Minyak kelapa dara tanpa bau tengik

Minyak kelapa dara mempunyai pelbagai khasiat kesihatan yang sudah terbukti berkesan.

Ia dihasilkan menerusi teknik fermentasi dan mengandungi vitamin E yang diperlukan sistem imunisasi dan antioksidan kepada manusia.

Banyak hasil penyelidikan diterjemahkan saintis tempatan dalam bentuk produk.

Khasiat minyak kelapa dara (VCO) menarik minat ramai pihak mengusahakannya secara komersial.

Namun, di pasaran tidak banyak produk yang dikembangkan daripada minyak kelapa dara.

Proses pembuatannya yang kurang sempurna mengakibatkan minyak mengeluarkan bau kurang menyenangkan.

Kesannya, produk kelapa dara buatan tempatan kurang mendapat sambutan.

Siswazah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Nur Hidayah Hassan mencipta formulasi baru bagi minyak kelapa dara.

Pemegang Ijazah Perniagaan Antarabangsa itu memberi nilai tambah kepada produk minyak kelapa dara di pasaran.

Tidak ada lagi istilah ‘bau tengik’ apabila bahan itu diadun bersama campuran minyak aromaterapi.

Dia mengambil masa empat tahun membangunkan produk itu.

“Dulu saya menghidap penyakit migrain, tekanan darah rendah, rabun, lelah dan juga ekzema.

“Penyakit itu dihadapi dari kecil hingga dewasa dan bergantung kepada ubatan berdos rendah ke tinggi,” katanya.

Ketika itu, dia sanggup membeli produk yang dapat menyelesaikan semua masalahnya.

“Saya gunakan minyak kelapa dara, tetapi tidak tahan dengan bau,” katanya.

Maka, tercetuslah idea menakjubkan untuk mengeluarkan minyak kelapa dara serba guna.

Katanya, dia memformulasikan semula minyak kelapa dara dengan campuran minyak aromaterapi bagi membangkitkan bau wangi.

“Bila menggunakan bau tidak sedap, kita akan rasa lagi sakit.

“Sedangkan bau wangi menyebabkan kita rasa sihat,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi Syarikat Nebula Horizon Sdn Bhd itu mengeluarkan minyak serbaguna Miracle Refreshing Scent (MRS).

Menurutnya, rasa sejuk dan berangin membolehkan produk itu digunakan setiap orang.

“MRS produk yang wajib ada pada setiap orang dan disimpan dalam poket kerana ia diperlukan ketika kecemasan.

“Ia membantu untuk penyakit seperti lenguh badan, mengantuk, letih dan sakit kepala,” katanya.

“Ia juga sesuai untuk bayi yang kembung perut selain mengatasi masalah ruam lampin pada kulit,” katanya.

Testimoni pengguna merumuskan MRS melegakan sakit gigi dan gusi, batuk, selesema, migrain, resdung, kekejangan, pendarahan, luka pesakit diabetes, sawan, gigitan nyamuk dan parut.

Syarikat itu turut mengeluarkan produk inovasi kedua dikenali ‘MRS Serum Essence’.

“Inovasi kedua ini mengandungi bahan seperti pati epal hijau, pati daun pudina dan minyak kelapa dara,” katanya.

Layari laman facebook: Miracle Refreshing Offical Page untuk maklumat lanjut.

NUR Hidayah bersama produk inovasi minyak pelbagai guna kelapa dara.
Sumber: http:www.hmetro.com.my

Tips hasilkan baja dan racun organik

PERTANIAN organik adalah satu kaedah penanaman yang tidak menggunakan baja kimia atau racun. Namun setiap tanaman tetap memerlukan baja sebagai sumber makanan dan juga sering diserang oleh serangga perosak dan penyakit.

Terdapat dua jenis baja organik iaitu baja organik buatan kilang dan baja organik buatan sendiri.

Baja organik mudah didapati di pasaran sekarang berbanding sebelum ini kerana ramai orang telah sedar kebaikan pertanian organik.

Selain itu, baja organik juga boleh dibuat sendiri di rumah dengan menggunakan bahan-bahan yang ada di sekeliling kita.

Ini sangat sesuai bagi petani yang ingin mengurangkan kos dan tidak terlalu bergantung kepada produk baja organik di pasaran.

Sama seperti baja organik, racun organik juga boleh diperoleh dengan mudah di pasaran.

Ia juga boleh dibuat sendiri dan prosesnya sangat mudah. Kita hanya perlu memilih sama ada membeli atau membuatnya sendiri.

Selain daripada racun organik, kita juga boleh menggunakan tanaman penarik atau penghalau serangga (repellent).

Baja organik

* Baja organik adalah berbeza mengikut kadar unsur di dalamnya. Ada baja organik yang kaya dengan unsur N, P atau K.

* Baja organik N adalah campuran bahan organik (tahi ayam kering), gula perang (molasses), bahan aktif mikroorganisme efektif (EM) dan air bersih yang diperam selama antara empat dan lima hari. Selepas itu, baja boleh disiram pada batas dan tanaman.

* Baja organik P adalah campuran batang pisang, kulit buah-buahan dan air kelapa muda yang diperam selama dua minggu.

– Baja organik K pula boleh dibuat dengan mencampurkan sabut kelapa dan air dan dibiarkan selama dua minggu.

* Kulit telur dan sisa tulang juga boleh dijadikan baja. Kedua-dua bahan tersebut dibakar dan ditumbuk lumat.

– Serbuk yang terhasil ditambah dengan air dan direndam selama antara tiga dan empat hari. Siram pada tanaman yang baru mula berbunga.

Hormon Pertumbuhan Semulajadi

* Terdapat dua jenis baja hormon yang juga boleh dihasilkan sendiri iaitu fermented fruit juice (FFJ) dan fermented plant juice (FPJ).

– FFJ adalah campuran buah-buahan yang manis (betik, mangga, nangka, jambu) dan gula perang . Tambah sedikit air dan diperam selama antara lima dan tujuh hari hari. Cecair yang terhasil kaya dengan unsur P dan K.

– FPJ pula adalah campuran tumbuhan (rumput, sisa sayuran, sisa pangkasan), gula perang dan sedikit air bersih, dibiarkan selama lima hingga tujuh hari. Hormon ini kaya dengan unsur N.

– Tapis untuk mengasingkan cecair dan juga hampas. Hampas jangan dibuang tetapi ia boleh dijadikan kompos.

Penghalau serangga (repellent)

-Tumbuhan repellent ini biasanya mempunya bau yang kuat. Bau yang dihasilkan oleh tumbuhan itu sebenarnya yang menghalau serangga perosak.

– Beberapa contoh repellent iaitu serai wangi, kesum, kemangi, selasih, daun kari, limau purut, pandan, daun bawang, kucai, ketumbar, marigold, pudina dan sebagainya.

– Manakala tumbuhan yang boleh menarik serangga perosak ialah lobak putih, markisa, bunga Tunera dan jagung manis.

– Pokok repellent boleh ditanam di sekitar batas tanaman. Sebaik-baiknya tanam di bahagian angin sering bertiup supaya

angin boleh menyebarkan bau pokok repellent ke seluruh kawasan penanaman.

– Selain itu, pokok repellent juga boleh dipangkas dan dipotong kecil untuk ditabur di atas batas. Potongan repellent akan mengeluarkan bau yang tidak disukai serangga perosak.

– Dan kaedah terakhir, semua daun pokok repellent boleh dicampurkan dan dikisar halus dengan sedikit air dan sabun. Cecair yang terhasil boleh disembur pada tanaman untuk kawalan serangga perosak.

Racun perosak mesra alam

Penggunaan racun rumpai yang tidak terkawal memberi kesan kepada alam sekitar dan turut mengancam ekosistem hidupan akuatik yang pelbagai.

Malah, banyak kes kematian membabitkan penduduk dunia dicatatkan terutama di negara membangun.

Ada petani sanggup menggunakan racun serangga murah, namun ia memudaratkan kesihatan.

Dalam industri pertanian, racun perosak dan rumpai antara penyumbang besar kepada pencemaran alam sekitar.

Justeru, penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) membangunkan formulasi racun perosak yang mesra alam.

Dikenali ‘Ciptaan Nanoemulsi Baru Untuk Sistem Penghantaran Racun Perosak’ ia dihasilkan Pengarah Pusat Asasi Sains Pertanian, UPM, Prof Dr Mahiran Basri.

Hasil penyelidikan bermula pada tahun 2010 itu memenangi pelbagai anugerah peringkat tempatan dan antarabangsa.

Ia dibantu penyelidik dari Institut Biosains/Fakulti Sains UPM, Lim Chaw Jiang, Dzolkhifli Omar, Mohd Basyaruddin Abdul Rahman, Abu Bakar Salleh dan Raja Noor Zaliha Raja Abdul Rahman.

Dr Mahiran berkata, formulasi racun serangga dan rumpai itu menggunakan tema hijau dan mesra alam.

“Produk yang dibangunkan menggunakan bahan yang tidak merosakkan alam sekitar melalui teknologi nano.

“Teknologi nano merujuk kepada pembinaan sesuatu bahan dalam skala sangat kecil dan kesannya sangat baik untuk pelbagai aplikasi.

“Sebagai contoh racun rumpai yang dibina melalui teknologi nano bersifat sangat kecil menjadikannya lebih efektif untuk meresap kepada rumpai seperti lalang,” katanya.

Katanya, dos semburan yang lebih kecil diperlukan untuk proses resapan ke tumbuhan perosak seperti lalang dan rumpai.

“Teknologi nano membabitkan sistem nano imulsi lebih efektif bagi sektor pertanian.

“Ia membolehkan bahan digunakan akan lebih efektif,” katanya.

Bagi petani sudah tentunya formulasi dibangunkan menggunakan nano ilmulsi dapat meningkatkan ‘rainfastness’.

“Kekerapan hujan sering mendatangkan masalah kepada aktiviti meracun di negara ini.

“Sedangkan untuk memastikan racun benar-benar berkesan dan meresap ia mengambil masa tiga hingga lima jam,” katanya racun tidak berkesan sekiranya hujan.

Ujian dilapangan mendapati racun mesra alam dihasilkan itu sesuai ketika hujan dengan kesan lebih baik.

“Produk yang dihasilkan dalam bentuk cecair pekat (concentrate).

“Petani hanya perlu menambah air dan me­nyemburkan terus ke rumput atau lalang,” katanya sukatan berdasarkan jumlah disarankan.

Proses penyelidikan di makmal katanya, meng­gunakan bahan hijau yang mudah terurai.

“Selalunya minyak dan air digunakan kerana ia nano imulsi dengan penggunaan sedikit bahan aktif Surfactant.

“Kesannya dapat dilihat dalam tempoh seminggu dan rumpai boleh mati mengikut dos dikaji,” katanya.

DR Mahiran (kiri) melihat hasil ekstrak.

Ladang kontrak imbuhan petani

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan lebih 6,000 petani yang ter­babit dalam aktiviti pengeluaran sayuran dan buahan di seluruh negara mendaftar sebagai peserta ladang kontrak tahun ini.

Tahun lalu sudah ada seramai 4,240 orang berdaftar sebagai peserta dan layak menerima pelbagai bantuan dan kemudahan daripada agensi di bawah Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani (MOA) termasuk Agro Bank.

Ahli Lembaga Pengarah FAMA, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, sasaran itu dijangka dapat dicapai pada pertengahan tahun ini kerana program bagi menambah ahli dilakukan sejak akhir tahun lalu.

Menurutnya, kini projek ladang kontrak di seluruh negara membabitkan kawasan seluas 7,086 hektar dan ia dijangka bertambah dari semasa ke semasa apabila lebih banyak kemudahan disediakan agensi berkaitan.

Beliau berkata, tahun lalu pendapatan hasil aktiviti peserta ladang kontrak membabitkan jualan bunga, produk herba, sayuran dan buahan mencecah RM676 juta.

“Pahang mencatat jumlah terbesar aktiviti ladang kontrak iaitu 889 hektar diikuti Sarawak (776 hektar), Johor (689 hektar), Selangor (680 hektar) dan Terengganu (402 hektar) dan Kedah (618 hektar).

“Penyertaan petani dalam program ladang kontrak memberi peluang kepada mereka menikmati pelbagai kemudahan disediakan FAMA termasuk agensi kerajaan lain bertujuan membela nasib golongan terbabit,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata demikian dalam Majlis Taklimat Bahagian Ladang Kontrak FAMA kepada Parlimen Lipis dan Jawatankuasa UMNO Bahagian Lipis.

Turut hadir Pengarah Kanan Bahagian Ladang Kontrak FAMA, Ahadiah Mohd Khairi dan Pengarah FAMA Pahang, Ibrahim Mahmood.

Abdul Rahman berkata, pihaknya berharap pada masa akan datang lebih ramai lagi petani di negara ini mendaftar sebagai peserta ladang kontrak bagi memberikan peluang kepada mereka menikmati pelbagai kemudahan seperti menjamin pasaran dan meningkatkan pendapatan.

Menurutnya, selain pemindahan teknologi, kemudahan lain layak diterima peserta ladang kontrak adalah pinjaman modal daripada Agro Bank, subsidi input pertanian, khidmat nasihat dan kemudahan jentera.

“Menerusi Program Pengukuhan Bekalan Ladang Kontrak ke Pasar Tani (KUKUH) tahun lalu, sebanyak RM6.7 juta urus niaga berjaya dilakukan, meningkat berbanding RM3.8 juta pada 2013,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, peserta ladang kontrak yang mengalami kerugian selepas projek tanaman mereka musnah ditenggelami banjir akhir tahun lalu layak menerima bantuan FAMA.

Beliau berkata, pihaknya kini masih lagi mengumpul maklumat kemusnahan dan kerugian yang dialami.

“Saya difahamkan seramai 85 peserta ladang kontrak di beberapa daerah di Pahang yang terbabit dengan tanaman sayuran dan buahan terpaksa menanggung kerugian besar selepas kebun mereka ditenggelami banjir.

“Selain kemusnahan tanaman, pelbagai peralatan pertanian termasuk sistem pengairan turut rosak dengan kerugian antara RM20,000 hingga RM150,000,” katanya.

Katanya, bantuan yang akan diberikan kerajaan diharap dapat digunakan peserta bagi memulakan semula projek mereka.

Sumber: http://www.hmetro.com.my

Misai kucing kaya antioksidan

Impak kajian yang dilakukan Pegawai Penyelidik Prinsipal Pusat Penyelidikan Makanan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr Suri Roowi, sangat besar.

Dengan pengalaman yang ada, pemegang ijazah doktor falsafah (PhD) University of Glasgow, Scotland, United Kingdom ini mencipta nama dalam penyelidikan berkaitan makanan kesihatan atau makanan berfungsi.

Beliau membangunkan produk makanan kesihatan berasaskan buahan dan herba tempatan.

Antaranya adalah jus tinggi bahan antioksidan ringkas (Jus Just Great), minuman kaya antioksidan daripada limau kasturi, teh limau purut dan seumpamanya memenangi pelbagai anugerah di dalam dan luar negara.

Kini, bekas siswazah Universiti Putra Malaysia (UPM) yang berasal dari Johor ini, mempelopori penyelidikan makanan berfungsi daripada misai kucing atau nama saintifiknya Orthosiphon Stamineus.

Dr Suri juga berjaya membangunkan produk Nutrima-Stamenus daripada herba misai kucing untuk penghidap diabetes.

Produk ini berpotensi menjadi minuman kesihatan dengan konsep baru (kerana tinggi bahan antioksidan ringkas) untuk individu yang sentiasa mementingkan kesihatan.

Nutrima-Stamenus diformulasi menggunakan daun pokok misai kucing terpilih, bunga kekwa, campuran enzim terpilih dan madu berkualiti.

Jika pengambilan makanan kesihatan biasa mengambil masa kira-kira lima jam untuk serapan, tetapi tempohnya dipercepatkan kepada setengah jam.

Menyebut berkenaan misai kucing katanya, orang akan merujuk daun herba berkenaan diproses dalam bentuk teh.

“Apabila kita minum misai kucing, bahan aktif akan dicernakan membentuk satu bahan dikenali sebagai asid kafeik – untuk mengubati diabetes,” katanya sambil menjelaskan untuk mendapat kesannya ia mengambil masa selama lima hingga 24 jam.

Timbul idea ketika itu untuk menghasilkan sesuatu dalam produk dan tidak perlu tunggu lama untuk dicernakan serta mendapat khasiat cepat.

“Kajian awal dijalankan di MARDI menunjukkan asid kafeik didapati pada kuantiti yang agak tinggi dalam bunga misai kucing.

“Namun, memandangkan kuantiti bunga misai kucing agak terhad, jadi agak sukar untuk membangunkan produk kesihatan berasaskan bunga misai kucing pada skala industri,” katanya.

Apa yang dilakukan, beliau menggunakan daun untuk mengeluarkan khasiat bunga.

“Kajian yang dilakukan di MARDI adalah dengan menggunakan jenis daun terpilih mengikut kematangan tertentu diikuti dengan memecahkan bahan aktif dalam daun untuk membentuk asid kafeik.

“Dalam lain perkataan Gunakan Daun Untuk Khasiat Bunga,” katanya.

Pembangunan produk minuman tinggi asid kafeik membabitkan penggunaan daun terpilih yang berkualiti tinggi, optimasi pengekstrakan, perubahan struktur kimia menggunakan campuran enzim terpilih atau mikrob dan pemilihan matrik makanan terpilih.

“Jadi secara tidak langsung, tidak perlu masa lama untuk diserap dalam badan.

“Kalau dilihat secara biasa, kesannya dapat dirasai selama sejam selepas minum dan 80 peratus daripada apa yang diminum diserap dalam darah dan dibawa ke dalam organ bermasalah,” katanya.

Ketika ini tidak banyak makanan kesihatan dijual mempunyai kadar serapan lebih pantas atau tinggi kandungan asid kafeik untuk pesakit diabetes.

“Tapi kalau dengan Nutrima-Stamenus, kita berjaya melakukan perubahan (penambahbaikan) khusus.

“Kajian sebelum ini menunjukan asid kafeik mampu menurunkan paras glukosa dalam darah dan meningkatkan paras insulin plasma darah.

“Bahan ini adalah bahan antioksidan mudah serap dan boleh meningkatkan aktiviti glukokinase.

“Glukokinase adalah sejenis enzim yang boleh membawa molekul glukosa ke dalam sel atau organ untuk menjana tenaga,” katanya.

Kekalisan terhadap insulin pada pesakit diabetes menyebabkan glukokinase kurang diaktifkan dan ini boleh menyebabkan seseorang pesakit diabetes menjadi kurang bertenaga.

Dalam tubuh manusia, asid rosmarinik biasanya dipecahkan membentuk asid kafeik.

Sebaliknya apa berlaku, asid kafeik akan membawa gula masuk ke dalam sel untuk memberikan tenaga.

“Selain sesuai untuk merawat diabetes, ia juga sesuai untuk mengekalkan kesihatan,” katanya yang turut melakukan ujian kestabilan produk.

Asid kafeik juga adalah hasilan akhir metabolisma bahan klorogenik yang biasanya terdapat di dalam kopi.

“Bagaimanapun, penggambilan kopi berlebihan adalah tidak elok untuk kesihatan, kerana kopi mengandungi kafein.

“Berlainan halnya dengan asid kafeik yang membantu menurunkan paras gula, sekali gus meningkatkan paras insulin dalam darah,” katanya kafein dan asid kafeik adalah dua bahan yang berbeza.

Kandungan asid kafeik dalam Nutrima-Stamenus juga lebih tinggi berbanding beberapa produk komersil.

Setakat ini, ujian jangka hayat Nutrima-Stamenus menunjukkan asid kafeik masih stabil walaupun disimpan pada suhu bilik selama 15 bulan.

Kajian produk Nutrima-Stamenus adalah kajian bersama Pusat Penyelidikan Teknologi Makanan, MARDI dan Fakulti Bioteknlogi dan Sains Biomolekul, UPM.

Penyelidik yang terbabit dengan kajian ini adalah Dr Suri (ketua projek), Nurazrin Ezrina Abdul Mubdi, Dr Muhajir Hamid, Arif Zaidi Jusoh, Siti Aisyah Muhammad, Rosnah Othman, Ahmad Tarmizi Salimin dan Zaharinah Hussin.

Mereka yang ingin mengetahui hasil penyelidikan itu boleh menghubungi Dr Suri menerusi Facebook: Suri Roowi.

Sumber: http://www.hmetro.com.my

PANDUAN MENANAM UBI KELADI

UBI keladi dengan nama saintifik Colocasia esculenta dari keluarga Araceae merupakan tanaman tropika dan dipercayai berasal dari kawasan lembah di Malaysia dan ditanam di India pada 5000 tahun sebelum Masehi sebelum dibawa ke Mesir.

Pokok keladi mempunyai daun yang lebar berbentuk hati dengan saiz yang pelbagai. Sesetengah spesies keladi mengeluarkan sulur yang menjalar. Di negara seperti Fiji, ubi keladi dijadikan sumber makanan utama.

Keladi tidak boleh dimakan mentah dan dianggap beracun kerana kandungan calcium oxalate di dalamnya. Ia selamat untuk dimakan setelah direbus atau direndam dalam air semalaman.

Di Malaysia ubi keladi dijadikan makanan manusia dan ternakan.

Jenis-jenis keladi

Terdapat lebih daripada 35 kultivar keladi yang berbeza dan umumnya keladi dibahagi kepada dua kumpulan utama iaitu:

1) Keladi jenis eddoe iaitu ubinya kecil dan dikelilingi oleh ubi-ubi sisi yang sempurna bentuknya dikenali sebagai Colocasia esculenta var. antiquorum.

2) Keladi jenis dasheen iaitu keladi yang mempunyai ubi yang besar dan terdapat kelompok ubi sisi yang kecil dipanggil Colocasia esculenta var. esculenta.

Keperluan tanaman keladi

  •  Ubi keladi boleh hidup dalam julat suhu 270 – 300C.
  • Taburan hujan melebihi 100 sm/tahun.
  • Ubi keladi sesuai pada tanah lom berpasir dan tidak bertakung air dan juga tanah gambut.
  • pH tanah yang sesuai adalah 4.5 hingga 7.

Penanaman

Penyediaan tanah

  • Tanah perlu dibajak dengan bajak piring untuk membalik-balikkan tanah untuk menghapuskan rumpai dan menambah bahan organik. Ia diikuti dengan bajak putar untuk menghancurkan tanah untuk mendapatkan tekstur yang gembur.
  • Jika tanah terlalu berasid, pengapuran perlu untuk menaikkan pH.
  • Keladi boleh ditanam sama ada di atas batas atau tanpa batas.

Bahan tanaman dan jarak tanaman

  • Benih keladi diperoleh dari sulur atau anak pokok yang berumur lebih kurang dua bulan dengan garis pusat tiga sentimeter.
  • Pucuk anak benih keladi dipotong dan tinggalkan batang atau tangkai daun keladi sepanjang 30 sentimeter.
  • Jarak antara pokok adalah 45 sentimeter dan antara barisan ialah 120 sentimeter.
  • Penyiraman perlu pada peringkat awal pertumbuhan pokok terutama jika cuaca kering.

Pembajaan

  • Bagi tanah yang berasid, pengapuran perlu untuk menaikan pH.
  • Kadar pembajaan yang biasa adalah 60N:50P2O5:100K2O kg/ha bergantung kepada kesuburan tanah, jarak tanaman dan keadaan tanah.
  • Baja diberi selepas 3-4 minggu ubi keladi ditanam.

Pengawalan rumpai

  • Merumpai dijalankan semasa pokok membesar iaitu tiga minggu selepas ditanam.
  • Kawalan rumpai boleh secara manual atau menggunakan racun rumpai.
  • Semasa merumpai secara manual, tanah akan dikambus ke pangkal perdu pokok selepas sulur keladi dibuang.
  • Sulur yang tidak diperlukan dibuang untuk memastikan tumbesaran pokok induk lebih sempurna.

Kawalan perosak dan penyakit

  • Musuh ubi keladi adalah serangga seperti ulat dan belalang. Ulat Hippotion celerio akan memakan daun keladi hingga ke tangkainya. Kawalan yang disyorkan adalah dengan mengutip ulat perosak ini dan dimusnahkan.
  • Belalang menyerang dengan memakan daun keladi yang menyebabkan pertumbuhan pokok terbantut. Kawalan dengan menggunakan racun serangga sekiranya serangan terlalu teruk.
  • Penyakit hawar daun oleh Phytophthora colocasia dapat dikawal dengan amalan kultura yang baik dan membuang dan musnahkan pokok yang diserang.
  • Penyakit reput umbisi oleh Sclerotium rolfsii juga boleh dikawal dengan amalan kultura seperti giliran tanaman dan musnahkan pokok yang dijangkiti.

Pemungutan hasil

  • Hasil ubi keladi boleh dikutip selepas tujuh hingga 12 bulan ditanam bergantung kepada jenis dan penjagaannya dimana saiz ubi keladi ini telah sesuai untuk dipasarkan.
  • Anggaran hasil adalah antara 6-12 tan/ha bergantung kepada penjagaan dan jenis ubi keladi.

Formula ganda ‘pokok pelik’

DOL Malek menunjukkan pokok tin digandakan menerusi keratan batang.

Rasa buahnya yang manis dan berkhasiat menyebabkan pokok tin menjadi buruan ramai.

Kisah buah tin yang tercatat dalam al-Quran menarik minat pencinta pokok menanamnya di rumah.

Ada yang menjadikan tumbuhan ini sebagai penghias landskap kediaman dan tidak kurang menjadikannya sebagai hobi.

Hobi ini mendatangkan pulangan lumayan apatah lagi harganya mengikut spesies terbaik mencecah ratusan ringgit sepokok.

Bagi pemilik hobi menanam pokok tin yang juga jurutera sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Dol Malek Md Sap, 50, ada formula menggandakan pokok ini.

Dua teknik boleh dilakukan bagi menggandakan bilangan pokok tin.

Dua kaedah untuk membiakkan pokok iaitu menerusi kaedah tut dan keratan batang bersaiz sejengkal.

Paling mudah untuk menggandakan pokok ini atau nama saintifiknya Ficus carica adalah menerusi keratan batang.

Teknik yang digunakan juga boleh dilakukan peminat hobi ‘pokok pelik’ itu dengan mengikuti beberapa langkah mudah.

Bahan asas diperlukan untuk teknik keratan batang seperti gunting, penggalak akar, cawan minuman, medium tanah, kotak polisterin bersaiz sederhana dan plastik hitam.

Sumber:  http://www.hmetro.com.my

PANDUAN PENANAMAN BUNCIS ORGANIK

Kacang buncis yang biasa di tanam di negara ini adalah yang berwarna hijau muda, namun ia sebenarnya mempunyai pelbagai jenis yang berbeza warna seperti warna kuning (yellow wax bean), merah (borlotto firetongue) dan ungu gelap (purple wax bean). Kebanyakan mudah didapati di negara luar. Berikut adalah tips menanam buncis organik.

Penyediaan kawasan

  • Kacang buncis sesuai ditanam di kawasan yang bersaliran baik, tanah mineral, dan pH tanah antara 5.5 dan 6.5
  • Buat batas berukuran satu meter (m) lebar dan panjang mengikut keluasan kawasan. Gaul dan gemburkan batas bersama kompos dan baja organik (tahi ayam).
  • Jarak penanaman yang disyorkan ialah 50 hingga -60 sentimeter (sm) antara pokok dan antara baris.
  • Kayu junjung lima hingga 6.5 kaki (tinggi) dan trilles perlu disediakan juga kerana kacang buncis adalah tanaman jenis memanjat.
  • Batas sebaiknya ditutup dengan plastik silver shine , daun kering atau jerami padi untuk kawalan rumpai dan mengekalkan kelembapan tanah.

Penanaman

  • Dua kaedah penanaman sama ada semaian atau tanam terus.
  • Biji benih yang disemai akan mula bercambah pada hari ke dua selepas ditanam, dan boleh mula dipindahkan ke batas pada hari ke lapan hingga kesepuluh.
  • Bagi kaedah tanam terus, dua atau tiga biji benih akan ditanam dalam satu lubang. Pada hari kelapan, jika terdapat lebih daripada satu anak pokok yang tumbuh penjarangan perlu dilakukan.
  • Tinggalkan satu sahaja anak pokok yang paling sihat dalam setiap lubang tanaman.

Pengairan

  • Pengairan perlu diberi dua kali sehari pagi dan petang kecuali hari hujan. Sebaiknya, sumber air yang digunakan adalah air yang bersih tanpa klorin.
  • Cara pengairan bergantung pada pengusaha sama ada secara manual atau menggunakan sistem pengairan renjis atau titis.

Pembajaan

  • Pembajaan kali pertama akan diberikan pada minggu kedua selepas menanam dengan kadar 50 gram per pokok.
  • Baja kali kedua, pada minggu keempat sebanyak antara 50 dan 80 g per pokok
  • Baja kali ketiga, pada minggu ketujuh sebanyak 80 hingga 100g per pokok
  • Baja yang digunakan mestilah baja organik sama ada baja yang dibeli atau baja buatan sendiri.
  • Jika baja dari kilang, ikut kadar yang telah disyorkan. Ini kerana ada sesetengah baja dalam bentuk larutan pekat dan perlu dicairkan terlebih dahulu sebelum digunakan.
  • Bagi yang membuat baja organik sendiri, baja boleh disembur seminggu sekali untuk pertumbuhan pokok yang baik.

Kawalan rumpai

  • Sungkupan boleh dibuat menggunakan plastik agrosheet, jerami padi atau daun-daun kering bergantung pada kemampuan anda.
  • Seminggu sekali rumpai perlu dibuang. Ini kerana rumpai adalah musuh utama tanaman dalam persaingan untuk mendapatkan nutrien, ruang dan cahaya matahari. Selain itu, rumpai boleh menjadi tempat pembiakan serangga perosak jika dibiarkan tanpa kawalan.
  • Kerja merumpai boleh dilakukan di sekeliling pokok dan mesin rumput di luar batas tanaman.

Kawalan perosak, penyakit

  • Bagi kacang buncis, serangan ulat Maruca testulalis dan lalat buah adalah masalah utama. Sembur racun organik buatan sendiri atau yang dibeli bermula pada minggu kelima selepas menanam.
  • Campuran akar tuba, cili padi dan bawang putih yang dikisar halus bersama 200ml air adalah racun organik yang boleh mengawal perosak tersebut. Buat pencairan 100ml racun ditambah dalam 15 liter air bersih dan disembur pada tanaman.
  • Sembur racun seminggu sekali/bergantung pada tahap serangan. Pemantauan yang teliti dan kerap sangat penting untuk mengawal serangan perosak dan penyakit.
  • Penyakit antraknos, mozek virus dan kulapuk berdebu adalah penyakit popular kacang buncis.
  • Semburan campuran satu liter susu dengan 10 liter dapat mengurangkan masalah penyakit antraknos.
  • Campuran rizom kunyit, daun semambu dan daun bunga Marigold yang dikisar halus dan ditambah 100 (g) belerang (dilarutkan dalam 15 liter air) boleh mengurangkan masalah penyakit kulapuk berdebu dan mozek.

Penuaian

  • Hasil boleh mula dituai selepas enam tujuh minggu ditanam.
  • Kutip hasil setiap dua tiga kali hari sekali. Pengeluaran hasil akan berterusan selama sebulan, bergantung pada kesuburan pokok.

Kajian terbaharu stevia

Beberapa tahun lepas, industri berkaitan stevia agak meletup ekoran banyak syarikat tempatan menyedari kepentingan pokok tersebut yang digelar pemanis semula jadi dan sesuai menggantikan gula.

Entah mana silapnya, industri kecil dan sederhana (IKS) berkaitan stevia yang ketika itu bagi matahari yang mula terbit, kini bertukar menjadi suram dan tidak sehebat dulu meskipun pengguna sudah semakin sedar keajaiban pokok tersebut yang menawarkan kemanisan tanpa kalori.

Pada masa yang sama usaha-usaha penyelidikan dijalankan bagi menambahbaik industri di peringkat primer termasuk menghasilkan baka atau klon yang lebih baik.

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sebagai contoh pernah menjalankan kajian kesesuaian klon-klon pokok yang berasal dari Paraguay di Amerika Selatan itu apabila ditanam di iklim tropika negara ini.

Oleh kerana masalah IKS di Malaysia kebanyakan berkaitan bahan mentah atau sumber bekalan, hal yang sama berlaku pada stevia kerana kesukaran mendapat benih bermutu.

Beberapa tahun lepas, industri berkaitan stevia agak meletup ekoran banyak syarikat tempatan menyedari kepentingan pokok tersebut yang digelar pemanis semula jadi dan sesuai menggantikan gula.

Entah mana silapnya, industri kecil dan sederhana (IKS) berkaitan stevia yang ketika itu bagi matahari yang mula terbit, kini bertukar menjadi suram dan tidak sehebat dulu meskipun pengguna sudah semakin sedar keajaiban pokok tersebut yang menawarkan kemanisan tanpa kalori.

Pada masa yang sama usaha-usaha penyelidikan dijalankan bagi menambahbaik industri di peringkat primer termasuk menghasilkan baka atau klon yang lebih baik.

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sebagai contoh pernah menjalankan kajian kesesuaian klon-klon pokok yang berasal dari Paraguay di Amerika Selatan itu apabila ditanam di iklim tropika negara ini.

Oleh kerana masalah IKS di Malaysia kebanyakan berkaitan bahan mentah atau sumber bekalan, hal yang sama berlaku pada stevia kerana kesukaran mendapat benih bermutu.

Industri pemanis terbahagi kepada dua iaitu pemanis semula jadi dan pemanis tiruan. Jepun memainkan peranan besar sebagai pengeluar pemanis semula jadi dengan 40 peratus daripadanya menggunakan stevia sejak 1970-an lagi.

Sebab itu ada potensi besar mengembangkan industri ini tetapi perlu kepada penyelesaian peringkat awal dengan menghasilkan stevia yang bernilai ekonomik.

DR. Mohamad Osman dan kumpulan penyelidiknya menunjukkan kajian keratan batang yang dijalankan bagi tujuan pembiakan dengan menggunakan teknik mirco-cutting box dapat meningkatkan peratusan anak pokok yang hidup.
 Menyedari keperluan tersebut, pensyarah Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersama kumpulan penyelidik beliau sedang menjalankan penyelidikan menghasilkan baka stevia yang sesuai untuk industri dengan menghasilkan hibrid menggunakan teknologi yang dianggap pertama di dunia.

Kajian tersebut diketuai oleh Profesor Dr. Mohamad Osman bersama penyelidik seliaan beliau iaitu Mohd. Farit Ab. Hamed, Amanina Alwani Arshad, Azila Ismail, Afifah Khamis, Syahidah Sulaiman, Hassuna Johari, serta beberapa pelajar lain.

Beliau sebelum ini terkenal dengan penghasilan baka tanaman industri lain termasuk rosel semasa berkhidmat di universiti lain.

Kajian awal bermula pada 2011 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan kejayaan membuktikan konsep pendebungaan semula jadi menggunakan lebah kelulut boleh digunakan.

Selepas berjaya membuktikan konsep tersebut (POC), pendekatan yang sama digunakan untuk menjalankan pendebungaan antara varieti bermutu tetapi kali ini menggunakan stevia.

Penyelidikan ini bertujuan membangunkan varieti stevia tempatan supaya pengusaha tempatan tidak bergantung daripada luar.

“Kita menghadapi cabaran produktiviti yang rendah apabila stevia ditanam dalam iklim tropika.

Kalau ditanam dalam iklim temperat seperti China, hanya boleh tuai sekali setahun, tetapi di Malaysia kita perlu tuai lebih kerap untuk mengatasi masalah pembungaan awal,” ujarnya sambil memberitahu bahawa Malaysia terpaksa mengimport bahan mentah dari China.

Secara keseluruhannya, penyelidikan tersebut adalah untuk menambahbaik stevia melalui pelbagai strategi atau pendekatan termasuk menggunakan mutasi aruhan. Ia juga mencari proses membiakbakaan untuk menghasilkan pokok hibrid dengan bantuan kacukan oleh lebah kelulut spesies Trigona, menggunakan teknologi RNAi untuk menghalang pembungaan awal, dan mengurangkan rasa pahit.

Penyelidikan tersebut menggunakan dua dana Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) sebanyak RM135,000 dan RM105,000, dan satu Skim Geran Penyelidikan Penerokaan (ERGS) sebanyak RM 60,000.

Pada akhirnya kata beliau, penyelidikan tersebut boleh menghasilkan industri IKS berasaskan stevia, dan mereka yang ingin kelihatan langsing boleh meminum rosel yang mengguna pemanis tersebut.

Berkongsi lebih lanjut beliau berkata, terdapat 65 varieti stevia yang pernah dikaji oleh MARDI sebelum ini.

Setakat ini, penyelidikan yang sedang di dijalankan di UiTM telah berjaya mengumpul lebih daripada 27 varieti dari seluruh negara tetapi yang dikenal pasti berpotensi setakat ini hanyalah tiga sahaja.

Ketika ini terdapat dua jenis komponen utama pemanis semula jadi daripada daun stevia iaitu stevisoide dan juga rebaudioside A.

Penggunaan lebah Trigona atau kelulut boleh membantu sebagai ejen pendebungaan dalam kawasan bertutup.

Lebah yang hinggap dan menghisap madu pada nektar stevia dan terbang ke bunga stevia lain secara semula jadinya telah bekerja melakukan pendebungaan antara varieti.

Penggunaan lebah kelulut sangat sesuai kerana debunga stevia sangat halus dan agak rumit untuk dipindah ke varieti lain tanpa menggunakan lebah jenis itu.

Masalah kedua ialah selepas penghasilan biji benih kacukan, penyelidik berdepan dengan peratus percambahan biji benih yang sangat rendah iaitu kira-kira satu peratus sahaja.

“Untuk itu, percubaan kami ini dianggap yang pertama di dunia dengan menggunakan lebah sebagai agen pendebungaan untuk menghasilkan benih stevia kacuk” ujarnya.

Menurut beliau, penggunaan serangga sebagai agen pendebungaan bukan perkara baharu kerana lalat pernah digunakan dalam proses pendebungaan tanaman lain seperti sawi dan bawang.

Kaedah penyelidikan beliau dan kumpulannya adalah dengan meletakkan pelbagai varieti stevia induk yang berpotensi di dalam kawasan bertutup dengan jaring kecil dan membiarkan lebah menjalankan pendebungan atau sebagai agen pendebungaan.

Beliau berkata, pada peringkat awal kajian tersebut, kumpulannya telah pun berjaya menuai benih stevia yang telah pun dicambahkan. Penyelidikan tersebut dijalankan di kawasan khas di UiTM Puncak Alam, Selangor.

Bagaimanapun menurut Mohamad, pihaknya belum dapat menentukan sama ada benih tersebut jenis hibrid melainkan kajian penandaan molekul dijalankan oleh Mohd. Farit terlebih dahulu.

Beliau memberitahu, terdapat tiga jenis warna biji benih stevia yang berjaya dituai iaitu hitam, coklat dan coklat muda.

Pihaknya menggunakan biji benih berwarna hitam dan proses percambahan dijalankan di makmal dengan pendedahan kepada cahaya merah. Penggunaan cahaya dikatakan mampu meningkatkan kadar percambahan biji benih sehingga 60 peratus.

Sementara itu, kajian salah seorang pelajar dalam kumpulan tersebut tertumpu kepada pengenal pastian debunga yang melekat pada badan lebah kelulut. Ini kerana mungkin terdapat lebih daripada satu jenis debunga atau varieti pada kaki lebah yang dipindahkan ke pokok lain.

Kajian tersebut juga cuba menentukan spesies kelulut mana yang sesuai untuk agen pendebungaan memandangkan terdapat 30 spesies lebah kelulut yang ada ketika ini.

Dalam pada itu, menurut Mohamad, daripada 27 vartieti yang ada, pihaknya telah mengenal pasti enam yang sesuai yang dijadikan induk untuk menghasilkan stevia hibrid.

“Sebelum ini dalam kajian awal saya, sudah ada penemuan tetapi pokok tersebut mati ketika percambahan kerana faktor tumbesaran,’’ katanya.

Penggunaan varieti terpilih yang mempunyai ciri ciri dikehendaki adalah perlu untuk menjadikannya satu varieti hibrid yang bagus dari segi penyesuaian iklim tropika Malaysia, kandungan komponen manis semula jadi yang tinggi dan banyak lagi.

Kadangkala varieti induk terpilih itu berdaun besar tapi mempunyai satu batang dan varieti satu lagi berdaun halus tetapi mempunyai banyak cabang.

Oleh itu apabila hibrid dihasilkan, diharapkan ciri ciri dominan yang terbaik dapat diperoleh.

“Setakat ini, kebanyakannya yang kita tuai adalah induk betina,” katanya.

Kajian juga dilakukan untuk mencari masa sesuai untuk menuai kerana kerja–kerja tersebut perlu dilakukan sebelum proses pembungaan berlaku. Ini kerana rasa manis stevia akan beransur hilang dengan cepat apabila pokok telah berbunga.

Oleh itu kajian perlu dilakukan bagi mengelakkan stevia berbunga cepat dalam jangkaan sebulan hingga dua bulan dengan cara melakukan kerja pemangkasan lebih kerap dan pada masa yang sama percambahan daun lebih banyak.

“Oleh itu, kerja-kerja menuai mungkin dilakukan tidak terlalu kerap iaitu hanya dua atau tiga kali setahun berbanding di China hanya sekali.

Satu lagi fokus kajian yang dijalankan ialah penggunaan dua jenis hormon bagi menggalakkan pertumbuhan pokok. Hormon tersebut ialah asid giberelik (GA3) dan sitokinin (BAP).

Sementara Mohd. Farit Ab. Hamed berkata, tumpuan kajian beliau adalah bagi mengenal pasti sama ada hasil yang dituai selepas pendebungaan benar-benar datang daripada induk bagi mengenal pasti ia jenis hibrid atau sebaliknya,’’ ujarnya.

Katanya, ciri-ciri istimewa hibrid diuji dengan penanda molekul DNA jenis IRAP dan REMAP yang dianggap lebih kompleks .

Setakat ini tiga klon yang disyorkan MARDI ialah MS012, MS007 dan MS028 tetapi kelemahannya ialah mempunyai produktiviti pengeluaran daun yang masih tidak optimum dalam iklim tropika.

Fakta

  • Nama biasa daun pemanis
  • Ahli keluarga Asteraceae sama dengan bunga kekwa, bunga matahari.
  • Nama saintifik : Stevia rebaudiana Bertoni.
  • Terdapat 154 spp.
  • Dua bahan pemanis utama dalam stevia ialah rebaudioside A dan stevioside.
  • Stevia berasal darri Paraguay, Amerika Selatan
  • Di negara berkenaan, daunnya secara tradisional digunakan oleh masyarakat sejak lebih 100 tahun bagi memaniskan minuman seperti teh dan sebagai ubat.
  • Pokok stevia mengandungi sebatian dikenali sebagai steviosides dengan kemanisan antara 200 dan 300 kali lebih berbanding gula dan sangat popular.
  • Sebatian tersebut diekstrak sebagai pemanis alternatif menggantikan gula stevosides tidak mengandungi kalori.
  • Beberapa pemanis semula jadi juga digunakan antaranya Glycyrrhin, lo han go, stevioside , periallaetin dan thaumatin turut dimanfaatkan oleh pengguna.
  • Glycyrrhin diperoleh daripada akar Glycyrrhiza glabra, stevioside (daun stevia iaitu Stevia rebaudiana), perillartin (Perilla frutescens) dan thaumatin daripada buah Thaumatoccus danielli.
  • Hanya stevia dan Thaumatoccus yang boleh tumbuh di negara ini manakala yang lain adalah tumbuhan temperat (beriklim sederhana).
  • Oleh kerana Thaumatococcus yang diuji oleh MARDI pada 1980-an menunjukkan hasil yang rendah, maka kajian di Malaysia tertumpu kepada stevia sahaja.

Sumber: http://www.utusan.com.my

Mempelam sala ‘lahirkan’ harumanis

ABDUL HAMID SHARIF (kanan) mencuba teknik cantuman mempelam sala

PADANG BESAR 13 Feb. – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) negeri akan memperluaskan lagi teknik cantuman dewasa ke atas 40,000 pokok mempelam sala sebagai kaedah lebih pantas bagi meningkatkan tuaian mempelam harumanis yang dikenali ikon Perlis.

Pengarahnya, Mhd. Bookeri Md. Ludin berkata, teknik cantuman dewasa ini adalah Projek Pemulihan Ladang Mempelam Harumanis yang dilaksanakan oleh MARDI yang dikhususkan untuk pemilik ladang mempelam sala yang berminat untuk menghasilkan harumanis.

“Dalam projek ini peladang mempelam sala masih boleh menikmati hasil buah ini seperti biasa tetapi dalam masa yang sama boleh mengutip mempelam harumanis selepas setahun dengan teknik cantuman dewasa ini,” katanya di sini.

Mhd. Bookeri berkata, teknik cantuman dewasa ini mampu mengeluarkan hasil lebih cepat berbanding dengan penanaman anak pokok akan mengambil masa sehingga empat tahun untuk berbuah.

Beliau berkata, MARDI yakin teknik cantuman dewasa ini bakal menarik minat peladang mempelam Sala di negeri ini ekoran kejayaan projek rintis ini oleh Abdul Hamid Sharif, 68, dari Kampung Bilal Uduh, Chuping dekat sini.

Katanya, Abdul Hamid yang telah mengusahakan 460 pokok mempelam sala sejak 25 tahun lalu berminat menyertai projek ini selepas mendapati jualan harga sala di pasaran jauh lebih rendah berbanding harumanis.

Katanya, dengan bantuan MARDI akhirnya Abdul Hamid memulakan teknik ini ke atas 30 pokok mempelam sala.

 “Pada tahun pertama iaitu 2012 beliau berjaya mendapat 150 biji dan 2014 pula 400 biji,” katanya.

Kejayaan Abdul Hamid ini kata Mhd. Bookeri telah menarik minat dua peladang mempelam Sala iaitu di Kampung Sentua, Utan Aji dan Simpang Empat untuk mencuba teknik ini sejak tahun lalu.

Sementara itu, ketika ditemui di ladangnya, Abdul Hamid yakin dengan teknik cantuman dewasa yang dilakukan ke atas lebih 200 pokok mempelam sala pada kali ini dijangka akan mampu mengeluarkan hasil sehingga satu tan.

“Saya melakukan sendiri teknik ini yang menggunakan tunas pokok mempelam harumanis untuk dicantumkan kepada ranting muda mempelam sala,” katanya.

Beliau berkata, bukan semua teknik cantuman dewasa itu berjaya tetapi beliau akan mengulanginya lagi dan berharap dalam tempoh setahun lagi kesemua 460 pokok mempelam salanya akan ‘berbuahkan’ harumanis.

Katanya, sekalipun harumanis menumpang hidup di pokok mempelam sala tetapi satu yang menakjubkan rasa buah ini masih kekal.

sumber: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/perlis/mempelam-sala