Kegigihan bantu Ku Hanisrahayu jadi usahawan berjaya

KU HANISRAHAYU Ku Yaakub menunjukkan kuih yang siap untuk dipasarkan di Kampung Belukar Gelong Rambai, Tunjang, Kubang Pasu, baru-baru ini.


KUBANG PASU 2 Ogos – Seorang usahawan, Ku Hanisrahayu Ku Yaakub membuktikan kebenaran pepatah Melayu ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’.

Wanita berumur 36 tahun dari Kampung Belukar Gelong Rambai, Tunjang di sini kini boleh berbangga dengan pencapaiannya selepas hampir 15 tahun menjalankan perniagaan bakeri dan kuih tradisional.

Kisah kejayaan ibu kepada empat anak berusia tiga tahun hingga 15 tahun itu bermula pada 1996 apabila dia berusaha mencari jalan untuk menambah pendapatan keluarga.

Memandangkan sejak kecil dia sering menolong ibunya, Wan Azizah Megat Ahmad, 58, membuat pelbagai kuih tradisional, Ku Hanisrahayu atau lebih dikenali dengan panggilan Anis melihat peluang untuk berbuat demikian dengan menceburi bidang tersebut.

Dengan sokongan suaminya, Ahmizan Ahmad, 38, pasangan berkenaan mula berniaga secara kecil-kecilan dengan mengambil kuih tradisional yang dihasilkan oleh seorang kenalan mereka untuk dijual di pasar malam di sekitar Jitra.

Tidak lama selepas itu, dia mengambil keputusan untuk mempelajari sendiri teknik-teknik membuat kuih bagi memenuhi permintaan pelanggan setelah kenalannya itu berhenti daripada menghasilkan kuih tradisional tersebut.

Pada 1999, Ku Hanisrahayu mula mengorak langkah yang lebih jauh apabila dia bertekad meluaskan lagi perniagaannya supaya tidak bergantung pada jualan kuih-muih tradisional semata-mata.

Bagi merealisasikan hasratnya itu, dia mengikuti kursus asas pemprosesan kek dan biskut di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) di Kuala Lumpur.

“Selepas itu jika ada iklan yang menawarkan kursus berkaitan bidang ini, saya akan menyertainya bagi menambahkan kemahiran dan pengetahuan yang ada.

“Syukur usaha itu berbaloi kerana perusahaan bakeri seperti membuat kek, roti dan biskut kini menjadi perniagaan utama kami,” katanya ketika ditemui di bengkelnya di Kampung Belukar Gelong Rambai, Tunjang di sini baru-baru ini.

Ku Hanisrahayu yang merupakan usahawan bimbingan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berkata, dia bertuah kerana mempunyai seorang suami yang memahami dan sentiasa memberi sokongan padu terhadap usahanya itu.

Malah katanya, dia juga bersyukur kerana mendapat pelbagai bantuan dan sokongan daripada agensi kerajaan khususnya menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Menurutnya, perniagaan MNA Abadi Enterprise yang ditubuhkannya turut mengekalkan jualan pelbagai kuih-muih tradisional sama ada yang dihasilkan sendiri atau orang lain terutama penduduk kampung.

“Sehingga hari ini, pasaran perniagaan kami semakin meluas dengan menerima pelbagai tempahan termasuk daripada sekolah-sekolah di sekitar Kedah dan Perlis.

“Apabila tiba musim cuti sekolah atau perayaan, permintaan pasaran meningkat dengan ketara,” katanya yang pernah meraih Anugerah Usahawan Cemerlang 2009 RISDA Kedah.

Ku Hanisrahayu memberitahu, dia sendiri tidak menyangka kini mampu meraih pendapatan bersih antara RM5,000 hingga RM6,000 sebulan hasil penat lelah membangunkan perniagaannya itu.

Sambil merendah diri, usahawan berjaya itu berkata, kejayaan yang dikecapi bukan datang dengan mudah sebaliknya pelbagai pahit getir terpaksa dilalui.

“Semasa hendak memulakan perniagaan dulu, saya terpaksa berhutang untuk membeli ketuhar dan mengumpul modal sedikit demi sedikit.

“Alhamdulillah, berkat kegigihan dan sokongan semua pihak, perniagaan MNA Abadi Enterprise berada pada tahap sekarang. Tetapi masih banyak yang perlu kami pelajari,” katanya yang mempunyai enam pekerja tetap.

MNA Abadi Enterprise merancang untuk mengembangkan lagi perniagaan dengan menambah bilangan mesin bagi meningkatkan pengeluaran dan membuka cawangan bagi memudahkan lagi urusan pemasaran serta jualan produk.

Mereka yang ingin merasai keenakan produk keluaran MNA Abadi Enterprise boleh menghubungi Anis di talian 012-4253901 atau Mizan (012-4933901).

Pilih pertanian meskipun ada tiga ijazah sarjana

Azizuzanadi Zainuddin memangku dua ekor anak kambing biri-biri baka Australia. -Foto BERNAMA

KETIKA penulis tiba di kediamannya di Kampung Hayat, Simpang Pelangai, terletak kira-kira 46 km dari Bentong, beliau sedang bertukang di kandang kambingnya.

“Beginilah kalau kerja sendirian, semua kena buat sendiri,” kata Azizuzanadi Zainuddin, 39, sambil mengetuk papan untuk dijadikan bekas makanan kambing-kambing baka Feral dari Australia.

Berbanding kambing lain yang begitu riuh mengembek, kambing-kambing Australia ini berkumpul di satu sudut ketika Azizuzanadi atau lebih mesra dengan panggilan Among, membuat kerja tukangannya.

“Kambing-kambing Australia ini baru saya dapat beberapa hari lalu, mungkin mereka tak biasa lagi dengan kandang ini, itu sebab mereka diam sahaja,” kata Among berseloroh.

Kandang kambing dua tingkat itu siap dibina Mac 2008. Kos membina kandang mencecah RM90,000 dan sebahagian besar wang diperoleh daripada pinjaman Tekun (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga) dan bantuan PPK (Pertubuhan Peladang Kawasan Pelangai).

Di bahagian bawah kandang terdapat stor menyimpan makanan, peralatan dan keperluan.

Di lantai bawah itu juga Hadi membakar rumput kering yang menghasilkan asap untuk menghalau agas dan nyamuk.

Tahi kambing turut dikumpul di lantai bawah dan dibakar untuk dijadikan baja.

Di bahagian atas terdapat beberapa petak kandang yang mengasingkan kambing ternakan mengikut jenis, saiz dan umur.

PENDIDIKAN TINGGI

Mendengar sketsa liku-liku kehidupan penternak muda ini, anak seorang pesara tentera, menunjukkan beliau bukan calang-calang orangnya dari segi pencapaian akademik.

Beliau bersekolah agama dari peringkat sekolah rendah hingga menengah. Tamat tingkatan lima, beliau memilih menyambung pelajaran di sekolah pondok, Sekolah Agama Rakyat Al-Nadhah, Kota Sarang Semut, Kedah selama dua tahun.

Meskipun mendapat peluang untuk ke Universiti Al Azhar, Hadi memilih untuk ke sekolah Pondok Sungai Jagung, Pendang, Kedah dan belajar selama tiga tahun lagi.

Tamat belajar di sekolah pondok, beliau pulang ke kampung halamannya dan membuat kerja kampung selama dua tahun termasuk menoreh getah di kebun datuk dan neneknya serta menanam pisang.

Meskipun bersekolah agama dan pondok, anak muda ini berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arau, Perlis pada 1992 dalam bidang pengajian perniagaan.

SEMUA BOLEH

Azizuzanadi menunjukkan ikan keli yang dipeliharanya di tiga buah kolah di ladangnya.

Tamat belajar di UiTM, beliau melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat untuk pengajian Ijazah Sarjana Muda Perbankan dan Kewangan di Northwood University, Midland, Michigan atas tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Tamat pengajian peringkat ijazah, beliau tidak terus kembali ke tanah air. Anak perantau ini tidak mahu melepaskan peluang menggali pengalaman bekerja di negara asing.

Beliau bukan setakat melakukan dua kerja tetapi juga menyambung pengajian di peringkat sarjana, dengan belanja sendiri, bukan satu tetapi tiga, iaitu Masters in Information System, Masters in International Business dan Masters in Risk Management.

Beliau mengikuti pengajian ketigatiga ijazah sarjana itu di Universiti Concordia, Mequon, Wisconsin.

Tamat pengajian ijazah sarjana, Hadi tinggal beberapa tahun lagi di Amerika dan memulakan perniagaan pengedaran kebanyakannya produk Industri Kecil dan Sederhana (IKs) Malaysia serta produk etnik Asia da Mexico.

“Saya menyewa sebuah gudang di Greendale, Wisconsin untuk perniagaan saya ini. Sambutan untuk produk Malaysia dan Asia memang bagus tetapi yang mengecewakan saya ialah bila saya dapat tawaran membekal sos masam manis dalam kuantiti yang besar untuk Walmart, rangkaian pasaran yang hebat di Amerika, tak ada pihak di tanah air yang sanggup membekalkan saya produk berkenaan,” keluh Among.

USAHAWAN TANI

Setelah hampir 10 tahun di perantauan, Among kembali ke tanah air pada April 2007.

“Kalau makan gaji, kita yang lelah bekerja tetapi orang lain yang mengecap kejayaannya,” jelas beliau.

Among mahu menjadi usahawan dan memilih untuk meneroka bidang pertanian di sebalik tawaran melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) dari sebuah institut pengajian tinggi awam tempatan.

“Semasa belajar di Amerika, saya berpeluang melawat banyak ladang lembu dan jagung. Saya juga pernah bekerja sambilan di ladang dan saya melihat sendiri betapa majunya peladang-peladang di negara itu. Saya diberitahu kerajaan mereka banyak membantu dan memasarkan produk yang dihasilkan.

“Sememangnya jika dibandingkan dengan industri pertanian di tanah air, kita masih jauh ketinggalan. Di situlah datang tekad untuk saya jadikan bidang pertanian sebagai karier saya,” jelas Among.

Sekembalinya ke tanah air, Among tidak membuang masa dan mengikuti pelbagai kursus termasuk anjuran Pusat Pembangunan Usahawan Malaysia (Medec), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Jabatan Perikanan Malaysia.

Antara kursus yang disertainya ialah kursus ternakan ikan dalam sangkar, kursus membuat makanan ternakan, kursus pembenihan ikan, kursus penyakit ternakan kambing dan kursus ternakan kambing peringkat ladang.

“Habis sahaja kursus ternakan ikan, saya buat dulu ternakan kambing pada Disember 2007. Saya beli 20 ekor kambing dari sebuah ladang di Nilai, Negeri Sembilan yang terpaksa gulung tikar. Saya belanja lebih RM5,000 untuk beli kambingkambing ini,” kata Among dengan menambah beliau kemudian membeli 39 ekor lagi kambing dengan kos kira-kira RM15,000.

Pada peringkat awal, Among menempatkan kambingkambingnya di tanah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Lembah Jaya, kirakira 5 km dari rumahnya.

Rutin kerjanya bermula selepas subuh termasuk menyabit rumput untuk makanan kambing-kambingnya.

“Usaha awal saya berjaya, kambing membiak dan gemuk-gemuk. Saya mendapat bantuan emak dan pakcik saya serta adiknya. Cuma bila pindah ke kandang baru, tidak jauh dari kandang asal, kambing banyak mati. Kini saya memindahkan kesemua kambing yang ada di kandang yang baru berhampiran rumah emak saya. Makanan yang diberi sama, mungkin tapak kandang tak serasi,” katanya.

TAK SEMUDAH

Menurut Among, dia hampir berputus asa bila banyak kambing ternakannya mati dan bantuan yang diharapkan daripada jabatan yang berwajib tidak diterima secepat yang diharapkan.

Hasil penat lelahnya, Among kini mempunyai kira-kira 100 ekor kambing daripada pelbagai jenis termasuk kambing biribiri dan kambing Feral dari Australia, kambing Jamnapari dari Indonesia, kambing Katjang (baka kacukan tempatan dan Anglo Nubian) dan kambing Boer.

Beliau juga membuka sebuah ladang di Jelebu, Negeri Sembilan untuk ternakan kambing biri-biri yang kini berjumlah 37 ekor dan dijaga oleh pakciknya.

Menurut Among, hasil jualan kambing dan ikan keli tahun lalu membolehkan beliau membeli sebuah lori untuk kegunaan bisnesnya.

PELBAGAI AKTIVITI

Among kini mengorak langkah mempelbagaikan ternakannya dengan mengusahakan ternakan ikan keli di tanah berhampiran ladang kelapa sawit milik pakciknya.

Beliau bermula dengan 100,000 anak ikan keli yang dipeliharanya di tiga buah kolah batu termasuk sebuah kolam tanah untuk asuhan anak benih sehingga tahap matang.

“Saya ternak ikan keli ini untuk mendapatkan aliran tunai. Sekarang, tiap-tiap hari ikan boleh dijual. Purata dalam sebulan saya boleh dapat antara RM1,000 hingga RM2,000,” katanya sambil berkata, dia juga menjual ikan keli salai dengan harga RM18 sekilo.

Among mempunyai rancangan besar untuk perniagaan ternakannya, cuma kekangan utama ialah aliran wang tunai.

Jadual kerja Among sememangnya padat, bermula sebaik selepas subuh hinggalah tengah malam. Kambing-kambingnya bukan sahaja perlu diberi makan tiga kali sehari tetapi kandang juga perlu dibersihkan.

Di antara kesibukan di kandang kambing, beliau akan menjengah kolam-kolam ikan kelinya yang terletak kirakira 200 meter dari kandang kambingnya.

“Memang banyak kerja yang perlu dibuat. Hujung minggu kerja, Hari Raya pun kerja. Kalau hendak berjaya, mesti belajar dan buat sendiri. Kena tahu apa nak buat kalau kambing sakit, kalau kambing nak beranak, kena ada pengetahuan.

“Saya biasa buat kerja dari peringkat bawah lagi. Semasa di Amerika, saya pernah bekerja dengan sebuah restoran pizza. Saya bermula daripada mencuci lantai dan pinggan sehinggalah saya diberi kepercayaan menjadi pengurus.

“Apa yang saya belajar ialah dalam apa juga pekerjaan, kita mesti handson, kita mesti tahu selokbelok semua kerja, baru kita boleh pergi jauh,” katanya sambil menjelaskan beliau mendapat bantuan ibu dan adiknya jika dia perlu meninggalkan ladang untuk urusan luar.

Isterinya, Zaibedah Zaharum, ialah pensyarah di UiTM, Segamat, Johor.

PELAN LIMA TAHUN

Among mempunyai rancangan besar iaitu mahu menjadikan Pelangai pusat ternakan dan pengeluar kambing utama di negeri Pahang.

Beliau meletakkan sasaran untuk memiliki kira-kira 5,000 ekor kambing dalam masa lima tahun di samping mengumpulkan penternak-penternak kecil di kawasan sekitar di bawah satu konsortium.

Di samping menambah baka kambing yang berkualiti, beliau juga mahu menubuhkan sebuah syarikat perdagangan.

“Saya sudah mengenal pasti seseorang untuk menjadi rakan kongsi bagi tujuan ini. Di bawah syarikat ini, saya rancang nak buat lelongan bukan sahaja ternakan termasuk kambing, lembu atau kerbau tetapi juga hasil pertanian yang lain.

“Syarikat saya akan mengendalikan rumah lelongan ini dan setakat ini, belum ada rumah lelongan di Malaysia. Mungkin lelongan ini kita boleh buat empat kali setahun.

“Kita juga boleh buat jualan secara online (internet),” katanya.

Meneroka pasaran halal dunia

Mohd. Hazrul Nizam Zainal Abidin dari Harun Puyuh Enterprise mempromosikan keenakan burung puyuh goreng, segar dari ladang.


Usahawan 1

Pakcik Harun Baba, pengusaha penternakan burung puyuh sejak 25 tahun lalu, mempunyai dua ladang ternakan puyuh seluas hampir 10 hektar di sekitar Linggi Negeri Sembilan.

Dalam satu-satu musim penternakan dianggar sebanyak 10,000 hingga 50,000 ekor puyuh diternak untuk memenuhi permintaan terhadap bekalan daging burung itu.

Atas nama mempelbagaikan produk berasaskan daging burung puyuh ini, beliau memperkenalkan menu-menu daging puyuh yang menarik, iaitu Puyuh Goreng, Puyuh Goreng Tepung, Puyuh Madu Berempah sehingga Telur Puyuh Goreng Tepung.

“Berbanding daging ayam, daging burung puyuh mengandungi khasiat pemakanan yang lebih tinggi di samping kandungan kalorinya yang rendah.

“Masakannya juga boleh dipelbagaikan seperti memasak daging ayam, tanpa ramai yang ketahui burung puyuh sebenarnya boleh menjadi ubat kepada sesetengah penyakit, terutamanya lelah atau asma,” katanya.

Di samping itu, kata Harun, amalan makan daging puyuh boleh meningkatkan dan menjadi sumber tenaga kepada badan.

Beliau yang mengembangkan perniagaan berasaskan penternakan dan memasarkan daging burung puyuh ini benar-benar ingin pergi lebih jauh dalam sektor ini.

Beliau percaya burung puyuh mampu menjadi alternatif kepada sumber makanan berasaskan ternakan dan untuk itu beliau sedia menyahut apa juga cabarannya.

Usahawan 2

Anda amat mengenali sejenis sapuan pada roti yang berasaskan coklat, iaitu jenama N ini. N satu-satunya produk seumpama itu yang pasarannya cukup meluas di negara ini.

Ramai yang menggemarinya kerana teksturnya yang lembut, lazat dan kanak-kanak begitu menggemarinya.

Namun N adalah produk import dari luar yang berjaya menembusi pasaran umat Islam di negara ini kerana mempunyai standard halal yang dibenarkan.

Namun bagi pengusaha seperti Hishamuddin Shaharom, beliau melihat akan keperluan produk seperti ini perlu dikeluarkan di peringkat tempatan.

“Saya bukan bertujuan menjadi pesaing kepada produk N itu tetapi sekadar memberi alternatif yang lebih baik untuk dipilih oleh para pengguna,” katanya yang memperkenalkan Coco V sejak Ogos lalu.

Malah tidak sahaja kekuatannya bergantung kepada keluaran tempatan kerana kilang memprosesnya beroperasi di Pulau Indah, Kelang namun yang lebih utama, jenama Coco V (V untuk Victory) adalah 100 peratus halal.

“Dengan harga yang lebih kompetitif murah berbanding N, Coco V tidak sahaja setaraf dan setanding kualitinya dengan N tetapi sebagai umat Islam adalah menjadi satu kefarduan mendapatkan sumber makanan yang halal. Coco V adalah salah satunya,” ujar Hishamuddin.

Usahawan 3

Pernah kita digemparkan baru-baru ini dengan siaran berita mengenai kisah buah betik yang diberikan baja dari najis mughallazah atau lebih tepat najis babi dari sebuah ladang komersial di negeri P.

Walaupun betik adalah buah yang sangat halal dimakan tetapi jika dari aspek pembajaannya begitu ‘kotor’ adakah kita sanggup ‘menikmati’ buah tersebut dan menjadi darah daging dalam tubuh kita?

Si pengusaha mungkin tidak ada niat untuk menyakiti hati umat Islam kerana selagi penggunaan baja ‘asli’ itu memberikan kesan yang cukup baik terhadap peningkatan kualiti buah, soal halal haram bukannya menjadi kepentingannya lagi.

Justeru, soal halal haram dari aspek pembajaan atau sebarang bahan penyubur tanah, penggalak bunga dan buah sehinggalah semburan racun serangga perlulah diambil kira. Apatah lagi dari bidang pertanian menjanjikan pelbagai sumber makanan utama manusia.

Maka syarikat seperti Inspirasi RN Enterprise dari Alor Setar, Kedah mengambil tanggungjawab ini dengan mengeluarkan rangkaian baja yang halal dari perspektif Islam.

Ini termasuklah BIOST (Bio Indah Organic soil Treatment), Bokashi E-M (Baja Organik Bermikrob), Biost-Repella (Baja Siraman & Semburan Daun dengan Pengelak Serangga dan Biost Hormone (Baja Penggalak Akar).

Pengurus syarikat, Muzammil Mohammad berkata, pada asasnya baja-baja keluaran syarikat itu adalah dari hampas tebu yang diproses untuk dijadikan baja untuk apa juga jenis tanaman.

“Baja-baja yang kami keluarkan juga adalah bebas dari penggunaan sebarang bahan kimia yang kadang kala memberi kesan sampingan kepada kesihatan dan sistem ketahanan badan sama ada dari aspek penggunaan sehinggalah pemakanan,” katanya.

Menurut beliau, pengeluaran baja yang tidak sahaja halal dan berkualiti wajar mendapat sambutan di kalangan umat Islam bagi memastikan sumber makanan dari hasil tanaman mereka adalah benar-benar suci dan bersih.

“Kami ingin memberi sumbangan yang terbaik kepada umat Islam di samping semua itu dihasilkan berdasarkan pengalaman pengasas pengeluar baja ini, Mohamad Bin Azoddin yang sejak tahun 1974 pernah bertugas di Jabatan Pertanian,” katanya.

Usahawan 4

UBAT batuk juga sering dicemari dengan pelbagai isu, terutamanya penggunaan alkohol sebagai salah satu bahan utama dalam penyediaannya. Walaupun untuk tujuan rawatan dan kesihatan, ia bukanlah alasan untuk alkohol diterima dalam Islam.

Namun yang pasti tanpa penggunaan alkohol kita masih mempunyai pelbagai bahan lain yang tidak sahaja halal malah lebih berkesan dalam merawat batuk.

Ini terutamanya penggunaan herba dan tumbuhan-tumbuhan eksotik yang Allah kurniakan kepada manusia untuk merawat pelbagai jenis penyakit.

Syarikat Seikhlas Budi dari Simpang, Taiping, Perak misalnya menawarkan sejenis kaedah rawatan batuk menggunakan kaedah sapu dan aromaterapi kepada mereka yang mengalami masalah batuk.

Kaedah ini dikenali sebagai Aromatherapy plus yang berasaskan tumbuhan Tee Tree dan Lavender.

“Dari umur bayi seawal dua bulan yang mengalami batuk, ubat batuk keluaran syarikat kami ini mampu untuk melegakan kerengsaan dan tidak selesa akibat batuk.

“Dengan kaedah ini, terutamanya kepada bayi itu sendiri kita dapat mengurangkan kesan daripada penggunaan ubat cecair yang kadang kala memberi kesan sampingan,” kata Pegawai Pemasarannya, Zulkefley Abdul Ghani.

Menurutnya, ubat yang mudah dibawa ke mana sahaja ini adalah alternatif apabila pesakit mengalami batuk tanpa mengira masa dan tempat.

“Tidak ada sebarang kesan sampingan seperti mengantuk dan sebagainya, malah bau harum Lavender mampu memberikan kelegaan yang lebih kepada pesakit,” katanya.

Keempat-empat pengusaha di atas adalah antara sebahagian pengusaha yang mengambil bahagian dalam Persidangan Halal dan Pelancongan Islam Antarabangsa (IISTHAL 2009) selama dua hari di Pusat Konvensyen Sunway, Subang, Selangor baru-baru ini.

Mereka bukan sahaja mempamerkan produk-produk keluaran untuk tujuan pengenalan atau promosi tetapi menawarkan lebih banyak produk-produk halal yang boleh menjadi pilihan kepada umat Islam.

Semua ini menunjukkan kesungguhan yang tidak sahaja untuk meraih keuntungan tetapi yang lebih penting bagi memastikan Malaysia sebagai hab halal terkemuka dunia menjadi satu realiti.

Walaupun kita mengalu-alukan penyertaan dari pelbagai pihak luar bagi merealisasikan matlamat itu namun penyertaan dari anak-anak tempatan tentunya adalah lebih dialu-alukan.

Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab berkata, untuk kebanyakan negara, industri halal adalah sektor perniagaan yang paling pantas berkembang.

Malaysia sendiri bertuah kerana mempunyai kerajaan yang telah sekian lama komited dalam membangunkan industri halal sama ada di peringkat dalam negeri mahupun antarabangsa.

“Ia melalui sentiasa bekerjasama dan melebarkan jaringan bagi memastikan perkembangan yang cerah dalam industri ini terutama antara kerajaan dan sektor swasta,” katanya semasa merasmikan persidangan itu.

Sebanyak 20 kertas kerja dibentangkan dalam persidangan yang bertemakan ‘Memperkukuh Industri Halal Malaysia dan Meneroka Peluang-peluang di dalamnya’ itu.

Ia dianjurkan oleh Global Islamic Tourism Conference & Exhibition (GITC), Khaaz International, Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) dan Pusat Pelancongan Islam.

Menurut Mirza, kini terdapat 1.5 bilion umat Islam di seluruh dunia namun malangnya negara-negara bukan Islam yang lebih mengambil untung dan manfaat dari industri halal ini.

“Bagi mengatasi ini jalan penyelesaiannya adalah mudah, iaitu seluruh negara Islam mestilah secara bersama membangunkan industri ini yang mempunyai perspektif yang sangat luas itu.

“Dengan kata lain, tidak semata-mata bergantung kepada memenuhi keperluan permintaan daging mahupun industri pertanian dan pemakanan tetapi juga segala jenis perkhidmatan yang berasaskan Islam,” katanya.

Usahawan cemerlang

Nasi lemak istimewa D’Danish Wan Nasruddin popular di kalangan pelanggan Pasar Tani Taman Sena.


KANGAR 3 Feb. – Pasar tani bukan sahaja menjadi medan jualan pelbagai hasil pertanian tempatan, malah ia juga menjadi landasan kepada individu untuk mengorak langkah lebih jauh dalam dunia perniagaan, terutama golongan belia.

Malah melalui jualan di pasar tani, ramai belia kini mampu menghasilkan produk jenama sendiri dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai.

Setiausaha Persatuan Usahawan Pasar Tani Perlis, Ku Hasrin Ku Abd. Rahman, 28, tidak mensia-siakan pengalaman yang diperoleh semasa bekerja di kilang dan kini mampu menghasilkan produk minyak kelapa dara yang diproses sendiri dengan jenama Etivico.

Anak muda ini amat serius dalam bidang berkenaan, malah turut membuat makmal sendiri bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk yang dihasilkannya itu.

“Pendidikan yang saya terima dalam bidang teknikal perindustrian ketika belajar di sebuah kolej turut saya gunakan untuk membina mesin bagi pemprosesan minyak kelapa dara,” katanya.

Menurut beliau, jualan minyak kelapa dara pelbagai perisa yang dihasilkan mendapat sambutan amat baik daripada para pelanggan, terutama mereka yang mengetahui pelbagai khasiat yang ada pada produk itu.

Ku Hasrin yang berniaga di Pasar Tani Desa Raya sejak 2007 itu turut menjual rempah ratus dengan jenama sendiri iaitu Rempah Bajet.

Rempah berkenaan dibeli secara borong, kemudian dibungkus semula dalam pek-pek mengikut saiz tertentu sebelum dijual kepada orang ramai.

Sementara itu, Muhamad Irsyad Abdul Razak, 22, pula menjual baja organik di pasar tani sejak tiga tahun yang lalu dan menariknya baja berkenaan dihasilkan sendiri dengan jenama Biodark.

Baja yang berbentuk serbuk dan cecair itu dihasilkan daripada daun-daun dan akar kayu yang terdapat berhampiran kawasan rumahnya.

Pembuatan baja itu dipelajari bapanya melalui kursus-kursus yang dihadiri seperti di Thailand, Indonesia dan Filipina.

“Penjualan baja ini amat menguntungkan tanpa perlu modal yang banyak dan saya boleh menghasilkan baja serbuk dan baja cecair.

‘‘Baja serbuk sesuai untuk daun, bunga dan buah, manakala baja cecair untuk bunga, buah dan menghindari serangga selain tidak membahayakan binatang ternakan,” ujarnya.

Muhamad Irsyad yang berkelulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bercita-cita untuk meluaskan perniagaan baja organik dan beliau baru sahaja menamatkan kursus persijilan dalam bidang pertanian.

Dalam pada itu, Wan Nasruddin Wan Nidzamuddin, 29, pula dahulunya bergiat secara kecil-kecilan menjual pelbagai jenis makanan ‘snek’, nasi lemak dan minuman di pasar tani.

Berikutan penjualan nasi lemak yang mempunyai resipi istimewa yang diwarisi daripada ibu mertuanya itu mendapat sambutan hebat daripada pelanggan, beliau terpaksa meningkatkan lagi jumlah jualannya.

Kini, nasi lemaknya mempunyai jenama sendiri iaitu D‘Danish, malah turut mendapat permintaan yang tinggi daripada orang ramai di negeri ini.

“Menyedari sambutan yang menggalakkan, kami turut melebarkan jualan nasi lemak ini ke daerah lain, malah turut mendapat tempahan untuk majlis-majlis keramaian,” katanya.

Beliau yang berniaga di Pasar Tani Taman Sena di sini sebanyak dua kali seminggu turut menjual ayam goreng dengan resipi tersendiri hasil pengalamannya bekerja di sebuah restoran makanan segera.

Waiz Kashifi puas ceburi pertanian

ag_02.1

Waiz Kashifi menunjukkan pokok cilinya yang setinggi 12 kaki.


MEMPUNYAI pendapatan tetap sebagai juruteknik di bahagian pembangunan dan kajian Power Train, Proton selama 17 tahun belum dapat memberi kepuasan kepada Waiz Kashifi Abdul Rauf, 34 tahun.

Jiwa lelaki ini nampaknya lebih cenderung ke arah pertanian, mendorongnya berhenti kerja.

Namun demikian, pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki dalam bidang automotif tidak dipersia-siakan apabila dia membawa ilmu tersebut ke dalam bidang pertanian.

”Dengan penggunaan teknologi seperti yang terdapat dalam sistem automotif, bdang pertanian dapat dipertingkatkan,” katanya bersemangat semasa ditemui di kebun kajiannya di Tabika Kemas, Seksyen 17, Shah Alam yang dijadikannya tempat latihan para belia dalam bidang pertanian.

Waiz Kashifi yang mengakui mempunyai sedikit pengetahuan dalam asas pertanian ketika itu sanggup mencuri masa mempelajari tentang pertanian ketika dihantar berkursus di luar negara oleh syarikatnya bekerja waktu itu.

”Apabila dihantar bertugas di luar negara seperti Australia, Sweden dan sebagainya, saya akan mengambil cuti untuk melawat ladang-ladang pertanian di sana.

”Saya tertarik dengan teknologi yang mereka gunakan dan ingin mempelajari agar disesuaikan dengan negara kita,” katanya yang pernah ke Jepun pada 2004 untuk mempelajari bidang biologi.

Di kebun, kajian ini yang hanya sebesar sekangkang kera atau pun sebesar kawasan tepi rumah teres biasa, Waiz Kashifi dilihat sibuk mengajar seramai kira-kira 20 orang belia daripada seluruh negara mengenai kaedah penanaman yang dapat memberikan hasil yang di luar jangkaan.

Lebih menarik ialah melihat sepohon pokok cili merah yang setinggi 12 kaki dan menjulang tingginya.

Pokok cili yang lebat berbuah ini menjadi tarikan sesiapa sahaja yang ke situ. Jika ingin memetik buahnya, terpaksalah anda berdiri di atas kerusi.

Selain cili tinggi itu, terdapat banyak lagi tanaman seperti cili api, rock melon, tomato, kobis, peria, limau nipis, limau kasturi, mangga, cili benggala dan pokok sayur kambas yang telah berusia lapan bulan namun masih berbuah lebat.

Menurutnya lagi, di kebun itu, belia yang datang belajar di situ akan diajar cara membuat baja, penggunaan enzim, penguraian mikro, kaedah tanaman cara sihat dan sebagainya.

”Pada masa ini terdapat seramai 60 orang pelajar daripada sekitar Selangor yang belajar di sini. Selain belia, ramai juga warga emas yang belajar di sini.

”Di sini kami mengamalkan sikap hak bersama yang mana masalah akan dikongsi bersama. Contohnya ladang adalah milik belia sementara saya mengajar mereka daripada segi teknikal.

”Selain itu adalah penting mempelajari keperluan pokok dan kita yang menanam boleh menentukan atau merancang hasil yang diingini seperti sebatang pokok cili boleh berbuah sehingga empat kilogram. Sebab itu di sini ada pokok paling tinggi dan paling rendah kerana kita boleh menentukannya.

”Di sini juga saya merawat pokok-pokok sakit yang dihantar oleh pelanggan seperti pokok anggur, cili dan sebagainya. Setelah pokok-pokok itu subur, pemiliknya akan datang mengambilnya semula,” katanya yang banyak mendapat jemputan mengajar di seluruh negara termasuk daripada institusi pengajian tinggi awam.

Katanya lagi, apa yang dilakukannya ini adalah untuk membantu belia dalam bidang pertanian agar mereka memperoleh pendapatan lumayan.

Cuma apa yang diharapkan agar usaha mereka ini mendapat sokongan daripada pihak kerajaan.

Baharudin petani berjaya

wj_01.1

BAHARUDIN Ridwan (kanan) menyelia pekerjanya di ladang kacang panjang yang diusahakan di Felda Maokil, Segamat, baru-baru ini.


SEGAMAT 11 Sept. – Pembangunan sosio ekonomi yang dilaksanakan Felda sebenarnya merangkumi semua aspek dan ia memberi peluang sepenuhnya kepada golongan peneroka untuk menaik taraf kehidupan keluarga masing-masing.

Tidak terhad kepada pendapatan hasil dari ladang kelapa sawit atau getah semata- mata, pelbagai galakan diberikan Felda dalam membolehkan golongan peneroka mencari pendapatan tambahan.

Salah seorang peneroka di Felda Maokil 1, dekat sini, Baharudin Ridwan, 55, yang menyahut cabaran kerajaan turut menjadi seorang petani berjaya dengan menanam pelbagai jenis pokok buah-buahan dan sayur-sayuran.

Menceritakan kerjaya keduanya sebagai seorang usahawan tani, Baharudin memberitahu, ia bermula pada 2002 bersama lapan orang rakannya.

”Kami mendapat keizinan daripada pihak pengurusan Felda Maokil untuk menanam kacang panjang dan timun di tanah rizab seluas 0.4 hektar.

”Namun sedar tidak sedar, kegiatan pertanian yang kami usahakan ini telah berkembang sehingga menjadi seluas 14 hektar,” katanya.

Menurutnya, tanaman lain yang turut diusahakan bersama rakan-rakannya termasuk kacang buncis, cili, jambu batu dan patola.

Katanya, dari semasa ke semasa, pihak Jabatan Pertanian daerah akan melakukan lawatan di kawasannya dan pelbagai khidmat nasihat, peralatan terkini serta subsidi disalurkan.

”Perusahaan pertanian ini pernah mendapat pengiktirafan dengan mendapat anugerah Naib Johan Pertandingan Amalan Pertanian Baik Peringkat Negeri Johor untuk kategori tanaman kontan.

”Kami juga telah mempunyai rangkaian pemborong tetap dan mereka akan mengambil sayur-sayur ini untuk diagihkan di seluruh daerah Segamat serta daerah berhampiran,” katanya.

Dengan kawasan tanaman yang semakin luas, dia turut mengambil golongan belia di Felda Maokil untuk bekerja bersamanya bagi mengusahakan kegiatan pertanian itu.

Sementara itu, Pengurus Rancangan Felda Maokil 1, Kamarulzaman Nordin, 56, berkata, pihaknya telah memberi kebenaran bagi penggunaan tanah rizab itu bagi membantu golongan peneroka memperoleh pendapatan sampingan.

”Saya berbangga kerana mereka komited dengan peluang yang diberikan dan telah membuktikan kejayaan,” katanya.

Kamarulzaman yang telah 17 tahun menerajui kawasan rancangan tersebut berkata, pihaknya sentiasa menitikberatkan pembangunan menyeluruh dalam menjaga kepentingan masyarakat Felda.

Pelbagai perubahan telah diusahakan pihaknya dan masyarakat Felda kini mampu menikmati kehidupan yang lebih selesa dan pendapatan lumayan.

Pak Embong jutawan keropok

MENGENANGKAN kehidupannya yang miskin lebih 25 tahun lalu, siapa sangka beliau boleh menjadi jutawan hanya mengusahakan keropok.

Itulah pencapaian menakjubkan Taib Muda, 53, atau lebih dikenali sebagai Pak Embong yang tidak mengenal kegagalan atau putus asa dalam perniagaan bagi memastikan impiannya menjadi usahawan berjaya tercapai.

Bagi penggemar keropok kering dan lekor dari dalam dan luar Terengganu, produk Keropok Ori keluaran Pak Embong bukanlah asing kerana terkenal dengan keenakan dan keasliannya.

Pembabitan awal Pak Embong dari Kampung Kubang Bujuk, Serada, Kuala Terengganu, dalam bidang itu bermula pada 1985 apabila bertekad keluar daripada kepompong kemiskinan untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.

Beliau ketika itu yang bekerja sebagai buruh terpaksa menanggung tujuh anak dengan pendapatan tidak menentu.

“Bayangkanlah dengan gaji sebagai buruh yang tidak seberapa saya terpaksa menanggung ramai ahli keluarga hingga ada ketika mengikat perut semata-mata untuk memastikan anak cukup makan dan pakaian,” katanya yang kini Pengarah Urusan Orisahanif Enterprisetika.

Selepas berbincang bersama isterinya, Suri Ngah Taib, 40, yang setia mengharungi kesusahan dihadapi mereka, Pak Embong mendapat ilham untuk memulakan perniagaan keropok kering dan lekor secara kecil-kecilan.

Walaupun pernah ada kata-kata sinis dilemparkan kepada dirinya dan keluarga ketika memulakan perniagaan, ia dianggap sebagai asam garam dan pencetus semangat untuk terus berjaya.

Dengan bermodalkan RM200, beliau yang masih muda ketika itu membuang perasaan malu apabila sanggup mengayuh beca sejauh 25 kilometer setiap hari bagi mendapatkan bekalan ikan dari jeti Jabatan Perikanan di Pulau Kambing.

Menurutnya, keropok lekor yang siap diproses bersama isterinya itu dijual di sekitar kampung dan bandar Kuala Terengganu.

Rutin mengayuh beca dengan menjaja keropok berterusan lebih sepuluh tahun sebelum keuntungan yang dikumpul dijadikan modal untuk membuka kedai menjual makanan tradisi itu di Paka, Terengganu dan Johor Bharu, Johor pada 2001.

Bagaimanapun, perniagaan berkenaan diserahkan kepada rakan niaganya untuk diuruskan sebagai strategi memperkenalkan jenama Keropok Ori.

Walaupun terpaksa menempuh jatuh dan bangun, termasuk ditipu pada peringkat awal, ia bukan penghalang buat Pak Embong untuk terus bangkit memanfaatkan modal yang dikumpulkan untuk membuka kedai keropok di Kampung Losong Haji Su pada 2006 selain berniaga di pasar malam.

Ternyata usaha dan strateginya tidak sia-sia apabila keropok keluarannya menerima sambutan hangat, terutama daripada orang luar yang bertandang ke perkampungan berkenaan.

Menyedari potensi perniagaan terbabit untuk dikembangkan, Pak Embong berkata, beliau melebarkan sayap perniagaan dengan membuka empat lagi cawangan kedai keropok di Cameron Highlands, Pahang dan Gua Musang, Kelantan awal Januari lalu.

Kini operasi perniagaan keropoknya berjalan lancar dan semua cawangan berkenaan memberi pulangan seperti diharapkannya dengan purata keuntungan RM30,000 sebulan.

Keuntungan itu juga mampu mencecah RM100,000 sebulan pada musim cuti sekolah dan perayaan.

Dengan memegang prinsip `di mana ada kemahuan di situ ada jalan’, beliau kini boleh berbangga kerana usahanya untuk keluar daripada kancah kemiskinan berjaya, malah mampu memperoleh pendapat lumayan hasil perniagaan keropok.

Pak Embong sekarang banyak menghabiskan masanya mengurus semua cawangan kedai keropoknya selain turun ke padang bertemu pelanggan.

Selain itu, bagi menampung permintaan tinggi bekalan keropok, beliau membuka pusat memproses yang berkemampuan menghasilkan satu tan keropok lekor dan kering setiap hari.

Walaupun hidup semakin mewah dengan hasil perniagaan keropok, Pak Embong tidak pernah melupakan kesusahan dilalui, terutama ketika terpaksa mengayuh beca untuk menjual keropok.

Malah, beliau sanggup menggunakan beberapa kereta mewah miliknya seperti Mitsubishi Evolution, BMW dan pacuan empat roda mengangkut isi ikan yang siap diproses dari pusat memproses sebelum dihantar ke kedainya.

Bagi Pak Embong, kejayaan diperoleh umpama mimpi daripada seorang buruh kini dirinya mampu memiliki kehidupan lebih baik berbanding ketika mula-mula menjalankan perniagaan berkenaan.

“Semuanya ini hasil daripada hasil doa selain keberkatan Tuhan terhadap usaha gigih saya untuk mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik.

“ Walaupun kejayaan ini tidak dikecapi dengan mudah, ia sebenarnya satu hikmah kepada saya supaya sentiasa menginsafi diri walaupun sudah berjaya,” katanya.

Ternyata, pelawat yang datang ke Terengganu menjadikan kedai Pak Embong sebagai destinasi persinggahan yang pasti untuk membeli keropok kering dan lekor.

“Kebiasaannya bas rombongan menjadikan kedai kami ini sebagai pelengkap lawatan mereka bagi mendapatkan keropok yang enak sebagai santapan pulang ke negeri mereka.

“Dengan harga munasabah dan dengan slogan ‘Rasa Dulu Baru Beli’ membuatkan pelanggan berasa selesa untuk mencuba sebelum membeli,” katanya.

BIODATA
Nama: Taib Muda
Umur: 53 Tahun
Asal: Kampung Banggol Katong, Serada, Kuala Terengganu
Jawatan: Pengarah Urusan Orisahanif Enterprise
Pendidikan: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
Isteri: Suri@Ngah Taib

Jenama ‘anak’ Suraiti

“JENAMA ibarat anak. Sebaik dilahirkan, menjaganya memerlukan perancangan bijak dan pembiayaan yang banyak. Selepas menempuh pelbagai penderitaan dan tangisan, akhirnya Ita berjaya menaikkan nilai tambah kepada produk,” kata Pengarah Urusan Ita Produk Sdn Bhd (Ita), Suriati Rahman.

Berkat usaha gigih syarikatnya sejak beberapa tahun lalu, kini Ita berwajah baru dengan produk terbarunya, sos barbeku lada hitam dengan enam perasa.

Ditubuhkan pada 2003 melalui gabungan ahli persatuan wanita (Usahanita) dengan Suriati menjadi pengerusi ketika itu, Ita menjadi platform kepada ahli yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan di rumah untuk memasarkan produk mereka.

Namun, lawatan dagang ke Sarawak mencetuskan idea kepada usahawan wanita itu untuk meluaskan perniagaan membabitkan produk makanan.

Katanya, dalam kunjungannya ke kilang makanan dalam tin milik orang Islam, beliau mendapati Ita berpeluang menjalin kerjasama untuk menjadi pengedar barangan makanan halal memandangkan tiada ejen memasarkan produk berkenaan di Semenanjung Malaysia.

Daripada situ, makanan dalam tin seperti sardin, kari daging, kari ayam, daging lembu kisar, kaya dan rendang ayam dipasarkan mengikut program promosi anjuran badan kerajaan seperti ekspo dan pasar tani.

Beliau berkata, melalui strategi pemasaran Ita, Tesco menunjukkan minat lalu mengundang syarikat terbabit menjadi pembekal produk dalam tin kepada pasar raya itu.

Pada 2003, Ita menerima anugerah syarikat baru harapan daripada Tesco di atas komitmen dan keupayaan memenuhi permintaan bekalan pasar raya hiper itu.

Lebih membanggakan, Ita juga berjaya memperluaskan pasaran ke pasar raya hiper lain seperti Carrefour, Giant dan Mydin.

Dalam setiap perniagaan, cabaran tidak dapat dielakkan, apatah lagi membabitkan soal kewangan.

Ia terjadi kepada Ita apabila menjadi vendor pasar raya hiper kerana memerlukan modal tinggi untuk bersaing dengan syarikat besar.

Sokongan pengiklanan dan promosi (A&P) adalah sesuatu yang tidak mampu dilakukan Ita, ditambah pula kesedaran terhadap jenama dan produk membuatkan Ita menunjukkan kemerosotan dari setahun ke setahun.

“Apabila produk dalam tin rosak, ia dipulangkan semula kepada syarikat. Kami juga perlu mematuhi pelbagai terma lain yang tidak mampu dilakukan kerana kurang pengetahuan dan persediaan.

“Pengajaran di atas pengalaman dilalui Ita, usahawan yang ingin menembusi pasaran pasar raya hiper perlu faham sepenuhnya mengenai kos pengeluaran. Kadangkala kita terlalu ghairah untuk memasuki pasaran pasar raya hiper tanpa membuat persediaan untuk menghadapi cabaran yang datang,” katanya.

Beliau berkata, syarikat hampir lumpuh kerana menanggung kerugian daripada potongan dikenakan akibat kegagalan pihaknya sebagai pembekal.

Cabaran getir terpaksa dilalui dari 2005 hingga 2007 apabila tidak mampu membuat pusingan modal.

Dengan bantuan seorang rakan yang menjadi rakan kongsi perniagaan serta pemegang saham, Sabariah Din, Suriati menghasilkan produk baru.

“Berikutan pengalaman dilalui dan selepas membuat penyelidikan, Ita menghasilkan produk yang boleh diterima dan kurang risiko. Produk baru iaitu sos barbeku lada hitam hasil pengalaman tiga tahun saya mengikuti misi dagangan ke luar negara bersama Matrade.

“Idea menghasilkan sos barbeku lada hitam tercetus ketika lawatan ke Eropah dan China. Saya dapati, ia digunakan oleh pelbagai bangsa dan negara. Gaya hidup di Malaysia yang inginkan makanan disediakan dengan cepat tetapi menyihatkan juga memberi semangat kepada saya untuk menghasilkan produk ini.

“Sos ini boleh digunakan pelbagai cara seperti perap, goreng, dimasak, dicicah atau sos barbeku. Ia didatangkan dengan pelbagai perasa bagi memberi pilihan kepada pengguna,” katanya.

Produk baru ini kini memasuki pasaran Giant di 41 cawangan seluruh Semenanjung Malaysia dan rangkaian Save More yang dimiliki Padi Beras Nasional (Bernas).

Suriati menjelaskan, beliau dulu suka membeli produk saingan dan membuat perbandingan daripada segi nilai yang pengguna dapat.

Selepas membuat perbandingan dan kajian, beliau dapati ada baiknya memberi pengetahuan kepada pengguna mengenai khasiat pemakanan daripada produk Ita.

“Makanan yang bagus ialah tiada kolesterol. Kita tidak akan jumpa produk yang ada label begitu. Ini membuatkan saya terpanggil untuk menyediakan maklumat mengenai bahan dan khasiat pemakanan. Maklumat ini penting bagi mereka yang ingin mengamalkan diet,” katanya.

Suriati berkata, selepas berjaya mengukuhkan pasaran tempatan, Ita ingin menumpukan terhadap pasaran luar negara. Produk sos barbeku lada hitam Ita mula memasuki pasaran United Kingdom (UK) akhir bulan lalu.

Berhasrat melupakan terus produk lamanya, Ita kini mengintai peluang memasarkan produk sos barbeku lada hitam ke Australia, Indonesia dan Iran yang dijangka dapat direalisasikan sehingga akhir tahun ini.

“Jika diberi pilihan, makanan runcit bukan perniagaan yang saya minati kerana memerlukan modal besar dan cabaran bersaing di pasaran terbuka. Banyak pengorbanan perlu dilakukan bagi membolehkan orang mengenali produk kita.

“Pulangan daripada pelaburan serta kepercayaan pelanggan bukan boleh diperoleh dalam tempoh singkat. Namun, hakikat yang perlu kita terima ialah perniagaan makanan tiada putusnya, orang tetap makan,” katanya.

Disebabkan itu, Suriati menyertai bidang makanan walaupun menempuh bahang keperitan bertahun-tahun lamanya.

PROFIL
NAMA: Suriati Rahman
UMUR: 57 tahun
ASAL: Meru, Klang
JAWATAN: Pengarah Urusan Ita Produk Sdn Bhd
SUAMI: Hassan Omar
ANAK: Bakhtiar (38); Nor Batty (36); Safri (29) dan Shahirul Syafiq (25)

Yusuf Raja Kurma

“INI adalah pencapaian saya selepas 30 tahun bergelumang dalam perniagaan, apatah lagi saya bermula dari zero (kosong),” kata Datuk Yusuf Taiyoob secara ringkas sebaik saja beliau mempelawa wartawan dan jurugambar Metro Ahad memasuki ruang pejabat barunya di kawasan perindustrian Bukit Minyak, Seberang Prai Tengah, Pulau Pinang.

Yang menarik, kompleks kilangnya terletak di lokasi strategik iaitu bersebelahan Lebuh Raya Utara Selatan, sekali gus ribuan pemandu tidak akan terlepas pandang melihat bangunan berwarna coklat cair itu dengan nama Yusuf Taiyoob terpampang besar di satu sudut.

Nama Yusuf Taiyoob memang tidak asing lagi di negara ini kerana sering dikaitkan dengan kurma, apatah lagi jika disebut nama seperti Safia, Wasem, Safina, Amina, Ajmal, Ajwa dan Kurma Madu Yuta.

Oleh itu tidak keterlaluan beliau layak digelar ‘Raja Kurma Malaysia’, malah anak sulung daripada empat beradik itu turut mengakui Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas, pernah memanggilnya dengan gelaran ‘Datuk Kurma’.

Kini syarikat miliknya, Yusuf Taiyoob Sdn Bhd (Yusuf Taiyoob) menjadi pembekal terbesar pelbagai jenis kurma dan produk mentah makanan kering serta basah dari luar negara untuk pasaran di Malaysia dengan kira-kira 3,000 rangkaian pengedar di seluruh negara.

Prinsip utama dalam hidup Yusuf ialah beliau tidak suka bekerja dengan orang lain atau bergelar pekerja tetapi lebih suka menjadi bos biarpun terpaksa melalui pelbagai kesukaran dan pengalaman pahit.

“Saya menghadapi banyak kesukaran dalam perniagaan pertama saya iaitu menjual minyak wangi. Pada masa itu saya berumur 21 tahun dan ada pihak langsung tidak memandang saya, tetapi saya bersyukur mendapat bantuan keluarga.

“Itu menyedarkan saya, apabila anda tiada kepentingan atau daripada syarikat kecil, orang tidak akan pandang langsung, malah anda akan ditendang ke sana ke sini,” kata bapa kepada tiga anak itu.

Yusuf yang masih kelihatan muda dan bertenaga meskipun usia mencecah 50 tahun berkata, selepas gagal dalam perniagaan minyak wangi, beliau mencuba pelbagai perniagaan lain, termasuk mengedar produk bunga safron, biji gajus, makanan kering dan rempah.

Beliau kemudian mencari bentuk perniagaan baru, walaupun menyedari kesulitan bakal dihadapi hinggalah terfikir untuk menjadi pembekal kurma di negara ini.

Walaupun menyedari wujud persaingan pada waktu memulakan perniagaan kurma pada 1990, beliau percaya sudah ada pelanggan tetap, selain harga berpatutan dengan jaminan produk berkualiti.

Yang penting, menurut Yusuf, seseorang perlu tahu tahap mana kemampuan mereka untuk bersaing dalam perniagaan yang penuh cabaran dan berliku-liku meskipun sedar kadangkala pesaing sanggup membuat apa saja dalam perniagaan mereka.

“Selain itu kita perlu bersyukur dengan rezeki diberikan Allah dan jangan cepat lupa diri,” katanya yang sentiasa merancang bentuk jenis iklan yang mahu disiarkan setiap kali menjelang Ramadan.

Dalam usaha memastikan semua produk edarannya dijamin berkualiti dan segar, beliau membelanjakan kira-kira RM5 juta untuk menggunakan teknologi terkini dalam mengendalikan stor simpanan sejuk bekunya.

Teknologi yang diimport dari Amerika Syarikat itu membolehkan sebarang kebocoran gas amonia dapat dikesan lebih awal. Sistem itu mampu memberi amaran awal secara automatik jika berlaku kebocoran.

Ketika ini kompleks itu memiliki enam stor simpanan sejuk yang mampu memuatkan kira-kira 7,000 tan barangan satu-satu masa dan dua stor simpanan kering untuk kira-kira 3,000 tan barangan.

Syarikat itu ketika ini mengimport antara 200 hingga 300 pelbagai jenis makanan daripada buah kurma, minyak zaitun, kacang dhal hingga kepada rempah ratus dari kira-kira 30 negara, antaranya Amerika Syarikat, Iran, Dubai, Afrika Utara dan Arab Saudi.

Bagi memastikan stok kurma mampu memenuhi permintaan pasaran, Yusuf memesan dan menyimpan stok berkenaan tiga bulan lebih awal dan sebaik saja musim perayaan tamat, beliau mula memesan stok untuk menyambut Ramadan tahun depan.

Menceritakan sejarah awal pembabitannya dalam perniagaan kurma, beliau pernah berdepan cabaran pertama apabila dua kontena (40 tan) kurma yang diimport dari Iran tidak berapa elok, namun beliau tidak panik.

Ini menyebabkan Yusuf pergi ke Iran untuk menemui pengeluar kurma supaya tidak menghadapi masalah sama pada masa akan datang.

“Keadaan berubah apabila saya mempunyai lebih pengalaman berbanding pada awal pembabitan. Dulu, disebabkan percayakan pengeluar dan pembekal dari sana (Iran), akhirnya saya terkena,” katanya.

Beliau berkata, syarikatnya mengambil masa antara 10 hingga 12 tahun untuk dikenali sebagai pembekal kurma di negara ini, selain kurma edarannya turut menembusi pasaran di Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei.

Pada masa ini syarikatnya mengedar lebih 10 jenis kurma seperti Rotab Bam, Safia, Mariami, Safina, Ajwa, Jewel, Ajmal dan Anbara yang dijual pada harga berpatutan.

Kurma mempunyai tiga peringkat iaitu khalal (kurma muda), rotab (kurma madu) dan thamar (kurma kering) diperolehi dari Tunisia, Oman, Iran, Afrika Selatan, Arab Saudi, Mesir dan Jordan.

“Dalam menjual kurma, kita perlu membuat penjenamaan dan teknik pembungkusan yang elok. Apabila ada jenama, orang mudah kenal produk sebelum membelinya, malah saya menitikberatkan aspek kualiti kerana keutamaan kami ialah kepuasan pelanggan.

“Saya juga memberi jaminan kepada pelanggan, kurma yang rosak boleh diganti dengan kurma yang lain,” katanya yang boleh dianggap sebagai satu daripada pengimport terbesar produk makanan di rantau Asia kerana kebanyakan produknya diimport dari lebih 30 negara.

Malah, Ramadan ini beliau sibuk membekalkan kurma kepada peniaga selepas mendapat banyak bekalan kerana sesuai dengan musim kurma pada Ogos, September dan Oktober.

Walaupun sibuk menjalankan perniagaan, kata Yusuf, beliau tidak pernah lupa untuk memberi bantuan kepada golongan kurang bernasib baik.

“Kita kena bantu orang susah sebab saya rasa seronok apabila mampu mengurangkan beban mereka, kalau ada lebih kita kena bersedekah dan beringat bahawa rezeki dikurniakan Tuhan,” katanya.

PROFIL
NAMA: Datuk Yusuf Taiyoob
JAWATAN:Pengarah Urusan Yusuf Taiyoob Sdn Bhd
ASAL: Georgetown, Pulau Pinang
UMUR: 50 tahun
ISTERI: Datin Yusnita Ramli
ANAK: Waseem (9), Safiya (6) dan Safina (3)
ADIK-BERADIK: Anak sulung daripada empat beradik
JENIS PERNIAGAAN: Kurma, makanan dalam tin, rempah, makanan kering dan jus buah-buahan

INFO
> Syarikat pertama ditubuhkan ialah Yusuf Cosmetic pada 1979. Selepas dua tahun beroperasi, syarikat pertama ditutup dan menubuhkan Yusuf Taiyoob Sdn Bhd (1988)
> Membekal 100 produk makanan dan 35 jenis kurma
> Produk diimport dari Asia Barat, Eropah dan Amerika Syarikat sebelum dieksport menggunakan jenama Yu Ta ke negara jiran termasuk Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei

INFO KURMA
> Nama saintifik kurma ialah phoenix dactylifera L
> Mengandungi karbohidrat tinggi dan membekalkan tenaga kepada manusia
> Boleh dijadikan jem, sirap dan halwa
>Kurma yang ada di pasaran antaranya kurma nabi, kurma madu, kurma merah dan kurma ajwa
> Selain kaya zat besi, kurma kaya kalium yang berfungsi menstabilkan tekanan darah dan mencegah risiko lumpuh separuh badan
> Pengambilan kurma boleh mengurangkan panas badan
> Boleh meningkatkan daya pemikiran kanak-kanak
> Kurma kaya zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, vitamin A dan C

Pengusaha biskut tanpa telur

ke_01.1

biskut air tangan Fatimah Kamaluddin sentiasa mendapat permintaan ramai kerana kelazatan dan keunikan rasanya.


DARI luar rumah lagi sudah terhidu aroma biskut yang sedang dibakar. Tusukan bau wangi yang memasuki rongga hidung itu seolah-olah menggamit jiwa untuk melihat dan merasainya. Tentu enak dan bakal membuat air liur kecur jika tidak merasainya.

Salam dijawab dan muncul seorang wanita yang separuh umur menyambut kedatangan penulis. Dari raut wajahnya yang sedikit kepenatan kerana dari pagi telah mengadun dan membakar biskut-biskut yang ditempah, namun tidak sedikitpun mengurangkan kemesraan melayan penulis.

Sempat juga penulis meninjau ke dapur melihat deretan dulang-dulang biskut yang telah diterap, sedia untuk dibakar. Manakala di oven-oven, aroma biskut bermain-main di ruang tersebut sehingga membuatkan penulis begitu teruja untuk mengetahui rahsia pembuatan biskut daripada pemilik Selaseh Home Cookies, Fatimah Kamaluddin, 54.

Menjenguk di ruang sebelah dapur pula tersusun bekas-bekas yang siap diisi dengan pelbagai jenis biskut untuk diedar kepada pengedar.

Tanpa membuang masa, perbualan dengan pemiliknya bermula. Menurut Fatimah yang lebih dikenali sebagai Mak Teh, perniagaan biskut ini bermula sejak tahun 1990 apabila ramai rakan-rakan menyarankan beliau untuk menjual hasil tangannya yang memenuhi selera mereka.

”Pada awal perniagaan sebanyak tujuh jenis biskut rekaan sendiri yang mempunyai keunikan dari segi rasa, bentuk dan bahannya iaitu London Almond, Drop Cookies, Hat Pearls, Diamond Toasted, Chocolate Almond, Strawberry Daisy dan Green Princess dijual.

”Kini, ia telah bertambah ke 15 jenis. Antaranya ialah Sugee Cookies, Capucino Chocolate, Cashewnut Oat Meal, Irish Cookies, Perdana Nut dan Snow Almond. Saya suka bereksperimen dengan bahan-bahan biskut dan dari itu lahirlah biskut-biskut yang rasanya sememangnya agak lain daripada yang ada di pasaran.

“Sehubungan itulah menyebabkan biskut-biskut saya mendapat tempat di hati pelanggan malah sebelum puasa pun ada yang telah menempahnya,” katanya yang menjadi tonggak dalam keluarganya membuat kuih raya sejak remaja lagi.

Wanita yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang ini memberitahu, satu lagi ciri yang istimewa Selaseh Home Cookies ialah kebanyakannya tidak menggunakan telur. Ia sesuai bagi golongan yang ingin menjaga kesihatan dan mengurangkan kolestrol.

”Selaseh Home Cookies juga tidak terlalu manis, sesuai yang mempunyai penyakit kencing manis. Bahkan, bahan-bahan yang dimasukkan ke dalam biskut bukan sekadar satu atau dua kekacang, tetapi pelbagai, sebab itulah rasanya cukup istimewa dan lain antara satu biskut dengan biskut yang lain,” kata ibu kepada empat orang anak lelaki yang sentiasa membantunya di dapur dan memasukkan biskut-biskut ke dalam bekas.

Ujarnya, untuk tempahan hari raya sahaja, sebanyak 80,000 hingga 100,000 biji biskut, maksimum 2,000 biji sehari akan dibuat bagi memenuhi tempahan daripada rakan-rakan, pelanggan setia dan pengedar-pengedar.

”Tempahan itu tidak membebankan kerana saya mempunyai pembantu seramai lima orang yang bekerja dari 8 pagi hingga 5 petang. Bahkan anak-anak lelaki saya yang seramai empat orang dan suami ringan tulang membantu selepas mereka habis bersekolah dan bekerja.

”Selalunya sebulan sebelum puasa, saya telah pun mula membuat biskut. Ini khusus bagi pengedar-pengedar dan agen-agen hamper yang inginkan biskut lebih awal sebagai contoh.

”Walaupun tanpa tempahan, saya tetap membuatnya kerana telah mempunyai pelanggan tetap, jadi apabila biskut telah siap, maka senanglah pelanggan akan terus mengambilnya tanpa tunggu lama,” katanya.

Tambahnya, beliau berhenti membuat biskut seminggu sebelum raya bagi memberi laluan untuk membuat kek pula iaitu kek prun, kek pandan dan kek mentega.

Bagi merasai kelazatan biskut Mak Teh atau ingin menjadi pengedar, boleh hubungi 03-61889977.