Sistem Osmosis -Siram, membaja serentak

Mohd Syafiq anak kelahiran Sik, Kedah, berkelulusan diploma dalam bidang pertanian dari University College Of Agroscience Malaysia (UCAM) ini berjaya mencipta inovasi dalam teknologi penanaman dikenali sebagai Sistem Osmosis (OS). Menurutnya, idea menghasilkan inovasi itu bermula sejak 2013 apabila beliau mengusahakan penanaman pokok tin di kebun Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV). Idea ini bertujuan untuk mencipta satu sistem yang dapat membantu memudahkan proses penyiraman air dan pembajaan untuk tanaman secara serentak. Beliau yang juga felo Kolej Aminuddin Baki (KAB) berkata, selepas pelbagai usaha dan kajian dibuat, terhasil sistem diberi nama OS iaitu penyiraman air dan baja yang disalurkan secara serentak kepada tanaman.

Maklumat berkaitan Sistem Osmosis:

  • Satu sistem penyiraman air dan baja yang disalurkan secara serentak kepada tanaman.
  • Proses penyiraman air dan baja ini berlaku secara automatik iaitu dengan menggunakan daya graviti dan pergerakan molekul air dari kecerunan tinggi ke kecerunan rendah.
  • Kebaikan sistem ini ialah penyerapan baja dan air adalah sekata kepada semua pokok, sekali gus tidak berlaku pembaziran baja dan air semasa proses penyiraman.
  • Tidak menggunakan tenaga elektrik tetapi hanya menggunakan daya graviti.
  • OS boleh digunakan sama ada untuk tanaman secara kecil-kecilan mahupun komersial.
  • OS tidak memerlukan pemantauan rapi terhadap penyiraman air dan pembajaan kerana sistem itu sendiri dianggap efisien kerana menjimatkan kos.
  • Maklumat lanjut berkaitan sistem yang dibangunkan boleh dikongsi menerusi Facebook Cikgu Kebun (CK).

Cara menggunakan Sistem Osmosis pada pokok kobis

 

Sumber: Harian metro

Mi sihat atasi sembelit

mi sihat

Dr. Khadijah menunjukkan produk mi sayur

Pada mata kasar, mi dihasilkan ini tidak ubah seperti mi kuning lain di pasaran. Namun, ia sebenarnya mi sihat yang diolah daripada sayur-sayuran sekali gus membolehkan kanak-kanak memperoleh nutrisi yang terdapat pada bahan organik terbabit. Uniknya, mi ini bukan saja berwarna kuning, tetapi turut berwarna hijau dan oren berikutan menggunakan bahan sayuran diperlukan kanak-kanak serta golongan dewasa yang menghadapi masalah sembelit.

Pemilik resipi sihat ini Dr Khadijah Zakaria berkata, pengalaman 34 tahun berdepan pesakit sembelit memberi tamparan hebat kepadanya untuk mencari formula mi sihat, sekali gus mengurangkan risiko sembelit dalam kalangan kanak-kanak. Katanya, mi sayur memang diformulasi untuk kebaikan, apatah lagi isu sembelit sering dihadapi kanak-kanak, selain turut dihadapi golongan wanita yang menghadapi masalah haid tidak seimbang, fibroid dan pesakit ketumbuhan pada ovari (cyst).

Katanya, sebagai pengamal perubatan membabitkan wad bersalin dan kanak-kanak, dia lebih gemar menggunakan kaedah rawatan tanpa ubat. Beliau yang pernah memenangi Anugerah Inovasi Agro Johor pada 2013 dan terbaru dinobatkan johan Anugerah Cabaran Inovasi Johor 2016 anjuran Bahagian Teknologi dan ICT Negeri Johor (BSTICT), menasihatkan pesakit supaya mengubah cara makan untuk mengelak sembelit termasuk tidak makan malam, selain minum air dengan banyak dan amalkan pemakanan sunah.

Mereka yang ingin mengetahui mengenai mi sihat itu boleh melayari Facebook (FB) Rabbisyfina Food Industry.

Info berkaitan Mi sihat:

  • Diolah dengan empat perisa sayur-sayuran seperti labu, sawi, bayam dan lobak merah. Sayur bayam atau nama saintifiknya Amaranthus mempunyai banyak zat besi, lobak merak pula kaya dengan karotenoid, sawi pula kaya dengan klorofil dan labu pula kaya dengan antioksidan dan selenium.
  • Dapat merangsang kanak-kanak atau mereka yang tak gemar makan sayur memperoleh khasiat diperlukan tubuh, sekali gus mengelak penyakit berikutan kurang minum air dan makanan tinggi serat.
  • Tidak menggunakan bahan kimia berbahaya, bebas monosodium glutamat (MSG), pewarna tiruan, bahan pengawet dan tiada asid borik.
  • Bahan utama yang dihasilkan daripada bahan karbohidrat mengandungi serat dan protein supaya kadar gula dapat diseimbangkan. Ia membolehkan kanak-kanak memberi tumpuan, fokus, emosi stabil dan tenteram berbanding mi kuning yang mengakibatkan kanak-kanak hiperaktif dan mudah marah. 

     

    Sumber: Diubah suai dari Harian Metro

Tips Untuk Menjadi Petani Berjaya

Saya sebenarnya bercita-cita hendak menjadi petani/penternak berjaya. Tapi buat masa ini belum ada kelapangan hendak membuatnya sepenuh masa. So tips di bawah merupakan antara keperluan yang perlu ada jika ingin menjadi petani berjaya. Kalau anda ada tips lain bolehlah tambah ya. Tips ini adalah sebagai motivasi diri saya sendiri dan pengunjung blog yang bercita-cita sama seperti saya.

  1. Minat dan Bersikap Positif

Bagi saya minat kepada pertanian adalah kriteria penting sebelum anda memilih pertanian sebagai kerjaya anda. Contohnya kalau anda tidak suka berpanas dan berlumpur tiba-tiba hendak menjadi petani mungkin agak sukar. Tapi yelah minat tu boleh dipupukkan. Bagaimanapun, sikap positif seperti kegigihan, kecekalan dan komitmen usahawan dapat memastikan kelangsungan perniagaannya walaupun memperoleh pendapatan yang tidak seberapa pada peringkat awal perniagaan. Oleh itu, minat sahaja tidak mencukupi jika anda tidak kuat semangat menanggung cabaran dan dugaan dunia perniagaan ya!

2. Perancangan Teliti

Perlu ada perancangan teliti meliputi aspek berikut:

  • Tanah

Perkara asas yang perlu ada untuk menjadi petani. Sekiranya anda tiada tanah sendiri, anda boleh sewa, pajak atau memohon tanah tol daripada pihak berkuasa. Besar kecil keluasan bergantung kepada projek yang ada ingin jalankan. Jika anda tidak mempunyai tanah yang luas anda boleh menggunakan teknik tanaman hidroponik dan bekas terbuang contohnya. Yang penting anda perlu kreatif dan inovatif.

  • Modal

Modal juga merupakan faktor penting yang perlu diambil kira. Modal sendiri, atau meminjam dari saudara mara atau pun daripada institusi perbankan. Saya lebih suka menggunakan modal daripada simpanan sendiri untuk memulakan perniagaan untuk mengurangkan tekanan membayar balik pinjaman jika perniagaan kurang berjaya. Aliran untung rugi tanaman juga penting untuk dipelajari untuk membuat pemilihan tanaman dengan betul, tepat, cepat dan hasil yang lumayan.

  • Khidmat nasihat

Bakal petani perlulah mendapatkan maklumat tentang sesuatu projek pertanian yang diminati melalui pelbagai sumber seperti internet, menghadiri kursus-kursus yang dianjurkan pihak kerajaan atau swasta serta mendapatkan khidmat nasihat daripada usahawan yang telah berjaya dalam bidang mereka. Kalau anda ada wang yang banyak apa salahnya pergi ke negara maju dalam pertanian dan belajar dari mereka di sana !. Selain itu, para petani perlu mempunyai jaringan hubungan dengan para usahawan lain di dalam bidang yang sama supaya dapat bertukar-tukar pandangan dan idea.

3. Peka Terhadap Teknologi

Petani berjaya tidak hanya semata-mata menggunakan kaedah konvensional. Petani perlu peka terhadap pelbagai teknologi terkini yang dapat membantu meningkatkan hasil pertanian. Teknologi Tanaman boleh diikuti mengikut Kalender Tanaman bagi setiap komoditi. Pemilihan tanaman juga, perlu mengikut kesesuaian tanah di sesuatu kawasan yang hendak dijalankan. Teknologi  Benih yang berkualiti juga memainkan peranan yang penting. Buat masa ini benih tanaman tidak lagi dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian, ia boleh di dapati di MARDI. Petani juga boleh menggunakan pelbagai teknologi kejenteraan selain pelbagai teknologi dan inovasi terkini dalam pertanian untuk memaksimumkan pendapatan mereka.

Antara teknologi pertanian yang canggih

4. Mendapatkan Persijilan SALM dan SOM

Para petani yang ingin berjaya juga perlu berusaha untuk mendapatkan persijilan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian bagi membantu meluaskan pasaran mereka. Antaranya:

Skim Amalan Ladang Baik Malaysia ( SALM ) merupakan satu skim pensijilan yang dirangka oleh Jabatan Pertanian untuk member Pengikhtirafan kepada Pengusaha yang mengamalkan Amalan Ladang  yang Baik ( APB ) berkonsepkan mesra alam sekitar, menjaga kebajikan dan keselamatan pekerja bagi menghasilkan produk yang berkualiti, selamat dan sesuai dimakan. Skim ini berpandukan Standard MS 1784: 2005 Crop Commodities – Good Agricltural Practies ( GAP )

Skim Organik Malaysia ( SOM ) adalah satu skim pensijilan yang dibangunkan oleh Jabatan Pertanian untuk mengikhtiraf ladang-ladang yang diusahakan secara organik mengikut kriteria dan keperluan yang telah ditetapkan dalam Standard Skim Organik Malaysia ( SOM ) , Standard SOM adalah berasaskan kepada Malaysian Standard MS 1529:2001 The Production , Processing, Labelling and Marketing of Plant Based Organically Produced Foods.

Persijilan yang diperoleh memberi tambah nilai pasaran pada produk anda

5. Mengkaji Pasaran

Langkah penting dalam merancang strategi pemasaran ialah mengetahui dan memahami keperluan dan kehendak pelanggan. Faktor tersebut usahawan akan berupaya merangka rancangan pemasaran yang berkesan dan mampu merangsang dan memenuhi keperluan dan kehendak pelanggan. Rancangan pemasaran yang baik mengandungi penjelasan mengenai pasaran sasaran, trend dan saiz pasaran, persaingan, syer pasaran, ramalan jualan, strategi pemasaran dan belanjawan pemasaran.  Agensi yang boleh membantu di dalam pemasaran pertanian berskala kecil dan besar adalah Lembaga Pemasaran Persekutuan Malaysia (FAMA). Selain itu pasaran dalam talian menggunakan portal Agrobazaar.com.my contohnya boleh dijadikan wadah untuk mengembangkan pasaran anda.

6. Berdaya Saing

Ciri di atas sangat penting untuk maju. Jika kita mudah berpuas hati dengan apa yang ada tentu kita sukar untuk mengembangkan perniagaan pertanian kita. Pelbagai insentif yang ditawarkan oleh kerajaan yang boleh direbut para petani bagi mengembangkan lagi perniagaan anda. Terdapat beberapa garis panduan bagi insentif yang dilaksakanakan oleh Jabatan Pertanian iaitu:

a. Garis Panduan Pelaksanaan Insentif Pengeluaran Hasil Pertanian dibawah  Dasar Jaminan Bekalan Makanan 2008
b. Garis Panduan Permohonan Insentif / galakan dibawah seksyen 127, Akta Cukai Pendapatan 1967

Format Plan Perancangan Perniagaan

1.    Muka Depan
2.    Isi kandungan
3.    Ringkasan Eksekutif
a. Nama syarikat penggerak utama& cadangan projek
b. Pengurusan Projek
c. Kewangan projek
d. Pasaran dan ekonomi
e. Kos projek / daya maju
f.  Ekuiti dan keperluan pinjaman
g. Cagaran
h. Sokongan MOA.Inc

Sumber: http://www.doa.gov.my, http://agri.pahang.gov.my/

Kalau dah rajin…

Walaupun cacat di bahagian kaki sehingga membataskan pergerakannya dan ada kalanya terpaksa bertongkat, ia tidak menjadi penghalang kepada Mohd Arif Hasani Othman, 34, untuk mengusahakan ternakan udang kara atau lobster.

Kesungguhan dan minat menjadi rahsia kejayaannya mengusahakan projek ternakan akuakultur di Kampung Banting, Sabak Bernam.

Buat permulaan, dia menggunakan modal RM2,700 yang diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam bentuk Bantuan Geran Pelancaran untuk melaksanakan projek itu selain bantuan bulanan RM350.

Pemegang Diploma Kejuruteraan Elektronik Komputer dari Politeknik Ungku Omar, Ipoh itu berkata, dengan modal RM2,000, dia membeli 20 ekor induk udang kara daripada seorang kenalan, manakala baki RM700 membeli beberapa peralatan dan tangki.

“Selepas tamat belajar di politeknik, saya buka kedai membaiki komputer di depan rumah, tapi terpaksa ditutup kerana kurang sambutan.

“Kemudian saya ternak ikan keli, namun usaha itu hanya sementara kerana pergerakan saya terbatas manakala kos menggajikan pekerja dan makanan ikan keli agak mahal.

“Saya kemudian berjinak-jinak dengan ternakan udang kara selepas diperkenalkan seorang rakan,” katanya yang tidak pernah berputus asa setiap kali menceburi bidang perniagaan.

Menurutnya, bermula dengan 20 ekor induk pada tahun 2014, kini jumlahnya bertambah kepada 2,000 ekor selepas berjaya menghasilkan benih secara semula jadi.

“Menternak udang kara tidak terlalu susah seperti didakwa sesetengah pihak. Kita hanya perlu menyediakan makanan sesuai, selain memastikan kolam tidak terdedah suhu panas kerana ia mempengaruhi suhu air.

“Udang kara makan tumbuh-tumbuhan hijau yang banyak tumbuh di dalam kolam selain saya tanam sendiri dan pelet. Pantangnya jangan beri makanan berlebihan kerana ia menghasilkan ammonia,” katanya.

Mohd Arif yang cacat sejak lahir berkata, kebersihan kolam perlu diutamakan bagi memastikan udang tidak mati atau pembesarannya terbantut.

“Setiap bulan saya menukar air baru bagi memastikan udang tidak dicemari. Saya keluarkan dulu udang dan asingkan sebelum memasukkan semula ke dalam tangki.

“Ada juga anak udang menjadi mangsa kepada yang lebih besar dan ganas. Udang kara mampu membesar hingga mencecah sekilogram seekor bergantung kepada beberapa faktor seperti usia dan makanan diberikan.

“Biasanya udang kara di sini tidak dapat dijual dengan saiz besar kerana pelanggan lebih suka membeli benih. Saya jual benih mengikut saiz iaitu satu inci dengan harga RM1, dua inci (RM2.50), tiga inci (RM2.50),” katanya.

Katanya, buat masa ini dia mempunyai 15 kolam simen, 12 tangki plastik dan tiga kolam plastik yang menampung lebih 2,000 udang kara pelbagai saiz.

“Saya memasarkan sendiri udang kara mengikut harga pasaran. Udang kara sejuk beku dijual sekitar RM80 sekilogram selain menjual benih induk.

“Biasanya jualan benih udang kara mampu menjana pendapatan sekitar RM1,500 hingga RM2,000 sebulan,” katanya yang sudah mendirikan rumah tangga dan mempunyai seorang cahaya mata lelaki berusia dua minggu.

Mohd Arif berkata, permintaan udang kara begitu menggalakkan terutama daripada pemilik restoran makanan laut, namun bergantung kepada pengeluaran.

“Saya sedia berkongsi pengalaman dengan mana-mana pihak yang berminat mengusahakan ternakan udang kara. Sejak beroperasi, ramai individu dan syarikat datang melihat projek diusahakan.

“Saya tidak segan untuk mendapatkan ilmu daripada rakan yang sudah berjaya,” katanya yang merancang membuka pusat ternakan baru penghujung tahun ini.

Mohd Arif menunjukkan udang kara yang diternak

Mohd Arif menunjukkan kotak polisterina yang dijadikan tempat pembiakan induk udang

Tangki plastik biru digunakan untuk menternak udang kara

Antara kolam simen

Sumber: Harian Metro

PANDUAN MEMBUAT DEDAK/ MAKANAN ALTERNATIF UNTUK AYAM KAMPUNG

Saya dan suami bercadang untuk membela ayam kampung. Salah satu kos tertinggi bagi membela ayam kampung ni adalah dari segi pemakanannya. Harganya yang boleh melambung tinggi dan tidak boleh diimbangi dengan kadar pertumbuhan ayam kampung yang agak perlahan boleh menjadi isu besar bagi para penternak yang baru berjinak-jinak seperti saya . Oleh itu, maklumat yang saya perolehi daripada hasil carian saya antara altenatif makanan bagi ayam kampung adalah seperti berikut:

Cara 1

Bahan-bahan:

  1. Pokok keladi
  2. Beras merah
  3. Dedak padi
  4. Tepung tulang  – boleh jika tidak dicampur

Cara pembuatan:

  1. Cincang halus pokok keladi sampai saiz lebih kurang 1 cm.
  2. Campuran utk 2 kg makanan: 1 kg pokok keladi, 1/2 kg beras merah, 1/2 kg dedak,  satu senduk tepung tulang.
  3. Campurkan air secukupnya untuk ramuan di atas dan rebus sampai semua bahan hancur dan tercampur rata.
  4. Sejukkan dan boleh diberi makan kepada ayam anda.

Nota: ayam mungkin akan menolak makanan tersebut pada awalnya sehingga ayam dapat mengadaptasi makanan tersebut.

sumber: http://www.infopeternakan.com

Cara 2

Bahan-bahan

  1. Bijian seperti kekacang dan jagung
  2. buah-buahan dan sayuran seperti kangkung, bayam (sayuran murah).
  3. Dedak
  4. Air gula
  5. Tepung ikan/tulang

Cara pembuatan:

  1. Giling kacang dan potong sayur dan buah-buahan hingga saiz kecil
  2. Campur semua ramuan di atas. dikukus untuk sempan lama. kalau nak guna terus tidak perlu dikukus.Cukup dicampurkan sahaja semua ramuan.
  3. Jika dikukus- hendaklah digiling selepas dikukus dan dikeringkan sehingga betul2 kering.

 

Cara Membuat Pakan Ayam yang Terbuat dari Bahan Alami untuk Menjaga Kesehatan Ayam dan Menekan Biaya Pakan Ternak

Hasil makanan ayam alternatif yang dihasilkan

Sumber: https://ayamhiasjogja.wordpress.com

Mudah ditanam, kos rendah

Sering kali kita melihat haiwan ternakan seperti lembu dan kambing berkeliaran meragut rumput di tepi jalan sehingga mengancam keselamatan pemandu kenderaan.

Ada pemandu membunyikan hon bagi memberi amaran kepada haiwan berkenaan kerana bimbang ternakan itu akan melintas jalan.

Masalah itu turut merungsingkan pemilik ternakan kerana bimbang haiwan mereka dicuri.

Bagaimanapun, masalah itu dapat diatasi dengan menggunakan sistem Fodder (rumah hijau) bagi menghasilkan rumput ternakan, sekali gus dapat menjimatkan kos makanan, pekerja dan ruang.

Bagi pengusaha yang menternak pada skala komersial, sudah pasti pembelian makanan lengkap membebankan mereka berbanding penggunaan makanan segar.

Pengurus Myternak Trading Dr Fakar Fariz Abd Wahab, 34, berkata, teknologi itu menggunakan kaedah hidroponik sederhana untuk menghasilkan rumput makanan ternakan.

Beliau berkata, kaedah ini sangat menjimatkan dan mudah dilakukan sendiri penternak yang mengusahakan ladang lembu, kambing, arnab atau ayam secara komersial.

“Antara bijirin rumput ternakan yang digunakan ialah benih biji jagung, barli, padi, bunga matahari dan pelbagai bijian jenis kekacang.

“Proses penyediaan benih berkenaan melalui peringkat pemilihan benih, cucian benih, rendam selama 12 jam, semai, siram dan tuai. Ia mengambil masa lapan hari untuk rumput panjang sehingga 30 sentimeter.

“Kos membina Fodder tidak terlalu mahal dalam anggaran RM600 bagi saiz 2×2 meter yang boleh memuatkan lapan bekas semaian pada satu masa,” katanya yang ditemui di pejabatnya di Kedai IKS, Kampung Jenderam Hulu, Dengkil, Selangor, baru-baru ini.

Dr Fakar Fariz yang turut mengendalikan kursus ternakan berkata, pembinaan rumah Fodder hanya menggunakan kayu, jaring, rak, bekas semaian benih, semburan air secara manual atau menggunakan pam automatik.

DR Fakar Fariz menunjukkan rumput ternakan sebelum memberikannya kepada kambing.

“Saya biasa menggunakan benih jagung kerana ia murah dan mudah didapati selain menghasilkan rumput yang kehijauan hanya dalam tempoh lapan hari.

“Dengan Fodder yang kecil ini, ia mampu menyediakan rumput kira-kira 60 kilogram (kg) sehari dan cukup untuk makanan 30 ekor kambing,” katanya.

Katanya, kebaikan rumah Fodder untuk menghasilkan rumput ternakan ialah penyediaan makanan tanpa mengira musim, mudah diaplikasi, tidak memerlukan kawasan luas dan kecekapan kos pemakanan.

“Selain itu, kecekapan penggunaan tenaga kerja, meningkatkan produksi ternakan dan mengurangkan kos ubatan serta makanan tambahan.

“Rumput ternakan ini juga berkualiti, bersih, segar, kaya dengan vitamin, mineral, enzim, disukai ternakan dan mencegah masalah pencernaan,” katanya.

RUMPUT ternakan sudah berakar dan menampakkan hasil.

Beliau berkata, dengan menggunakan sistem Fodder, kos yang diperlukan untuk sekilogram rumput sekitar 25 sen berbanding RM1.20 hingga RM1.50 bagi pemberian makanan secara tradisional.

“Cara tradisional memerlukan penternak memberikan ternakan mereka dedak dan rumput yang tahap khasiatnya boleh diragui sedangkan rumput yang dihasilkan daripada sistem Fodder terbukti berkhasiat.

“Kaedah ini bebas racun serangga dan kimia selain tiada pencemaran, parasit, kuman dan cacing. Penternak dijangka dapat menjimatkan kos harian dengan jaminan makanan berkualiti dan berkhasiat untuk ternakan mereka,” katanya.

Dr Fakar Fariz berkata, setakat ini, beliau sudah memberi latihan kepada 30 pengusaha ternakan di seluruh negara dengan menggunakan kaedah berkenaan.

“Ia mendapat maklum balas baik daripada penternak yang menggunakan kaedah ini kerana dapat menjimatkan kos operasi dan masalah kekurangan pekerja,” katanya.

Myternak Trading turut menawarkan seminar mengenai ternakan dan menjual vitamin ternakan kepada orang ramai. Mereka yang berminat boleh menghubungi Dr Fakar Fariz melalui e-mel fakar@ternak.my.
– Sumber: http://www.hmetro.com.my

Tuah sawit masam

Kotak polisterin terpakai dibuang begitu saja manakala mendapan buah kelapa sawit ‘berbau masam’ mungkin tidak membawa sebarang makna kepada sebilangan masyarakat.

HALAMAN rumah Wan Bahizah dipenuhi tanaman sayuran.

Bagaimanapun, ia bahan berguna kepada penerokawati di FELDA Jengka 12, Maran, Pahang, apabila kedua-dua medium itu menjadi punca pendapatan tambahan keluarganya yang bergantung kepada hasil ladang tanaman kelapa sawit sejak menduduki tanah rancangan itu, 36 tahun lalu.

Antara sayuran yang ditanam ialah pelbagai jenis salad, bayam, sawi, kailan, labu, kobis dan terung serta yang jarang ditemui seperti salad Perancis, bayam sutera dan sawi Jepun.

Wan Bahizah Wan Su, 64, berjaya mentransformasikan halaman rumahnya yang sebelum ini dipenuhi pokok bunga kepada kebun sayur menggunakan kotak polisterin terpakai sejak tiga tahun lalu.

Begitupun, segala perancangannya dikendalikan anak kelimanya, Wan Ahmad Nizam Wan Khazam, 35, yang berminat mengusahakan kebun sayur sepenuh masa selain membantu ibunya yang semakin dimamah usia.

Sehingga kini, Wan Ahmad Nizam sudah menanam hampir 20 jenis sayuran dalam 300 kotak polisterin diperolehnya secara percuma di pasar segar Bandar Pusat Jengka, Maran.

Mengenai penggunaan kotak polisterin, Wan Ahmad Nizam berkata, semuanya bermula apabila dia melihat kotak putih itu dibuang begitu saja oleh peniaga di pasar segar berkenaan.

“Tanpa perlu membayar walau sesen pun, saya mengambil lima kotak polisterin dan menanam sawi dan terung sebagai percubaan, kira-kira tiga tahun lalu.

“Saya menggunakan tanah hitam hasil mendapan kelapa sawit dan tanah merah atau pasir. Tanpa disangka hasilnya di luar jangkaan sama sekali,” katanya.

Keghairahannya untuk terus menggunakan kotak polisterin semakin menjadijadi selepas melihat hasil diperoleh ketika kali pertama penanaman.

“Saya mula menambah sedikit demi sedikit jenis sayuran berdaun dan mengambil kotak polisterin secara berperingkat bergantung kepada berapa banyak kotak itu dibuang.

“Ternyata barangan buangan seperti mendapan sisa proses kelapa sawit dan kotak polisterin memberi hasil yang bukan sedikit kepada kami,” katanya yang memperoleh hampir RM3,000 setiap bulan hasil kaedah digunakan itu.

Menurut bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 21 itu, sayuran ditanamnya tidak lagi dibaja atau diracun kerana tanah hitam yang digunakan mempunyai zat dan mineral mencukupi.

“Kotak polisterin diletakkan secara bertingkat seperti ‘batas tanaman’, tapi untuk menjaganya tidak semudah disangka,” katanya.

Katanya, penggunaan tanah dalam kotak polisterin itu untuk satu pusingan saja dan selepas sayuran dikutip, tanah berkenaan perlu diperam selama tiga atau empat hari untuk menghilangkan bau masam tanah.

“Kotak yang sudah dikosongkan akan dimasukkan pula dengan tanah baru dan anak benih sayur lain pula, bukan dari jenis sayur sama sebelumnya.

“Jika masih menggunakan tanah dan anak benih sama, ia membantutkan tumbesaran pokok seolaholah tanah itu ‘merajuk’ dan mahukan ‘anak’ yang baru pula,” katanya.

Justeru, katanya, bagi mengelak kerugian, dia perlu pastikan kotak itu digantikan dengan tanah baru dan anak benih lain bagi memastikan bekalan sayuran sentiasa mencukupi.

“Sayuran ditanam tidak mengambil masa lama, hanya dua minggu hingga empat bulan bergantung kepada jenis sayuran.

“Sebagai contoh, sawi, salad dan bayam boleh dipetik dalam tempoh dua hingga tiga minggu saja,” katanya.

 

WAN Bahizah bersama Wan Ahmad Nizam menggunakan kotak polisterin untuk menanam sayuran.

 

Menurutnya, sayuran berdaun dijual pada harga RM1 seikat, kobis dan labu air (RM3 hingga RM4 bergantung pada saiz), terung pipit dan bendi pula RM1 selonggok.

Katanya, dia menggunakan 70 peratus sama ada tanah biasa, tanah merah atau pasir yang diletakkan di bahagian bawah kotak manakala 30 peratus lagi tanah hitam di bahagian atas.

“Saya tak pernah belajar asas penanaman di manamana, semua sekadar mencuba, tapi saya dapat banyak perkongsian ilmu daripada rakan laman sosial Facebook daripada Grup Kebun Bandar (jom tanam sendiri) dan Grup Kebun Mini.

“Banyak ilmu penanaman diperoleh daripada mereka yang majoritinya pekebun sayur atau yang meminati bidang pertanian,” kata anak kelima daripada 12 beradik itu.

Menurutnya, ‘kebun sayur polisterinnya’ pernah dikunjungi Jabatan Pertanian daerah dan peneroka dari beberapa negeri lain, pelajar sekolah dan orang awam termasuk dari Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Kuala Lumpur.

“Ada yang ingin mengetahui kaedah penanaman, mendapat khidmat nasihat berkaitan penggunaan tanah dan membeli sayuran.

“Kebanyakan penerokawati di sini datang membeli sayuran walaupun saya berniaga di pasar segar di Bandar Pusat Jengka,” katanya yang membuat dua pusingan tanaman dalam tempoh sebulan.

Berbeza dengan pekebun sayur biasa, Wan Ahmad Nizam lebih suka menggunakan waktu malam untuk memulakan tanaman.

“Saya suka menanam pada waktu malam kerana dingin, sunyi, tiada pelawat dan paling penting mudah membuang makhluk perosak yang ‘menyorok’ di celah rumput atau daun sayur.

“Saya menggunakan lampu suluh untuk melakukan semua kerja yang adakalanya berlarutan sehingga waktu Subuh,” katanya dibantu adiknya, Wan Abd Rahman, 28, menguruskan ladang kelapa sawit mereka.

Sementara itu, Wan Bahizah berkata, dia membantu sekadar termampu kerana kudratnya yang tidak seberapa.

“Tugas saya lebih kepada menyemai anak benih dan mengalihnya dalam beg semaian sebelum ditempatkan dalam kotak polisterin sehingga tempoh matang.

“Saya juga membantunya membuang rumput dan siput yang ditemui di celah tanaman. Siput ini kalau dibiarkan cepat makan daun pokok tanpa mengira waktu dan paling aktif pada waktu malam,” katanya.

Katanya, Wan Ahmad Nizam tidak mempunyai pekerjaan lain selain menguruskan ladang tanaman kelapa sawit seluas empat hektar dan kebun sayur seluas 1.2 hektar di tanah rizab FELDA.

“Bermula daripada kebun sayur itu dia mula meluaskan tanaman di rumah menggunakan kotak polisterin yang dibuang peniaga.

WAN Ahmad Nizam membersihkan kawasan tanaman.

“Modal dikeluarkan hanya untuk membeli anak benih dan beg semaian selain kos minyak kereta untuk mengambil tanah hitam sawit di Kilang Sawit FELDA Jengka 8,” katanya yang menyiram tanaman pagi waktu pagi dan lewat petang.

Sumber: http://www.hmetro.com.my