Mudah ditanam, kos rendah

Sering kali kita melihat haiwan ternakan seperti lembu dan kambing berkeliaran meragut rumput di tepi jalan sehingga mengancam keselamatan pemandu kenderaan.

Ada pemandu membunyikan hon bagi memberi amaran kepada haiwan berkenaan kerana bimbang ternakan itu akan melintas jalan.

Masalah itu turut merungsingkan pemilik ternakan kerana bimbang haiwan mereka dicuri.

Bagaimanapun, masalah itu dapat diatasi dengan menggunakan sistem Fodder (rumah hijau) bagi menghasilkan rumput ternakan, sekali gus dapat menjimatkan kos makanan, pekerja dan ruang.

Bagi pengusaha yang menternak pada skala komersial, sudah pasti pembelian makanan lengkap membebankan mereka berbanding penggunaan makanan segar.

Pengurus Myternak Trading Dr Fakar Fariz Abd Wahab, 34, berkata, teknologi itu menggunakan kaedah hidroponik sederhana untuk menghasilkan rumput makanan ternakan.

Beliau berkata, kaedah ini sangat menjimatkan dan mudah dilakukan sendiri penternak yang mengusahakan ladang lembu, kambing, arnab atau ayam secara komersial.

“Antara bijirin rumput ternakan yang digunakan ialah benih biji jagung, barli, padi, bunga matahari dan pelbagai bijian jenis kekacang.

“Proses penyediaan benih berkenaan melalui peringkat pemilihan benih, cucian benih, rendam selama 12 jam, semai, siram dan tuai. Ia mengambil masa lapan hari untuk rumput panjang sehingga 30 sentimeter.

“Kos membina Fodder tidak terlalu mahal dalam anggaran RM600 bagi saiz 2×2 meter yang boleh memuatkan lapan bekas semaian pada satu masa,” katanya yang ditemui di pejabatnya di Kedai IKS, Kampung Jenderam Hulu, Dengkil, Selangor, baru-baru ini.

Dr Fakar Fariz yang turut mengendalikan kursus ternakan berkata, pembinaan rumah Fodder hanya menggunakan kayu, jaring, rak, bekas semaian benih, semburan air secara manual atau menggunakan pam automatik.

DR Fakar Fariz menunjukkan rumput ternakan sebelum memberikannya kepada kambing.

“Saya biasa menggunakan benih jagung kerana ia murah dan mudah didapati selain menghasilkan rumput yang kehijauan hanya dalam tempoh lapan hari.

“Dengan Fodder yang kecil ini, ia mampu menyediakan rumput kira-kira 60 kilogram (kg) sehari dan cukup untuk makanan 30 ekor kambing,” katanya.

Katanya, kebaikan rumah Fodder untuk menghasilkan rumput ternakan ialah penyediaan makanan tanpa mengira musim, mudah diaplikasi, tidak memerlukan kawasan luas dan kecekapan kos pemakanan.

“Selain itu, kecekapan penggunaan tenaga kerja, meningkatkan produksi ternakan dan mengurangkan kos ubatan serta makanan tambahan.

“Rumput ternakan ini juga berkualiti, bersih, segar, kaya dengan vitamin, mineral, enzim, disukai ternakan dan mencegah masalah pencernaan,” katanya.

RUMPUT ternakan sudah berakar dan menampakkan hasil.

Beliau berkata, dengan menggunakan sistem Fodder, kos yang diperlukan untuk sekilogram rumput sekitar 25 sen berbanding RM1.20 hingga RM1.50 bagi pemberian makanan secara tradisional.

“Cara tradisional memerlukan penternak memberikan ternakan mereka dedak dan rumput yang tahap khasiatnya boleh diragui sedangkan rumput yang dihasilkan daripada sistem Fodder terbukti berkhasiat.

“Kaedah ini bebas racun serangga dan kimia selain tiada pencemaran, parasit, kuman dan cacing. Penternak dijangka dapat menjimatkan kos harian dengan jaminan makanan berkualiti dan berkhasiat untuk ternakan mereka,” katanya.

Dr Fakar Fariz berkata, setakat ini, beliau sudah memberi latihan kepada 30 pengusaha ternakan di seluruh negara dengan menggunakan kaedah berkenaan.

“Ia mendapat maklum balas baik daripada penternak yang menggunakan kaedah ini kerana dapat menjimatkan kos operasi dan masalah kekurangan pekerja,” katanya.

Myternak Trading turut menawarkan seminar mengenai ternakan dan menjual vitamin ternakan kepada orang ramai. Mereka yang berminat boleh menghubungi Dr Fakar Fariz melalui e-mel fakar@ternak.my.
– Sumber: http://www.hmetro.com.my

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s