Mangga Chokanan atau Magnifera indica antara variasi mangga yang menjadi kegemaran penduduk Malaysia. Biarpun namanya tidak sepopular harumanis yang menjadi kebanggaan Perlis, buah mangga itu ada kelebihan tersendiri.

Mangga harumanis

Mangga chokanan
Menyedari hakikat itu, Jabatan Pertanian Negeri Perak menerusi Projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) memberi peluang kepada 11 peserta mengusahakan tanaman mangga Chokanan seluas 80 hektar di Ladang Mangga Chokanan Pusat Latihan Pertanian Lekir, Batu 9, Lekir, Sitiawan. Mukim Lekir boleh dianggap pelopor tanaman mangga Chokanan kerana sering menjadi sebutan ramai apabila nama buah itu disebut.
Menjadikannya sebagai satu cabang pendapatan selain minat dalam bidang pertanian menyebabkan Ahmad Zaki Othman, 51, merebut peluang itu dengan mengusahakan tanaman berkenaan sejak 13 tahun lalu. Sehingga kini, dia memiliki ladang seluas 9.6 hektar dan sebanyak 2,300 pokok sudah mengeluarkan hasil selepas dua atau tiga tahun ditanam.
Ahmad Zaki memasarkan mangganya di beberapa negeri dengan bantuan Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) selain menjual sendiri.“Saya tanam empat jenis Chokanan iaitu Gred A, B, C dan D. Setiap gred berbeza harga mengikut saiz, kulit, berat dan rasa bermula daripada RM2 hingga RM6 sekilogram.
“Gred B dan C mendapat permintaan tinggi kerana buahnya lebih sedap dan manis selain harganya juga murah.“Selain enak dimakan segar, saya turut memperkenalkan produk berasaskan mangga yang dijadikan jus, kordial dan merancang menghasilkan kerepek mangga Chokanan selepas ini,” katanya.
Sedikit maklumat mengenai mangga chokanan:
- Sesuai ditanam di kawasan bercuaca panas – ia memerlukan sekurang-kurangnya satu atau dua minggu untuk proses menggalakkan pengeluaran bunga sebelum berbuah.
- Boleh ditanam di tanah bekas sawah atau tanah gambut.
- Pokok perlu sentiasa dipangkas -supaya tidak terlalu tinggi dan dapat menghasilkan buah yang banyak.
- Dituai 2x setahun : dari Mac hingga Julai dan Oktober hingga Februari.
- Hasil mencecah 80 tan semusim.

Ahmad Zaki menunjukkan ladang mangganya
Sumber: diubahsuai dari http://www.hmetro.com.my/