Saya sering menggunakan bekas seperti botol plastik, beg semaian atau pasu untuk menanam pelbagai jenis sayuran dan herba untuk menjimatkan kos membeli peralatan.
Saya ingin mendapatkan tip berkebun menggunakan pasu atau pot.
Salbiah Hassan, Kota Tinggi, Johor
Ada enam perkara yang perlu kita ketahui apabila ingin berkebun menggunakan pasu atau pot:
1. Lokasi pasu: Perkara pertama yang perlu diberi perhatian ialah di mana lokasi ingin berkebun.Lebih baik letak pasu pada tempat yang ada sinaran matahari seperti di tepi tingkap dan tepi bangunan.
2. Tanaman: Perlu juga tahu jenis tanaman hendak ditanam di dalam bekas. Saya cadangkan anda menanam kangkung dan bayam kerana dua tanaman itu mudah tumbuh. Cuba tanam di dalam bekas dan lihat perkembangannya di lokasi yang dipilih. Apabila sudah menuai, boleh cuba tanaman lain. Mulakan sedikit demi sedikit.
3. Pengairan: Jangan keliru istilah pengairan dengan penyiraman.Pengairan bermaksud air siraman diserap pokok manakala lebihan air disalurkan keluar dari bekas tanaman. Kebanyakan sayur dan pokok buah tidak tahan air bertakung di dalam bekas. Akar tumbuhan akan lemas, seterusnya menyebabkannya mati. Pastikan setiap bekas yang digunakan ada lubang pengairan di bawahnya agar air siraman yang lebih mengalir keluar dari pasu.
4. Baja: Pembajaan penting kepada pokok yang tumbuh di dalam bekas kerana pokok tidak boleh mencari sendiri nutriennya. Oleh itu, selalu bekalkan kompos sebagai baja organik kepada tanaman di dalam bekas. Selang selikan dengan baja kimia jika lihat kesannya lambat.
5. Media tanaman: Media di sini bermaksud jenis tanah yang boleh digunakan untuk bertanam. Ada yang guna tanah campur, tanah bakar atau kompos sebagai media dalam pasu. Untuk tanaman di dalam pasu, lebih elok gunakan media yang tidak berat seperti kompos. Campuran kompos dan tanah atas (top soil) sangat disarankan. Selain kompos boleh menjadi baja, ia juga bertindak sebagai media yang bagus untuk penanaman seperti tanaman sayur.
6. Penyiraman: Ada dua sistem siraman iaitu automatik dan manual. Biasanya kita lebih senang menggunakan sistem siraman manual iaitu dengan terus menyiram dari paip air atau tong siraman. Ada beberapa inovasi yang boleh digunakan untuk menyiram secara automatik. Jika ada duit lebih, boleh naik taraf menggunakan sistem titisan berasaskan sistem fertigasi. Tetapi jika ingin jimat kos, guna sahaja siraman automatik menggunakan bahan terbuang.