Pewarna sintetik penyumbang utama dalam industri tekstil. Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini industri itu kembali mengetengahkan pewarna dari sumber asli.
Pewarna asli bukan saja dapat menjamin kelestarian alam sekitar, malah turut mengatasi isu pencemaran bahan kimia yang dihasilkan daripada pewarna tiruan.
Ini berikutan proses pewarnaan sintetik dalam industri tekstil banyak menyumbang kepada pencemaran alam sekitar kerana ada pelbagai logam dan bahan kimia digunakan.
Ia berbeza dengan pewarna asli yang lebih selamat digunakan, mesra alam dan dapat mempertingkat nilai estetika dalam produk tekstil.
Ada pelbagai sumber alam yang boleh dijadikan pewarna asli, antaranya tumbuh-tumbuhan, herba serta galian dengan komponen pigmen warna istimewa.
Kebiasaannya, ketika proses penghasilan pewarna asli untuk penggunaan fabrik, bahan pengekal warna atau mordan turut dicampur pada masa yang sama.
Penggunaan mordan bertujuan ‘menaikkan’ warna selain menjadikan warna itu tahan lama.
Menyedari kepentingan ini, penyelidik daripada Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Nazlina Shaari bersama pelajar sarjana fakulti itu mencipta mordan daripada batang pisang atau nama saintifiknya Musa paradisiaca.
Dr Nazlina berkata, sepanjang kajian dijalankan hanya bahan buangan digunakan bagi menghasilkan pigmen warna alam untuk fabrik.
DR Nazlina mengetuai penyelidikan mencipta mordan daripada batang pisang yang berfungsi sebagai pengekal serta penggalak pewarna asli.
“Pigmen warna diekstrak daripada daripada pokok, antaranya senduduk, sepang, ketapang dan mangga.
“Bahan untuk proses mengekalkan warna pula daripada sumber sisa buangan batang pisang yang berfungsi sebagai mordan dalam formula berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, hasil kajian mengenal pasti batang pisang berpotensi dijadikan mordan untuk mengekalkan warna apabila diaplikasi ke atas kain kapas dan sutera.
Lebih membanggakan, proses pencampuran kedua-dua bahan yang 100 peratus daripada sumber alam itu sesuai dan selamat digunakan, selain dapat menghasilkan pelbagai tona warna.
“Kepelbagaian tona warna dikaji dan diperoleh dengan mengawal suhu dan tahap alkali di dalam setiap larutan pewarna,” katanya.
Dr Nazlina berkata, keputusan menunjukkan semua pewarna semula jadi dengan kombinasi mordan daripada batang pisang menyerlahkan kombinasi warna ke atas fabrik sutera dan kapas.
“Keseluruhan rantaian kaedah melalui pengumpulan, pemprosesan dan pencelupan dijalankan dengan melihat faktor ekologi supaya ia selamat.
“Proses ini juga diharap dapat memberi impak lebih mesra alam terhadap alam sekitar, pengurangan penggunaan bahan kimia serta dapat menjana pendapatan pengusaha tekstil tempatan,” katanya.
Penyelidikan yang mengambil masa setahun itu menelan kos RM5,000 dan dalam proses untuk dipatenkan.
Beliau bercadang mengkomersialkan produk berkenaan yang dijangka dapat dipasarkan tahun ini juga.
Sumber:http://www.hmetro.com.my