Pak Latif tauke jeruk Melayu

wt_01.1

Isteri Pak Latif, Hindun Husin (kanan) bersama dua anaknya, Abu Amar dan Sarah di tapak jualan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan negeri Kelantan 2009 di Kota Bharu, baru-baru ini.



KOTA BHARU 28 Julai – Jika ke Pulau Pinang, antara ole-ole yang dicari pelawat untuk dibawa pulang sudah semestinya jeruk buah pala sebagai tanda sudah menjejaki negeri ‘anak mami’ tersebut.

Namakan apa sahaja jenis jeruk buah sekalipun, daripada mangga kepada buah ceri, daripada kedondong kepada kelubi, pengusaha dari negeri itu sedia membekalnya kepada pasaran.

Namun hampir seratus peratus yang mengeluarkan produk makanan ini adalah dari kaum lain walaupun majoriti yang meminatinya adalah orang Melayu.

Melihat situasi tersebut, bekas pekerja bawahan tauke jeruk, Abdul Latif Hashim, 52, dari Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang berusaha menjadi Melayu pertama mempelopori perusahaan ini 18 tahun lalu.

”Peminat jeruk buah boleh dikatakan 85 peratus orang Melayu tapi nak mencari pengusaha Melayu seorang pun susah,” kata pengurus Jeruk Pak Latif Enterprise itu kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Beliau ditemui ketika turut serta dalam program Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri Kelantan 2009 di perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV baru-baru ini.

Abdul Latif yang hanya berkelulusan setakat sekolah rendah dan bekerja di kilang besi pada peringkat awal berkata, keazamannya timbul kerana tidak mahu lagi menjadi kuli dan hanya mendapat upah bulanan yang tidak setimpal dengan keringat yang dicurahkan.

”Semasa makan gaji, sayalah tukang pilih dan beli buah di pasar dan saya juga yang terlibat dalam proses menjeruk dan memasarkannya. Selepas dua tahun saya menimba pengalaman antara 1989 dan 1991, saya terfikir sudah tiba masa mengubah nasib diri dan berusaha sendiri,” katanya.

Menurut Abdul Latif, untuk memantapkan lagi ilmunya, dia mengambil kursus dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi mengenal pasti bahan kimia dan kuantitinya yang sesuai digunakan dalam proses menjeruk.

Jelasnya, menjeruk buah melibatkan proses ‘menggaram’ dan ‘menggula’ yang memakan masa antara 2 minggu hingga 3 bulan bergantung kepada kehendak dan keperluan pasaran pengusaha.

Bermula dengan perusahaan di rumah, dia kini mempunyai kilang, dewan dan bengkel yang berjaya didirikan hasil bantuan dan kerjasama dari pihak Jabatan Pertanian Pulau Pinang, Persatuan Peladang Kawasan (Peladang) dan juga Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri itu.

”Mereka menyediakan saya dewan dan bengkel tersebut untuk membolehkan saya mengadakan kursus bagi orang lain yang berminat mengusahakan jeruk buah,” katanya.

Jelasnya, hasil dari kursus yang diadakannya sejak Januari tahun ini telah berjaya melahirkan tujuh orang pengusaha jeruk buah Melayu yang aktif di Pulau Pinang dan Perak.

”Ada antara ‘bekas murid’ saya itu kini menjalankan perniagaan dengan modal pusingan RM100,000,” katanya bangga.

Dari gaji RM400 sebulan semasa bekerja kilang dulu, Abdul Latif bersyukur kerana hasil jualan jeruk buahnya yang diedar kepada pemborong mencapai angka lebih RM12,000 sebulan dan dapat mengambil pekerja seramai 7 orang termasuk dua orang anaknya.

Anak perempuannya, Sarah, 25, berkhidmat sebagai pengurus akaun manakala Abu Amar, 24, bertanggungjawab dengan pemasaran jeruk buahnya di luar Pulau Pinang.

”Jeruk buah saya yang terjamin halal dan bersih dipasarkan bukan sahaja di Pulau Pinang bahkan juga di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perak, Melaka dan Kuala Lumpur. Insya-Allah, pada pertengahan 2010 syarikat saya akan menembusi pasaran Singapura dan Brunei,” katanya.

Baru-baru ini, produk beliau yang dibungkus dengan jenama ‘Jeruk Mutiara’ mula masuk ke pasar raya besar Tesco di Kuala Lumpur.

Abdul Latif amat berterima kasih dengan isterinya, Hindun Husin, 46, yang menjadi pendokong utama beliau dalam perniagaannya itu.

”Hindunlah yang membantu saya mengurus setiap kali saya terpaksa keluar kerana menghadiri kursus dan mengembangkan perniagaan, saya terhutang budi padanya,” katanya.

Katanya, mereka yang berminat menceburi perniagaan ini boleh memulakan langkah dengan menghubungi urus setia kursus jeruk buah yang diadakan dengan kerjasama FAMA, Peladang dan Jabatan Pertanian melalui talian telefon 019 444 7105.

”Kursus selama tiga hari yang mengajar peserta seramai 20 orang setiap sesi cara-cara menjeruk buah secara amali dari awal hingga akhir termasuk kaedah pemasaran dan bahan kimia yang akan dibekalkan sebagai latihan apabila mereka pulang ke tempat masing-masing,” katanya.

Abdul Latif yang sudah mengadakan kursus kepada lebih 75 peserta bukan sahaja di Pulau Pinang tetapi juga di Perak dan Kelantan.

Belia contoh usahawan tani

BIDANG pertanian kini semakin mendapat tempat di hati belia dan mereka mula menceburi bidang pertanian secara sepenuh masa dengan tekad untuk menjadi usahawan tani yang berjaya.

Ada antara mereka sanggup berhenti kerja kerana ingin berdikari tanpa makan gaji.

Ini membuktikan bahawa persepsi belia tehadap pertanian mula berubah dan minda mereka mula terbuka untuk menyahut seruan kerajaan agar menghijaukan kawasan sekitar dengan pelbagai tanaman sebagai persediaan menghadapi krisis makanan sekiranya ia berlaku.

Di daerah Batu Pahat misalnya, ramai belia yang menceburkan diri dalam pertanian dan penternakan berjaya menjadi usahawan belia dan ternak yang boleh dicontohi.

Ada antara mereka yang telah dianugerahkan belia dan wira tani bagi peringkat negeri dan kebangsaan Kesemua itu menjadi pemberi semangat kepada dua beradik Azman Saari, 25 dan Almizan Saari, 27 dari Kampung Parit Tengah, Sri Merlong, Rengit Batu Pahat bekerja keras dalam merealisasikan impian mereka untuk bergelar usahawan tani berjaya suatu hari nanti.

Lebih beruntung apabila hasrat mereka mendapat sokongan dan galakan daripada keluarga juga wakil rakyat Rengit, Ayub Jamil yang sentiasa memberi semangat juga meninjau projek pertanian yang mereka usahakan.

Seterusnya mereka dijadikan sebagai model bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit kepada

Gerakan Ekonomi Desa Baru yang diperkenalkan oleh Jawatankuasa Penyelaras Mukim-Mukim (JPMM) DUN Rengit dengan menanam cili secara fertigasi.

Meskipun mereka tidak pernah mengikuti sebarang kursus penanaman tetapi minat yang mendalam serta pemantauan daripada JPMM DUN Rengit membantu dua beradik ini menjadi petani yang berjaya tanpa bekerja makan gaji.

Mereka bermula dengan menanam cili kampung menggunakan benih daripada pokok cili kampung yang ditanam ibu mereka di belakang rumah.

Bermula dari situ mereka berfikir mengapa tidak diusahakan secara komersial kerana harga cili kampung mahal di pasaran.

”Kami menyemai benih cili ke dalam polibeg lebih kurang 80 pokok dan dalam masa empat bulan buahnya sudah boleh dipetik,” kata Azman.

Azman yang pernah bekerja sebagai pekerja industri di daerah Batu Pahat berkata, dari situ mereka mula yakin untuk menanam cili taiwan hibrid secara fertigasi sebagaimana yang diusulkan oleh JPMM DUN Rengit dengan penggunaan bioteknologi.

Mereka bermula enam bulan lalu dengan modal RM6000 dan menanam 500 pokok cili taiwan hibrid di kawasan belakang rumah dengan keluasan 90 x 40 kaki dengan menggunakan teknik fertigasi.

Mereka menyemai benih cili di petak semaian selama 30 hari sebelum ia dipindahkan ke dalam polibeg di tapak semaian yang telah disediakan.

Cili taiwan dipilih kerana ia mampu mengeluarkan hasil dalam masa dua bulan.

Setakat ini menurut Azman dan Almizan, cili taiwan sudah dua musim berbuah, pada musim pertama mereka mendapat lebih 200 kilogram cili manakala pada minggu kedua musim kedua lebih 200 kilogram cili telah dipetik dan ini katanya membuktikan bahawa peningkatan hasil cili musim kedua melebihi pada musim pertama.

Almizan yang sebelum ini bekerja di Singapura, pulang ke Malaysia setelah kontraknya tamat merancang untuk terus bersama adiknya dalam mengusahakan projek penanaman cili ini kerana ia memberi kepuasan apabila tanaman mengeluarkan hasil dari titik peluh mereka sendiri.

Hasil usaha

Untuk meneruskan kerja di Singapura buat masa ini amatlah sukar sementelahan pula dalam keadaan kes influenza H1N1 yang semakin menular di negara jiran itu. Justeru dia amat berharap agar hasil usaha mereka mendapat pulangan yang memberangsangkan.

Walaupun mereka sedar bahawa harga cili sentiasa turun naik dan kini harga cili hanya RM8 hingga RM9 sekilogram tetapi semangat kedua beradik ini tidak pernah luntur malah mereka yakin harga cili tidak akan jatuh lebih rendah dari itu.

Untuk menambah pengetahuan dalam bidang pertanian mereka tidak jemu menimba pengalaman daripada mereka yang telah berjaya dan sentiasa mencari kelemahan serta bagaimana cara untuk mengatasinya.

”Kami masih baru lagi dan masih banyak yang perlu diketahui serta dipelajari agar apa yang kami usahakan tidak akan terbantut di tengah jalan,” jelas Azman.

Apa yang penting mereka sentiasa mencari apa yang terbaik untuk tanaman mereka agar kualiti tanaman sentiasa terjaga justeru Almizan dan Azman sering meminta pandangan daripada JPMM DUN Rengit yang menyediakan kursus kepada sesiapa sahaja yang berminat.

Setakat ini mereka tidak menghadapi masalah dalam memasarkan hasil tanaman mereka.

Mereka memasarkan sendiri hasil tanaman di sekitar daerah Batu Pahat serpeti di pasar awam juga pasar raya besar dan permintaan amat memuaskan.

”Meskipun harga cili turun naik tetapi permintaan terhadap cili tidak pernah berkurangan,” ujar Azman yakin.

Mereka memilih untuk menanam cili taiwan hibrid kerana penjagaannya tidak cerewet serta hasilnya boleh dipetik dalam masa dua bulan.

Bagaimanapun dalam musim cuaca yang tidak menentu kini seperti terlalu panas serta hujan yang tidak menentu boleh menyebabkan kualiti pokok cili terganggu justeru penjagaan rapi amat penting bagi menjaga agar buah yang dihasilkan berkualiti.

Ahli DUN Rengit, Ayub Jamil ketika ditemui melawat projek tanaman cili kedua beradik ini memberitahu tidak ramai anak-anak muda yang sanggup berhenti kerja dan menceburkan diri dalam bidang pertanian kerana kurang yakin dengan pulangannya.

Bagaimanapun tambah Ayub, kegigihan dua beradik ini patut dicontohi oleh anak-anak muda lain khususnya di DUN Rengit kerana pertanian pada hari ini telah merupakan satu perniagaan yang mampu meraih pendapatan lumayan.

Izwan penternak berjaya

wj_01.1

Mohd. Izwan Samani lebih rela bergelumang dengan kambing daripada kerja makan gaji. – UTUSAN/ NORZAINURA ABDUL MAJID



BATU PAHAT 19 Mei – Minat yang mendalam dalam bidang penternakan dan pertanian mengubah kehidupan Mohd. Izwan Samani, 27, apabila kini menjadi penternak dan petani yang berjaya.

Disebabkan minat itu, beliau sanggup menamatkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Awam dan Kaji Ukur ketika berada di tahun dua untuk ‘terjun’ dalam bidang pertanian.

Katanya, bidang tersebut menjanjikan kepuasan dan pendapatan lumayan serta bertepatan dengan sikapnya yang tidak mahu bekerja makan gaji atau berada di bawah pengawasan orang lain.

Pengorbanannya itu ternyata tidak sia-sia dan mendapat sokongan sepenuhnya daripada keluarga yang banyak membantu serta memberinya semangat untuk berjaya.

Bahkan kini, Mohd. Izwan boleh berbangga kerana dianggap berjaya dalam bidang tersebut dan merupakan salah seorang belia tani contoh bagi masyarakat setempatnya.

Katanya, beliau bermula menternak lembu dengan modal RM28,000 sejak enam tahun lalu melibatkan sebanyak 32 ekor dengan bantuan dan sokongan keluarga juga adik-beradiknya.

“Saya memang minat dalam bidang penternakan dan pertanian, saya terfikir bila saya habis belajar saya dapat diploma dan saya akan bekerja di bawah pengawasan orang lain.

“Itu yang membuatkan saya nekad untuk berhenti dan teruskan dengan minat saya,” ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Kemudian, katanya, beliau pulang ke kampungnya di Parit 4, Sri Dayong Mukim 18, Sri Medan di sini untuk memulakan bidang penternakan di tanah milik keluarga berkeluasan 2.4 hektar.

Daripada 32 ekor lembu beliau berjaya membiakkannya menjadi 80 ekor dua tahun kemudian, katanya.

Namun, menurutnya, disebabkan ternakan lembu memerlukan kawasan yang luas maka kesemua lembu itu dijual dan hasil jualan itu digunakan untuk membeli kambing biri-biri bulu halus.

“Untuk memelihara kambing, saya telah mengeluarkan modal sebanyak RM45,000 untuk kandang kambing dan kira-kira RM70,000 untuk membeli baka kambing sebanyak 80 ekor,” katanya.

Di samping menternak kambing, Izwan juga menternak 80 ekor ayam kampung dan mengusahakan tanaman kontan seperti 120,000 pokok ubi, 13,000 keladi dan keledek juga 700 pokok pisang di tanah seluas 5.6 hektar.

Selain pengalamannya, dia turut menimba ilmu dengan mengikuti kursus menternak di Institut Haiwan Ayer Hitam sebelum memulakan projek ternakannya.

“Selain itu, saya sentiasa mencari pengalaman dan belajar dari mereka yang telah berjaya,” katanya.

Pekasam Mohd. Ali istimewa

wu_011

IKAN-ikan air tawar dibersihkan dahulu sebelum diproses secara tradisional untuk dijadikan pekasam bagi menjamin keenakan rasanya.



SIK 1 Mei – Jika ke Kampung Jelutong, di sini, kunjungan anda mungkin tidak lengkap tanpa membawa pulang ‘buah tangan’ istimewa yang dihasilkan oleh penduduk- penduduknya.

Antara menarik perhatian ialah pekasam Mohd. Ali Ahmad yang dibuat secara tradisonal tetapi sedap untuk dimakan walaupun penghasilannya agak berbeza daripada pekasam-pekasam keluaran lain dengan menggunakan jenama Klasik.

Menurut pemilik Dalif Enterprise berusia 41 tahun itu, produknya dihasilkan mengikut resepi asal pekasam tanpa menokok tambah bahan-bahan lain bagi menjamin kualiti dan supaya ia kelihatan segar dan sedap.

”Saya cuma gunakan ikan air tawar, beras dan garam sebagaimana tertera pada pek pekasam keluaran saya…Itu sahaja,” katanya yang mengusahakan pekasam di sebuah bengkel di depan rumahnya di kampung berkenaan.

Menurutnya, pelbagai jenis ikan air tawar dijadikan pekasam olehnya tetapi yang sering mendapat perhatian ialah lampam, pucuk pisang dan terubo kerana lebih mudah didapati di pasaran.

Mohd. Ali menjelaskan, dia mendapat bekalan ikan air tawar daripada orang kampung termasuk pengusaha kolam ternakan ikan di kampung berkenaan dan kawasan berhampirannya.

”Penghasilan pekasam ini dijalankan secara sepenuh masa dengan bantuan daripada kaum keluarga terdekat.

”Pembuatan pekasam telah lama saya lakukan, pada tahun 2000 iaitu di rumah saya tetapi pada 2006 saya buat di premis khas yang dibina kerana ia agak selesa disebabkan mempunyai ruang lebih luas.

”Ia bermula dengan sedikit-sedikit, modal agak kecil dalam lingkungan RM1,000 bagi pembelian ikan dan pembinaan premis berkenaan,” katanya.

Kata Mohd. Ali, kejayaan diperolehnya adalah hasil bantuan agensi tertentu terutama Jabatan Perikanan yang memberi pinjaman RM30,000 selain mendapat kerjasama daripada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) termasuk Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

Menurut Mohd. Ali, dia menjual pekasam dengan harga RM3 bagi setiap pek mengandungi 220 gram ikan dan kini bukan sahaja dikenali di Kedah, malah di seluruh negara menerusi pengunjung yang pernah melawat di kampung berkenaan.

”Memang belum ada promosi tetapi kebetulan ramai orang luar berkunjung ke kampung ini iaitu salah sebuah kampung contoh di Kedah, jadi mereka singgah membeli pekasam saya untuk dibawa pulang dan dihebahkan kepada orang lain.

”Malah, pekasam saya pernah diletakkan di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) di Serdang baru-baru ini,” katanya.

Mohd. Ali menjelaskan, dia kini merancang untuk membesarkan lagi perniagaannya termasuk menambah sebuah lagi bangunan berhampiran premis sedia ada.

”Sekarang cuma ada premis ‘kering’ serta sebuah premis ‘basah’ akan dibina khusus untuk kerja-kerja memproses ikan sebelum ia dipek dan sudah tentu pekasam dapat dikeluarkan dalam kuantiti lebih banyak,” katanya.

Bagi mereka yang ingin menempah pekasam Mohd. Ali atau menjalankan urus niaga, boleh menghubunginya menerusi talian 019-5028134.

Noor Aini usahawan roti

wu_0112

ANTARA roti dan kek beraneka jenis yang diusahakan oleh Noor Aini Abdullah di sekitar Pekan Sik Kedah.



SIK 23 April – Mungkin ramai tidak sanggup melepaskan jawatan bergaji tetap, apatah lagi ketika berada di kampung halaman sendiri semata-mata untuk menjalankan perniagaan khususnya pada zaman kemelesetan ekonomi.

Perkara ini bagaimanapun berbeza dengan seorang bekas lepasan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Noor Aini Abdullah, 28, dari Kampung Sungai Semiar, Jeneri, di sini, yang sanggup meninggalkan jawatan berstatus pengurus untuk menghadapi cabaran lebih besar iaitu membuka kedai roti dan kek.

Pemegang Ijazah Bio-Teknologi itu berkata, sebelum ini, dia pernah memegang jawatan pengurus akaun di sebuah koperasi di bandar ini sebelum menyertai sebuah yayasan sebagai pengurus projek tetapi kemudiannya beralih ke bidang perniagaan pada 2007.

Menurut Noor Aini, dia tidak menyesal meninggalkan jawatan berkedudukan tinggi itu kerana selain menyahut seruan kerajaan untuk menambah jumlah usahawan di kalangan bumiputera, bidang perniagaan diceburinya ternyata membuahkan hasil cukup memberangsangkan.

Menyewa sebuah kedai kecil di Stesen Bas Sik, Noor Aini menjalankan operasi kedai roti dan kek atas jenama Srikanis yang ternyata mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

”Saya memulakan perniagaan dengan modal RM15,000 termasuk membeli ketuhar, mesin pengadun dan sebagainya dengan mendapat kerjasama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) serta FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan).

”Saya belajar membuat roti dan kek daripada rakan-rakan sewaktu di Unimas dan mengikuti kursus di Kolej Komuniti di sini, ditambah dengan kreativiti sendiri untuk mencuba sesuatu resepi,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Dengan dibantu dua pekerja, Noor Aini memberitahu, dia bukan sekadar menjual produk keluarannya itu di gerai tersebut, malah menjadi pembekal tetap roti daging dan pizza di sekolah-sekolah sekitar daerah Sik, Baling dan Sungai Petani dan Yan.

”Syukur kerana setakat ini saya menerima tempahan roti daging dan pizza untuk sekolah-sekolah sebanyak 1,000 biji sehari.

”Produk keluaran saya khususnya roti daging cukup disukai tetapi bagi menjaga kualiti, saya mengeluarkannya mengikut tempahan kerana ia tidak boleh disimpan lama,” tambahnya yang mendapat galakan daripada suami, Noor Azman Othman.

Selain itu, kata Noor Aini, dia menjual biskut dan kuih tradisional seperti baulu dan sebagainya.

”Sambutan baik, selain roti daging dan pizza, biskut, kuih tradisonal dan kek menarik minat ramai mengikut musim.

”Contohnya, pada musim cuti sekolah, saya menerima banyak tempahan kek untuk majlis-majlis perkahwinan yang diadakan pada ketika itu,” katanya.

Noor Aini berkata, keluaran kedainya itu dijual pada harga berpatutan mengikut jenis iaitu dari serendah 80 sen hingga RM1.50 untuk roti dan RM15 hingga RM70 untuk kek.

”Cadangan saya tentulah untuk membesarkan perniagaan dan saya akan tingkatkan lagi usaha bagi mencapai matlamat tersebut,” katanya.

Bagi mereka yang berminat untuk membuat tempahan, boleh menghubungi Noor Aini menerusi talian 019-5932049.

Penjinak kakak tua


mainpix
Rumah burung kakak tua cantik dihasilkan oleh Ghani.

Ghani jadikan hobi sebagai punca pendapatan

SETIAP individu mempunyai hobi tersendiri, sama ada sebati dengan jiwanya, untuk sumber pendapatan dan kedua-duanya. Jika hobi membawa untung, lebih baik diteruskan kerana sudah pasti membawa hasil.

Begitu juga dengan Shek Mamad Hussin Shahib, 54, yang mempunyai minat memelihara burung kakak tua. Bermula sekadar hobi mencari keseronokan sejak lima tahun lalu, beliau kini mempunyai lebih 100 burung kakak tua pelbagai jenis.

Shek Mamad atau Ghani dianggap antara penternak burung kakak tua berjaya, bukan saja kerana mempunyai jumlah burung yang banyak tetapi membuktikan kemampuan membiakkan baka yang menjadi pilihan ramai.

Bermula dengan membeli seekor kakak tua daripada kenalan di Kajang, Selangor, diikuti burung kedua dibeli di Taiping, Perak, kini rumahnya di Taman Seri Gombak, di sini ibarat mini zoo menempatkan pelbagai jenis burung yang mempunyai tempat pembiakan.

Berkongsi minat sama dengan anaknya, Shek Nizam, 29, mereka melihat penternakan itu sebagai satu industri yang menjanjikan permintaan tinggi, sekali gus membantu merealisasikan impian membiak sebanyak mungkin baka terbaik kakak tua.

Daripada lebih 100 kakak tua miliknya, sudah pasti ada yang menjadi pilihan dan mencuri tumpuan pemilik dan peminatnya.

mainpix2
Ghani bersama burung kakak tua yang jinak.

“Spesies African Grey paling diminati kerana boleh bercakap. Agak pelik tetapi itulah hakikatnya dan kajian saintifik mendapati, spesies itu mempunyai memori sangat baik, boleh merekod dan mengingati 500 patah perkataan.

“Burung jenis ini juga agak cerdik berbanding spesies lain, misalnya tahu membezakan warna dan mampu mengumpulkan barang di satu tempat mengikut jenis warna. Sebab itu saya katakan peminatnya cukup ramai,” katanya.

Ketika menemuinya, baru-baru ini, penulis cukup bertuah kerana ketika itu ada empat anak burung berusia antara tiga hingga lima minggu yang masih bayi dan perlu diberi makan. Tiga daripadanya adalah spesies African Grey.

Walaupun purata usia keempat-empat burung itu sebulan, semuanya sudah mempunyai pembeli, cuma menunggu masa untuk diserahkan kepada pemiliknya selepas disahkan sudah pandai berdiri tanpa perlu disuap makanan setiap hari.

Kebiasaannya, anak burung yang baru menetas dibiarkan bersama ibunya selama dua minggu sebelum diasing dan diletakkan di dalam ‘inkubator’ selama dua minggu. Pada minggu kelima ia akan diletakkan di dalam akuarium yang hanya mempunyai lubang kecil di atasnya.

“Ini bertujuan memastikan mereka berada di tempat yang suhunya sentiasa dikawal, tidak terlalu panas dan sejuk kerana kemungkinan besar boleh menyebabkannya mati.

“Anak burung ini diberi makan empat kali sehari sehingga minggu ketujuh. Pada minggu ke lapan, mereka dilatih makan sendiri bermula dengan makanan lembut seperti betik. Jika berjaya, catuan makanan yang disuap akan dipotong sedikit demi sedikit membolehkan mereka makan sendiri hinggalah boleh makan sepenuhnya.

“Jika disuap makanan, burung ini akan lebih jinak dengan manusia dan ini berbeza jika mereka dibela ibunya, agak liar dan susah dikawal,” katanya.

Mengenai proses memberi makanan kepada anak burung itu, Ghani menggunakan sejenis makanan ‘Kaytee Hand feeding’ yang dibancuh agak cair, seolah-olah sama seperti makanan bayi.

Makanan itu akan disuap ke dalam mulut burung menggunakan alat suntikan yang dipasang kabel di hujungnya.

Di sepanjang kawasan rumahnya dipenuhi dengan sangkar burung kakak tua, manakala satu kawasan lagi terletak di pintu masuk utama ditempatkan kawasan khas untuk burung bertelur dan mengeram. Kawasan itu jarang dimasuki bagi mengelakkan gangguan kepada burung.

Ada spesies yang mengeluarkan bunyi cukup nyaring dan bising, misalnya jenis Macaw tetapi itulah sebenarnya yang dianggap Ghani sebagai hiburan dan muzik menghiburkan kerana ia adalah bunyi semula jadi.

Ghani dan anaknya juga sering diundang untuk mengadakan pertunjukan di pusat beli belah, sekolah dan pusat peranginan membolehkan pengunjung bergambar dengan burung berkenaan.

Selain membiak burung kakak tua, Ghani juga menternak 40 rusa jenis Timorensis dari Indonesia dan Sika (rusa bintik) dari China serta puluhan itik hiasan dan pelbagai jenis kucing. Semua haiwan eksotik ini boleh disewa untuk pertunjukan.

Tanam sayuran fertigasi

HELMI Azwar Rashid mengusahakan tanaman cili dan daun sup secara fertigasi dituai di Tandop, Alor Setar. – UTUSAN/ ISMAIL KAMADIN



Bukan mudah membuat keputusan untuk seseorang meninggalkan kerjaya dalam bidang kejuruteraan dan menceburkan diri dalam bidang pertanian. Ini berbeza sekali daripada apa yang dipelajarinya di universiti.

Namun, kerana minat mendalam dan percaya dengan potensi yang ada dalam bidang pertanian, Helmi Azwar Rashid, 32, nekad untuk bergiat aktif sebagai penanam sayur-sayuran dengan menggunakan kaedah fertigasi.

Helmi berkata, sebelum ini, dia terlibat dengan penanaman cendawan bersama rakan namun menarik diri kerana ingin berdikari dalam bidang tersebut.

”Saya mula bergerak secara serius dalam penanaman sayur-sayuran secara fertigasi sejak dua tahun lalu.

”Antara sayuran yang ditanam dengan menggunakan teknik ini ialah cili, terung, daun sup dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di Pertubuhan Peladang Kawasan MADA, Pengkalan Kundor di sini baru-baru ini.

Helmi berkata, projek tanaman cili dan daun sup yang ditanam sejak dua bulan lalu telah mula dituai dan hasilnya begitu memberangsangkan.

”Saya menanam sebanyak 2,000 pokok cili dan 2,000 pokok daun sup kawasan lapang di sekitar kawasan MADA serta di Simpang Empat.

”Saya turut mendapat khidmat bantuan daripada pegawai Mardi, Kadir Yusuf dari segi nasihat tentang cara-cara penanaman sayur-sayuran secara fertigasi,” katanya.

Helmi menjelaskan, dia mengeluarkan modal sebanyak RM15,000 bagi merealisasikan impiannya untuk menjadi seorang petani moden.

Katanya, dia mendapati pokok cili dan daun sup sesuai ditanam secara berselang-seli dan selain itu, hasil daripada kedua-dua jenis sayur-sayuran ini dapat dituai serentak dalam tempoh dua bulan sahaja.

”Pada mulanya saya hanya ingin mencuba tetapi mendapati cili dan daun sup dapat ditanam secara serentak.

”Selain menjimatkan ruang, kaedah fertigasi dapat meminimumkan jumlah pekerja kerana proses pembajaan dan pengairan dilakukan secara automatik dengan menggunakan paip-paip yang diletakkan di bahagian akar pokok,” ujarnya.

Helmi menjelaskan, setiap pokok cili yang ditanam dengan menggunakan teknik ini akan dapat menghasilkan buah yang lebat dan setiap satu beg yang mengandungi pokok cili akan memberikan hasil kira-kira RM10.

”Saya beruntung kerana turut dibantu oleh rakan kongsi, iaitu, Mohd Hafiz Abdul Kadir, 19, yang begitu berminat dalam bidang ini.

”Tenaga dan kepakaran golongan muda amat diperlukan bagi memastikan bidang pertanian terus mendapat perhatian daripada golongan ini,” jelasnya.

Helmi memberitahu, sehingga kini, pasaran sayur-sayuran yang ditanam olehnya dijual di sekitar Alor Setar dan dia bercadang untuk memperluaskan pasaran sayur-sayurannya ke pasaraya besar seperti Giant dan Tesco.

”Saya tahu bukan mudah untuk menembusi pasaran tersebut namun saya yakin sayur-sayuran yang ditanam dengan teknik ini menepati piawaian pihak pasaraya tersebut,” katanya.