkenaan serta proses permohonan yang remeh serta berulang-ulang menyebabkan dia mengambil masa hampir sembilan bulan untuk mendapatkan pekerja.

“Dalam masa sembilan bulan, tanah yang telah dibersihkan untuk pertanian pun telah menjadi belukar kembali,” jelasnya yang kini mengupah lima orang pekerja.

Gibran menambah, apabila ingin menambah pekerja, dia harus mengulang proses yang serupa walaupun dokumen yang perlukan sama.

RUANG DAN PELUANG

Namakan apa yang tidak pernah dilalui Gibran? — Karenah birokrasi, pengurusan tidak efisyen, janji kosong serta pemikiran sempit yang kesemuanya melelahkan.

Namun itu semua tidak sedikit pun mematahkan cita-citanya malah Gibran sanggup membantu dan berkongsi idea dengan mereka yang berminat.

Usahawan tani seperti Gibran perlu diberikan ruang dan peluang untuk mereka buktikan apa yang mampu mereka lakukan.

Memupuk lebih ramai ‘Gibran’ mampu merealisasikan sasaran kerajaan melahirkan 10,000 usahawan tani dalam masa lima tahun akan datang, justeru memastikan dana RM250 juta yang diperuntukkan kerajaan untuk tujuan itu digunakan sebaiknya dengan berkesan.

Siswazah Peroleh Pendapatan RM40,000 Hasil Tanaman Cili

PASIR PUTEH, 26 April (Bernama) — Pengorbanan seorang siswazah yang sanggup berhenti kerja dengan gaji RM1,500 sebulan semata-mata ingin menceburi sektor pertanian tidak sia-sia apabila tanaman yang diusahakannya mula mengeluarkan hasil yang dijangka mencecah RM40,000.

Alimin Muhamed, 24, lepasan Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur dan pernah bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat swasta, berkata tanaman cilinya sebanyak 3,000 pokok yang diusahakan secara projek perintis Fertigasi bermula 18 Januari lepas kini mula memperoleh hasil peringkat pertama sebanyak RM3,000.

“Tidak mustahil dalam tempoh tiga bulan lagi saya akan mendapat hasil sebanyak RM40,000 sebaik sehaja kesemua cili habis dipetik,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di ladangnya di Kampung Kuala Air Jernih, Bukit Awang di sini, Khamis.

Beliau berkata Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bukit Awang yang menaja tanaman itu telah membeli hasilnya dengan harga RM2.40 sen sekilogram bagi keperluan Syarikat Nestle Bhd untuk mengeluarkan sos cili dan tomato bagi memenuhi permintaan domestik dan luar negara.

Alimin berkata masalahnya sekarang beliau tidak mampu memungut tanaman berkenaan dua kali seminggu sebagaimana yang dikehendaki PPK secara bersendirian kerana pokoknya berbuah terlalu lebat dan di luar jangkaan.

Bagi mengatasi masalah itu, beliau terpaksa mengupah penduduk kampung memetiknya dengan kadar upah 30 sen sekilogram.

Alimin berkata beliau juga terpaksa mengikat kebanyakan pokok itu pada batang anak kayu bagi mengelakkan tanaman itu tumbang akibat ditiup angin.

Dengan kejayaan tanaman itu, beliau bercadang menambah tanaman itu sehingga mencapai 10,000 pokok pada musim akan datang.

“Saya mahu melipatgandakan pendapatan dalam usaha saya ini bagi memberi galakan kepada penduduk kampung mengenai potensi sektor pertanian sekiranya diusahakan mengunakan teknologi moden,” katanya.

Beliau berkata melalui sistem fertigasi, pokok cili yang ditanam dalam polibeg ternyata memberi hasil yang cukup lumayan berbanding tanaman mengikut kaedah biasa.

Semangat kental graduan



Zawyah (kanan) bersama Zuraini yang menanam kacang bendi, nanas dan serai berhasrat mengembangkan kegiatan dengan menternak ikan air tawar.

Zawyah, Zuraini lali sindiran, yakin hasil pertanian mampu atasi gaji eksekutif

SEGULUNG ijazah kini bukanlah lesen mudah untuk mendapatkan pekerjaan. Pada zaman yang kian mencabar ini siswazah perlu bijak mencipta kerjayanya sendiri dan tidak harus mengharap kerja makan gaji dengan kerajaan atau swasta.

Sikap siswazah yang masih lagi mengharapkan kerja makan gaji menyebabkan ramai di antara mereka yang masih menganggur. Ketika itu keadaan lebih merumitkan, lebih-lebih lagi terpaksa bersaing dengan graduan baru menamatkan pengajian.

Sehubungan itu, mereka perlu bijak merebut peluang mengambil inisiatif sendiri dengan menceburi bidang pertanian, perniagaan atau keusahawanan yang berpotensi luas untuk diteroka.

Negara kita yang subur dan iklimnya yang amat sesuai untuk pelbagai jenis tanaman menyediakan peluang yang baik kepada sesiapa saja, terutama siswazah jika mereka berminat dengan bidang pertanian.

Mungkin ada segelintir mereka yang kurang berminat dengan aktiviti pertanian kerana pekerjaan itu tidak glamor apabila terpaksa berjemur di bawah panas terik matahari, bergelumang dengan tanah dan berpeluh serta pakaian yang kotor.

Namun bagi dua graduan wanita di Pokok Sena, Kedah, mereka sanggup meninggalkan jawatan eksekutif di sebuah firma hartanah di Kuala Lumpur kerana minat yang tinggi dalam kegiatan pertanian.

Mereka juga tidak mahu terkongkong dengan kerja makan gaji, sebaliknya mahu berdikari dan mengusahakan tanah yang terbiar sekian lama di sekitar kampung mereka.

Zawyah Kameh, dari Kampung Mata Air dan rakannya, Zuraini Taib, dari Kampung Panchur percaya aktiviti pertanian secara komersial mampu memberi pulangan lumayan dan mereka memulakannya hampir setahun lalu.

Kedua-dua mereka yang berusia 30 tahun dan sudah berkawan sejak zaman persekolahan, memulakan kegiatan itu dengan tanaman nanas seluas 1.5 hektar membabitkan sebanyak 35,000 pokok di Kampung Mata Air, Pokok Sena.

Zawyah berkata, memang pada mulanya masyarakat memandang serong dengan keupayaan wanita sepertinya tetapi bagi beliau ia dilihat sebagai cabaran yang perlu dibuktikan dengan kejayaan.

“Sejak hari pertama kami memegang cangkul pelbagai sindiran diterima. Ada yang mengatakan ia tidak sesuai dengan kami kerana berkelulusan universiti dan ada pula yang mempertikaikan kemampuan wanita untuk mengusahakan kebun yang memerlukan tenaga dan tahan berpanas serta hujan.

“Semua itu kami anggap sebagai dugaan dan cabaran untuk berjaya apatah lagi tanaman nanas memerlukan kesabaran kerana daunnya yang berduri,” kata pemegang ijazah Pengajian Alam Sekitar dari Universiti Malaya, ketika ditemui baru-baru ini.

Mereka sama-sama mengumpul modal RM7,000 untuk memulakan usaha itu.

Beliau berkata, segala penat lelah yang ditaburkan selama ini hampir berbalas apabila nanas moris yang ditanam di atas tanah yang disewa daripada penduduk kampung sudah mula dituai dan amat berterima kasih kepada pihak berkuasa, termasuk Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang banyak membantu.

Zuraini pula berkata, disebabkan tanaman nanas itu lambat memberikan hasil, mereka terpaksa memajak kebun getah penduduk kampung untuk ditoreh pada sebelah pagi bagi menampung perbelanjaan harian.

“Kami memang berasal dari kampung dan tidak kekok menoreh getah.

“Wang hasil getah itu juga kami gunakan untuk membeli baja tambahan untuk memastikan pokok nanas subur dan buahnya berkualiti,” katanya yang berkelulusan ijazah Pentadbiran Perniagaan dan Universiti Utara Malaysia, Sintok.

Beliau berkata, mereka pernah mengikuti kursus Skim Usahawan Tani Komersial (SUTK) anjuran Agro Bank yang dijadikan syarat untuk mendapatkan pinjaman, tetapi permohonan pinjaman mereka ditolak.

“Ia tidak mematahkan semangat kami dan kami akan buktikan kepada pihak bank yang kami mampu mengusahakannya sendiri walaupun terpaksa meminjam daripada ahli keluarga.

“Mungkin kebanyakan petani lain juga berdepan masalah sama dan ia memerlukan perhatian pihak tertentu,” katanya yang dibantu dua pekerja.

Menyedari sektor itu menjanjikan potensi yang baik, mereka mempelbagaikan tanaman, termasuk kacang bendi seluas 0.5 hektar serta rozel dan serai masing-masing 2.5 hektar.

Kegigihan dan semangat kental graduan wanita itu membuka mata Jabatan Pertanian Daerah Pokok Sena yang memilih untuk menempatkan mereka di kawasan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dengan saiz tanah 5.83 hektar.

Mereka bercadang mengembangkan kegiatan itu dengan ternakan ikan air tawar tidak lama lagi.

Zuraini yakin, apabila semua tanaman dan ternakan ikannya mengeluarkan hasil nanti, pendapatan mereka mampu mengatasi gaji seorang eksekutif di pejabat berhawa dingin.