
Che Soh menunjukkan buah jambu Unda
Rasanya manis dan saiz buah yang besar menjadikan jambu batu jenis ‘Unda’ yang baru diperkenalkan mendapat permintaan tinggi daripada pengemar buah-buahan tempatan.
Che Soh Haron, 48, berkata dia menanam jambu batu jenis Unda sejak lebih enam tahun lalu membabitkan dua kawasan seluas lebih 8.4 hektar di Kampung Bukit Serdang dan Kampung Sepayang, Rompin. Katanya, mengusahakan tanaman jambu jenis Unda mampu memberi pulangan menguntungkan jika dilakukan bersungguh-sungguh dan mengikut jadual kerja membabitkan aktiviti membaja, memangkas dan meracun.
“Sebelum berjaya seperti hari ini, saya berdepan ujian mencemaskan apabila kemarau panjang pada 2014 menyebabkan banyak pokok hampir mati selain mengalami masalah pembesaran disebabkan kekurangan bekalan air.
“Pokok jambu mengeluarkan buah sepanjang tahun, namun kemuncaknya hanya dua kali. Setiap pokok berbuah antara 100 hingga 200 biji setahun tetapi 10 hingga 15 peratus akan rosak,” katanya yang menjadi individu pertama mengusahakan tanaman jambu batu jenis Unda di negara ini.
“Untuk membantu memasarkan jambu terutama pada kemuncak pengeluaran buah, saya terpaksa mendapatkan bantuan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang termasuk Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Rompin.
“Saya juga menjalankan aktiviti promosi dan pemasaran di pekan sehari dan pasar tani. Permintaan terhadap buah jambu Unda kini makin menggalakkan,” katanya yang merancang meluaskan pasaran ke seluruh negara.
Sedikit maklumat mengenai Jambu Unda:
- Pokok jambu yang dihasilkan menerusi kacukan jenis Lohan dan GU8 ini mampu menghasilkan buah sepanjang tahun selepas matang.
- Jambu batu dikategorikan sebagai pokok manja yang memerlukan perhatian lebih serta mudah diserang penyakit dan serangga jika pengawalan tidak dilakukan dengan sempurna.
- Pokok jambu batu akan mengeluarkan hasil apabila mencapai usia setahun setengah hingga dua tahun bergantung kepada penjagaan, kesuburan dan kadar kelembapan tanah.
- Kemuncak pengeluaran buah ketika pokok berusia lapan tahun.
- Dibahagikan kepada tiga gred iaitu A, B dan C bergantung kepada saiz dan kualiti.
- Harga ladang ialah antara RM3 hingga RM3.50 bergantung kepada gred.

Che Soh di ladangnya di Kampung Bukit Serdang
Sumber : Diubahsuai dari Harian metro
Tidak sembarang jambu memiliki rasa yang enak.
Assalamualaikum kepada tuan tuan yang saya muliakan mohon sekiranya ada sesiapa mengetahui no talipon Encik soh yang mengusahakan tanaman jambu unda mohon dapat berikan info. terima kasih