Arnab baka popular

Bentuk badannya yang comel dan bulu yang bersih serta jinak antara faktor ramai orang menjadikan arnab sebagai haiwan peliharaan.

Berdasarkan kepada ilmu zoologi, haiwan jinak tersebut sebenarnya mempunyai pelbagai spesies dan beberapa ciri istimewa yang wajar diketahui.

Sama seperti kucing sebagai haiwan mamalia, arnab berdarah panas, membiak dengan melahirkan, menjaga dan menyusukan anak tetapi ia menjadi mangsa buruan oleh haiwan karnivor.

Antara ciri-ciri arnab ialah mempunyai telinga yang panjang yang bertindak sebagai penyisih haba dan juga deria pendengaran sensitif bagi membantu arnab mengesan musuh.

Arnab juga mampu bergerak pantas dengan cara melompat dan boleh di dapati di pelbagai kawasan dan iklim, dari kawasan tundra, suhu sederhana, tropika dan gurun.

Terdapat beberapa spesies arnab tetapi yang paling popular di negara ini dan dijadikan haiwan peliharaan ialah Holland Lop, Netherland Dwarf dan Mini Rex.

Menurut seorang anggota Kelab Arnab Malaysia (MRC), yang juga pengkaji arnab, Shirrly Teo, 28, baka itu banyak dipelihara di rumah dan ada yang menjadikannya sebagai perniagaan yang menguntungkan.

“Tiga baka ini paling laris di pasaran berbanding spesies Jersey Wooly, Dwarf Hotot, Dutch, English Anggora, English Lop dan American Fuzzy Lop. Harganya berbeza kerana semakin cantik bulunya maka lagi tinggi nilainya,” katanya.

Beliau ditemui pada satu pertandingan arnab di ibu ngara baru-baru ini.

Tiga baka itu memang diimport dari Amerika Syarikat yang kebanyakannya dibeli secara dalam talian.

“Biasanya kos penghantaran melebihi RM6,000 untuk enam ekor arnab yang bermutu tinggi, selain itu mereka yang membelinya perlu mendapatkan Sijil Sah Kesihatan dari negara itu selain permit untuk urusan import eksport,” katanya.

Shirrly berkata, penjual haiwan ini biasanya menawarkan harga antara RM350 hingga RM3,000 bagi baka Holland Lop dan antara RM200 hingga RM5,000 bagi baka Netherland Draf.

“Pembeli akan menilai arnab dari segi bulunya sama ada tebal atau nipis, saiznya sama ada kecil atau besar serta bentuk mukanya yang comel. Namun begitu setiap baka ada keistimewaannya yang tersendiri,” katanya.

Makanan arnab yang diimport dari Amerika Syarikat adalah yang terbaik bagi pembesaran dan kesihatan haiwan itu seperti Timothy Hay dan pelet kerana mengandungi pelbagai khasiat yang diperlukan arnab.

“Kita tidak digalak memberi makanan seperti sayuran dan air yang tidak bersih kerana boleh mendatangkan penyakit seperti cirit-birit dan kurap, haiwan ini juga sensitif kepada cuaca yang panas dan memerlukan pengudaraan yang baik di dalam sangkarnya,” katanya.

Kini Shirrly mempunyai 150 ekor arnab sebagai perniagaan sampingannya.

“Jika dihitung memang perniagaan ini tidak mendatangkan untung yang besar namun apa yang penting adalah minat untuk membela haiwan ini,” katanya yang juga anggota Persatuan Pencinta Arnab Selangor (Pecinta).

Penggemar arnab, Jeyanthi Nadesen, 33, mempunyai seekor arnab seberat lapan kilogram yang dinamakan sebagai Opapa dari baka English Lop dan dibeli dengan harga ribuan ringgit.

“Kos untuk menjaga Opapa ialah RM200 sebulan. Saya tidak kisah menghabiskan wang kerana Opapa adalah baka induk untuk semua arnab yang saya jual di Kota Damansara,” katanya.

Jeyanthi berkata, walaupun Opapa bersaiz besar namun binatang peliharaannya itu amat manja dan tidak pernah menggigitnya walaupun lapar.

Bagi Zubaidi Hasyim, 45, yang menamakan arnabnya Kak Tun, akan membersihkan sangkar empat hari sekali bagi memastikan haiwan peliharaannya itu hidup selesa dan tidak dihinggapi sebarang penyakit.

“Anak saya yang menamakannya sebagai Kak Tun kerana begitu gemar dengan kecomelan melalui iklan di televisyen. Saya juga mempunyai 150 ekor lagi arnab yang saya namakan seperti Melur, , Aduka dan Taruna,” katanya lagi.

Pertandingan itu menarik penyertaan lebih 206 ekor arnab oleh pemiliknya dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand bagi mencari arnab yang paling cantik.

Juaranya ialah Monster dari spesies Holland Lop, milik Sally Koh, 25, dari Malaysia, dengan menerima hadiah berupa makanan dan keperluan arnab bernilai RM3,000. – BERNAMA

Sumber: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Agrobiz

RANCANGAN PEMASARAN

Rancangan pemasaran dibuat bagi mengelakkan daripada risiko buruk terhadap perniagaan. Risiko boleh dikurangkan dengan adanya maklumat tentang harga dan kuantiti yang ditawarkan di pasaran. Walau bagaimanapun, maklumat ini tidak boleh disandarkan sepenuhnya memandangkan perubahan harga yang tidak menentu tertutama barangan segar dan yang mudah rosak banyak berkait rapat dengan quantiti dan lambakan barangan tersebut di pasaran pada satu-satu masa. Namun demikian, dengan ada maklumat yang mencukupi membolehkan para petani bersedia menghadapi segala risiko yang bakal dihadapi.

Antara perancangan yang perlu dibuat untuk pemasaran adalah:

1) Menentukan tempat jualan

Dalam beberapa situasi tertentu pekebun ada beberapa pilihan. Antaranya
i) Menjual di tepi kebun
ii) Menghantar ke pasar
iii) Bekalkan kepada pemborong secara terus
iv) Menjual secara terus kepada peruncit atau syarikat besar yang menpunyai banyak kedai runcit atau pasaraya
v) Menjual kepada syarikat yang mempunyai perjanjian atau kontrak untuk membeli tanaman
vi) Menjual secara terus kepada pengguna di pekan/bandar.

2) Perbandingan harga diterima
Dengan adanya maklumat harga yang tepat, pekebun boleh membezakan harga jualan mereka dengan harga di pasaran. Oleh itu, para petani berpeluang membuat perbandingan harga terhadap harga-harga yang ditawarkan dari atau kepada orang tengah. Ini bermaksud, para petani mempunyai kuasa penentu dalam memilih orang tengah yang sesuai yang menawarkan harga yang lebih baik dan kompetetif berbanding harga semasa di pasaran. Maka, dengan itu, perundingan yang lebih tegas dapat dilaksanakan seterusnya dapat memperbaiki kualiti dan kuntiti hasil pengeluaran mereka. Hebahan harga semasa ini juga boleh dimanfaatkan para petani sebagai titik permulaan dalam perbincang dengan orang tengah.

3) Menentukan untuk dijual atau disimpan
Petani yang mempunyai produk tanaman yang mudah rosak biasanya mempunyai ruang yang kecil atau singkat untuk memasarkan hasil mereka. Keputusan harus dibuat samada mereka mungkin boleh mempercepat atau memperlambatkan hasil tuaian mereka dalam beberapa hari. Namun, kebiasaannya mereka tetap harus menjual hasil tanaman apabila telah capai tempoh matang suatu tanaman tersebut. Petani yang menghasilkan tanaman bijirin seperti jagung dan padi, atau tanaman seperti bawang dan ubi mempunyai pilihan yang lebih baik dalam memasarkan hasil tanaman mereka. Mereka boleh menyimpannya sehingga tahap harga yang lebih tinggi atau sesuai di pasaran dengan menyimpan hasil tersebut di tempat penyimpanan yang sesuai.

Perkhidmatan maklumat pasaran oleh FAMA mengandungi data tentang trend harga bermusim. Dengan ini, petani boleh memperolehi idea tentang bentuk atau trend harga bermusim. Sekiranya harga tuaian tidak akan meningkat sepanjang tahun maka penyimpanan mungkin tidak menguntungkan

4) Menentukan sama ada menanam “produk luar musim”
Petani perlu data terdahulu mengenai harga pasaran pada musim-musim tertentu untuk menghasilkan sesuatu produk. Kebanyakan petani menghadapi masalah apabila masa tuaian mereka sama dengan petani lain. Hasilnya mereka mendapat harga yang rendah kerana lambakan produk yang sama di pasaran. Data harga pada musim-musim tertentu memberikan maklumat tentang harga yang dikehendaki oleh petani daripada penghasilan suatu produk luar musim.

Walaupun begitu, kenyataan bahawa petani akan mendapat harga jualan yang tinggi tidak bermaksud mereka perlu segera merancang untuk penghasilan luar musim. Jika perkara tersebut sebegitu mudah, semua petani akan melakukan perkara yang sama. Secara amnya penghasilan luar musim melibatkan pelaburan yang tinggi (contoh, saluran plastik); kos pengeluaran yang tinggi (contoh, racun kawalan perosak) dan menyebabkan penghasilan yang rendah. Oleh itu, pekerja sokongan diperlukan untuk membantu petani untuk mengira kos penghasilan bagi menentukan unjuran jangkaan harga jualan

5) Menentukan sama ada menanam tanaman yang berbeza
Jika tanaman baru boleh meningkatkan hasil pendapatan, petani perlu cenderung untuk cuba menghasilkannya. Petani harus dibantu untuk mengira sama ada pelaburan untuk menanam tanaman baru mampu menghasilkan keuntungan atau sebaliknya. Maklumat pada harga pasaran yang lalu perlu untuk mereka membuat keputusan.

6) Mempelbagaikan tanaman

Petani harus mempertimbangkan untuk mempelbagaikan tanaman baru jika peluang terbuka luas di pasaran tertentu.

Sumber: diubahsuai daripada MOA.gov.my

Kenapa tolak teknologi berasas pengetahuan?

SAYA berpeluang bertemu beberapa orang usahawan yang mengalami pelbagai masalah dalam meneruskan perniagaan mereka. Usahawan yang pertama yang pernah saya ceritakan dulu tentang betapa susahnya mendapatkan pengiktirafan barangan dia dalam pasaran tempatan.

Untuk dia menjual produknya di luar negara dia perlu mengesahkan yang produknya diakui oleh pihak berkuasa di sini dan dijual di pasaran tempatan. Produk dia ialah perubatan dalam bidang biomed atau bioperubatan. Disebabkan ada produk-produknya yang baru, mereka yang membuat penilaian pun tidak tahu dan tidak mampu membuat penilaian yang wajar.

Dia merasa hairan kerana di mana-mana negara lain, pengeluar perubatan tempatan diberi keutamaan tetapi di negara kita semua pengeluar yang dibenarkan menjual dipasaran kita terdiri daripada syarikat asing – 14 kesemuanya. Jadi di pasaran tempatan, dia susah hendak menjual, keluar negara perlukan perakuan daripada pihak berkuasa tempatan. Di kedua-dua pasaran dia ‘terlekat.’

Minggu lepas dia terpaksa menutup kilang syarikatnya di Dungun kerana kewangan. Bank yang sudah meluluskan pinjamannya tidak melepaskan wang yang sepatutnya dilepaskan. Entah apa sebabnya. Sudahlah dilepaskan dalam jumlah sedikit demi sedikit kemudian ditahan pula.

Inilah tabiat bank yang kononnya ditubuhkan untuk membantu syarikat-syarikat kecil dan sederhana. Sesuatu perlu dilakukan kalau tujuan asal penubuhan bank ini ingin tercapai. Sesuatu yang drastik.

Usahawan kedua dalam bidang animasi. Syarikat yang terpilih untuk menjadi ikon dalam bidang animasi ini terpaksa bersaing dengan beberapa syarikat lain untuk dipilih bekerjasama dengan sebuah syarikat Jepun dalam bidang animasi.

Apabila persetujuan sudah tercapai, pihak Jepun datang ke sini untuk menandatangani memorandum perjanjian. Malangnya apabila sampai di pejabat agensi yang berkenaan dengan animasi, mereka diberitahu majlis menandatangani perjanjian itu ditangguhkan.

Masalahnya peruntukan untuk meneruskan projek tersebut tidak dinyatakan oleh pihak yang bertanggungjawab dalam kementerian berkaitan. Bukankah ini suatu perkara yang memalukan?

Kedua-dua bidang ini adalah bidang yang ingin ditonjolkan dalam Model Ekonomi Baru tetapi nampaknya hasrat untuk memastikan bidang ini menjadi tunggak dalam model tersebut mungkin tidak akan tercapai.

Seorang lagi usahawan dalam bidang hotikultur terbabit dengan genetic manipulation pokok-pokok dan tanaman seperti pisang, orkid dan pokok-pokok herba yang mana teknologi yang digunakan mampu menjana beberapa generasi pokok daripada sekarang.

Misalnya untuk menjana lima atau 10 generasi kelapa sawit kita tidak payah menunggu bertahun-tahun untuk menghasilkannya. Ia boleh dilakukan dalam sekejap masa dalam makmal saja. Begitu juga dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan benih dan pembenihan. Mutu dan variasi dapat ditambah dan dipelbagaikan.

Usahawan ini menceritakan bagaimana di pameran hotikultur di Holland tidak terdapat langsung Malaysia diwakili tetapi Singapura dan Thailand turut serta sedangkan yang diperolehi Singapura datangnya daripada Malaysia. Langsung orang tak tahu pasal Malaysia. Apa kedutaan kita dan pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam mempromosikan negara kita buat, kita tak tahulah. Setiap kali ada pameran, negara kita tidak pernah diwakili.

Kita tidak boleh hairan dengan kebolehan Singapura yang tidak ada tanah boleh menempah nama dalam bidang-bidang pertanian kerana inilah bentuk ekonomi berlandaskan pengetahuan yang kita laung-laungkan.

Tidak perlu tanah, tidak perlu kolam di luar rumah untuk bela ikan. Di Taiwan ikan diternak dalam bangunan kilang dengan mutu air yang jauh lebih baik daripada yang terdapat di kolam bertanah yang kadang kala bercampur dengan pelbagai jenis kimia.

Kalau Singapura mendakwa pisang dan orkid hasil keluaran mereka, kita tidak boleh salahkannya kerana mereka pandai menggunakan pengetahuan untuk maju ke hadapan.

Hari ini kalau orang bercakap pasal herba, orang menyangka kena ada tanah berekar-ekar baru boleh jual misalnya pokok pegaga. Hakikatnya teknologi hari ini boleh mengeluarkan intipati daripada pokok pegaga atau lain-lain herba untuk dijual atau digunakan.

Jadi apabila perlu, keluarkan saja intipati pegaga itu. Inilah bentuk teknologi berkaitan dengan pertanian hari ini sehinggakan tomato yang “kalis serangga” atau lain-lain tanaman boleh ditingkatkan hasil dan mutunya.

Hari ini kalau kita lihat sayur-sayuran yang dijual kepada kita tinggi kadar racun serangganya sehinggakan kita tidak sedar ini boleh mendatangkan penyakit seperti barah kepada kita. Peladang dan petani kita mesti mengubah sikap dan bergerak ke arah teknologi moden kalau ingin terus hidup. Kalau tidak, kita akan ketinggalan dan akhirnya terpaksa mengimport barang makanan.

Masa kini pun kita sudah mengimport makanan bernilai RM12 bilion setahun dan harga barangan yang kita import ini tertakluk kepada iklim tempat yang mengeksportnya. Kalau ada cuaca buruk, bawang misalnya akan naik harga gila-gila.

Begitu juga teknologi menangkap ikan yang masih menggunakan teknologi lama yang bukan saja rendah hasil tetapi ada masa-masanya membahayakan. Bot nelayan tidak dilengkapi dengan peralatan yang canggih seperti ultra sound ikan, tidak dilengkapi dengan peralatan amaran cuaca buruk dan akhir sekali tidak dilengkapi dengan peralatan keselamatan.

Itu sebabnya kadang-kadang nelayan kita termasuk dalam perairan negara jiran dengan tidak disedari kerana tidak mempunyai kelengkapan untuk tahu di mana mereka berada. Lanun juga menjadi-jadi masa kini dan nelayan ini terdedah dengan rompakan dan penculikan.

Selain daripada itu, ada juga yang mengambil jalan pintas dengan menjual minyak disel yang diberikan subsidi! Putaran kemiskinan ini tidak akan berakhir kalau kita tidak berganjak kepada suatu pendekatan baru yang berasaskan ilmu.

Selaras dengan usaha kerajaan untuk mengubah haluan ekonomi kepada yang berteraskan pengetahuan, pihak yang menyediakan pembiayaan seperti bank-bank dan institusi kewangan kita wajar mengambil sikap dan pendekatan baru.

Banyak permohonan dalam Model Ekonomi Baru nanti yang orang bank tidak tahu dan mungkin tidak pernah dengar. Adakah mereka akan menolak kerana mereka tidak biasa dengan sesuatu yang baru setiap kali dikemukakan?

Kalau sikap ahli bank begini berterusan, usaha untuk melangkah ke dunia Model Ekonomi Baru akan terbantut. Percayalah.

Orientasi bank kita sekarang ialah “Apa cagaran awak? Tidak ada cagaran permohonan tidak akan dilayan.” Ekonomi berteraskan inovasi dan kreativiti meletakkan pengetahuan sebagai cagaran.

DATO’ SALLEH MAJID ialah mantan Pengurus Besar Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

MI2010 anjakan inovasi tempatan

Siapakah Mark Zuckerberg? Berapa ramai yang mengenalinya?

Beliau merupakan seorang pelajar universiti telah mencipta satu laman sosial iaitu Facebook yang seterusnya kini menjadi satu fenomena di seluruh dunia.

Hasil dari penciptaan laman web berkenaan, Mark Zukerberg merupakan salah seorang bilionair muda hasil penemuan yang inovatif.

Mengapa manusia perlu kepada inovasi? Inovasi merupakan cara atau pendekatan baru dalam melakukan sesuatu.

Perkataan inovasi sering dikaitkan dengan proses dan tidak semestinya bergantung kepada ciptaan baru dan ia juga yang merevolusikan tamadun manusia.

Demikian pentingnya inovasi dan pengaruhnya dalam kehidupan manusia dan atas sebab itu jugalah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah diberi tanggungjawab untuk menerajui usaha transformasi, berpaksikan ekonomi dipacu oleh inovasi dengan matlamat meningkatkan daya saing, kemajuan dan pertumbuhan ekonomi lestari dalam era globalisasi pada tahun ini.

Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjelaskan betapa pentingnya inovasi dalam Bajet 2010 lalu, beliau telah mengisytiharkan pada tahun ini sebagai Tahun Inovasi dan Kreativiti atau dikenali sebagai Malaysia Inovatif 2010 (MI2010).

Penganjuran MI2010 adalah seiring dengan hasrat Perdana Menteri untuk melakukan perubahan melalui inovasi secara menyeluruh untuk membawa negara ke tahap ekonomi yang lebih maju; ‘Innovative Leadership for 1United, Innovative Malaysia’.

Tujuan MI2010 diadakan adalah bagi meningkatkan kesedaran dan memupuk budaya inovasi di kalangan rakyat Malaysia ke arah penghasilan kekayaan, penjanaan ilmu dan kesejahteraan rakyat.

MOSTI sebagai penyelaras utama dengan penyertaan kementerian-kementerian dan Rakan Inovasi dalam menjayakan MI2010.

Rasanya masih belum terlambat bagi Malaysia memanfaatkan bidang tersebut sebagai pendekatan mencapai model ekonomi baru yang berpaksikan inovasi, kreativiti dan nilai tinggi.

Meskipun wujud beberapa kekangan ke arah itu yang boleh membantutkan iltizam kerajaan, antaranya peruntukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) secara relatifnya kecil iaitu hanya 0.64 peratus berbanding tiga atau empat peratus di negara maju.

Selain itu, jumlah penyelidik sehingga 11 Januari lalu menunjukkan bahawa nisbah saintis, penyelidik dan jurutera (RSE) bagi 10,000 tenaga kerja adalah 18.2 adalah rendah, masih belum terlambat bagi MOSTI untuk berusaha ke arah itu.

Pada masa sama, inovasi tempatan berhadapan dengan stigma masyarakat bahawa produk import lebih baik dan jauh lebih berkualiti.

Bagaimanapun iltizam itu kementerian dinyatakan oleh menterinya, Datuk Seri Dr. Maximus J. Ongkili yang menyasarkan akan meningkatkan bajet R&D kepada melebihi satu peratus dan lebih menarik mahu meningkatkan jumlah inovasi yang dikomersialkan.

”MOSTI meletakkan sasaran peningkatan sebanyak 10 peratus produk yang dipatenkan tahun ini daripada 160 produk yang dipatenkan (sebelum ini),” katanya.

Ketika ini pula kadar pengkomersialan ialah 3.4 peratus.

MOSTI akan terus mempergiatkan aktiviti R&D dengan berorientasikan keperluan pasaran bagi menghasilkan produk yang mempunyai nilai komersial

Bagi mencapai matlamat tersebut, MOSTI telah mengenal pasti bidang-bidang keutamaan dan bidang pertumbuhan baru seperti tenaga diperbaharui, nanoteknologi, perubahan iklim dan bioinformatik..

Selain usaha pengkomersialan, yang lebih penting daripada itu ialah bagaimana memupuk kreativiti kerana inovasi dan bidang tersebut amat berkait rapat.

Ongkili berkata, usaha akan terus diperhebat bagi memupuk daya kreativiti khususnya di peringkat muda.

Kata beliau, anak tempatan tidak kurang hebatnya dalam pelbagai bidang sehingga mencapai tahap antarabangsa. Mereka sepatutnya menjadi role model kejayaan kepada golongan muda.

Beberapa nama boleh dijadikan contoh tetapi yang lebih penting lebih ramai yang mengikuti jejak langkah mereka yang telah berjaya dan kerajaan memainkan peranan mengembangkan bakat-bakat ini.

Anugerah Inovasi Negara (AIN) yang diadakan sejak beberapa tahun kebelakangan mungkin boleh dijadikan kayu ukur pemupukan daya kreativiti dan penjanaan inovasi tetapi yang lebih signifikan ialah meningkatkan persekitaran kondusif untuk bakat tempatan terus berkarya.

Ramai daripada kita menganggap inovasi ialah produk semata-mata sebaliknya, faktor yang lebih mustahak ialah supaya keupayaan sistem pendidikan dan latihan diberi perhatian bagi memastikan modal insan yang dijana mempunyai pengetahuan, kemahiran dan menepati keperluan pasaran.

”Mungkin sudah sampai masanya pengenalan mata pelajaran mengenai kreativiti, inovasi dan berfikir kreatif ditekankan sebagaimana yang telah dilaksanakan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Perancis, Jerman, Korea Selatan dan Singapura yang memandang berat mata pelajaran tersebut dalam sistem pendidikannya,” kata Ongkili.

Beliau menegaskan, inovasi memerlukan empat bahagian iaitu pendidikan, penyelidikan dan pembangunan serta insentif dan pemasaran sebelum faktor luaran lain seperti keadaan ekonomi sekarang ini yang boleh memberikan kesan terhadap industri.

Beliau juga berpendapat, inovasi seharusnya dimasyarakatkan demi memastikan ia dekat di hati rakyat dan mudah diterima oleh semua lapisan masyarakat.

Memasyarkatkannya terlebih dahulu adalah penting sebelum membudayakannya dalam kehidupan harian.

Justeru, portal MyIdeas (http://www.myideas.com.my) telah dilancarkan oleh Perdana Menteri bagi ‘mengutip’ idea dari seluruh pelosok negara, ditapis dan diambil idea-idea yang mempunyai nilai komersial.

Ia merupakan salah satu usaha radikal kerajaan dalam mendekati rakyat bagi memastikan kreativiti dan idea mereka diiktiraf.

Sejajar dengan itu, MOSTI telah mendekatkan inovasi yang dihasilkan kepada pengguna di peringkat akar umbi dan kini terdapat 13 projek komuniti berasaskan inovasi telah dilaksanakan untuk membantu penduduk kawasan luar bandar untuk meningkat pendapatan.

Antara projek yang sedang dilaksanakan di beberapa kawasan Parlimen dan mendapat hasil yang lumayan ialah projek minyak kelapa dara (VCO), baja organik, makanan ternakan haiwan dan projek penternakan ikan kelah.

Pada tahun ini, MOSTI turut merancang untuk memperluaskan program seperti ini di enam puluh kawasan Parlimen yang akan dikenal pasti kelak.

Pendek kata, inovasi tidak seharusnya dilihat kepada aktiviti yang menjurus kepada sains dan teknologi semata-mata.

Inovasi meliputi definisi yang lebih luas di mana ia juga amat penting di dalam bidang pendidikan, kesihatan, perbankan dan sebagainya. Inovasi juga boleh dijadikan sebagai gaya hidup di kalangan rakyat.

Tema bagi MI2010 ialah “Meraikan Kreativiti.”

Program dan aktiviti MI2010 melibatkan 14 kementerian utama meliputi Kementerian Pelajaran; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Pengajian Tinggi; Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta dan Kementerian Belia dan Sukan.

Kementerian lain termasuk Kementerian Pelancongan; Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah; Kementerian Dalam Negeri; Kementerian Pertahanan; Kementerian Kesihatan; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

10 Ciri Usahawan Berjaya

Jika ditanya siapa ingin berjaya dan tentunya semua orang inginkan kejayaan. Apakah itu kejayaan? Memiliki rumah dan kereta yang mewah? Mempunyai simpanan yang banyak? Atau mempunyai anak yang ramai?

Mungkin ada yang berkata bila sudah tamat belajar di universiti dan mendapat pekerjaan yang baik, sudah dianggapnya sebagai kejayaan. Ada juga yang sudah mempunyai segalanyanya tetapi masih menganggap belum mencapai kejayaan. Kenapa pula? Kerana kejayaan bergantung kepada matlamat seseorang. Kejayaan adalah pencapaian didalam sesuatu matlamat atau objektif seseorang.

Untuk mencapai matlamat yang telah disasarkan dan memperolehi kejayaan , anda memerlukan daya minda seorang jutawan. Mnda jutawan adalah minda usahawan berjaya. Disini saya kongsikan 10 ciri yang boleh anda diterapkan untuk menjadi usahawan berjaya;

1. Suka bertanya soalan yang membina – Dalam mengatur langkah menuju kejayaan, kita perlu selalu bertanya kepada mentor atau guru anda sekiranya ada perkara yang tidak faham atau tidak pasti. Dengan bertanya, sifat menganggap sentiasa betul akan lupus. Anda akan dapat yang terbaik!

2. Fokus kepada apa yang mereka inginkan – Untuk berjaya dalam perniagaan, anda perlu fokus kepada perkara-perkara yang pelanggan anda inginkan. Fokus kepada permintaan bukan pengeluaran.

3. Tindakan yang berkesan/mantap (massive action) – Bersungguh-sungguh ketika melakukan sesuatu perniagaan dengan tindakan yang mantap bukan sambil lewa atau melakukan dengan bersahaja.

4. Keinginan yang memuncak – Sentiasa melakukan sesuatu aktiviti dengan penuh semangat dan harapan yang kental tanpa mudah mengalah dengan perasaan jemu.

5. Enjoy dalam segala aktiviti anda – Lakukan aktiviti anda dengan tanpa tekanan dan gangguan emosi. Pastikan anda minat dan enjoy dengan apa yang lakukan tanpa paksaan.

6. Imej profesional – Jadi seorang yang pakar didalam bidang anda dan sentiasa bersedia dalam apa jua keadaan.

7. Bertanggungjawab – Anda harus mempunyai sikap tanggungjawab yang tinngi didalam segala urusan perniagaan anda. Terutama kepada para pelanggan anda.

8. Sentiasa ingin belajar – Walau siapa anda sekali pun anda harus terus belajar samaada mendalami bidang yang sedang diceburi atau bidang yang lain. Anda harus memiliki sikap ini.. ini sikap jutawan!

9. Bertutur dari hati – Lagi satu sikap yang anda perlu untuk berjaya. Setiap pertuturan anda harus lah ikhlas dan jujur. Cakap dengan hati bukan cakap dalam hati ok.

10. Tunjukkan standard anda – Untuk pencapaian yang berterusan dan sentiasa maju kehadapan, anda harus kawal imej dan tatatertib anda dengan kesemua pelanggan anda.

TIP USAHAWAN KAUM CINA

Kaum Cina merupakan ahli perniagaan yang berjaya dan sering dijadikan contoh. Tidak salah mengambil iktibar yang baik daripada mana-mana kaum sekalipun selagi ia tidak bertentangan dengan pegangan Islam. Anda sebagai usahawan yang baru meningkat naik juga boleh mencontohi golongan peniaga ini:

1. Berniaga mestilah rajin, jika tidak, ia tidak menjadi.

2. Belanja mesti jimat, jika tidak, putus modal.

3. Sambut pelanggan dengan senyuman, jika tidak, pelanggan lari.

4. Masa sentiasa terbuka, jika tidak, hilang peluang.

5. Harga perlu berpatutan, jika tidak, timbul pergaduhan.

6. Memberi hutang perlu kenal orangnya, jika tidak, hilang modal.

7. Akaun perlu disemak sendiri, jika tidak, tidak tahu kekuatan modal.

8. Beri tawaran perlu jelas dan terang, jika tidak, ia tidak teratur.

Meninjau semangat pertanian Australia

WILAYAH Australia Barat mungkin asing bagi kebanyakan rakyat di negara ini tetapi bagi penggiat dalam industri pertanian dan penternakan, negeri terbesar di negara kanggaroo itu adalah destinasi yang tidak mungkin dilepaskan jika diberi peluang untuk dikunjungi.

Dengan keluasan kira-kira 2.5 juta kilometer persegi atau tujuh kali keluasan Malaysia, Australia Barat yang mempunyai suhu tropika di bahagian utara dan sederhana sejuk di bahagian tengah dan selatan menjadi antara negeri utama dalam pengeluaran hasil pertanian dan penternakan Australia.

Australia Barat dianggarkan menyumbang sebanyak 31 peratus daripada keseluruhan eksport pertanian dan penternakan Australia yang dianggarkan bernilai kira-kira 60 bilion dolar Australia setahun atau kira-kira RM150 bilion.

Dengan kelebihan tanah yang luas, subur serta iklim yang pelbagai, Australia Barat yang mempunyai populasi kira-kira 2.1 juta orang itu juga kini menjadi tempat kediaman untuk 23 juta biri-biri, dua juta lembu, kambing (satu juta) dan unta antara 400 hingga 500 setahun.

70 peratus daripada jumlah ternakan itu adalah untuk dieksport ke seluruh dunia. Arab Saudi sahaja mengimport satu juta biri-biri setahun dari Australia Barat.

Jika ditanya apakah rahsia di sebalik kisah kejayaan itu, sudah pasti adalah kerana dedikasi yang tidak berbelah bahagi seluruh warganya dalam memajukan bidang itu sama ada untuk memenuhi keperluan diri dan juga perniagaan.

Selain itu mereka juga tidak pernah jemu untuk terus berpaksi kepada sains dalam mencari teknologi terbaru walaupun pada masa yang sama telah menuai kejayaan bertaraf dunia. Gabungan mantap institusi kerajaan dan swasta serta institusi pengajian tinggi tempatan menjadikan pertanian dan penternakan di negara itu terus unggul di dunia satu langkah yang membawa kepada kejayaan itu.

Semangat rakyat Australia yang sentiasa berpegang kepada prinsip bangga dengan setiap produk yang 100 peratus buatan tempatan membantu mengangkat bidang pertanian dan penternakan mereka ke tahap hari ini.

Malah, jika melihat kepada kempen dan semangat yang dibuat oleh kerajaan negara itu, seolah-oleh tiada lagi kawasan lain di dunia ini yang boleh menghasil produk pertanian dan penternakan serta lain-lain hasil hiliran yang bermutu selain daripada yang dikeluarkan oleh negara mereka sendiri.

Amalan kuarantin yang ketat juga menjadi satu sebab wilayah Australia Barat dan Australia secara amnya sentiasa bebas daripada serangan racun dan serangga perosak tidak seperti di kawasan lain. Sebagai contoh, ketika dunia digegarkan dengan isu wabak lembu gila, ternakan di Australia Barat disahkan bebas daripada gejala itu.

Walaupun hanya sempat berada tiga hari di wilayah itu, penulis sudah mampu untuk mengagumi semangat rakyatnya dalam kedua-dua bidang itu, teruja dengan teknologi yang digunakan dan tidak dapat tidak jatuh cinta dengan keindahan dan kebersihan bandarnya serta ketenangan kawasan luar bandar yang kebanyakannya luas menghijau saujana mata memandang.

Iklim nyaman sehingga membolehkan penduduknya melakukan riadah pada pukul 12 tengah hari di kawasan terbuka atau di sepanjang Sungai Swan yang membelah bandar Perth tanpa perlu bimbang cuaca panas, satu lagi aset utama wilayah di barat Australia itu.

Memproses

Bermula dengan kunjungan di pusat penyembelihan dan pemprosesan daging HarveyBeef yang terletak kira-kira 140 kilometer dari Perth, rombongan kami yang diketuai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamad disajikan dengan teknologi terkini yang membolehkan pusat berkenaan memproses sebanyak 5,000 ekor lembu seminggu.

Keupayaan untuk merencanakan setiap pergerakan bahagian badan dan isi lembu untuk dibungkus sebelum dipasarkan terus, amat mengagumkan. Kira-kira 120 pekerja bertugas pada setiap masa di pusat itu – memproses setiap ekor lembu untuk menghasilkan lebih 30 produk berasingan yang mempunyai kelas-kelas tertentu.

Walaupun pusat berkenaan telah memperolehi sijil halal daripada badan Islam Australia, namun ia kini masih berusaha untuk memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Selepas menyaksikan kecanggihan teknologi HarveyBeef, rombongan kami dibawa melawat Pusat Penyelidikan Vasse.

Di Pusat Penyelidikan Vasse, Bunbury itu kami disajikan pula dengan kesungguhan mereka untuk mengkaji dan memperbaiki aspek pengurusan makanan dan tumbesaran haiwan. Setiap petak-petak rumput dikaji untuk memastikan ia mempunyai zat-zat seperti kandungan gula, kabohidrat dan tenaga yang mencukupi untuk keperluan haiwan.

Menurut Pengurus Wilayah, Jabatan Pertanian dan Makanan Australia Barat, David Windsor, pernah berlaku mereka mendapat rungutan daripada kilang-kilang pemprosesan daging bahawa lembu yang dihasilkan terlalu banyak daging dan kurang tulang.

”Oleh itu kami mengubah sedikit kandungan makanan haiwan itu untuk memenuhi kehendak komersial berkenaan. Hal yang sama juga kami buat untuk lembu tenusu,” katanya.

Selain itu, di pusat itu juga kami ditunjukkan Sistem Pengesanan Haiwan Kebangsaan (NLIS) yang berfungsi untuk mengesan pergerakan setiap haiwan bermula dari saat dilahirkan sehingga ke rumah penyembelihan.

Walaupun undang-undang persekutuan Australia hanya mewajibkan pemakaian NLIS apabila haiwan itu hendak dibawa keluar dari ladang, namun kini penternak di seluruh Australia memasang sistem itu secara sukarela pada haiwan ternakan mereka.

Sistem itu bukan sahaja akan memudahkan penternak mengesan tumbesaran haiwan, penyakit dan sebagainya tetapi mengawal kualiti haiwan tersebut. Sebagai contoh dalam kunjungan kami ke ladang tenusu di Victoria, NLIS memudahkan ladang tersebut membuat pemantauan terhadap kuantiti dan kualiti setiap susu yang dikeluarkan oleh lembu.

Lembu yang mengeluarkan hasil tidak menepati piawaian tertantu akan dikesan dan diperiksa untuk dirawat.

Kunjungan di bumi Australia itu turut diselitkan agenda kemudahan penyelidikan terkini seperti di Makmal Biologi Tenaga Tumbuhan di bawah Pusat Kecemerlangan ARC, Universiti Australia Barat; dan kemudahan di Pertubuhan Penyelidikan Saintifik dan Industri Komanwel (CSIRO) yang merupakan agensi penyelidikan utama Australia di Canberra.

Dalam lawatan itu beberapa kerjasama turut ditandatangani seperti persetujuan Australia untuk memulakan pelaksanaan Pelan Pembangunan Industri Kambing Malaysia (PPIKM) dan membantu Malaysia membentuk Pelan Pembangunan Industri Lembu.

Selain itu pada mesyuarat tahunan Kumpulan Kerjasama Malaysia-Australia Mengenai Pertanian, Australia bersetuju untuk memberi keutamaan menyelesaikan isu kesukaran buah-buahan Malaysia memasuki pasaran negara itu khususnya berkaitan nanas.

Sementara itu, Mustapa berkata, keupayaan Australia Barat memanfaatkan sains dan teknologi bagi meminimumkan kos tetapi pada masa sama meningkatkan pulangan perlu dicontohi.

”Ini yang perlu kita contohi dalam usaha kita untuk menjadikan bidang pertanian kita berdaya maju, mampu untuk memenuhi keperluan negara dan pada masa sama meningkatkan pendapatan petani dan penternak yang secara tidak langsung mampu mengangkat taraf hidup masyarakat luar bandar,” katanya.

Beliau menambah telah banyak kemajuan yang dikecapi dalam hubungan pertanian dengan Australia. Namun ia masih belum memadai kerana usaha di peringkat tempatan perlu dilipat gandakan. Dalam hal ini katanya, peranan sektor swasta amat penting bagi membantu kerajaan mengangkat martabat pertanian.

”Sebagai contoh sasaran negara untuk mencapai satu juta kambing atau 35 peratus daripada keperluan negara menjelang 2015 tidak akan tercapai tanpa penyertaan swasta. Setiap tahun kita hanya mempunyai dana berjumlah RM22.5 juta untuk membawa masuk 15,000 baka kambing. Dengan angka ini sukar untuk kita mencapai sasaran itu kecuali dengan penglibatan sektor swasta,” katanya.

Beliau berharap kerjasama dengan Australia akan mampu menggalakkan lebih banyak penyertaan dalam skala besar, selari dengan hasrat untuk menjamin bekalan makanan yang mencukupi bagi kegunaan negara.

AMDEN RAMLI
(Yang melawat Australia baru-baru ini)

7 kesilapan lazim dalam mengurus wang

JIKA anda bercadang mengukuhkan kedudukan kewangan, anda mesti mengenal pasti terlebih dulu kesilapan pengurusan kewangan yang lazim dilakukan supaya anda dapat belajar daripadanya.

Gagal Merancang
Alasan yang selalu diberikan oleh mereka yang tidak merancang kewangan ialah “Saya sibuk dengan kerja dan keluarga hingga tidak sempat untuk menguruskan kewangan saya”.

Sebenarnya, walaupun anda hanya tergolong dalam golongan berpendapatan sederhana, tabiat `merancang kewangan’ akan membolehkan anda menjadi seorang berjaya mengumpul kekayaan di kemudian hari kelak.

Berbelanja Melebihi Kemampuan
Dewasa ini, kita sering berbelanja melebihi kemampuan akibat desakan rakan dan juga iklan di sekeliling kita. Ramai yang sanggup menghabiskan wang semata-mata untuk mengikut arus peredaran masa dan tidak mahu dianggap ketinggalan zaman.

Akibatnya, ramai yang hanya mempunyai baki yang amat sedikit dalam akaun bank di hujung bulan selepas ditolak bayaran pelbagai pinjaman, kad kredit, bil dan sebagainya.

Berbelanja Menggunakan Kad Kredit
Tabiat beli dulu dan bayar kemudian adalah perkara biasa dewasa ini. Hampir setiap orang mempunyai sekurang-kurangnya satu kad kredit. Malah, ramai yang memiliki lebih daripada satu kad.

Dengan bayaran minimum setiap bulan, ramai yang akan berpotensi untuk terus berbelanja. Mereka tersalah anggap mengenai bayaran minimum terbabit, dan tidak menyedari bahawa lama kelamaan ia akan menjadi hutang yang menggunung di kemudian hari.

Jika tersilap langkah, tidak mustahil anda juga boleh menjadi muflis akibat tabiat sedemikian. Justeru, pastikan anda menggunakan kad kredit secara berhemat.

Lewat Menabung Untuk Hari Tua
Untuk memulakan persaraan, kita mesti memastikan yang kita mempunyai wang mencukupi bagi menampung gaya hidup yang diinginkan selepas bersara. Bagaimanapun, masih ramai terutama mereka yang sudah hampir bersara, masih bergelut untuk mencapai jumlah simpanan diperlukan.

Sepatutnya, setiap kali gaji naik, simpanan kita turut naik. Sebaliknya, apa yang berlaku adalah setiap kali gaji naik, perbelanjaan pula yang bertambah.

Melabur dalam Produk yang Tidak Bersesuaian
Terdapat pelbagai produk pelaburan di pasaran. Untuk memastikan kita melabur dalam produk pelaburan yang menepati profil risiko dan ganjaran yang diinginkan, kita memerlukan ilmu pengetahuan mengenai selok-belok pelaburan. Justeru, pastikan anda meneliti ciri sesuatu produk pelaburan berkenaan dan mengkaji kumpulan pengurusannya sebelum melabur.

Tidak Menabung untuk Waktu Kecemasan
Sesetengah orang beranggapan yang membeli insurans adalah perbuatan membazir wang. Tetapi tahukah anda bahawa tanpa insurans, kedudukan kewangan kita akan tergugat terutama jika kita hilang pendapatan/pekerjaan.

Tanpa insurans atau wang simpanan, seluruh keluarga akan merana dan ketika itu juga agak terlambat untuk memikirkan bagaimana ingin mencari sumber pendapatan yang lain dengan kadar segera.

Terlampau Memikirkan Pasal Wang
Dalam usaha memupuk tabiat merancang kewangan, janganlah pula terlampau taksub mengumpul kekayaan sehingga lupa akan perkara lain yang amat bermakna dalam hidup kita seperti keluarga, kesihatan, kepuasan berkarier serta rakan dan taulan.

Akhir sekali, kita perlu sentiasa mengingatkan diri mengenai kepentingan merancang kewangan. Jika kita tidak bersungguh-sungguh dalam membina kekayaan dan menguruskan kewangan, besar kemungkinan kekayaan tidak akan berpihak kepada kita.

Usahawan Melayu tak boleh bermanja lagi

“MACAM mana orang Melayu nak memerintah sendiri… nak buat sebatang jarum pun tak tahu.” Itu adalah satu ungkapan popular ditujukan kepada orang Melayu sendiri sebelum merdeka dulu. Ungkapan itu cuba untuk menidakkan kemampuan orang Melayu memerintah tanah air tercinta.

Terbukti memang kita mampu memerintah di negara sendiri. Lebih 50 tahun mentadbir, banyak kemajuan dicapai. Negara juga sudah berjaya menghantar angkasawan ke angkasa lepas untuk membuat penyelidikan dan pencapaian ini amat membanggakan rakyat.

Tetapi mengapa ‘kemampuan membuat sebatang jarum’ menjadi satu anologi menentukan kemampuan memerintah? Ia hanya satu anologi. Tetapi jika dikaitkan antara kemampuan memerintah dengan pembangunan ekonomi, sudah pasti ia berjalan seiring.

Kemampuan untuk membuat jarum adalah berkaitan dengan kemampuan dari sudut pembuatan dan perkilangan iaitu bidang perniagaan atau ekonomi. Seperti dimaklumkan, dunia keusahawanan bukanlah sesuatu yang sinonim dengan masyarakat Melayu. Jika dibandingkan dengan masyarakat Cina, jumlah orang Melayu yang terbabit dengan keusahawanan memang kurang.

Ini menjadikan usahawan Melayu setakat ini belum lagi dapat menandingi kemahiran dan kecekapan orang Cina dalam menjalankan perniagaan. Ini adalah hakikat yang harus terima.

Memang harus diakui bahawa banyak produk dikeluarkan orang Melayu mempunyai kualiti setanding dengan bangsa lain. Ini dari sudut perkilangan. Tetapi sesuatu yang masih lagi belum berubah ialah perniagaan berkaitan kemahiran seperti pembinaan, pertukangan, kerja besi, kerja paip dan pemasangan elektrik.

Penulis percaya ramai antara kita berhadapan dengan hasil kerja kurang memuaskan jika pendawaian elektrik contohnya dilakukan syarikat milik orang Melayu. Begitu juga apabila ingin membina rumah.

Jika mengambil kontraktor Melayu bererti kita berhadapan risiko lambat siap, kontraktor lari atau hasil kerja teruk. Kerana itu satu ungkapan yang sinonim juga ialah apabila melihat hasil kerja yang kurang memuaskan, akan ada yang kata ‘ini buatan Melayu ni’.

Ramai rakan penulis terbabit dalam perniagaan yang lebih senang memilih perunding hiasan dalaman dan kontraktor Cina untuk mengubah suai premis perniagaan mereka. Begitu juga dengan mereka yang ingin mengubah suai rumah. Mereka tidak mahu mengambil risiko sekiranya hasil kerja yang mereka peroleh tidak mencapai kualiti seperti diinginkan.

Memang diakui ada antara mereka yang boleh menunjukkan hasil kerja berkualiti. Tetapi cerita mengenai masalah hasil kerja yang teruk di kalangan kontraktor Melayu masih kedengaran.

Mengapa jadi begini? Adakah kerana orang Melayu mempunyai jaminan dan keutamaan untuk mendapatkan tender kerajaan oleh Dasar Ekonomi Baru (DEB) menjadikan mereka kurang peka terhadap kualiti dan hasil kerja.

Jadi apa pilihan usahawan Melayu pada masa akan datang? Adakah kita akan terus membiarkan persepsi ini membunuh perniagaan dan masa depan usahawan Melayu?

Penulis sebenarnya tertarik dengan komen peguam Sulaiman Abdullah dalam Forum Kontrak Sosial anjuran Majlis Peguam baru-baru ini. Beliau menyatakan bahawa sesuatu yang pelik apabila masyarakat Melayu sebagai masyarakat majoriti tetapi tindak-tanduk kita seperti masyarakat minoriti.

Ini mungkin berkaitan hak istimewa orang Melayu, tanah rizab Melayu dan kuota terutama dalam mendapatkan tender dan kontrak kerajaan. Biasanya perlindungan seperti ini adalah untuk melindungi masyarakat minoriti. Ini dilihat dari undang-undang yang diwujudkan oleh kerajaan Australia untuk melindungi masyarakat pribumi negara itu.

Begitu juga dengan undang-undang yang melindungi hak golongan Red Indian di Amerika Syarikat. Mengapa jadi begini? Adakah ini bermaksud kita masih lemah walaupun sudah lebih 50 tahun merdeka? Ini adalah satu cabaran kepada usahawan Melayu dalam bidang pembuatan dan perkhidmatan supaya mereka sentiasa menambah ilmu dan kemahiran untuk bersaing.

Kadangkala masalah timbul bukan hanya dari sudut kemahiran tetapi sikap. Jika usahawan Melayu mengatakan bahawa mereka tidak mampu melakukan sebaik usahawan bangsa lain kerana mereka sudah lama dan mahir, mungkin boleh kita terima. Tetapi jika mereka mengambil masa terlalu lama untuk menyiapkan kerja mereka, ini adalah masalah sikap.

Usahawan Melayu harus membuang sikap negatif seperti malas, mengambil masa lama untuk menyiapkan kerja dan hasil kerja yang tidak sempurna.

Usahawan yang melakukan kerja sambil lewa ini sebenarnya menyumbang kepada persepsi negatif terhadap keseluruhan usahawan Melayu. Untuk mengembalikan kepercayaan orang ramai cerita begini mestilah tidak lagi kedengaran.

Semoga satu hari nanti bukan saja bangsa Melayu akan percaya kepada barangan buatan orang Melayu, malah orang bukan Melayu juga akan memilih barangan buatan Melayu kerana kualiti dan hasil kerja yang cemerlang.

Wan Seng kongsi petua kejayaan peniaga Cina

“BANGUN seawal Subuh kerana sumber rezeki bermula awal pagi. Suruhan ini dititikberatkan dalam Islam, tetapi masyarakat Cina turut mengamalkannya,” kata pakar motivasi perniagaan, Ann Wan Seng ketika berkongsi petua kejayaan masyarakat Cina dalam perniagaan.

Mereka yang tidak mempunyai pendidikan tinggi, tapi mempunyai semangat untuk terus maju juga boleh cemerlang dalam perniagaan dan yang penting jangan sekali-kali menjadikan kekurangan itu sebagai halangan untuk mengecapi kejayaan.

Beliau yang sudah menghasilkan 30 buku motivasi termasuk berjudul Rahsia Perniagaan Orang Cina berkata, petua lain ialah seseorang peniaga itu perlu bersikap mesra, ‘ringan mulut’, kemahiran berkomunikasi yang baik, hormat dan tidak kedekut senyum.

Katanya, peniaga juga perlu sentiasa mesra ketika melayani kehendak pelanggan walaupun baru pertama kali bertemu kerana ia akan membuatkan pelanggan berasa selesa dan berminat mendapatkan perkhidmatan ditawarkan.

Paling penting, katanya, peniaga perlu sentiasa meminta maaf kepada pelanggan jika terlambat, tersilap, kehabisan barang atau perkhidmatan kurang memuaskan supaya pelanggan ‘sejuk hati’ dan sedia bertolak ansur dengan peniaga.

“Modal pula bukan faktor utama untuk berjaya dalam perniagaan kerana modal ada di mana-mana dan ia terpulang kepada kebijaksanaan dan keinginan individu mendapatkannya,” katanya ketika menyampaikan ceramah dalam segmen Bicara Tokoh – Rahsia Perniagaan Orang Cina sempena Gerak Usahawan peringkat Majlis Pembangunan Usahawan Daerah (MPUD) Parlimen Tanjung Karang, baru-baru ini.

Wan Seng memeluk Islam kira-kira 12 tahun lalu dengan mendaftarkan Ann Abdullah sebagai nama Islam, tetapi selesa dikenali dengan nama Cina hingga kini.

Beliau berkata, Allah SWT membekalkan sumber rezeki di sepanjang jalan seperti botol kosong yang boleh dijual bagi mendapatkan modal memulakan perniagaan dan batu di tepi jalan juga boleh mendatangkan hasil jika dikumpul dan dibuat jalan tar.

Katanya, begitu juga dengan minat orang ramai ketika ini yang mengumpul batu kristal dan batu berbentuk ganjil yang dijual di pasaran hingga sanggup mengeluarkan wang banyak untuk itu. Namun, batu itu diperoleh peniaga dari gua atau kawasan strategik secara percuma dan diproses bagi menonjolkan keindahannya.

Beliau menegaskan kemahiran yang dipelajari secara teori iaitu melalui bahan bacaan serta tunjuk ajar semata-mata tidak akan membantu peniaga mencapai kejayaan sebaliknya kemahiran terbaik hanya diperoleh apabila teori itu dipraktikkan.

“Kemahiran akan bertambah jika seseorang peniaga pernah gagal kerana ia akan membantunya memperbaiki kesilapan dan 99 peratus ahli perniagaan yang berjaya ketika ini pernah gagal hingga ada yang hampir muflis.

“Risiko dalam perniagaan sering ditakuti peniaga, tetapi mereka sebenarnya tidak patut takutkan risiko kerana ia amat membantu dalam perniagaan. Masyarakat Cina berani mengambil risiko dalam perniagaan dan bagi mereka, lebih banyak risiko bermaksud lebih banyak keuntungan akan diperoleh, tetapi kena bijak, ada perancangan serta sentiasa ingin maju,” katanya.

Wan Seng berkata, bersaing secara sihat adalah faktor kejayaan dalam perniagaan, tetapi kebanyakan masyarakat lain gemar bersaing secara ‘kotor’ dan dengki melihat orang lain maju serta cuba menjatuhkannya hingga sanggup menggunakan ilmu hitam.

Katanya, jika seorang sudah membuka gerai pisang goreng, keesokannya akan ada sebuah lagi gerai menjual pisang goreng di sebelah hingga wujud beberapa gerai menjual makanan sama selepas itu dan sikap ini perlu dikikis kerana ia mengehadkan pemasaran serta jualan.

“Sepatutnya jika sudah ada gerai pisang goreng, peniaga kedua perlu menjual kuih lain dan gerai seterusnya menjual mi supaya kawasan itu menjadi tumpuan pelanggan kerana mereka ada banyak pilihan dan pada masa sama, pendapatan serta keuntungan akan diperoleh setiap peniaga di situ.

“Berbeza dengan masyarakat Cina yang akan berusaha mencari bentuk perniagaan berlainan apabila ingin membuka premis di kawasan sama dengan peniaga lain,” katanya sambil memberi contoh apabila sebuah kedai di kawasan deretan bengkel Cina menawarkan perkhidmatan membaiki enjin, kedai sebelah membaiki pendingin hawa, kedai ketiga memasang tayar dan kedai seterusnya, membuat pendawaian.

Beliau seterusnya berkata, masyarakat lain perlu mempunyai sikap tolong-menolong jika kedai di sebelah tidak mempunyai barang yang diperlukan pelanggan ketika itu kerana ia sebenarnya membantu memajukan bangsa mereka sendiri serta merapatkan perhubungan.

Masalah lain yang menyebabkan pelanggan tidak lagi pergi ke sesebuah premis ialah sikap peniaga itu sendiri yang tidak menyimpan wang tukaran jika pelanggan membayar dengan wang besar.

Bukan saja di kedai Cina, malah kedai mamak adalah contoh terbaik kedai yang akan menyediakan tukaran wang secukupnya dan tidak merungut jika pelanggan membayar menggunakan wang besar untuk jumlah barang yang sedikit.

Amalan sedemikian perlu kerana ia akan mewujudkan keyakinan dan keselesaan pelanggan kepada kedai dan menambahkan bilangan pelanggan. Apa yang sering berlaku ialah peniaga membelanjakan keuntungan hari itu untuk membeli barang keperluan harian sehingga tidak mempunyai wang tukaran keesokannya.

Bagi peniaga Cina, mereka bijak menguruskan wang dengan membuat kira-kira keuntungan setiap hari dan menyediakan wang tukar secukupnya untuk berniaga keesokan harinya. Peniaga juga mesti rajin berniaga dan tidak ambil kisah jika tidak mempunyai masa yang banyak untuk rehat.

Selain itu, katanya, setiap individu yang menceburi bidang perniagaan perlu mengikis sikap malu kerana jika keterlaluan, ia bukan saja gagal melariskan jualan, malah perniagaan mereka tidak akan maju.

Graduan Universiti Malaya yang memeluk agama Islam pada 1996 ketika berusia 28 tahun itu berkata, beliau kini giat mengadakan ceramah motivasi terutama mengenai bidang perniagaan.

“Sesetengah peniaga kurang menyedari kesilapan mereka dalam perniagaan. Mereka hanya tahu menyalahkan pihak lain tanpa menuding jari kepada diri sendiri jika gagal dalam perniagaan,” katanya.

Beliau berharap ceramah motivasi dan buku yang diterbitkannya dapat membantu peniaga terutama masyarakat Islam mencapai kejayaan dalam perniagaan ke arah meningkatkan ekonomi diri dan keluarga, seterusnya memartabatkan bangsa.