Tuah sawit masam

Kotak polisterin terpakai dibuang begitu saja manakala mendapan buah kelapa sawit ‘berbau masam’ mungkin tidak membawa sebarang makna kepada sebilangan masyarakat.

HALAMAN rumah Wan Bahizah dipenuhi tanaman sayuran.

Bagaimanapun, ia bahan berguna kepada penerokawati di FELDA Jengka 12, Maran, Pahang, apabila kedua-dua medium itu menjadi punca pendapatan tambahan keluarganya yang bergantung kepada hasil ladang tanaman kelapa sawit sejak menduduki tanah rancangan itu, 36 tahun lalu.

Antara sayuran yang ditanam ialah pelbagai jenis salad, bayam, sawi, kailan, labu, kobis dan terung serta yang jarang ditemui seperti salad Perancis, bayam sutera dan sawi Jepun.

Wan Bahizah Wan Su, 64, berjaya mentransformasikan halaman rumahnya yang sebelum ini dipenuhi pokok bunga kepada kebun sayur menggunakan kotak polisterin terpakai sejak tiga tahun lalu.

Begitupun, segala perancangannya dikendalikan anak kelimanya, Wan Ahmad Nizam Wan Khazam, 35, yang berminat mengusahakan kebun sayur sepenuh masa selain membantu ibunya yang semakin dimamah usia.

Sehingga kini, Wan Ahmad Nizam sudah menanam hampir 20 jenis sayuran dalam 300 kotak polisterin diperolehnya secara percuma di pasar segar Bandar Pusat Jengka, Maran.

Mengenai penggunaan kotak polisterin, Wan Ahmad Nizam berkata, semuanya bermula apabila dia melihat kotak putih itu dibuang begitu saja oleh peniaga di pasar segar berkenaan.

“Tanpa perlu membayar walau sesen pun, saya mengambil lima kotak polisterin dan menanam sawi dan terung sebagai percubaan, kira-kira tiga tahun lalu.

“Saya menggunakan tanah hitam hasil mendapan kelapa sawit dan tanah merah atau pasir. Tanpa disangka hasilnya di luar jangkaan sama sekali,” katanya.

Keghairahannya untuk terus menggunakan kotak polisterin semakin menjadijadi selepas melihat hasil diperoleh ketika kali pertama penanaman.

“Saya mula menambah sedikit demi sedikit jenis sayuran berdaun dan mengambil kotak polisterin secara berperingkat bergantung kepada berapa banyak kotak itu dibuang.

“Ternyata barangan buangan seperti mendapan sisa proses kelapa sawit dan kotak polisterin memberi hasil yang bukan sedikit kepada kami,” katanya yang memperoleh hampir RM3,000 setiap bulan hasil kaedah digunakan itu.

Menurut bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 21 itu, sayuran ditanamnya tidak lagi dibaja atau diracun kerana tanah hitam yang digunakan mempunyai zat dan mineral mencukupi.

“Kotak polisterin diletakkan secara bertingkat seperti ‘batas tanaman’, tapi untuk menjaganya tidak semudah disangka,” katanya.

Katanya, penggunaan tanah dalam kotak polisterin itu untuk satu pusingan saja dan selepas sayuran dikutip, tanah berkenaan perlu diperam selama tiga atau empat hari untuk menghilangkan bau masam tanah.

“Kotak yang sudah dikosongkan akan dimasukkan pula dengan tanah baru dan anak benih sayur lain pula, bukan dari jenis sayur sama sebelumnya.

“Jika masih menggunakan tanah dan anak benih sama, ia membantutkan tumbesaran pokok seolaholah tanah itu ‘merajuk’ dan mahukan ‘anak’ yang baru pula,” katanya.

Justeru, katanya, bagi mengelak kerugian, dia perlu pastikan kotak itu digantikan dengan tanah baru dan anak benih lain bagi memastikan bekalan sayuran sentiasa mencukupi.

“Sayuran ditanam tidak mengambil masa lama, hanya dua minggu hingga empat bulan bergantung kepada jenis sayuran.

“Sebagai contoh, sawi, salad dan bayam boleh dipetik dalam tempoh dua hingga tiga minggu saja,” katanya.

 

WAN Bahizah bersama Wan Ahmad Nizam menggunakan kotak polisterin untuk menanam sayuran.

 

Menurutnya, sayuran berdaun dijual pada harga RM1 seikat, kobis dan labu air (RM3 hingga RM4 bergantung pada saiz), terung pipit dan bendi pula RM1 selonggok.

Katanya, dia menggunakan 70 peratus sama ada tanah biasa, tanah merah atau pasir yang diletakkan di bahagian bawah kotak manakala 30 peratus lagi tanah hitam di bahagian atas.

“Saya tak pernah belajar asas penanaman di manamana, semua sekadar mencuba, tapi saya dapat banyak perkongsian ilmu daripada rakan laman sosial Facebook daripada Grup Kebun Bandar (jom tanam sendiri) dan Grup Kebun Mini.

“Banyak ilmu penanaman diperoleh daripada mereka yang majoritinya pekebun sayur atau yang meminati bidang pertanian,” kata anak kelima daripada 12 beradik itu.

Menurutnya, ‘kebun sayur polisterinnya’ pernah dikunjungi Jabatan Pertanian daerah dan peneroka dari beberapa negeri lain, pelajar sekolah dan orang awam termasuk dari Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Kuala Lumpur.

“Ada yang ingin mengetahui kaedah penanaman, mendapat khidmat nasihat berkaitan penggunaan tanah dan membeli sayuran.

“Kebanyakan penerokawati di sini datang membeli sayuran walaupun saya berniaga di pasar segar di Bandar Pusat Jengka,” katanya yang membuat dua pusingan tanaman dalam tempoh sebulan.

Berbeza dengan pekebun sayur biasa, Wan Ahmad Nizam lebih suka menggunakan waktu malam untuk memulakan tanaman.

“Saya suka menanam pada waktu malam kerana dingin, sunyi, tiada pelawat dan paling penting mudah membuang makhluk perosak yang ‘menyorok’ di celah rumput atau daun sayur.

“Saya menggunakan lampu suluh untuk melakukan semua kerja yang adakalanya berlarutan sehingga waktu Subuh,” katanya dibantu adiknya, Wan Abd Rahman, 28, menguruskan ladang kelapa sawit mereka.

Sementara itu, Wan Bahizah berkata, dia membantu sekadar termampu kerana kudratnya yang tidak seberapa.

“Tugas saya lebih kepada menyemai anak benih dan mengalihnya dalam beg semaian sebelum ditempatkan dalam kotak polisterin sehingga tempoh matang.

“Saya juga membantunya membuang rumput dan siput yang ditemui di celah tanaman. Siput ini kalau dibiarkan cepat makan daun pokok tanpa mengira waktu dan paling aktif pada waktu malam,” katanya.

Katanya, Wan Ahmad Nizam tidak mempunyai pekerjaan lain selain menguruskan ladang tanaman kelapa sawit seluas empat hektar dan kebun sayur seluas 1.2 hektar di tanah rizab FELDA.

“Bermula daripada kebun sayur itu dia mula meluaskan tanaman di rumah menggunakan kotak polisterin yang dibuang peniaga.

WAN Ahmad Nizam membersihkan kawasan tanaman.

“Modal dikeluarkan hanya untuk membeli anak benih dan beg semaian selain kos minyak kereta untuk mengambil tanah hitam sawit di Kilang Sawit FELDA Jengka 8,” katanya yang menyiram tanaman pagi waktu pagi dan lewat petang.

Sumber: http://www.hmetro.com.my

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s