MARDI terajui penyelidikan dan pengembangan komersialkan untuk bantu industri

Industri ternakan ruminan terutama biri-biri di negara ini dilihat masih berada dalam skala kecil. Walau bagaimanapun, potensi bagi industri ini dilihat amat besar dan mampu dikembangkan, sekali gus dapat menjamin bekalan makanan dalam negara selain dapat mengurangkan daging import.
Namun begitu, pelbagai isu dan cabaran perlu dihadapi bagi mengembangkan lagi industri ini apabila kebanyakan baka induk biri-biri yang berkualiti perlu dibawa masuk dari luar negara dan hal ini sudah pasti melibatkan kos yang tinggi.
Oleh itu, tidak salah jika dikatakan jumlah penternak biri-biri di negara ini hanyalah beberapa bilangan kecil sahaja dan secara tidak langsung hasrat untuk meningkatkan bekalan makanan berasaskan daging haiwan ini masih terlalu jauh untuk dicapai.
Selain itu, ternakan biri-biri juga boleh dikatakan masih baharu kerana tidak ramai penternak yang mengusahakannya secara komersial berbanding kambing dan lembu walaupun ternakan ini sebenarnya sudah lama diperkenalkan di negara ini dan diusahakan secara tradisional.
Antara lain, kekurangan kemahiran dan tenaga kerja bagi penternak di peringkat lapangan turut menjadi cabaran utama bagi industri ternakan sebegini, selain perkhidmatan kepakaran yang agak terhad terutama dalam sistem pengurusan ladang ternakan.
Sejak berpuluh tahun yang lalu, pelbagai jenis baka biri-biri misalnya Dorset, Wiltshire horn, Suffolk, Bali-bali, Barbados, St. Ines dan Black Belly sudah dibawa masuk ke negara ini bagi meningkatkan prestasi baka biri-biri tempatan.
Akan tetapi, kesemua baka tersebut tidak berjaya membentuk baka yang stabil disebabkan beberapa faktor utama seperti tidak sesuai dengan keadaan cuaca serta kekurangan baka berkualiti dan subur.
Bagaimanapun pada tahun 2008, baka baharu yang berpotensi diternak di negara ini iaitu biri-biri Dorper yang berasal dari Afrika Selatan telah dibawa masuk dan dilihat mampu membuka harapan dan peluang yang lebih cerah dalam industri ini.
Organisasi penyelidikan dan pembangunan (R&D) makanan dan pertanian terulung negara iaitu Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) merupakan agensi yang bertanggungjawab memperkenalkan biri-biri Dorper apabila mengimport baka tersebut.
Pengarah MARDI Pahang, Mohd. Ridzuan Mohd. Saad berkata, biri-biri Dorper yang dibawa masuk dikacukkan dengan baka tempatan bagi menghasilkan baka yang lebih baik dan bersesuaian dengan keadaan negara ini.
“Kajian selama beberapa tahun mendapati biri-biri Dorper sesuai diternak di negara ini kerana menunjukkan kadar kelahiran yang tinggi, kenaikan berat badan dan prestasi tinggi, kadar kematian rendah dan lebih berdaya tahan terhadap penyakit.
“Oleh itu, MARDI telah mengambil inisiatif mengkomersialkan ternakan biri-biri Dorper dan membuka peluang kepada penternak yang berminat mengusahakan ternakan ini dengan mengadakan pelbagai program seperti pinjaman baka untuk projek usahawan.
“Selain itu, MARDI turut membuat program jualan baka kacuk yang terpilih kepada mereka yang berminat untuk membeli biri-biri Dorper dengan harga serendah RM2,000 seekor (berdasarkan berat badan),” katanya ketika ditemui di Stesen MARDI Cherating baru-baru ini.
Menurutnya, MARDI juga telah mengambil inisiatif membuka sebuah ladang contoh biri-biri Dorper yang terletak di Taman Agroteknologi MARDI Cherating bagi memperkenalkan biri-biri berkenaan kepada penternak yang berminat untuk mengusahakannya.
“Sehingga kini sudah ada empat orang penternak biri-biri Dorper di bawah bimbingan MARDI Pahang yang menternak Dorper secara komersial.
“Dengan adanya ladang contoh yang baharu dibuka ini, kita juga dapat tunjuk kepada pelancong dan kanak-kanak secara lebih dekat dan memberi pengalaman secara langsung kepada setiap pengunjung apabila dapat menyentuh dan bermain dengan haiwan itu.
“Pengunjung juga berpeluang memberi makan kepada anak-anak kambing Dorper yang dilepaskan di ladang tersebut dan mengambil kesempatan untuk mempelajari tentang biri-biri istimewa ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd. Ridzuan berkata, haiwan tersebut lebih mudah untuk dijaga kerana tidak memerlukan tenaga pekerja yang ramai dan lebih ekonomik.
Tambahnya, pada umur enam hingga lapan bulan, Dorper akan mencapai berat sembelihan iaitu 30 hingga 35 kilogram, manakala pada umur setahun, biri-biri tersebut akan mencapai berat 40 hingga 45 kilogram, iaitu berat yang sesuai untuk akikah dan korban.
“Daging Dorper yang berusia setahun tahun ke bawah tidak mengandungi lemak dan kolestrol yang tinggi. Peratusan karkasnya adalah tinggi, lebih lembut dan berjus.
“Harga daging Dorper yang dijual di pasaran luar boleh dikatakan agak mahal iaitu kira-kira RM35 sekilogram kerana mungkin bekalannya yang agak terhad,” ujarnya.
– See more at: http://www.utusan.com.my/sains-teknologi/sains/biak-baka-dorper-1.166504#sthash.IKRvflvv.dpuf