Pengeraman mudah alih

ikan04_1473736663

Rega (anak ikan) yang hampir menetas dalam mulut induk

Kejayaan ciptaan alat pengeraman telur tilapia mudah alih oleh Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar Glami Lemi, Jelebu, Negeri Sembilan seharusnya dinobatkan sebagai yang terbaik. Alat berkenaan diperkenalkan kepada umum oleh Unit Inovasi, Promosi dan Pengkomersialan (InProKom) Jabatan Perikanan Malaysia setelah berjaya didaftarkan sebagai harta intelek.

Ia mampu diguna pakai secara meluas oleh semua peringkat pemain industri perikanan khususnya pengeluar benih ikan terutama tilapia. Paling menarik harganya mampu milik serta mudah dipasang. Penggunaannya cukup kompetitif berikutan permintaan pasaran terhadap benih berkualiti dengan harga murah begitu tinggi.

Penggunaan sistem inkubator untuk pengeraman dan penetasan benih ikan tilapia adalah lebih baik serta efisien. Malah, bekalan benih boleh dilakukan secara berjadual mengikut permintaan pelanggan. Bagi menjamin benih berkualiti, pilihan induk matang perlu dilakukan dengan teliti. Induk terbaik ialah yang mencapai berat 150 hingga 500 gram. Namun, yang paling produktif ialah antara 150 hingga 300 gram berat induk.

Info berkaitan:

  • Kaedah ini dijangka dapat mengatasi masalah kekurangan benih ikan yang semakin meruncing.
  • Penggunaan bahan terbuang seperti botol plastik air mineral boleh digunakan sebagai bekas pengeraman. Ia mudah dibina sendiri menggunakan paip serta pam kecil untuk aruhan air mengalir
  • Kaedah ini sesuai untuk menghasilkan benih tilapia kerana induk spesies berkenaan mengeram telurnya di dalam mulut.
  • Peringkat awal, induk terpilih diasingkan antara jantan dan betina selama 10 hingga 14 hari. Ia bertujuan merangsang pembiakan berlaku dengan sempurna. Nisbah pasangan paling baik ialah 1:3 atau seekor induk jantan dipasangkan dengan tiga betina.
  • Pasangan berkenaan dibiarkan bersama selama 12 hingga 14 hari di kolam pembiakan. Dalam tempoh itu, proses persenyawaan berlaku dan induk betina akan ditangkap serta diperiksa rongga mulutnya. Jika terlambat membuat pemeriksaan mulut, telur berkenaan akan menetas dalam mulut induk dan ia akan menimbulkan banyak risiko kepada rega yang baru menetas.
  • Perlu berhati ketika menangkap untuk mengeluarkan telur dari mulutnya. Induk berkenaan akan menelan telur atau rega yang baru menetas jika ia terkejut atau terasa dirinya terancam. Selain itu, ia akan melepaskan semua telur berkenaan dan akan dimakan oleh induk lain.
  • Telur yang dikutip akan dimasukkan ke dalam bekas pengeraman. Kaedah air mengalir dalam sistem inkubator mampu mempercepatkan proses penetasan berlaku.
  • Telur yang berwarna kuning bersinar berjaya disenyawakan dengan sempurna akan menetas dalam tempoh satu hingga dua hari. Di peringkat itu pemeriksaan bekas pengeraman perlu kerap dilakukan.Telur putih perlu dibuang.
  • Anak ikan atau rega yang baru menetas dibiarkan selama dua minggu. Kemudian dipindahkan ke dalam hapa di kolam asuhan selama sebulan. Di peringkat itu, penjagaan kualiti air bersih serta makanan perlu diberikan mengikut jadual.
  • Di peringkat ini pengusaha hatceri boleh mengira berapa jumlah stok benih yang dimasukkan ke dalam setiap hapa. Justeru, jumlah pengeluaran boleh dirancang mengikut permintaan. Selepas sebulan setengah benih itu boleh diedarkan kepada penternak dan lazimnya benih berkenaan mampu mencapai saiz satu hingga satu setengah inci.

Sumber: Harian metro