Mengatasi kepupusan spesies ikan air tawar

MASYARAKAT kini kian menyedari dan membuka mata mengenai khasiat serta sumber protein yang boleh diperoleh daripada pelbagai spesies ikan air tawar yang banyak menghuni sawah, sungai, tasik dan bekas lombong di negara ini.

Bagaimanapun, ancaman kepupusan spesies berkenaan menimbulkan satu fenomena baru kepada hidupan itu, sekali gus memberi kesukaran untuk generasi kini mendapatkan sumber ikan air tawar yang mencukupi bagi menampung permintaan orang ramai.

Faktor pencemaran, pembuangan sisa toksik, penyeludupan dan penggunaan bahan kimia serta bom ikan dilihat antara faktor utama mempengaruhi kepupusan spesies seperti kelah, temoleh, baung, kelabau, tengas, loma, tengalan, sebarau dan lampam sungai.

Justeru, Jabatan Perikanan memainkan peranan dengan menubuhkan Pusat Perikanan Darat (PPD) Banding, Grik, Hulu Perak. Ia antara PDD diwujudkan di negara ini sebagai tanggungjawab untuk membangunkan baka induk dan mengeluarkan benih ikan air tawar tempatan.

PPD yang dibina pada 1997 dengan kos RM6 juta dan beroperasi mulai November 2006 itu dijadikan sebagai ‘klinik dan pusat jagaan’ kepada spesies ikan air tawar.

Selain untuk tujuan pemuliharaan, penubuhan PPD turut mensasarkan pengeluaran benih ikan air tawar asli tempatan sebanyak 10 juta ekor setahun kerana jumlah itu dijangka dapat menampung permintaan bagi memastikan kesinambungan hidupan spesies ikan.

Ketua PPD Banding, Bakri Miswan, berkata pusat itu juga memainkan peranan sebagai pusat pengembangan yang memberi khidmat nasihat teknikal dan pusat sumber maklumat serta rujukan kepada kumpulan sasar, membekal benih ikan air tawar kepada penternak dan melepaskan anak ikan ke sungai atau tasik.

“Pusat itu menjalankan program membekal benih ikan kepada golongan sasaran bertujuan mempelbagai aktiviti ekonomi bagi meningkatkan pendapatan mereka.

“Selain nelayan setempat, kami turut menggunakan khidmat masyarakat Orang Asli untuk menjaga serta memulihara anak ikan yang dilepaskan ke tasik daripada aktiviti pencerobohan serta penangkapan ikan secara haram,” katanya.

Ternyata usaha itu disambut baik di kalangan penduduk Orang Asli yang kini bukan dilihat sebagai penduduk primitif sering berpindah randah, sebaliknya mula membuka minda melihat sebarang sumber untuk menambah punca pendapatan dengan menggabungkan kemahiran tradisional dengan kemajuan teknologi yang diberi Jabatan Perikanan.

Tok Batin Sungai Chiong, Chali Itam ketika ditemui Berita Harian di perkampungan itu baru-baru ini berkata, penduduk kampung berkenaan menyambut baik usaha kerajaan serta Jabatan Perikanan menjalankan projek pelepasan benih ikan tawar ke sungai kerana banyak membantu memberi sumber pendapatan kepada penduduk.

“Kebanyakan daripada penduduk kampung menjalankan kegiatan menangkap ikan dan sememangnya jika tiada usaha memulihara spesies ikan air tawar, ia akan mengalami masalah kepupusan.

“Melalui program itu, sekurang-kurangnya kami dapat bergantung dengan pendapatan sebagai nelayan kerana ia boleh memberi pulangan lumayan sehingga mencecah RM100 sehari hasil daripada jualan ikan air tawar kepada penduduk luar,” katanya.

Chali berkata, ada lebih 100 keluarga di Kampung Chiong yang hanya menumpukan kegiatan pertanian seperti bercucuk tanam dan menangkap ikan untuk mencari sumber pendapatan.

“Kami kini mula menjalankan ternakan ikan secara tidak langsung walaupun tanpa menggunakan sangkar atau kolam khas kerana ikan dibiakkan melalui habitat mereka sendiri.

“Kami diberi tugas mengadakan rondaan dan memantau pembesaran ikan itu dengan memastikan tiada kegiatan pencerobohan dan penangkapan ikan secara haram selain memastikan habitat ini terpelihara daripada sebarang pencemaran.

“Walaupun bukan secara rasmi, tetapi itu menjadi tanggungjawab kami sebagai penduduk asal di tasik ini,” katanya.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya, penduduk kampung (Orang Asli) mempunyai ‘tugas khas’ untuk membantu pemuliharaan ikan air tawar selain memberi pendapatan sampingan yang lumayan.

“Kebanyakan spesies ikan terutama kelah dan temoleh semakin sukar diperoleh dan nilai pasarannya melambung tinggi. Ia menjadi kegemaran ramai pihak terutama penggemar ikan hiasan serta masyarakat Cina. Jadi pihak berkenaan perlu mengambil inisiatif lebih awal untuk membendung sebarang kegiatan tidak diingini bagi melindungi hidupan itu,” katanya.

FAKTA: Pusat Perikanan Darat

# Ditubuhkan dengan kos RM6 juta.

# Sasaran hasilkan benih 10 juta ekor ikan air tawar setahun

# Dijadikan pusat khidmat nasihat teknikal dan sumber maklumat serta rujukan

Ejen pendebunga pastikan bekalan makanan berterusan

HARI ini, berjuta penduduk dunia bersatu menunjukkan sokongan mereka terhadap kepentingan pemuliharaan kepelbagaian biologi untuk menjamin bekalan makanan yang berterusan bagi generasi kini dan akan datang.

Sempena sambutan Hari Kepelbagaian Biologi dunia hari ini, masyarakat umum di negara ini perlu mengetahui akan pentingnya pemuliharaan kepelbagaian biologi itu.

Malah, menyedari betapa pentingnya sumbangan kepelbagaian biologi terhadap pembangunan pertanian dan makanan dunia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Program Alam Sekitar (UNEP) sudah menubuhkan Konvensyen Kepelbagaian Biologi pada 1992, di Rio de Janeiro, Brazil.

Konvensyen ini adalah bermatlamat memulihara, mengguna secara lestari dan berkongsi sama sumber kepelbagaian biologi. Salah satu program kerja konvensyen ini adalah Kepelbagaian Biologi Pertanian, bermatlamat memastikan pembangunan pertanian secara lestari dapat dibangunkan.

Pada ketika ini, persidangan kesembilan konvensyen ini sedang berlangsung di Bonn, Jerman. Salah satu isu utama pada persidangan ini ialah untuk menilai kembali kesan pertanian kepada kepelbagaian biologi dan juga meneliti sumbangan kepelbagaian biologi terhadap bekalan pertanian dan makanan dunia.

Persidangan kali ini diadakan bersamaan tarikh sambutan Hari Kepelbagaian Biologi dunia hari ini. Tema sambutan pada tahun ini ialah ‘Kepelbagaian Bio dan Pertanian’. Tema ini dipilih untuk menyedarkan masyarakat dunia betapa kepelbagaian biologi dan pertanian saling bergantung dan memerlukan.

Di Malaysia, sambutan juga diadakan dengan mengadakan seminar kesedaran awam anjuran Mardi, di Serdang. Seminar ini dijayakan bersama ‘Bioversity International’, bertujuan meningkatkan kesedaran awam betapa perlunya membangun pertanian secara lestari, bukan sekadar memulihara kepelbagaian biologi malah menjamin bekalan makanan dunia mencukupi, dapat menjaga kesejahteraan warga pertanian dan seterusnya meningkatkan keselesaan warga dunia dalam abad ke-21 dan masa akan datang.

Dalam erti kata lain, krisis makanan yang dirasai sekarang adalah sekadar mengingatkan kita betapa krisis pemakanan yang lebih besar lagi akan mendatang sekiranya kita gagal mengurus sumber kepelbagaian biologi kita dengan sebaik mungkin.

Bagi membincang lanjut isu ini, kita perlu melihat kepada peranan pendebungaan iaitu salah satu sumbangan daripada ekosistem yang amat bermakna kepada kehidupan kita. Pelbagai jenis hidupan terbabit dalam menjayakan proses pendebungaan ini.

Sumbangan ejen pendebungaan hanya satu contoh di mana peranan kepelbagaian biologi amat diperlukan bagi menjamin kehidupan yang selesa untuk masa sekarang dan akan datang.

Dengan itu, kepentingan kepelbagaian biologi ejen pendebungaan adalah seiring dengan kepentingan kepelbagaian genetik serta spesis di dalam menjamin bekalan makanan berterusan untuk generasi sekarang dan generasi akan datang.

Ejen pendebungaan membantu ekosistem dengan memudahkan proses pembiakan pelbagai spesis tanaman dan tumbuhan. Sebahagian daripada tumbuhan ini adalah punca makanan kepada manusia.

Data penyelidikan kini menunjukkan khidmat pendebungaan ini sangat tinggi nilainya kepada ekologi, ekonomi dan sosial.

Sebagai contoh, koko bergantung sepenuhnya kepada ejen pendebunga untuk menjayakan proses pendebungaan. Dengan menjayakan proses yang amat penting kepada kitaran hidup koko, ejen pendebunga bertanggungjawab memastikan pokok koko dapat hidup berterusan dan menghasilkan biji koko yang amat ternilai dari segi ekonomi.

Dari segi sosial pula, ejen pendebunga ini memastikan kita dan anak cucu kita tidak dapat berasa nikmat coklat. Begitu juga nikmah buah-buahan lain, yang bergantung kepada ejen pendebungaan untuk menjayakan proses pendebungaan.

Contoh ejen pendebunga itu ialah serangga, burung dan kelawar. Di antaranya, serangga adalah ejen yang amat penting. Pelbagai jenis serangga terbabit secara langsung di dalam mendebungakan lebih sepertiga daripada jumlah pokok dan tumbuhan yang menjadi sumber makanan kita.

Lebah, lalat, kumbang, rama-rama dan kupu-kupu adalah sebahagian daripada serangga utama yang terbabit dalam menjalankan proses pendebungaan ini. Di antaranya, lebah yang paling utama.

Dianggarkan lebih 80 peratus daripada jumlah serangga yang terbabit dalam proses pendebungaan adalah terdiri dari lebah. Ini membuktikan lebah bukan sekadar menghasilkan madu yang nikmat khasiatnya kita semua maklum, tetapi juga memainkan peranan di dalam mendebungakan pelbagai jenis sumber makanan kita.

Dengan ini pemuliharaan kepelbagaian jumlah lebah amat penting dalam usaha menjamin bekalan sumber makanan kita akan berterusan.

Lebah terbahagi kepada dua kumpulan utama iaitu lebah bersengat (Apis species) dan lebah tidak bersengat (contohnya, Tirgona sp). Malaysia amat bertuah dianugerahkan dengan kepelbagaian biologi lebah yang amat tinggi, sama ada lebah bersengat atau tidak bersengat.

Lebah tidak bersengat juga dikenali sebagai kelulut. Ia adalah ejen pendebunga utama bagi pokok hutan. Ia juga mudah untuk diuruskan bagi menjalankan khidmat pendebungaan kepada pelbagai jenis sayuran dan buah-buahan.

Di AS, fenomena kehilangan koloni lebah dikesan dan menyebabkan industri buah-buahan di negara itu terancam. Fenomena ini dikatakan berpunca daripada lebah mengalami tekanan yang melampaui had kemampuan menjalankan proses pendebungaan kerana beberapa faktor negatif yang disebutkan sebelum ini.

Di Eropah, kepelbagaian jumlah lebah sedang berkurangan atas alasan yang sama. Di Malaysia, pemerhatian awal juga menunjukkan kepelbagaian jumlah kelulut berkurangan di sesetengah kawasan yang terbabit dengan pembangunan.

Pakar pemakanan di seluruh dunia sekata dan bersetuju supaya tindakan segera dapat diambil untuk mengurangkan masalah kehilangan kepelbagaian jumlah ejen pendebunga yang utama ini.

Tindakan memulihara kepelbagaian jumlahnya adalah perlu bagi mengelak masalah bekalan makanan dunia terancam.

Di AS, senat Amerika meluluskan rang undang-undang penjagaan habitat ejen pendebunga. Ia bertujuan memastikan habitat kepelbagaian jumlah ejen pendebunga terjaga. Di Eropah, langkah yang sama juga sudah dimulakan.

Di Malaysia, usaha mengumpul maklumat mengenai ejen pendubunga serta memulihara kepelbagaian jumlah ejen pendebunga terutama kelulut dimulakan dalam RMK-9 ini.

Mardi sudah membangunkan sistem komputer untuk meneliti ekologi ejen pendebunga di kawasan buah-buahan. Maklumat diperoleh akan dapat membantu menyediakan kaedah terbaik dalam memulihara kepelbagaian jumlah ejen pendebunga di kawasan buah-buahan di negara ini.

Di samping itu, usaha penyelidikan juga sedang dijalankan untuk menilai khidmat pendebungaan yang disediakan oleh ejen pendebunga serangga di kawasan buah-buahan.

Kesan kehilangan ejen pendebunga ke atas sumber bekalan makanan kita adalah satu petunjuk betapa kehilangan kepelbagaian biologi akan mengancam jaminan makanan kita. Kepelbagaian biologi adalah keperluan asas kepada pembangunan pertanian lestari.

Di dalam contoh ini, kepelbagaian jumlah ejen pendebunga diperlukan untuk menjamin pengeluaran makanan secara lestari. Ia seiring dengan peranan kepelbagaian genetik dan spesis, bagi meningkatkan lagi hasil dan produktiviti pertanian.

Penulis ialah Pegawai Penyelidik Mardi – Dr Mohd Norowi Hamid

Kelapa dara berpotensi untuk industri kosmetik

PRODUK makanan, kosmetik dan perubatan berasaskan herba dan minyak kelapa dara adalah antara bahan makanan penting dan bermanfaat kerana mempunyai seribu khasiat untuk kesihatan.

Maklumat klinikal dan saintifik mengenai sifat antimikrobial yang menyihatkan dalam kandungannya menjadikan produk itu boleh dimajukan secara komersial.

Minyak kelapa dara, umpamanya dihasilkan daripada kelapa asli yang tidak diubah suai secara genetik, diproses tidak melebihi 24 jam selepas dipetik, tanpa menggunakan bahan baja sebatian dan racun serangga serta kimia.

Keistimewaan tersembunyi di sebalik hasil tanaman berkenaan membuka jalan kepada pengeluar minyak kelapa dara, Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor (J-Biotech) untuk membongkar rahsia kehebatannya dengan mencipta produk dengan jenama Phytoshoppe menggunakan minyak kelapa dara sebagai bahan asas.

Penubuhan Phytoshope bertujuan menjalankan perniagaan dan perkhidmatan untuk produk herba dan kesihatan berasaskan organik yang mula beroperasi pada Ogos 2007. Antara produk itu ialah penjagaan diri, kesihatan, makanan tambahan dan kosmetik yang mula dikeluarkan pada Ogos 2007 dengan fokus pasaran di sekitar Johor dan Lembah Klang.

Masyarakat kini mementingkan produk kesihatan dan serentak itu pihaknya menubuhkan sebuah kedai yang dinamakan Phytoshope Sdn Bhd untuk memasarkan produk berkenaan.

Pegawai Eksekutif Pemasaran, Domestik dan Usahawan J-Biotech, Nor Azman Mohd Yusof yang ditemui di Ekspo Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas), baru-baru ini, berkata pemilihan minyak kelapa dara itu relevan berikutan banyak khasiat terkandung pada hasil tanaman terbabit.

Katanya, pengeluaran hasil kelapa yang banyak di Johor juga memberikan banyak manfaat selain dapat melebarkan kepelbagaian penggunaan kelapa bukan saja sebagai hasil komoditi utama, malah juga dijadikan produk hiliran. Ini sekali gus membantu industri penanaman kelapa di negara ini.

“Kapasiti pengeluaran pada purata lima tan sebulan untuk menghasilkan kira-kira 40 jenis produk setakat ini,” katanya.

Beliau berkata, J-Biotec merancang mengeluarkan 30 lagi produk baru berasaskan kosmetik termasuk gincu, pemerah pipi, pembayang mata dan bedak asas, menjelang akhir tahun ini.

Produk itu kini sedang menjalani proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) di makmal milik J-Biotech, agensi milik kerajaan Johor, yang terletak di Kampung Indah, Johor.

Norazman berkata, operasi pengeluaran dijalankan di kilang yang terletak di Gelang Patah manakala makmal bagi R&D pula di Kampung Indah, bagi memastikan produk yang dihasilkan menepati spesifikasi serta berkualiti.

“Menerusi R&D menunjukkan minyak kelapa dara juga diiktiraf minyak paling selamat dimakan kerana tidak mengandungi kolesterol dan berwarna jernih selepas diekstrak menggunakan teknik pengekstrakan secara bioteknologi daripada kelapa segar.

“Ia dihasilkan tanpa melalui proses memasak, penambahan bahan kimia, pemutihan dan menghilangkan bau,” katanya.

Khasiat produk itu ialah membantu mencegah jangkitan bakteria, virus, kulat, mengurangkan risiko kanser, membantu menyingkirkan batu karang, meningkatkan sistem penghadaman, penyerapan nutrien, metabolisme dan pembakaran lemak.

Selain itu, minyak kelapa dara yang menggunakan jenama Laurico memiliki pelbagai khasiat dalam bidang makanan tambahan, termasuk mampu mengurangkan penyakit kencing manis, kolesterol, darah tinggi dan meningkatkan tahap imunisasi badan bagi melawan penyakit.

Kaedah bioteknologi dapat menghasilkan asid laurik (medium-chain triglyceride) yang boleh didapati dalam susu ibu serta produk berkalori terendah di dunia.

Nor Azman berkata, bagi mengembangkan perniagaan berkenaan, syarikat terbabit sedang mencari rakan kongsi bagi memasarkan produk itu sekali gus dapat diperluas serta dikenali di seluruh negara. Semua produk itu boleh diperoleh di rangkaian farmasi di Johor dan di Maju Junction, Kuala Lumpur.

Selain itu, Pytoshoppe turut mengeluarkan Jus Herba, Teh Herba, Wangian Aromaterapi serta 18 jenis pewangi berasaskan herba.

Untuk memperkembangkan perniagaan dan memperkenalkan produk Phytoshoppe, bahagian pemasaran menjalankan pelbagai aktiviti dan mengikuti program yang membabitkan aktiviti pemasaran.

Beliau berkata, walaupun kewujudan produk itu di pasaran masih dianggap baru, ia mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Kepentingan sektor tani

Bayangkan apa akan terjadi dalam negara jika makanan tidak mencukupi dan rakyat kebuluran? Adakah bidang pertanian dan pemakanan negara kurang penting jika dibandingkan dengan bidang pertahanan dan keselamatan?

Persoalan ini jarang timbul dalam perbincangan pemimpin dan ahli pemikir negara untuk merangka strategi jangka panjang dalam bidang pemakanan dan pertanian kerana masing-masing mengambil andaian bahawa negara ini tidak pernah diancam dengan suasana kebuluran atau rakyat tidak pernah mengamuk kerana tidak cukup makan.

Tidak pernah berlaku adakah bermakna ia tidak akan berlaku? Sama seperti keadaan negara yang tidak pernah diserang musuh adakah merupakan jaminan bahawa serangan dari luar tidak akan akan berlaku?

Adakah negara akan menunggu rakyat diancam kebuluran baru kerajaan akan memberi perhatian dan peruntukan besar bagi membangunkan bidang pemakanan dan pertanian?

Jika dibandingkan peruntukan untuk bidang pertahanan dan keselamatan dengan bidang pertanian dan pemakanan, jelas menunjukkan perbezaannya.

Pekerja pertanian sejak dari awal pembabitan mereka dalam kerja-kerja di sawah tidak pernah menjalani sebarang latihan.

Mereka mewarisi sahaja kerja orang tua yang terdahulu dan tidak ada badan yang mengambil peduli tentang tahap kebolehan dan kebajikan mereka.

Sebaliknya setiap anggota tentera akan menjalani latihan rekrut dan ketenteraan selama beberapa waktu dengan dibayar elaun, diberi tempat kediaman yang selesa dan menerima rawatan kesihatan percuma sepanjang latihan.

Apabila anggota tentera tamat latihan mereka akan mula berkhidmat dengan dibayar gaji dan elaun, diberi tempat kediaman dan rekreasi, mendapat rawatan kesihatan dan khidmat sokongan yang sempurna, dihantar menjalani latihan kemahiran dan pengkhususan, anak-anak dan isteri mendapat perhatian dan kebajikan daripada pihak yang berwajib, mendapat waran tiket perjalanan untuk pulang bercuti beberapa kali setahun, dan akhirnya apabila sampai umur bersara mereka akan dapat pencen atau imbuhan tamat perkhidmatan.

Seorang tentera mungkin tidak pernah merasai pengalaman berperang sepanjang tempoh berkhidmat tetapi dia tetap dibayar gaji penuh oleh kerajaan. Ini kerana pembabitannya adalah dikira sebagai menjaga kepentingan strategik negara yang tidak boleh dinilai dengan wang ringgit walaupun tarikan seseorang memasuki bidang ketenteraan adalah untuk mendapat gaji demi menyara keluarga dan anak isteri.

PendapatanSeorang petani pula yang bertungkus lumus di sawah, berjemur panas sehingga kulit menggerutu, berendam dalam lumpur hingga berkarat kuku, berhadapan dengan cuaca yang tidak menentu, makan dan rehat sekadar perlu, memakai pakaian lusuh hampir setiap waktu, namun pendapatan daripada hasil pertanian yang diperolehi pada akhir musim hanya cukup untuk membayar hutang pendahuluan atau menebus gadaian.

Jika diri mereka atau anak isteri jatuh sakit mereka hanya layak mendapat layanan kelas tiga di hospital kerajaan atau menjalani rawatan tradisional sekadar untuk menahan sakit. Tidak ada istilah bersara, tidak ada pencen dan imbuhan perkhidmatan, tidak ada pembelaan dan kebajikan, dan tidak ada pihak yang bertanggungjawab mengambil berat tentang masalah dan kesulitan mereka.

Petani hanyalah dianggap sebagai ‘kelas hamba’ dalam masyarakat untuk menyediakan pemakanan negara; tetapi mereka tidak pernah dianggap sepenting anggota tentera yang menjaga keselamatan negara.

Petani di negara maju, terutamanya yang terlibat dalam penghasilan makanan ruji, mendapat perhatian istimewa kerajaan kerana seluruh rakyat menghargai sumbangan besar petani terhadap kepentingan strategik negara.

Di Jepun umpamanya, petani yang menghasilkan padi dibayar imbuhan yang lumayan dalam bentuk subsidi pertanian sehingga empat kali ganda nilai hasil yang berjaya dikeluarkan.

Ini bermakna jika petani menjual hasil tuaian mereka dalam pasaran dengan harga RM1,000, kerajaan membayar subsidi tambahan sebanyak RM4,000 sebagai imbuhan penghargaan ke atas usaha mereka menghasilkan makanan ruji negara. RM4,000 adalah belanja hangus yang kerajaan keluarkan untuk memberi dorongan kepada para petani supaya terus bertungkus lumus menghasilkan makanan asas rakyat.

Tambahan insentif 400 peratus yang diberi kepada petani tidak diambil kira oleh kerajaan untuk menentukan harga beras dalam pasaran negara. Ini adalah bayaran penghargaan kerana penglibatan para petani dalam menjaga kepentingan negara.

Rakyat tidak sepatutnya merasa cemburu atau merungut melihat petani menikmati hidup yang selesa atau mereka diberi perhatian istimewa oleh kerajaan. Kalau kerajaan mengambil pendekatan yang begini terhadap petani, barulah nampak jelas bahawa bidang pertanian dan pemakanan sangat penting kedudukannya dalam menyumbang kepada kepentingan strategik negara.

Di Amerika Syarikat pula selain insentif dan subsidi pertanian yang diberikan kepada para petani, tanah-tanah pertanian mendapat perhatian dan perlindungan khusus daripada kerajaan terutamanya dalam mempertahankan keluasan kawasan dan menjaga kesuburan tanah-tanah pertanian.

Misalnya terdapat undang-undang negara itu yang melarang penggunaan racun-racun tertentu dan mengehadkan tempoh penggunaan tanah pertanian supaya sesetengah kawasan dapat direhatkan untuk tempoh tertentu bagi proses baik pulih kesuburan secara semula jadi sehingga dilihat seolah-olah tanah pertanian menjadi kawasan yang terbiar.

Petani-petani akan mendapat bayaran pampasan dari kerajaan untuk menyara kehidupan mereka semasa tanah mereka terlibat dalam program pemulihan kesuburan.

SediaKerajaan mesti bersedia berbelanja besar untuk memberi imbuhan dan insentif kepada para petani, menyediakan latihan untuk meningkat kemahiran dan kecekapan mereka, membeli peralatan canggih yang diperlukan dalam perusahaan pertanian, menyediakan pembangunan prasarana, memperuntukkan perbelanjaan selenggaraan alatan dan prasarana pertanian, menambah kawasan pertanian sebagai aset strategik negara dan mempertahankan status tanah pertanian daripada ditukar kepada kegunaan lain.

Kerajaan juga mesti mengambil peranan langsung dalam mengawal penghasilan dan menentukan penyimpanan stok makanan sentiasa mencukupi untuk berhadapan dengan apa saja kemungkinan sama ada perubahan cuaca atau konflik serantau yang boleh menjejaskan pengeluaran makanan asas negara.

Bahkan adalah amat tidak wajar pengurusan penyimpanan dan pengedaran makanan asas negara diswastakan kerana bidang ini berkait terus dengan keselamatan dan kestabilan sesebuah negara.

Kementerian pertahanan dan pertanian adalah sama penting bagi sesebuah negara yang berdaulat dan merdeka; oleh itu peruntukan dan perbelanjaan tahunan bagi kedua-dua kementerian ini mestilah mencerminkan status kementerian-kementerian tersebut sebagai penjaga kepentingan strategik negara.

Dua aset utama pertanian iaitu pekerja pertanian dan kawasan tanaman hendaklah diberi perhatian khusus oleh kerajaan dari segi kebajikan dan kawalan sama seperti perhatian yang diberikan kepada anggota tentera dan kem-kem pertahanan negara.

Mardi bimbing usahawan

Kursus berjadual bantu pengusaha kuasai pelbagai teknologi proses makanan

KUCHING: Hanya menghadiri latihan amali dalam tempoh satu hari dan membayar cuma RM200, bakal usahawan boleh memilih mana-mana kursus pempro sesan makanan yang ingin diikuti sebelum memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.

Pemindahan teknologi dalam pemprosesan makanan yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan dan Ke majuan Pertanian Malaysia (Mardi) Sarawak mem bantu ramai usahawan mengenal pasti kebolehan dan kemahiran sebelum mereka menceburi bidang per niagaan di negeri ini.

Bagi membantu usahawan yang ingin meneroka pem prosesan teknologi makanan, Mardi Sarawak mengan jurkan dua jenis kursus iaitu kursus berjadual dan amali.

Setakat ini, Mardi menganjurkan 32 kursus berjadual sepanjang 2001 hingga 2007 membabitkan 35 jenis tek nologi pemprosesan makanan.

Antara teknologi makanan berkenaan ialah minu man kacang soya, tauhu keping, tauhu manis, tempe, tauge, pelbagai jenis mi, sos dan keropok termasuk kuning, kolok, sanggul (mi kering) kicap, cili, pencicah, tomato, rojak, berperisa tiram, buah-buahan, cili boh, surimi bergel, surimi berserdak, keropok kering, ke ropok segera, kordial berperisa, kordial buah-buahan, minuman buah-buahan, halwa buah-buahan, jeruk, jem, kerepek ubi, kacang bersalut, maruku, tapai, da deh, cincau, lemang, roti dan pastri.

Latihan amali pula terbuka kepada semua penduduk di negeri ini tanpa mengira kaum dengan bayaran RM200, namun tidak termasuk bahan mentah.

Stesen Mardi Sarawak di Kuching mula beroperasi pada 1985 dengan memberi tumpuan kepada industri pemprosesan makanan, tanaman, ternakan dan prog ram pemindahan teknologi, manakala Stesen Mardi di Sessang yang mula beroperasi pada 2000 dengan mem beri fokus kepada penyelidikan tanah bermasalah gam but dan Stesen Bintulu memberi tumpuan kepada pe nyelidikan benih dan baka ternakan.

Pengarah Mardi Sarawak, Mahmud Aban berkata, latihan amali yang dikenakan bayaran RM200 kepada peserta memberi kesan lebih baik kepada usahawan berbanding kursus berjadual yang dibiayai oleh pe nganjur.

“Berbanding latihan berjadual, peratusan peserta yang membabitkan diri dalam perniagaan lebih tinggi selepas mereka mengikuti kursus ini.

“Mungkin disebabkan mereka membayar dengan wang mereka sendiri, namun berbeza dengan kursus berjadual yang dibiayai oleh penganjur dan percuma,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau berkata, sejak 2001 sehingga tahun lalu, 1,736 peserta menghadiri kursus berjadual di Mardi.

Katanya, bagi peserta yang berminat menyertai la tihan amali boleh memilih mana-mana masa mengikut kesesuaian bakal peserta dengan memberitahu 30 hari lebih awal kepada Mardi bagi memudahkan penyediaan tenaga pengajar dan bahan.

“Latihan amali adalah pilihan kepada peserta yang tidak berkesempatan mengikuti kursus berjadual dan latihan ini juga memudahkan peserta memberi se penuh perhatian kerana peserta yang sedikit,” kata nya.

Beliau berkata, dua kaedah kursus disediakan Mardi sebagai usaha membangun dan mempromosi teknologi pertanian dan makanan kepada kumpulan sasar.

Katanya, di samping menghadiri kursus, peserta juga berpeluang terbabit dalam klinik usahawan menge mukakan sebarang pemasalahan dalam industri mem prosesan makanan dan industri asas tani bagi dikongsi bersama jalan penyelesaian oleh pegawai yang mahir dalam bidang berkenaan.

“Klinik begini dijadikan landasan terbaik kepada bakal usahawan dengan memberi pendedahan kepada mereka tentang prospek perniagaan masa kini dan masa akan datang dengan menggunakan teknologi Mardi,” katanya.

Beliau berkata, bagi kursus berjadual yang dian jurkan Mardi negeri turut mendapat kerjasama agensi kerajaan negeri dan sokongan padu daripada Pusat Perkhidmatan Teknikal Mardi di Serdang.

“Kursus yang paling banyak mendapat perhatian peserta adalah memproses roti dan pastri, memproses burger ikan, naget surimi udang dan jejari ikan ber serdak roti,” katanya.

Mahmud berkata, bagi peserta yang ingin mengikuti kursus amali hanya boleh memilih tiga jenis pem prosesan makanan yang ditawarkan dan dalam kum pulan bahan mentah yang sama.

“Jika peserta berminat mengikuti teknologi mem proses kacang soya, mereka boleh memilih untuk pem prosesan tauhu manis, tauhu keping dan air tauhu.”

“Begitu juga bagi yang berminat mengikuti membuat mi, boleh mengikuti kursus mi kuning, mi sanggul dan mi kolok,” katanya.

Beliau berkata, semua kursus berjadual dan amali akan dikendalikan di makmal Mardi kerana peralatan dan mesin mencukupi bagi menampung peserta yang menyertai kursus berkenaan.

Selain itu katanya, Mardi turut bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan negeri dalam memperting katkan usaha meningkatkan kesedaran mengenai pen tingnya industri asas tani membantu usahawan untuk maju dalam perniagaan.

“Kita mengambil inisiatif turun padang bersama petani dan masyarakat dalam membangun dan mem promosikan teknologi pertanian dan makanan dengan berinteraksi terus dengan mereka di tempat peru sahaan mereka namun tertakluk kepada peruntukan yang disediakan.

Beliau berkata, hasil penyebaran teknologi kepada golongan sasaran, Mardi berjaya melahirkan beberapa usahawan dalam industri pemprosesan makanan dan asas tani.

“Hasil pemindahan teknologi yang diperkenalkan Mardi, pengusaha tanaman nanas di Samarahan pada 2006 berjaya menjadi pembekal utama benih nanas ke IADA Samarahan.

Bagi peserta yang pernah mengikuti kursus amali di Mardi, Kasma Ali Hassan, berkata, kursus yang di ikutinya pada 2006 banyak membantunya berjaya da lam perniagaan roti dan pastri.

Beliau berkata, setahun selepas mengikuti kursus amali di Mardi, dia membuka kedai menjual roti di Saratok, Sri Aman dengan menjual pelbagai jenis roti dengan enam orang kakitangan tetap yang memban tunya mengendalikan kedai berkenaan.

Katanya, sebelum ini dia hanya mempelajari mem buati roti dengan bantuan seorang rakan dengan per mulaan menghasilkan enam jenis roti.

“Dulu saya membuat antara 10 hingga 12 kilogram saja, dan menjualnya di sekitar kampung. Ada juga pembeli datang ke rumah untuk membeli roti,” ka tanya.

Kasma berkata, jika sebelum ini mendapat penda patan antara RM100 hingga RM200 tetapi sekarang saya berpuas hati kerana pendapatan mencecah antara RM400 hingga 500 setiap hari,” katanya.

Beliau berkata, latihan amali yang diikuti sebelum ini banyak membantunya mengenal pasti tepung dan su katan dengan lebih tepat berbanding dulu.

“Kalau dulu, sukatan ikut pengetahuan yang terhad sahaja tetapi selepas mengikuti kursus, kita dapat mengenal pasti secara tepat tepung yang sesuai bagi memastikan doh menjadi lebih empuk dan hasilnya menjadi lebih sedap,” katanya.

Sementara itu, Norhayati Eden, 24, berkata, Mardi banyak membantunya memajukan perniagaan kuih cincin yang diusahakannya dengan mereka pencetak kuih cincin yang khas.

Beliau berkata, pencetak kuih cincin yang diguna kannya sekarang membantunya menggandakan lagi cetakan kuih cincin berbanding dulu.

“Sebelum ada pencetak kuih cincin, saya hanya mam pu menghasilkan satu cetakan kuih, tetapi dengan rekaan teknologi Mardi, saya dapat menghasilkan lima cetakan sekali gus,” katanya.

Malah beliau berbangga menjadi satu-satunya pe ngusaha kuih cincin yang menggunakan pencetak kuih yang direka Mardi.

Katanya, kuih cincin menggunakan pencetak itu hasilnya lebih mampat berbanding membentuk bulatan kuih cincin dengan dengan menggunakan tangan.

Bagi meningkat pengetahuan mengenai kebersihan dan kualiti pengeluaran kuih cincin, dia turut me ngikuti seminar yang dianjur Mardi.

“Daripada seminar yang saya ikuti itu, banyak mem bantu saya mengenai cara menggunakan minyak ma sak daripada menghalang kuih cincin yang dihasilkan supaya tidak berbau dan berongga.

“Saya akui Mardi banyak membantu meningkatkan lagi mutu dan kualiti kuih cincin,” katanya.

Norhayati berkata, sekarang berbangga kerana mam pu membuka kedai sendiri yang dinamakan Hass En terprise di Batu Kawah dengan pengeluaran antara 7,000 hingga 10,000 kuih cincin setiap hari.

Fakta Nombor

Kursus Mardi

RM200 – bayaran kursus amali

35 – Jenis teknologi makanan diajar

32 – kursus berjadual

1,736 – peserta menghadiri kursus berjadual

Merintis pembangunan teknologi biosensor

BIOSENSOR penting bagi mengesan masalah keracunan tanaman. – Gambar hiasan

Bidang nanoteknologi di negara ini mendapat perhatian pihak kerajaan berdasarkan kepada syor yang dikemukakan oleh MiGHT supaya bidang tersebut diberi tumpuan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Nanoteknologi diberi definisi sebagai bidang kajian dan penghasilan alat atau perkakas bersaiz nanometer iaitu satu perbilion meter.

Di Malaysia, nanoteknologi dikategorikan bawah penyelidikan strategik (SR) yang terletak dalam Tumpuan Penyelidikan Dalam bidang Keutamaan (IRPA) ketika itu menerima peruntukan sehingga RM160 juta dalam RMK-8.

Kini banyak penyelidikan melibatkan nanoteknologi meskipun masih bersifat fundamental tetapi kerajaan sudah pun menyatakan minat mendalam mengenainya.

Ini kerana, nanoteknologi pada pandangan ramai saintis akan memainkan peranan menjelang dua dekad akan datang dan menjana pasaran besar sehingga mengatasi bioteknologi dan teknologi maklumat (IT).

Justeru, apabila, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, melancarkan Inisiatif Nanoteknologi pada 2006, maka penyelidikan ke arah itu wajar di semarakkan oleh penyelidik tempatan

Setakat ini, beberapa pusat penyelidikan tempatan telah menumpukan kepada bidang nanoteknologi dan merekalah yang sewajarnya menjadi satu gagasan penggerak kepada penubuhan satu badan khusus hasil daripada inisiatif tersebut.

Pusat-pusat tersebut termasuklah iaitu Makmal Combinatorial Technology and Catalyst Research Centre (Combicat) di Universiti Malaya (UM), , Insitut Bahan Termaju (ITMA-UPM), Institut Ibnu Sina bagi Pengajian Sains Asas (UTM). Makmal Penyelidikan Bahan Termaju (AMREC) di Sirim Berhad, Glycolipids Research Centre (UM), Sekolah Sains Perubatan (USM) dan Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik (IMEN) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Malaysia perlu mengorak langkah serius bermula daripada sekarang dengan menggembleng pusat-pusat penyelidikan tersebut menghasilkan produk yang boleh dipasarkan.

Setakat ini, langkah strategik telah dikenal pasti di bawah Program Penyelidikan Strategik Nanoteknologi itu strategik jangka pendek dan jangka panjang.

Di bawah strategi jangka pendek, antara yang dikenal pasti ialah mengenal pasti penyelidik dalam pelbagai bidang nano sains, meningkatkan dan menambah makmal nano sains serta menyediakan program pembangunan modal insan secara menyeluruh.

Di bawah program jangka panjang pula, langkah strategik ialah pemupukan budaya penyelidikan nanosains, pembangunan makmal nanosains kebangsaan serta melahirkan saintis tersohor.

Malaysia pula akan menumpukan kepada beberapa bidang yang boleh memanfaatkan nanoteknologi iaitu pertanian bioteknologi, perubatan, tenaga dan persekitaran.

Antara produk yang disasarkan untuk dikeluarkan ialah sel solar, bateri ion Lithium, vaksin tanaman, sistem pengedaran ubat-ubatan , nanobiocip dan nano bio penderia (biosensor).

Pada masa yang sama kekuatan Malaysia dalam bidang pertanian wajar dimanfaatkan untuk menghasilkan produk nanoteknologi.

Justeru, apabila Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengorak langkah untuk menghasilkan produk nanoteknologinya sendiri, ia memberi harapan baru kepada pengusaha bidang tersebut.

Menurut Timbalan Pengarah Program Biodiagnosis dan Biokeselamatan, Pusat Bioteknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Dr. Zamri Ishak, pihaknya sedang merangka program penyelidikan dalam bidang nanoteknologi yang bakal membantu pembangunan pertanian.

Produk yang disasarkan ialah nano biocip dan biosensor (biopenderia) yang berguna dalam memeriksa tahap keracunan pada tanaman.

“Biosensor berguna untuk mengenal pasti kualiti makanan dengan hanya mengambil sedikit sampel dan bacaan dapat diperoleh dalam masa singkat,’’ ujarnya.

Ketika ini, alat biosensor itu telah pun berada di pasaran tetapi bersaiz lebih besar sedangkan sekiranya komponennya dikecilkan ke tahap nano, ia lebih mudah.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, beberapa institusi selain MARDI iaitu SIRIM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah bekerjasama membangunkan Kumpulan Penyelidik Biosensor Kebangsaan (NBRG) sejak 1999.

Justeru, satu persidangan mengenai biosensor dan biodiagnostik akan diadakan pada 21 dan 22 Mei ini bertempat di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

“Biosensor merupakan gabungan antara biologi dan elektronik di mana semua organisma mempunyai isyaratnya sendiri,” katanya.

Dr. Zamri berkata, semua organisma berkenaan dianugerahkan dengan deria pengesan atau sensor.

Buat masa kini haiwan seperti ikan digunakan sebagai biosensor di kawasan empangan dan burung pula di terowong.

Ini bagi memastikan air yang diminum dan kawasan yang dilalui selamat sama ada dari bahan berbahaya dan toksik.

Justeru sebagai saintis mereka perlu mengkaji bagaimana isyarat dapat dikesan oleh sesuatu organisma.

NBRG menggunakan pelbagai kaedah biosensor seperti antibodi dan sel kuantitatif sebagai kuantitatif.

Justeru persidangan berkenaan bakal membincangkan mengenai kegunaan dan masa depan biosensor di rantau Asia.

Dr. Zambri berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan sehingga kini lebih 150 penyertaan diterima.

Mereka yang berminat masih boleh menyertainya dengan menghubungi sekretariat persidangan di talian 03-8943 7041/6077, faksimile 03-8945 6037 atau e-mel: biosensor@mardi.gov.my

NATC Sediakan Peluang Untuk Bakal Usahawan Tani

Mungkin masih ramai yang tidak mengetahui kewujudan Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC). Apatah lagi fungsi serta objektif ia ditubuhkan.

NATC adalah salah satu daripada tiga komponen utama yang dipersetujui oleh Kementerian Pertanian Malaysia bagi melaksanakan Program Latihan Kemahiran Pertanian Kebangsaan (PLKPK). Dua komponen lain ialah Kolej Pertanian Malaysia (KPM) dan institusi latihan pertanian sedia ada.

PLKPK adalah program latihan berteraskan latihan kemahiran yang berperanan melatih dan mengeluarkan usahawan dalam bidang pertanian dan industri asas tani. Selain itu ia turut melatih tenaga kerja yang diperlukan dalam kedua-dua bidang ini.

Bagi memenuhi aspirasi PLKPK, NATC ditubuhkan pada 1 Oktober 2002. Sejak itu, NATC berperanan dalam merancang, menyedia, menyelaras dan menilai pelaksanaan PLKPK dengan berteraskan kepada Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan.

Menurut mantan Pengarahnya yang turut bertanggungjawab dalam penubuhan NATC, Datuk Dr. Ahmad Suhaimi Omar, kewujudan majlis tersebut adalah bagi memastikan lahirnya modal insan yang berkemampuan untuk menjalankan projek-projek pertanian sekaligus mengimbangi imbangan dagangan negara.

“Ini memandangkan Malaysia ialah sebuah negara beriklim tropika yang mampu mengeluarkan hasil pertanian untuk dieksport. Malangnya kita lebih banyak mengimport hasil pertanian dari negara luar.

“Bagi mencapainya, kita perlukan individu yang mampu menjalankan projek-projek pertanian. Justeru kita perlu mencari individu yang boleh terlibat dalam industri ini dan melatih usahawan tani yang berilmu dan berjaya.

“Ciri-ciri yang dicari ialah mereka yang berkemahiran untuk menjalankan projek-projek seumpamanya,” jelas Suhaimi.

JENIS-JENIS KEMAHIRAN

Di bawah NATC, tujuh program latihan diperkenalkan iaitu:

* Bidang Akuakultur

* Bidang Ternakan Poltri

* Bidang Ternakan Ruminan

* Bidang Perikanan Tangkapan

* Bidang Tanaman

* Bidang Pemprosesan Pengeluaran Makanan

* Bidang Pengedaran Makanan

Pelatih akan dihantar ke pusat-pusat latihan yang telah ditetapkan iaitu Bidang Akuakultur di Pusat Pengeluaran & Penyelidikan Benih Udang Kebangsaan, Pulau Sayak, Kedah.

Perikanan Tangkapan di Institut Perikanan Malaysia, Chendering, Terengganu. Bidang Ternakan Poltri di Institut Kemajuan Ternakan Ayam, Johor Bahru, Johor dan KPM, Bukit Tangga, Kedah.

Selain itu, bagi yang memilih Bidang Tanaman pula, mereka akan dihantar menjalani kursus di Institut Pertanian Kuala Lipis (IPKL) di Pahang.

Bidang Ternakan Ruminan di Institut Haiwan Kluang dan KPM Bukit Tangga, Kedah, Bidang Pemprosesan Pengeluaran Makanan di Pusat latihan MARDI (PLM), di Serdang dan Kolej Pertanian Malaysia (KPM), Alor Star.

Manakala Bidang Pengedaran Makanan di Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Batu Caves dan KPM, Alor Star.

SIAPA YANG LAYAK MEMOHON

PLKPK dibuka kepada semua warganegara Malaysia yang mempunyai kelayakan yang disyaratkan atau sedang bekerja dalam bidang yang berkaitan.

Berdasarkan Standard Pekerjaan bagi negara Malaysia, bentuk latihan di sini dirancang bagi memenuhi kehendak industri.

Menurut Suhaimi, mereka yang memohon untuk mengikuti latihan ini perlu melepasi empat tahap untuk mendapatkan sijil penuh.

“Di sini kita beri pelatih mengikuti Tahap 1 dahulu, tamat enam bulan latihan, mereka akan keluar bekerja atau memulakan kemahiran yang diberi. Selepas itu, mereka layak pula mengikuti Tahap 2, 3 dan 4.

“Istimewanya jika pelatih telah berjaya melepasi setiap tahap, mereka akan memperoleh sijil penuh.

“Setakat ini pengambilan dibuat dua kali setahun iaitu pada bulan Mei dan November. NATC akan mengiklankannya di dalam akhbar-akhbar utama berbahasa Malaysia dan Inggeris.

“Calon yang layak, akan dipanggil temuduga terlebih dahulu. Calon akan melalui tiga aspek ujian iaitu lisan, bertulis dan amali bagi penilaian kesesuaian.

“Selain melihat kebolehan calon, ujian amali juga ingin menilai sikap mereka yang memohon masuk. Pada saya, paling penting adalah sikap mereka. Kita tidak bimbang jika mereka tidak ada asas, di sini pelatih akan diajar daripada kosong. Paling utama mereka perlu bersungguh-sungguh dan ada minat yang mendalam,” jelas Suhaimi.

Bagi mereka yang berjaya, latihan, yuran pengajian, bahan, peralatan, penginapan dan makan minum disediakan buat mereka sepanjang mengikuti kursus.

HALA TUJU SELEPAS TAMAT LATIHAN

Buat mereka yang telah menamatkan tempoh berkursus, beberapa kemudahan mungkin diberi. Antaranya ialah seperti kemudahan mendapatkan dana dan tanah.

“Seharusnya, apabila mereka keluar, graduan-graduan ini mampu melakukan pelbagai perkara. Bukan setakat pengetahuan teknikal tetapi juga mengaplikasikan teknik-teknik pengurusan yang telah diajar di sini.

“Ini kerana, selain akademik, mereka turut dinilai menerusi kebolehan bekerja dan melaksanakan projek-projek yang diberi. Contohnya dalam bidang tanaman.

“Pelatih turut dilatih dengan sikap kepimpinan, daripada mula menanam, menjaganya hinggalah ke saat menuai. Selepas itu, pelatih akan diajar cara-cara pembungkusan mengikut standard NOS dan juga memasarkannya,” jelas Suhaimi.

Hasil keuntungan daripada jualan tersebut, 15 peratus akan dimasukkan ke dalam tabung amanah NATC dan selebihnya diberi kepada pelatih sebagai sumber pendapatan mereka.

Tabung Amanah tersebut akan digunakan untuk menampung perbelanjaan kursus seperti membeli bahan mentah, modal pusingan dan pelbagai lagi bagi mengelakkan pergantungan sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan.

Bagaimanapun, menurut Suhaimi, sehingga kini pelatih NATC baru sahaja menamatkan kursus mereka.

Justeru, apa yang diharapkan oleh pihak NATC, graduan-graduan daripada pusat latihan ini dapat memenuhi aspirasi penubuhannya iaitu untuk melahirkan usahawan tani yang dapat meningkatkan industri pertanian negara yang semakin hebat berkembang.